Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    La Tahzan #2 - Jangan Cemburu dan 8 Petua Mengatasinya

    27 Julai 2007 • 23 Komen
    Jadi, adakah anda pernah mengalami sekurang-kurangnya satu daripada senario di bawah ini?
    1. Anda sekadar ada kereta kodok Volkswagen model 60-an yang selalu meragam di waktu pagi dan jiran sebelah rumah anda pula ada kereta Honda Civic yang bunyi enjinnya menderum sedap? Anda jadi sangat cemburu sehingga mengharapkan kereta Honda Civic jiran anda itu ditarik oleh bank?

    2. Gaji anda cukup-cukup makan sahaja. Gaji rakan-rakan anda pula agak besar sehingga mereka mampu untuk makan angin di luar negara. Anda pula nak pergi makan angin di Pulau Carey pun rasa mahu terburai poket seluar. Cemburu punya pasal, anda berdoa agar kapal terbang yang dinaiki kawan anda itu terhempas, atau sekurang-kurangnya dirampas oleh teroris.

    3. Kawan-kawan anda sudah ramai yang kahwin, dan anda juga mahu berkahwin, malangnya atas sebab-sebab yang tertentu anda masih lagi belum boleh berkahwin. Anda jadi tersangat cemburu pada rakan-rakan anda yang sudah berkahwin sehingga kadang-kadang anda harap esok pagi juga mereka bercerai?

    4. Anda tambah sendiri senario...

    Cemburu Pertama Dalam Sejarah Manusia

    Cemburu paling hebat yang pernah terjadi dalam sepanjang alam ini wujud adalah cemburu Iblis kepada Nabi Adam. Apabila Allah menyuruh Iblis sujud pada Nabi Adam, Iblis enggan. Iblis merasakan dirinya lebih bagus dari Nabi Adam. Iblis cemburu kerana Allah memberikan penghormatan yang begitu tinggi kepada Nabi Adam. Akibatnya, Iblis dicampak keluar dari syurga dan kini tempat tinggal abadinya adalah di dalam neraka.

    Cemburu manusia yang pertama pula berlaku dalam kisah Habil dan Qabil yang merupakan 2 orang putera Nabi Adam. Qabil tidak puas hati dengan Habil kerana Habil akan dinikahkan dengan Iqlima (saudara kembar Qabil) yang jauh lebih rupawan dari Labuda (saudara kembar Habil). Ini kemudiannya membawa kepada adegan-adegan dramatik yang mencemaskan. Klimaks kepada kisah ini adalah apabila Qabil membunuh Habil. Ini kes cemburu pertama dalam sejarah manusia, dan cemburu pertama ini juga telah membawa kepada tragedi pertumpahan darah yang pertama di atas muka bumi ini.

    8 Petua Mengatasi Sifat Cemburu

    1) Daripada 2 kisah cemburu yang membabitkan Iblis dan Qabil itu, kita dapati bahawa sifat cemburu tidak membawa sebarang kebaikan langsung kepada kita. Cemburu hanya memusnahkan diri sendiri. Tiada pengakhiran yang baik dan menggembirakan dalam hati manusia yang sering cemburu. Oleh itu sebelum anda mahu cemburu, cuba renung kembali kisah Iblis dan Qabil ini.


    2) Kita selaku manusia biasa, memang agak sukar untuk membuang 100% sifat cemburu dari terus mendiami hati. Oleh itu, lempiaskan sifat cemburu ini pada 2 jenis keadaan sahaja berdasarkan kepada hadith Rasulullah sallahu alayhi wasalam dari kitab Sahih Muslim ini:
    Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu pada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia.

    3) Imam al-Ghazali ada menerangkan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa manusia jenis yang kuat hasad dan cemburu ini, apabila diceritakan kepadanya kesenangan yang diterima oleh orang lain, hatinya akan jadi benci dan resah. Apabila dia mendapat tahu musuhnya ditimpa musibah dan nasib malang, hatinya akan menyanyi keriangan.

    Cemburu pada orang lain bermaksud kita tidak gembira pada nikmat yang Allah berikan kepada para hamba-Nya. Ini juga bermakna bahawa kita tidak redha pada takdir dan ketetapan Allah. Jika kita sendiri tidak redha pada Allah, apakah mungkin bagi kita untuk mendapatkan keredhaan Allah? Dan jika Allah tidak redha pada kita, apakah mungkin ketenangan hati itu akan kita kecapi?

    Imam Maulud, seorang ulama Sufi yang hebat, ada menerangkan bahawa untuk membersihkan hati (sekaligus mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa), kita elakkan dari berasa cemburu pada kejayaan orang lain. Sebaliknya, jika manusia lain mendapat kebaikan dan rezeki yang lebih dari kita, kita doakan kebaikan dan kegembiraan untuk mereka. Hatta jika musuh kita yang mendapat kebaikan, jangan juga cemburu. Cemburu kepada musuh hanya akan menambahkan lagi penguasaan psikologi mereka ke atas diri kita.


    4) Cemburu hadir sebab kita rasa kita lebih bagus dan lebih mulia dari orang lain; holier than thou. Apabila kita ada persepsi sebegini, kita akan mudah merasakan bahawa dia dan mereka tidak layak untuk menerima nikmat tersebut. Kita sahajalah yang layak. Buang sifat sebegini dan tanamkan dalam hati dan minda bahawa yang orang lebih mulia di sisi Allah hanya diukur dari segi takwa. Dengan ini, di samping dapat membuang sifat cemburu, kita juga sekaligus dapat berlumba-lumba dengan manusia lain dalam meningkatkan taqwa kepada Allah.


    5) Dalam 3 senario di atas, saya ada sentuh tentang bab kahwin. Saya jadikan isu kahwin ini agak spesifik memandangkan saya kenal dan tahu beberapa orang kawan saya, dan kebanyakkan adalah perempuan yang mengeluh kerana masih lagi belum bertemu jodoh. Mereka agak depress.

    Berkahwin memang seronok. Siapa tidak suka kahwin. Tetapi menjadikan perkahwinan sebagai alasan untuk memberikan kebahagian hidup agak kurang tepat. Pasangan berkahwin yang kelihatan gembira mungkin kerana sejak zaman bujang lagi mereka sudah memiliki gaya hidup yang ceria. Tapi apa akan jadi jika Lelaki A yang pesimis berkahwin dengan Wanita B yang bersifat sangat cemburu buta. Anda fikir dengan perkahwinan itu, Lelaki A dan Wanita B itu akan mendapat kegembiraan dan kebahagiaan hidup?

    Perkahwinan hanya satu keindahan yang sementara. Jika ia tidak disulami dengan tanggungjawab, perkahwinan adalah satu bala. Terangkan kepada saya mengapa Britney Spears bercerai dengan suami pertamanya, iaitu Jason Allen Alexander setelah mereka sah menjadi suami isteri selama 55 jam sahaja? Saya juga ada seorang rakan (Melayu) yang menceritakan kisah sedih rakannya (Melayu) yang diceraikan suaminya setelah 1 tahun berumahtangga. Mengapa ini berlaku? Tiada kebahagiaan!

    Maka, perkahwinan bukan tiket mutlak kebahagiaan hidup. Ketahuilah bahawa sebahagian dari kegembiraan itu terletak pada redha Allah ke atas manusia dan sebahagian lagi terletak pada cara seseorang itu berfikir. Kepada yang masih belum berkahwin, bawa-bawa bersabar. Bak kata senior saya, let's chill and relax...

    Akan tetapi, perkahwinan juga sangat penting dalam kehidupan manusia. Saya ingin membantu, tetapi saya tidak boleh bagi kaunseling lebih-lebih kerana masih lagi belum berkahwin. Mungkin boleh baca artikel ini: What should I do to get married?

    Jangan cemburu kepada rakan-rakan yang terlebih dahulu menamatkan zaman bujang dan anak dara. Bila sampai masa yang ditetapkan Allah, anda pasti akan mendapatnya. Ini konsep tawakal dalam Islam. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Cuba aplikasikan konsep Taburan Normal dalam ilmu statistik untuk lebih memahami masalah ini.


    6) Apa yang mereka ada tidak semestinya diberkati Allah. Kadang-kadang rezeki yang Allah beri pada hamba-Nya adalah bersifat istidraj semata-mata. Rasullulah bersabda:
    Apabila kamu melihat Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah.
    (Hadith riwayat Imam at-Tabarani, Ahmad dan Al-Baihaqi).

    Istidraj adalah nikmat yang Allah berikan kepada orang-orang kafir dan fasik, tetapi dalam masa yang sama Allah hilangkan erti kesyukuran di dalam hati mereka, dan Allah membinasakan mereka secara beransur-ansur tanpa mereka sedari.

    Jiran anda di sebelah rumah yang selalu pergi clubbing dan tuang arak dalam perut, tetapi kereta mewah ada 2-3 biji, menjawat pula title CEO di sebuah syarikat besar, maka ketahuilah bahawa rezeki yang mereka terima itu berkemungkinan besar adalah istidraj. Oleh itu, jika anda patuh dan taat pada segala-perintah Allah, melakukan solat tahajjud setiap malam, tetapi rezeki masih lagi dalam keadaan terumbang-ambing, maka janganlah terlalu risau. Rezeki sikit atau banyak adalah ujian dari Allah.

    Jangan sangka dengan duit berkepok-kepok di bawah bantal akan membuatkan kita gembira. Kita gembira kerana Allah yang kasi kita gembira. Jika anda ada buku Ayah Kaya, Ayah Miskin, cuba selak semula bahagian awal buku itu, yang mana Robert Kiyosaki ada menceritakan kisah beberapa orang ternama yang kaya-raya waktu itu, akhirnya menerima kesudahan hidup yang menyedihkan setelah berlakunya peristiwa Great Depression. Lihat, semudah itu sahaja Allah mahu tarik kekayaan seseorang.


    7) Masih lagi rasa susah untuk membuang rasa cemburu itu? Masih lagi tidak puas hati pada jiran ada rumah yang lebih besar dan selalu makan di restoran mewah? Baik, lihat 2 gambar di bawah ini. Gambar membawa sejuta erti.

    Gambar ini tidak dapat dipastikan siapa yang tangkap. Anak kecil itu mengutip cebisan makanan yang sudah dibuang. Alangkah laparnya dia!


    Gambar ini ditangkap oleh Kevin Carter. Gambar ini menyebabkan Kevin Carter membunuh diri tidak lama kemudian disebabkan kesan psikologi yang sangat mendalam.


    8) Akhir sekali, cemburu datang kerana kurang sifat syukur dalam diri. Kita selalu memikirkan dan berasa rungsing dengan apa yang masih tidak kita miliki. Kita cemburu pada orang lain yang ada apa yang kita mahu. Tetapi selalu sangat kita tidak bersyukur dengan apa yang sedang kita ada.
    Jika anda menyimpan makanan dalam peti sejuk,
    dan menyimpan baju di dalam almari,
    dan ada katil sebagai tempat tidur,
    dan memiliki sebuah rumah...

    Maka anda sudah jadi lebih kaya dari 75%
    penduduk bumi yang lain!

    (Sumber: Video The Miniature Earth)

    Maka, bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki adalah kunci utama bagi membuang sifat cemburu dan sekaligus mendatangkan kebahagiaan di dalam hati. Jangan apabila ia sudah pergi baru kita mahu bersyukur dan menangis kerana manusia selalunya begitu. Hargai sekecil-kecil nikmat Allah. Insya-Allah.


    ---
    IKLAN: Tajdid komputer anda dengan Musang Api!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Berkira Dalam Berdakwah

    22 Julai 2007 • 17 Komen
    Kadang-kadang saya akan membaca semula apa yang pernah saya tulis di blog ini. Baru-baru ini saya membaca Tragedi Kampung Berembang.

    Di dalam pos ini, ada 2 video berkaitan yang dapat memberikan gambaran apakah sebenarnya yang berlaku di kampung tersebut - satu adalah video yang dirakamkan oleh salah seorang saksi tragedi tersebut dan satu lagi adalah video yang diambil dari laman MalaysiaKini.tv.

    Perkara yang mengejutkan saya adalah apabila video dari MalaysiaKini.tv mengeluarkan mesej "This video is no longer available" dan apabila saya klik video tersebut, keluar pula mesej di laman YouTube, "This video has been removed due to terms of use violation."

    Ini membuatkan saya naik pelik.

    Saya cuba mengingati kembali isi kandungan video yang panjangnya selama memakan sebatang aiskrim Magnolia. Mengapa YouTube membuang video tersebut? Adakah video tragedi itu ada terselit aksi-aksi ghairah budak remaja berpakaian sekolah yang agak heboh diperkatakan mutakhir ini? Tiada. Atau adakah video itu ada babak-babak mengerikan yang mana jentolak yang merobohkan rumah-rumah di Kampung Berembang itu turut sama melenyek para penduduk yang berdemonstrasi sehingga terburai kepala otak mereka dan darah memancut di sana-sini? Tiada juga. Tiada 18SX dan tiada juga 18SG. Jadi apakah masalahnya?

    Saya juga tidak kira YouTube membuang video tersebut setelah menerima surat amaran keras dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). YouTube memiliki polisi yang berani dan tidak akan membuang video yang di upload oleh pengguna dengan begitu sahaja. Keberanian YouTube ini menyebabkan ia pernah kena block di Thailand dan Turki (sudah pun di unblock). Ia disekat di Turki gara-gara video yang menghina Mustafa Kamal Ataturk, disekat di Thailand pula kerana video yang menghina Raja Thailand.

    Bukan 18SX, bukan 18SG dan bukan kerana kecut perut dengan MPAJ yang menjadi hero filem Tragedi Kampung Berembang. Oleh itu saya membuat kesimpulan bahawa video itu dibuang gara-gara masalah akta hakcipta.

    Saman dan Hakcipta

    Semenjak Google membeli YouTube dengan harga USD1.65 bilion, YouTube telah menjadi sasaran pedagang kapitalis yang semakin galak mahu menyaman YouTube. Selalunya kerana YouTube menyiarkan banyak video-video yang dilindungi oleh akta hakcipta, seperti filem dan rancangan televisyen. Galaknya mereka ini sehingga pernah ada satu syarikat pembekal batang paip yang memiliki domain uTube.com mahu menyaman YouTube gara-gara pelawat yang menggoogle uTube untuk pergi ke YouTube tersalah masuk ke uTube.com. Ini membuatkan uTube.com mengalami masalah kesesakan server yang agak serius.

    Walaupun isu uTube mahu menyaman YouTube ini bersifat agak lucu, tetapi ini sebenarnya adalah bayangan kasar bagaimana mentaliti rakyat Amerika berfungsi. Tidak puas hati dengan mana-mana individu atau organisasi, maka saman sahaja. Menang saman boleh dapat duit. Bila dapat duit, rasa sakit hati akan hilang. Di zaman ini, wang dilihat sebagai penyelesai segala masalah. Maaf hanya datang setelah duit masuk ke poket. Tiada duit, maka tiada maaf dan tiada toleransi. Google tidak mahu kena saman, maka mahu tidak mahu, gergasi internet ini akan cuba untuk membuang video-video yang dilindungi oleh akta hakcipta.

    Salah satu cara untuk YouTube mengetahui video mana yang ada dan tidak ada akta hakcipta adalah melalui surat atau e-mel yang dihantar oleh pemegang asal hakcipta video tersebut. Dalam kes ini, saya boleh gerenti bahawa MalaysiaKini telah meminta YouTube untuk membuang video Tragedi Kampung Berembang tersebut (Kalau tukang upload sendiri yang buang video itu, akan keluar mesej "This video has been removed by the user").

    Hakcipta Dalam Berdakwah

    Mari kita buang seketika sifat Islamik dalam konotasi perkataan berdakwah itu. Kita fahami maksud dakwah itu dari segi bahasa sahaja, iaitu mengajak kepada sesuatu.

    Kadang-kadang saya pelik dengan polisi dan sikap beberapa individu dan organisasi yang agak berkira dalam hal-hal berdakwah ini. Dahulu, di akaun YouTube saya, saya ada meletakkan video yang menggambarkan kekejaman rejim Zionis di Palestin. Video ini bukan dibuat oleh saya dan saya kira tidak ada masalah untuk saya menguploadnya memandangkan saya sekadar mahu video ini sampai kepada lebih ramai orang. Dan kedua, saya tidak buat duit dengan mengupload video ini. Niat saya cuma dakwah, iaitu berdakwah kepada orang ramai tentang realiti di Palestin.

    Beberapa minggu selepas itu, pembikin asal video tersebut - berbangsa Amerika jika tidak silap, bukan Islam dan merupakan seorang aktivis - membuat komen di video tersebut dan mengatakan lebih kurang:
    "Ini video saya yang buat, mengapa awak upload tanpa beri sebarang kredit?"
    Anda nampak apa yang tidak kena? Kalau kita benar-benar ikhlas dalam berdakwah, maka kita tidak akan begitu kisah dan hirau tentang siapa yang menyebarkan bahan-bahan dakwah yang kita buat itu, asalkan mereka tidak buat keuntungan atas angin. Kita tidak akan kisah kredit itu diberikan atau tidak kepada kita. Saya tidak tahu sama ada si aktivis ini perasan atau tidak bahawa saya letakkan bersama pautan ke laman webnya di bahagian deskripsi video tersebut. (Video kekejaman Zionis itu telah YouTube buang kerana kandungan grafik yang tersangat 18SG).

    Begitu juga dalam kes video Kampung Berembang ini. Saya tidak faham mengapa perlu MalaysiaKini mahu video-video milik mereka tidak boleh disiarkan di tempat lain melainkan di MalaysiaKini sahaja? Adakah mereka takut kehilangan pelanggan? Saya tidak mempertikaikan polisi mereka yang mengenakan bayaran kepada pelanggan yang mahu mengakses penuh segala bahan dan berita di MalaysiaKini. Itu hak mereka dan mereka juga memerlukan wang untuk memastikan server berfungsi sempurna. Akan tetapi, mengapa perlu berasa terancam apabila bahan-bahan mereka tersiar di tempat lain? After all, we are in the same boat.

    Bayaran langganan yang dikenakan oleh MalaysiaKini.


    MalaysiaKini juga berdakwah kepada masyarakat, iaitu berdakwah dalam menyampaikan maklumat penting dan isu semasa kepada orang ramai, yang muuuuuuuuuustahil akan disiarkan di dalam akhbar-akhbar utama negara seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Saya tidak melanggan MalaysiaKini kerana kebanyakkan beritanya adalah isi-isi politik.

    Saya tidak begitu minat politik dan politik juga mungkin tidak minat saya. Kami saling tidak meminati. Jika saya berkahwin dengan politik, maka perkahwinan ini akan gagal dengan cerai talak tiga kerana saya lebih gemar mendalami LAMP architecture dari mengambil tahu dengan mendalam tentang kisah epik dan kontroversi hangat anak menantu Pak Lah, iaitu Khairy Jamaluddin.

    Tetapi bagi sesetengah orang, politik adalah jiwa dan perjuangan hidup mereka. Maka MalaysiaKini mungkin menjadi salah satu sumber rujukan utama. Akan tetapi kalau MalaysiaKini bersifat agak berkira dalam berdakwah, ini boleh membuatkan sesetengah orang berasa tidak seronok berurusan dengan MalaysiaKini. Jika saya adalah orang besar MalaysiaKini, saya akan rasa bersyukur kerana ada orang lain yang upload video tersebut di YouTube. Ini kerana:
    1. MalaysiaKini akan mendapat publisiti yang lebih meluas. Jangan abaikan kuasa marketing YouTube. Jika tidak, masakan Sky News memiliki channel rasmi di situ. Hatta Perdana Menteri Britain juga ada channel yang khas.

    2. Video yang terdapat di MalaysiaKini.tv adalah dalam bentuk streaming dan buat masa ini ia boleh diakses secara percuma. Jadi mengapa gusar melainkan ia sesuatu yang berbayar? Apabila mereka sudah lihat di YouTube dan mereka tahu video itu hasil MalaysiaKini, maka ini meningkatkan kebarangkalian mereka untuk pergi ke MalaysiaKini. Ini meningkatkan jumlah trafik harian, menambahkan jumlah pengiklan yang sudi beriklan di situ, dan dalam masa yang sama jimat bandwidth kerana manusia jarang tonton berita yang sama 2 kali, lebih-lebih lagi artikel dan video bersifat berita mempunyai jangka hayat yang pendek - orang tidak baca berita semalam.


    Ilmu Dari Google: Don't Be Evil


    Slogan Google: Don't be Evil.


    Don't Be Evil adalah slogan korporat tidak formal Google. Slogan ini menyebabkan Google mendapat imej yang baik di mata masyarakat. Dengan slogan ini, Google berjaya naik dari 2 lelaki yang berkerja di garaj kepada sebuah syarikat yang tersenarai di papan utama NASDAQ dan LSE dalam masa kurang 10 tahun, tanpa memberikan imej yang sangat buruk seperti Microsoft (komuniti komputer sering memandang Micro$oft sebagai evil company). Anda tahu kenapa? Salah satu sebabnya adalah kerana Google memberikan hampir 100% servisnya dengan percuma.

    Servis yang diberikan tanpa bayaran ini adalah sangat penting memandangkan Google adalah satu syarikat yang mempunyai pengaruh besar tentang bagaimana orang awam mengakses maklumat di internet. Google boleh sahaja membuat keuntungan singkat dengan mengenakan bayaran kepada beberapa servisnya, namun Google tidak melakukannya. Sebagai contoh, apabila Google membeli Blogger dan Feedburner, kedua-dua servis ini yang pada dahulunya memiliki versi premium telah dijadikan percuma sepenuhnya.

    Jika Google agak berkira apabila berurusan dengan orang awam, maka ini akan menimbulkan korupsi dalam syarikat ini, dengan kata lain, maklumat yang diberikan dan teknologi yang dicipta akan dipengaruhi oleh berapa banyak $ yang diterima melalui apa yang dibayar oleh pelanggan. Dalam konteks seorang jurnalis politik pula, apa yang dia tulis akan banyak dipengaruhi dengan banyak mana $ yang diterima.

    Walaupun MalaysiaKini boleh mendapat keuntungan dalam jangkamasa singkat dengan mengenakan bayaran kepada pelanggan dan mengenakan hakcipta yang agak ketat pada segala bahan yang disiarkan, tetapi ia memberikan kesan jangkamasa panjang. Sampai satu masa nanti, sama ada esok atau lusa, pelanggan akan tertanya-tanya sama ada mereka benar-benar berjuang dalam misi menyampaikan berita yang ditapis hebat di saluran berita perdana kepada orang awam atau pun atas sebab-sebab yang lain.

    Kita semua bersetuju bahawa wang adalah salah satu faktor utama yang menjadikan manusia korup. Kekorupan dalam berdakwah adalah jauh lebih dahsyat dari kekorupan dalam bisnes. Justeru itu, perlu selalu ada reality check dalam apa yang kita perjuangkan supaya orang percaya kepada kita dan ini akan membuatkan dakwah jadi lebih mudah.

    Untuk mengelakkan kesan psikologi yang buruk ini, gunakan etika Don't Be Evil ini. Secara mudah, etika ini tidak memberikan keuntungan jangkamasa pendek, tetapi akan memberikan keuntungan jangka masa panjang yang lebih berbaloi:
    Don't Be Evil:
    Duit lambat masuk tetapi imej korporat terjaga. Pelanggan sentiasa mempercayai syarikat yang mempunyai imej yang baik.

    Do Be Evil:
    Duit cepat masuk tetapi mencalarkan imej korporat. Pelanggan akan beralih kepada syarikat yang Don't Be Evil. Kita kehilangan pelanggan.

    Berikan servis anda sepercuma yang boleh kerana manusia sentiasa sukakan sesuatu yang percuma. Kalau anda jadi penceramah, sila jangan kenakan bayaran mahal-mahal. Acapkali saya mendengar beberapa penceramah motivasi dan agama terkenal tanahair bertaraf $elebriti yang mengenakan bayaran hingga mencecah beribu RM untuk satu sesi motiva$i yang tidaklah selama mana. Kenapa begini?

    Oleh itu, kita sebagai umat Islam pula, apabila mengajak manusia kepada Allah, maka jangan terlalu berkira. Sifat berkira ini berlaku apabila dalam hati ada sifat tamak kepada kebendaan. Mari padamkan sifat tamak ini dengan membersihkan hati kita, mudah-mudahan kita akan tidak terlalu berkira dalam berdakwah, dan apabila sudah tidak berkira lagi, insyaAllah dakwah itu akan menjadi ikhlas kerana Allah. Ini mungkin sesuatu yang susah, tetapi saya tidak suruh anda buang sifat berkira ini dalam masa 1 hari 1 malam. Penyucian hati adalah proses sepanjang hayat.

    Kalaupun ganjaran kewangan berdakwah dengan berpandu kepada kod etika Don't Be Evil ini tidak selumayan etika Do Be Evil, tetapi saya rasa kita boleh sahaja claim segala apa yang kita terlepas di dunia ini sewaktu kita sudah selamat di Syurga nanti. Mudah-mudahan. Namun sebelum mahu masuk Syurga, Don't Be Evil.

    Kalau ada duit lebih di celah-celah dompet, belanjalah sehelai tudung labuh kepada kawan perempuan kita yang tidak pakai tudung itu. Saya suruh belanja sahaja, bukan mengurat anak dara pingatan orang!

    Sekian dimaklumkan.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    When Bloggers Get Lazy

    13 Julai 2007 • 17 Komen
    Unless you are Richard MacManus, any fellow bloggers get lazy sometimes. So do I. When they get lazy, they don't update. Even if they update, the post is shallow and not deep enough (like this post).

    When bloggers get lazy, they resort to:
    1. Copy/paste everything they find on the web - news, articles, lyrics, poems, jokes, funny and bizarre photos, etc, - in its pure and raw form. If at least 40% of your blog contents consist of copy/paste stuffs, then you better channel your energy on something else and please stop thinking to do dakwah by blogging. The art of writing is not in your gene. REMEMBER: Avoid excessive copy/paste; it is a cardinal sin in blogging.

    2. If they are slightly not lazy, they will do #1 by supplementing them with some kind of short commentary. I mean *really really* short.

    3. Blogging instant message conversations they have. This is the art of killing two birds with one stone but arguably useless.

    4. Saying 'I am lazy today and I have nothing to say =p'. This technique mimic this post, only slightly worse.

    If you do not have something to write, then don't write at all. If you want to write, then gradually improve your proficiency in journalism. More Muslim should write articles, not just blog postings.

    Anyway recently I stumbled upon the photo below, titled Love for Parents. I just love it.

    Caption: Carrying Zamzam Water to his father who was sitting and reading Quran.
    Credit to Alsay on Flickr.


    I am looking for some spiritual enlightenment by reflecting the yesteryear me and by listening to The Hereafter. Sometimes thinking too much about dunia kills my soul. Period.

    [LITTLE UPDATE]
    Listen to this. Most probably this beautiful poem was recited by Sheikh Hamza Yusuf's daughter. It is cute and can probably keep your laziness away!

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Oops!... Salman Rushdie Did It Again?

    07 Julai 2007 • 20 Komen
    Saya mengisytiharkan kepada umat Islam
    di serata dunia bahawa pengarang novel
    The Satanic Verses - yang mana ia bertentangan
    dengan ajaran Islam, Rasulullah dan al-Quran -
    dan semua yang terlibat di dalam
    proses penerbitannya yang menyedari
    akan isi kandungannya,
    adalah dijatuhkan hukuman mati.

    (Fatwa Ayatollah Khoemini yang disiarkan melalui Radio Tehran.
    Sumber BBC, Arkib berita 14 Februari 1989)



    18 tahun dahulu ketika saya merupakan seorang kanak-kanak naif yang comel dan masih lagi mengesat hingus yang meleleh keluar dari hidung di baju, Salman Rushdie sudah pun bikin panas dunia Islam dengan menghasilkan novel The Satanic Verses. Saya masih kecil ketika itu, berusia lingkungan 6 tahun dan saya tiada walau satu idea pun tentang kekecohan yang berlaku. Walaupun saya sudah tahu membaca waktu itu, tetapi saya rasa bermain sorok-sorok dengan kawan sekampung adalah lebih menyeronokkan dari saya membaca akhbar untuk mengambil tahu apa yang Salman Rushdie sudah buat sehingga Pakcik Suradi naik angin.

    Apabila saya berjaya melangkah masuk ke sekolah rendah, nama Salman Rushdie dan kejahatannya sekali-sekala disebut oleh ustaz dan ustazah yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam.

    Sehingga saya berada sekolah menengah, saya masih lagi tiada idea sama sekali apakah kejahatan dan fitnah terhadap Nabi Muhammad saw, yang terkandung di dalam novel syaitan tersebut. Kementerian Dalam Negeri telah pun mengharamkan novel itu dari dijual di Malaysia, dan perkara yang sama juga turut berlaku di negara-negara Islam yang lain. Jadi dari mana saya boleh mendapat info tentangnya?

    Pengharaman buku tersebut lama kelamaan memadamkan api kontroversi yang lebih hebat bahangnya di United Kingdom, India, Pakistan dan Iran. Kaedah pengharaman ini betul-betul berjaya waktu itu. Namun pada hari ini kaedah ini akan gagal dengan adanya gudang Amazon.

    Fatwa hukuman bunuh yang dikeluarkan oleh Ayatollah Khomeini pada Hari Valentine 1989 membuatkan Salman Rushdie terpaksa menyorokkan diri di United Kingdom dan mempunyai 30 buah alamat rumah yang berbeza-beza selama 9 tahun. Dua faktor ini; pengharaman buku dan fatwa hukuman bunuh oleh Iran, telah membataskan pergerakan dan aktiviti harian Salman Rushdie.

    Akhirnya nama beliau berserta kontroversi yang tercetus semakin dilupakan dan saya yakin majoriti generasi remaja Islam hari ini yang berusia hingga lewat 10-an, mungkin pertama kali mendengar nama Salman Rushdie apabila baru-baru ini Ratu Elizabeth mahu menganugerahkan pangkat Sir kepada beliau.

    Ingatan saya yang semakin malap terhadap Salman Rushdie tiba-tiba menjadi cerah pada tahun 2005. Ada 2 peristiwa yang berlaku. Pertama, saya terjumpa dan kemudiannya membelek-belek novel The Satanic Verses di sebuah kedai buku di Dublin. Dan yang kedua pula, apabila beliau datang melawat dan memberikan ceramah di Trinity College untuk mempromosikan bukunya, Shalimar the Clown.

    Saya memang mahu masuk ke dalam dewan kuliah tempat Salman Rushdie memberikan ucapannya itu, tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Saya datang awal sebenarnya, tetapi tunggu kawan punya pasal, akhirnya kami tidak dibenarkan masuk. Katanya dewan sudah penuh. Wah, hebat sungguh penangan Salman Rushdie sampai penuh dewan yang boleh memuatkan 700-800 orang itu. Sudahlah mahu masuk perlu bayar 2 Euro.

    Hingga hari ini saya masih lagi tertanya-tanya, adakah betul dewan sebesar itu boleh penuh. Selalunya jarang-jarang dewan sekangkang king-kong itu boleh penuh apabila ada penceramah luar yang datang. Atau mungkin juga bodyguard Salman Rushdie sudah beritahu awal-awal kepada penjaga pintu masuk dewan supaya tidak membenarkan mana-mana Muslim datang menghadiri ceramah Salman Rushdie. Buat pengetahuan, kami yang mahu turut serta mendengar celoteh Salman Rushdie terdiri dari 5 orang; 3 lelaki dan 2 perempuan. Dan perempuan itu bertudung. Mungkin itu sebabnya, wallahu 'alam.

    Sekarang kita akan masuk ke dalam isu sebenar. Wajarkah Salman Rushdie dibunuh, dan wajarkah beliau mendapat pengiktirafan Sir?

    Hukuman Bunuh Ke Atas Salman Rushdie

    Wajarkah fatwa hukuman bunuh ke atas beliau itu dilakukan? Untuk menentukan wajar atau tidak, saya bukan seorang mufti. Saya cuma mahu berikan situasinya. Fatwa tahun 1989 ini dikeluarkan oleh Ayatollah Khomeini dari Iran. Dan 4 bulan selepas fatwa kontroversi ini dikeluarkan, Khomeini meninggal dunia. Istinbat fatwa ini juga mungkin ada dipengaruhi oleh unsur-unsur fiqh Syiah, yang semestinya tidak boleh dijadikan panduan dan ikutan oleh umat Islam yang berpegang kepada aliran Ahlus Sunnah wal Jamaah.

    Dan setahu saya, hukuman bunuh ke atas Salman Rushdie ini bukanlah satu hukum ijmak yang dipersetujui oleh majoriti para ulama serata dunia. Saya juga tidak tahu sama ada fatwa oleh Khomeini ini dikeluarkan setelah isu ini diperhalusi sedalam-dalamnya atau pun dibuat secara tergesa-gesa tanpa melihat isu dan impak fatwa tersebut dalam aspek yang lebih holistik. Kita sendiri juga tidak tahu apakah dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah yang digunapakai oleh Khomeini dalam beliau membuat fatwa hukuman mati itu. Dan jika ada, adakah dalil-dalil itu selari dengan apa yang dipersetujui oleh ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah?

    Kita ambil contoh peristiwa Perang Badar yang perlaku pada bulan Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Salman Rushdie mungkin hina tarafnya di sisi Allah. Jika pun dia hina di sisi Allah, lebih hina lagi golongan kafir Quraish yang mengangkat pedang terlebih dahulu bagi mengisytiharkan perang terhadap Rasulullah dan orang-orang Islam Madinah di dalam Perang Badar. Di dalam Sahih Bukhari, ada dicatatkan bahawa orang kafir Quraish yang terbunuh adalah seramai 70 orang dan yang dapat ditawan juga adalah 70 orang. Apa yang Nabi buat kepada 70 orang tawanan kafir ini?

    Nabi tidak melayan mereka seperti mana tahanan ISA dilayan di Kem Kamunting, tidak seperti mana tahanan di Guantanamo Bay dilayan, dan tidak seperti mana tentera Amerika melayan tahanan perang Iraq yang dikurung di penjara Abu Ghraib. Akan tetapi Rasulullah menyuruh umat Islam melayan tahanan kafir Quraish ini dengan baik. Di bahagian dunia mana kita dapat mencari manusia semulia Rasulullah ini?

    Mari kita selongkar kitab Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisham yang di dalamnya ada menceritakan pengalaman Abu Aziz bin Umair yang merupakan salah seorang tahanan Perang Badar. Kata Abu Aziz bin Umair:
    Aku ditawan oleh keluarga Ansar. Jika tiba waktu makan siang atau makan malam, mereka memberikan aku sepotong roti sedangkan mereka sendiri terpaksa makan kurma, kerana mereka telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk berbuat baik terhadap semua tawanan perang.

    Setiap kali mereka memperolehi sepotong roti, mereka akan memberikannya kepada aku, sehingga aku menjadi malu atas layanan baik yang mereka lakukan. Maka aku kembalikan roti itu kepada mereka. Namun roti itu tetap diberikan kembali kepada aku.

    Tahanan Perang Badar tidak dibunuh, malah akan dibebaskan dengan 2 syarat. Pertama dengan membayar wang tebusan yang bernilai di antara 1000 - 4000 dirham, bergantung kepada taraf sosio-ekonomi tahanan tersebut. Jika tidak mampu membayar sama sekali wang tebusan ini, setiap di antara mereka diwajibkan untuk mengajarkan 10 orang kanak-kanak Islam ilmu menulis dan membaca sehinggalah mereka menjadi pandai. Zaid bin Thabit adalah salah seorang kanak-kanak Islam yang pandai menulis dan membaca dek kerana diajar oleh orang-orang kafir Quraish yang menjadi tawanan perang tersebut.

    Kamu tahu siapa Zaid bin Thabit ini? Beliau merupakan penulis peribadi Rasulullah. Setiap kali ada wahyu yang turun, Baginda akan mengarahkan Zaid bin Thabit untuk menulisnya (ada lagi beberapa sahabat lain yang diarahkan oleh Rasulullah untuk menulis wahyu yang diturunkan). Lihat, penulis wahyu Al-Quran yang mulia seperti Zaid bin Thabit ini mendapat ilmu menulis dan membaca dari orang-orang kafir!

    Sekarang kita bandingkan Salman Rushdie dengan tawanan Perang Badar. Katakan anda dapat menangkap Salman Rushdie, apa mahu buat padanya? Bunuh? Kasi potong? Atau kita manipulasi kemahiran bahasa dan sastera yang ada padanya? Sekarang kita masing-masing tentukan sendiri kewajaran hukuman bunuh ke atas beliau itu. Hatta jika mengikut hukum hudud yang sebenar, orang-orang Islam yang murtad tidaklah serta-merta dijatuhkan hukuman bunuh. Tetapi mereka diberikan beberapa peluang dan diberikan ruang masa untuk berfikir, mudah-mudahan dia akan kembali kepada Islam semula. Dan jika hukum hudud itu hendak dilaksanakan, ia mesti dilaksanakan oleh pemerintah dan bukannya oleh orang-orang biasa.

    Setiap kesalahan wajib dibicarakan dan hukuman yang dijatuhkan tanpa sebarang pembicaraan adalah satu jenayah syariah. Fatwa yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin Syiah itu amat berbahaya kerana ia seolah-olah memberikan lesen dan lampu hijau kepada sesiapa sahaja, pada bila-bila masa, untuk membunuh Salman Rushdie dan mereka yang bersengkongkol dengannya. Akibatnya, Hitoshi Igarashi, iaitu penterjemah novel The Satanic Verses ke dalam bahasa Jepun telah mati ditikam pada bulan Julai 1991.

    Sekarang beritahu saya, undang-undang hudud dan enakmen syariah mana yang membenarkan umat Islam menjatuhkan hukuman mati kepada orang lain sewenang-wenangnya? Hukum qisas juga tidak sah di sini kerana Salman Rushdie tidak membunuh sesiapa. Beberapa bulan yang lalu, saya ada melihat satu video yang mungkin tidak ramai yang sanggup melihatnya.

    Video ini memaparkan bagaimana seorang budak yang baru hendak masuk alim baligh telah disuruh oleh askar-askar Taliban untuk menyembelih hidup-hidup (dan dia menurutinya!) seorang lelaki yang didakwa menjadi perisik kepada Amerika. Jika pun lelaki tersebut adalah perisik kepada Amerika, maka atas dasar apa bagi kita umat Islam, satu umat yang dimuliakan oleh Allah, mahu mencabut nyawa orang sewenang-wenangnya? Ini pemikiran yang berbahaya!

    Kita mahu generasi Islam di masa hadapan berfikir menggunakan otak dan akal, dan bukan menggunakan perut dan nafsu. Jika Salman Rushdie meminta maaf kepada umat Islam, maka maafkan dia. Renung kembali peristiwa Perang Badar, maka kita akan memperolehi ilmu pemaaf seperti Nabi. Dendam berusia 18 tahun jika tidak dimaafkan akan menghasilkan permusuhan yang lebih dahsyat suatu hari nanti.

    Wajarkah Salman Rushdie Mendapat Pangkat Sir?

    Salman Rushdie menimbulkan kontroversi kedua selepas 18 tahun isu The Satanic Verses. Ada garis perbezaan jelas di antara kontroversi pertama dan kedua, yang pertama ia ditimbulkan oleh Salman Rushdie sendiri. Gelombang kedua pula bukan berpunca dari Salman Rushdie, sebaliknya tercetus gara-gara Ratu Elizabeth mahu memberikan anugerah Knighthood kepada Salman Rushdie.

    Jika Salman Rushdie mendapat Knighthood maka beliau akan mendapat pangkat Sir (pangkat Dame diberikan kepada perempuan). Pangkat Sir ini lebih kurang sama sahaja taraf dan darjatnya jika dibandingkan dengan pangkat Datuk di Malaysia, cuma Sir mendapat pengiktirafan yang lebih meluas di mata masyarakat dunia. Saya mencari-cari sebab mengapa Salman Rushdie hendak diberikan anugerah yang dipandang hebat ini. Apakah sumbangan beliau kepada masyarakat di United Kingdom secara khususnya, dan dunia secara amnya?

    Pada pendapat saya, Salman Rushdie layak mendapat pangkat Sir. Saya telah buat satu kenyataan yang kontroversi dan izinkan saya membuat justifikasi ke atas kenyataan saya ini. Sila jangan bunuh saya.

    Pemilihan Salman Rushdie sebagai calon Knighthood bukan dipilih sendiri oleh Ratu Elizabeth. Ratu Elizabeth telah mewakilkan beberapa buah organisasi untuk mencari individu-individu berkelayakan untuk dianugerahkan Knighthood. Dalam kes Salman Rushdie, organisasi tersebut adalah English Pen.

    Saya memandang Salman Rushdie sebagai musuh Islam, tetapi ini tidak bermakna saya boleh suka-suka hati melaksanakan fatwa Ayatollah Khoemini itu. Saya benci dengan fitnah yang ditulisnya di dalam buku The Satanic Verses, saya kesal kerana beliau dilahirkan sebagai seorang Muslim tetapi tidak hidup sebagai seorang Muslim yang tulen, dan saya jadi bertambah pelik apabila perkahwinan keempatnya dengan seorang model India-Amerika, Padma Lakshmi telah dijalankan di dalam tradisi agama Hindu. Bagi saya, Salman Rushdie adalah seorang individu yang mengalami krisis agama di dalam dirinya dan beliau lebih banyak menggunakan akal dan rasional, berbanding wahyu Allah, di dalam kehidupan sehariannya.

    Mengiktiraf Kebolehan Musuh

    Kadang-kala dalam hidup ini kita perlu berpijak pada realiti dan mengakui apa yang hak. Saya benci untuk mengatakan ini, tetapi saya perlu mengatakan bahawa Salman Rushdie adalah antara tokoh yang hebat dalam bidang sastera. Beliau cuma tersalah bawa ilmu, dan jika beliau kembali ke pangkal jalan, he is perfect.

    Saya tidak kira semua orang-orang kafir yang hidup di atas muka bumi ini, prejudis dan benci kepada Islam. Jika semua orang-orang kafir itu anti-Islam, mustahil Kongres Amerika boleh melantik Keith Ellison menjadi gabenor pertama beragama Islam di Amerika Syarikat. Dengan cara yang sama juga, saya yakin English Pen bertindak profesional dalam memilih Salman Rushdie untuk mendapat Knighthood setelah mengkaji dan memerhatikan kebolehan dan kemahirannya di dalam bidang sastera.

    Be a cool Muslim. Jangan asyik mahu panas baran. Berdemonstrasi tidak ada salahnya, tetapi jangan sampai berlebih-lebihan. Silap-silap nanti jadi macam dahulu hingga memusnahkan harta benda awam, malah sampai membakar kedutaan Denmark dan Norway di Syria dalam isu gambar kartun Rasulullah. Inikah yang Islam mahu?

    Salman Rushdie layak mendapat Sir disebabkan kerja-kerja sastera yang dilakukannya, tidak lebih dari itu. Dan gambar di bawah ini menunjukkan teks yang terdapat di dalam senarai para penerima Knighthood 2007:



    Ahmed Salman Rushdie, Author. For services to Literature. Inilah baris ayat yang hampir-hampir atau mungkin mencetuskan kontroversi seperti mana isu gambar kartun Nabi oleh akhbar Denmark, Jylland-Postens.

    Masih tidak boleh menerima hakikat kehebatan Salman Rushdie dari segi sastera? Masih mahu buat demonstrasi ganas di jalanan? Silakan. Tetapi sebelum itu, kita lihat bagaimana orang-orang Kristian melawan kembali segala tohmahan yang dibuat oleh Dan Brown dalam novel The Da Vinci Code.

    Jika The Satanic Verses mengguris hati umat Islam, maka The Da Vinci Code pula mengguris hati umat Kristian. Walaupun Dan Brown menegaskan bahawa karya itu cuma satu fiksyen, tetapi orang-orang Kristian tetap bimbang dan tidak suka dengan apa yang Dan Brown lakukan itu. Tetapi adakah mereka buat seperti mana apa yang segilintir umat Islam lakukan dalam kes Salman Rushdie dan dalam isu 12 kartun Nabi?

    Tidak sama sekali! Strategi perang orang-orang Kristian ialah 'intelek lawan intelek', maka lahirlah beberapa buah buku bagi menangkis dakyah-dakyah Dan Brown. Ini apa yang kita mahu. Kita berhujah bahawa The Satanic Verses itu adalah buku yang memfitnah Rasulullah dan memutarbelitkan sirah nabawiyyah, tetapi setelah 18 tahun buku itu dikarang, mana dia buku yang dihasilkan oleh umat Islam untuk menyerang kembali isi-isi fitnah di dalam The Satanic Verses? Mana counter-literature kita?

    Penutup

    Apapun, Salman Rushdie telah melakukan banyak perkara yang mengguris hati umat Islam. Saya tidak ada sebab untuk berterima kasih kepadanya, dan jika pun ada, saya hanya akan berterima kasih kepadanya kerana beliau antara individu yang menentang Racial and Religious Hatred Act 2006 oleh Parlimen Britain. Walaupun akta ini ada baiknya, iaitu ia melindungi seseorang dari dimusuhi dan dibenci semata-mata disebabkan bangsa atau agamanya, tetapi pada masa yang sama juga ia akan menyebabkan kitab-kitab suci seperti Al-Quran dan Bible diharamkan di UK.

    Saya berfikir sekali lagi.. mungkin tiada sebab sama sekali untuk saya berterima kasih kepada Salman Rushdie. Tindakannya menentang akta itu hanyalah disebabkan kecenderungannya kepada freedom of expression. Salman Rushdie adalah seorang manusia yang percaya bahawa apa sahaja yang kita nak cakap, cakapkan sahaja. Tidak hairan beliau telah menyakitkan hati umat Islam sedunia. Beliau perlu sedar bahawa some things are better left unsaid.

    Apabila saya melihat Salman Rushdie mendapat pangkat Sir, saya hanya ada satu impian. Mudah-mudahan, Yusuf Islam yang banyak melakukan kerja-kerja kebajikan, terutamanya dalam bidang keamanan sejagat, juga akan dianugerahkan pangkat Sir oleh Ratu Elizabeth suatu hari nanti. Amin.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Pedagang Dari Venice - 2

    02 Julai 2007 • 15 Komen
    Sambungan dari episod 1
    ---

    Gadis Berpipi Kemerah-merahan

    Siapakah hamba Allah itu? Biarlah ia menjadi rahsia. Mungkin ada yang tahu siapakah gerangan manusia itu. Bagi mana-mana yang sudah tahu, cukuplah setakat tahu seorang dan tidak perlu dihebohkan kepada yang lain. Saya sendiri memang sudah tidak ambil pusing sangat tentang hamba Allah itu. Saya pun sudah membuat kesimpulan bahawa hamba Allah itu berkemungkinan besar dijangkiti sindrom holier than thou dan tidak mahu mendengar pendapat orang lain yang berbeza dengannya. Mengapa?

    Untuk mengelakkan dari berlaku salah faham yang lebih lama, maka saya cuba untuk merapatkan jurang perbezaan di antara saya dan dia. Lalu saya pun membuat komen pada salah satu artikel di blognya yang berkaitan isu wang hantaran perkahwinan yang terlalu tinggi dewasa ini.

    Di dalam artikel tersebut, dia ada juga menulis sesuatu tentang kisah kawannya yang berkenalan dengan seorang wanita yang baik peribadinya, cuma kawannya itu masih belum menatap wajah gadis itu lagi. Menurutnya, kawannya itu jenis yang tidak kisah sangat tentang paras rupa. Asal hati baik, itu sudah memadai. Akan tetapi, hamba Allah ini menasihatkan kawannya itu untuk melihat wajah gadis itu terlebih dahulu.

    Oleh itu, gadis itu pun memberikanlah gambarnya kepada kawan si hamba Allah itu. Tetapi gambar yang diberikan bukanlah gambar sebenar dirinya, dan wajah gadis yang sebenar adalah jauh lebih rupawan dari gambar palsu itu.

    Menurut hamba Allah ini, kawannya itu kacak, manakala gadis di dalam gambar itu tidaklah sepadan dengan dirinya, dengan mendeskripsikan gadis sunti itu sebagai "berkulit gelap dan berjerawat dan memakai tudung dengan menampakkan rambut."

    Hamba Allah ini menasihati kawannya supaya melupakan sahaja anak dara itu, dan mencari wanita yang lebih sepadan dan lebih sopan pada pemakaian. Dan kawannya itu bersetuju. Selepas itu, barulah wanita yang ditolak oleh kawannya itu menunjukkan dirinya yang sebenar. Alangkah terkejutnya member itu. Dan hamba Allah ini mengakhiri artikel tersebut dengan menulis:
    "Akhirnya setelah menolak perempuan itu atas nasihat saya maka selepas itu barulah perempuan bodoh celaka ini muncul semula pada kawan saya dan mempamirkan dirinya yang sebenar dengan sengaja memperlihatkan dirinya yang memang cantik manis, memakai jubah dan bertudung labuh dengan berkulit putih pipi kemerah-merahan.

    Kawan saya merasa menyesal menolak muslimat ini namun saya katakan pada kawan saya bahawa wanita ini hanyalah wanita bodoh yang memiliki wajah dan diri yang cantik tapi jahil dan celaka dan jauh dari pertunjuk sunnah dan bahkan saya doakan pada kawan saya ini mendapat muslimah yang lebih solehah dan semoga wanita ini mendapat lelaki yang sehodoh mungkin sesuai dengan gambar palsu yang diberikan kepada kami.

    Sesungguhnya sunnah yang diajar oleh rasulullah ialah bolehnya lelaki melihat wanita dan wanita melihat kepada lelaki dan hal ini sudah ijmak ulama fuqaha ummah namun masih wujud wanita bodoh berwajah cantik dalam masyarakat Melayu konon hendak menguji lelaki. Sesungguhnya baginda rasulullah sendiri menyukai wanita cantik dan menyuruh supaya melihat dahulu wanita yang ingin dinikahi apakah cantik dan menarik hati.

    Celakalah wanita bodoh ini yang masih hidup dan bernyawa dalam jasad yang tidak berguna pada agama satu sen pun.

    Segala puji hanyalah bagi Allah swt."

    Walaupun saya tidak ada kena mengena langsung dengan watak-watak yang dikisahkan, tetapi saya berasa tidak selesa apabila membaca tulisan-tulisan yang bersifat terlalu judgemental dan holier than thou, lebih-lebih lagi apabila ia ditulis oleeh seorang individu yang saya kira lebih hebat ilmunya dari orang biasa. Saya tak kisah kalau ada yang cuba pusing isu seperti ini dengan berhujah "Tahukah anda bahawa perkataan bodoh dan celaka dalam bahasa Arab itu boleh membawa pengertian begini dan begitu?"

    Apa yang saya kisah, artikel itu ditulis dengan menggunakan laras bahasa Malaysia, dan sasarannya juga adalah orang-orang Malaysia yang kebanyakkannya enggak mengerti sama sekali tentang keajaiban linguistik bahasa Arab, yang mana kadang-kadang satu perkataan Arab itu boleh membawa sampai berpuluh-puluh maksud. Apa yang saya tahu, kalau kita guna perkataan bodoh dan celaka, ia membawa kesan yang mendalam dan mempamerkan konotasi yang sangat menghina dan mengaibkan seseorang jika diukur dari aspek tatabahasa dan norma masyarakat Malaysia.

    Respon

    Maka sebagai saudara seIslam, saya pun menegur hamba Allah itu dengan membuat komen pada artikel itu:
    Assalamualaikum..salam perkenalan.. Idea anta dalam entri ini memang sangat bagus. Sesungguhnya, bida'ah jenis inilah yang patut kita hapuskan dari terus membelenggu umat Islam di serata dunia. Tetapi saya rasa, bahasa yang anta guna agak keras. Kesian wanita tu. Kenapa anta kata: "Celakalah wanita bodoh ini yang masih hidup dan bernyawa dalam jasad yang tidak berguna pada agama satu sen pun."

    Mengapa mahu menghukum wanita itu tanpa kita mengetahui terlebih dahulu sebab-musabab dia berbuat demikian. Entah-entah, wanita itu tidak tahu tentang konsep tersebut. Dan bagaimana anta boleh tahu wanita itu tidak berguna pada agama satu sen pun?

    Anta tahu ke? Entah-entah dia pernah derma 20 sen (lebih dari 1 sen) kat tabung masjid/surau tempat anta belajar. Bersangka baik saudaraku =)

    Oleh kerana berteori bahawa hamba Allah ini jenis yang hanya approve komen-komen yang kena dengan pendirian dan fikrahnya sahaja (dan mengreject komen-komen yang antagonis), maka saya awal-awal lagi berfikir untuk buat back-up komen itu. Komen saya kepada entri yang hamba Allah itu tulis, yang saya letakkan di sini, adalah 100% serupa dengan apa yang saya komen di blognya setahun lebih yang lepas (tetapi kena reject).

    Marah

    Acapkali, tingkahlaku dan akhlak manusia yang rasa lebih bagus dari orang lain akan buat orang di sekelilingnya berasa gelisah. Dakwah kita pada hari ini banyak dicemari dengan unsur-unsur holier than thou. Bila ada unsur ini, kita rasa segala perbuatan kita are justified. Orang lain semuanya salah.

    Toleransi kepada masalah-masalah agama yang bersifat khilaf akhirnya tidak dapat diwujudkan, maka aktiviti-aktiviti menghantar saudara seagama ke dalam neraka semakin bercambah subur ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Mereka lebih memandang hina dan keji saudara sendiri yang melakukan bacaan maulid untuk memperingati Nabi, berbanding orang-orang Islam yang tidak melakukan solat. Syurga adalah milik mereka yang memiliki manhaj A sahaja, manhaj B, C, D hingga Z akan masuk neraka.

    Benci dan marah kita pada orang-orang kafir juga sudah tidak lagi kerana Allah. Tetapi kerana holier than thou. Kita sudah tidak tahu membezakan di antara rakyat Amerika dan kerajaan Amerika, di antara Kafir Harbi dan Kafir Dhimmi. Tidak tahu perbezaan ini adalah resepi kepada ekstrimism.

    Kita marah kepada George W Bush kerana kerajaan White House telah berdosa besar kepada saudara seIslam kita di Palestin, Iraq, dan sebagainya. Kita maki Bush. Kita ludah poster Bush. Kita bakar bendera negara Uncle Sam itu. Kita menyumpah-nyumpah dan melaknat Bush. Tetapi berapa ramai di antara kita yang berdoa supaya Allah membuka pintu hidayah kepada George W Bush?

    Kita lebih cenderung untuk berdoa supaya Allah humban Bush ke neraka berbanding berdoa supaya beliau diberi hidayah. Mengapa? Holier than thou! Kita rasa kita lebih layak masuk syurga berbanding Bush kerana kita holier than him. Selagi mati kita tidak gerenti di dalam keadaan husnul khatimah atau su'ul khatimah, jangan sekali-kali memandang Kristian, Yahudi, Atheist, dan yang lain-lain sebagai low life creature. Umar al-Khattab yang satu ketika dahulu adalah musuh nombor 1 Islam, tetapi akhirnya menjadi pejuang nombor 1 Islam. Atas dasar apa pula musuh-musuh Islam nombor 1 di zaman moden ini, tidak boleh menjadi seperti apa yang berlaku ketika di zaman Rasulullah?

    Ketika dakwah Nabi gagal di Taif, malah Nabi dicederakan oleh para penduduk di situ, Nabi tetap bersabar. Nabi berundur dari Taif dan semasa pulang, Baginda sempat duduk berehat di ladang anggur milik Utbah dan Syaibah bin Rabi'ah yang jaraknya sekitar 3 batu dari Taif. Di situ Nabi berdoa:
    Ya Allah Ya Tuhanku, Kepada Mu aku mengadu lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku dan betapa hinanya aku di kalangan manusia. Ya Tuhan yang paling Penyayang di kalangan yang Menyayangi,

    Engkaulah Tuhan kepada orang-orang yang lemah tertindas. Engkaulah Tuhan ku. Kepada siapakah Engkau serahkan diriku. Adakah kepada orang jauh yang memandangku dengan muka yang masam atau pun kepada musuh yang engkau berikan kepadanya milik untuk menguasai urusanku?

    Jika tidak ada kepada-Mu murka terhadapku, aku tidak peduli , tetapi kemaafan-Mu lebih luas kepada ku. Aku berlindung dengan wajah-Mu yang telah Engkau pancarkan ke arah segala kegelapan, menjadi baiklah di atasnya segala urusan dunia dan akhirat.

    Aku berlindung daripada turunnya ke atas ku murka-Mu atau berlakunya ke atas ku murka-Mu. Kepada Mu pengaduan yang sungguh-sungguh sehingga mencapai keredhaanMu. Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan-Mu. [1]

    Dalam doa Nabi ini, tiada satu ayat pun yang menunjukkan Baginda berang dan dendam kepada penduduk Taif. Dan apabila malaikat penjaga bukit mahu mengofferkan diri untuk menimpakan bukit-bukit besar yang mengelilingi Mekah ke atas penduduk Taif, Baginda menolaknya kerana Baginda berharap agar keturunan Taif yang lahir satu hari nanti akan menyembah Allah yang Esa. Lihat, Baginda ada kuasa tetapi tidak menggunakannya. Ini cara pendakwah zaman dahulu.

    Sekarang bandingkan pada hari ini. Kita lebih sukakan kehancuran kepada orang-orang kafir yang menzalimi kita berbanding hidayah ke atas diri mereka. Saya rasa, jika ada tiba-tiba Malaikat Jibril turun di bumi dan menghulurkan offer untuk menghempap White House, Pentagon dan No 10 Downing Street dengan ketulan-ketulan ais di Kutub Utara, mungkin berebut-rebut umat Islam yang akan bersetuju dengan offer tersebut.

    Apapun dakwah dan jihad yang kita mahu lakukan, buat ia kerana Allah. Jangan kerana marah. Hari ini sifat marah adalah minyak yang menghidupkan sebilangan organisasi-organisasi dakwah.

    Semasa Saidina Ali hampir sahaja membunuh seorang musuh Islam di dalam Peperangan Khandak yang berlaku pada tahun ke-5 Hijrah, tiba-tiba orang yang mahu dibunuhnya itu meludah kepada mukanya. Secara lumrah, pasti Saidina Ali akan makin bersemangat untuk membunuh orang tersebut. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saidina Ali tidak membunuh musuh tersebut, malah pergi meninggalkannya. Kenapa?

    Apabila Saidina Ali ditanya tentang kejadian tersebut, beliau menjawab:
    "Aku berlawan untuk Allah, dan apabila dia meludah ke wajahku, aku bimbang kalau-kalau aku membunuhnya disebabkan dendam dan kebencian." [2]

    Perhatikan hari ini. Berapa banyak dakwah dan jihad yang lebih berlandaskan nafsu amarah?

    Holier than thou + sifat amarah = The worst dakwah ever.

    Nota Kaki

    [1] Dipetik dari Perutusan Hijrah 1428 oleh Ustaz Nasrudin Haji Hassan At Tantawi [lawat]

    [2] Defending the Transgressed by Censuring the Reckless Against the killing of Civilians oleh Sheikh Sidi Muhammad Afifi al-Akiti
    ¶ Teruskan membaca entri ini »