Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label gadis. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label gadis. Papar semua catatan

    Pedagang Dari Venice - 2

    02 Julai 2007 • 15 Komen
    Sambungan dari episod 1
    ---

    Gadis Berpipi Kemerah-merahan

    Siapakah hamba Allah itu? Biarlah ia menjadi rahsia. Mungkin ada yang tahu siapakah gerangan manusia itu. Bagi mana-mana yang sudah tahu, cukuplah setakat tahu seorang dan tidak perlu dihebohkan kepada yang lain. Saya sendiri memang sudah tidak ambil pusing sangat tentang hamba Allah itu. Saya pun sudah membuat kesimpulan bahawa hamba Allah itu berkemungkinan besar dijangkiti sindrom holier than thou dan tidak mahu mendengar pendapat orang lain yang berbeza dengannya. Mengapa?

    Untuk mengelakkan dari berlaku salah faham yang lebih lama, maka saya cuba untuk merapatkan jurang perbezaan di antara saya dan dia. Lalu saya pun membuat komen pada salah satu artikel di blognya yang berkaitan isu wang hantaran perkahwinan yang terlalu tinggi dewasa ini.

    Di dalam artikel tersebut, dia ada juga menulis sesuatu tentang kisah kawannya yang berkenalan dengan seorang wanita yang baik peribadinya, cuma kawannya itu masih belum menatap wajah gadis itu lagi. Menurutnya, kawannya itu jenis yang tidak kisah sangat tentang paras rupa. Asal hati baik, itu sudah memadai. Akan tetapi, hamba Allah ini menasihatkan kawannya itu untuk melihat wajah gadis itu terlebih dahulu.

    Oleh itu, gadis itu pun memberikanlah gambarnya kepada kawan si hamba Allah itu. Tetapi gambar yang diberikan bukanlah gambar sebenar dirinya, dan wajah gadis yang sebenar adalah jauh lebih rupawan dari gambar palsu itu.

    Menurut hamba Allah ini, kawannya itu kacak, manakala gadis di dalam gambar itu tidaklah sepadan dengan dirinya, dengan mendeskripsikan gadis sunti itu sebagai "berkulit gelap dan berjerawat dan memakai tudung dengan menampakkan rambut."

    Hamba Allah ini menasihati kawannya supaya melupakan sahaja anak dara itu, dan mencari wanita yang lebih sepadan dan lebih sopan pada pemakaian. Dan kawannya itu bersetuju. Selepas itu, barulah wanita yang ditolak oleh kawannya itu menunjukkan dirinya yang sebenar. Alangkah terkejutnya member itu. Dan hamba Allah ini mengakhiri artikel tersebut dengan menulis:
    "Akhirnya setelah menolak perempuan itu atas nasihat saya maka selepas itu barulah perempuan bodoh celaka ini muncul semula pada kawan saya dan mempamirkan dirinya yang sebenar dengan sengaja memperlihatkan dirinya yang memang cantik manis, memakai jubah dan bertudung labuh dengan berkulit putih pipi kemerah-merahan.

    Kawan saya merasa menyesal menolak muslimat ini namun saya katakan pada kawan saya bahawa wanita ini hanyalah wanita bodoh yang memiliki wajah dan diri yang cantik tapi jahil dan celaka dan jauh dari pertunjuk sunnah dan bahkan saya doakan pada kawan saya ini mendapat muslimah yang lebih solehah dan semoga wanita ini mendapat lelaki yang sehodoh mungkin sesuai dengan gambar palsu yang diberikan kepada kami.

    Sesungguhnya sunnah yang diajar oleh rasulullah ialah bolehnya lelaki melihat wanita dan wanita melihat kepada lelaki dan hal ini sudah ijmak ulama fuqaha ummah namun masih wujud wanita bodoh berwajah cantik dalam masyarakat Melayu konon hendak menguji lelaki. Sesungguhnya baginda rasulullah sendiri menyukai wanita cantik dan menyuruh supaya melihat dahulu wanita yang ingin dinikahi apakah cantik dan menarik hati.

    Celakalah wanita bodoh ini yang masih hidup dan bernyawa dalam jasad yang tidak berguna pada agama satu sen pun.

    Segala puji hanyalah bagi Allah swt."

    Walaupun saya tidak ada kena mengena langsung dengan watak-watak yang dikisahkan, tetapi saya berasa tidak selesa apabila membaca tulisan-tulisan yang bersifat terlalu judgemental dan holier than thou, lebih-lebih lagi apabila ia ditulis oleeh seorang individu yang saya kira lebih hebat ilmunya dari orang biasa. Saya tak kisah kalau ada yang cuba pusing isu seperti ini dengan berhujah "Tahukah anda bahawa perkataan bodoh dan celaka dalam bahasa Arab itu boleh membawa pengertian begini dan begitu?"

    Apa yang saya kisah, artikel itu ditulis dengan menggunakan laras bahasa Malaysia, dan sasarannya juga adalah orang-orang Malaysia yang kebanyakkannya enggak mengerti sama sekali tentang keajaiban linguistik bahasa Arab, yang mana kadang-kadang satu perkataan Arab itu boleh membawa sampai berpuluh-puluh maksud. Apa yang saya tahu, kalau kita guna perkataan bodoh dan celaka, ia membawa kesan yang mendalam dan mempamerkan konotasi yang sangat menghina dan mengaibkan seseorang jika diukur dari aspek tatabahasa dan norma masyarakat Malaysia.

    Respon

    Maka sebagai saudara seIslam, saya pun menegur hamba Allah itu dengan membuat komen pada artikel itu:
    Assalamualaikum..salam perkenalan.. Idea anta dalam entri ini memang sangat bagus. Sesungguhnya, bida'ah jenis inilah yang patut kita hapuskan dari terus membelenggu umat Islam di serata dunia. Tetapi saya rasa, bahasa yang anta guna agak keras. Kesian wanita tu. Kenapa anta kata: "Celakalah wanita bodoh ini yang masih hidup dan bernyawa dalam jasad yang tidak berguna pada agama satu sen pun."

    Mengapa mahu menghukum wanita itu tanpa kita mengetahui terlebih dahulu sebab-musabab dia berbuat demikian. Entah-entah, wanita itu tidak tahu tentang konsep tersebut. Dan bagaimana anta boleh tahu wanita itu tidak berguna pada agama satu sen pun?

    Anta tahu ke? Entah-entah dia pernah derma 20 sen (lebih dari 1 sen) kat tabung masjid/surau tempat anta belajar. Bersangka baik saudaraku =)

    Oleh kerana berteori bahawa hamba Allah ini jenis yang hanya approve komen-komen yang kena dengan pendirian dan fikrahnya sahaja (dan mengreject komen-komen yang antagonis), maka saya awal-awal lagi berfikir untuk buat back-up komen itu. Komen saya kepada entri yang hamba Allah itu tulis, yang saya letakkan di sini, adalah 100% serupa dengan apa yang saya komen di blognya setahun lebih yang lepas (tetapi kena reject).

    Marah

    Acapkali, tingkahlaku dan akhlak manusia yang rasa lebih bagus dari orang lain akan buat orang di sekelilingnya berasa gelisah. Dakwah kita pada hari ini banyak dicemari dengan unsur-unsur holier than thou. Bila ada unsur ini, kita rasa segala perbuatan kita are justified. Orang lain semuanya salah.

    Toleransi kepada masalah-masalah agama yang bersifat khilaf akhirnya tidak dapat diwujudkan, maka aktiviti-aktiviti menghantar saudara seagama ke dalam neraka semakin bercambah subur ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Mereka lebih memandang hina dan keji saudara sendiri yang melakukan bacaan maulid untuk memperingati Nabi, berbanding orang-orang Islam yang tidak melakukan solat. Syurga adalah milik mereka yang memiliki manhaj A sahaja, manhaj B, C, D hingga Z akan masuk neraka.

    Benci dan marah kita pada orang-orang kafir juga sudah tidak lagi kerana Allah. Tetapi kerana holier than thou. Kita sudah tidak tahu membezakan di antara rakyat Amerika dan kerajaan Amerika, di antara Kafir Harbi dan Kafir Dhimmi. Tidak tahu perbezaan ini adalah resepi kepada ekstrimism.

    Kita marah kepada George W Bush kerana kerajaan White House telah berdosa besar kepada saudara seIslam kita di Palestin, Iraq, dan sebagainya. Kita maki Bush. Kita ludah poster Bush. Kita bakar bendera negara Uncle Sam itu. Kita menyumpah-nyumpah dan melaknat Bush. Tetapi berapa ramai di antara kita yang berdoa supaya Allah membuka pintu hidayah kepada George W Bush?

    Kita lebih cenderung untuk berdoa supaya Allah humban Bush ke neraka berbanding berdoa supaya beliau diberi hidayah. Mengapa? Holier than thou! Kita rasa kita lebih layak masuk syurga berbanding Bush kerana kita holier than him. Selagi mati kita tidak gerenti di dalam keadaan husnul khatimah atau su'ul khatimah, jangan sekali-kali memandang Kristian, Yahudi, Atheist, dan yang lain-lain sebagai low life creature. Umar al-Khattab yang satu ketika dahulu adalah musuh nombor 1 Islam, tetapi akhirnya menjadi pejuang nombor 1 Islam. Atas dasar apa pula musuh-musuh Islam nombor 1 di zaman moden ini, tidak boleh menjadi seperti apa yang berlaku ketika di zaman Rasulullah?

    Ketika dakwah Nabi gagal di Taif, malah Nabi dicederakan oleh para penduduk di situ, Nabi tetap bersabar. Nabi berundur dari Taif dan semasa pulang, Baginda sempat duduk berehat di ladang anggur milik Utbah dan Syaibah bin Rabi'ah yang jaraknya sekitar 3 batu dari Taif. Di situ Nabi berdoa:
    Ya Allah Ya Tuhanku, Kepada Mu aku mengadu lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku dan betapa hinanya aku di kalangan manusia. Ya Tuhan yang paling Penyayang di kalangan yang Menyayangi,

    Engkaulah Tuhan kepada orang-orang yang lemah tertindas. Engkaulah Tuhan ku. Kepada siapakah Engkau serahkan diriku. Adakah kepada orang jauh yang memandangku dengan muka yang masam atau pun kepada musuh yang engkau berikan kepadanya milik untuk menguasai urusanku?

    Jika tidak ada kepada-Mu murka terhadapku, aku tidak peduli , tetapi kemaafan-Mu lebih luas kepada ku. Aku berlindung dengan wajah-Mu yang telah Engkau pancarkan ke arah segala kegelapan, menjadi baiklah di atasnya segala urusan dunia dan akhirat.

    Aku berlindung daripada turunnya ke atas ku murka-Mu atau berlakunya ke atas ku murka-Mu. Kepada Mu pengaduan yang sungguh-sungguh sehingga mencapai keredhaanMu. Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan-Mu. [1]

    Dalam doa Nabi ini, tiada satu ayat pun yang menunjukkan Baginda berang dan dendam kepada penduduk Taif. Dan apabila malaikat penjaga bukit mahu mengofferkan diri untuk menimpakan bukit-bukit besar yang mengelilingi Mekah ke atas penduduk Taif, Baginda menolaknya kerana Baginda berharap agar keturunan Taif yang lahir satu hari nanti akan menyembah Allah yang Esa. Lihat, Baginda ada kuasa tetapi tidak menggunakannya. Ini cara pendakwah zaman dahulu.

    Sekarang bandingkan pada hari ini. Kita lebih sukakan kehancuran kepada orang-orang kafir yang menzalimi kita berbanding hidayah ke atas diri mereka. Saya rasa, jika ada tiba-tiba Malaikat Jibril turun di bumi dan menghulurkan offer untuk menghempap White House, Pentagon dan No 10 Downing Street dengan ketulan-ketulan ais di Kutub Utara, mungkin berebut-rebut umat Islam yang akan bersetuju dengan offer tersebut.

    Apapun dakwah dan jihad yang kita mahu lakukan, buat ia kerana Allah. Jangan kerana marah. Hari ini sifat marah adalah minyak yang menghidupkan sebilangan organisasi-organisasi dakwah.

    Semasa Saidina Ali hampir sahaja membunuh seorang musuh Islam di dalam Peperangan Khandak yang berlaku pada tahun ke-5 Hijrah, tiba-tiba orang yang mahu dibunuhnya itu meludah kepada mukanya. Secara lumrah, pasti Saidina Ali akan makin bersemangat untuk membunuh orang tersebut. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saidina Ali tidak membunuh musuh tersebut, malah pergi meninggalkannya. Kenapa?

    Apabila Saidina Ali ditanya tentang kejadian tersebut, beliau menjawab:
    "Aku berlawan untuk Allah, dan apabila dia meludah ke wajahku, aku bimbang kalau-kalau aku membunuhnya disebabkan dendam dan kebencian." [2]

    Perhatikan hari ini. Berapa banyak dakwah dan jihad yang lebih berlandaskan nafsu amarah?

    Holier than thou + sifat amarah = The worst dakwah ever.

    Nota Kaki

    [1] Dipetik dari Perutusan Hijrah 1428 oleh Ustaz Nasrudin Haji Hassan At Tantawi [lawat]

    [2] Defending the Transgressed by Censuring the Reckless Against the killing of Civilians oleh Sheikh Sidi Muhammad Afifi al-Akiti
    ¶ Teruskan membaca entri ini »