Kadang-kadang saya akan membaca semula apa yang pernah saya tulis di blog ini. Baru-baru ini saya membaca Tragedi Kampung Berembang.Di dalam pos ini, ada 2 video berkaitan yang dapat memberikan gambaran apakah sebenarnya yang berlaku di kampung tersebut - satu adalah video yang dirakamkan oleh salah seorang saksi tragedi tersebut dan satu lagi adalah video yang diambil dari laman MalaysiaKini.tv.
Perkara yang mengejutkan saya adalah apabila video dari MalaysiaKini.tv mengeluarkan mesej "This video is no longer available" dan apabila saya klik video tersebut, keluar pula mesej di laman YouTube, "This video has been removed due to terms of use violation."
Ini membuatkan saya naik pelik.
Saya cuba mengingati kembali isi kandungan video yang panjangnya selama memakan sebatang aiskrim Magnolia. Mengapa YouTube membuang video tersebut? Adakah video tragedi itu ada terselit aksi-aksi ghairah budak remaja berpakaian sekolah yang agak heboh diperkatakan mutakhir ini? Tiada. Atau adakah video itu ada babak-babak mengerikan yang mana jentolak yang merobohkan rumah-rumah di Kampung Berembang itu turut sama melenyek para penduduk yang berdemonstrasi sehingga terburai kepala otak mereka dan darah memancut di sana-sini? Tiada juga. Tiada 18SX dan tiada juga 18SG. Jadi apakah masalahnya?
Saya juga tidak kira YouTube membuang video tersebut setelah menerima surat amaran keras dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). YouTube memiliki polisi yang berani dan tidak akan membuang video yang di upload oleh pengguna dengan begitu sahaja. Keberanian YouTube ini menyebabkan ia pernah kena block di Thailand dan Turki (sudah pun di unblock). Ia disekat di Turki gara-gara video yang menghina Mustafa Kamal Ataturk, disekat di Thailand pula kerana video yang menghina Raja Thailand.
Bukan 18SX, bukan 18SG dan bukan kerana kecut perut dengan MPAJ yang menjadi hero filem Tragedi Kampung Berembang. Oleh itu saya membuat kesimpulan bahawa video itu dibuang gara-gara masalah akta hakcipta.
Saman dan Hakcipta
Semenjak Google membeli YouTube dengan harga USD1.65 bilion, YouTube telah menjadi sasaran pedagang kapitalis yang semakin galak mahu menyaman YouTube. Selalunya kerana YouTube menyiarkan banyak video-video yang dilindungi oleh akta hakcipta, seperti filem dan rancangan televisyen. Galaknya mereka ini sehingga pernah ada satu syarikat pembekal batang paip yang memiliki domain uTube.com mahu menyaman YouTube gara-gara pelawat yang menggoogle uTube untuk pergi ke YouTube tersalah masuk ke uTube.com. Ini membuatkan uTube.com mengalami masalah kesesakan server yang agak serius.Walaupun isu uTube mahu menyaman YouTube ini bersifat agak lucu, tetapi ini sebenarnya adalah bayangan kasar bagaimana mentaliti rakyat Amerika berfungsi. Tidak puas hati dengan mana-mana individu atau organisasi, maka saman sahaja. Menang saman boleh dapat duit. Bila dapat duit, rasa sakit hati akan hilang. Di zaman ini, wang dilihat sebagai penyelesai segala masalah. Maaf hanya datang setelah duit masuk ke poket. Tiada duit, maka tiada maaf dan tiada toleransi. Google tidak mahu kena saman, maka mahu tidak mahu, gergasi internet ini akan cuba untuk membuang video-video yang dilindungi oleh akta hakcipta.
Salah satu cara untuk YouTube mengetahui video mana yang ada dan tidak ada akta hakcipta adalah melalui surat atau e-mel yang dihantar oleh pemegang asal hakcipta video tersebut. Dalam kes ini, saya boleh gerenti bahawa MalaysiaKini telah meminta YouTube untuk membuang video Tragedi Kampung Berembang tersebut (Kalau tukang upload sendiri yang buang video itu, akan keluar mesej "This video has been removed by the user").
Hakcipta Dalam Berdakwah
Mari kita buang seketika sifat Islamik dalam konotasi perkataan berdakwah itu. Kita fahami maksud dakwah itu dari segi bahasa sahaja, iaitu mengajak kepada sesuatu.Kadang-kadang saya pelik dengan polisi dan sikap beberapa individu dan organisasi yang agak berkira dalam hal-hal berdakwah ini. Dahulu, di akaun YouTube saya, saya ada meletakkan video yang menggambarkan kekejaman rejim Zionis di Palestin. Video ini bukan dibuat oleh saya dan saya kira tidak ada masalah untuk saya menguploadnya memandangkan saya sekadar mahu video ini sampai kepada lebih ramai orang. Dan kedua, saya tidak buat duit dengan mengupload video ini. Niat saya cuma dakwah, iaitu berdakwah kepada orang ramai tentang realiti di Palestin.
Beberapa minggu selepas itu, pembikin asal video tersebut - berbangsa Amerika jika tidak silap, bukan Islam dan merupakan seorang aktivis - membuat komen di video tersebut dan mengatakan lebih kurang:
"Ini video saya yang buat, mengapa awak upload tanpa beri sebarang kredit?"Anda nampak apa yang tidak kena? Kalau kita benar-benar ikhlas dalam berdakwah, maka kita tidak akan begitu kisah dan hirau tentang siapa yang menyebarkan bahan-bahan dakwah yang kita buat itu, asalkan mereka tidak buat keuntungan atas angin. Kita tidak akan kisah kredit itu diberikan atau tidak kepada kita. Saya tidak tahu sama ada si aktivis ini perasan atau tidak bahawa saya letakkan bersama pautan ke laman webnya di bahagian deskripsi video tersebut. (Video kekejaman Zionis itu telah YouTube buang kerana kandungan grafik yang tersangat 18SG).
Begitu juga dalam kes video Kampung Berembang ini. Saya tidak faham mengapa perlu MalaysiaKini mahu video-video milik mereka tidak boleh disiarkan di tempat lain melainkan di MalaysiaKini sahaja? Adakah mereka takut kehilangan pelanggan? Saya tidak mempertikaikan polisi mereka yang mengenakan bayaran kepada pelanggan yang mahu mengakses penuh segala bahan dan berita di MalaysiaKini. Itu hak mereka dan mereka juga memerlukan wang untuk memastikan server berfungsi sempurna. Akan tetapi, mengapa perlu berasa terancam apabila bahan-bahan mereka tersiar di tempat lain? After all, we are in the same boat.
Bayaran langganan yang dikenakan oleh MalaysiaKini.MalaysiaKini juga berdakwah kepada masyarakat, iaitu berdakwah dalam menyampaikan maklumat penting dan isu semasa kepada orang ramai, yang muuuuuuuuuustahil akan disiarkan di dalam akhbar-akhbar utama negara seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Saya tidak melanggan MalaysiaKini kerana kebanyakkan beritanya adalah isi-isi politik.
Saya tidak begitu minat politik dan politik juga mungkin tidak minat saya. Kami saling tidak meminati. Jika saya berkahwin dengan politik, maka perkahwinan ini akan gagal dengan cerai talak tiga kerana saya lebih gemar mendalami LAMP architecture dari mengambil tahu dengan mendalam tentang kisah epik dan kontroversi hangat anak menantu Pak Lah, iaitu Khairy Jamaluddin.
Tetapi bagi sesetengah orang, politik adalah jiwa dan perjuangan hidup mereka. Maka MalaysiaKini mungkin menjadi salah satu sumber rujukan utama. Akan tetapi kalau MalaysiaKini bersifat agak berkira dalam berdakwah, ini boleh membuatkan sesetengah orang berasa tidak seronok berurusan dengan MalaysiaKini. Jika saya adalah orang besar MalaysiaKini, saya akan rasa bersyukur kerana ada orang lain yang upload video tersebut di YouTube. Ini kerana:
- MalaysiaKini akan mendapat publisiti yang lebih meluas. Jangan abaikan kuasa marketing YouTube. Jika tidak, masakan Sky News memiliki channel rasmi di situ. Hatta Perdana Menteri Britain juga ada channel yang khas.
- Video yang terdapat di MalaysiaKini.tv adalah dalam bentuk streaming dan buat masa ini ia boleh diakses secara percuma. Jadi mengapa gusar melainkan ia sesuatu yang berbayar? Apabila mereka sudah lihat di YouTube dan mereka tahu video itu hasil MalaysiaKini, maka ini meningkatkan kebarangkalian mereka untuk pergi ke MalaysiaKini. Ini meningkatkan jumlah trafik harian, menambahkan jumlah pengiklan yang sudi beriklan di situ, dan dalam masa yang sama jimat bandwidth kerana manusia jarang tonton berita yang sama 2 kali, lebih-lebih lagi artikel dan video bersifat berita mempunyai jangka hayat yang pendek - orang tidak baca berita semalam.
Ilmu Dari Google: Don't Be Evil
Slogan Google: Don't be Evil.Don't Be Evil adalah slogan korporat tidak formal Google. Slogan ini menyebabkan Google mendapat imej yang baik di mata masyarakat. Dengan slogan ini, Google berjaya naik dari 2 lelaki yang berkerja di garaj kepada sebuah syarikat yang tersenarai di papan utama NASDAQ dan LSE dalam masa kurang 10 tahun, tanpa memberikan imej yang sangat buruk seperti Microsoft (komuniti komputer sering memandang Micro$oft sebagai evil company). Anda tahu kenapa? Salah satu sebabnya adalah kerana Google memberikan hampir 100% servisnya dengan percuma.
Servis yang diberikan tanpa bayaran ini adalah sangat penting memandangkan Google adalah satu syarikat yang mempunyai pengaruh besar tentang bagaimana orang awam mengakses maklumat di internet. Google boleh sahaja membuat keuntungan singkat dengan mengenakan bayaran kepada beberapa servisnya, namun Google tidak melakukannya. Sebagai contoh, apabila Google membeli Blogger dan Feedburner, kedua-dua servis ini yang pada dahulunya memiliki versi premium telah dijadikan percuma sepenuhnya.
Jika Google agak berkira apabila berurusan dengan orang awam, maka ini akan menimbulkan korupsi dalam syarikat ini, dengan kata lain, maklumat yang diberikan dan teknologi yang dicipta akan dipengaruhi oleh berapa banyak $ yang diterima melalui apa yang dibayar oleh pelanggan. Dalam konteks seorang jurnalis politik pula, apa yang dia tulis akan banyak dipengaruhi dengan banyak mana $ yang diterima.
Walaupun MalaysiaKini boleh mendapat keuntungan dalam jangkamasa singkat dengan mengenakan bayaran kepada pelanggan dan mengenakan hakcipta yang agak ketat pada segala bahan yang disiarkan, tetapi ia memberikan kesan jangkamasa panjang. Sampai satu masa nanti, sama ada esok atau lusa, pelanggan akan tertanya-tanya sama ada mereka benar-benar berjuang dalam misi menyampaikan berita yang ditapis hebat di saluran berita perdana kepada orang awam atau pun atas sebab-sebab yang lain.
Kita semua bersetuju bahawa wang adalah salah satu faktor utama yang menjadikan manusia korup. Kekorupan dalam berdakwah adalah jauh lebih dahsyat dari kekorupan dalam bisnes. Justeru itu, perlu selalu ada reality check dalam apa yang kita perjuangkan supaya orang percaya kepada kita dan ini akan membuatkan dakwah jadi lebih mudah.
Untuk mengelakkan kesan psikologi yang buruk ini, gunakan etika Don't Be Evil ini. Secara mudah, etika ini tidak memberikan keuntungan jangkamasa pendek, tetapi akan memberikan keuntungan jangka masa panjang yang lebih berbaloi:
Don't Be Evil:
Duit lambat masuk tetapi imej korporat terjaga. Pelanggan sentiasa mempercayai syarikat yang mempunyai imej yang baik.
Do Be Evil:
Duit cepat masuk tetapi mencalarkan imej korporat. Pelanggan akan beralih kepada syarikat yang Don't Be Evil. Kita kehilangan pelanggan.
Berikan servis anda sepercuma yang boleh kerana manusia sentiasa sukakan sesuatu yang percuma. Kalau anda jadi penceramah, sila jangan kenakan bayaran mahal-mahal. Acapkali saya mendengar beberapa penceramah motivasi dan agama terkenal tanahair bertaraf $elebriti yang mengenakan bayaran hingga mencecah beribu RM untuk satu sesi motiva$i yang tidaklah selama mana. Kenapa begini?
Oleh itu, kita sebagai umat Islam pula, apabila mengajak manusia kepada Allah, maka jangan terlalu berkira. Sifat berkira ini berlaku apabila dalam hati ada sifat tamak kepada kebendaan. Mari padamkan sifat tamak ini dengan membersihkan hati kita, mudah-mudahan kita akan tidak terlalu berkira dalam berdakwah, dan apabila sudah tidak berkira lagi, insyaAllah dakwah itu akan menjadi ikhlas kerana Allah. Ini mungkin sesuatu yang susah, tetapi saya tidak suruh anda buang sifat berkira ini dalam masa 1 hari 1 malam. Penyucian hati adalah proses sepanjang hayat.
Kalaupun ganjaran kewangan berdakwah dengan berpandu kepada kod etika Don't Be Evil ini tidak selumayan etika Do Be Evil, tetapi saya rasa kita boleh sahaja claim segala apa yang kita terlepas di dunia ini sewaktu kita sudah selamat di Syurga nanti. Mudah-mudahan. Namun sebelum mahu masuk Syurga, Don't Be Evil.
Kalau ada duit lebih di celah-celah dompet, belanjalah sehelai tudung labuh kepada kawan perempuan kita yang tidak pakai tudung itu. Saya suruh belanja sahaja, bukan mengurat anak dara pingatan orang!
Sekian dimaklumkan. ¶ Teruskan membaca entri ini »





