Back to home page

Ustaz Wan Mohd Shaghir

13 April 2007 • 8 Komen Cetak Chenta!
*Dipetik dari Bahrus Shofa. Untuk membaca hasil tulisan Allahyarham Ustaz Wan Mohd Shaghir, boleh melawati blog Ulama Nusantara yang diusahakan oleh saudara MFR.

** Sila lawati juga blog Al-Bazrah.

Khamis, 24 Rabi'ul Awwal 1428 bersamaan 12 April 2007, kita kehilangan satu lagi tokoh ilmuwan lagi ahli tarikh ulama Nusantara dan karya-karya mereka. Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir bin Wan Abdullah rahimahUllah cukup besar jasanya dalam memperkenalkan para ulama kita di Nusantara dan karya-karya mereka.

Boleh dikatakan umur beliau telah dihabiskannya untuk tujuan tersebut kerana kesedarannya terhadap khazanah yang terkandung dalam kitab-kitab karya ulama silam kita dan jasa-jasa mereka.

Semua ini dibuatnya tanpa memikir ganjaran duniawi buat dirinya, semuanya dilakukan dengan ikhlas dan kerana cintanya kepada para ulama tersebut. Beliau mahu agar khazanah peninggalan ulama tersebut terus dihayati oleh generasi kini dan yang akan datang. Agar masyarakat mengenali kehebatan ulama terdahulu dan sumbangan mereka terhadap umat Nusantara dalam menyebar dan memartabatkan Islam di rantau ini.

Beliau telah mengembara ke berbagai tempat untuk mengkaji, mengumpul maklumat dan bahan. Usaha beliau dalam menggali dan mengumpul khazanah itu bukan mudah. Pada usia 12 tahun lagi, beliau sudah mengembara ke seluruh Asia Tenggara bagi menghimpun khazanah itu. Empat dekad mengembara, pelbagai ranjau dihadapi, kini penat jerih dan kesabarannya boleh dibanggakan. Beliau kini memiliki beratus-ratus manuskrip asli sama ada dalam tulisan Jawi atau Arab. Ada antaranya berusia lebih 500 tahun dan tidak boleh didapati di mana-mana perpustakaan, muzium atau arkib di rantau ini.

Dalam usahanya itu, beliau berjaya menghasilkan lebih kurang 100 judul karya asli yang memaparkan biografi ulama, karya, pemikiran, sejarah perjuangan mereka termasuk membuat analisis terhadap mereka. Selain menulis buku, beliau juga aktif mengadakan seminar, membuat kertaskerja-kertaskerja dan menulis berbagai rencana dan artikel. Tulisan-tulisannya pernah mengisi majalah-majalah seperti Dewan Budaya, Majalah Dakwah, Al-Islam dan Jurnal Dewan Bahasa. Dan sejak beberapa waktu dahulu, Utusan Malaysia setiap Isnin memuatkan tulisan beliau memperkenalkan para ulama kita terdahulu.

Dengan ilmu dan bahan yang diperolehnya, Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir boleh dianggap sebagai pakar rujuk manuskrip klasik Melayu dan ulama Nusantara. Apa tidaknya, beliau menjadi tumpuan mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai alam Melayu. Bahkan, tidak kurang 500 pelajar dan pensyarah dari seluruh dunia yang mendapat khidmatnya untuk membuat thesis dan bahan pengajaran mereka.

Maka sewajarnya, jasa dan pengorbanan yang telah dilakukannya kita kenangkan dalam benak sanubari kita. Pemergiannya kembali ke hadrat Allah s.w.t. merupakan satu kehilangan kepada dunia Islam amnya dan dunia Melayu khasnya. Mudah-mudahan Allah membalasi beliau dengan sebaik-baik balasan dan menempatkan beliau bersama dengan para ulama yang beliau kasihi dan para sholihin. Juga semoga sepeninggalan beliau, tempatnya dijadikan ada penggantinya. Allahumma ....aamiin ...... al-Fatihah.

8 Komen Tambah Komen↴

al fatihah...
tak sempat ana nak berguru dgn dia... dr tahun lepas tunggu call bila ustaz dapat mulakan kelas kerana terlalu sibuk... rupanya dia dah pergi dulu

maaf tn rumah, iklan:

bagi yg berminat nak join kami baca Al-Quran (30juz dibahagi2, mcm deenport selalu buat) untuk Almarhum Tn Guru..sila ke
http://www.albazrah.blogspot.com/

albazrah monitor..insyaAllah, ameen

salaam

Tanpa Nama

Iklan diterima dengan redha, malah akan lebih dipromosikan. InsyaAllah.

al-fatihah

Moga2 masih banyak lagi insan dan khalifah mulia seperti Almarhum tuan guru..aamiiin

Tanpa Nama

Innalillahi wa inna ilaihi roji'un..

Tanpa Nama

Man lam yahzan bi mauti l-'alim, fahuwa munafiq.

nnydd

Tanpa Nama

Meski saya hanya bertemu satu kali dalam simposium naskah di Riau pada tahun 2000, saya merasa berhutang budi pada Ustaz karena berbagai informasi yang disediakannya. Semoga arwahnya diterima Allah Swt. amin

Jumpa Ustaz masa tu dia muda sangat dalam lingkungan 30an di Pustaka Indonesia masa tu saya membeli kitab. Berbual seketika dengannya dan menjemput saya ke Pesanteran dia di Kalimantan.

OBA

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.