Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label ketokohan. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label ketokohan. Papar semua catatan

    Lim Guan Eng & Umar Abdul Aziz

    17 April 2008 • 13 Komen
    Semenjak saya mengetahui bahawa Lim Guan Eng pernah dipenjarakan kerana mempertahankan nasib seorang gadis Melayu, sungguh-sungguh saya katakan bahawa saya agak berminat untuk mengikuti perjalanan politik beliau. Lebih-lebih lagi apabila beliau membuat kenyataan bahawa dia mahu mencontohi pentadbiran Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat adil dan saksama itu:
    Kini saya sudah jadi Ketua Menteri dan saya berazam akan mengotakan janji saya untuk menjadi Umar Abdul Aziz... ...dulu semasa saya di penjara, antara orang yang kerap mengunjungi saya ialah Dato' Fadhil Noor (Al Marhum Presiden PAS). Dan dialah yang membekalkan kepada saya buku-buku berkaitan Islam, termasuk satu buku tentang Umar Abdul Aziz. Bermula dari situ saya kenal tokoh yang hebat ini.

    Tentunya kenyataan Lim Guan Eng ini akan dipandang sinis dan prejudis oleh sesetengah orang. Sama ada apa yang beliau nyatakan itu benar-benar ikhlas atau sekadar satu topeng bagi menutup sebuah agenda yang tersembunyi, kita berusaha dan bertawakal sahajalah agar negara kita ini dipimpin oleh mereka yang betul-betul telus dan jujur pada rakyatnya.

    Tidak dinafikan bahawa wujud juga seketika sedikit rasa prejudis di hati saya terhadap Lim Guan Eng. Namun saya berusaha memadamkan rasa prejudis itu apabila saya memikirkan bahawa kalau Allah hendak beri hidayah, musuh nombor 1 Islam seperti Umar al-Khattab pun akhirnya menjadi pejuang Islam yang sangat disegani. Apatah lagi Lim Guan Eng yang tidak pernah memusuhi Islam itu. Prejudis adalah ibarat api yang menghanguskan ikatan perpaduan manusia yang berlainan bangsa mahupun di kalangan bangsa yang sama.

    Sedangkan orang Amerika, British dan banyak lagi masyarakat dunia boleh menjadikan Mahatma Gandhi sebagai idola, walaupun mereka berlainan bangsa dan agama, maka adakah sesuatu yang mustahil jika Umar Abdul Aziz akan benar-benar menjadi idola kepada Lim Guan Eng ketika mentadbir Pulau Pinang?

    Apapun, jangan gaduh-gaduh sangat tentang siapa yang memerintah negara. Yang paling penting, biarlah orang yang memimpin kita itu adil, amanah dan tidak zalim kepada sesiapa. Satu petikan yang saya kutip dari blog A Kadir Jasin ini, amat bermakna untuk kita semua renung dan fikir.
    Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam (bagi) menjaga tanah air kita."

    (Daripada buku Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 13 Ogos '57 oleh Mokhtar Petah, Pustaka Antara 1997).

    Untuk sesiapa yang tidak tahu, Sheikh Abdullah Fahim adalah salah seorang ulama besar Tanah Melayu dan telah menjadi mufti pertama di Pulau Pinang. Beliau juga merupakan datuk kepada Pak Lah.

    ---
    NB: Sebagai nota tambahan, sebahagian ulama berpendapat bahawa jumlah khalifah ar-Rasyidin adalah seramai 5 orang, iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Umar bin Abdul Aziz. Sebagai nota peribadi pula, Umar bin Abdul Aziz adalah tokoh yang paling sangat saya sanjungi di antara kelima-lima orang itu.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Ustaz Wan Mohd Shaghir

    13 April 2007 • 8 Komen
    *Dipetik dari Bahrus Shofa. Untuk membaca hasil tulisan Allahyarham Ustaz Wan Mohd Shaghir, boleh melawati blog Ulama Nusantara yang diusahakan oleh saudara MFR.

    ** Sila lawati juga blog Al-Bazrah.

    Khamis, 24 Rabi'ul Awwal 1428 bersamaan 12 April 2007, kita kehilangan satu lagi tokoh ilmuwan lagi ahli tarikh ulama Nusantara dan karya-karya mereka. Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir bin Wan Abdullah rahimahUllah cukup besar jasanya dalam memperkenalkan para ulama kita di Nusantara dan karya-karya mereka.

    Boleh dikatakan umur beliau telah dihabiskannya untuk tujuan tersebut kerana kesedarannya terhadap khazanah yang terkandung dalam kitab-kitab karya ulama silam kita dan jasa-jasa mereka.

    Semua ini dibuatnya tanpa memikir ganjaran duniawi buat dirinya, semuanya dilakukan dengan ikhlas dan kerana cintanya kepada para ulama tersebut. Beliau mahu agar khazanah peninggalan ulama tersebut terus dihayati oleh generasi kini dan yang akan datang. Agar masyarakat mengenali kehebatan ulama terdahulu dan sumbangan mereka terhadap umat Nusantara dalam menyebar dan memartabatkan Islam di rantau ini.

    Beliau telah mengembara ke berbagai tempat untuk mengkaji, mengumpul maklumat dan bahan. Usaha beliau dalam menggali dan mengumpul khazanah itu bukan mudah. Pada usia 12 tahun lagi, beliau sudah mengembara ke seluruh Asia Tenggara bagi menghimpun khazanah itu. Empat dekad mengembara, pelbagai ranjau dihadapi, kini penat jerih dan kesabarannya boleh dibanggakan. Beliau kini memiliki beratus-ratus manuskrip asli sama ada dalam tulisan Jawi atau Arab. Ada antaranya berusia lebih 500 tahun dan tidak boleh didapati di mana-mana perpustakaan, muzium atau arkib di rantau ini.

    Dalam usahanya itu, beliau berjaya menghasilkan lebih kurang 100 judul karya asli yang memaparkan biografi ulama, karya, pemikiran, sejarah perjuangan mereka termasuk membuat analisis terhadap mereka. Selain menulis buku, beliau juga aktif mengadakan seminar, membuat kertaskerja-kertaskerja dan menulis berbagai rencana dan artikel. Tulisan-tulisannya pernah mengisi majalah-majalah seperti Dewan Budaya, Majalah Dakwah, Al-Islam dan Jurnal Dewan Bahasa. Dan sejak beberapa waktu dahulu, Utusan Malaysia setiap Isnin memuatkan tulisan beliau memperkenalkan para ulama kita terdahulu.

    Dengan ilmu dan bahan yang diperolehnya, Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir boleh dianggap sebagai pakar rujuk manuskrip klasik Melayu dan ulama Nusantara. Apa tidaknya, beliau menjadi tumpuan mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai alam Melayu. Bahkan, tidak kurang 500 pelajar dan pensyarah dari seluruh dunia yang mendapat khidmatnya untuk membuat thesis dan bahan pengajaran mereka.

    Maka sewajarnya, jasa dan pengorbanan yang telah dilakukannya kita kenangkan dalam benak sanubari kita. Pemergiannya kembali ke hadrat Allah s.w.t. merupakan satu kehilangan kepada dunia Islam amnya dan dunia Melayu khasnya. Mudah-mudahan Allah membalasi beliau dengan sebaik-baik balasan dan menempatkan beliau bersama dengan para ulama yang beliau kasihi dan para sholihin. Juga semoga sepeninggalan beliau, tempatnya dijadikan ada penggantinya. Allahumma ....aamiin ...... al-Fatihah.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Mat Saleh 'Alim

    04 Disember 2006 • 7 Komen
    Sheikh Abdul Hakim Murad (SAHM) [1] pada muqaddimahnya menyentuh tentang mentaliti pendakwah-pendakwah Islam sepanjang zaman. Beliau memberikan contoh binaan-binaan masjid yang dibina ketika zaman permulaan dakwah Islam. Masjid-masjid di Jawa, China, Balkan, bahkan di Melaka mempunyai identiti yang unik. Mengapa? Kerana semua masjid-masjid berkenaan seperti Masjid Demak dan Masjid Agung Xi'An di China mempunyai identiti tempatan.

    xian mosque
    Masjid Xian di wilayah Shaanxi, China, telah dibina semasa zaman pemerintahan Maharaja Xuanzong (712-756) yang mengepalai Dinasti Tang. Masjid ini terletak di bahagian timur Jalan Sutera (Silk Road).


    Masjid Demak misalnya sarat dengan seni binaan Jawa zaman Majapahit. Di Xi'An pula, masjidnya tidak ubah seperti pagoda! Masjid-masjid yang dibina ini tidak punya kubah-kubah bulat mahupun menara yang tinggi-tinggi seperti di mana-mana negara Arab. Apa yang cuba disampaikan oleh SAHM ialah pendakwah-pendakwah Islam pada zaman dahulu sebenarnya sangat memahami pemikiran, budaya, adat dan identiti penduduk tempatan. Kedatangan mereka bukanlah untuk mengubah identiti masyarakat setempat secara radikal.

    Di Jawa misalnya, kebudayaan mereka masih tebal dengan animisme [2] dan kepercayaan Hindu. Islah dan dakwah mahu pun tajdid bukanlah proses yang radikal atau pun tergesa-gesa. Bahkan pendakwah-pendakwah dahulu seperti Wali Songo [3] di kepulauan Jawa begitu memahami uslub dakwah yang diwarisi daripada Rasulullah sallahu 'alayhi wassalam yang sensitif dengan kefahaman masyarakat setempat.

    Di kalangan Wali Songo misalnya, mereka sendiri menggunakan nama baru bila berhadapan dengan masyarakat, meskipun nama asal mereka rata-ratanya dalam bahasa Arab. Sunan Ampel misalnya bernama Raden Rahmat. Penggunaan nama Jawa beliau adalah untuk menunjukkan kebersamaan beliau dengan masyarakat setempat, satu metodologi yang cukup berkesan dalam lapangan dakwah. Masjid Demak yang dibina oleh Wali Songo ini misalnya mempunyai senibina Jawa yang sama dengan senibina tempatan pada zaman tersebut.

    Secara tidak langsung, kaedah dakwah yang digunakan oleh Wali Songo ini mendekatkan hati penduduk tempatan dengan mereka. Adat-adat mereka yang tidak bercanggah dengan Islam tidak pernah disentuh. Malahan jika ada yang baik ia akan diteruskan tanpa halangan. Contoh terdekat ialah wayang kulit yang asalnya mempunyai boneka-boneka menyerupai manusia. Kisah-kisah yang diceritakan oleh tukang-tukang karut biasanya berkisar tentang epik Ramayana dan Mahabrata Hindu. Wayang kulit merupakan salah satu sumber hiburan masyarakat ketika itu.

    Oleh itu, adalah tidak bijak jika Wali Songo mengambil pendekatan untuk membid'ahkan, mensyirikkan ataupun melabelkan budaya sebegini dengan label yang keras-keras sehingga menjauhkan manusia daripada Islam. Sebaliknya, para pendakwah ini mengubah bentuk persembahan wayang kulit. Karektor dalam wayang kulit 'dicacatkan' sedikit supaya tidak menyerupai manusia sempurna dan plot penceritaannya digubah supaya tidak lagi berkiblatkan kandungan kitab-kitab epik Hindu. Ini antara kebijaksaan dakwah yang seharusnya dicontohi [4].

    SAHM turut membandingkan sikap dan approach dakwah sebegini dengan sesetengah pendakwah yang ada sekarang. Menurut beliau, ramai pendakwah terutama di dunia Barat ini kurang memahami aspirasi dan kebudayaan penduduk setempat. Lebih malang lagi terdapat segolongan daripada mereka yang mempunyai kefahaman yang kabur tentang konsep bid'ah dan sebagainya.

    Hasilnya, mereka terlalu cepat menghukum amalan-amalan tertentu masyarakat yang sebenarnya boleh diterima dalam Islam. Tidak kurang juga golongan yang mendakwa mereka sebagai pendokong Sunnah dan pembawa aspirasi golongan Salaf-as-Soleh. Tetapi berbahasa Inggeris pun masih gagal meskipun sudah tinggal bertahun-tahun di sini [5]. Apa yang terbentuk ialah satu komuniti yang tidak pernah melakukan reach out terhadap bukan Muslim yang berpotensi untuk menerima Islam. Orang Islam yang berhijrah ke UK, kekal dengan kefahaman dan budaya mereka lantas membina tembok besar daripada masyarakat setempat. Tiada usaha dakwah dan tiada kesungguhan untuk menyampaikan mesej Islam. Yang tinggal cumalah pandangan hina dan negatif mereka terhadap golongan bukan Muslim di UK atau Ireland.

    Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Komuniti Islam tidak kira samada yang menetap atau bermukim di benua ini untuk bekerja ataupun belajar punya tanggungjawab untuk menyampaikan risalah suci sekadar kemampuan mereka. Mengambil posisi dalam politik bukanlah agenda utama umat Islam di Eropah buat masa sekarang. Umat Islam di sini lebih memerlukan usaha dakwah dan pendidikan yang sistematik dari sumber-sumber yang sahih. Bukan daripada golongan pelampau ataupun liberal.

    Dalam masa yang sama SAHM menyatakan kekesalan terhadap reaksi umat Islam yang keterlaluan terhadap sesuatu isu. Contohnya dalam isu karikatur Denmark dan kenyataan Pope mengenai Islam. Tunjuk perasaan atau demonstrasi menurut beliau, bukanlah cara yang paling baik kerana masyarakat bukan Islam di sini tidak begitu ambil pusing tentang mana-mana demonstrasi. Pendidikan dan peningkatan kefahaman Islam adalah satu-satunya cara untuk mengubah persepsi masyarakat bukan Islam terhadap agama kita.

    Beberapa jam bersama beliau bagaikan beberapa minit. Aneh sekali, seorang yang dilahirkan Muslim seperti aku kini belajar dengan seorang British yang dahulunya beragama Kristian. Belajar tentang Islam dan dakwah. Yang lebih aneh, belajar tentang kebudayaan dan sejarah Nusantara daripada seorang mat saleh seperti Sidi Abdal Hakim Murad [6]!

    ----
    Artikel ini ditulis oleh Shafiq Ayman dan ditambah nota kaki ringkas oleh Tawel Sensei. Artikel ini tidak memetik bahagian mukadimah artikel yang asal. Untuk membaca sepenuhnya, sila ke: taimiyyah.blogspot.com

    Sebagai penutup, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah agar merahmati kesembilan-sembilan Wali Songo itu, dan juga para pendakwah Islam lain yang berjaya mengIslamkan nenek moyang kita yang dahulu. Tanpa pendekatan dakwah mereka yang tersangat berhikmah itu, mungkin agama Hindu masih bertapak kuat di wilayah Nusantara ini.



    Nota Kaki

    [1] Artikel ini adalah kesinambungan dari Lawatan Sheikh Abdul Hakim Murad.

    [2] Animisme adalah satu kepercayaan bahawa setiap benda yang ada di sekeliling kita ini mempunyai semangatnya yang tertentu. Contohnya, semangat matahari, semangat angin, semangat tanah dan sebagainya. Dengan memuja semangat-semangat yang tertentu, maka mereka akan beroleh kekayaan dan kemakmuran sepanjang tahun.

    [3] Songo di dalam konteks bahasa Jawa bermaksud sembilan. Sembilan orang Wali Songo itu adalah:
    • Maulana Malik Ibrahim (Sheikh Maghribi)
    • Sunan Ampel (Raden Rahmat)
    • Sunan Giri (Raden Paku)
    • Sunan Bonang (Raden Makhdum Ibrahim)
    • Sunan Drajat (Raden Kasim)
    • Sunan Kudus (Jaa'far Sadiq)
    • Sunan Kalijaga (Raden Mas Said)
    • Sunan Muria (Raden Umar Said)
    • Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah)
    [4] Antara kisah lain yang boleh dikongsi bagi menunjukkan betapa berhikmahnya pendekatan dakwah Wali Songo ini adalah berkaitan Sunan Kudus. Sewaktu Sunan Kudus berdakwah, beliau melarang umat Islam dari menyembelih lembu untuk dimakan. Walaupun dalam Islam, lembu adalah haiwan yang halal dimakan, tetapi beliau melarangnya semata-mata untuk menghormati para penganut Hindu yang memuliakan lembu. Malah, beliau juga pernah menambatkan lembu di hadapan masjid bagi menunjukkan betapa pekanya beliau terhadap kepercayaan penduduk tempatan waktu itu.

    Di katakan bahawa sehingga hari ini, masih terdapat beberapa tempat di kawasan Kudus yang mana penduduk Islamnya tidak menyembelih dan memakan lembu. Ini semata-mata bertujuan untuk menunjukkan tanda hormat mereka kepada para penganut Hindu (jangan salah faham pula! Mereka sekadar menghormati penganut Hindu, dan bukannya mereka beriktikad bahawa lembu haram dimakan kerana ia adalah Tuhan bagi orang-orang Hindu).

    Di samping itu, Sunan Kudus juga telah membina Masjid Kudus (juga dikenali sebagai Masjid al-Aqsa dan Masjid al-Manar) di kota Kudus, Jawa Tengah pada tahun 1549. Masjid Kudus mengekalan ciri-ciri kebudayaan tempatan. Contoh paling jelas boleh dilihat pada menara masjidnya yang mengadaptasikan bentuk candi. Dengan kata lain, rekaan dan senibina arkitek masjid ini adalah hasil gabungan seni Islam dan Hindu.

    masjid kudus
    Menara Masjid Kudus yang meminjam bentuk candi.


    [5] Imam Zaki Badawi (meninggal dunia pada 24 Januari 2006) merupakan bekas Imam Masjid Besar London. Beliau sering menekankan betapa pentingnya para pemimpin Islam dan imam-imam masjid di United Kingdom untuk menguasai bahasa Inggeris. Antara masalah utama imam-imam masjid di UK dan Ireland ialah mereka tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Akhirnya, khutbah Jumaat menjadi hambar dan membosankan. Khutbah Jumaat disampaikan di dalam bahasa Arab, walau pun kebanyakkan yang hadir tidak tahu berbahasa Arab. Ketika bulan Ramadan, Masjid Dublin (dikuasai oleh puak 'Salafi') mengadakan ceramah agama setiap hari selepas waktu Asar. Tetapi cukup menyedihkan apabila bahasa Arab digunakan sepenuhnya. 'Salafus soleh' apa namanya kalau begini! Wake up, kamu bukan berada di Tanah Arab!

    [6] Saya juga berasa aneh. Kalian bagaimana?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Mengenali Tokoh Kemerdekaan: Dr Burhanuddin Al-Helmy

    03 September 2006 • 22 Komen
    Sempena merdeka ini, ada baiknya juga kalau kita memahami serba sedikit tentang seorang tokoh pejuang kemerdekaan Tanah Melayu yang banyak berjasa kepada kita. Dengan memahami dan mengenali tokoh ini, semangat juang dan patriotik kita pasti akan lebih teruja daripada kita sibuk tak tentu pasal mengibarkan Jalur Gemilang di motor kapcai masing-masing, padahal isi dalaman kita macam tong kosong. Dan sebagai ramuan tambahan, kita juga akan lihat sepintas lalu sejarah parti-parti politik di tanah air kita.

    Walau bagaimana pun, separuh dari tulisan saya kali ini adalah bergenre kopi-dan-pasta (copy paste) sebab enjin idea dan tulisan saya lambat benar nak panas dek kerana lama tak menulis. Tokoh yang saya maksudkan di sini adalah Dr Burhanuddin al-Helmy. Antara mutiara kata beliau yang selalu disebut-sebutkan orang ialah: "Di atas robohan kota Melaka kita dirikan jiwa merdeka."

    Dr Burhanuddin ini adalah seorang tokoh agama yang disegani di zaman pra dan pasca-kemerdekaan. Kalau zaman tersebut sudah ada istilah Protaz, maka layaklah beliau menyandang gelaran tersebut memandangkan beliau juga adalah seorang doktor homeopati. Tetapi kita patut bersyukur kerana beliau tidak memperjuangkan benda yang remeh-temah seperti kebanyakkan protaz hari ini.

    Dr Burhanuddin adalah antara orang-orang kuat dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945. Antara tokoh-tokoh penting yang lain dalam PKMM ialah Pak Sako, Mokhtaruddin Lasso, dan Ahmad Boestaman. PKMM adalah parti kedua di Tanah Melayu yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. Parti pertama adalah Kesatuan Melayu Muda, KMM yang ditubuhkan pada tahun 1938. Sesetengah orang salah faham dengan menganggap UMNO adalah parti pertama yang membela nasib bangsa Melayu. Padahal begitu banyak lagi parti-parti Melayu sebelum UMNO seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA), dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) yang menjadi sayap utama kepada PKMM.

    Tetapi malangnya, kita seolah-olah hanya melihat jasa UMNO tanpa mengetahui jasa-jasa yang ditaburkan oleh parti-parti dan pejuang-pejuang yang sebelumnya. Tanpa hembusan api patriotik dari mereka, UMNO ketika itu pasti tidak boleh berjaya. Namun, kita tetap lupa. Tepat apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir: "Melayu mudah lupa". Dan oleh kerana UMNO adalah parti utama orang-orang Melayu hari ini, maka makin ramai ahli-ahlinya yang semakin lupa kepada sejarah tepat bangsa kita yang semakin membonyot layu ini.

    Berbalik kepada kisah Dr Burhanuddin al-Helmi ini, beliau telah mengalami sepak terajang kemelut kemerdekaan yang berbagai-bagai, seperti dituduh sebagai radikal dan bersifat pengganas oleh British. Malah pada tahun 1948, ramai ahli PKMM dan API yang ditangkap dan dipenjarakan. Dipendekkan cerita, Dr Burhanuddin al-Helmi ini juga merupakan Presiden PAS yang ke-3 selepas Dr Hj Abbas Alias.

    Jadi, apa perkara pokok yang saya ingin bawa sebenarnya dengan mendedahkan kisah Dr Burhanuddin al-Helmi dan sejarah parti politik tanah air secara sepintas lalu ini?

    1) Kalau nak berjuang untuk Islam, pastikan bukan berkaitan perkara yang sangat remeh-temeh. Berjuang biar betul-betul. Kita lihat Protaz Prof Dr Burhanuddin. Beliau tahu apa prioriti zamannya, iaitu mendapatkan kemerdekaan. Sebab kalau Tanah Melayu tak merdeka, habis punah akidah anak-anak Islam. Dan habis juga kekayaan Tanah Melayu diambil oleh si puak penjajah. Sekarang kita lihat zaman kita pula. Apakah prioriti kita? Kita jangan terikut-ikut style Protaz zaman sekarang yang kadang-kadang tu mengarut-ngarut idea perjuangannya.

    2) Ketahui sejarah kita yang sebenarnya. Jangan fanatik dengan mana-mana parti, baik PAS, UMNO, Keadilan, Gerakan, MCA, MIC, dan sebagainya. Pastikan kita faham dan selidik terlebih dahulu kenapa kita memillihnya. Jangan main ikut-ikut orang. Pendirian jangan ala-ala lalang ditiup angin.

    3) Ketiganya, Dr Burhanuddin al-Helmi adalah seorang tokoh terbaik untuk memberikan kefahaman kepada kita semua mengapa kaum muda/'Salafi'/Wahhabi (atau apa pun kamu nak panggil sebab nama tak mengubah apa-apa), bukanlah pilihan terbaik untuk kita mengembangkan Islam ini di seantero dunia. Artikel di bawah ini, yang saya petik dari blog Malakian, amat menarik untuk kita semua baca:
    Bagi memudahkan mendekati ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya bagi mencari ilmu di zaman kebendaan dan ilmiah ini, eloklah lebih dahulu mempelajari ilmu fizik kemudian pelajari ilmu metafizik atau maa wara'a al-taba'ah, ilmu falsafah dan ilmu perbezaan antara agama-agama.

    Dalam hal ini rasanya eloklah saya ceritakan sedikit hal-hal saya dengan tasawwuf ini. Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara'nya. Maka saya dari kecilnya dilatih secara wara'nya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjamaah, membaca Quran dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.

    Bila saya lepas belajar ke luar, di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula 'ulama-ulama' kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba'ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, al-Shaukani, [Syeikh] Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni [Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan akhirnya Tantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot.

    Pada saya, tasawwuf dan tariqatnya itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur-aduk dengan bid'ah. Pada saya kitab tasawwuf seperti karangan Imam Ghazali (w.505H/1111M) itu saya pandang seperti madu bercampur racun, kerana saya pandang dari segi bahas fiqh, tafsir dan hadith tidak kuat menurut kaedah rawi dan sebagainya. Ini berlaku di antara 1927 hingga tahun 1940. Pendeknya ilmu tasawwuf saya ketepikan. Nafsu saya tidak mahu langsung kepadanya, apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang 'Malaya jadi Palestin kedua' masih kedengaran diperkatakan orang.

    Maka saya di India saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa'i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu 'Ata'illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula.

    Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif (yang lurus-peny.) ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada 'ulama-ulama 'Syafi'i dan 'ulama-ulama' tasawwuf, sama ada 'ulama-ulama' itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui 'ulama-ulama' fiqh, Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha [se]bagaimana yang diperjuangkan oleh wali songo di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.

    Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik.

    Bila kita halusi intisari alam metafizik dan pengertian alam mithal yang diterangkan 'ulama-ulama' tasawwuf dipandang dari bahas ilmiah hari ini nampaklah kita di mana ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya.

    (Dipetik daripada buku Simposium Tasawwuf dan Tariqah oleh Prof. Dr. Burhanuddin, hlm. 35-38)

    Oleh itu, ahli-ahli PAS jangan mengada-ngada nak terikut-ikut dan terbawa-bawa fahaman Wahhabi ke dalam parti. Ikut nasihat mantan Presiden PAS ini. InsyaAllah selamat hidup kita di dunia dan di akhirat.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »