Sumber dari Google Insights. Keputusan ini hanya melibatkan carian di Google.com sahaja. Puncak paling tinggi yang ditandakan dengan bulatan merah, berlaku pada awal permulaan Ramadhan.
Orang dewasa yang masih merangkak-rangkak membaca al-Quran pun sedikit-sebanyak mahu turut sama menambahkan pahala. Ada 2 sebab utama mengapa lidah mereka masih perlu merangkak di kala kaki sudah pun pandai berlari:
- Pertama kerana semasa kecil dahulu ibu bapa kurang menekankan didikan agama kepadanya;
- Kedua pula kerana sudah tidak pernah membacanya lagi sesudah mereka menyantap pulut kuning sewaktu majlis khatam al-Quran di sekolah rendah dahulu.
Apa pun, yang lepas sudahlah. Sekurang-kurangnya mereka ini ada azam untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Ini sudah tentu jauh lebih bagus dari anak dara yang tiba-tiba mahu melancarkan semula bacaan al-Quran kerana majlis perkahwinannya itu nanti akan diserikan dengan majlis khatam al-Quran yang harus disertainya.
Namun bagaimana sebenarnya mereka yang masih merangkak ini, mahu menjadikan bacaan al-Quran mereka lebih lancar dan betul pula tajwidnya?
Cara terbaik sudah tentunya berguru dengan orang yang lebih arif dan pakar. Cuma masalahnya sifat kita sebagai manusia ini, semakin tua, semakin tinggi ego kita. Bila ego tinggi, segan juga sebenarnya untuk meminta tunjuk ajar tentang perkara-perkara asas dalam agama.
Jadi untuk mengurangkan ketebalan muka, mungkin ada yang akan belajar membaca al-Quran melalui tutorial VCD. Saya sebenarnya sangat skeptikal dengan kaedah VCD jika ia tidak disertakan dengan proses pembelajaran dari 'the real teacher'. Seorang kenalan mak saya, yang pada mulanya bersemangat mahu belajar al-Quran dari mak saya, tiba-tiba membatalkan hasratnya kerana katanya dia sudah membeli satu set VCD belajar membaca al-Quran.
Hal ini membuatkan saya musykil. VCD apakah yang mampu meyakinkannya untuk berguru dengan Ustaz VCD yang sudah tentu tidak dapat menyemak bacaannya nanti. Saya meng-Google untuk mencari mana-mana kedai siber yang menjual VCD belajar membaca al-Quran. Saya jumpa beberapa produk. Ada buatan Malaysia dan Indonesia.
Dari Malaysia, ada satu produk yang mampu mengajar kita membaca al-Quran dalam masa 24 jam. Dari Indonesia pula, ada produk yang menjanjikan bisa (boleh) membaca al-Quran dalam masa 1 jam walaupun seseorang itu masih belum lagi mengenal huruf. Produk Indonesia lebih dahsyat! Situasi ini mengingatkan saya kepada buku Sams Teach Yourself CSS in 24 Hours yang pernah saya beli.
Boleh Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam?
Belajar x Dalam Masa y Jam
Berdasarkan tajuk, buku itu seakan-akan menjamin saya mahir CSS dalam masa 24 jam. Namun sebenarnya ia bersifat hiperbola - ia sekadar satu sensasi untuk melariskan jualannya. Setelah khatam, saya mendapati jika buku itulah yang menjadi guru saya sepanjang masa, maka CSS saya akan selamanya melukut di peringkat beginner.Apa yang saya tahu, di samping membaca banyak tutorial dan artikel tentang CSS di internet, saya juga perlu menelaah beberapa lagi buku-buku lain untuk membolehkan saya memahaminya di peringkat advanced. Kesemua ini memerlukan masa yang jauh lebih lama dari 24 jam!
Lalu saya menyedari bahawa tiada satu pun ilmu yang kita boleh menguasainya dalam masa x jam/hari/bulan/tahun. Mengatakan bahawa sesuatu ilmu itu boleh kita kuasai dalam tempoh masa yang tertentu adalah sesuatu yang tidak wajar. Ini ibarat kita mengatakan bahawa kuantiti ilmu bagi sesuatu bidang itu adalah bersifat tetap dan tidak merangsang kita secara pra-sedar untuk mendalami ilmu yang kita pelajari itu sedalam yang boleh. Penggalian ilmu, tak kiralah ilmu berkaitan Islam atau pun bukan, adalah berlaku sepanjang hayat.
Saya boleh faham jika syarikat yang menghasilkannya memberikan alasan 'untuk tujuan pemasaran'. Ada benarnya juga hujah ini. Para pembeli berkemungkinan besar akan membeli produk yang bernama 'Belajar Membaca al-Quran Dalam Masa 24 Jam' berbanding 'Belajar Membaca al-Quran' atau pun 'Belajar Mengaji Bersama Ustaz Daud'.
Namun cuba fikir elok-elok. Katakan kita masuk ke sebuah kedai. Di kedai itu ada menjual 2 jenis produk minuman teh pengurus badan. Produk teh A membawa slogan 'Kini anda boleh langsing dalam masa 30 hari!' Slogan produk teh B pula 'Kini anda boleh langsing dalam masa 20 hari!' Kedua-dua produk A dan B ini mempunyai tanda harga yang sama. Maka yang mana satu kita akan beli? A atau pun B?
Situasi ini sama seperti produk VCD belajar membaca al-Quran itu. Setelah lebih kurang 4 tahun saya belajar membaca al-Quran sewaktu berada di sekolah agama (rendah), barulah saya boleh membaca al-Quran dengan lancar dan tidak terlalu lintang-pukang tajwidnya. Jika masa yang sebegitu lama boleh dikontotkan menjadi 24 jam, maka apa pula yang menghalangnya dari dikontotkan lagi menjadi 23 jam, 15 jam dan 10 jam? Produk dari Indonesia itu membawa mesej bahawa dengan usaha dan fokus, kita sebenarnya boleh belajar al-Quran dalam masa 1 jam sahaja!
Maka berhati-hatilah dengan apa jua jenis produk yang menjamin anda boleh melakukan atau belajar perkara x dalam masa y jam/hari/bulan. Produk-produk yang bernama sedemikian boleh memberi maklumat yang salah kepada pembeli. Mengapa? Kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran belajar dan menyerap maklumat yang sama.
Walaubagaimana pun, dalam kes belajar membaca al-Quran ini, saya tetap juga menggalakkan agar membeli tutorial dalam bentuk VCD bagi sesiapa yang masih di tahap merangkak. Dengan syarat, jangan lupa juga untuk berguru dengan orang yang lebih arif dari kita.
Sebagai penutup, semoga di era yang mana wujudnya sebilangan umat Islam yang lagaknya seperti para imam mujtahid, kita hanya boleh berharap agar tiada buku Belajar Berfatwa Dalam Masa 24 Jam yang bakal diterbitkan suatu hari nanti!
21 Komen • Tambah Komen↴
Salam Ramadhan...
Saya tak pernah percaya kepada keberkesanan pembelajaran melalui VCD, apatah lagi belajar membaca Quran. Seperti kata Tawel, setiap orang punya tahap penyerapan ilmu yang berbeza. Namun kesungguhan menjadi faktor utama kejayaan sesuatu proses pembelajaran.
Teringat kisah Dr Mohd Shafie bin Mohd Amin, seorang akauntan yang mencipta kaedah menghafal Al-Huffaz. Saya pernah menghadiri ceramahnya di masjid negeri Shah Alam dlm Bicara Ad-Din. Mengagumkan! Dari seorang yg tak tahu membaca Quran walaupun masa tu dah masuk universiti, sehingga menjadi seorang hafiz dlm usia 30 tahun.
Kini dengan anak yang seramai 13 orang, kebanyakannya mmg mahir baca Quran dan 6 dari anak-anaknya sudahpun menyandang gelaran hafiz/hafizah! Ringkasan kisahnya boleh di baca di sini
Ramadhan begitu sinonim dgn tadarus. Kebanyakan masjid dan surau akan menganjurkan majlis tadarus dan sesiapa saja boleh menyertainya. Untuk yang benar-benar mahu memperbaiki bacaan Quran, selepas menyertai tadarus, pasti menjelang akhir Ramadhan, kemahiran dan kelancaran bacaan akan menunjukkan kemajuan. Kerana maksud tadarus itu sendiri ialah 'saling belajar, atau mempelajari secara lebih mendalam'.
Akhir kata dari saya(ceh... macam tulis ucapan/surat le pulak... hehe) anggaplah Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir, kumpulkan kekuatan untuk beribadat dan perbaiki amalan... semoga Allah bermurah hati untuk reserve kan tempat untuk kita di sisi hamba-hambanya yang diredhai. Amin.
Teringat satu kartun yang saya baca sewaktu kecil. Ada seorang wanita yang kurus, dia ingin menjadikan dirinya lebih 'besar'/ berisi. Dia terlihat satu papan tanda kedai yang tertulis promosinya:
"CUBALAH, DALAM SEKELIP MATA ANDA AKAN MENJADI LEBIH BESAR DARIPADA KAMI."
Si wanita ini pun masuk ke kedai itu. Memang benar, sekelip mata saja dia lebih besar daripada pengusaha kedai itu... kerana si pengusahanya betul-betul kurus keding.
Tak sangka ada rupanya buku-buku seperti ini. Puas sudah ku mencari(tapi pasti tak ku beli) :D
Tawel, apa kata kamu keluarkan buku Belajar Bina Blog Yang Baik Dalam Masa 24 Jam? Adik saya pasti akan beratur di kedai untuk mendapatkannya. ;)
PS: Adik saya nak bina blog nama Tiupan (ala-ala Hembusan kononnya) tapi rasa macam tak sesuai je.
@Suara, TQ atas info akauntan tu. Dekat saja rupanya syarikat tu dengan rumah kawan saya.
@alexanderwathern. Macam pernah ku baca juga kartun tu! Sama ada di Ujang atau pun Gila-Gila :)
@Noreena, janganlah ambil nama tu. Nama 'Hembusan' adalah satu kesilapan. Andai boleh ku undur masa, 'Hembusan' tak akan saya pilih.
assalamualaikum tawel
ramadhan al-mubarak
ada2 je kajian tawel ni
try le buat paper
boleh publish :)
Salam ziarah..
Saya setuju dengan Abg Tawel. Kita tak mungkin dapat sesuatu kejayaan dalam masa yang singkat. Mestilah kena ada juhud. Dakwah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam pun mengambil masa 23 tahun.
Blog ni sangat cantik dan saya suka membaca tulisan-tulisan Abg Tawel yang mantap ni. Idea yang melimpah. Hujah yang kuat. Analogi yang selari. Bahasa Melayu yang baku. Alhamdulillah.. Memberi manfaat kepada saya dan semua. Fatahallahu lak!
Saya sudah pun membaca beberapa entry Abg Tawel seperti "4 Tips Memberi Nama Blog" dan "Sikit-Sikit Bidah". Kagum saya membaca hujah yang kukuh drp Abg Tawel dan rakan-rakan. Dan enshAllah saya cuba nak membaca seluruh entry, kerana saya suka dengan penggunaan bahasa Abg Tawel.
Alamak! Banyak sangat memuji tak sihat pula untuk dakwah. Yang baik itu daripada Allah.
Ramadhan kareem..
Blog En Tawel tak pakai mascot Penguin yeah?? Pakai mascot anak ayam pulak....
~~BuahBeluluk~~
kene belajar quran dengan orang yang lebih arif.aku dulu belajar quran dengan ust kamal dan ust nakman.kalo salah tajwid kene sebat...tu leh baca quran sampai sekarang.lepas tu pergi belajar lebih lanjut gan ustaz dan ustzah masjid negeri juga qari dari selangor seperti imam ahmad dan ust ahmad dani....sekarang belajar taranum....belajar quran samada tajwid atau taranum takleh guna cd tak bekesan lansung.dah cube dah kene ada guru...
akum tawel.aku antar email ko tak balas pun.tak tau dapat ke idak email tu kat hang...bulan posa ni byk wat peee....
DUlu kami selalu gi belajar quran kat masjid negeri ramai - ramai.percuma je anjuran unit mubalighah.bulan lepas pun ada pergi.tapi dulu ko tak join kita orang pun tawel..
kat pdg jawa sekarang majlis tadarus diadakan.yang baiknya budak - budak 16 terlibat dalam tadarus tu.ada la dua group.kalo dulu tak de lansung.tak sia - sia perjuangan dari dulu untuk memartabatkan islam...
Belajar membaca Quran dan intipatinya perlu ada Guru... apatah lagi jika belajar menyebutnya dalam tulisan Romawi... jauh tersimpang bunyinya nanti...
@Kak Ida_zy, ok kalau saya buat kajian nanti, akak kena la bersedia untuk buat peer review!
@Syakira_alex, haa tu la jangan puji lebih-lebih. Bahaya..
@Anonymous yang bernama BuahBeluluk, itu maskot Twitter. Penguin ada lagi. Tapi dah jadi kecil duduk kat bawah sekali.
@Anonymous yang kemudian-kemudiannya ni. Alamak, ini orang yang sama atau pun berlainan? Apa pun, kalau nak komen lagi, gunakanlah apa-apa nickname. Senang sikit hamba nak merujuknya.
Tapi rasanya macam orang yang sama. Hehe.. Kalau e-mel tak berbalas, janganlah kecil hati. Sebab hamba ni memang jenis lambat balas emel yang tak bersifat urgent. Ditambah lagi dengan serangan spam, membuatkan kadang-kadang terlepas pandang.
penguin tu bukan macam ayam tapi bocahpitok.belajar quran lebih senang jika dari kecil dididik dengan alquran dan ada semangat keazaman untuk belajar...
Salam Tawel dan pembaca lain...
Cuma ingin berkongsi pautan ini. Laman web ini mempunyai klip video yang bagus untuk makhraj huruf arab.
Allah pernah berfirman ;
Janganlah engkau (wahai yg membaca ayat ini)gerakkan lidahmu(untuk membaca Al-Quran) Kerana hendakkan cepat cepat menguasainya.Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu). Surah Al-Qiyama Ayat 16-17
Ini adalah ayat 'muhqamat'(Surah Al-Imran ayat 7)iaitu ayat yg terang penjelasannya dan merupakan suatu perintah dari Allah kerna membawa perkataan 'Jangan'.Wallahualam..
Menarik tu... macam mana saya nak sertai nya... berapa bayaran nya untuk belajar...
gmana agar bisa ngafalin Qur'an tu lebih cepet? saya selalu lupa and sulit untuk mengingat
saya telah belajar Quran dalam masa 24 jam udah boleh lancar dan join tadarus tanpa seganx lagi.
Belajar alquran semestinya perlu berguru dengan bertalaqqi...tp berbeza kalau yg sudah pandai membaca,meningkatkan kemahiran dgn mula menghafaz alquran...kini pelbagai kaedah boleh dicuba spt kebanyakkan dlm internet.Anda boleh cuba kaedah jibril..sangat realistik
Ya Allah.. Saya amat malu untuk menggunakan nama sebenar. Tapi bagaimana caranya saya nak mengaji Al-Quran? Saya tidak pandai baca langsung. malah kenal huruf pun saya tidak kenal. Kalau saya nak pergi belajar mengaji di luar, saya malu kerana usia saya sudah 26 tahun. Saya harap encik dapat menolong saya.
Ada komen atau soalan?
Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.