Oh ya di samping itu juga, secara Scrabblenya, A₁L₁L₁E₁Y₄C₃A₁T₁S₁ == N₁I₁Z₁₀A₁R₁ = 14 mata. Ini sekadar satu trivia sahaja sebelum kita sembang hal yang mungkin agak berat bagi sesetengah orang.
KUMPULAN ALLEYCATS
Abang saya yang seorang itu minat sungguh dengan Alleycats. Semua album-album Alleycats dia ada. Walaupun saya tidak hidup di zaman keemasan Alleycats, namun gara-gara selalu mendengar lagu mereka yang sering diputarkan oleh abang saya itu, akhirnya saya bolehlah juga dikira sebagai peminat Alleycats. Walaupun kumpulan ini sudah berusia lebih 30 tahun dan penyanyi utamanya sudah pun meninggal dunia baru-baru ini, namun lagu-lagu mereka masih berhantu kepada orang-orang Melayu.Loga dan David Arumugam
Ini sesuatu yang menarik untuk difikirkan memandangkan kumpulan Alleycats adalah satu-satunya pemuzik bukan Melayu yang berjaya mencuri hati pendengar Melayu yang tua mahu pun yang muda dengan begitu berkesan sekali. Saya tidak fikir suara Loga dan David Arumugam yang serak berlemak itu akan memberi kesan yang sama kepada orang-orang Melayu khususnya, dan Malaysia amnya, sekiranya lagu-lagu Tamil atau Inggeris adalah pentas perjuangan mereka.
Dengan kata lain, Alleycats dekat kepada hati para pendengar Melayu kerana bahasa yang menjadi medium komunikasi mereka adalah sama. Bahkan ketika kali pertama saya mendengar lagu-lagu mereka sewaktu saya kecil, tertipu saya dibuatnya kerana menyangka Alleycats adalah sebuah kumpulan muzik Melayu.
MOHAMAD NIZAR
Apabila saya membaca profil Ir Mohamad Nizar Jamaludin, sukar rasanya untuk tidak bergosip dengan beberapa rakan saya tentang alangkah bagusnya jika Nizar ini boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti.Tidaklah sesuatu yang ajaib jika Nizar petah berbahasa Cina memandangkan beliau memang ada darah tersebut. Apabila beliau boleh juga berbahasa Tamil, maka itu adalah satu bonus yang menjadikannya orang paling layak menyandang jawatan politik paling tinggi di negeri Kejo Yeop Kejo selepas berlabuhnya tirai PRU12.
Pengetahuan Nizar dalam dua bahasa ibunda kepada bangsa kedua dan ketiga terbesar di Malaysia ini pastinya akan lebih memudahkan beliau berkomunikasi dengan rakyat. Kalau saya orang India, mesti saya terkesima gembira sambil tersengih-sengih apabila Nizar berbual-bual dengan saya dalam bahasa Tamil. Tidak hairanlah beliau pernah memukau hadirin yang majoritinya berbangsa Cina dalam sebuah forum yang diadakan di Dewan Dou Mu, Ipoh.
Di sinilah letaknya persamaan Nizar dan Alleycats. Jika Alleycats sangat sinonim dengan bangsa Melayu kerana perjuangannya berpentaskan lagu-lagu Melayu, maka Nizar juga mampu meraih sokongan kuat dari semua bangsa di Perak melalui faktor bahasa juga, tetapi dengan beberapa syarat jugalah seperti adil dan bebas rasuah, kerana realiti politik tidak sama seperti dunia hiburan.
BAHASA SEBAGAI AGEN PERPADUAN
Saya tidak percaya budak-budak sekolah yang belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris boleh menjadikan mereka lebih bijak dalam subjek berkenaan. Pelajar sekolah di Finland yang dinobatkan sebagai antara golongan pelajar paling pintar di dunia, tidak mempelajari subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya bahasa ibunda mereka, Finnish, digunakan.Wall Street Journal ada melaporkan tentang keadaan pelajar sekolah di sana dan ia menunjukkan bahawa bahasa Inggeris tidak memainkan peranan yang penting sama sekali. Apa yang relevan adalah teknik dan polisi, yang mana banyak di antaranya akan membuatkan kita berfikir sejenak tentang hala tuju sistem pendidikan negara kita:
High-school students here rarely get more than a half-hour of homework a night... ...Finnish educators believe they get better overall results by concentrating on weaker students rather than by pushing gifted students ahead of everyone else. The idea is that bright students can help average ones without harming their own progress...
..In most countries, education feels like a car factory. In Finland, the teachers are the entrepreneurs... ...While many U.S. parents worry about enrolling their toddlers in academically oriented preschools, the Finns don't begin school until age 7, a year later than most U.S. first-graders...
Sebab itu bagi saya, daripada mengajar budak-budak sekolah subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris, alangkah bagusnya jika mereka ini diajarkan bahasa Tamil dan Mandarin. Dengan cara ini, semua bangsa yang ada di Malaysia ini akan boleh bercakap sekurang-kurangnya empat bahasa. Kalau budak sekolah agama, mereka akan tahu juga bahasa Arab, dan ini menjadikan lima bahasa.
Seandainya ini berlaku, hebat rakyat Malaysia dipandang dunia sebab tiada lagi mana-mana negara setakat ini yang mana majoriti rakyatnya boleh faham dan/atau bertutur dalam sekurang-kurangnya empat bahasa! Taiko-taiko pendidikan di UK juga pasti akan terpegun kerana mereka sendiri juga sedang berusaha memastikan pelajar sekolahnya mempelajari bahasa kedua seperti Mandarin:
The current dominance of the English language poses "serious" economic and political disadvantages for the UK, the study claims... ...Spanish, Mandarin and Arabic are all languages of the future.
Bagi situasi di Malaysia pula, ia lebih membawa kepada perpaduan kaum. Satu-satunya sebab mengapa keluarga John sangat disenangi oleh orang-orang kampung saya adalah kerana mereka sekeluarga mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih dan baik sekali. Sebab itu apabila saya berbual dengan anak lelaki dan perempuan mereka yang lebih kurang sebaya dengan saya, perbualan itu (hatta perbualan yang pertama kali) menjadi sangat mesra seolah-olah saya sedang berbual dengan rakan berbangsa Melayu. Mujur saya tidak jatuh hati pada anak perempuannya yang lawa itu.
Akuilah bahawa kita sebenarnya suka jika orang bangsa lain tahu cakap bahasa kita. Saya pernah tersengih-sengih bila melihat seorang mat saleh menyanyi lagu Renjis-renjis Dipilis sambil memetik gitar kapoknya. Dan saya juga rasa bangga apabila ada Pak Arab yang boleh berkecek Melayu Kelate dengan fasih. Malah saya juga mudah mesra dan suka dengan beberapa orang-orang Arab dan Pakistan di sini yang sesekali menegur saya dalam Bahasa Melayu. Inilah psikologi first impression.
Maka akuilah bahawa begitu jugalah sebaliknya. Orang Cina dan India juga akan jadi lebih rapat dengan orang Melayu jika kita boleh bercakap dalam bahasa ibunda mereka dengan fasih. Kita selalu mahukan agar orang Cina dan India memahami adat dan budaya orang-orang Melayu, namun saya sendiri tidak nampak usaha-usaha pragmatik yang dijalankan bagi merangsang orang-orang Melayu supaya memahami adat dan budaya bangsa lain.
Saya percaya hal ini boleh dilakukan melalui bahasa. Bahasa itu tingkap budaya. Seperti mana yang kita tahu, cerita-cerita rakyat seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin, Sang Kelembai, dan sebagainya, banyak mendokumentasikan budaya-budaya Melayu dalam cara yang tidak formal. Maknanya jika bangsa lain membacanya, mereka secara tidak langsung akan lebih memahami bangsa Melayu itu sendiri.
Saya ada satu soalan yang sesekali dilontarkan kepada diri sendiri dan berusaha menjawabnya tanpa perlu berkhalwat dengan Sheikh Google: "Berapa banyak watak daripada cerita-cerita rakyat bangsa Cina dan India yang aku tahu?" Tak terjawab aku dibuatnya! Ini baru cerita-cerita rakyat, belum masuk bab prosa klasik.
Jangan harapkan agar orang lain memahami kita sekiranya kita sendiri tidak berusaha untuk memahami orang lain.
BAHASA DAN DAKWAH
Nabi Muhammad sallahu alayhi wassalam apabila berjumpa dan berdakwah kepada pelbagai suku Arab, Baginda akan bertutur dalam dialek yang digemari oleh suku tersebut. Maka tidak hairanlah apabila Al-Quran itu sendiri diturunkan dalam 7 jenis qiraat, iaitu tujuh cara bacaan yang berbeza.Ubai bin Ka'ab meriwayatkan bahawa satu hari Malaikat Jibril datang bertemu Rasulullah sallahu alayhi wassalam, lalu berkata Jibril kepada Baginda: "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam satu dialek." Baginda menjawab: "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."
Jibril datang buat kali yang kedua lalu berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam dua dialek." Baginda menjawab, "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."
Jibril datang buat kali yang ketiga lalu berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam tiga dialek." Baginda menjawab, "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."
Jibril kemudian datang lagi buat kali yang keempat dan berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam 7 dialek, dan mana satu pun dialek yang mereka ikut, mereka akan tetap betul."
(Hadith Sahih Muslim, Buku 4, Hadith 1789)
Pengajaran yang kita boleh ambil ialah jika dua pihak menggunakan bahasa yang sama, maka ia akan memudahkan proses komunikasi dakwah itu sendiri, bahkan dapat pula merapatkan jurang perbezaan budaya antara satu sama lain. Allahyarham Imam Zaki Badawi yang pernah bertugas sebagai Imam di Masjid Besar London, sering menyeru imam-imam masjid yang bertaburan di UK agar memberikan khutbah dalam bahasa Inggeris:
I was horrified that none of the other imams could speak English. I was amazed that they didn't understand anything about other religions and were so unfamiliar with western culture.
Sebenarnya ini antara kisah benar perkembangan Islam di negara 'kuffar' pada hari ini. Contoh yang paling dekat dengan saya berlaku di Masjid Dublin. Orang-orang yang kuat pengaruhnya di masjid tersebut ada di antaranya yang telah hidup lebih 10 tahun di sini. Namun, penguasaan bahasa Inggeris mereka agak mengecewakan. Mereka terlalu mengagung-agungkan bahasa Arab, baik dalam khutbah Jumaat mahu pun majlis ilmunya, sedangkan jemaah yang datang bukan semuanya tahu Arab. Pernah satu Ramadhan dahulu, majoriti majlis ilmu yang diadakan selepas Asar telah disampaikan dalam bahasa Arab sepenuhnya (dan tiada terjemahan langsung).
Pernah ada seorang brother Melayu yang menegur polisi tidak bertulis masjid berkenaan, dan kemudian jawab salah seorang orang kuat masjid itu, "You should learn Arabic. This is the language of the Jannah!" Ironi sungguh jawapan yang dilontarkan oleh orang kuat masjid tersebut yang sering melaung-laungkan slogan 'kembali kepada Al-Quran dan Sunnah' dan menganggap pula jemaah mereka sebagai Salafi tulen bak golongan Salafus soleh. Adakah mereka ini tidak pernah mengetahui bahawa golongan nenek moyang mereka yang datang berdagang di Nusantara ini, telah berjaya membawa sinar Islam di sini kerana mereka berusaha keras untuk mempelajari budaya dan bahasa penduduk tempatan?
Hai entahlah Labu. Apa pun yang pasti, daripada dengar lagu Sampaikan Salam Cintaku oleh Alleycats, lebih afdal rasanya jika gegendang telinga itu digegarkan juga dengan lagu Cing Ai Ching Ai oleh Raihan.
Terima kaseyyy kerana membaca sehingga habis!
8 Komen • Tambah Komen↴
Salam...
Entry En. Tawel kali ni memang buat saya senyum tak sudah, memang tak berdaya nak menahan ketawa dari meledak... Terutama bila melihat pautan youtube tentang Pak Arab kecek kelate. Sekali dengar mace bunyi ore Kelate nok kecek loghat KL la pulok. Hahaha... Memang mengagumkan!
Bukan senang nak belajar bahasa asing, tapi tak mustahil kalau ada peluang, kemahuan dan kesungguhan. Erm... satu lagi yang paling penting dan mempercepatkan proses pembelajaran dan penguasaan bahasa ialah keterpaksaan. Contohnya kalau saya dicampakkan ke satu negeri asing seperti di China yang mana tak ada orang yang boleh berbahasa Melayu atau Inggeris, mungkin saya akan lebih cepat belajar bahasa Mandarin atau Kantonis berbanding dengan kalau saya berada diMalaysia dan ambil kelas bahasa Manderin dan berkawan dengan kawan-kawan berbangsa Cina. Saya akan jadi pandai kerana terpaksa...
Teringat satu kisah yg ditayangkan di TV1 tentang seorang warga Malaysia yang tercampak ke Korea diusia remajanya dan bila 'dijejakkasihkan' dengan keluarga asalnya selepas lebih dari 50 tahun, kini tak boleh lagi berbahasa Melayu sebab terlalu lama disana. Sekadar boleh mengira 1-10 dlm bahasa Melayu.
Apapun, saya suka idea En Tawel tentang mengajar subjek tertentu salam bahasa Tamil dan Manderin, ataupun mengadakan subjek bahasa itu disekolah-sekolah... Tapi saya tahu ramai yang akan membantah sebab bukan senang nak menguasai bahasa lain, sepertimana saya yang sehingga kini masih perlu membuka dictionary setiap kali membaca buku dalam bahasa Inggeris... :)
Assalamu'alaikum
hehe.. bangge jadi orang Perak.
Beliau juga dah dapat title Datuk Seri. Beliau juga fasih berbahasa Arab. Wah! 5 bahasa.
Semoga, Melayu di Perak dapat bersatu. Jangan percaya dengan fitnah "pembangkang" yang membelakangkan Sultan. Boleh pulak ADUN tempat saya kata, "kuasa politik Melayu terhakis", sedangkan Sultan melalui pemangkunya telah bertitah, "kuasa politik Melayu tidak terhakis".
Tempat saya masih dikuasai "pembangkang", maklumlah, kawasan kampung. Tapi, rata2 ahli UMNO kata, kalau "deme" letak calon PAS mesti boleh menang. Itu kata ahli2 UMNO yg kebanyakannya elders kat kawasan saya.
Assalamualaikum,
Saya berdoa agar Bahasa Melayu menjadi bahasa perpaduan di Malaysia disamping tidak mengenepikan langsung bahasa dan budaya kaum-kaum lain.
Saya sangat berharap agar pemimpin yang sibuk menekankan pembelajaran bahasa Inggeris dapat meluangkan masa seketika membaca entri ini.
Pada masa yang sama juga pada diri sendiri kerana tidak tahu berbahasa mandarin atau tamil atau hindi sedangkan dari kecil sudah biasa menonton filem-filem hong kong dan india.
salam`alayk~
Nizar menjadi pemangkin kepada saya untuk menjadi seorang yang luar biasa. ;)
p/s: Teringat pada seorang doktor dari Jerman di Jabatan Pediatrik HUSM. Punyalah berusaha untuk berbahasa Inggeris formal. Alih-alih, beliau respon dalam bahasa Melayu Klate! :D
Assalamualaikum.
Akhirnya, saya menulis juga surat @ emel pada Tawel Sensei. Memang saya sudah berniat lama dah untuk menaip padanya. Tapi kerana saya ini lambat dalam menaip, -meskipun sudah banyak menulis- saya asyik cancelkan saja niat saya itu. Sampaikan nak tulis komen untuk entri Tawel pun malas. Cuma baru sekarang inilah ianya terealisasi. Itupun bukan komen kepada entri dan kerana ada sebab-sebab untuk kepentingan diri.
Saya sebenarnya sudah lama membaca blog Tuan Tawel ini. Ingat lagi bagaimana boleh 'tuhyan' kat blog ini. Gara-gara mencari blog sastera pelajar Mesir, dan terjumpa blog Mohd Zaki M. Noor. Bila tengok link-link pilihan beliau, ada tertulis hembusan. Saya klik di situ dan sampai sekarang terus jadi peminat setia. Harap-harap 'tuhyan' saya di sini tak jadi macam 'tuhyan' Bani Israel yang di dalamnya ditimpa dengan pelbagai zillah dan hawam. Huhuhu!
Saya kini sudah ada blog sendiri. Klik sini. Ianya teraspirasi daripada beberapa buah blog termasuk blog Tawel dan saifulislam. Tapi sungguh, sebelum membuat blog itu, saya tak perasan Tawel yang lagi satu blog iaitu ProTajdid. Bila dah siap blog saya itu dan ketika mahu letakkan link hembusan di situ, baru saya perasan Tawel ada blog tersebut.
Bila buka Protajdid, rasa nak menangis pun ada. Rupa-rupanya template kita sama. Ini yang buatkan saya nak tuduh Tawel ciplak blog saya ini -meskipun blog Tawel yang siap terlebih dahulu-. Apa-apa pun saya tidak akan ubah template saya itu. Saya dah letih berbudi bicara dengan imageshack.com. Cuma bila buat perbandingan antara kedua-duanya, saya tengok template Tawel lebih berevolusi daripada saya punya.
Itu yang buatkan saya tulis emel ini, nak minta tolong dari Tawel lah ini.
Tawel sudah lihat blog saya? Lihatlah dulu.
Saya cukup tidak puas hati dengan template itu -meskipun ia cantik- kerana beberapa sebab:
- Bila saya tulis posting yang panjang mesti template itu memaparkan warna biru. Agaknya tak muat warna putih itu. Kalau posting yang pendek tak ada masalah. Tapi serasa saya di ProTajdid tidak kira posting pendek atau panjang, warna biru itu tetap tidak keluar. Kenapa ya? Apa rahsianya? Boleh cerita? tahu tak Tawel tentang masalah ini?
- Tentang saiz tulisan pula, tidak boleh diubah. Kecil begitulah. Mungkin sebab saya gunakan clasic template. Kalau yang baru, kita boleh buat pilihan untuk saiz tulisan samada mahu besar, sederhana atau kecil. Yang ini pula langsung tidak ada pilihan. Saiz itu sahaja yang diboehkan. ProTajdid pula rasanya boleh. Pelik-pelik.
Saya rasa itu sajalah masalah saya yang saya paparkan di sini. Masalah lain itu biarlah saya pergi membawa diri dan cari penyelesaian sendiri. Lagipun saya tak mahu tambah menyusahkan Tawel Sensei yang sentiasa kelihatan sibuk ini.
Lagi satu, nak beritahu yang saya telah 'mencuri' page source Tawel dan letakkan di blog saya dibahagian atas sebelah kanan, page source yang menyuruh pembaca tajdid Internet Explorer kepada Mozilla Firefox itu, .Harap tak kena potong tangan. Huhuhu!
Akhir sekali, bisa tidak saya tahu Tawel ambil template itu dari mana? Kalau tidak bisa, itu tidak mengapa. cuma ini dia link tempat saya memperoleh tempalte saya. Klik sini.
Oklah, sampai sini saja buat kali ini. Harap Tawel boleh tolong, Terima Kaseeyy juga sebab baca.
Assalamualaikum.
salam Tawel..akak ni kalau tak melepak kat blog awak ni...tak leh nak goreng ikan,mesti tak masak punya.kalau nak senaman muka dgn teknik kerutan dan nganga-nganga tu...memang blog awak le tempatnya.
1) hiss akak memang minat le ngan alleycat tu...lagu shahdu, suara merdu..hmm memang kalau mendengar alunannya kepala pun jadi tak berserabut...tak sangka kedua penyanyinya jambang berserabut pulak..haa yg ni akak kurenngg ler.
2)Nizar memang MB yang hebat, bukan kerana profil dirinya yang hebat, bukan juga kerana fasih cakap cina dan India, yang ni semua orang tahu dan orang sebut-sebut. tapi yang orang tak tahu dan tak sebut-sebut ialah 'dia MB paling hensem kat Malaysia''kawan akak dah tolong check dah...confirm !
3)yang pasal bahasa tu akak tak setuju dgn awak..buat pe nya nak belajaq cakap cina sama India kalau kita boleh berkomunikasi ngan baik dalam bahasa malaysia..nak kenal budaya bukan dengan bahasa je..banyak caranya dik. Akak dok di kampung kat kelantan memang kami baik dgn cina kelantan, india pun sama..kenduri kendara saling jemput punya..tak de masalah..Ingat tak masa skolah vernakular dulu ? terukk..terasing dan terpisah, bayangkan cina malaya belajar bahasa cina, cikgu dari cina, buku-buku dari cina dan belajar pasal negara cina...skolah india pun sama...tu yang gomen kita satukan pendidikan..guna bahasa malaysia...cukup le tu..letih belajaq banyak-banyak bahasa...belajaq bahasa inggeris dari dulu sampai le pun dok tunggeng situ lagi..tapi bahasa Arab kena ler..bahasa syurga dan belajaqnya dpt pahala...akak ingat dulu pernah latihan praktikal dgn satu syt. telekomunikasi Jepun (NTT)..selipar jepun tu langsung tak tahu cakap omputih..akak 100 kali lagi terror rasanya...tak de masalah....mulut tak leh cakap tapi kaki tangan boleh hayun tunjuk isyarat okey le..lagi mencabar rasanya..hee...si Jepun tu cuma tahu bahasa dia je tapi boleh go international jugak..
ada cikgu janda kat skolah suruh tanya...mmm U dah kawin ke belom? tima kaseeyy kalau U jawab soalan dia ..
@Mohd Rosma Izudin. Ku terima warkah yang kau tulis di atas, dengan hati terbuka. Tentang template, saya ambil dari tempat yang sama. Tapi saya dah optimized template tu. Tu yang jadi lain sikit.
Masalah yang berlaku pada blog Abqori tu, senang aje nak betulkan kalau dah betul-betul mahir dalam CSS dan HTML. Saya tak tahu berapa banyak pengetahuan Rosma dalam 2 benda tu, jadi saya bagitau secara asas aje la ye.
1) Saiz tulisan kecil - Saya pun guna classic template juga. Dari template blog abqori:
font-family: "Lucida Grande", "Lucida Sans Unicode", "Trebuchet MS", Verdana, Helvetica, sans-serif;
font-size: 12px;
Saya punya:
font-family: Verdana, sans-serif;
font-size: 12px;
Kalau nak saiz tulisan besar, kena pandai-pandai adjust font-family dan font-size.
2) Posting yang panjang akan keluar warna biru
Sebenarnya itu 'bugs' atau kesilapan pada template tu sendiri. Sebab dia guna image sebagai background. Contoh, dimension left image background di bahagian posting ialah 79px × 1792px. Maknanya, bila panjang artikel yang terpapar di skrin komputer itu melebihi 1792px, maka warna biru (#8EB7DA) yang merupakan warna background bagi body, akan terpapar.
Kesimpulan, jangan guna image sebagai background. Ini hint pada apa yang saya buat:
.isiblog {
background-color:#fff;
padding:10px 20px 10px 10px;
margin-right:10px;
margin-top: 0px !important;
border: 8px solid #a6c6e2;
}
----
@Ummuhanah, dah goreng belum ikan tu sekarang? Marah suami nanti sebab lepak-lepak di blog saya ni. Eh tapi silap-silap dah marah pun agaknya sebab akak cakap Nizar = MB paling hensem di Malaysia.
Tentang pembelajaran bahasa Cina dan Tamil. Seperti yang saya tulis, daripada murid-murid sekolah menyalurkan tenaga untuk belajar sains dan matematik dalam BI, lebih elok masa dan tenaga tu digunakan supaya mereka belajar Cina dan Tamil. Maka taklah rasa terbeban sangat. Dan bukanlah juga mereka ini perlu diajar sehingga mampu menulis novel dalam Tamil dan Cina.
Hah, Jepun boleh go international sebab mereka adalah leader dalam bidang teknologi dan kerajaan mereka tak perlu fikir sangat soal perpaduan kaum sebab majoriti besar rakyatnya adalah berbangsa Jepun. Tapi isu yang saya bawa tentang bahasa ni tidak melibatkan agen kemajuan, tapi agen perpaduan yang dibincangkan. Namun dalam masa yang sama, jika ia dibuat dengan betul, ia juga boleh jadi agen kemajuan sebab berdasarkan laporan BBC yang saya letakkan itu: "Spanish, Mandarin and Arabic are all languages of the future. "
Eh tentang soalan terakhir tu, ada rupa orang dah kahwin ke saya ni? Kenapa pula cikgu tu tanya?
Terima kasih Tawel kerana sudi membalas surat saya.
Bila saya mula baca saja surat itu, rasa bersalah pula. Mungkin ayat saya pada surat terdahulu tidak kena. Mungkin ayat-ayat saya itu buatkan Tawel terasa. Mungkin kata ‘Tuhyan’ itu tak sepatutnya ada. Biarlah saya ceritakan dari mula. Sebenarnya, saya menulis komen@surat berkenaan sebaik saja saya selesai membaca entri ini. Entri tentang ulangtahun pertama blog ini. Saya membacanya sehingga komen-komennya sekali. Ramai yang menceritakan tentang bagaimana boleh sampai ke blog Hembusan.
Ada antara mereka yang menggunakan perkataan ‘Sesat’. Jadi terkesan dari itu saya turut menggunakan kata yang sama dalam komen@surat saya, cuma diterjemah ke bahasa yang berbeza. Tapi tak sangka pula idiom yang saya ambil dari mereka itu tak sesuai digunakan di sini.
Maafkanlah saya, ya? Tapi rasanya Tawel udah maafkan. Kalau tidak, tak akan dia kata, kuterima suratmu dengan tangan yang terbuka.
Terima kasih juga kerana mengajar saya bagaimana untuk mengubah tulisan. Alhamdulillah berjaya. Cuma yang tidak, adalah berkenaan warna biru yang sering keluar.
Memang saya kurang pengetahuan dalam membaca CSS dan HTML. Blog saya ini juga saya belajar membuatnya sendiri. Main ‘buat tau’ saja. Jadi bila saya cuba untuk hilangkan warna biru berkenaan berdasarkan apa yang diajar oleh Tawel, saya pun ‘buat tau’ jugalah. Cuma ia tetap tidak berhasil. Dan kerana telah banyak kali mencuba dan kerana rasa telah banyak membuang masa, saya telah mengambil keputusan untuk membiarkan saja. Tambahan lagi minggu depan saya akan mula periksa.
Saya sudah letih. Tanya di Yahoo Answer! Klik sini. Juga tidak ada jawapan yang diterima. Memang meletihkan. Entah ke mana perginya Mat Saleh yang kononnya Hackers No. 1 dunia. Biarlah. Untuk itu saya tangguhkan dahulu sehingga habis periksa.
Maaf, kerana lambat menghantar balasan.
Ada komen atau soalan?
Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.