Hari ini, kata-kata Imam Shafi'i sering dimanipulasi oleh sesetengah golongan yang sering mengkritik mazhab yang empat. Golongan ini cuba menerangkan bahawa apabila seseorang berjumpa dengan mana-mana hadith sahih yang bertentangan dengan pandangan mazhab yang diikuti, maka hadith sahih itu mestilah diberikan keutamaan dan mazhab perlu ditolak. [1]
Sebenarnya, mereka sangat jahil tentang maksud sebenar kata-kata tersebut. Seperti mana Imam Abu Hanifah, Imam Shafi'i juga tidak menujukan kata-katanya itu kepada orang awam - sebaliknya hanya kepada para ulama yang setaraf dengannya. Para ulama terbilang menjelaskan bahawa:
Kata-kata Imam Shafi'i tersebut ditujukan kepada ulama yang berkemampuan untuk membezakan hadith-hadith yang hasan atau tidak hasan, dan hadith-hadith yang memansuhkan atau yang dimansuhkan. Malah, mereka juga berkemampuan untuk mengeluarkan hukum dari dalil-dalil yang ada secara kolektif, mengikut kaedah fiqh yang ada. [2]
Salah satu sebab mengapa kesimpulan ini dibuat adalah kerana Imam Shafi'i dikenali sebagai seorang ulama yang tidak memahami sesuatu dalil dari Al-Quran dan hadith dari sudut luaran sahaja. Rumusan-rumusan oleh Imam Shafi'i seringkali berdasarkan maksud tersirat dalil-dalil yang diketahuinya.
Oleh itu, jelaslah kini bahawa Imam Shafi'i hanya menujukan kata-katanya itu kepada seseorang yang mampu berijtihad yang setaraf dengannya. Malah, kalau pun golongan yang mampu berijtihad ini ingin mendakwa bahawa Imam Shafi'i telah terlepas pandang beberapa hadith sahih, mereka mestilah benar-benar yakin bahawa Imam Shafi'i memang tidak tahu hadith sahih tersebut atau pun tidak tahu bahawa taraf sesuatu hadith itu sebenarnya adalah sahih. Dan hal ini hanya boleh dilakukan dengan mentelaah semua kitab-kitab Imam Shafi'i dan juga kitab-kitab lain yang dikarang oleh anak-anak murid beliau. Syarat-syarat ini sebenarnya adalah amat sukar untuk dipenuhi pada hari ini.
Namun demikian, untuk mendakwa bahawa Imam Shafi'i terlepas pandang mana-mana hadith sahih adalah satu perkara yang agak mustahil. Ia turut diakui mustahil oleh Imam Nawawi kerana ilmu pengetahuan Imam Shafi'i adalah sangat luas dan dalam [3].
Dalam bab Kehandalan Para Imam Mujtahid, kita telah pun mengetahui pandangan seorang anak murid Imam Shafi'i iaitu Imam Ahmad Bin Hanbal, tentang jumlah hadith yang perlu diketahui sebelum seseorang itu boleh bergelar ulama fiqh. Dalam kes ini, Imam Ahmad Bin Hanbal, tanpa perlu dipersoalkan lagi, telah mengiktiraf kefaqihan Imam Shafi'i sebagai seorang ulama memandangkan Imam Shafi'i adalah guru kepadanya. [4]
Ibnu Khuzayma yang dikenali sebagai 'Imam Segala Imam' kerana kehebatannya dalam jumlah hadith yang dihafaznya, telah ditanyakan soalan: "Apakah engkau tahu sebarang hadith sahih yang tidak dimuatkan oleh Imam Shafi'i di dalam kitab-kitabnya?" Ibnu Khuzayma menjawab, "Tidak". [5] Imam Dhahabi pula berkata, "Imam Shafi'i tidak pernah membuat satu kesilapan dalam ilmu hadith". [6]
Maka jelaslah bahawa kata-kata Imam Shafi'i itu membawa pengertian yang logik dan bermakna hanya apabila ia ditujukan kepada para ulama yang setaraf dengan beliau.
InsyaAllah bersambung dalam bab Proses Mensahihkan Hadith. Bab ini sebenarnya sangat panjang, dan ia akan dipecahkan kepada beberapa sub-bab.
Sila baca bab-bab yang lepas supaya anda jadi lebih faham:
- Mengapa Perlu Bermazhab?
- Memahami Al-Quran & Sunnah
- Kriminal Dalam Ijtihad
- Kriminal Dalam Ijtihad II
- Kehandalan Para Imam Mujtahid
- Kehandalan Para Imam Mujtahid II
- Jangan Pandai-Pandai Ijtihad
- Taqlid Kepada Mazhab
Nota Kaki
[1] Kalaulah pendapat golongan ini hendak diterima, maka cuba pertimbangkan hadith sahih Nabi pulang dari Khaibar yang telah pun diperjelaskan dalam bab Kriminal Dalam Ijtihad II.[2] Rujuk Sheikh al-Islam Taqi al-Din al-Subki's, Ma'naa Qawl al-Imam al-Muttalibi Idhaa Sahha al-Hadithu Fahuwa Madhhabi; Ibn al-Salah's Adab al-Mufti wa al-Mustafti; dan jilid pertama al-Majmu': Sharh al-Muhadhdhab oleh Imam Nawawi.
[3] Rujuk bahagian Nota Al-Maqasid, Nawawi's Manual of Islam yang diterjemahkan oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller.
[4] ibid.
[5] Abu Zakariya ibnu Yahya ibnu Sharaf An-Nawawi, Abu Ishaq al-Shirazi, dan Taqi al-Din al-Subki. al-Majmu': Sharh al-muhadhdhab.
[6] Tajuddin al-Subki. Tabaqaat al-Shaafiyya al-Kubra. Diedit oleh Abdul Fattah Muhammad al-Halu dan Mahmud Muhammad al-Tanahi.
---
KOMEN YANG PERLU DIBERIKAN PERHATIAN!
Dalam bab Taqlid Kepada Mazhab, seorang pembaca yang bernama Ustzul telah memberikan satu komen. Sekali lagi beliau telah memberikan komen ke atas bab tersebut. Sila baca komen tersebut, dan juga komen saya ke atas komen beliau. KLIK SINI ¶ Teruskan membaca entri ini »