Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label taqlid. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label taqlid. Papar semua catatan

    9 - Taqlid Kepada Mazhab II

    25 Februari 2006 • 18 Komen
    Kita telah pun memahami maksud sebenar kata-kata Imam Abu Hanifah, iaitu: "Adalah haram bagi mereka yang tidak mengetahui dalil-dalil ku untuk menyatakan pandanganku sebagai satu fatwa". Bab kali ini akan memperjelaskan pula kata-kata Imam Shafi'i: "Apabila sesuatu hadith itu sahih, maka itulah mazhab ku".

    Hari ini, kata-kata Imam Shafi'i sering dimanipulasi oleh sesetengah golongan yang sering mengkritik mazhab yang empat. Golongan ini cuba menerangkan bahawa apabila seseorang berjumpa dengan mana-mana hadith sahih yang bertentangan dengan pandangan mazhab yang diikuti, maka hadith sahih itu mestilah diberikan keutamaan dan mazhab perlu ditolak. [1]

    Sebenarnya, mereka sangat jahil tentang maksud sebenar kata-kata tersebut. Seperti mana Imam Abu Hanifah, Imam Shafi'i juga tidak menujukan kata-katanya itu kepada orang awam - sebaliknya hanya kepada para ulama yang setaraf dengannya. Para ulama terbilang menjelaskan bahawa:
    Kata-kata Imam Shafi'i tersebut ditujukan kepada ulama yang berkemampuan untuk membezakan hadith-hadith yang hasan atau tidak hasan, dan hadith-hadith yang memansuhkan atau yang dimansuhkan. Malah, mereka juga berkemampuan untuk mengeluarkan hukum dari dalil-dalil yang ada secara kolektif, mengikut kaedah fiqh yang ada. [2]

    Salah satu sebab mengapa kesimpulan ini dibuat adalah kerana Imam Shafi'i dikenali sebagai seorang ulama yang tidak memahami sesuatu dalil dari Al-Quran dan hadith dari sudut luaran sahaja. Rumusan-rumusan oleh Imam Shafi'i seringkali berdasarkan maksud tersirat dalil-dalil yang diketahuinya.

    Oleh itu, jelaslah kini bahawa Imam Shafi'i hanya menujukan kata-katanya itu kepada seseorang yang mampu berijtihad yang setaraf dengannya. Malah, kalau pun golongan yang mampu berijtihad ini ingin mendakwa bahawa Imam Shafi'i telah terlepas pandang beberapa hadith sahih, mereka mestilah benar-benar yakin bahawa Imam Shafi'i memang tidak tahu hadith sahih tersebut atau pun tidak tahu bahawa taraf sesuatu hadith itu sebenarnya adalah sahih. Dan hal ini hanya boleh dilakukan dengan mentelaah semua kitab-kitab Imam Shafi'i dan juga kitab-kitab lain yang dikarang oleh anak-anak murid beliau. Syarat-syarat ini sebenarnya adalah amat sukar untuk dipenuhi pada hari ini.

    Namun demikian, untuk mendakwa bahawa Imam Shafi'i terlepas pandang mana-mana hadith sahih adalah satu perkara yang agak mustahil. Ia turut diakui mustahil oleh Imam Nawawi kerana ilmu pengetahuan Imam Shafi'i adalah sangat luas dan dalam [3].

    Dalam bab Kehandalan Para Imam Mujtahid, kita telah pun mengetahui pandangan seorang anak murid Imam Shafi'i iaitu Imam Ahmad Bin Hanbal, tentang jumlah hadith yang perlu diketahui sebelum seseorang itu boleh bergelar ulama fiqh. Dalam kes ini, Imam Ahmad Bin Hanbal, tanpa perlu dipersoalkan lagi, telah mengiktiraf kefaqihan Imam Shafi'i sebagai seorang ulama memandangkan Imam Shafi'i adalah guru kepadanya. [4]

    Ibnu Khuzayma yang dikenali sebagai 'Imam Segala Imam' kerana kehebatannya dalam jumlah hadith yang dihafaznya, telah ditanyakan soalan: "Apakah engkau tahu sebarang hadith sahih yang tidak dimuatkan oleh Imam Shafi'i di dalam kitab-kitabnya?" Ibnu Khuzayma menjawab, "Tidak". [5] Imam Dhahabi pula berkata, "Imam Shafi'i tidak pernah membuat satu kesilapan dalam ilmu hadith". [6]

    Maka jelaslah bahawa kata-kata Imam Shafi'i itu membawa pengertian yang logik dan bermakna hanya apabila ia ditujukan kepada para ulama yang setaraf dengan beliau.

    InsyaAllah bersambung dalam bab Proses Mensahihkan Hadith. Bab ini sebenarnya sangat panjang, dan ia akan dipecahkan kepada beberapa sub-bab.

    Sila baca bab-bab yang lepas supaya anda jadi lebih faham:
    1. Mengapa Perlu Bermazhab?
    2. Memahami Al-Quran & Sunnah
    3. Kriminal Dalam Ijtihad
    4. Kriminal Dalam Ijtihad II
    5. Kehandalan Para Imam Mujtahid
    6. Kehandalan Para Imam Mujtahid II
    7. Jangan Pandai-Pandai Ijtihad
    8. Taqlid Kepada Mazhab

    Nota Kaki

    [1] Kalaulah pendapat golongan ini hendak diterima, maka cuba pertimbangkan hadith sahih Nabi pulang dari Khaibar yang telah pun diperjelaskan dalam bab Kriminal Dalam Ijtihad II.

    [2] Rujuk Sheikh al-Islam Taqi al-Din al-Subki's, Ma'naa Qawl al-Imam al-Muttalibi Idhaa Sahha al-Hadithu Fahuwa Madhhabi; Ibn al-Salah's Adab al-Mufti wa al-Mustafti; dan jilid pertama al-Majmu': Sharh al-Muhadhdhab oleh Imam Nawawi.

    [3] Rujuk bahagian Nota Al-Maqasid, Nawawi's Manual of Islam yang diterjemahkan oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller.

    [4] ibid.

    [5] Abu Zakariya ibnu Yahya ibnu Sharaf An-Nawawi, Abu Ishaq al-Shirazi, dan Taqi al-Din al-Subki. al-Majmu': Sharh al-muhadhdhab.

    [6] Tajuddin al-Subki. Tabaqaat al-Shaafiyya al-Kubra. Diedit oleh Abdul Fattah Muhammad al-Halu dan Mahmud Muhammad al-Tanahi.

    ---
    KOMEN YANG PERLU DIBERIKAN PERHATIAN!
    Dalam bab Taqlid Kepada Mazhab, seorang pembaca yang bernama Ustzul telah memberikan satu komen. Sekali lagi beliau telah memberikan komen ke atas bab tersebut. Sila baca komen tersebut, dan juga komen saya ke atas komen beliau. KLIK SINI
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    8 - Taqlid Kepada Mazhab

    04 Februari 2006 • 13 Komen
    Beritahu saya apa yang anda faham dengan kenyataan Imam Shafi'i yang berikut: "Apabila sesuatu hadith itu sahih, maka itulah mazhab ku." Adakah ia bermaksud apabila anda berjumpa dengan mana-mana hadith sahih yang kelihatan bertentangan dengan pandangan ulama dari mazhab Shafi'i, maka anda harus mengabaikan mereka, dan ikut sahaja hadith tersebut, kerana anda menyangka para ulama mazhab Shafi'i jahil tentang hadith itu? Awas saudaraku!

    Mari kita lihat firman Allah swt di dalam Surah An-Nisa', ayat 83, yang bermaksud: "....kalaulah mereka merujuknya kepada Rasulullah saw dan kepada orang-orang yang berkelayakan dari kalangan mereka, maka tentulah orang-orang yang tugasnya mencari kebenaran dapat mencari (kebenaran itu) ..."

    Pertimbangkan ayat "orang yang tugasnya mencari kebenaran", atau di dalam bahasa Arabnya alladhina yastanbitunahu, merujuk kepada golongan yang mampu membuat inferens dan kesimpulan daripada dalil-dalil Al-Quran dan hadith. Dalam bahasa Arab, proses ini dipanggil istinbat. Dari perkataan istinbat inilah terbitnya perkataan yastanbitunahu.

    Seseorang yang sudah mencapai tahap ini sudah boleh mengeluarkan kesimpulan dari dalil-dalil yang ada. Mereka ini adalah golongan yang tidak perlu bertaqlid kepada mana-mana ulama. Taqlid di sini bermaksud mengikut kesimpulan para ulama lain tanpa mengetahui dalil-dalil yang digunakan oleh ulama tersebut. Inilah peraturan yang diperjelaskan dalam kitab-kitab yang menerangkan kaedah-kaedah fiqh - peraturan ini dinamakan Laysa li al-'alim an yuqallid. Maksudnya, 'Seorang alim (iaitu seorang imam mujtahid yang sudah boleh beristinbat seperti yang dirujuk dalam ayat Al-Quran di atas) tidak boleh sekadar mengikut begitu sahaja pandangan para ulama yang lain' [1]. Dengan kata lain, adalah tidak dibenarkan bagi seseorang mujtahid untuk mengikut imam mujtahid yang lain, melainkan dia tahu dalil-dalil yang digunakan, dan dia mesti bersetuju dengan dalil-dalil tersebut.

    Imam Mujtahid yang utama (iaitu pengasas mazhab yang empat) telah melatih beberapa para ulama yang sudah sampai tahap mampu beristinbat. Contohnya, Imam Shafi'i melatih Imam Muzani. Imam Abu Hanifah pula melatih Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad ibnu al-Hasan al-Shaybani. Pada para pelajar yang seperti inilah Imam Abu Hanifah menujukan kata-katanya: "Adalah haram bagi mereka yang tidak mengetahui dalil-dalil ku untuk menyatakan pandanganku sebagai satu fatwa" [2] dan "Haram bagi seseorang untuk memberikan pendapatku sebagai satu fatwa, melainkan dia tahu dari mana aku mengambil dalil-dalilnya." [3]

    Hari ini telah wujud golongan yang suka mencari masalah, dengan memetik kata-kata Imam Abu Hanifah tersebut secara sambil lewa, seolah-olah kata-kata Imam Abu Hanifah itu ditujukan kepada orang awam - padahal ia ditujukan kepada para pelajarnya yang terlatih. Jika adalah menjadi sesuatu yang haram bagi seorang tukang kayu, nelayan, jurutera, doktor dan sebagainya, untuk melakukan sebarang amal ibadah, sebelum mereka menguasai keseluruhan Al-Quran dan ribuan hadith, di samping turut mahir dalam kaedah-kaedah fiqh untuk memahami Al-Quran dan hadith dan juga untuk menggabungkan dalil-dalil yang ada secara komprehensif, maka mereka hanya ada 2 pilihan - sama ada meletakkan jawatan mereka sebagai jurutera, doktor dan sebagainya, atau pun meninggalkan agama mereka.

    Imam Abu Hanifah sendiri tahu betapa peritnya mencari ilmu. Maka, oleh kerana itulah beliau menujukan kata-katanya yang sering disalah faham itu hanya kepada anak-anak muridnya yang mampu beristinbat. Beliau tidak menujukannya kepada orang awam. Sesiapa yang memetik kata-kata Imam Abu Hanifah ini kepada orang-orang awam, untuk meyakinkan mereka bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi orang awam yang sekadar bertaqlid membabi buta kepada segala rumusan dan kesimpulan yang dibuat oleh para ulama, patut berhenti dan berfikir buat seketika betapa gila kerja ini!

    Apakah mereka ini tidak tahu bagaimana Imam Abu Hanifah menghabiskan seluruh usianya mencari ilmu, dan kemudian menulis kitab-kitab yang menyimpulkan hukum-hukum fiqh yang beliau istinbatkan dari Al-Quran dan hadith. Beliau menulisnya supaya orang awam dapat menjadikannya panduan dan ikutan - iaitu supaya orang awam bertaqlid kepada beliau yang lebih mahir dalam perkara keagamaan.

    Hari ini wujud golongan yang marah tidak tentu fasal kepada orang awam yang bertaklid kepada mazhab. Ini sesuatu yang tidak wajar. Kita telah bertaqlid kepada mazhab yang empat dari generasi ke generasi. Apakah menjadi satu dosa bertaqlid kepada manusia yang sudah benar-benar mahir dalam bidangnya? Kalau benar bertaqlid ini haram mutlak, maka silalah beritahu saya apakah dalil-dalil dari Al-Quran dan hadith yang mengatakan syarat sah mandi junub cuma:
    1. Niat; dan
    2. Meratakan air ke seluruh badan.
    Boleh anda jawab soalan ini sekarang tanpa perlu terkial-kial nak selak Al-Quran dan kitab-kitab hadith? Kalau anda diberi masa 24 jam, belum tentu anda mampu mencari kesemua dalil-dalilnya. Kalau anda tidak boleh menjawab soalan tersebut secara spontan, ini bermakna anda telah pun bertaqlid dan anda telah pun melakukan sesuatu yang haram (jika anda berkeras mengatakan bahawa kata-kata Imam Abu Hanifah itu ditujukan kepada semua orang, dan bukan kepada anak muridnya sahaja). Ini baru bab mandi hadas, tanpa mengira bab solat, puasa, zakat, haji, pembahagian harta pusaka, dan lain-lain. Bolehkah anda memberitahu kepada diri anda sendiri semua dalil-dalil tentang ibadat yang anda lakukan selama ini?

    Dunia ini tidak diciptakan supaya semua orang memahami agama ini dengan begitu mendalam, seperti mana yang dilakukan oleh Imam Shafi'i, Imam Abu Hanifah, dan sebagainya. Sila baca bab Memahami Al-Quran & Sunnah untuk memahami konsep pembahagian tugas.

    Bersambung dalam bab Taqlid Kepada Mazhab II. Bab ini akan menerangkan satu lagi salah faham sesetengah umat Islam kepada kata-kata Imam Shafi'i yang disebutkan pada awal tadi.

    Sila baca bab-bab yang sebelumnya mengikut urutan:
    1 - Mengapa Perlu Bermazhab?
    2 - Memahami Al-Quran & Sunnah
    3 - Kriminal Dalam Ijtihad
    4 - Kriminal Dalam Ijtihad II
    5 - Kehandalan Para Imam Mujtahid

    6 - Kehandalan Para Imam Mujtahid II
    7 - Jangan Pandai-Pandai Ijtihad


    NOTA KAKI
    [1] Abdul Ma'ali al-Juwayni dan Jalaluddin al-Mahalli, Sharh al-Waraqat fi 'ilm usul al-fiqh
    [2] Muhammad al-Hamid, Majmu'a rasa'il al-Shaykh Muhammad al-Hamid
    [3] ibid.

    --------------------------
    UPDATE:
    Merujuk kepada pos Autosurf Menyerang!, baru-baru ini ada berita hangat tentang 12 Daily Pro yang konon-kononnya didakwa sebagai the most trusted autosurf. Sila ke Muslim Diary untuk melihat link video-video klip tentang:
    - BYU Dean Warns Students About Moneymaking (12 Daily Pro)
    - 12 Daily Pro Shuts Down; Investors Wait For Money?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »