Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan

    Buku 2: Hipotesis

    13 Disember 2009 • 8 Komen
    Agak jarang membeli buku kebelakangan ini. Gamaknya ada kaitan dengan kesan hipotesis yang saya tweet lebih setahun lalu:

    "99% daripada manusia yang rajin beli buku, tidak akan membacanya sehingga habis. Manakala 80% daripada baki 1% itu sekadar membacanya ala kadar."


    Kalau mahu, gelarlah ia hipotesis kangkung kerana tiada bukti empirik buat masa ini. Tiadalah saya marah adanya.

    Tapi sebelum hendak dikangkung sebegitu rupa, kepada kau-kau berkenaan yang rajin sangat beli buku: Ada atau tidak sekurang-kurangnya 1 buah buku yang dibeli bermusim dahulu - dengan pengecualian terhadap material seperti kamus, ensiklopedia, buku rujukan, manual dan sewaktu dengannya[1]- yang masih belum dilumat isinya dari kulit ke kulit? Atau jika kau baca kesemuanya, boleh atau tidak kau fahamkan kepada orang lain akan isi-isi penting sebuah buku yang selamat kau khatam pada tahun lepas?

    Jangan buat lawak: Buku seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Harry Potter dan Twilight, tak masuk pot dalam hipotesis liar itu. Kau juga jangan angau sendiri dengan mendabik dada kerana membaca paling kurang 24 buah buku setahun, tetapi bila ditanya apakah ia, majoritinya dari spesis fiksyen tulen.

    Apa pun, definisi membazir ini mudah sahaja. Beli tapi tak guna, maka itulah membazir. Namun tidak seperti kau memborong baju dan kasut berpeti-peti, tiada siapa akan menuduh kau terjelopok di dalam lubang konsumerisme apabila kau membeli buku berkati-kati tapi tak habis dibaca. Sebabnya, ia adalah pembaziran termulia di atas muka bumi ini [2].

    Rugi, bila beli tapi tak baca! Ruginya macam sekadar membelek sahaja 3 course dinner yang kau pesan di Burj al-Arab. Dalam nada yang lebih provokatif: Ruginya macam kau kahwin tapi tak tidur sama.
    ---

    Ada Buku 3. Dulu sudah ada Buku 1.

    Nota Kaki

    ^[1] Bukan semua buku yang dibeli harus dibaca dari depan sampai belakang. Sir Francis Bacon mengungkapkannya dalam bait yang lebih baik:
    Some books are to be tasted, others to be swallowed, and some few to be chewed and digested: that is, some books are to be read only in parts, others to be read, but not curiously, and some few to be read wholly, and with diligence and attention.

    ^[2] Jenis yang paling mulia di kalangan pembaziran termulia ini adalah apabila buku yang dibeli itu adalah al-Quran. Tapi ini bergantung kepada situasi. Contoh:
    • Beli al-Quran yang sangat mahal dan cantik untuk hantaran kahwin. Namun sesudahnya, langsung tidak disentuh.
    • Sedekahkah al-Quran untuk surau atau masjid yang mana jumlah al-Quran yang sedia ada itu sendiri sudah berkali-kali ganda berbanding purata jemaah yang hadir. Lagi baik kau sedekah sahaja kepada masjid/surau itu dalam bentuk duit. Kalau mereka rasa al-Quran tidak cukup, pandai-pandailah mereka beli.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Buku 1: Nikmat

    11 Disember 2009 • 11 Komen
    Terima kasih Gadl!

    Beberapa bulan lalu, saya memperbaharui semula keahlian di Perpustakaan Raja Tun Uda setelah hampir 9 tahun tidak melakukannya. Beberapa kawan saya mengetahuinya. Lalu ada yang gelak, senyum tersinis-sinis macam anak dara sunti dapat kenyitan mata seorang mat kumbang.

    Mereka agak pelik kerana saya sudah pun berkerja dan tidak belajar lagi. Justeru, mahu buat apa lagi pergi merewang ke perpustakaan? Mahu buat apa lagi pinjam buku?

    Kasihan.

    Mereka sudah terlepas satu nikmat daripada 1001 nikmat yang ada di dunia ini: Nikmat membaca; iaitu sejenis nikmat yang boleh buat kau rasa lebih bijak daripada orang lain, namun dalam masa yang sama boleh buat diri rasa bodoh sebab barulah kau sedar banyak benda yang kau tidak tahu tentang dunia dan kehidupan ini.

    Pandai-pandailah untuk kau seimbangkan dua kesan nikmat itu supaya hati tidak ujub.
    ---

    Ada Buku 2. Tunggu.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Beli Buku

    02 Ogos 2009 • 17 Komen
    Semalam saya tersinggah ke Pesta Buku Selangor di Kompleks PKNS. Cadangnya tidak mahu membeli buku, tapi akhirnya terbelilah pula New Malaysian Essays 2. Dapat diskaun RM4 dan sebuah buku percuma Lawan Tetap Lawan. Ada 10 esei yang dimuatkan dalam edisi kedua ini. 9 dalam bahasa mat saleh. 1 dalam bahasa mat melayu.

    gambar buku
    Lawan Tetap Lawan agak menarik juga. Ia mendokumentasi secara ringkas beberapa 'perhimpunan haram' yang pernah terjadi di negara kita. Antara perjuangan rakyat yang disentuh di dalamnya adalah seperti Mogok Utusan Melayu, Peristiwa Baling, Tol Cheras, Anti Radioaktif Bukit Merah, Peristiwa Wabak Nipah dan Reformasi.

    Oh ya, perhimpunan haram rakyat Tanah Melayu bagi membantah Malayan Union* tiadalah pula terdapat di dalamnya.

    Ok, mahu pergi membalut buku!
    ---

    *Perhimpunan ini adalah haram kerana tidak mendapat permit dan permisi daripada penguasa British dan dikhuatiri ia akan mengganggu para peniaga cendol, tapai pulut dan rojak pasembor di tepi jalan.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »