Back to home page

Meminta Dalil - Ia Bukti Kejahilan Anda!

24 Ogos 2006 • 15 Komen Cetak Chenta!
Artikel asal boleh dibaca di sini.
---

Dengan nama Allah. Segala puji hanya untuk-Nya, Tuhan dan Pelindung kami, dan moga dicurahkan keamanan dan kesejahteraan kepada Utusan terakhir-Nya.

Komentar ini tidak berniat untuk menghina sesiapa. Kami sayang semua saudara se-Islam yang mencintai Allah dan Rasulullah sallahu 'alayhi wasalam, dan yang berkerja dengan ikhlas untuk deen ini, tanpa mengira apa pun pegangan yang mereka pilih. Jika kata-kata ini kelihatan agak kasar bagi sesetengah pihak, maka ia semata-mata bertujuan bagi menyampaikan maksud dengan lebih jelas dan tepat, lebih-lebih lagi di zaman yang penuh mencabar ini.

Tulisan ringkas ini ditulis berikutan satu permasalahan hukum fiqh yang telah diajukan kepada saya. Si penyoal ingin juga mengetahui dalil-dalil yang digunakan tentang sesuatu hukum. Saya menyedari bahawa si penyoal itu sebenarnya berniat untuk membandingkan dalil daripada individu-individu yang telah mereka tanya, dan kemudian membuat kesimpulan sendiri tentang pandangan yang manakah lebih kuat.

Saya berpendapat bahawa mengemukan segala dalil dari pandangan mazhab Hanafi tentang soalan tersebut kepada orang awam adalah satu tindakan yang kurang sesuai. Saya akan cuba untuk menerangkan sebab-musababnya.

Saya memberitahu hukum fiqh tersebut berdasarkan pandangan mazhab Hanafi, dan kemudian saya berkata: "Apa jua fatwa, jika ia datang dari salah satu empat mazhab yang dipegang oleh ahlus sunnah wal jamaah, adalah datang dari studi, kajian, dan ijtihad oleh ratusan ulama terbilang dari ummah ini, yang mana mereka telah memberi sumbangan besar bagi menyemak semua hukum-hakam dalam mazhab masing-masing. Mereka adalah pakar dalam segala disiplin ilmuan Islam. Ramai di antara mereka yang menghafaz lebih seratus ribu buah hadith junjungan Nabi kita. Para ulama mazhab Hanafi yang berjaya mencapai darjat kehormat ini kebanyakannya adalah Hafiz Hadith.

Bukan itu sahaja, bahkan mereka adalah golongan yang mempunyai tahap kesolehan dan ketaqwaan yang begitu tinggi kepada Allah - ia boleh dibuktikan melalui biografi mereka. Maka kita harus menerima dengan gembira segala keputusan yang mereka beri tanpa perlu meyoal apakah dalil-dalil yang digunakan. Dan kita tidak akan pandang kepada golongan yang tidak mengakui autoriti para ulama terbilang ummah ini serta asyik mahu mengkaji dalil bagi setiap hukum. Padahal golongan ini tiada langsung latihan asas dalam lapangan keilmuan Islam, atau pun pernah mempelajari mana-mana kitab muktabar dengan guru yang berkelayakan.

Adalah satu perkara yang mengarut apabila orang awam sentiasa bertanyakan dalil. Ia seperti seseorang yang tidak pernah belajar subjek sains GCSE[1] berdebat tentang teori relativiti[2] dengan seorang profesor fizik. Atau pun seperti seseorang yang tiada langsung ilmu asas biologi atau kimia yang berdebat dengan seorang doktor pakar tentang ubat manakah yang paling tepat bagi merawat sesuatu penyakit.

Orang sebegini pasti akan diketawakan! Apakah anda fikir akan ada mana-mana profesor yang akan melayannya? Profesor itu tidak akan membuang masa untuk berbincang dengannya. Orang yang begini, kalau dia betul-betul ingin memberikan pandangan tentang fizik teoritikal, harus terlebih dahulu mengambil GCSE selama dua tahun, kemudian membuat A-Levels[3] selama dua tahun, kemudian mengambil ijazah (3 tahun), kemudian buat ijazah lanjutan (1-2 tahun), kemudian mengambil PhD (3-5 tahun). Dan akhirnya barulah dia boleh duduk semeja berbincang dengan profesor!

Begitu jugalah dengan seseorang yang tidak pernah belajar langsung kurikulum asas dalam bidang fiqh, tetapi dengan berani mencabar para ulama fiqh yang terbilang, yang menjadi salaf dan khalaf ummah ini. Padahal si fulan ini tiada langsung kemahiran asas bagi memahami atau pun menilai sesuatu dalil.

Anda fikir mengeluarkan pandangan berkaitan hukum-hakam itu lebih mudah berbanding mengeluarkan pandangan dalam fizik teoritikal?

Meminta dalil bagi setiap hukum itu sendiri sudah cukup menjadi dalil jelas kejahilan anda dalam proses melakukan ijtihad.

Apakah anda fikir bahawa cara mengetahui dalil-dalil bagi setiap hukum itu adalah sekadar diberitahu sepotong ayat Al-Quran atau pun hadith? Tugas kamu sebagai orang awam atau pun seorang budak mentah yang baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang keilmuan Islam bukannya untuk mengetahui segala dalil bagi setiap hukum-hakam. Tetapi tugas kamu cukup sekadar mengetahui hukum bagi sekian-sekian perkara, berdasarkan salah satu daripada empat mazhab yang diterima oleh ahlus sunnah wal jamaah pada hari ini, dan pada masa yang sama harus sedar bahawa semua hukum-hakam itu dibuat berdasarkan ilmu dan kajian yang mendalam dari pelbagai jenis sumber.

Jika kamu sudah betul-betul berminat untuk mengetahui dalil-dalil bagi hukum itu ini, maka sila mulakan langkah yang pertama untuk belajar ilmu Islam yang mulia ini. Kamu sangat-sangat dialukan! Untuk mendapatkan tahap ilmu paling asas pun sudah memerlukan tempoh pembelajaran serius selama 5-8 tahun. Ini baru yang asas; ia tidak termasuk tempoh untuk melakukan pengkhususan!

Percayalah kepada saya, dalil-dalil itu ada dan wujud dalam setiap mazhab. Begitu banyak kitab-kitab rujukan muktabar mazhab Hanafi yang membincangkan dengan begitu terperinci setiap hukum yang ada, dan ia ditulis oleh ulama-ulama hadith dan fiqh yang sangat berwibawa. Jangan malu-malu untuk berjumpa mereka pada bila-bila masa jika anda ingin melihat dalil-dalil bagi sesuatu hukum yang dikeluarkan. Tetapi bagi individu yang tidak terlatih, seperti anda, pasti tidak akan dapat faham hasil tulisan dan kitab peringkat tinggi ini. Ia seperti mana pelajar sains GCSE yang membaca artikel kajian dalam bidang fizik kuantum, atau pun membaca jurnal perubatan yang begitu kompleks. Kamu pasti tidak akan dapat faham langsung apa yang dibaca, malah akan makin keliru.

Inilah masanya untuk kamu merendah diri. Jika kamu pelajar GCSE, kamu hanya perlu belajar perkara asas, dan terima sahaja apa yang guru kamu ajarkan. Bertahun-tahun lepas itu, apabila kamu sudah makin pintar, dan makin rajin mencari ilmu, kamu mungkin akan dapat membincangkan teori-teori yang sangat kompleks dan kemudian membuat rumusan sendiri.

Malangnya, sebagai sebahagian daripada bida'ah zaman moden yang patut diperbetulkan, telah wujud satu fahaman yang menjalari umat, yang mana ia menolak keempat-empat mazhab, dan memberikan dorongan kepada orang awam bagi menyoal setiap hukum - dengan itu mereka dapat membuat pendapat sendiri dan mencanai jalan sendiri! (Ini sebenarnya adalah sunnah seorang penyanyi Amerika, Frank Sinatra, yang menanyi "I did it my way'", tapi ni sudah tentu bukan sunnah para ulama salaf). Jika kamu percaya bahawa pelajar GCSE boleh mengeluarkan pendapat dalam teori kuantum, maka ahlan wa sahlan!

Kamu harus diberikan amaran bahawa apa yang kamu lakukan ini adalah haram, iaitu mengeluarkan fatwa tanpa memiliki kelayakan. Jika semua orang secara automatik berkelayakan untuk mengeluarkan/memilih hukum sendiri, ia akan membawa kepada kemusnahan dan kekacauan dalam bidang perundangan syariah. (Oh ya, hanya kerana kamu berbangsa Arab atau tahu berbahasa Arab, itu tidak menjadikan kamu seorang mufti secara automatik!). Setiap bidang ilmu ada kurikulum dan kaedah masing-masing. Perundangan Islam dan kaedah mengeluarkan hukum-hakam adalah salah satu disiplin ilmu yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk menguasainya.

Sebagai contoh, untuk menjadi seorang peguam, kamu mestilah memiliki keputusan A-level yang cemerlang, kemudian ambil ijazah Perguaman. Malah selepas itu kamu perlu lulus Bar examinations[4]. Itu masih tak cukup! Kamu kemudian perlu menghabiskan masa bertahun-tahun bersama-sama dengan seorang peguam sebelum kamu boleh menjalankan bisnes sendiri. Pada waktu ini, kamu baru setakat menjadi peguam junior. Selepas itu berapa tahun lagi yang diperlukan untuk membuat kajian dan mengumpul pengalaman yang diperlukan sebelum kamu boleh menjadi salah seorang QC, atau hakim tinggi?

Cukup ganjil apabila ada orang yang menganggap dirinya sudah layak untuk mengeluarkan hukum setelah dia membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran dan juga versi rumusan kitab Sahih Bukhari! Ini semua sebenarnya adalah refleksi kepada kejahilan kita yang teramat sangat. Kamu tidak pernah masuk sekolah Undang-undang dan kamu pula begitu teringin untuk mengeluarkan hukum??

Kamu adalah pelajar sains GCSE dan kamu pula ingin masuk bersama dalam perbincangan sesama profesor?

Merendah dirilah! Kalau kamu mahu berbincang isu-isu dalam hukum-hakam Islam, maka pergi cari para ulama yang menjadi pewaris Nabi, dan duduk bersama mereka, dan belajar dengan mereka. Tirulah juga sifat-sifat mulia yang ada pada mereka, termasuk juga ilmu yang para ulama ini miliki - mudah-mudahan kamu dapat menerima cahaya yang ada pada ilmu Islam yang mulia ini.

Jika kamu telah menghabiskan usiamu mempelajari perubatan atau kejuruteraan, atau pun sibuk dalam bidang perniagaan sehingga tiada masa untuk mendalami ilmu Islam, dan kini apabila tiba masa tua, kamu pun berazam untuk menjadi lebih 'religious' - kamu pun selalu berkunjung ke masjid dan lain-lain lagi. Tapi tolonglah, jangan fikir kamu boleh buat crash-course dalam deen ini dengan sekadar membaca Fiqh al-Sunnah atau pun Tafsir al-Mawdudi, dan kemudian kamu fikir kamu sudah sampai tahap untuk berdebat dengan para ulama. Tolong biarkan perkara berkaitan deen kepada mereka yang telah menyimpan masa muda untuknya dan telah mengorbankan masa bertahun-tahun untuk mempelajari disiplin ilmu Islam yang sangat luas ini.

Seorang daripada guru saya selalu berkara: "This is the deen, not teen (fig)!!"[5] Kamu sedang berurusan dengan ilmu Islam! Ini bukan benda main-main yang boleh diperbincangkan sesuka hati oleh orang awam. Ini datang dari budaya Barat yang menjadikan seseorang itu angkuh - mereka percaya bahawa mereka boleh memberikan pandangan dalam segala isu, dari teologi kepadalah hukum fiqh. Hakikat sebenarnya, kamu tidak berada pada kedudukan untuk menilai dalil-dalil yang ada, dan kemudian membuat kesimpulan sendiri akan pandangan manakah yang lebih kuat atau rajih.

Saya masih ingat satu perbualan saya dengan seorang remaja berusia 18 tahun, jambang dan misainya dicukur rapi, memakai jeans dan jaket kulit, di bahagian luar sebuah masjid di kawasan saya. Remaja ini mula mengamalkan Islam dengan baik sejak dua tahun yang lepas. Dia dengan agak serius menerangkan kepada saya tentang bagaimana dia menilai dalil-dalil yang dikemukakan dari mazhab-mazhab yang berlainan tentang sesuatu isu, dan kemudian dia sudah boleh membuat rumusan akan pandangan manakah yang lebih kuat! Walau pun si remaja ini tidak tahu satu pun perkataan dalam bahasa Arab, namun itu tidak membuatkannya berputus asa - pastinya dia akan mendapatkan bahan rujukan yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris!

Malangnya, si remaja ini tiada idea sama sekali betapa kompleksnya proses mengeluarkan hukum, dan juga betapa luasnya perbincangan di antara mazhab tentang sesuatu isu. Apakah dia tidak sedar bahawa dia juga sekadar bertaklid buta kepada apa jua ulama bentangkan kepadanya tentang sesuatu isu? Dia sendiri tidak pernah menyemak sama sekali sumber maklumat yang dijadikan hujah, iaitu kitab-kitab rujukan dalam keempat-empat mazhab - dia tidak melihat apakah yang diperbincangkan dalam keempat-empat mazhab tentang isu tersebut. Sudah diketahui umum bahawa kamu tidak boleh mengeluarkan hukum dalam mazhab Hanafi berdasarkan teks dari mazhab Shafi'i, dan sebaliknya. Ini kerana ia selalu memberikan pandangan kurang tepat tentang mazhab yang lain - kamu sebenarnya kena menelaah teks dari mazhab yang kamu ingin kaji, dan bukannya mengambil teks dan kitab yang ditulis oleh mazhab Shafi'i untuk menilai hukum-hakam dalam mazhab Maliki.

Saya akan berikan anda satu contoh mudah yang selalu dijumpai pada hari ini. Kita akan melihat bagaimana terdapat sesetengah umat Islam yang berfikir bahawa mereka telah pun melakukan 'ijtihad' yang sangat hebat, dan melakukan kesimpulan sendiri berkenaan sesuatu hukum (setelah menyedari bahawa semua empat mazhab telah salah sejak 1424 tahun lamanya). Isu ini adalah berkaitan tentang di manakah sepatutnya meletakkan tangan semasa berdiri dalam solat.

Hari ini agak mudah untuk melihat umat Islam yang meletakkan tangan di atas dada atau leher ketika berdiri dalam solat. Sebenarnya, kaedah sekian lama yang diamalkan lebih seribu tahun adalah meletakkan tangan di bahagian sedikit atas-atau-sedikit bawah dari paras pusat. Dan inilah cara yang dipersetujui dalam keempat-empat mazhab - dan bukannya di atas dada (kecuali bagi wanita mengikut pandangan mazhab Hanafi), dan sama sekali bukan di atas leher! (Sesetengah ulama mazhab Maliki berpendapat adalah sunnah untuk menyengetkan sedikit kedudukan tangan ke bahagian sisi badan).

Namun demikian para Imam Mujtahid muda abad ke-21 lebih cerdik. Bagi mereka, kesemua pakar dalam empat mazhab tidak pernah buka kitab Fiqh al-Sunnah, satu kitab penting bagi yang ingin menjadi mujtahid! Malah kitab ini juga banyak terjemahannya bagi mujtahid yang jahil bahasa Arab! Kamu buka dan selak bab yang membincangkan: "Sunnah dalam Solat, Kedudukan Tangan" (jilid 1, halaman 132) dan kamu akan jumpa hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi yang menunjukkan bahawa Rasulullah sallahu alayhi wasalam bersolat dengan meletakkan tangannya di atas dada. Imam al-Tirmidhi mengatakan hadith ini hasan. Kamu juga akan dapat membaca hadith serupa yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaima dalam kitab Sahih Ibnu Khuzaima, yang mana beliau menarafkan hadith ini sahih.

Nah, itu dia! Mujtahid muda ini telah pun membereskan kerjanya! Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat hadith sahih tentangnya. (Padahal tak tahu pun siapa Ibnu Khuzaima ni...tapi macam penting aje orangnya!). Keempat-empat mazhab - Hanafi, Shafi'i, Maliki, dan Hanbali - telah salah. Dan selepas itu, si mujtahid muda ini kelihatan bersolat di masjid dengan meletakkan tangannya tinggi di atas dada, dan melihat dengan pandangan menghina kepada mereka yang 'bertaqlid membabi-buta' kepada mazhab.

Sekarang kita akan melihat dengan mendalam akan 'dalil-dalil' yang diberikan dalam Fiqh al-Sunnah itu. Dan satu penemuan mengejutkan telah ditemui.

Pertama sekali, bagi mereka yang betul-betul belajar kitab al-Jaami oleh Imam al-Tirmidhi, pasti akan sedar bahawa al-Tirmidhi TIDAK pernah sama sekali menyentuh hadith yang mana Rasulullah meletakkan tangannya di atas dada ketika solat! Apatah lagi menilainya sebagai hasan!! Ini adalah kesalahan yang sangat serius bagi pengarang Fiqh al-Sunnah.

Kesilapan besar nombor dua: Walau pun Ibnu Khuzaima ada membawakan hadith tersebut dalam kitabnya, beliau TIDAK PERNAH menganggapnya ia sahih. Sebenarnya, Ibnu Khuzaima tidak langsung membuat sebarang komen tentang status hadith yang beliau muatkan di dalam kitabnya. Namun demikian, bagi sesiapa yang faham metodologi yang digunakan oleh Ibnu Khuzaima, pasti akan dapat melihat petunjuk-petunjuk yang boleh dijadikan inferens untuk menolak hadith ini sebagai hasan, apatah lagi sahih. Pertama, beliau tidak meletakkan hadith tentang meletakkan tangan di atas dada di bahagian awal bab (yang mana ini adalah kaedah lazim beliau dalam memberi isyarat tentang status hadith di dalam setiap bab). Kedua, beliau meletakkan hadith tersebut di bahagian akhir bab, yang mana ia menandakan kedaifannya.

Sekarang, mari pula kita lihat sanad hadith ini yang menunjukan bahawa terdapat Mu'ammal ibnu Ismail, yang mana majoriti ulama hadith mengatakan bahawa dia adalah periwayat yang lemah, dengan menekankan bahawa beliau seorang yang tidak kuat daya ingatan! Imam Bukhari sendiri mengatakan belliau adalah 'munkar al-hadith', bermaksud hadith yang datang darinya adalah ditolak sama sekali! Terdapat kritikan yang lebih dalam tentang sanad hadith ini, tetapi kita tidak akan membincangkan dengan lebih dalam buat masa ini.

Sekarang kita sudah pun nampak apa masalah sebenar. Mujtahid muda sebenarnya bukanlah seorang mujtahid sama sekali! Dia sekadar membaca satu bab dari Fiqh al-Sunnah dan menerima bulat-bulat dan bertaqlid apa yang dibacanya, tetapi telah merasakan dirinya telah membuat satu ijtihad mantap! Bayangkan berapa banyak lagi kesilapan ilmiah dalam kitab itu, dan kitab ini telah menjadi antara kitab paling popular di kalangan Muslim! Kesalahan yang dikorek dari kitab itu adalah begitu serius. Salah seorang dari guru saya pernah mengatakan bahawa kesalahan fakta dalam kitab Fiqh al-Sunnah itu bukannya kesilapan kecil yang kadang-kala akan dapat kita jumpa dalam tulisan-tulisan para ulama. Tetapi ia adalah bukti kejahilan mutlak pengarangnya, dan ia tidak boleh dimaafkan.

Pada akhirnya nanti, realitinya kamu akan tetap menjadi muqallid, sama ada kamu sedar atau tidak. Untuk mengikut siapa adalah terpulang kepada kamu: sama ada pengarang Fiqh al-Sunnah, atau al-Albani, atau pun salah satu dari mazhab yang empat. Akhir sekali, mempelajari dan mengetahui dalil-dalil bagi hukum-hakam bukannya sesuatu yang salah, tapi ia mesti disesuaikan dengan konteks dan tempatnya.

Sebarang komen boleh dibuat tentang isu ini, tetapi cukuplah bagi saya dengan apa yang telah diutarakan. Berdoalah kepada Allah agar Dia melindungi kita semua dalam payungan rahmat-Nya dan membimbing kita ke arah kebenaran dalam apa jua perkara. Semoga Dia memberikan kekuatan bagi kita untuk melakukan amalan yang dapat menggembirakan-Nya. Dan moga keamanan serta rahmat dicurahkan ke atas Rasulullah sallahu alayhi wasalam, ahli keluarganya, dan para sahabat Baginda. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekian alam.


Ditulis oleh:
Hamba kepada ilmu yang mulia,
Ridhwan ibnu Muhammad Saleem, [bio]
Damascus, Ramadhan 1424 H

Diterjemahkan oleh:
Tawel-Sensei,
hembusan.blogspot.com
30 Rejab 1427 H


Nota Kaki

[1] GCSE adalah singkatan bagi General Certificate of Secondary Education. Ia adalah peperiksaan yang diambil oleh pelajar sekolah berusia 14-16 tahun di Britain, Wales dan Northern Ireland.
[2] Teori relativiti diperkenalkan oleh Albert Einstein.
[3] A-Levels, singkatan Advanced Level adalah salah satu peperiksaan yang digunakan untuk memasuki sesebuah universiti. Kalau di Malaysia, ia setaraf STPM.
[4] Bar examinations adalah peperiksaan bertulis yang wajib dilalui sebelum seseorang itu mendapat lesen untuk menjadi seorang peguam.
[5] "This is the deen, not teen (fig)!!" Teen merujuk kepada pokok tiin. Rujuk Surah at-Tiin. Kata-kata ini mungkin diucapkan oleh guru beliau yang bernama Sheikh Muhammad al-Yaqoubi memandangkan gurunya ini turut fasih berbahasa Inggeris.

---

Bacaan Tambahan

1. "Refutation of those who follow other than the four legal schools" ("radd 'ala man ittaba'a ghayr al madhahib al arba'ah"), by Imam Ibn Rajab al-Hanbali (Arabic)

2. "Non-madhabism: The most dangerous innovation threatening the Islamic Law" ("La madhhabiyyah: akhtar al-bid'ah tohaddidu al-sharee'ah al-islamiyyah"), by Shaykh Dr. Muhammad
Said Ramadhan al-Buti (Head of the dept. of Sharee'ah, University of Damascus) (Arabic)

3. "The legal status of following a madhhab", by Justice Shaykh Taqi 'Uthmani (Chief Qadi of Pakistan ) (English)

4. "The Four Madhhabs", by Shaykh Abdul-Hakeem Murad (English)

5. "Benefits of the sciences of jurisprudence" ("fawaa'id 'uloom al-fiqh"), introduction to "'ilaa ul-sunan", by Shaykh Kayranwi (Arabic)

6. "Meaning of the saying of the Muttalibi Imam: 'If a hadith is authentic, then it is my madhhab'", ("ma'na qawl al-imam al-muttalib: itha sahha al-hadith fa huwa madhhabi"), by Shaykh ul-Islam, Imam Taqi ul-Deen al-Subki (Arabic)

7. "Fatwa Concerning the Obligation of Following Rightly Guided Scholars", by Shaykh Murabit al-Haajj and Shaykh Hamza Yusuf (Arabic/English)

Nota dari Penterjemah:

1. Terjemahan ini tidak boleh dianggap sebagai satu terjemahan rasmi. Namun demikian, saya telah melakukan pemeriksaan berulang-kali bagi memastikan terjemahan dilakukan setepat mungkin. Jika anda menemui bahagian terjemahan yang kurang tepat berbanding artikel yang asli, silalah kemukakan kepada saya.

2. Terjemahan ini dilakukan dengan membuat sedikit penambahan dan pengurangan pada sesetengah ayat, tetapi ia tidaklah menjejaskan dan mencacatkan maksud artikel yang asli.

15 Komen Tambah Komen↴

hmmm petik ayat dari artikel tu..

Salah seorang dari guru saya pernah mengatakan bahawa kesalahan fakta dalam kitab Fiqh al-Sunnah itu bukannya kesilapan kecil yang kadang-kala akan dapat kita jumpa dalam tulisan-tulisan para ulama. Tetapi ia adalah bukti kejahilan mutlak pengarangnya, dan ia tidak boleh dimaafkan.

pengarang yang dimaksudkan tu sayid sabiq kan?
aku sebenarnya tak gemar kalau disebutkan jahil menjahil ni..
sebab bila sebut jahil.. aku teringat zaman jahiliyah..

dalam al ahkam pun dah keluar promosi fatwa haramkan tulisan alhabsy ..dia kata Abdullah al-Harari al-Habasyi mengkafirkan ibn taimiyyah.

ade jugak disebut nama as-Saqqaf dan Muhamad alawi al-Maliki

haih..ntah la.. bila lah kita semua yang mengaku ahlus sunnah ni nak betul-betul berada dalam keadaan yang baik.macam mazhab imam yang 4..ok je..semua pun berlapang dada antara satu sama lain. ntah sape lah yang nak huru harakan umat islam ni.

Ayat asalnya: "Rather they indicate a real ignorance in the author that is inexcusable.

Maksud Ignorance dari The American Heritage Dictionaries, seperti mana yang dipaparkan di Sheikh Answers.com ialah The condition of being uneducated, unaware, or uninformed.

Ignorance apabila diterjemahkan ke dalam BM bermaksud jahil. Dalam bahasa Inggeris, zaman Jahiliyyah dipanggil Age of Ignorance. Oleh itu, ignorance = jahil. Dan dalam konteks ini, jahil merujuk kepada ketidaktahuan atau kejahilan Sayyid Sabiq dalam konteks mentarjih dalil-dalil. Dan ia tak bermaksud Sayyid Sabiq itu jahil dalam perkara-perkara lain.

Harap dapat membantu encik MFR :) Huhu..ini baru BM, belum bahasa Arab lagi.

Apa pun, terima kasih untuk info hang. Aku tak tau pun al-ahkam buat fatwa camtu. Zaman sekarang semua orang mahu buat fatwa..

pembetulan.. bukan al ahkam buat fatwa...

promosi fatwa dari mufti mesir

maaf atas segala salah faham.

Salaam.

Saudara janganlah terlalu berkasar dengan mereka yang ingin mengetahui dalil. Jangan su'uzon. :) Mungkin saya terasa, kerana saya yang beru terangkak-rangkak nak mendalami ilmu (walaupun tahu kemungkinan besar tidak akan sedalam mana), teringin juga mengetahui sekadar dalil-dalil tentang hukun-hukum. Paling tidak pun dalil yang digunakan Imam Syafie'e. Kalau tak silap saya, Imam as-Syafie'e sendiri mengecam orang yang taklid mengkhinzir buta dengan mazhabnya. Betulkah? Setidaknya, harus tahu sebab disebalik sesuatu hukum itu.

Mungkin niat orang yang bertanya bukanlah untuk ijtihad semberono. Tetapi mungkin untuk meyakinkan diri. Mungkin juga untuk melapangkan dada dengan hukum mazhab lain. Sebagai seorang pelajar import, saya telah berdepan dengan umat Islam dari pelbagai pelusuk dunia. Saya juga melihat betapa penat lelahnya para ahli Islamic Society di uni ini meluaskan kemudahan buat semua mazhab, cth bila tidak cukup ruang untuk solat juma'ah di uni -- bolehkah mazhab ini menerima untuk tidak melihat imam, etc. Cara solat itu, usah ditanyalah.

Saya kekadang berkecil hati yang tak bertempat dengan orang yang terlalu cepat melenting. Bukankah tugas da'ie untuk menarik orang mendekati agama, dan berkongsi keindahannya? Bukanlah untuk menjauhkan orang dan menyempitkan ruangannya.

Alhamdulillah, pengalaman first-hand dengan orang yang terikut kefahaman Wahhabi ini menjadikan keluarga saya lebih peka terhadap sistem 'terpaksa taklid' ini. Tetapi janganlah kita biarkan isu label-melabel ini menjadi sesuatu yang memecah-belahkan ummah. "Aku salafi, ko wahhabi, aku ikut Nabi."

Tahukah, betapa banyak website hakmilik Cik Yah(udi) yang gelak besar tentang perdebatan sesama Muslim tentang isu Wahhabism ini?

Hmmm.

Aiseyman.

Saya dah tersalah baca. Bukan pengisian dari saudara rupanya. Aha. Patutlah bunyi lain macam.

Afwan. Saya pengunjung baru. Tetapi isu wahhabi ini amat menarik bagi saya. Kerana ada sheikh dari golongan Ahlul Sunnah yang terus menghina Sheikh ibn Wahhab, kononnya dia dikecam ayah sendiri -- dan sheikh yang mengutuk ini pula terlampau mengangkat martabat tok sheikhnya yang sudah berusia sekian-sekian dan amat berjasa (tidak diberi detail) dan masih hidup.

Hm. A bit contradictory. Dan sedikit bahaya. Bukankah terlalu menyanjung seorang sheikh - tak kisahlah betapa qaromahnya - agak merbahaya? Bagi seorang yang still kurang ilmulah kan... saya sendiri takut kalau nak berbuat demikian Takut tersyirik. Adoih.

Dan bukankah Sheikh ibn Wahhab menghancurkan nisan para sahabat Rasul (s.a.w) dalam keadaan terpaksa, kerana terlalu ramai orang meminta pertolongan di kubur pada masa itu? Ala-ala mintak nombor ekor di kubur.

Kalau tak silap saya, mereka yang terlampau ni, bukannya Ibn Wahhab. Tetapi pengikutnya yang tersasar jauh dari ideologi ibn Wahhab, yang sekadar kasihan melihat orang di sekelilingnya, tidak lagi mengamalkan Islam. Ataupun jika ingin dipindahkan pada konteks moden hari ini, 'sekadar Islam I/C'.

Jangan salah faham. I'm also very wary of 'Wahhabi's. Saya cuma berasa tuan empunya nama tidak salah. Tetapi pengikutnya yang telah menjadikan suatu nama sebagai sebuah isu yang beratnya - waduh.

Yelah. Mereka yang berkata mengikut Rasulullah pun, ada yang tersasar jaaaaaaaaaauuuuuuuuuuh. Apatah lagi manusia lain, yang kata-katanya boleh dipersoalkan.

Allahu'alam.

Di bawah link yang menarik. Boleh saudara komen sedikit?

Islam Online

Tanpa Nama

Sebenarnya cik airelithiel, kalau nak tahu dalil tu kena ikut tahap mana ilmu kita. Dan tahu dalil tu bukan setakat tahu apa ayat Al-Quran/hadith yang digunakan. Ia lebih dari itu.

Kalau dalam subjek fizik, perlukah budak-budak yang nak ambil SPM mengetahui bagaimana formula E=mc2 boleh terbit. Mereka setakat guna aja formula tu. Tapi bila mereka dah jadi profesor fizik, maka wajib bagi mereka tahu dalil-dalil yang digunakan untuk mengeluarkan formula/hukum E=mc2.

Malangnya, hari ini terdapat aliran yang menggalakkan orang-orang awam yang tidak terlatih untuk mencari dalil-dalil bagi setiap hukum dan kemudian buat perbandingan, dan kemudian menilai sendiri dalil dari hukum mana yang lebih kuat (dan ini bermaksud mendaifkan hukum-hakam muktabar lain yang diiktiraf oleh ahlus sunnah wal jamaah). Ini yang penulis tu cuba tekankan.

Pasal Wahhabi ni, saya tak mahu ulas panjang dalam topik ini. Dan terima kasih untuk link Islam Online itu. Apa yang saya ingin kata, begitu banyak kitab-kitab dan tulisan-tulisan para ulama serata dunia bagi membidas gerakan Wahhabi ini.

P/S: Perbezaan Wahhabi dan ASWJ yang utama adalah pada aspek akidah. Fiqh nombor dua.

Oh ya..tentang Cik Yah(udi) yang gelak besar tu, kita fikir nombor dua. Dari zaman dulu hingga sekarang, sentiasa ada pertembungan fikrah sesama Islam..seperti Khawarij dan Mu'tazilah.

Tapi zaman tu takde internet macam sekarang. Kalau lah ada internet, mesti hari ini kita dapat melihat dan membaca blog/forum/artikel yang membentangkan perdebatan di antara ASWJ dan pecahan-pecahan Islam yang batil itu.

Dan bukan Islam sahaja yang ada berpuak-puak. Kristian, Yahudi, Hindu, dan hingga ke fahaman sekular seperti Marxism pun berlaku perpecahan.

Hidup susah, mati pun susah (ikut cakap apek tua dalam filem Madu Tiga).

Ini bukan artikel aku daa..setakat terjemah aje. Silalah letak kat mana-mana aje.

Selamat menyambut merdeka yang ke-49!!

:) Penulis artikel ini Sheikh Ridhwan Saleem. Beliau memang berkebolehan, bukan setakat ilmu dunia, malah 7 tahun hidupnya dihabiskan di Damsyiq bagi menimba ilmu agama.

Tuan guru Sheikh Ridhwan, Sheikh Muhammad al-Ya'qoubi, ada di Malaysia sekarang. Tawel tak pergi ke?

bro tawel!

mabruk, dah menulis semula....

ingin nak tulis sesuatu, tp belum masanya, nanti inshAllah, terutamanya tentang Syeikh Alawi Al-Maliki

Tanpa Nama

Kenakelayan,
Terima kasih bagi e-mel tu. Tapi malangnya saya dah balik sini. Ish2..kenapakah susah sangat untuk jumpa beliau ye..saya pergi dia datang. Saya datang dia pergi...

Me, saya tak menulis..tapi menaip aje..hehe.. Btw, nak tulis apa tentang beliau tu?

inshAllah, menjawab sedikit tohmahan terhadap beliau. Ana kena terjemah sedikit dari kitabnya Mafahim, di sini juga ada seminar yang sangat bagus di uia. Masyeikh2 datang. Ana rasa ini antara yang terbaik halaqah ilm sejak ana pulang ke Malaysia

Tanpa Nama

Tawel

Belum ada rezeki kot. Saya sendiri pun dekat 4 tahun duduk UK baru kenal dia. InsyaAllah akan dipertemukan juga suatu hari nanti. Tak pun pergiajelah berjalan ke Syria boleh melawat beliau sekali.

InsyaAllah..mudah2an dapat pergi ke sana (itu pun kalau Israel tak serang Syria lepas habis Lubnan dibelasah). Me, buatlah yang terbaik sebab Me memang dari bidang agama, maka banyak perkara yang boleh dibentangkan :)

Kak Kenakelayan: Emm memang teringin sangat nak jumpa Syeikh tu juga, tp takde rezeki lagi..Inshallah one day. Syiria memang pusat talaqqi ilmu antara yang terhebat.SubhanAllah dan pempat belajar bahasa fushah yang sangat bagus, orangnya pun terkenal dengan lemahlembut.

Tawel: emm ilmu ana pun sangat sedikit, namun bila memikirkan angin fahaman tersebut yang sangat kencang lagi deras di kampus ini, maka kita usaha sikit. Kalau tidak, kesian pd mereka. Ramai yang cintakan ilmu di sini, namun pengisiaanya kebanyakannya dr aliran tersbut. kita menyebut ini bukan kerana kita ingin membangunkan fitnah yang sedang tidur seperti ada puak2 tu kata semasa seminar di sini baru2 ni, namun kita ingin meperbetulkan kefahaman mereka tentang manhaj aqidah ahli sunnah wal-jamaah. Kalau difikir2 betapa indahnya kita anya bermunajat kepda Allah sorang2, namun bila berhdapan dengan dunia sebenar, ada tugas menanti, semuanya kerana Redha Allah dan juga ingin melihat ummah bersatu.

Allahua'lam

Tanpa Nama

Bagi sesorang yg mencintai ilmu, tak patut kita sekat org yang bertanyakan dalil. Ade org yg hanya mintak dalil , tak nak pun nk buat hukum sendiri. Zaman sekarang bukan mcm zaman dulu nak mntak dalil apanya sebab nabi dah ada depan mata, zaman sekarang nabi takde. Cuma sekadar bgi kita rasa yakin bahawa ini adalah apa yg Allah dan Rasul yg kata. Malah ade hadis dri Nabi SAW yg mengatakan brangsiapa yg tafsir Quran dngn sendiri(tak rujuk ulama') maka die telah sesat. Jadi tak salah meminta dalil malah ia adalah satu langkah berjaga-jaga agar agama Islam tu terpelihara ketulenannya.

Berkenaaan ilmuwan yg menghafaz ribuan hadis, mungkin ada beberapa hadis yg beliau tak hafal lalu melemahkan pendapatnya dlm memberi fatwa. Imam Syafi'i pernah melarang taklid dngn brkata "Barangsiapa yg mendapati hadis nabi bertentangan dgn pendapatku maka ambillah hadis nabi, tinggalkan pendapatku."


No offense, sekadar berbincang dngn saudara.

“Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada AllAH dan RASUL, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya.” (surah An Nisa, 4: 59)

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.