Back to home page

Sepanyol XX: 2 Jam Sahaja?

24 Mei 2005 • 0 Komen Cetak Chenta!
Entah di mana silapnya. Kota Al-Hambra yang sangat besar dan luas itu tidak mampu dijelajahi untuk satu tempoh waktu yang lama. Aku hanya ada kira-kira 2 jam sahaja. Mengikut kata tuan Hostal Alcazaba, Al-Hambra dibuka seawal jam 9.00 pagi. Ini bermakna, aku perlu sampai di sana pada waktu 9.00 pagi juga. Keretapi ke Seville akan bertolak kira-kira jam 11.45 pagi. Aduh! Pukul 11 pagi aku perlu keluar dari kota Al-Hambra - pulang ke hostel, kemas barang, dan menapak ke Stesen Keretapi Granada. Sungguh tergesa-gesa dan merimaskan!

Untuk mengetahui jarak di antara hostel dan stesen keretapi, kami telah pun membuat eksperimen berjalan kaki pada malam kami sampai di sana. Eureka! Tidak susah hendak mencari Stesen Keretapi Granada. Kira-kira 20 minit diperlukan jika berjalan kaki dari hostel.

Lewat Sedikit dan Tersalah Masuk

Perjalanan menaiki bas dari hostel tidak mengambil masa yang lama. Kadar tambang bas agak berbaloi ditambah dengan keadaan bas yang agak selesa. Bas yang kami naiki itu tidaklah sebesar mana. Kalau tidak silap, hanya 20 orang sahaja yang boleh duduk di dalam bas itu. Ia agak kecil dan ekstra-mini. Bas itu memang dikhususkan untuk membawa pelancong dari dan ke Al-Hambra. Tidak begitu ramai penumpang sewaktu kami masuk. Mungkin disebabkan masih awal pagi ditambah dengan kedatangan cuti musim sejuk untuk menyambut kedatangan Krismas. Tapi tidak pula kelihatan Pakcik Santa berjanggut putih memberikan gula-gula kepada kanak-kanak kecil sewaktu kami berada di Granada. Mungkin aku terlepas pandang.

Lagi pun umur kami yang dihabiskan di Granada tidak cukup pun sehari. Jadi, bagaimana aku mampu menilai dan mengadaptasi dengan ragam dan kisah bandar ini?

menara al-hambra spain
Sebuah menara yang mungkin sudah tidak digunakan lagi.


Sampai di Al-Hambra pada jam 9.10 pagi. Lewat sedikit. Kami terpinga-pinga mencari jalan masuk ke kota ini. Hendak bertanya, terasa malas. Jadi kami mencari berdasarkan hukum logik dan ditambah dengan sedikit intuisi yang entah betul entah tidak. Aku melihat seperti ada satu lorong kecil untuk memasuki kota Al-Hambra ini. Kami mengikut lorong itu untuk mencari kaunter masuk. Semestinya sedikit pelaburan harus dikeluarkan bagi melihat tinggalan agung Islam ini. Cuma waktu itu aku masih tidak berapa pasti lagi harga tiket yang perlu dibayar.

Lama berjalan. Tetapi masih tidak bertemu kaunter pintu masuk. Apakah kami tersesat? Kami seperti sekadar berjalan di tepi kota Al-Hambra. Di manakah pintu masuknya? Apakah sudah terlepas? Tapi kami masih terus berjalan. Kami masih yakin dengan logik akal dan intuisi yang dibuat tadi.

saluran air kota
Penghujung saluran air yang terdapat di bahagian sisi kota Al-Hambra.


tangga batu
Tangga-tangga batu yang dibina dari batu-batu bersaiz sebesar penumbuk yang ditanam ke dalam tanah. Ia agak lebar dan panjang.


Tapi akhirnya kami tersedar bahawa logik dan intuisi itu tidak boleh pakai. Memang kami sudah terlepas kaunter masuk pada awal-awal lagi. Mujur kami bertanya kepada seorang pemuda yang kebetulan berjalan menentang arus. Aku kira pemuda berbadan sasa itu adalah seorang perkerja di Al-Hambra berdasarkan pakaian yang dipakainya. Setelah mengetahui di mana pintu masuknya, kami berpatah balik.

Kira-kira 20 minit sudah terbuang begitu sahaja. Tapi, bila fikir semula, rasa berbaloi juga. Jika kami tidak tersesat, mana mungkin kami dapat berjalan di tepi kota Al-Hambra yang jarang-jarang dilalui pelawat itu? Agak menarik juga pemandangan di situ. Cuma apa yang menjadi masalah, kini cuma tinggal 1 jam 30 minit sahaja masa yang tinggal. Sempatkah kami melihat dan merasai kesemuanya?

Pengajaran

Logik akal tak boleh ikut sangat. Intuisi lagilah banyak silap, melainkan anda seorang ahli psikik!

0 Komen Tambah Komen↴

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.