Back to home page

La Tahzan #1 - Hidup Ibarat Mencabut Gigi

21 Jun 2007 • 3 Komen Cetak Chenta!
Berapa lama masa yang diperlukan untuk mencabut sebatang gigi yang rosak? Paling-paling 15 minit sahaja. Masa yang diperlukan untuk mencabut gigi ini adalah ibarat masa kita hidup di dunia ini. 15 minit jika dibandingkan dengan panjang umur manusia, mungkin 60-70 tahun, nilainya adalah sangat tidak signifikan.

Sekarang bandingkan 60-70 tahun hidup di dunia ini dengan kehidupan di Akhirat yang infiniti, yang kekal abadi, yang selama-lamanya, abadan abada. Apalah sangat yang ada pada nilai 60-70 tahun itu? Saya rasa kebanyakkan pembaca di sini paling-paling sudah berumur 20 tahun. Jika kita dapat hidup hingga umur 60 tahun, maka kita akan ada di bumi Allah ini selama 40 tahun sahaja lagi. Dalam masa 40 tahun ini sahajalah kita perlu banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian Ilahi.

Nasihat Seorang Pakcik

Kira-kira 3 minggu yang lepas ada seorang pakcik yang merupakan ahli jemaah tabligh berbangsa Pakistan yang menetap di Afrika Selatan datang menziarahi Masjid Dublin. Beliau boleh bercakap beberapa kerat perkataan orang kita. Antaranya: "Jemput masuk tuan mulia". Beliau memberikan nasihat tentang banyak perkara, terutamanya dalam hal-hal yang bertujuan untuk meningkatkan iman kita.

Cuma satu sahaja nasihat beliau yang mungkin akan ingat saya ingat sampai bila-bila. Katanya lebih kurang,
"Success in this world is limited. Tribulation in this world is limited. But success in the Akhirat (Paradise) is infinite and tribulation in the Akhirat (Hellfire) is also infinite."

Faham ke? Maksud beliau, dalam dunia ini, kejayaan kita ini ada hadnya. Dan bila-bila masa sahaja Allah boleh ambil kejayaan yang kita miliki. Begitu juga dengan musibah yang melanda. Jika pun sepanjang hidup kita ditimpa musibah, paling-paling ia berlaku dalam tempoh 50-60 tahun sahaja.

Tetapi di akhirat, kejayaan umat Islam yang mati dalam keadaan beriman teguh kepada Allah, ialah Syurga. Syurga adalah kejayaan hakiki manusia. Kejayaan inilah yang Rasulullah mahukan untuk umatnya. Kejayaan ini adalah selama-lamanya.

Maksud 'selama-lamanya' ini adalah melebihi nilai 1 juta tahun, hatta 100 bilion tahun. Kamu boleh bayang ke berapa lama tempoh 100 bilion tahun itu? Entahlah, saya pun tak mampu nak membayangkannya, apatah lagi menerangkannya. Apa yang saya boleh cakap, tempoh masa di antara letupan Big Bang dan hari ini ialah 13.7 bilion tahun.

13.7 bilion tahun diseksa di dalam neraka adalah satu perkara yang dahsyat lagi ngeri. Penjaga pintu Neraka, iaitu malaikat Malik juga adalah makhluk yang sangat bengis dan mengerikan. Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, malaikat Malik adalah satu-satunya malaikat yang tidak senyum kepada Rasulullah sallahu alayhi wasalam. Seringan-ringan hukuman ke atas ahli Neraka pula ialah ke atas Abu Talib, iaitu pakcik kepada Rasulullah. Hukuman itu ialah memakai sepasang terompah yang akan membuatkan otak Abu Talib menggelegak.

Kita yang baru tersentuh sedikit cerek panas kadang-kadang sudah menjerit melolong bagai orang gila. Ini baru cerek panas. Di neraka mana ada hukuman pegang cerek panas yang kepanasannya setakat 100-200 darjah celcius. Saya tidak pernah lagi mendengar kisah aneh orang yang menggelegak otaknya apabila menyentuh cerek panas.

Maka bersabarlah dengan musibah yang Allah turunkan kepada kita. Sama ada kita bersabar atau pun tidak, musibah itu tetap perlu kita hadapi. Jika kita bersabar, kita semakin mendekatkan diri dengan Syurga Allah. Jika kita tidak bersabar, jangan salahkan Allah jika kita kena humban dalam Neraka. Jesteru itu hadapinya dengan tenang, sabar dan solat. Selesaikan ujian itu langkah demi langkah.

Maka sebagai penutup, ingatlah petua La Tahzan #1 ini = Hidup ibarat mencabut gigi. Cabut gigi memang sakit, tapi sekejap sahaja sakitnya. Tapi doktor itu buat untuk kebaikan kita. Hidup di dunia dengan ditimpa satu dua musibah besar memang agak sakit, tapi sekejap sahaja sakitnya, paling-paling lama pun dalam 60-70 tahun sahaja. Allah menguji kita juga adalah demi kebaikan kita. Ujian mampu menghapuskan dosa-dosa silam kita, dan bagi para Nabi dan orang-orang soleh, ujian yang Allah turunkan kepada mereka adalah bertujuan untuk meningkatkan darjat mereka di sisi Allah.

Wallahu 'alaam.

3 Komen Tambah Komen↴

Ana memang minat dengan hal ini dan pernah ana sampaikan dalam beberapa penyampaian lisan semasa sesi tarbiyah. Penyampaian ini kemudiannya ana dokumenkan. Ana petik sebahagiannya untuk dikongsi bersama:

@Kita hidup di dunia ini tidaklah lama. Kalau dipanjangkan umur oleh Allah SWT… tak ada sakit, tidak kemalangan… insyaallah kita akan hidup 70 atau 80 tahun. Itulah lebih kurang purata umur manusia hari ini. Biasanya jangka hayat lelaki lebih kurang 70 tahun, dan wanita 80 tahun. Dan… kita akan hidup di akhirat dalam jangkamasa yang sangat lama, kekal, selama-lamanya, bertrillion-trillion tahun. Oleh itu, kita mestilah bijak membuat pelaburan dalam menyediakan perbekalan untuk hidup di dunia dan di akhirat.

Oleh kerana kita tahu yang kita akan hidup 70 atau 80 tahun di dunia ini, maka kita cari dan sediakanlah bekalan untuk kita makan, pakai dan tinggal di dunia ini untuk jangkamasa 70-80 tahun. Dan… kita cari dan sediakanlah bekalan untuk kita makan, pakai dan tinggal di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana- iaitu bertrillion trillion tahun.

Sebagai tamsilannya bolehlah kita andaikan yang kita dan keluarga hendak pergi melancong ke Pulau Langkawi dan ke Timur Tengah- negara-negara Arab. Untuk melancong ke Langkawi dalam jangkamasa 3 hari 2 malam, untuk menjadikan sesi melancong kita selesa maka kita memerlukan bekalan sekitar RM 1500 untuk sebuah keluarga kecil. Untuk melancong ke Timur Tengah selama 8 hari 7 malam pula, kita memerlukan bekalan berupa wang ringgit lebih kurang RM 20,000.
Jadi,…antara persiapan dan perbekalan untuk ke Langkawi dengan ke Timur Tengah, yang manakah kita kena usahakan lebih banyak? Sudah tentulah persiapan dan perbekalan ke Timur Tengah.Begitu jugalah bandingan persiapan kita untuk hidup di dunia dengan persiapan kita untuk hidup di akhirat.
“Sediakanlah bekalan untuk hidup di dunia sepadan dengan usia kita iaitu antara 70-80 tahun. Dan… sediakanlah bekalan kita untuk hidup di akhirat sepadan dengan kekalnya kita di sana- iaitu selama-lamanya.”
Namun lihatlah realiti manusia hari ini. Ada orang yang bekerja mencari keselesaan untuk hidup di dunia ini 8 jam sehari, 10 jam sehari malah ada yang 12 jam sehari. Ini tidak salah, malah memang digalakkan. cuma kita berasa sedih kerana melihat perbekalan manusia untuk hidup selesa di akhirat cukup dengan solat 5 waktu sahaja- kalau dicampur-campur maka masanya tak sampai sejam pun sehari. Manusia rasa cukuplah itu sebagai perbekalan untuk makan sedap, pakai pakaian yang selesa dan tinggal di rumah yang mewah di akhirat kelak. Betulkah begitu?
Yang kita usahakan 8 jam, 10 jam malah 12 jam sehari untuk mendapatkan bekalan makan, pakai dan tinggal di dunia ini pun tak pernah mencukupi kehendak kita. Maka bagaimana pula bekalan yang kita usahakan hanya sejam sehari kita yakin boleh mencukupi keperluan kita untuk makan, pakai dan duduk di akhirat kelak? Pelajar-pelajar fikir-fikirkanlah.
Oleh kerana kita sudah faham yang hidup kita di dunia ini tidak lama, boleh berakhir pada bila-bila masa… maka gunakanlah masa yang ada sebaik-baiknya untuk menyediakan perbekalan-perbekalan untuk hidup di dunia dan hidup di akhirat mengikut pertimbangan yang sesuai dengan tempoh masanya.

(Petikan daripada “Tazkirah Global Untuk Remaja- MENCINTAI NABI”)
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=8&mode=&order=0&thold=0

@Kadang-kadang kami bersembang sesama kami, alangkah seronoknya kalau kita hidup macam orang lain. Bangun pagi pergi solat Subuh, kemudian baca Quran, pergi kerja, balik kerja makan, berehat, solat Asar, petangnya berziarah atau riadah, waktu Maghrib dan Isya’ ke surau atau masjid, jadi tok imam, kemudian menonton televisyen bersama keluarga dan tidur. Alangkah bahagia dan selesanya hidup begini. Semua orang mengimpikan hidup yang semudah ini.
Tapi mengapa kita memilih jalan yang kita lalui ini? Jalan yang penuh dengan aktiviti-aktiviti dakwah, program sana sini, qiam bersama-sama, berfikir dan merancang aktiviti untuk remaja… dan lain-lain?
Sebenarnya, apabila kita telah merasai kemanisan melakukan ini semua… maka kita akan terus melakukannya. Kamu sendiri akan jadi begini suatu hari nanti insyaallah.

Petikan daripada ‘Tazkirah Global Untuk Remaja- KEPADA PEMUDA-PEMUDI’
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=21&mode=&order=0&thold=0

@Hati kita ini penuh dengan kebesaran dunia. Ini menjadi penghalang, namun ia akan hilang jika kita faham hakikat dunia, dan hakikat hidup di dunia ini.

Apakah hakikat kehidupan di dunia? Kita hidup di dunia tidaklah lama, lebih kurang 70-80 tahun. Itu pun kalau tidak ada penyakit, tidak terlibat dengan kemalangan dan sebagainya. Oleh kerana kita faham yang kita akan hidup di dunia ini lebih kurang 70-80 tahun, maka kita berusahalah siapkan bekalan untuk makan, untuk pakai dan untuk tinggal untuk 70-80 tahun itu.
Tapi kita mesti ingat, bahawa kita akan hidup di akhirat untuk satu jangkamasa yang saaangat lama- beribu-ribu tahun, berjuta-juta tahun, bertrillion-trillion tahun… selama-lamanya. Maka kita mestilah berusaha menyediakan bekalan untuk makan, untuk pakai dan utuk tinggal di sana yang sepadan dengan usia kita hidup di sana- beribu-ribu tahun, berjuta-juta tahun, bertrillion-trillion tahun…

Contoh- kita pergi melancong dan nak duduk 2 hotel. Hotel pertama kita nak duduk 3 malam. Hotel kedua nak duduk 10 malam. Katakanlah satu malam RM 80.00. Kita dah tau yang kita nak duduk hotel pertama 3 malam, maka kita siapkanlah wang sebanyak RM 240.00. Untuk hotel kedua kita siaplah RM 800.00.
Tapi apa yang kebanyakan kita buat hari ini ialah… kita usaha siapkan RM 800.00 untuk tinggal di hotel pertama (3 malam) tapi usaha sediakan RM 240 saja untuk hotel kedua (10 malam). Akibatnya- kita gagal untuk menginap 10 malam di hotel kedua.
Kebanyakan manusia usaha bersungguh-sungguh (malah sampai melampau) untuk mendapatkan keselesaan hidup di dunia, tapi buat tak endah saja untuk siapkan bekalan hidup selesa di akhirat. Betul tak? Nanti di akhirat kita tak dapat keselesaan. untuk jangkamasa yang sangat lama.

Apakah pula hakikat dunia? Ada beberapa hadith yang menceritakan tentang hakikat dunia.

Satu hari Nabi Muhammad ada dekat satu tempat pembuangan sampah. Kata Nabi Muhammad kepada para sahabatnya, “Kejarlah dunia.” Kemudian dia ambil satu sampah dan satu tulang reput lalu berkata, “Inilah dunia.” Hadith riwayat Imam Baihaqi.
Lihat, nilai dunia ini kepada Rasulullah hanyalah sekadar sampah dan tulang saja. Itulah yang kita kejar selama hari ini.

Suatu hari Nabi Muhammad ternampak bangkai seekor anak kambing yang dibuang oleh tuannya. Ya lah, bangkai anak kambing, kita bukan boleh makan walau secantik dan se”hensem” manapun anak kambing itu. Kata Nabi, dunia ini pada pandangan Tuhan adalah lebih hina daripada kambing itu pada pandangan tuannya. Maksudnya, nilai dunia ini tak lebih daripada bangkai anak kambing saja di sisi Allah.
Kemudian kata Nabi lagi… kalaulah nilai dunia ini sama dengan sebelah sayap nyamuk sajapun, maka Allah tak akan bagi orang-orang kafir minum walaupun seteguk air. Maksudnya, segala keindahan dan kemewahan di dunia ini tak sampaipun sebelah sayap nyamuk di sisi Tuhan, kalau nak dibandingkan dengan kehidupan akhirat. Sebab itulah Allah bagi peluang kepada orang-orang kafir untuk menguasai dan menikmati dunia ini. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Turmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim.

Dunia ini ibarat lampu dengan bayang-bayang. Kalau kita kejar bayang-bayang kita- bayang-bayang tak dapat, lampu makin jauh kita tinggalkan. Kalau kita kejar lampu- lampu dapat, bayang-bayang pun ikut dari belakang. Begitulah… kalau kita kejar dunia- dunia tak dapat, akhirat semakin menjauh. Tapi kalau kita kejar akhirat- akhirat dapat, dunia pun mengikut dari belakang- dapat juga!

Petikan daripada ‘Ceramah: REMAJA- CABARAN & PENYELESAIANNYA (bah. 2)’
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org/modules.php?name=News&file=article&sid=70&mode=&order=0&thold=0

jazakallah akhi thoweel & alexanderwathern,
cumilnyer gambo budak tu!

sarah

A brief one.

komen jujur, tak sempat baca semua lagi. Cuma sempat baca tentang pesanan pakcik Tabligh tu shj. Sgt bermakna. Benar sangat, sebab itu Rasulullah s.a.w diteruskan dengan alim Ulama' kita selalu berpesan agar pencarian maknawiah akan kebahagian di akhira itu yg baqa'. Kekal. Dunia fana' bakal hancur. Seronok sekadar apa pun. Apa yg diakhirat unlimited. Kemuncak bertemu Allah dan duduk bertemu Rasulullah s.a.w.

Alakullihal. Entri menarik

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.