Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label doa. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label doa. Papar semua catatan

    La Tahzan #3 - Anda Sedang Hamm atau Hazan?

    25 September 2007 • 22 Komen
    Sama ada anda sedang hamm atau pun hazan, kedua-dua situasi ini akan menjadikan hati manusia tidak tenang. Dengan memahami apa itu hamm dan apa itu hazan, maka sekurang-kurangnya kita dapat mencari jalan dan penyelesaian terbaik untuk mewujudkan ketenangan di dalam hati.

    Ehem..tapi sebelum itu, apa itu hamm dan apa itu hazan? Jawapannya ada di dalam doa [1] yang berikut:
    Gambar doa la tahzan dari al-MathuratSnapshot dari al-Mathurat.
    Sedikit ralat pada terjemahan: "..dari rasa gelisah dan sedih", dan bukan sebaliknya.


    Maka, hamm bermaksud gelisah manakala hazan bermaksud sedih. Dengan kata lain, doa yang Nabi ajar itu bukan semata-mata untuk mengelakkan rasa sedih, tetapi juga untuk membuang rasa gelisah di dalam hati. Apa beza di antara rasa gelisah dan sedih?

    Sheikh Hamza Yusuf ada mensyarahkan doa ini di dalam buku The Purification of the Heart. Katanya, hamm adalah kebimbangan atau kegelisahan manusia tentang perkara-perkara yang akan berlaku di masa hadapan, sementara hazan adalah kesedihan tentang perkara-perkara yang sudah pun berlaku di masa terdahulu. Maka doa ini sebenarnya mengajak kita supaya memohon perlindungan dari Allah dalam perkara-perkara yang terdahulu dan yang akan datang. Ini kerana sifat Allah itu adalah sama sahaja tidak kira masa memandangkan Dia tidak dibatasi dengan konsep masa yang dilalui oleh manusia.

    Jadi sekarang anda sedang hamm atau sedang hazan? Ini contoh-contoh hamm dan hazan:

    Hamm:
    • Risau tak cukup duit untuk tanggung anak bini makan;
    • Gelisah sebab ah long dah mula main kasar bila kutip hutang dari kita;
    • Gelisah sebab ayah masih tak pulang-pulang, padahal katanya hanya keluar membeli ikan di pasar sahaja;
    • Risau tak kahwin-kahwin lagi, padahal umur semakin meningkat.
    • Risau keputusan SPM tak boleh dapat 40 A1.

    Hazan:
    • Sedih mengenangkan ayah dan ibu yang telah pergi menghadap Ilahi tanpa sempat kita betul-betul membalas segala jasa-jasa mereka;
    • Sedih sebab tak belajar betul-betul masa SPM. Kalau belajar sungguh-sungguh, mesti ada peluang dapat 40 A1 dan sekaligus dapat menjadi Pelajar Terbaik SPM Tahun 20xx.
    • Sedih bila bini curang dan lari ikut lelaki lain yang ada kereta mewah 5-6 buah . Kita pula, motor kapcai sahajalah harta paling mahal yang ada;

    Jadi anda boleh dapat gambaran yang jelas apa itu hamm dan apa itu hazan. Semestinya, menyelesaikan setiap masalah yang menyebabkan hati kita berasa hamm atau hazan, akan memerlukan pendekatan yang berbeza.

    Hazan

    Dalam kes hazan, apa yang kita boleh buat apabila tiba-tiba berasa sedih, sebagai contoh kerana mensia-siakan bulan Ramadhan pada tahun-tahun yang sebelumnya? Kita tidak boleh buat apa-apa untuk membetulkan segala kesilapan dan peristiwa yang telah pun berlalu. Kita tidak punya mesin masa untuk kembali ke zaman silam.

    Maka, salah satu cara bagi menyelesaikan kecelaruan hati disebabkan rasa hazan, adalah dengan mengakui kesalahan, kesilapan, atau mungkin juga dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Jika perlu meminta maaf kepada seseorang, maka pergilah. Jika taubat kepada Allah adalah jalan yang terbaik, maka pintu rahmat-Nya sentiasa terbuka luas selagi Kiamat belum tiba. Tidak guna sentiasa bersedih di atas apa yang telah berlaku. Bak petikan satu lirik lagu P. Ramlee yang popular:
    Barang yang lepas jangan dikenang,
    Kalau dikenang tentu menangis,

    Barang yang lepas jangan dikenang,
    Kalau dikenang meracunlah diri.

    Jangan racuni hati anda. Keep moving forward.

    Hamm

    Hamm menjadikan seseorang itu gelisah tentang perkara-perkara yang masih belum berlaku lagi di masa hadapan. Jadi, apa yang anda boleh buat? Seperti mana juga dalam kes hazan, kita tidak punya mesin masa untuk pergi meninjau ke masa hadapan bagi melihat apakah terjadi atau pun tidak segala kerisauan-kerisauan kita itu.

    Satu-satunya cara yang anda boleh buat adalah dengan berdoa kepada Allah, di samping berusaha untuk mengelakkan sebarang kemungkinan buruk yang mungkin (diulangi MUNGKIN) terjadi. Doa yang terdapat di bahagian awal artikel ini adalah salah satu doa yang baik untuk diamalkan.

    Saya juga pernah mendengar ceramah Dr Fadzilah Kamsah yang mana beliau mengatakan bahawa:
    90% dari kerisauan manusia tidak pernah berlaku.

    Saya tidak tahu bagaimana angka statistik itu terhasil, dan sedikit sebanyak saya berasa skeptikal pada nilai tersebut. Apapun, kita abaikan sahaja kesahihan nilai tersebut dan saya sebenarnya yakin bahawa kebanyakkan kerisauan-kerisauan manusia selalunya jarang-jarang berlaku.

    Manusia risau pada hal-hal yang bersifat relatif seperti soal rezeki dan jodoh. Tetapi jarang-jarang risau yang kita mungkin mati esok hari. Semua manusia dijamin mati. Maka risaulah banyak-banyak tentang kematian. Soal rezeki pula, kadang-kadang dengan berusaha sikit, Allah bagi banyak. Kadang-kadang usaha banyak, makin banyak pula hutang di keliling pinggang. Jodoh pula, kadang-kadang sudah kahwin pun boleh berlaku masalah hingga bercerai-berai. Maka ini semua perkara-perkara yang tidak tentu lagi hala tujunya. Kurangkan kerisauan anda dalam perkara-perkara seperti ini.

    Setiap Orang Ada Cara Tersendiri

    Oleh yang demikian, analisa hati anda. Ketahui anda sedang hamm atau hazan, maka ini akan lebih memudahkan proses bagi mendatangkan semula ketenangan di dalam hati. Harus diingat bahawa kaedah-kaedah menangani hamm dan hazan yang saya tuliskan ini adalah bersifat umum, dan ia tidak terhad kepada yang itu sahaja.

    Ada banyak lagi cara lain yang boleh kita pilih. Masing-masing pasti punya cara unik yang tersendiri. Namun, jangan pilih cara yang haram dan syubhat untuk mencari ketenangan hati, seperti meminum arak ataupun menghisap rokok hingga 40 batang sehari.

    Apa pun, jangan sekali-kali menafikan rasa hamm dan hazan yang datang di dalam hati. Anda tidak boleh tipu rasa tersebut dengan menyibukkan diri dengan kerja-kerja lain, balik rumah selalu untuk berjumpa ibu-bapa dan keluarga, pergi bandar untuk gelak-gelak, minum-minum, makan-makan dan main bowling dengan member, dan sebagainya.

    Rasa hamm dan hazan ini akan sentiasa datang dalam hati anda selagi ia tidak diubati. Maka sebaik-baik ubat adalah dengan kembali kepada Allah kerana Dialah yang menciptakan hati kita ini [2].

    Sekian adanya. Senyum sokmo.

    Nota Kaki

    [1] Fadhilat bagi doa ini adalah seperti berikut:
    Dari Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah masuk ke dalam masjid dan mendapati ada seorang Ansar bernama Abu Umamah. Maka Rasulullah bertanya, "Wahai Abu Umamah, kenapa engkau berada di dalam masjid di luar waktu solat?"

    Beliau menjawab, "Kerisauan dan hutang, ya Rasulullah."

    Baginda bersabda, "Mahu aku ajarkan engkau satu doa, jika engkau membacanya akan hilang risaumu dan tertunai hutangmu?"

    Jawabnya, "Tentu sekali."

    Sabda Baginda, "Bacalah 'Allahumma innii a'udzubika...sehingga tamat."

    Kata Abu Umamah, "Aku pun membaca doa itu dan hilang kerisauanku dan tertunai hutangku."

    (Hadith riwayat Abu Daud)

    [2] Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah manusia, jika ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah ia adalah hati. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
    ---

    KERJA SEKOLAH
    Bagi mereka yang mahir Arab, jika jangan bersedih = La Tahzan. Maka kalau jangan gelisah = La ____ ?


    SIRI LA TAHZAN SEBELUM INI:
    #1 - Hidup Ibarat Mencabut Gigi
    #2 - Jangan Cemburu dan 8 Petua Mengatasinya
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Doa Belajar oleh Imam al-Haddad

    23 Februari 2007 • 12 Komen
    Niat adalah inti utama ibadat. Tanpa niat yang betul dan ikhlas, amalan yang baik sekalipun tidak akan diterima oleh Allah. Oleh itu, apabila kita mencari ilmu, tidak kira ilmu berkaitan Islam atau pun bukan, maka adalah penting bagi kita untuk sentiasa memeriksa niat kita itu. Sesuatu ilmu itu menjadi ilmu sekular apabila ia membawa kita jauh dari mengingati Allah, sama ada Geografi, Fizik, Matematik, bahkan ilmu fiqh, hadith, al-Quran, dan sebagainya.

    Oleh itu, Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad (iaitu Imam al-Haddad; 1044-1132H) sangat menggalakkan anak-anak muridnya untuk membaca satu doa yang dibaca sebelum memulakan sesi pembelajaran. Dan doa ini adalah antara doa yang selalu diulang-ulang oleh para pelajar di Darul Mustafa, Tarim.

    Doa yang diajarkan oleh Imam al-Haddad itu adalah seperti di bawah ini:

    doa oleh imam al-haddad

    Ini pula contoh bacaannya, seperti mana yang dibacakan oleh Ustaz Fauzi dalam program Deen Intensive Dublin pada Summer 2006 yang lepas (dari kelas talaqqi Tarbiyatus Sibyan karangan Imam Ramli. Doa yang anda dengar ini ada tambahan doa lain):



    Ini pula terjemahan kepada doa ini (kalau ada silap, sila betulkan):
    Aku niatkan untuk belajar dan mengajar,
    mengambil dan memberi manfa'at,
    mengambil dan memberi peringatan,
    mengambil faedah dan memberi faedah,
    berpegang teguh pada Kitab Allah
    dan sunnah Rasulullah sallahu alayhi wassalam,
    menyeru kepada petunjuk,
    menunjuk ke arah kebaikan,
    menuntut dan mencari keredhaan Allah,
    mendekatkan diri dan mendapatkan balasan dari-Nya.
    Amin.

    Oleh itu, pastikan kita selalu memeriksa niat kerana niat itu terletak di hati, dan hati pula adalah satu tempat yang sangat senang untuk berubah-ubah dan berbolak-balik sifatnya. Niat yang ikhlas akan membawa hasil yang berkat. Mungkin kisah yang akan saya ceritakan di bawah ini, akan menjadi inspirasi dalam usaha kita mencedok dan mencari ilmu yang bermanfaat yang ada di serata dunia ini. Kisah ini saya petik dari The Sufi Sage of Arabia oleh Dr Mostafa al-Badawi. Buku ini adalah biografi kisah hidup Imam al-Haddad.

    Orang Pertama Digelar al-Haddad

    Keturunan Bani Alawi pertama yang mendapat gelaran al-Haddad (secara literal bermaksud Tukang Besi) ialah Syed Ahmad yang hidup pada kurun ke-9 Hijrah. Beliau sering menghabiskan masanya di sebuah kedai membuat barangan besi di Tarim. Syed Ahmad dan si Tukang Besi ini adalah bersahabat baik.

    Pada masa yang sama juga, terdapat seorang lagi keturunan Nabi yang bernama Syed Ahmad yang juga tinggal di Tarim. Syed Ahmad yang ini sangat terkenal orangnya, dan mempunyai ramai anak murid.

    Apabila melihat keadaan ini, si Tukang Besi berasa agak sukar untuk menerima kenyataan kerana kawan baiknya, iaitu Syed Ahmad, yang sering berada di kedainya, yang mana beliau menganggapnya sebagai seorang Wali Allah, tidak mendapat perhatian langsung dari masyarakat setempat. Bagaimana Syed Ahmad yang itu begitu popular, padahal Syed Ahmad rakannya pula, tak ada sangat yang mengenalinya.

    Maka dia pun sering mengkritik sahabatnya itu. Satu hari, Syed Ahmad ini membalas kritikan sahabatnya dengan berkata, "Insya-Allah, kamu akan menyaksikan sesuatu yang akan membuatkan kamu gembira." Tidak berapa lama selepas itu, orang ramai mula datang berbondong-bondong ke kedai milik si Tukang Besi itu untuk berjumpa dengan Syed Ahmad, duduk bersama-sama dengannya, dan meminta doa dari Syed Ahmad.

    Pada akhirnya, jumlah orang ramai yang datang telah melebihi dari kapasiti yang boleh ditampung oleh kedai si Tukang Besi itu, sehingga dia sudah tidak boleh melakukan sebarang kerja hariannya lagi. Apabila ini berlaku, maka dia berkata kepada Syed Ahmad, "Wahai Syed, cukuplah ini. Sekarang aku yakin bahawa kamu adalah seperti apa yang aku fikirkan."

    Apabila orang ramai sudah mula mengenali kehebatan ilmu kedua-dua orang Syed Ahmad yang ada di Tarim, maka mereka menggelarkan Syed Ahmad yang selalu berada di kedai si Tukang Besi sebagai Syed Ahmad al-Haddad.

    Dan keturunan yang lahir dari Syed Ahmad al-Haddad ini kesemuanya ditambahkan gelaran al-Haddad pada penghujung namanya, seperti mana nama Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad, dan juga Habib Ahmad Mashhur al-Haddad, yang merupakan salah seorang guru kepada Dr Mostafa al-Badawi, yang kini merupakan seorang doktor pakar Psikiatri di UK.

    Semoga Allah merahmati roh Imam al-Haddad dan orang-orang soleh yang lain, sama ada yang masih hidup mahu pun yang telah mendahului kita. Amin.

    P.S. Terima kasih kepada Ibnulfaridh kerana menolong melakukan terjemahan doa di atas.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Doa Awal Tahun Baru

    20 Januari 2007 • 22 Komen
    Ada orang pandang serong pada umat Islam yang membaca Yasin sebanyak 3 kali dan doa awal tahun apabila tibanya tahun baru Islam. Katanya, Rasulullah sallahu alayhi wassalam tak pernah buat. Eh, memang betul pun Rasulullah tak pernah buat. Tapi apakah dengan kita membaca Yasin sebanyak 3 kali itu, dan kemudian membaca doa awal tahun, maka kita telah pun melakukan bida'ah yang sesat, yang seterusnya membawa kita ke neraka?

    Eh, sabar. Rileks. Jangan terburu-buru untuk menghantar orang ke neraka. Tanyalah terlebih dahulu kepada mereka yang buat amalan begitu. Adakah mereka mengi'tikadkan amalan tersebut adalah datang dari Rasulullah dan wajib dilakukan apabila tibanya tahun baru Islam? Jika mereka jawab ya, maka kita beritahu mereka elok-elok bahawa sebenarnya Rasulullah tak pernah buat begini. Jika mereka jawab tidak, maka tiada apa-apa masalah. Berdoa amat digalakkan. Membaca Al-Quran sebelum berdoa akan menjadikan doa kita itu lebih mustajab.

    Kalau kamu nak kata ini amalan bida'ah yang boleh membawa seseorang ke neraka, maka silalah bida'ahkan juga wirid-wirid Al-Mathurat yang dikumpulkan oleh Imam Hasan al-Banna itu. Ada Rasulullah pernah suruh umatnya baca kesemua zikir-zikir tu pada setiap pagi dan petang, sebanyak sekian-sekian kali berserta kaifiat-kaifiatnya yang tertentu?

    P.S. Saya tak baca Yasin sebanyak 3 kali mahupun membaca doa tahun baru apabila masuknya tahun baru Islam beberapa jam yang lepas. Tapi rileks la..perkara kecil aje ni. Tak payah besar-besarkan sangat.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Lagu I'tiraf

    12 Oktober 2006 • 21 Komen
    Saya sukakan puisi al-I'tiraf. Ia puisi yang melembutkan hati saya dan membawa saya berfikir sejenak dan kadang-kala berjenak-jenak ke alam akhirat - satu alam yang akan kita hidup selama-lamanya di situ. Ia boleh jadi syurga atau neraka. Semoga Allah menempatkan saya, kalian, dan orang-orang beriman di Syurga selama-lamanya. Amin.



    Oleh itu, saya ingin minta tolong kalau ada sesiapa yang tahu sejarah di sebalik puisi al-I'tiraf ini. Ada orang kata, ia ditulis oleh Rabiatul Adawiyyah. Tapi dari apa yang saya baca dalam Tafsir al-Azhar karangan Buya Hamka, ia ditulis oleh Imam Shafi'i. Dan saya lebih meyakini ia ditulis oleh Imam Shafi'i. Namun demikian, kalau saya tak silap, puisi al-I'tiraf yang terdapat dalam tafsir al-Azhar itu tidaklah sepanjang lagu I'tirof yang dinyanyikan oleh Haddad Alwi. Maka kalau ada yang boleh bantu saya, silalah beritahu:

    1 - Siapa penulis sebenar puisi ini,
    2 - Dan panjang mana sebenarnya bait puisi tersebut. Adakah panjangnya sekadar di bawah ini?

    doa taubat selawat

    Yang atas ini sekadar transkripsi dari lagu I'tirof oleh Haddad Alwi. Kawan saya punya ustaz yang tolong tuliskan kira-kira 3 tahun lepas, dan yang terdapat di blog ini pula adalah versi yang saya sudah edit/hias/solek. [lihat versi asli]. Tapi ustaz tu tak dapat tangkap ayat penuh pada bait yang bertanda *. Oleh itu, beliau pun sekadar membuat educated guess.

    Cari punya cari, akhirnya saya jumpa versi transliterasi lagu tersebut. Ini dia:
    Ilaahi lastu lilfirdausi ahla
    walaa aqwaa 'alannaaril jahimi
    fahabli taubatan waghfir dzunuubi
    fa innaka ghoofiruddzambil 'adziimi

    Dzunuubi mitslu a'daadir rimaali
    fahablii taubatan yaa dzaljalaali
    wa'umrii naaqishun fiikulliyaumi
    wa dzambii zaa-idum kaifahtimali

    Ilaahi 'abdukal 'aashi ataaka
    muqirron biddzunuubi waqod da'aaka
    fa in taghfir fa anta lidzaaka ahlun
    wa in tadrud faman narjuu siwaaka

    Jadi, bagi sesiapa yang terer bahasa Arab, boleh tak tolong terjemahkan ayat yang saya bold itu, dan juga bagi tadrud itu, ia tadrud atau tatruk? Jazakallah bagi yang dapat menolong. Dan selamat menikmati baki Ramadan yang ada.

    Jalan-Jalan

    Mari bantu rakyat Palestin dengan Everyclick.com. Everyclick.com adalah enjin carian yang mendermakan 50% keuntungannya kepada badan-badan kebajikan. Sebelum memulakan carian, sila mendaftar dahulu di http://www.everyclick.com dan pilih Durham Palestianan Educational Trust sebagai pilihan badan kebajikan.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bila Anak Bulan Lahir

    25 September 2006 • 25 Komen

    Anak bulan telah selamat dilahirkan.


    Hari ini kita sudah memasuki bulan Ramadhan, iaitu satu bulan yang sangat mulia di sisi Islam. Pastinya ada di antara kita yang berazam untuk meningkatkan amal ibadah di bulan ini. Alhamdulillah. Mungkin saya boleh mencadangkan satu amalan yang boleh kita amalkan selalu sebagai cara untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Amalan ini ialah doa.

    Surah Al-Baqarah yang bermula dengan ayat 183 hingga 187 telah menjadi dalil kewajiban puasa kepada umat Islam. Namun demikian, Allah juga telah menyelitkan perkara berkaitan doa pada ayat 186. Firman Allah:



    Ayat 186 yang terselit di celah-celah ayat berkaitan Ramadan ini, seolah-olah menjadi petanda supaya kita memperbanyakkan doa di waktu bulan yang tersangat-sangat mulia, satu bulan yang mana di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Namun demikian, berdoa ini panjang cerita dan syarahnya. Banyak syarat yang perlu dipenuhi kalau mahu doa dimakbulkan. Oleh itu, tidaklah begitu sesuai untuk disentuh semuanya dalam blog ini.

    Banyakkan doa dan istighfar kepada Allah. Andai kata kita berdoa untuk 100 perkara, dan jika Allah hanya menunaikan doa kita untuk selamat di dunia dan di akhirat sahaja, maka ia sudah lebih dari cukup. Beristighfarlah dengan Sayyidul Istighfar (Penghulu Segala Istighfar), kerana ia adalah sebaik-baik istighfar:



    Berdasarkan hadith riwayat Imam Bukhari, Nabi Muhammad sallahu alayhi wassalam bersabda bahawa sesiapa yang membacanya dengan penuh keyakinan setiap pagi dan petang, dan sekiranya ia mati di waktu itu, insyaAllah dia akan masuk Syurga.

    Mungkin kalian juga boleh membaca istighfar di bawah ini di dalam rukuk dan sujud sewaktu solat. Kalau takut tak sempat baca sebab tok imam agak cepat, maka boleh baca istighfar di bawah ini sahaja, tanpa perlu membaca zikir Subhaana rabbi'yal 'azim (ketika rukuk) atau Subhaana rabbiyal 'alaa (ketika sujud).



    Semoga Allah memberikan keampunan dan rahmat-Nya kepada umat Islam di seluruh dunia. Amin.

    Jalan-Jalan

    In Pictures - Observing Ramadan from various locations of the world.

    Duduk di negara bukan Islam yang tiada sistem rasmi bagi menentukan tarikh permulaan Ramadan, Syawal, dan sebagainya, memang agak memeningkan kadang-kadang. Masjid tok Arab nak ikut Arab Saudi. Masjid Pakistan nak ikut tarikh dia juga. Masjid Syiah pula tak mahu ikut ketetapan masjid Sunni. Macam-macam daa..pasal anak bulan pun dah boleh pecah-belah - baik di Amerika mahupun Eropah. Benda yang sekecil macam ini pun tak boleh cari satu kata sepakat, jadi kamu jangan hairan le kenapa isu Palestin tak selesai-selesai sampai sekarang.

    Apa pun, kalau nak tahu serba-sedikit tentang hal ini, mungkin boleh baca artikel oleh Sheikh Hamza Yusuf bertajuk Cesarean Moon Births. Dengar audio Moonsighting pun boleh juga. Apa-apa hal, kalau kita ini orang awam, tak payah la pening-pening sangat nak masuk campur perdebatan ulama ini. Dan kalau tak mahu masuk campur pula, maka tak perlulah pandai-pandai buat ijtihad sendiri tentang bila mula puasa, atau bila mula raya.

    Jangan jadi macam kat kampung saya sudahlah. Ada satu keluarga, orang belum raya, dia sudah raya. Orang belum puasa, dia sudah puasa. Kalau mata sendiri yang nampak anak bulan tu lainlah cerita. Ini katanya sebab tak mahu ikut ketetapan kerajaan. Kerajaan tak boleh pakai katanya. Aduh, kompleks nak terangkan ni..lagi-lagi si dia ini jenis La Mazhab.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »