Back to home page

Mat Saleh 'Alim

04 Disember 2006 • 7 Komen Cetak Chenta!
Sheikh Abdul Hakim Murad (SAHM) [1] pada muqaddimahnya menyentuh tentang mentaliti pendakwah-pendakwah Islam sepanjang zaman. Beliau memberikan contoh binaan-binaan masjid yang dibina ketika zaman permulaan dakwah Islam. Masjid-masjid di Jawa, China, Balkan, bahkan di Melaka mempunyai identiti yang unik. Mengapa? Kerana semua masjid-masjid berkenaan seperti Masjid Demak dan Masjid Agung Xi'An di China mempunyai identiti tempatan.

xian mosque
Masjid Xian di wilayah Shaanxi, China, telah dibina semasa zaman pemerintahan Maharaja Xuanzong (712-756) yang mengepalai Dinasti Tang. Masjid ini terletak di bahagian timur Jalan Sutera (Silk Road).


Masjid Demak misalnya sarat dengan seni binaan Jawa zaman Majapahit. Di Xi'An pula, masjidnya tidak ubah seperti pagoda! Masjid-masjid yang dibina ini tidak punya kubah-kubah bulat mahupun menara yang tinggi-tinggi seperti di mana-mana negara Arab. Apa yang cuba disampaikan oleh SAHM ialah pendakwah-pendakwah Islam pada zaman dahulu sebenarnya sangat memahami pemikiran, budaya, adat dan identiti penduduk tempatan. Kedatangan mereka bukanlah untuk mengubah identiti masyarakat setempat secara radikal.

Di Jawa misalnya, kebudayaan mereka masih tebal dengan animisme [2] dan kepercayaan Hindu. Islah dan dakwah mahu pun tajdid bukanlah proses yang radikal atau pun tergesa-gesa. Bahkan pendakwah-pendakwah dahulu seperti Wali Songo [3] di kepulauan Jawa begitu memahami uslub dakwah yang diwarisi daripada Rasulullah sallahu 'alayhi wassalam yang sensitif dengan kefahaman masyarakat setempat.

Di kalangan Wali Songo misalnya, mereka sendiri menggunakan nama baru bila berhadapan dengan masyarakat, meskipun nama asal mereka rata-ratanya dalam bahasa Arab. Sunan Ampel misalnya bernama Raden Rahmat. Penggunaan nama Jawa beliau adalah untuk menunjukkan kebersamaan beliau dengan masyarakat setempat, satu metodologi yang cukup berkesan dalam lapangan dakwah. Masjid Demak yang dibina oleh Wali Songo ini misalnya mempunyai senibina Jawa yang sama dengan senibina tempatan pada zaman tersebut.

Secara tidak langsung, kaedah dakwah yang digunakan oleh Wali Songo ini mendekatkan hati penduduk tempatan dengan mereka. Adat-adat mereka yang tidak bercanggah dengan Islam tidak pernah disentuh. Malahan jika ada yang baik ia akan diteruskan tanpa halangan. Contoh terdekat ialah wayang kulit yang asalnya mempunyai boneka-boneka menyerupai manusia. Kisah-kisah yang diceritakan oleh tukang-tukang karut biasanya berkisar tentang epik Ramayana dan Mahabrata Hindu. Wayang kulit merupakan salah satu sumber hiburan masyarakat ketika itu.

Oleh itu, adalah tidak bijak jika Wali Songo mengambil pendekatan untuk membid'ahkan, mensyirikkan ataupun melabelkan budaya sebegini dengan label yang keras-keras sehingga menjauhkan manusia daripada Islam. Sebaliknya, para pendakwah ini mengubah bentuk persembahan wayang kulit. Karektor dalam wayang kulit 'dicacatkan' sedikit supaya tidak menyerupai manusia sempurna dan plot penceritaannya digubah supaya tidak lagi berkiblatkan kandungan kitab-kitab epik Hindu. Ini antara kebijaksaan dakwah yang seharusnya dicontohi [4].

SAHM turut membandingkan sikap dan approach dakwah sebegini dengan sesetengah pendakwah yang ada sekarang. Menurut beliau, ramai pendakwah terutama di dunia Barat ini kurang memahami aspirasi dan kebudayaan penduduk setempat. Lebih malang lagi terdapat segolongan daripada mereka yang mempunyai kefahaman yang kabur tentang konsep bid'ah dan sebagainya.

Hasilnya, mereka terlalu cepat menghukum amalan-amalan tertentu masyarakat yang sebenarnya boleh diterima dalam Islam. Tidak kurang juga golongan yang mendakwa mereka sebagai pendokong Sunnah dan pembawa aspirasi golongan Salaf-as-Soleh. Tetapi berbahasa Inggeris pun masih gagal meskipun sudah tinggal bertahun-tahun di sini [5]. Apa yang terbentuk ialah satu komuniti yang tidak pernah melakukan reach out terhadap bukan Muslim yang berpotensi untuk menerima Islam. Orang Islam yang berhijrah ke UK, kekal dengan kefahaman dan budaya mereka lantas membina tembok besar daripada masyarakat setempat. Tiada usaha dakwah dan tiada kesungguhan untuk menyampaikan mesej Islam. Yang tinggal cumalah pandangan hina dan negatif mereka terhadap golongan bukan Muslim di UK atau Ireland.

Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Komuniti Islam tidak kira samada yang menetap atau bermukim di benua ini untuk bekerja ataupun belajar punya tanggungjawab untuk menyampaikan risalah suci sekadar kemampuan mereka. Mengambil posisi dalam politik bukanlah agenda utama umat Islam di Eropah buat masa sekarang. Umat Islam di sini lebih memerlukan usaha dakwah dan pendidikan yang sistematik dari sumber-sumber yang sahih. Bukan daripada golongan pelampau ataupun liberal.

Dalam masa yang sama SAHM menyatakan kekesalan terhadap reaksi umat Islam yang keterlaluan terhadap sesuatu isu. Contohnya dalam isu karikatur Denmark dan kenyataan Pope mengenai Islam. Tunjuk perasaan atau demonstrasi menurut beliau, bukanlah cara yang paling baik kerana masyarakat bukan Islam di sini tidak begitu ambil pusing tentang mana-mana demonstrasi. Pendidikan dan peningkatan kefahaman Islam adalah satu-satunya cara untuk mengubah persepsi masyarakat bukan Islam terhadap agama kita.

Beberapa jam bersama beliau bagaikan beberapa minit. Aneh sekali, seorang yang dilahirkan Muslim seperti aku kini belajar dengan seorang British yang dahulunya beragama Kristian. Belajar tentang Islam dan dakwah. Yang lebih aneh, belajar tentang kebudayaan dan sejarah Nusantara daripada seorang mat saleh seperti Sidi Abdal Hakim Murad [6]!

----
Artikel ini ditulis oleh Shafiq Ayman dan ditambah nota kaki ringkas oleh Tawel Sensei. Artikel ini tidak memetik bahagian mukadimah artikel yang asal. Untuk membaca sepenuhnya, sila ke: taimiyyah.blogspot.com

Sebagai penutup, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah agar merahmati kesembilan-sembilan Wali Songo itu, dan juga para pendakwah Islam lain yang berjaya mengIslamkan nenek moyang kita yang dahulu. Tanpa pendekatan dakwah mereka yang tersangat berhikmah itu, mungkin agama Hindu masih bertapak kuat di wilayah Nusantara ini.



Nota Kaki

[1] Artikel ini adalah kesinambungan dari Lawatan Sheikh Abdul Hakim Murad.

[2] Animisme adalah satu kepercayaan bahawa setiap benda yang ada di sekeliling kita ini mempunyai semangatnya yang tertentu. Contohnya, semangat matahari, semangat angin, semangat tanah dan sebagainya. Dengan memuja semangat-semangat yang tertentu, maka mereka akan beroleh kekayaan dan kemakmuran sepanjang tahun.

[3] Songo di dalam konteks bahasa Jawa bermaksud sembilan. Sembilan orang Wali Songo itu adalah:
  • Maulana Malik Ibrahim (Sheikh Maghribi)
  • Sunan Ampel (Raden Rahmat)
  • Sunan Giri (Raden Paku)
  • Sunan Bonang (Raden Makhdum Ibrahim)
  • Sunan Drajat (Raden Kasim)
  • Sunan Kudus (Jaa'far Sadiq)
  • Sunan Kalijaga (Raden Mas Said)
  • Sunan Muria (Raden Umar Said)
  • Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah)
[4] Antara kisah lain yang boleh dikongsi bagi menunjukkan betapa berhikmahnya pendekatan dakwah Wali Songo ini adalah berkaitan Sunan Kudus. Sewaktu Sunan Kudus berdakwah, beliau melarang umat Islam dari menyembelih lembu untuk dimakan. Walaupun dalam Islam, lembu adalah haiwan yang halal dimakan, tetapi beliau melarangnya semata-mata untuk menghormati para penganut Hindu yang memuliakan lembu. Malah, beliau juga pernah menambatkan lembu di hadapan masjid bagi menunjukkan betapa pekanya beliau terhadap kepercayaan penduduk tempatan waktu itu.

Di katakan bahawa sehingga hari ini, masih terdapat beberapa tempat di kawasan Kudus yang mana penduduk Islamnya tidak menyembelih dan memakan lembu. Ini semata-mata bertujuan untuk menunjukkan tanda hormat mereka kepada para penganut Hindu (jangan salah faham pula! Mereka sekadar menghormati penganut Hindu, dan bukannya mereka beriktikad bahawa lembu haram dimakan kerana ia adalah Tuhan bagi orang-orang Hindu).

Di samping itu, Sunan Kudus juga telah membina Masjid Kudus (juga dikenali sebagai Masjid al-Aqsa dan Masjid al-Manar) di kota Kudus, Jawa Tengah pada tahun 1549. Masjid Kudus mengekalan ciri-ciri kebudayaan tempatan. Contoh paling jelas boleh dilihat pada menara masjidnya yang mengadaptasikan bentuk candi. Dengan kata lain, rekaan dan senibina arkitek masjid ini adalah hasil gabungan seni Islam dan Hindu.

masjid kudus
Menara Masjid Kudus yang meminjam bentuk candi.


[5] Imam Zaki Badawi (meninggal dunia pada 24 Januari 2006) merupakan bekas Imam Masjid Besar London. Beliau sering menekankan betapa pentingnya para pemimpin Islam dan imam-imam masjid di United Kingdom untuk menguasai bahasa Inggeris. Antara masalah utama imam-imam masjid di UK dan Ireland ialah mereka tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Akhirnya, khutbah Jumaat menjadi hambar dan membosankan. Khutbah Jumaat disampaikan di dalam bahasa Arab, walau pun kebanyakkan yang hadir tidak tahu berbahasa Arab. Ketika bulan Ramadan, Masjid Dublin (dikuasai oleh puak 'Salafi') mengadakan ceramah agama setiap hari selepas waktu Asar. Tetapi cukup menyedihkan apabila bahasa Arab digunakan sepenuhnya. 'Salafus soleh' apa namanya kalau begini! Wake up, kamu bukan berada di Tanah Arab!

[6] Saya juga berasa aneh. Kalian bagaimana?

7 Komen Tambah Komen↴

membaca artikel ini teringat saya pada kata-kata syaikhuna mufti mesir Dr ali Jumah, dalam satu pengajiannya di masjid al-azhar tentang keperluan seorang pelajar agama yang bakal menjadi pendakwah untuk perlu mendalami ilmu sosiologi, begitu juga apa yang disarankan oleh beliau dalam kitabnya ( bagaimana memahami turas islam )untuk menjadi seorang mufti, pendakwah atau qodi yang faqih-usuli, dalam setiap zaman ulama-ulama perlu mahir dengan ilmu sains sosial, supaya pandangan dan fatwa yang diputuskan disesuatu tempat tidak akan menyebabkan berlakunya salah faham terhadap islam.

nampaknya lepas ni kena telaah kitab muqaddimah ibnu khaldun, sebab dalamnye terkandung kaedah memahami ilmu sosiologi, dan kitab ni pulak adalah kitab ilmu sosiologi yang paling awal disusun

Tanpa Nama

Laa, aku ingatkan wali songo tuh nama orang sorang jek.. sembilan orang ek? huhu.. jahilnya aku.

Faqir: Aku juga dahulu jahil. Huhu. Tapi aku tak le jahil sangat bahasa Jawa..haha. Syukur sebab mak aku orang Jawa :p

Faqirdehilir: Aku ada kitab Muqadimmah Ibnu Khaldun. Tapi aku kadang2 rasa lost bila baca buku tu. Mungkin aku kena belajar kitab ni dari mana-mana sensei yang bertauliah.

tawel: mu punya muqaddimah ibn khaldun yang bahasa melayu ke inggeris

muqaddimah tu perlu dibaca dengan kitab tarikhnya (kitab falsafah sejarah) sekali, baru boleh faham muqaddimahnya.... tapi saya sendiri pun pening..

Versi orang putih, terjemahan Franz Rosenthal. Kalau mu sendiri pun dah pening, apa lagi diriku. Sampai sekarang tak terhabis-habis lagi. Aku menyalahkan kawan aku yang pinjam buku tu yang sampai sekarang ni tak pulang2 lagi..hehe..padahal kalau dia pulangkan sekarang pun, belum tentu aku punya masa untuk mengkhatamkannya.

huhu tawel... aku juga x berapa nak grasp lg buku tu... maafkan daku... lps xmas aku pulang...

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.