Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Fatima Si Gadis Arab

    04 Mei 2008 • 12 Komen
    Mula-mula, saya rasa comel tengok Fatima. Memang ramai pun orang kata budak ni comel. Tapi bila ada soalan "Di Mana Allah", ada juga rasa tidak sedap di hati. Saya teruskan menontonnya, dan bila 2 soalan lain diajukan:
    • Apa hukum menggunakan biji tasbih (dijawabnya bidaah),
    • Apa hukum menyambut Maulid Nabi (juga dijawabnya bidaah),

    Lalu membuat saya tertanya-tanya, siapalah yang ajar Fatima benda-benda macam ni. Perlu sangatkah bagi budak berumur 2 tahun ini didedahkan dengan hukum-hakam beberapa amalan Islam yang terdapat khilaf ulama padanya? Dan yang lagi dahsyat, terus dibasuh otak budak ni bahawa amalan-amalan itu adalah bidaah (dalam konteks di sini, ia dirujuk kepada bidaah sesat).

    Adik Fatima, kalau kau faham Bahasa Malaysia, abang nak pesan satu sahaja:
    "Bila dah besar nanti jangan sikit-sikit nak bidaah orang dah le."
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    cos ♥ ≟ ∞

    02 Mei 2008 • 14 Komen
    Dalam bahasa bukan Trigonometri: "Adakah semua cinta itu bersifat infiniti?"

    Gambar burung yang kematian kekasih.
    UPDATE: Untuk mengelakkan orang tersalah tafsir gambar di atas, seperti mana yang berlaku pada Cikgu Ummuhanah, maka saya letakkan juga dialog yang mungkin dicakap oleh burung di atas. Terjemahan dialog dalam bahasa burung kepada bahasa manusia telah direka dan dilakukan oleh Aiyrie:
    Pic 1: "Ooii!! buat apa tu.. Tido ke?"

    Pic 2: "Oooiii!!! Bangun... Takde keje ke tido tengah jalan ni??"

    Pic 3: "Eh! Budak ni, taknak bangun pulak. Aku sekeh karang."

    Pic 4: "Aik!! Tak bangun jugak, ni yang aku geram ni."

    Pic 5: " Nah! Amik kau."

    Pic 6: "Ya Allah, ni bukan tido ni. Dah arwah dah. Somebody, help me. Kawan aku meninggal tepi jalan."
    ---
    Pada satu hari, Syaqiq bertanya kepada Hatim, "Kamu telah bersahabat denganku selama 30 tahun. Apakah yang telah kamu perolehi dari persahabatan kita ini?"

    Jawab Hatim, "Aku telah memperolehi lapan perkara, cukup sebagai bekalan bagi keselamatan aku di Akhirat nanti."

    Dan ini salah satu dari 8 perkara tersebut:
    Aku melihat semua manusia mempunyai kekasih. Sebahagian mereka sanggup menemani kekasihnya sehingga waktu ajal mendatang. Ada pula yang akan terus menemaninya hingga ke liang lahad. Selepas itu mereka akan pulang. Tinggallah manusia ini keseorangan di dalam kuburnya.

    Lalu aku berfikir, "Sebaik-baik sahabat adalah mereka yang sanggup menemani aku sehingga ke dalam lubang kubur. Aku tidak menemui sahabat sebegini melainkan amal solehku."

    Lalu aku pun menjadikan amal soleh sebagai kekasih aku. Agar amalan aku itu boleh menjadi pelita menerangi kegelapan di dalam kubur aku kelak, boleh menghiburkan aku dan tidak meninggalkan aku keseorangan di dalamnya.

    (Pertanyaan Syaqiq al-Balkhiy kepada kawan baiknya, Hatim al-'Assam. Dari kitab Ya Ayyuhal Walad al-Muahib tulisan Imam al-Ghazali)


    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    A₁L₁L₁E₁Y₄C₃A₁T₁S₁ == N₁I₁Z₁₀A₁R₁

    29 April 2008 • 8 Komen
    Siapa Nizar? Nizar adalah Menteri Besar Perak yang baru. Siapa Alleycats? Alleycats adalah satu kumpulan muzik dari Malaysia yang membawa lagu-lagu bertema pop balada. Sepintas lalu, tiada persamaan ketara antara mereka. Rambut mereka mungkin sama hitam, tapi fesyennya lain-lain. Sebenarnya, Nizar dan Alleycats itu walaupun aspirasi dan medan perjuangan mereka berlainan, namun dari segi pendekatan, mereka ada sekurang-kurangnya satu persamaan. Apa dia? Bahasa.

    Oh ya di samping itu juga, secara Scrabblenya, A₁L₁L₁E₁Y₄C₃A₁T₁S₁ == N₁I₁Z₁₀A₁R₁ = 14 mata. Ini sekadar satu trivia sahaja sebelum kita sembang hal yang mungkin agak berat bagi sesetengah orang.

    KUMPULAN ALLEYCATS

    Abang saya yang seorang itu minat sungguh dengan Alleycats. Semua album-album Alleycats dia ada. Walaupun saya tidak hidup di zaman keemasan Alleycats, namun gara-gara selalu mendengar lagu mereka yang sering diputarkan oleh abang saya itu, akhirnya saya bolehlah juga dikira sebagai peminat Alleycats. Walaupun kumpulan ini sudah berusia lebih 30 tahun dan penyanyi utamanya sudah pun meninggal dunia baru-baru ini, namun lagu-lagu mereka masih berhantu kepada orang-orang Melayu.

    Loga dan David Arumugam


    Ini sesuatu yang menarik untuk difikirkan memandangkan kumpulan Alleycats adalah satu-satunya pemuzik bukan Melayu yang berjaya mencuri hati pendengar Melayu yang tua mahu pun yang muda dengan begitu berkesan sekali. Saya tidak fikir suara Loga dan David Arumugam yang serak berlemak itu akan memberi kesan yang sama kepada orang-orang Melayu khususnya, dan Malaysia amnya, sekiranya lagu-lagu Tamil atau Inggeris adalah pentas perjuangan mereka.

    Dengan kata lain, Alleycats dekat kepada hati para pendengar Melayu kerana bahasa yang menjadi medium komunikasi mereka adalah sama. Bahkan ketika kali pertama saya mendengar lagu-lagu mereka sewaktu saya kecil, tertipu saya dibuatnya kerana menyangka Alleycats adalah sebuah kumpulan muzik Melayu.

    MOHAMAD NIZAR

    Apabila saya membaca profil Ir Mohamad Nizar Jamaludin, sukar rasanya untuk tidak bergosip dengan beberapa rakan saya tentang alangkah bagusnya jika Nizar ini boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti.

    Tidaklah sesuatu yang ajaib jika Nizar petah berbahasa Cina memandangkan beliau memang ada darah tersebut. Apabila beliau boleh juga berbahasa Tamil, maka itu adalah satu bonus yang menjadikannya orang paling layak menyandang jawatan politik paling tinggi di negeri Kejo Yeop Kejo selepas berlabuhnya tirai PRU12.

    Pengetahuan Nizar dalam dua bahasa ibunda kepada bangsa kedua dan ketiga terbesar di Malaysia ini pastinya akan lebih memudahkan beliau berkomunikasi dengan rakyat. Kalau saya orang India, mesti saya terkesima gembira sambil tersengih-sengih apabila Nizar berbual-bual dengan saya dalam bahasa Tamil. Tidak hairanlah beliau pernah memukau hadirin yang majoritinya berbangsa Cina dalam sebuah forum yang diadakan di Dewan Dou Mu, Ipoh.

    Di sinilah letaknya persamaan Nizar dan Alleycats. Jika Alleycats sangat sinonim dengan bangsa Melayu kerana perjuangannya berpentaskan lagu-lagu Melayu, maka Nizar juga mampu meraih sokongan kuat dari semua bangsa di Perak melalui faktor bahasa juga, tetapi dengan beberapa syarat jugalah seperti adil dan bebas rasuah, kerana realiti politik tidak sama seperti dunia hiburan.

    BAHASA SEBAGAI AGEN PERPADUAN

    Saya tidak percaya budak-budak sekolah yang belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris boleh menjadikan mereka lebih bijak dalam subjek berkenaan. Pelajar sekolah di Finland yang dinobatkan sebagai antara golongan pelajar paling pintar di dunia, tidak mempelajari subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya bahasa ibunda mereka, Finnish, digunakan.

    Wall Street Journal ada melaporkan tentang keadaan pelajar sekolah di sana dan ia menunjukkan bahawa bahasa Inggeris tidak memainkan peranan yang penting sama sekali. Apa yang relevan adalah teknik dan polisi, yang mana banyak di antaranya akan membuatkan kita berfikir sejenak tentang hala tuju sistem pendidikan negara kita:
    High-school students here rarely get more than a half-hour of homework a night... ...Finnish educators believe they get better overall results by concentrating on weaker students rather than by pushing gifted students ahead of everyone else. The idea is that bright students can help average ones without harming their own progress...

    ..In most countries, education feels like a car factory. In Finland, the teachers are the entrepreneurs... ...While many U.S. parents worry about enrolling their toddlers in academically oriented preschools, the Finns don't begin school until age 7, a year later than most U.S. first-graders...

    Sebab itu bagi saya, daripada mengajar budak-budak sekolah subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris, alangkah bagusnya jika mereka ini diajarkan bahasa Tamil dan Mandarin. Dengan cara ini, semua bangsa yang ada di Malaysia ini akan boleh bercakap sekurang-kurangnya empat bahasa. Kalau budak sekolah agama, mereka akan tahu juga bahasa Arab, dan ini menjadikan lima bahasa.

    Seandainya ini berlaku, hebat rakyat Malaysia dipandang dunia sebab tiada lagi mana-mana negara setakat ini yang mana majoriti rakyatnya boleh faham dan/atau bertutur dalam sekurang-kurangnya empat bahasa! Taiko-taiko pendidikan di UK juga pasti akan terpegun kerana mereka sendiri juga sedang berusaha memastikan pelajar sekolahnya mempelajari bahasa kedua seperti Mandarin:
    The current dominance of the English language poses "serious" economic and political disadvantages for the UK, the study claims... ...Spanish, Mandarin and Arabic are all languages of the future.

    Bagi situasi di Malaysia pula, ia lebih membawa kepada perpaduan kaum. Satu-satunya sebab mengapa keluarga John sangat disenangi oleh orang-orang kampung saya adalah kerana mereka sekeluarga mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih dan baik sekali. Sebab itu apabila saya berbual dengan anak lelaki dan perempuan mereka yang lebih kurang sebaya dengan saya, perbualan itu (hatta perbualan yang pertama kali) menjadi sangat mesra seolah-olah saya sedang berbual dengan rakan berbangsa Melayu. Mujur saya tidak jatuh hati pada anak perempuannya yang lawa itu.

    Akuilah bahawa kita sebenarnya suka jika orang bangsa lain tahu cakap bahasa kita. Saya pernah tersengih-sengih bila melihat seorang mat saleh menyanyi lagu Renjis-renjis Dipilis sambil memetik gitar kapoknya. Dan saya juga rasa bangga apabila ada Pak Arab yang boleh berkecek Melayu Kelate dengan fasih. Malah saya juga mudah mesra dan suka dengan beberapa orang-orang Arab dan Pakistan di sini yang sesekali menegur saya dalam Bahasa Melayu. Inilah psikologi first impression.

    Maka akuilah bahawa begitu jugalah sebaliknya. Orang Cina dan India juga akan jadi lebih rapat dengan orang Melayu jika kita boleh bercakap dalam bahasa ibunda mereka dengan fasih. Kita selalu mahukan agar orang Cina dan India memahami adat dan budaya orang-orang Melayu, namun saya sendiri tidak nampak usaha-usaha pragmatik yang dijalankan bagi merangsang orang-orang Melayu supaya memahami adat dan budaya bangsa lain.

    Saya percaya hal ini boleh dilakukan melalui bahasa. Bahasa itu tingkap budaya. Seperti mana yang kita tahu, cerita-cerita rakyat seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin, Sang Kelembai, dan sebagainya, banyak mendokumentasikan budaya-budaya Melayu dalam cara yang tidak formal. Maknanya jika bangsa lain membacanya, mereka secara tidak langsung akan lebih memahami bangsa Melayu itu sendiri.

    Saya ada satu soalan yang sesekali dilontarkan kepada diri sendiri dan berusaha menjawabnya tanpa perlu berkhalwat dengan Sheikh Google: "Berapa banyak watak daripada cerita-cerita rakyat bangsa Cina dan India yang aku tahu?" Tak terjawab aku dibuatnya! Ini baru cerita-cerita rakyat, belum masuk bab prosa klasik.

    Jangan harapkan agar orang lain memahami kita sekiranya kita sendiri tidak berusaha untuk memahami orang lain.

    BAHASA DAN DAKWAH

    Nabi Muhammad sallahu alayhi wassalam apabila berjumpa dan berdakwah kepada pelbagai suku Arab, Baginda akan bertutur dalam dialek yang digemari oleh suku tersebut. Maka tidak hairanlah apabila Al-Quran itu sendiri diturunkan dalam 7 jenis qiraat, iaitu tujuh cara bacaan yang berbeza.
    Ubai bin Ka'ab meriwayatkan bahawa satu hari Malaikat Jibril datang bertemu Rasulullah sallahu alayhi wassalam, lalu berkata Jibril kepada Baginda: "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam satu dialek." Baginda menjawab: "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."

    Jibril datang buat kali yang kedua lalu berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam dua dialek." Baginda menjawab, "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."

    Jibril datang buat kali yang ketiga lalu berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam tiga dialek." Baginda menjawab, "Aku memohon ampun kepada Allah. Pengikutku tidak mampu menerimanya."

    Jibril kemudian datang lagi buat kali yang keempat dan berkata, "Allah telah memerintahkan engkau supaya membacakan Al-Quran kepada para pengikutmu dalam 7 dialek, dan mana satu pun dialek yang mereka ikut, mereka akan tetap betul."

    (Hadith Sahih Muslim, Buku 4, Hadith 1789)

    Pengajaran yang kita boleh ambil ialah jika dua pihak menggunakan bahasa yang sama, maka ia akan memudahkan proses komunikasi dakwah itu sendiri, bahkan dapat pula merapatkan jurang perbezaan budaya antara satu sama lain. Allahyarham Imam Zaki Badawi yang pernah bertugas sebagai Imam di Masjid Besar London, sering menyeru imam-imam masjid yang bertaburan di UK agar memberikan khutbah dalam bahasa Inggeris:
    I was horrified that none of the other imams could speak English. I was amazed that they didn't understand anything about other religions and were so unfamiliar with western culture.

    Sebenarnya ini antara kisah benar perkembangan Islam di negara 'kuffar' pada hari ini. Contoh yang paling dekat dengan saya berlaku di Masjid Dublin. Orang-orang yang kuat pengaruhnya di masjid tersebut ada di antaranya yang telah hidup lebih 10 tahun di sini. Namun, penguasaan bahasa Inggeris mereka agak mengecewakan. Mereka terlalu mengagung-agungkan bahasa Arab, baik dalam khutbah Jumaat mahu pun majlis ilmunya, sedangkan jemaah yang datang bukan semuanya tahu Arab. Pernah satu Ramadhan dahulu, majoriti majlis ilmu yang diadakan selepas Asar telah disampaikan dalam bahasa Arab sepenuhnya (dan tiada terjemahan langsung).

    Pernah ada seorang brother Melayu yang menegur polisi tidak bertulis masjid berkenaan, dan kemudian jawab salah seorang orang kuat masjid itu, "You should learn Arabic. This is the language of the Jannah!" Ironi sungguh jawapan yang dilontarkan oleh orang kuat masjid tersebut yang sering melaung-laungkan slogan 'kembali kepada Al-Quran dan Sunnah' dan menganggap pula jemaah mereka sebagai Salafi tulen bak golongan Salafus soleh. Adakah mereka ini tidak pernah mengetahui bahawa golongan nenek moyang mereka yang datang berdagang di Nusantara ini, telah berjaya membawa sinar Islam di sini kerana mereka berusaha keras untuk mempelajari budaya dan bahasa penduduk tempatan?

    Hai entahlah Labu. Apa pun yang pasti, daripada dengar lagu Sampaikan Salam Cintaku oleh Alleycats, lebih afdal rasanya jika gegendang telinga itu digegarkan juga dengan lagu Cing Ai Ching Ai oleh Raihan.

    Terima kaseyyy kerana membaca sehingga habis!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »