Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label bidaah. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label bidaah. Papar semua catatan

    Hari Bapa, Hari Ibu dan Hari Sewaktu Dengannya

    19 Jun 2010 • 11 Komen
    Esok, 20 Jun 2010, adalah Hari Bapa. Seperti juga bila tibanya Hari Ibu, mesti akan ada orang yang bising-bising mempersoalkan apa perlunya kita menyambut Hari Bapa buatan Barat ini.

    Kata mereka, ini bidaah sesat sebab Hari Bapa dan Hari Ibu ini tidak pernah disambut oleh umat Islam di zaman Salafus Soleh (iaitu zaman wujudnya umat Islam paling terbaik yang berlaku dalam lingkungan 300 tahun daripada Baginda sallahu alayhi wassalam).

    Kata mereka lagi, kenapa perlu meraikan ibu dan bapa dalam hari-hari tertentu sahaja? Bukankah kita wajib meraikan mereka pada setiap hari, selama 365 hari setahun?

    Lalu sebenarnya, boleh atau tidak hendak sambut ni?

    Apa pun, saya tidaklah menyambutnya. Bahkan konsep ini sebenarnya agak janggal untuk keluarga saya. Cuma saya rasa terpanggil untuk mengupas isu ini secara ringkas memandangkan ada segilintir di antara kita yang bersifat terlampau ekstrim dalam menghukum mereka yang menyambut Hari Bapa dan Hari Ibu ini.

    Cuba kita berfikir secara rasional di sini. Kita ada banyak lagi hari-hari khas atau pun istimewa yang disambut hanya sekali dalam setahun, dan ia tidak pernah pun wujud apatah lagi diraikan oleh umat Islam yang hidup di zaman Salafus Soleh.

    Adakah Hari Guru pernah wujud di zaman Salafus Soleh? Namun mengapa kita sengaja mewujudkan satu hari yang khas dalam setahun untuk para pelajar menghargai guru dan cikgu? Bukankah kita wajib meraikan dan menghormati mereka pada setiap hari, 365 hari setahun? Namun mengapa tiada orang pun yang bising-bising cakap Hari Guru ini bidaah sesat?

    Adakah Hari Alam Sekitar dan juga Earth Hour yang merupakan buatan Barat ini pernah wujud di zaman Salafus Soleh? Namun mengapa kita memperuntukan satu hari/jam yang khas dalam setahun agar kita boleh bermuhasabah akan kerosakan dan bencana yang telah manusia lakukan kepada alam sekitar? Bukankah kita selaku umat Islam wajib menghargai dan menjaga alam sekitar amanah Allah ini tanpa perlu tibanya Hari Alam Sekitar dan Earth Hour?

    Kalau anda adalah seorang 'pejuang bidaah' yang adil, maka jika anda mengatakan Hari Ibu dan Bapa itu bidaah sesat, lalu mahu tidak mahu, dengan logik yang sama juga, Hari Guru, Hari Alam Sekitar, Earth Hour, Hari Kanak-kanak Sedunia, Hari Kesihatan Sedunia, Hari Air Sedunia, Hari Anti-Korupsi Sedunia, dan sebagainya, pun akan tergolong di bawah hukum yang sama!

    Sebab itu saya tidak gemar sangat dengan orang yang sikit-sikit nak bidaah. Penat nak melayan mereka!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Fatima Si Gadis Arab

    04 Mei 2008 • 12 Komen
    Mula-mula, saya rasa comel tengok Fatima. Memang ramai pun orang kata budak ni comel. Tapi bila ada soalan "Di Mana Allah", ada juga rasa tidak sedap di hati. Saya teruskan menontonnya, dan bila 2 soalan lain diajukan:
    • Apa hukum menggunakan biji tasbih (dijawabnya bidaah),
    • Apa hukum menyambut Maulid Nabi (juga dijawabnya bidaah),

    Lalu membuat saya tertanya-tanya, siapalah yang ajar Fatima benda-benda macam ni. Perlu sangatkah bagi budak berumur 2 tahun ini didedahkan dengan hukum-hakam beberapa amalan Islam yang terdapat khilaf ulama padanya? Dan yang lagi dahsyat, terus dibasuh otak budak ni bahawa amalan-amalan itu adalah bidaah (dalam konteks di sini, ia dirujuk kepada bidaah sesat).

    Adik Fatima, kalau kau faham Bahasa Malaysia, abang nak pesan satu sahaja:
    "Bila dah besar nanti jangan sikit-sikit nak bidaah orang dah le."
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sikit-sikit Bida'ah

    01 Mac 2007 • 70 Komen
    Nak tak nak, kita kena akui bahawa golongan Wahhabi hari ini suka sangat bawa isu bida'ah. Itu bida'ah. Ini tidak ikut sunnah, masuk neraka. Bida'ah memang ada dalam syariat. Tak siapa yang mahu menafikan. Dan bukanlah pula setiap orang yang membawa isu bida'ah itu Wahhabi. Yang Wahhabi ni adalah dari jenis golongan yang menakrifkan isu bida'ah pada tahap yang sangat ekstrem dan membimbangkan.

    Nak cakap mandi bunga untuk cari jodoh sebagai bida'ah tidak mengapa. Nak cakap mandi tolak bala bulan Safar sebagai bid'aah tak siapa kisah pun. Nak tuduh konsep wang hantaran dalam perkahwinan sebagai bida'ah, lagi lah ramai lelaki suka. Bida'ah yang sesat itu memang wujud. Tapi jika kamu tuduh bida'ah pada sesuatu perkara yang hukumnya tidak qat'i atau mutlak, di sinilah timbulnya masalah.

    • Jadi masalah besar apabila kamu kata doa qunut Subuh itu bida'ah.
    • Jadi masalah besar apabila kamu kata berzikir beramai-ramai itu bida'ah.
    • Jadi masalah besar apabila kamu kata talqin untuk si mayat itu bida'ah.
    • Jadi masalah besar apabila kamu kata berzikir guna biji tasbih itu bida'ah.
    • Jadi masalah besar apabila kamu kata talaffuz niyyat ketika permulaan solat sebagai bida'ah.

    Dan macam-macam lagi le kome ni punya perangai, lagi-lagi yang baru berjinak-jinak dalam manhaj yang kononnya mengikut Al-Quran dan Sunnah yang tulen lagi asli lagi ori lagi tiada cetak rompak.

    Baru baca tulisan al-Protaz Hafiz Firdaus dalam buku ringkas Panduan Ibadah Musafir dalam Penerbangan, yang mengatakan tiada konsep air musta'mal dalam bab bersuci, terus kamu kata mazhab Shafi'i punya fiqh sudah buat bida'ah dalam bab taharah. Baru baca sikit artikel kontot oleh Mufti Cyber THTL tentang bab menggerakkan jari telunjuk ketika tasyaahud (iaitu tahrik) terus nak tibai yang cara mazhab Hanafi dan Shafi'i tertolak kerana tiada nas dan dalil. THTL sendiri pun kata yang cara mazhab Hanafi dan Shafi'i tertolak dan tidak mengikut sunnah (bida'ah le tu = kena humban ke neraka).

    Saudaraku, selagi mana yang buat ijtihad itu adalah dari ahlinya yang benar-benar layak, maka ketahuilah bahawa sesuatu ijtihad tidak membatalkan ijtihad yang lain. Kome ni hamba rasa memang ada banyak masa terluang untuk bincang isu-isu yang sudah selesai. Fahaman Wahhabi adalah satu ideologi yang mendakwa mereka mengiktiraf 4 mazhab fiqh muktabar, dan mahu berlapang dada pada perkara-perkara khilaf, tetapi pada akhirnya mereka hanya mahu pandangan dari mereka sahaja yang betul dan diterima oleh umat Islam. Apa kes?

    Berhati-hatilah dengan mereka yang berfahaman Wahhabi ni, lagi-lagi yang baru sahaja terkena penangannya. Yang baru kena ni, biasanya mereka akan bawa isu-isu berkaitan qunut, talqin, tahlil, kenduri arwah, dan sebagainya. Biasalah..enjin masih panas. Tapi bagi yang dah lama, mereka tak akan berani sangat nak bawa isu-isu itu sebab mereka tahu hujah mereka akan dipatahkan dengan mudah apabila buku bertemu ruas.

    Kalau mereka nak teruskan berkeras dalam isu-isu kecil seperti itu, tak akan ke mana perginya perjuangan tu. Wahhabism ni satu manhaj yang pada permulannya keras, tetapi menjadi kurang tegas pada hujung-hujungnya. Ini seperti mana yang Imam Muhammad Abu Zahra, iaitu bekas ulama usul di al-Azhar, menerangkan bahawa pada permulaan era Wahhabism ni, mereka hingga sampai mengharamkan minuman kopi dan yang serupanya. Tapi akhirnya, fatwa yang sangat keras ini berubah menjadi semakin lembut mengikut peredaran masa. Fatwa mereka yang lain, mengatakan bahawa penghisap rokok sebagai musyrik. Tapi ini dulu la. Sekarang tak pernah dengar pun lagi ada puak-puak ini yang bawa isu tersebut.

    Biarkan puak Wahhabi ini berkeras dengan definisi bida'ah tegar mereka. Definisi bida'ah dari 4 mazhab muktabar sebenarnya bertentangan dengan apa yang mereka fahami. Nak ikut yang mana? Definisi bida'ah yang sudah survive beratus-ratus tahun, yang telah disemak dan ditarjih pula oleh ribuan para ulama yang warak lagi alim, atau nak ikut definisi bida'ah puak Wahhabi yang baru setahun jagung sahaja usianya?

    Jangan umat Islam di Malaysia jadi macam Arab Saudi sudahlah. Seperti mana yang sudah saya ceritakan dahulu, pakai tali pinggang keledar ketika memandu pun dianggap bida'ah! Apa sudah jadi? Ini jumud atau tajdid?


    BACA:
    Memahami Bida'ah oleh Sheikh Gibril F. Haddad, diterjemahkan oleh Ustaz Nik Roskiman. [Format PDF]

    ---
    Entri berkaitan bida'ah ini dibuat khusus demi menunjukkan betapa teruknya pemahaman fiqh tentang bida'ah yang melanda sebahagian umat Islam. Tengoklah sendiri pending comments tu. Saya dah banyak kali buang komen-komen macam tu. Tapi ada sahaja insan-insan yang rajin nak berdebat di YouTube. Ini screenshot dari video ini. Tapi kalian tak akan jumpa komen yang dalam screenshot ni sebab saya tak approve komen-komen si luncai itu.


    Klik gambar untuk lihat paparan penuh. Tengok video tu sendiri dan cari di mana bida'ah sesatnya. Yang kata sesat tu, cuma 'mereka' sahaja.

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Doa Awal Tahun Baru

    20 Januari 2007 • 22 Komen
    Ada orang pandang serong pada umat Islam yang membaca Yasin sebanyak 3 kali dan doa awal tahun apabila tibanya tahun baru Islam. Katanya, Rasulullah sallahu alayhi wassalam tak pernah buat. Eh, memang betul pun Rasulullah tak pernah buat. Tapi apakah dengan kita membaca Yasin sebanyak 3 kali itu, dan kemudian membaca doa awal tahun, maka kita telah pun melakukan bida'ah yang sesat, yang seterusnya membawa kita ke neraka?

    Eh, sabar. Rileks. Jangan terburu-buru untuk menghantar orang ke neraka. Tanyalah terlebih dahulu kepada mereka yang buat amalan begitu. Adakah mereka mengi'tikadkan amalan tersebut adalah datang dari Rasulullah dan wajib dilakukan apabila tibanya tahun baru Islam? Jika mereka jawab ya, maka kita beritahu mereka elok-elok bahawa sebenarnya Rasulullah tak pernah buat begini. Jika mereka jawab tidak, maka tiada apa-apa masalah. Berdoa amat digalakkan. Membaca Al-Quran sebelum berdoa akan menjadikan doa kita itu lebih mustajab.

    Kalau kamu nak kata ini amalan bida'ah yang boleh membawa seseorang ke neraka, maka silalah bida'ahkan juga wirid-wirid Al-Mathurat yang dikumpulkan oleh Imam Hasan al-Banna itu. Ada Rasulullah pernah suruh umatnya baca kesemua zikir-zikir tu pada setiap pagi dan petang, sebanyak sekian-sekian kali berserta kaifiat-kaifiatnya yang tertentu?

    P.S. Saya tak baca Yasin sebanyak 3 kali mahupun membaca doa tahun baru apabila masuknya tahun baru Islam beberapa jam yang lepas. Tapi rileks la..perkara kecil aje ni. Tak payah besar-besarkan sangat.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Wahabbi 4 - Laman Web Bahaya & Sikap Suka Menyesatkan!

    13 Disember 2005 • 52 Komen


    Saya rasa ada baiknya juga jika saya menyenaraikan beberapa laman-laman web Wahabbi yang harus kita elakkan. Saya akan kemaskini dari masa ke semasa. Sila beritahu saya jika anda tahu laman-laman web lain yang mesti dielakkan - sama ada untuk mengelakkan salah faham atau kerana laman tersebut begitu mudah menyesatkan sesuatu golongan. Buat masa ini, saya tidak tahu (atau mungkin terlepas pandang) laman-laman web Malaysia yang memiliki fahaman Wahabbi yang agak keras.

    1) Fatwa-Online
    2) Allaahuakbar.Net
    3) SalafiTalk
    4) Laman Sheikh Al-Albani
    5) Laman Sheikh Bin Baz
    6) Laman Sheikh Ibnu Utyahmeen
    7) Laman Bilal Philips

    Tujuan saya menyenaraikan adalah supaya anda tidak terpengaruh dengan dakyah mereka yang begitu mudah mengelaskan saudara seIslam mereka sebagai sesat atau deviant. Kebanyakkan orang Malaysia yang berjinak-jinak dengan fahaman Wahabbi tidak begitu tahu betapa 'teruknya' fahaman ini. Jika anda duduk di luar negara atau cuba untuk mengetahui perkembangan Islam secara global, maka anda akan tahu mengapa saya mewujudkan topik ini.

    Macam-macam perkara nak dilabelkan sebagai bida'ah dan wajib dihapuskan. Buka majlis dengan surah Al-Fatihah pun ditegur bida'ah. Berzikir guna biji tasbih pun bida'ah juga. Membaca qasidah yang memuji-muji Nabi SAW juga bida'ah. Duduk berzikir dan berdoa selepas solat juga dikatakan bida'ah oleh sesetengah Wahabbi [Berdasarkan pengalaman Ustaz Fauzi ketika bersolat di Masjidil Haram (atau Masjid Nabawi, maaf saya tak ingat)].

    Tentang menuduh orang sebagai sesat, ini lagi satu perkara yang haru-biru. Kita sendiri tidak menuduh mereka sebagai sesat. Saya tidak kisah jika mereka menuduh mana-mana kumpulan/fahaman sebagai sesat jika ia menjadi ijmak para ulama sedunia. Oleh itu, saya sertakan beberapa contoh golongan/fahaman yang mereka tuduh sesat.

    1) Jemaah Tabligh

    - Ulasan dari Allaahuakbar.Net
    - Ulasan dari Fatwa-Online

    Kumpulan jemaah tabligh yang banyak berjasa kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia ini mereka katakan sesat? Walaupun saya tidak berapa ' ngam dan masuk' dengan jemaah tabligh ini, tetapi mengatakan mereka sesat adalah tidak sama sekali.

    2) Sufi

    - Ulasan dari Allaahuakbar.Net

    Di Allaahuakbar. Net, mereka turut menyatakan bahawa Sheikh Hamza Yusuf dan Sheikh Nuh Ha Mim Keller sebagai The Modern Deviated Sufi!!! Maka akhirnya saya menjadi tidak hairan apabila Bilal Philips menuduh secara terbuka bahawa Sheikh Nuh Ha Mim Keller sebagai melakukan syirik. Dr Said Ramadan Al-Buti pun dilabelkan sesat juga. Na'uzubillah... Nampaknya, Hassan Al-Banna pun sesat jugalah jika mengikut kayu ukur fahaman Wahabbi. Jadi saya rasa bagi Wahabbi tegar, mungkin tak mahu baca langsung tulisan saya ini kerana saya banyak menggunakan pendapat-pendapat Sheikh Hamza Yusuf, Sheikh Nuh Ha Mim Keller, dan ulama-ulama tradisional yang lain.

    Kenapakah Wahabbi ini membenci ajaran Sufi dan Tasawwuf yang menekankan pembersihan dan penyucian hati ini? Jawapan umum mereka mudah sahaja: "Kerana ia bukan dari Rasulullah saw, ajaran Islam dah sempurna dan tak perlu sufi. Ini semua bida'ah."

    Tapi apakah mereka lupa bahawa ramai ulama-ulama agung yang memiliki pengetahuan mendalam tentang ilmu tasawwuf atau kesufian ini? Contohnya, Imam Nawawi, Taqiyuddin Al-Subki, dan Imam Suyuti. Wahabbi bilang, sufi dan tasawwuf ini sesat. Jadi apakah Imam Nawawi itu sesat? Saya berani bilang, andai Imam Nawawi masih hidup pada hari ini, tiada seorang ulama pun yang ada pada zaman ini yang mampu menandingi beliau dari segi keilmuan, kewarakan, kezuhudan, dan segala macam sifat lagi.

    Dan lupakah mereka bahawa Hasan Al-Basri, salah seorang tokoh terkenal Islam, dilahirkan pada kurun Salaf, juga adalah seorang ahli sufi?

    Semestinya, saya tidak menafikan wujud sufi yang terpesong dan terlampau. InsyaAllah, ia akan turut menjadi fokus saya di akan datang.

    3) Gerakan Ikhwanul Muslimin

    - Ulasan dari Allaahuakbar.Net

    Saya rasa ramai umat Islam di Malaysia yang tertarik dengan fahaman Wahabbi, tidak tahu bahawa Wahabbi ini juga menuduh Gerakan Ikhwanul Muslimin yang digagaskan oleh As-Syahid Hassan Al-Banna, yang juga merupakan seorang ahli Sufi, sebagai sesat. Fikirkan semula wahai umat Islam di Malaysia kalau anda ini sangat terpengaruh dengan doktrin Wahhabi ini yang suka sangat menuduh orang sebagai pembuat bida'ah yang sesat.

    Adalah sesuatu yang kelakar kalau anda ini menjadikan Hassan Al-Banna sebagai tokoh yang anda kagumi, tetapi pada masa yang sama, terpengaruh pula dengan fahaman Wahabbi.

    4) Asha'ari dan Maturidi

    Secara ringkas, mazhab Hanafi, Hambali, Shafie dan Maliki mengambil doktrin akidah Asha'ari dan Maturidi. Saya tidak mahu menceritakan panjang lebar di sini tentang doktrin tersebut buat masa ini. Cuma anda perlu tahu bahawa Asha'ari dan Maturidi adalah doktrin akidah yang digunapakai dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Perbezaan dua doktrin ini adalah pada perkara minor sahaja. Anda boleh baca lebih lanjut jika mahu tentang doktrin tersebut di sini.

    Tetapi, mengapakah puak-puak Wahabbi dalam laman web Allaahuakbar.Net itu meletakkan Asha'ari dan Maturidi di bahagian Guard Your Faith?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »