Back to home page

Halangan #2: Cuaca Panas

18 Jun 2008 • 19 Komen Cetak Chenta!
Ini Halangan #2. Mulakan membaca dari Halangan #1.


Gambar kartun dan payung.Saya selalu sangat menjadikan isu kepanasan Malaysia sebagai 'bapa segala alasan' untuk tidak berbasikal. Maka saya adalah contoh Melayu yang mudah lupa, kerana saya terlupa bahawa cuaca di Malaysia ini bukannya panas terik 24 jam.

Saya juga bukannya tak ingat, tetapi lupa kepada suatu fakta bahawa beberapa dekad lampau, kita boleh melihat ramai siswa-siswi yang berbasikal dan berjalan kaki dari kawasan-kawasan perumahan di Petaling Jaya untuk menghadiri kuliah di Universiti Malaya.

Di zaman saya bersekolah dahulu, tidak pernah sekali pun panas dijadikan isu. Kalau hujan, memang pernah. Sewaktu berada di tingkatan 1 dan 2, saya bersekolah sesi petang. Jarak di antara rumah dan sekolah adalah sejauh kira-kira 3 kilometer. Oleh kerana kelas bermula jam 1:15 petang, maka biasanya saya bergerak pada jam 12:30 tengahari, iaitu waktu matahari sedang terconggok tegak di langit. Sepanjang saya bertemankan basikal untuk ke sekolah, saya masih belum pernah pula diwahyukan sebarang berita budak yang pengsan diserang strok haba kerana berbasikal di waktu tengahari buta. Kalau pengsan terkena histeria, memang selalu.

Berbasikal di waktu tengahari terutamanya, memang lebih senang membuatkan si pengayuh berpeluh. Namun tidaklah sampai berpeluh-peluh seperti orang baru habis maraton. Peluh ini akan mengering tidak berapa lama kemudian. Masalah kulit semakin hitam juga tidaklah menjadi sesuatu yang merungsingkan saya memandangkan di waktu itu, krim pemutih Fair & Lovely sudah pun berada di pasaran tempatan. Apabila kelas saya tamat pada jam 6:50 petang pula, aktiviti berbasikal pulang pada waktu yang tidak panas ini adalah ibarat riadah di petang hari.

Sesudah saya berada di Ireland, barulah saya sedar bahawa rakyat di sini lebih berhak untuk menyalahkan cuaca sebagai alasan untuk tidak berbasikal. Keadaan di sini sebenarnya lebih tidak ideal; terutamanya ketika musim luruh, musim sejuk, awal musim bunga dan akhir musim panas, yang berlangsung kira-kira 7 bulan lebih lamanya. Ini pun belum tentu lagi kerana keadaan cuaca di sini lebih sukar untuk diduga berbanding hati seorang wanita. Contohnya pada musim panas tahun lepas, saya lebih banyak melihat awan mendung berbanding sinaran matahari. Britain yang sudah lama tidak dilanda banjir pun tiba-tiba diserang banjir kilat pada musim panas yang lepas.

Pada waktu-waktu yang tidak ideal tersebut, 3 keadaan ini akan selalu berlaku - hujan yang lama dan kerap, suhu yang sangat sejuk dan tiupan angin yang kuat. Faktor-faktor penolak ini lebih menakutkan berbanding faktor suhu yang panas. Silap ambil perhatian bahawa keadaan di Ireland ini adalah serupa seperti di United Kingdom.

HUJAN, SEJUK & ANGIN

Hujannya yang lama dan kerap - walaupun tidak selebat hujan Malaysia yang sering datang dengan guruh dan petir itu - menjadikan jalan raya di sini sentiasa basah. Jalan yang basah adalah berbahaya kepada pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi bagi kenderaan bertayar dua umpama basikal. Hujan juga akan membuatkan pakaian dan kasut si pengayuh lebih basah berbanding basah akibat berpeluh dek kerana mengayuh basikal ketika pukul 12:30 tengahari di Malaysia.

Suhunya yang sejuk pula memerlukan penunggang basikal memakai baju yang lebih tebal berbanding mereka yang menaiki kereta, bas dan trem. Memakai baju yang berlapis-lapis ini sebenarnya adalah sangat tidak menyelesakan dan menyusahkan. Malah keadaan yang maha sejuk ini juga boleh membuatkan si pengayuh basikal cepat berasa pening kepala. Apabila suhu di malam harinya berada di bawah 0 darjah celcius, maka pada esoknya akan wujudlah lapisan ais tipis di beberapa tempat di atas jalan rayanya. Hal ini sudah tentu berbahaya kepada mereka yang berbasikal di waktu pagi. Pengalaman ini menyedarkan saya bahawa berbasikal pada suhu yang sangat sejuk adalah lebih hebat azabnya berbanding berbasikal di bawah kebahangan matahari yang terik di sebuah negara yang terletak di Garisan Khatulistiwa.

Bagaimana pula halnya dengan faktor penolak yang ke-3, iaitu angin? Sepanjang saya lahir dan membesar di Malaysia, sangat-sangat jarang saya merasai tiupan angin yang sangat kencang seperti di sini. Anginnya yang kuat membuatkan saya terpaksa mengerahkan lebih tenaga untuk memastikan basikal terus maju bergerak. Pernah beberapa kali basikal saya terhenti akibat ditiup angin dari arah yang berlawanan. Anginnya yang datang secara melintang pula pernah juga beberapa kali membuatkan saya hampir terlungkup mencium tar di jalan. Kehadiran angin juga akan menambahkan lagi kesejukan yang sudah sedia ada itu. Kalau saya naik fed up untuk berbasikal sepanjang berada di sini, maka faktor angin inilah yang boleh dijadikan alasan kuatnya.

Segala pengalaman-pengalaman ini membuatkan saya berani kata bahawa jika cuaca adalah isunya, maka ketahuilah wahai manusia sekalian bahawa berbasikal di kota Dublin (dan juga bandar-bandar lain di UK) adalah lebih menyeksakan berbanding di Malaysia. Barangsiapa yang mengatakan sebaliknya, maka manusia ini belum pernah merasai apa yang penunggang basikal di sini rasa.

Budaya berbasikal dan tidak ketinggalan juga budaya berjalan kaki oleh rakyat di sini tetap berlaku sepanjang tahun, tanpa mengira musim. Kalaulah saya sentiasa dan akan sentiasa menyalahkan faktor cuaca Malaysia yang panas, mungkin saya akan tetap menghidupkan enjin motosikal pada jam 7 pagi yang masih dingin, untuk keluar membeli sebungkus nasi lemak sotong, beberapa biji kuih donat dan karipap di warung Mak Som yang jauhnya sepanjang tiga kali bacaan surah Al-Fatihah sekiranya kita berbasikal.

19 Komen Tambah Komen↴

Ini pun belum tentu lagi kerana keadaan cuaca di sini lebih sukar untuk diduga berbanding hati seorang wanita

== apakah ini...

angin kuat kat sana.. kadang2 buat orang macam kartun. terpaksa berjalan dengan susah payah melawan angin yang bertiup dari arah bertentangan. nasib baik tak tombang

nice timing bro!
baru teringat nak jadikan masalah panas terik sebagai dalil yang untuk menolak pelawaan Cik Basikal.

hmm..selama ni ingatkan keadaan di Ireland adalah sangat menyelesakan dengan suhu dingin yang hadir bersama angin sepoi-sepoi bahasa yang mengusap-ngusap manja sang penunggang basikal tapi rupanya itu semua hanyalah indah khabar daripada rupa ya..

memang benarlah kata orang-orang yang lebih tua sedikit, hujan batu di negara sendiri, hujan emas di negara orang, baiklah di negara sendiri!

tapi kalau Sensei bagi hujah sekuat manapun rasa-rasanya orang yang 'malas-malas-sengal-tegar' nak menunggang basikal tu tetap akan membangkang dengan alasan-alasan lain seperti halangan #1 misalnya..

bak kata seorang guru, "apa boleh buat, najis kambing bulat-bulat.."

hmm...

Tanpa Nama

Salam.

Semasa sekolah rendah, saya paling suka berbasikal dalam hujan terutama kalau hujan turun masa balik sekolah. Alhamdulillah, kesihatan saya tak pernah terjejas walaupun tak pernah minum Scott Emulsion (betul ke ejaan ni?).

Bila sekolah menengah, berbasikal dalam hujan memang dielakkan. Bukan kerana takut hujan, tapi kerana kesan yg terjadi pada susuk tubuh bila pakaian basah.

Bila dah kerja dan bermotosikal, saya tak akan berhenti untuk berteduh walau selebat manapun hujan yg turun kerana setiap hentian penuh dengan lelaki dan itu cukup menggerunkan berbanding dengan hujan+guruh+petir.

Kenyataan tersembunyi yg saya nak bagitahu ialah... saya lebih berani sbb sanggup meredah hujan ribut petir berbanding lelaki yg tak sanggup meredah hujan dan selalu berteduh di hentian.... hehe...

Itu sebenarnya kata-kata yg dimainkan dan disematkan di fikiran untuk tidak berhenti di mana-mana hentian sehingga sampai ke depan rumah. :)

Hmm, mungkin pendapat saudara mengatakan berat berbasikal dengan cuaca di UK berbanding di malaysia.

Di UK, saya berbasikal ke merata-rata tempat. Di malaysia saya berbasikal ke tempat kerja. Saya rasa berbasikal di UK ada susahnya, terutama ketika musim sejuk. Ada 2 3 kali juga sepanjang di UK, saya tersungkur bila basikal 'slip' dan luka di muka, lutut, siku dsb.

Tetapi, saya rasa berbasikal di UK lebih mudah. Cuaca sejuk dan angin kuat membuatkan saya akan cuba berpakaian tebal. Ini akan menyebabkan peluh. Untuk elak peluh, saya membuka ruang yang sesuai supaya ada 'cooling effect'.

Dan di malaysia, saya sangat gemar berbasikal bila cuaca sejuk dan hujan gerimis. Rasa macam di UK pula.

Saya rasa, cuaca di UK sangat sesuai berbasikal. Alhamdulillah, pejabat saya ada 'shower', jadi mudah untuk mandi sebelum mula kerja.

Jika cuaca panas dijadikan alasan, ya malaysia memang panas. Pakailah helmet supaya kepala anda tidak terdedah kepada sinaran matahari, di samping memberi sedikit perlindungan jika berlaku kemalangan.

ini yang seronok....rupanya 'orang kat luar negara' menderita juga dalam episod cinta luarbisa dgn basikalnya..he..he ku sangka di sana segalanya indah belaka.....arrrggh meleset sebenarnya...alahaii...

Pasti kita mempunyai alasan tertentu dalam menolak sesuatu....setelah membuat pertimbangan yang wajar...melihat pro and kontra, maka satu keputusan akan di terima pakai....saya kira bukan senang membawa perubahan sikap dalam budaya sesebuah masyarakat...inilah masalah yg sebenarnya. bagaimana kita nak mendidik masyarakat supaya mesra dengan perubahan dan bersedia ke arahnya jika ternyata ia membawa kebaikan....bukan senang tu..maklumlah..taik kambing kan bulat-bulat..

Nak tanya Zacharias...ruang mana yg sesuai dibuka utk cooling effect tu ?? kongsilah ya..

Anda juga 'shower' kat pejabat sebelum mula kerja ?? ini sudah lebeyy...org kat UK semua buat macam tu ke ?

Tanpa Nama

Teringat semasa zaman sekolah dahulu, baju hujan sentiasa ada dalam beg. Bawa payung semasa menunggang basikal sangat tidak praktikal. Apa gunanya kepala kering tapi 3/4 badan kebasahan?

Dulu, sanggup menunggang basikal menjelajah kampung hingga ke 2-3 kampung di sebelah. Terutamanya waktu hari raya. (Semangat mengumpul duit raya). Kini, hendak ke rumah jiran yang selang 3-4 buah rumah pun menunggang motorsikal. Hehe

Ye lah, dah dengar cerita orang yang ke sana baru tahu masalah di sana. Orang Putih kat sana pun rasa-rasanya macam kita juga, mungkin mereka membayangkan betapa indahnya naik basikal 'dua kayuhan' di jalan-jalanraya Malaysia di bawah kenikmatan cahaya matahari dengan pepohon hijau di kiri kanan jalan... fuh... : )

Eh, Tawel sedang 'datang bulan' (writers block)pulak. Ada satu cadangan, cuba baca-baca buku ke web ke tentang perkara-perkara yang kita kurang minat sebelum ini, mungkin datang idea. Sesekali tukar selera memang berbaloi.

Contohnya, kita minat ehwal agama, pabila kena 'writers block' cuba baca tentang American Football ke,keindahan Amazon ke, sejarah Maharaja Kuning ke...

Manalah tahu hilang 'writers block' tu. : )

Salam.

Kasihannya Sensei kita. Kena writer's blocklah pula. Sepanjang pengalaman Abqori menulis, Abqori pun dah jenuh kena penyakit ini. Lalu Abqori rumuskan ia berdasarkan pengalaman Abqori seperti berikut.
Dua faktor utama writer's block:

- Rasa mandung (futur) selepas membaca tulisan orang lain.
Kebiasaannya writer's block akan mendatang selepas Abqori membaca tulisan yang mempunyai susunan yang terindah serta mengandungi makna mega. Kerana selepas membacanya, Abqori akan jadi terfikir kenapa Abqori tidak mampu untuk menulis sebegitu. Jadinya, selepas itu apabila Abqori cuba menulis, Abqori akan berhenti sekadar pada perenggan pertama dan mula membandingkan tulisan itu dengan tulisan yang baru Abqori baca berkenaan. Adakah ianya semantap tulisan tersebut? Jika ia tidak begitu, maka kadang-kadang Abqori akan terus mendelete tulisan berkenaan dan selalunya ia ended up dengan sebuah penyesalan dan seribu kesedihan. Sebab itulah setelah Abqori jenuh menangis insaf selepas membaca sesebuah tulisan saiful islam, maka Abqori akan meraung pula kerana tangan Abqori akan lumpuh untuk menulis disebabkan tulisan yang Abqori taip itu tidak sebagus tulisannya.

Solusi untuk ini, adalah dengan tidak terlampau merasa takjub dengan gaya penulisan orang lain dan sekadar buat-buat biasa saja. Jika tidak mampu juga, maka terpaksalah menggunakan cara yang agak kotor iaitu dengan membaca tulisan yang low class (maaf, ya!) di blog-blog yang bersepah-sepah di ruang maya. Dengan itu maka Abqori akan tahu bahawa ada tulisan yang lebih ceroi dari Abqori dan Abqori akan terus bersemangat semula. Tapi ingat, ini cara jahat, jangan digunakan selalu jika Sensei adalah seorang yang melalui jalan-jalan kesufian.

-Emosi yang tunggang langgang.
Manusia punya hati dan perasaan. Malas nak cerita lebih tentang ini. Kalau seorang penulis itu mengalami krisis hati, itu pandai-pandailah jawab sendiri. Tahukan krisis hati bentuknya macammana? Banyak. Yang ini, Abqori sendiri tidak tahu solusinya. Kalau yang bertepuk sebelah tangan itu, Abqori nasihatkan bawa-bawalah melancong untuk pulihkan writer's block itu.

Untuk mendapat semangat menulis pula adalah dengan membuat tulisan yang berkesinambungan daripada tulisan orang lain seperti yang Abqori lakukan pada entri-entri Abqori sebelum ini. Ketika itu, idea mencurah-curah bagaikan air terjun rasanya. Persediaan yang awal juga turut membantu, iaitu dengan menulis sebanyak-banyaknya ketika masih sihat (ketika tidak dilanda writer's block). Jadinya, apabila writer's block menimpa, Sensei hanya perlu kopi dan pasta sahaja tulisan yang lama tanpa perlu menulis lagi.

Oklah, buat akhirnya, cuba Sensei baca tulisan Abqori yang bertajuk Saya Sebuah Basikal ini. Manalah tahu andainya boleh terubat sedikit sebayak writer's block sensei itu. Tulisan ini terinspirasi dari Bercinta Dengan Basikal. Ops, teriklanlah pula!

Ramai juga yang shower di tempat kerja. Saya rasa, tiada masalah, kerana tempat kerja saya memang menyediakan tempat mandi. Maklumlah, kerja dalam plant. Sampai office, tukar baju, kena pakai 'fire retardant clothes' kalau hendak masuk ke kawasan pemprosesan.

Bahagian mana perlu buka? Fikirlah sendiri...

Tanpa Nama

bila tawel tulis pasal cuaca di barat, memangla orang malaysia yang tak pernah ke luar negeri pelik sebab sukar diramal..shall i compare thee to a summer's day,thou art more lovely and more temperate..hehehe..akak ni ajar b.i form 5,jadi memang kena ajar depa pasal cuaca di mana sajak ni ditulis..awat pulak musim panas ada hujan depa tanya..

Tanpa Nama

Salam.

Sedih jugak bila mata ini tiba-tiba terbaca notis pemberitahuan tentang virus writer's block yang sedang menyerang anda.

InsyaAllah, kami pembaca laman anda akan tetap mandi sampai basah, makan sampai kenyang, tidurpun akan tetap lena. Yang dibimbangkan adalah anda... yang mungkin tak mahu pegi mandi, tak berselera nak makan dan tak lena tidurnya kerana sibuk menduga hati wanita. ;)

'... keadaan cuaca di sini lebih sukar untuk diduga berbanding hati seorang wanita'

erm... lain macam je bunyinya, kan? hehe

Sekadar hiburan... bacalah kisah luahan hati wanita ini dan juga ttg psychopath test yg dijalankan untuk mengetahui keupayaan menduga hati wanita.

Semoga virus itu akan pergi dan ilham anda untuk menulis akan kembali. Sesungguhnya tulisan anda mampu membuatkan ramai orang berfikir dan juga tersenyum setiap kali membacanya. Saya adalah antaranya... :)

Tanpa Nama

@Ummusaif, eh macam Shakespeare punya ayat aje tu! Shakespeare adalah berbangsa Inggeris, jadi memanglah mereka ni suka juga cakap pasal cuaca. "When two Englishmen meet, their first talk is of the weather."

Kenapa musim panas ada hujan? Kalau tak hujan, habislah kemarau cikgu Ummusaif ;) Cuma lazimnya, hujan di musim panas adalah tak selebat dan sekerap di musim-musim lain.

@Suara, adeh.. '... keadaan cuaca di sini lebih sukar untuk diduga berbanding hati seorang wanita', cumalah satu metafora untuk menyedapkan lagi ayat. Hehe.

@Abqori, bagus juga pemerhatian tu. Cuma saya ni tak boleh tulis-dan-simpan. Kalau dah siap, mesti kena siarkan.


Dan terima kasih kepada yang lain atas komen dan nasihat yang diberikan!

taking a break from study...

Cuaca di Melbourne lagi sukar untuk diramalkan. Waktu pagi mungkin cerah dan panas tetapi tengah hari mungkin boleh jadi hujan dan sejuk.

Melbourne can have 4 seasons in a day. So, we have to be prepared for any kind of weather.

Pernah juga hadapi angin kencang yang bertiup dari benua Antartika :). Angin cukup sejuk dan bertiup sungguh laju sampai di tahap kalau nak berbasikal menuruni bukit, basikal akan berundur ke belakang. Bayangkan terpaksa menolak basikal menuruni bukit tu ;)

Kalau cuaca sejuk tu, itu adalah perkara biasa. Malah dulu pernah berbasikal di tengah malam waktu musim sejuk ketika suhu di bawah 0 celcius.

Yang penting, kalau nak berbasikal di Melbourne, kenalah kuatkan semangat dan pertingkatkan stamina untuk hadapi pelbagai jenis cuaca yang seringkali berubah dan sukar untuk diramalkan.

Alah bisa, tegal biasa :)

@suara, mmg mencuit hati betul cerita luahan hati wanita itu. betullah perempuan ini kuat bersangka buruk. huhuhu.

Alang-alang saya dah iklankan tentang posting di blog saya, kali ini saya nak iklankan pula kronologi perjalanan seorang YB yang amat masyuk ttg kisah cintanya dengan basikal yang masuk dalam Malaysia Book of Record. Rasa-rasanya ramai yang kenal Zulkifli Nordin ini. Mulakan membaca perjalanan beliau dengan membaca entri ini. Ada 3 entri ttg perjalanannya itu.

Hidup YB. Adios grazias monalitos.. ;) (sengaja Abqori tiru ayat beliau)

salam.memangla ayat shakespeare tu,sonnet 18.bila anakanda hafiz sebut pasal cuaca di melb.,brings back nostalgia la dok melb. 7 thn. the best year of my life..my formation year.bawa balik suami dan anak 2, 17years ago.tunggu pencen nak pi balik. ronda camberwell sunday market, boxhill,auburn,swinburne institute, la trobe,RMIT, fitzroy garden etc-sayunya hati...

Tanpa Nama

salam.kalau kitaorg pelajar akhawat kat mesir memang susah tak guna basikal.sebab kat mesir takde orang perempuan naik basikal.sebab naik basikal bagi perempuan dilihat benda aib.sama jugak seperti motor.

Tanpa Nama

menungang basikal waktu hujan yang lebat memang menyeronokan kat malaysia.kat tempat lain tak tau la...

Tanpa Nama

Salam tawel-sensei...
watashiwa syahira-sensei desu...ekeke...

Hmm...saya memang teringin sangat-sangat nak berbasikal. Lagipun, berbasikal jelah satu-satunya sukan yang boleh dibuat sambil duduk. (Baca;saya malas lari...ehehe...perangai..)
Bukan sekali, tapi dah tak terkira dah berapa banyak kali saya mengkenen kawan-kawan saya tu beli basikal, tak pun angkut basikal yang ditinggalkan berhabuk kat rumah tu ke maktab. Tapi hampeh...semua tak nak...segan katanya...
saya pun jawab...
"apa nak segan, room mate aku, kak su tu rilek je...jomla kawan-kawan..."
Dan mereka pun jawab balik...
"erm..tengoklah ye ira..."
sampai sudah...ishk..
tapi!
TAPI...
TAPI...
TAPI...
Alasan yang paling utama yang buat saya tak berapa kisah kawan-kawan saya tak teringin nak bawa basikal ialah...
Faktor keselamatan di Malaysia...
Bukan nak kata apa, tapi rakyat Malaysia sangat peramah. Lagi-lagi yang lelaki bila tengok seorang perempuan. Tak kiralah naik apa pun.
Teringat balik, saya pernah di harass oleh seorang pakcik india tua masa naik basikal belakang surau!
Memang menakutkan!
Petang yang sangat damai tu, saya sedang berbasikal dengan gembira di kawasan surau...depan rumah je pun, tak ada siapa akan larang...umi saya jerit pun saya boleh dengar.
Kemudian, datanglah pakcik tu...katanya mahu cari jalan, sesat.
Takkkan saya nak bagi layanan yang buruk?
Wajib kita hormati mereka yang lebih tua ni kan?
Sekali...ayat dia lain macam...cari perempuan yang bukan2. Saya pun dah takut, memang tak pandang. Dia kata nak tunjuk gambar, saya pun terkalih pandang.
Nauzubillah...
...
Saya pecut, dia maki hamun, saya dah tak fikir apa dah!
Balik rumah, menyorok belakang pagar, takut-takut dia ikut saya balik rumah.
Tup2...dia lalu balik dengan selambanya, bawa anak bini dia...
betapa...
berapa lama saya trauma...saya tak ingat...
asal nak buat apa-apa, bahkan masa bersolat pun terganggu.
Masa tulis komen ni pun saya dah berdebar...

Haih...
saya rasa, itulah halangan terbesar saya.
Akhirnya, saya cuma pinjam basikal room mate saya untuk beriadah round2 maktab waktu petang.
Itu pun kalau dia tak guna untuk pergi makan.
Untuk keluar, mungkin tidak.
Sedangkan di rumah sendiri pun macam tu, apa lagi di JB.
Haih...betul ke Malaysia dah semakin tak selamat??

-cikgu yang sangat suka naik basikal (dan tak segan naik basikal)-

p.s; Maaflah kalau tiba-tiba bagi halangan tambahan. :)

Salam juga Syahira sensei. Hmm berdebar-debar juga membacanya!

Tapi rasanya lebih tepat kalau faktor ni dinamakan faktor keselamatan sosial. Saya ingat tadi Syahira nak cerita pasal faktor keselamatan jalan raya. Tengok-tengok lain melencongnya :)

Sebenarnya naik kereta pun tak selamat. Ada sahaja orang yang kena rompak masa memandu kereta. Kan ada satu sindiket yang sengaja langgar kereta orang. Kemudian bila orang yang dilanggar tu berhenti dan turun dari kereta, terus dirompaknya!

Jadi sebenarnya faktor keselamatan sosial ni bukanlah halangan untuk tidak berbasikal. Tapi isunya sejauh mana Malaysia kita ini selamat untuk dihuni.

Golden rule #1: Elakkan dari melalui tempat
yang sunyi.

Golden rule #2: Saya sangat-sangat mencadangkan basikal mountain bike. Mungkin harganya agak mahal berbanding basikal biasa yang ada bakul di depan tu. Tapi kalau kena kejar, senang sikit nak pecut. Lagipun kos jangkamasa panjangnya berbaloi kepada sesiapa yang dah tak nak lagi guna motor untuk bergerak dalam jarak yang dekat.

Ok TQ berkongsi pengalaman!

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.