Tulisan ini mempunyai 2 bahagian. Baca bahagian pertama. Ini bahagian kedua. Bahagian kedua mempunyai 5 pecahan. Halangan-halangan ini tidak disusun berdasarkan sebarang keutamaan.
- Halangan #1: Kenderaan Melambangkan Status
- Halangan #2: Cuaca Panas
- Halangan #3: Bahana Individualisme & Konsumerisme
- Halangan #4: kemudian..
- Halangan #5: kemudian..
Angan-anganku di suatu masa
Basikal kan ku tukar kereta
Tapi kekasihku tidak setuju
Mungkinkah dia rasa cemburu
[Sudirman - Hidup Sederhana (Basikal Tua)]
Basikal kan ku tukar kereta
Tapi kekasihku tidak setuju
Mungkinkah dia rasa cemburu
[Sudirman - Hidup Sederhana (Basikal Tua)]
Saya tidak pernah sekali pun curang kepada basikal sepanjang berada di kota Dublin kerana di sini status seseorang itu tidak terlalu dinilai pada jenis kenderaan yang sering digunakannya. Di sini, tiada siapa yang akan memandang jelek sekiranya basikal menjadi alat pengangkutan utama kita. Malah tiada siapa juga yang akan melemparkan pandangan menghina sekiranya kita tidak memiliki sebuah kereta sehingga ke akhir hayat.
Paradigma yang positif ini mewujudkan suatu masyarakat yang tiada perasaan rendah diri sekiranya mereka memilih untuk berbasikal. Oleh sebab itu ada juga para profesor di sini yang dengan gembiranya berbasikal ke universiti walaupun sebenarnya mereka ini memiliki kereta.
Kenderaan sememangnya melambangkan darjat dan status seseorang itu, namun cara ia dimanifestasikan di Malaysia adalah agak negatif. Kita terlalu memandang rendah kepada orang dewasa yang mengayuh basikal. Mereka ini dianggap sebagai orang miskin dan gagal dalam hidup. Halangan ini hanya boleh dirobohkan sekiranya kita memekakkan telinga kepada apa yang orang mahu kata. Oleh kerana halangan ini bersifat psikologi yang berkaitan dengan ego manusia, maka saya tertanya-tanya adakah mentaliti kenderaan melambangkan status ini akan lenyap sekiranya sistem pengangkutan awam kita menjadi efisien seperti di negara-negara maju, yang mana rakyatnya hampir boleh ke mana sahaja dengan menaiki kenderaan awam?
Mentaliti yang negatif ini sebenarnya mula terbentuk semenjak di zaman sekolah lagi. Apabila berada di tingkatan 4, ramai pelajar sekolah yang mula curang kepada basikal kerana mereka sudah terlalu teringin untuk menunggang motosikal. Kata sebilangan mereka, bermotosikal ke sekolah dapat meningkatkan karisma diri dan lebih mudah mendapat awek. Sesudah tamat SPM pula, ramai ibu bapa yang mahu anaknya mengambil lesen kereta. Apabila anaknya ini berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading, ibu bapa yang agak berkemampuan pula, tidak keberatan untuk membelikan kereta untuk memudahkan anaknya bergerak ke sana-sini.
Hal ini membentuk suatu budaya yang tidak sihat: Kita diajar supaya memiliki motosikal dan kereta secepat yang mungkin kerana inilah cara bagaimana untuk seseorang itu menzahirkan kejayaan dalam hidupnya. Mereka yang masih lagi menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan komuter untuk ke tempat kerja, apatah lagi berbasikal, dihukum sebagai kabilah yang masih tidak pandai memburu duit untuk membeli kenderaan sendiri.
Lalu terjadilah peer pressure yang mempengaruhi kita untuk turut memiliki kenderaan sendiri memandangkan rakan di tempat kerja yang lain sudah semakin ramai yang berkereta, walaupun pada hakikatnya ramai juga di antara mereka ini masih belum pun beranak-pinak. Akibatnya masyarakat kita jarang melihat pengangkutan awam itu sebagai satu kemudahan yang perlu digunakan sekerap yang boleh. Sebaliknya kita melihat ia sebagai halangan yang perlu dibuang jauh-jauh apabila kita sudah mampu membeli kereta. Saya sering mendengar alasan "Dah tak pandai naik bas" yang dilontarkan oleh orang-orang yang sudah biasa berkereta ke tempat kerja.
Hal ini menyebabkan gerakan bagi menuntut supaya kerajaan memperkasakan sistem pengangkutan awam di Malaysia sukar untuk membuahkan hasil. Kita hanya agresif membangkitkan soal keberkesanan pengangkutan awam hanya apabila timbul isu kenaikan harga minyak. Kalau rakyat sendiri tidak komited untuk menggunakan pengangkutan awam, maka apa yang boleh diharapkan dari kerajaan?Sebab itu apabila harga minyak di Malaysia naik sebanyak 30 sen pada tahun 2006 dan penjimatan subsidi sebanyak RM 4.4 bilion itu dikatakan mahu digunakan untuk menaiktaraf dan memperbaiki sistem pengangkutan awam negara, apa sebenarnya yang telah kerajaan lakukan dalam masa dua tahun ini? Rakyat kurang memberikan tekanan kepada kerajaan dalam hal ini.
Saya pernah diketawakan oleh seorang rakan berwarganegara British apabila saya bertanya kepadanya bila dia akan mengambil lesen memandu. Waktu itu dia berusia 21 tahun dan masih lagi merupakan seorang pelajar. Kejadian saya diketawakan itu berlaku di hadapan rumahnya yang berada di East London. Rupa-rupanya remaja di UK tidaklah begitu ghairah untuk mengambil lesen kereta dan motosikal setelah mereka tamat sekolah menengah. Keberkesanan sistem pengangkutan awam di United Kingdom sebenarnya tidak memerlukan rakan saya ini untuk menjalin sebarang hubungan cinta dengan kereta. Malah apabila rakan saya ini berkahwin nanti dan belum lagi beranak-pinak, adalah tersangat logik baginya untuk masih tidak memiliki kereta.
Situasi yang kontras berlaku di Malaysia. Menziarahi rumah keluarga kekasih buat kali pertama dengan menaiki kapcai mungkin satu tindakan yang tersangat tidak bijak, lebih-lebih lagi jika keluarga itu agak berada. Jika Kancil yang dibawa oleh lelaki berkenaan, mungkin tiada apa-apa halangan. Jika Mercedes yang dipandunya, maka kita selaku jirannya harus mempersiapkan telinga untuk mendengar bagaimana ibu perempuan ini akan bersyarah tentang jejaka yang menziarahi rumahnya semalam.
Kita harus mengubah mentaliti ini sekarang. Kenderaan seharusnya dilihat sebagai alat untuk memudahkan kita bergerak dan bukannya sebagai neraca untuk menimbang status seseorang itu. Orang yang sering berbasikal dan menggunakan perkhidmatan awam bukan semuanya loser. Entah-entah mereka ini lebih banyak duitnya memandangkan mereka tidak perlu membayar ansuran bulanan kereta dan membeli minyak. Mana tahu juga duit yang dijimatkan ini mereka gunakan untuk melabur dalam mana-mana saham yang halal? Golongan yang suka melabur ini memahami bahawa aset seperti kereta memiliki nilai yang semakin meyusut dari tahun ke tahun.
Sesungguhnya basikal tidak pernah menilai darjat seseorang yang ingin hadir dalam hidupnya. Maka basikal wajib dilihat sebagai sebuah alat pengangkutan yang harus digunakan oleh mereka yang berpendapatan rendah atau pun besar. Sebab itulah basikal tetap menjadi pujaan hati di kebanyakan negara-negara kaya yang terdapat di Eropah, mahu pun di negara yang miskin seperti Cuba. Bagaimana rakyat Cuba boleh tiba-tiba jatuh cinta kepada basikal?
Apabila Kesatuan Soviet roboh pada tahun 1991, Cuba sebagai sebuah negara berfahaman sosialis, juga merupakan sebuah negara tropika yang suhu kepanasannya lebih kurang Malaysia ini, telah terjejas teruk ekonominya. Aktiviti import dan eksportnya berkurangan sehingga 80 peratus; KDNK-nya merudum. Ramai rakyatnya jatuh miskin secara tiba-tiba.
Krisis ekonomi yang melanda ini juga menyebabkan Cuba semakin sukar untuk mengimport minyak mentah dan senario ini tentunya sungguh mengerikan kerana pergantungannya yang agak tinggi kepada teknologi yang berasaskan tenaga minyak. Krisis ekonomi ini kemudian membawa kepada krisis makanan yang akhirnya menyebabkan setiap rakyat Cuba secara purata kehilangan berat badan sebanyak 13 kilogram.
Kekurangan minyak telah memandulkan banyak kenderaan-kenderaan berenjin di Cuba. Bas-basnya pula sudah tidak boleh lagi gah menderum di jalanan. Sistem pengangkutan awamnya lumpuh dan ini membuatkan rakyat sukar bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan Cuba telah mengagihkan berjuta-juta basikal buatan China kepada rakyatnya. Di sinilah bermulanya bibit-bibit cinta rakyat Cuba kepada basikal. Akhirnya, aktiviti berbasikal telah sebati dalam diri masyarakat Cuba dan sekarang ini jumlah basikal telah pun mengatasi jumlah kenderaan bermotor.
Cuba beransur-ansur bangkit dari mimpi ngerinya. Malaysia boleh belajar banyak perkara daripada pengalaman Cuba menangani krisis ekonomi, tenaga dan makanannya. Andainya dikau mengerti wahai kita semua (dan pak menteri sekalian). ¶ Teruskan membaca entri ini »





