Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label pencemaran. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label pencemaran. Papar semua catatan

    Krisis Minyak dan Krisis Air

    04 Jun 2008 • 8 Komen
    Kalau saya ada kereta berkuasa udara, saya akan ketawakan manusia yang berebut-rebut mengisi minyak sebelum kenaikan harganya dalam beberapa jam lagi. Saya juga tak akan layan mana-mana manusia yang mahu membasuh otak saya untuk percaya bahawa kenaikan harga minyak di Malaysia adalah gara-gara Barisan Nasional memerintah Malaysia.

    Maaf, otak saya sudah pun dibasuh terlebih dahulu oleh Hishamuddin Rais sejak dahulu kala lagi, melalui dua buah artikelnya. Ini dia:


    1) Tamadun Harga Minyak @ 15/8/2005:
    Tamadun yang sedang kita alami hari ini adalah tamadun yang berasaskan bahan bakar petroleum. Lihatlah di kiri dan kanan kita - semua produk dihasilkan oleh petrol. Tenaga leterik, kereta, bahan perabut, bahan perumahan, plastik dalam pelbagai bentuk dan paling penting makanan yang terletak di atas meja makan kita juga adalah hasil dari bahan bakar petroleum.

    Saya berani berkata, melalui data-data yang baru muncul bahawa tamadun petroleum ini telah sampai ke zaman akhir. Sama seperti tamadun zaman batu dan tamadun di zaman besi ianya akan juga berakhir. Tamadun zaman arang batu dan tamadun kuasa wap - semuanya berlangsung tidak lebih dari 200 tahun. Bahan bakar petroleum - yang menjadi asas tamadun kita ini - telah bersama kita selama 150 tahun lebih. Riak-riak untuk berakhir telah muncul.

    2) Barisan Nasional dan Barisan Rakyat bengong dalam hal minyak @ 5/1/2008
    Mengikut pandangan parti Keadilan jika United Malay National Organisation telus dalam memberikan perincian perbelanjaan dan pendapatan dari syarikat Petronas maka harga minyak akan dapat ditampung. Jika tidak ada pembaziran dari duit jualan minyak maka harga minyak akan terus dapat di subsidi.

    Parti Keadilan tidak sedar dalam masa tidak lebih dari 10 tahun bahan bakar minyak di persisiran laut kita akan habis. Untuk berhujah, kita anggaplah mereka dapat mengambilalih kerajaan. Dalam penggal ke-3 pentadbiran Barisan Rakyat minyak habis. Barisan Rakyat adalah satu pentadbiran yang telus, tidak rasuah dan jujur. Bila minyak habis mereka juga tidak dapat tidak akan menaikkan harga minyak. Ini hukum yang saintifik. Jadi cakap-cakap harga minyak hendak diturunkan itu adalah bohong dan tidak mungkin dapat dilakukan.

    Krisis minyak sedang berlaku. Kita tunggu krisis berikutnya yang jauh lebih mengerikan jika kita masih bersikap sambil lewa terhadap alam sekitar:

    Klik gambar untuk paparan yang lebih besar.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bahana Perang Bendera & Poster

    25 Februari 2008 • 15 Komen
    Perang Bendera & Poster rasa-rasanya adalah antara perkara paling unik yang berlaku dalam perjalanan pilihan raya di Malaysia. Semasa Pilihan Raya Umum Ireland 2007, saya berasa sungguh pelik dan janggal. Tiada terasa langsung aura pilihan rayanya!

    Tiada kain rentang dan poster yang mewarnai suasana langit jalanrayanya. Tiada bendera yang tercacak di pokok dan jambatan. Tiada kedengaran orang masuk hospital dek kerana bergaduh merebutkan tempat untuk meletakkan bendera dan poster. Semuanya tiada! Yang ada hanyalah seperti gambar ini:


    Itu sahaja. Hanya poster seperti itu sahajalah yang selalu kelihatan. Ia hanya diletakkan di tiang-tiang lampu yang menerangi jalanraya utama sahaja, dan bukanlah pula semua tiang-tiang lampu di jalan-jalan utama itu akan disolekkan dengan poster. Malah, 4 buah poster calon di sebuah tiang yang sama (rujuk gambar) adalah agak jarang untuk kita jumpa. Selalunya, 1 atau 2 poster bagi setiap tiang.

    Oh ya, kalau hendak tahu, pilihan raya di sini, seperti mana juga di Amerika dan banyak lagi negara-negara maju yang mengamalkan sistem demokrasi, sebenarnya lebih menekankan siapa yang bertanding (dan bukannya parti). Sebab itu setakat yang pernah mata saya ini melihatnya, kesemua poster-poster yang digantung pasti akan memuatkan nama dan/atau wajah calon parti tersebut. Malah ada juga poster calon yang turut memaparkan URL blogspotnya. Poster yang memaparkan logo parti semata-mata seperti di Malaysia, adalah hampir mustahil untuk kita jumpa (sebenarnya saya tidak pernah jumpa sama sekali).

    Saya mendapati Perang Poster & Bendera seperti ini mempunyai 3 kebaikan:

    1) Mengurangkan kos perbelanjaan bagi semua pihak yang bertanding

    Menghasilkan bendera dan poster memerlukan duit. Malah upah juga harus diberikan kepada mereka yang bersusah-payah untuk memasang bendera dan poster itu. Maka lagi banyak poster yang perlu ditampal, maka makin tinggilah ongkosnya.

    Setakat ini tiada perangkaan rasmi dari mana-mana parti tentang jumlah wang yang dibelanjakan untuk bab poster dan bendera. Namun saya yakin, paling kurang jumlahnya pasti mencecah 5 angka. Sedangkan Makcik Maimun yang akan bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Terengganu pun telah menghabiskan kira-kira RM 3000.

    KEMASKINI @ 28 Feb 2008
    Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), iaitu Ramon V Navaratnam, satu kajian yang dibuat untuk mempertingkatkan amalan ketelusan dalam perbelanjaan politik, Barisan Nasional telah membelanjakan sebanyak RM 1.049 juta dalam kempen pilihan raya di dada-dada akhbar selama 3 hari sahaja (25-27 Februari 2008). Sudah tentu jumlah ini tidak termasuk belanja kempen di televisyen, dan juga kos untuk mencetak poster dan bendera. (Sumber MalaysiaKini)

    Semoga TI-M mengeluarkan juga laporan perbelanjaan pilihan raya oleh parti pembangkang tidak lama lagi.

    2) Membuatkan pengundi fokus dan sedar siapa yang bertanding di tempat mereka

    Apabila terlalu banyak poster dan bendera yang hanya memaparkan logo parti, maka poster yang memaparkan calon yang bertanding akan tenggelam. Siapa yang bertanding, kita tidak tahu. Akibatnya apabila berlaku musibah, barulah terhegeh-hegeh nak kenal ADUN kawasan kita. Masa itu barulah tahu bahawa ADUN itu cakap sahaja lebih! Mahu salahkan siapa?

    3) Mengurangkan pencemaran alam

    Mungkin demam Perang Bendera & Poster tidak begitu ketara di Ireland, kerana rakyat di sini lebih berkesedaran tentang isu pencemaran alam sekitar. Seperti yang kita tahu, kesemua poster-poster tersebut akan basi apabila pilihan raya telah tamat, dan apabila ini berlaku, ia akan menimbulkan satu masalah lain: Bagaimana hendak melupuskannya?

    Maka lebih sedikit lebih bagus. Kita di Malaysia terlalu mewah dengan poster dan bendera, sampai kadang-kadang sudah tidak tahu lagi hendak ditampal di mana. Akhirnya kadang-kadang reban ayam juga menjadi mangsa, macamlah ayam-ayam itu ada terdapat namanya di dalam daftar pemilih yang dikeluarkan SPR.

    Malah saya sendiri pernah memegang poster-poster pilihan raya di sini. Amat sukar untuk menjumpai poster yang diperbuat daripada plastik. Hampir kesemuanya diperbuat dari bahan yang berasaskan kertas. Kita boleh mengitar semula kertas, plastik juga boleh. Namun jarang-jarang ada orang yang mengumpul bahan buangan berasaskan plastik (lebih-lebih lagi plastik poster pilihanraya kerana kualitinya yang rendah) untuk dikitar semula memandangkan harganya yang sangat murah. Plastik memerlukan masa 500 tahun untuk terurai kamu tahu. Mungkin poster-poster pilihanraya negara kita yang lepas-lepas, kini ada terapung-apung di sini.


    Anda pernah merasai demam pilihan raya di negara asing? Bagaimana perang posternya? Kongsikan di sini jika rasa rajin! ;)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »