Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel Sensei • Hubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label protaz. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label protaz. Papar semua catatan

    Dakwah Si Protaz & Uspro 4

    01 Julai 2006 • 44 Komen
    Sambungan dari episod 3

    allah rasul
    Cari kebijaksanaan, buang kebodohan. Jangan angkuh, tapi kayakan dirimu dengan adab.


    Bantu Kami Kenal Allah

    Wahai Protaz (dan juga ustaz) yang berada di luar sana, bantulah kami ini supaya kami lebih mengenali Allah. Kalau kami tak kenal Allah, maka amatlah sukar bagi kami memiliki sifat takwa kepada-Nya. Tak kenal maka tak cinta. Dan kalau tak kenal juga maka tak takut.

    Khusyuk solat kami bukan semata-mata terletak kepada ada atau tidak doa qunut, gerak jari atau tidak ketika tasyahud, dan sebagainya. Tetapi khusyuk solat itu terletak kepada sejauh mana kami takutkan Allah. Berfikirlah, dan kemudian ajar kami mengapa solat umat Islam zaman salaf al-soleh itu begitu berkualiti dan bermutu? Mengapakah Saidina Ali apabila tiba waktu solat, mukanya jadi pucat lesi seperti mayat? Adakah ini semua kerana perkara-perkara teknikal dalam hukum-hakam fiqh, atau pun kerana umat Islam zaman salaf al-Soleh ini mengenali Allah dengan kenal yang sebenar-benarnya?

    Malangnya kami hari ini, nak dapat khusyuk dalam solat pun sudah payah. Bila mendengar azan, muka kami tidak pernah sekali pun bertukar pucat. Ya kami akui, memang pernah ada masa kami menangis meraung-raung apabila mendengar azan berkumandang, tetapi itu bukan disebabkan kami takut kepada Allah. Sebaliknya kerana melihatkan penyanyi pujaan hati disingkirkan dari Akademi Fantasia. Kadang-kadang juga, kami nak buat solat sunat pun rasa berat hati. Kekadang itu pula sering dilewat-lewatkan waktunya. Bantulah kami dalam hal ini wahai encik-encik protaz dan ustaz. Kami ingin keluar dari belenggu ini.

    Tetapi, janganlah bawa kami lagi ke dalam arena perdebatan yang tidak bermakna. Perdebatan sesama umat Islam pada perkara yang tidak signifikan hanya akan meruntuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama kami. Malah, hati kami juga bisa rosak dari perdebatan itu. Kalau hati kami sudah rosak, maka mampukah hati ini berasa takut apabila mendengar nama Allah? Dalam al-Quran, dikatakan bahawa orang-orang yang beriman itu apabila disebutkan kalimah Allah kepadanya, maka akan bergetarlah hatinya.

    Sepanjang kami beriman kepada Allah, tak pernah sekali pun hati kami ini bergetar apabila mendengar nama-Nya disebut. Dan fenomena hari ini pula, kalimah Allah itu juga sudah jarang disebut di sana-sini. Generasi muda hari ini (malah yang dah menunggu hari untuk masuk ke kubur) lebih banyak sebut nama-nama artis Akademi Fantasia berbanding asma'ul husna. Akibatnya, hati muda-mudi Islam kita lebih mudah bergetar apabila mendengar kalimah Asmawi Ani dan Nor Salima Habibi. Anak-anak kecil juga lebih kenal mereka berbanding para sahabat Nabi yang mulia.

    Kami semakin kehilangan jatidiri sebagai umat Islam. Bantulah kami mencarinya semula. Bantu kami memperkuatkan iman - kerana iman yang lemah tidak akan dapat membawa anjakan ketamadunan kepada umat yang sedang dipijak-pijak ini. Kami tidak begitu memerlukan encik-encik protaz dan ustaz untuk terus-menerus mengasak otak kami dengan ilmu itu dan ini sehingga buat kami pening dan keliru. Tapi ajar kami ilmu yang benar-benar bermanfaat kepada diri kami dan umat ini.

    Kami ingin mencari ilmu untuk beramal dan sebagai panduan ibadah seharian kami - mudah-mudahan kami akan lebih kenal Pencipta. Tapi janganlah ajar kami ilmu untuk berdebat dalam hal-hal agama yang khilaf dan ranting. Iman kami begitu lemah dan rapuh. Janganlah buat kami makin keliru pada perkara-perkara yang dah lama settle. Ijmak dan jumhur ulama, tak payah sentuh lagi. Pada perkara khilaf dan ranting, berlapang dadalah. Inilah cara para ulama salaf al-soleh dan umat Islam yang baik.

    Contohilah pendekatan para ulama dan pedagang Arab berbangsa Yaman yang datang ke tanah Melayu, dan kemudian berjaya mengIslamkan hampir keseluruhan Tanah Melayu dan wilayah Nusantara yang lain. Hari ini, negara yang ramai penduduk Islam bukannya di tanah Arab, tetapi di Indonesia. Mengapa kita tidak mahu mengambil teladan dan contoh dari pendekatan dakwah yang mereka lakukan? Kalau encik-encik Protaz dan ustaz percaya bahawa cara encik-encik semua adalah yang paling baik, maka silalah tunjukkan hasilnya. Kami tidak mahu hasil teori, tetapi hasil yang lebih bersifat praktikal.

    Apa kata encik-encik semua pergi berdakwah di Pulau Bali, iaitu satu wilayah di Indonesia yang mana penduduknya lebih 90% beragama Hindu. Gunakan pendekatan dakwah yang encik perjuangkan itu. Tanya dalam hati encik, sejauh manakah pendekatan dakwah encik itu mampu mengIslamkan keseluruhan Pulau Bali? Bagi kami, kita sudah pun ada contoh yang ditunjukkan oleh para pedagang dari tanah Yaman itu. Kalau lah bukan kerana jasa dan pendekatan dakwah mereka yang penuh adab dan berhikmah ini, encik-encik dan kami semua mungkin masih beriman kepada kitab-kitab Rigveda, Samaveda, Yajurveda, dan Atharvaveda. Na'uzubillah..moga-moga dijauhkan!!

    Penutup

    Saya sudahi artikel ini dengan memohon maaf kepada semua andai tulisan saya ini begitu pedas untuk diterima. Tetapi saya mesti berbuat demikian supaya umat Islam ini tidak semakin syok sendiri dalam usaha dakwah mereka. Saya tidak mahu peribahasa Melayu 'Anak di rumah kehausan, kera di hutan disusukan', menimpa umat ini.

    Muhasabah diri. Pandang timur, barat, utara, dan selatan anda. Kemudian berdakwahlah mengikut maslahat semasa. Episod terakhir akan saya persembahkan artikel terjemahan bertajuk Meminta Dalil - Ia Bukti Kejahilan Anda! Sebelum saya sudahi tulisan berkaitan Protaz ini, ingin saya menukilkan [dipetik dari blog Malakian] kata-kata Imam al-Dahlawi di dalam kitabnya al-Inshaaf:
    "Sesungguhnya umat Islam telah sepakat bahawa madzhab empat yang telah dibukukan secara berwibawa, boleh diikuti sampai sekarang. Dalam mengikuti madzhab-madzhab tersebut, jelas ada maslahatnya, lebih-lebih pada masa sekarang ini kerana kemampuan sudah semakin lemah dan hawa nafsu sudah mencampuri jiwa seseorang serta masing-masing sudah berasa kagum dan bangga dengan pendapatnya."
    Saya menukilkan kata-katanya bukan untuk memperbincangkan perkara berkaitan mazhab, tetapi untuk menyedarkan diri kita semua supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan hukum-hakam, terutamanya bagi golongan orang awam seperti kita. Lidah jangan terlalu lancang mengeluarkan fatwa. Kalau rasa ingin berfatwa, maka silalah belajar dengan kaedah yang ditunjukkan oleh para ulama silam. Kepada protaz dan bakal protaz di luar sana, berdakwahlah mengikut keadaan semasa dan fahamilah apa maslahat umat ini.

    Sebagai penutup, saya hidangkan lagu Adakah Kau Lupa. Mudah-mudahan ia dapat membangkitkan semangat kita untuk terus memajukan Islam dalam bidang yang diceburi. Amin.

    Allahumma solli 'ala Muhammad, wa 'ala ali Muhammad...


    Jangan lupa!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Dakwah Si Protaz & Uspro 3

    22 Jun 2006 • 11 Komen
    Sambungan dari episod 2

    Mahu Protaz Jenis Apa?

    Sebenarnya kita sangat memerlukan Protaz yang boleh membuat satu revolusi Islamik dalam bidang yang mereka ceburi. Sebagai contoh, kalau seorang doktor yang berfikrah Islam, dia boleh berfikir dan berusaha menjadikan sistem kesihatan Malaysia secara keseluruhannya lebih Islamik - maka tiada lagilah kes wanita Islam yang ingin bersalin disambut oleh doktor lelaki yang bukan mahram. Kalau pilot berfikrah Islam pula, apa kata berusaha juga menulis buku yang apabila para menteri baca, mereka akan rasa teruja untuk memastikan MAS lebih Islamik - maka tiada lagilah pramugari yang berpakaian kebaya ketat.

    Contoh-contoh lain boleh difikirkan sendiri. Pokoknya, cuba serapkan ajaran Islam dalam setiap wilayah profesional. Inilah tugas protaz. Kalau tak protaz yang buat, siapa lagi? Takkan mahu bebankan kesemuanya kepada tok guru sekolah pondok, atau pun tok guru yang mengajar di universiti? Memang boleh kalau tok-tok guru ini lakukan, tetapi kesan dan impaknya tidak sama kalau protaz yang usahakan.

    Tetapi, wajarkah Protaz melibatkan diri dalam perkara fiqh, hukum-hakam, ilmu hadith, dan sebagainya?

    Apa Erti Aku Menjadi Protaz?

    Sudah tentu wajar. Malah terdapat beberapa tokoh yang memang mendalami ilmu profesional dan ilmu Islam dengan kaedah yang betul. Sebagai contoh, Sheikh Ridhwan Saleem [bio], Sheikh Faraz Rabbani [bio], dan Sheikh Hamza Karamali [bio]. Dan setakat yang saya tahu, umat Islam yang belajar ilmu Islam dengan kaedah yang betul dan sempurna, tidak buat banyak kecoh, malah lebih pintar lagi cerdik dalam usaha mereka membawa ummah ini ke arah kecemerlangan.

    Namun demikian, si Protaz yang ingin terjun dalam hal-ehwal ilmu Islam, janganlah pula kamu membawa tsunami dan gempa bumi pada perkara yang telah lumat diperbahaskan dan telah pun diperselesaikan oleh para ulama silam, yang mana mereka ini lebih alim, lebih warak, dan lebih bersih pandangannya hatinya.

    Dalam hukum-hakam yang terdapat khilaf, Protaz (mahu pun ustaz) tak sepatutnya menyibukkan dirinya untuk menulis dan menimbulkan perdebatan, kerana sampai kiamat pun ia tak boleh selesai. Sebab itu dinamakan khilaf. Kita tidak hidup dalam suasana darurat yang begitu memerlukan protaz (dan juga ustaz) berbincang dan begitu aktif berdakwah kepada manusia tentang pendapat manakah yang lebih rajih/kuat di antara empat mazhab. Adakah ini maslahat zaman yang sedang kita lalui? Lihat sekitar anda, kemudian jawablah dengan ikhlas soalan tersebut.

    Berdebat pada perkara khilaf, untuk mencari pendapat mana yang lebih betul, adalah satu perkara yang mesti dijauhkan oleh semua orang. Oleh sebab itulah para ulama silam yang cerah hatinya tidak melakukan perkara ini. Ini kerana apabila seseorang menceburkan dirinya ke dalam kancah ini, ia ibarat memasuki sebuah gua yang sangat gelap tanpa ditemani oleh sebatang lilin - kita akan sesat di dalamnya. Akibatnya, si protaz dan orang yang didakwahnya akan teraba-raba untuk mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah umat ini - umat yang dijanjikan oleh Allah sebagai sebaik-baik umat!

    Apa yang paling mengerikan, jika situasi ini berterusan, masyarakat Islam akan jadi keliru, dan akhirnya aliran Islam liberal juga yang dipillihnya. Ini kerana Islam liberal tak ada sangat perdebatan tentang baca qunut atau tidak, boleh atau tidak sambut Maulud Nabi, gerak jari telunjuk atau tidak ketika solat, bida'ah atau tidak melafazkan niat ketika mahu solat, dan sebagainya.

    Kita Mahu Ketamadunan

    Manusia itu sifatnya inginkan kemajuan dan ketamadunan, dan Islam sebagai satu agama yang memenuhi fitrah manusia sememangnya membawa umatnya ke arah kemajuan. Oleh itu, jangan salahkan individu yang cenderung ke arah liberal kalau kita sendiri sibuk berdebat dan berbahas pada perkara-perkara khilaf yang tidak menguntungkan umat Islam dari segala aspek.

    Beritahu saya: Bagaimana umat Islam boleh maju jika kita tak habis-habis berbahas tentang bida'ah atau tidak membaca doa qunut ketika solat Subuh? Ini perkara khilaf, dan perkara khilaf janganlah kita jatuhkan hukum bida'ah! Apa pernah kamu dengar Imam Abu Hanifah, atau para ulama Hanafiyyah lain yang mengatakan ijtihad Imam Shafi'i tentang sunatnya membaca doa qunut ketika solat Subuh itu bida'ah?

    Kalau begini gayanya, sampai kiamatlah umat Islam jadi lembik dan tak maju (melainkan kalau kamu berpendapat dengan mengikut ijtihad Imam Abu Hanifah iaitu tiada doa qunut ketika solat Subuh, maka umat Islam dapat menjimatkan masa 2 minit sehari, kalau sebulan 60 minit, dan kalau setahun 720 minit = 12 jam, dan masa yang dijimatkan ini boleh digunakan oleh umat Islam untuk sesuatu yang lebih produktif). Akan tetapi, wujud protaz yang membawa isu dibaca atau tidak doa qunut ketika solat Subuh. Alahai...

    Beritahu saya: Apa signifikannya perbincangan ada atau tidak pada satu lagi perkara khilaf iaitu hukum menggerak-gerakkan jari ketika duduk tasyahud? Ada seorang hamba Allah yang membawa isu ini, dan kemudian mengatakan bahawa kaedah dalam mazhab Hanafi dan Shafi'i yang tidak menggerak-gerakkan jari adalah tertolak kerana ia tidak disandarkan kepada dalil. Amboi, hebat sungguh. Sudah belajar dan khatam sampai habiskah kitab fiqh Hanafi dan Shafi'i? Baiklah, saya tidak mahu membawa isu pendapat mana yang lebih kuat atau rajih.

    Apa yang ingin saya tekankan, kalau pun si dia ini betul, jadi apa signifikannya kepada kepentingan umat Islam hari ini? Apakah dengan tidak menggerakkan jari, maka solat seseorang itu tidak sah? Dan apakah dengan menggerakkan jari itu maka umat Islam akan jadi lebih kuat sehingga mampu menghancurkan tentera zionis di Israel? (melainkan anda ingin kata dengan menggerak-gerakkan jari ketika tasyahud akan membuatkan umat Islam lebih gagah kerana mendapat lebih exercise, maklumlah banyak bersenam badan jadi kuat). Aduhai...

    Beritahu saya: Apa faedahnya seorang ustaz di Malaysia yang membawa isu Ada atau Tidak Air Musta'mal dalam Islam, dan kemudian mengatakan bahawa sebenarnya air musta'mal itu tidak wujud dan fiqh Shafi'i telah silap! (Dan saya berkata dalam hati: 'Excuse me, kamu mahu kata para ulama dalam mazhab Shafi'i telah silap lebih 1000 tahun ke dalam perkara ini?') Padahal ini satu lagi perkara khilaf, dan ini pasti akan membawa kecelaruan fiqh kepada masyarakat awam di Malaysia yang sudah lama sebati dengan fiqh Shafi'i. Ustaz ini belajar atau tidak bagaimana Imam Shafi'i berijtihad tentang adanya air musta'mal?

    Apakah tiada isu besar lain yang boleh ditulis oleh ustaz yang mana tulisan dan gagasan ideanya dikatakan memberi impak yang kuat kepada pelajar IPT tanahair? (Saya fikir tulisan ustaz ini mungkin relevan apabila Kesan Rumah Hijau mula menyeringaikan taringnya, yang mana waktu itu Malaysia menjadi seperti Sudan dan negara-negara Afrika lain yang mengalami krisis air yang sangat kritikal). Ish...apa yang sedihnya, ada juga seorang protaz lain yang turut sama membawa isu ini.

    Fahamilah Erti Prioriti

    Inilah akibatnya bila seseorang protaz dan juga ustaz tidak tahu prioriti ummah ini. Yang patut mereka tulis, yang patut mereka perbincangkan bukan perkara-perkara khilaf. Jangan bawa isu ada atau tidak doa qunut, gerak jari atau tidak ketika tasyahud. Tetapi bawalah isu yang benar-benar kritikal seperti fenomena ramai umat Islam yang tidak bersolat. Kes lebih 51,000 murid sekolah yang tidak tahu solat di Terengganu itu [baca berita] antara keutamaan yang patut diberikan. Ini baru di Terengganu. Negeri lain kita tidak tahu lagi.

    Apakah kewajiban mendirikan solat ini bukan satu perkara sunnah? Malah ini sunnah yang paling besar dalam Islam dan memang sah tiada khilaf dalam perkara ini! Siapa nak jawab di hadapan Allah nanti kalau kita sibuk berkokok dan bertempik hal-hal khilaf, tetapi hal yang wajib, yang lebih utama, kita buat acuh tak acuh? Siapa mahu jawab?

    Saya, anda, ustaz, protaz, atau pun bebudak sekolah itu?

    Bersambung di episod 4...
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Dakwah Si Protaz & Uspro 2

    12 Jun 2006 • 29 Komen
    Sambungan dari episod 1...

    Fitnah Protaz

    Jika kamu dari golongan yang mahu berfikir, pasti kamu akan dapat memahami fitnah yang boleh dibawa oleh seorang Protaz. Analogi si Uspro Sulaiman sudah cukup bagi mencelikkan minda kita. Tetapi bolehkah kita membandingkan ilmu perubatan vs ilmu Islam - adakah logik perbandingan yang saya karang dalam kisah Sulaiman itu? Dan apakah wajar bagi seseorang itu mengatakan bahawa: "Mendalami ilmu perubatan itu lebih mudah dari mendalami ilmu agama kerana perubatan ini bukan sekadar teori, tetapi memerlukan praktikal dan pengalaman juga"?

    Pertama sekali, anda mesti faham bahawa definisi saya dalam ilmu sekular vs ilmu Islam terletak kepada bagaimana ilmu itu membentuk individu, masyarakat dan umat ini. Segala ilmu, tidak kira ilmu hadith, ilmu fiqh, ilmu tajwid, ilmu matematik, ilmu perubatan, ilmu astronomi, dan sebagainya, hanya menjadi sekular apabila ia membawa seseorang itu jauh dari mengingati dan mentaati Allah.

    Kedua, dalam kisah Sulaiman, apakah wajar bagi saya untuk membandingkan ilmu perubatan dan ilmu Islam?

    Kewajaran Perbandingan

    Perbandingan yang dilakukan itu adalah logik. Apa yang menjadi masalah apabila kita melihat bahawa mendalami ilmu perubatan itu sukar, dan mendalami ilmu agama itu pula mudah. Soalan saya: "Siapa kata mendalami ilmu agama itu mudah?"

    Sekali pandang, mendalami ilmu agama nampak mudah jika anda rasa ia cukup setakat mendengar kuliah agama mingguan di masjid, atau pun membaca Majalah-I, atau pun setakat mendengar ceramah Ustaz Shamsuri dan Ustaz Ismail Kamus tiap-tiap malam sebelum tidur, atau pun dengan membaca kitab-kitab hadith seperti Sahih Muslim dan kalau ada masa lebih, menyelak kitab tafsir Al-Quran oleh Ibnu Kathir.

    SOALAN: Apakah ini yang dimaksudkan dengan mendalami ilmu agama?

    Kalau inilah definisi kamu dalam 'mendalami ilmu agama', maka saya tak hairan kalau kamu kata mendalami ilmu agama ini mudah, tetapi mendalami ilmu perubatan itu sukar dan tak wajar dibuat perbandingan. Oleh itu saya juga boleh kata, mendalami ilmu perubatan itu cukup kalau kamu baca buku seperti 'Mari Mengkaji Anggota Tubuh Badan Manusia', 'Gizi yang Sihat & Seimbang', 'Bagaimana Mendapat Jantung yang Sihat dalam masa 30 Hari', dan juga 'Mengenali Bakteria dan Virus di Sekeliling Kita'. Kemudian apabila kamu sudah khatam betul-betul buku ini, apakah kamu sudah boleh jadi seorang doktor?

    Saudari-saudariku, mendalami ilmu agama tidak semudah yang difikirkan - lebih-lebih lagi untuk mencapai tahap seorang mujtahid. Dan fenomena yang berlaku hari ini, sudah mula muncul Protaz-protaz yang mahu jadi Imam Mujtahid!

    Protaz Versi Wannabe Mujtahid

    Dunia Islam hari ini memerlukan begitu ramai golongan ustaz dan juga Protaz. Kita patut bersyukur apabila sudah semakin ramai golongan Protaz yang dapat dilahirkan. Tapi, masalah timbul apabila wujud sesetengah Protaz yang ingin tunjuk belang dan taring dalam bidang yang bukan dalam cakupan kemahirannya.

    Mengapakah wujud Protaz (dan tak ketinggalan juga ustaz) yang suka sangat membicarakan perkara-perkara khilaf? Mengapakah wujud Protaz yang mempertikaikan sistem dan kaedah perundangan Islam yang sudah lama disepakati sejak beratus-ratus tahun lamanya? Mengapakah wujud Protaz yang asyik menilai semula hukum-hakam dalam Islam? Mengapa wujud Protaz yang sibuk sangat nak mencari hukum mana yang lebih rajih? Mengapakah lahir golongan Protaz versi wannabe mujtahid? Apakah si Protaz ini sudah begitu kemaruk ingin menjadi Imam Mujtahid?

    Mengapakah wujud si Protaz yang tidak berguru ini, yang begitu lancang berfatwa itu bidaah, ini haram, itu bukan sunnah, para ulama tak tahu hadith ini, hukum tiada dalam hadith dan Al-Quran pada perkara-perkara yang terdapat khilaf dan perbahasan padanya? Apakah Protaz jenis ini yang kita mahu?

    Apakah si Protaz ini tidak sedar bahawa para ulama silam begitu takut untuk mengeluarkan hukum dan fatwa? Apakah mereka tidak pernah mendengar kisah bahawa pernah sekali Imam Malik rahimahullah hanya menjawab 3 soalan dari 18 soalan yang diajukan kepadanya? Dan yang bakinya beliau setakat menjawab "Aku tidak tahu". [Baca kisahnya di sini]. Zaman sekarang, bila ditanya 18 soalan, dijawabnya 180 soalan (dalam hati mungkin kata: 'Tanyalah lagi...saya sudi menjawabnya).

    Dan sekarang ini, sikap suka mengeluarkan fatwa dan hukum sudah mula berjangkit kepada budak-budak IPTA dan IPTS yang tak pun jadi profesional lagi. Bebudak hingusan ini buka satu dua halaman dalam kitab Sahih Bukhari, dan kemudian berjumpa dengan hadith yang bertentangan dengan hukum fiqh dalam mazhab Shafi'i, dan akhirnya membuat ijtihad sendiri dari hadith tersebut serta mengatakan mazhab Shafi'i telah salah dan tak jumpa hadith ini. Alasannya: Ia hadith sahih dari Sahih Bukhari dan sudah pastilah kita mesti mengikut sesuatu yang sahih.

    Inilah akibatnya apabila mereka tidak belajar ilmu Islam dengan kaedah yang betul, dan yang paling haru-baru apabila mereka belajar tanpa guru. Ilmu usul fiqh pun tak tak tahu, tapi nak juga tiru imam mujtahid. Bagi mereka asal sahih wajib kita ikut. Apakah mereka ini tidak sedar ada hadith sahih, malah ayat Al-Quran yang tidak boleh dijadikan hukum, iaitu apabila ayat al-Quran atau pun hadith sahih itu telah dimansuhkan?

    Dan yang paling saya pelik, mengapakah mereka ini begitu fanatik dalam ilmu fiqh dan hadith? Apakah mereka tidak sedar bahawa ilmu Islam ini bukan semata-mata fiqh dan hadith? Dan apakah mereka ini tidak sedar (atau pun bodoh sombong) bahawa proses membuat ijtihad - iaitu proses mengeluarkan hukum dalam Islam - bukan setakat dengan ilmu hadith?

    Apakah dengan sekadar belajar ilmu hadith, maka ia sudah cukup untuk Protaz ini menjadi pakar dalam agama, dan seolah-olah suara dan pandangannya mesti menjadi suara autoriti? Dan dengan kaedah analogi yang sama juga, apakah cukup dengan sekadar belajar ilmu anatomi, kita sudah boleh menjadi pakar dalam dunia perubatan?

    Mengapakah jika dalam bidang perubatan kita boleh faham sebetul-betul faham bahawa pelbagai jenis cabang ilmu - pharmacology, anatomy, physiology, microbiology, surgery, pathology, biochemsitry, dan banyak lagi - diperlukan sebelum seseorang itu boleh menjadi doktor, tetapi apabila masuk dalam hal-ehwal agama Islam yang berkaitan dengan proses membuat ijtihad dan mengeluarkan hukum, kita berasa seolah-olah cukup dengan sekadar ilmu hadith?

    Dan mengapakah dalam bidang perubatan, pergigian, kejuruteraan, matematik, arkitek, dan lain-lain, hatta belajar jadi tukang jahit sekali pun, kita boleh appreciate betapa pentingnya kehadiran seorang guru, tetapi dalam hal-ehwal keagamaan, kita jadi begitu angkuh dengan mengatakan bahawa tiada apa salahnya jika belajar tanpa guru. Beritahu kepada saya siapakah ulama agung dan imam mujtahid dari dulu sampai sekarang yang belajar tiada guru?

    Kalau niat betul, tapi cara salah, inilah yang berlaku - kewujudan Protaz gubra yang merapu lagi meraban dalam wilayah yang masih tidak betul-betul difahaminya. Sila jawab dengan hati yang ikhlas: Protaz bagaimana yang mahu kita lahirkan?

    Dan kepada Protaz dan bakal Protaz di luar sana, kamu jangan kacau sistem keilmuan Islam yang sudah pun cantik dan comel ini. Kalau kamu tetap tak puas hati dan tetap percaya bahawa sistem ini ada silap dan cacat-celanya, maka silalah cari guru dan belajar betul-betul. Dan ketahuilah bahawa dengan izin Allah, kamu sendiri akan sedar betapa kerdilnya kamu. Akhirnya kepala kamu akan tunduk ke bumi setelah menyedari betapa tingginya tahap ilmu yang diperlukan bagi mencapai tahap seorang imam mujtahid.

    Bukan Sekadar Teori

    Dan seperti yang dikemukakan di awal tadi: "Mendalami ilmu perubatan itu lebih mudah dari mendalami ilmu agama kerana perubatan ini bukan sekadar teori, tetapi memerlukan praktikal dan pengalaman juga", sudah pun dijawab separuh - mendalami ilmu perubatan dan ilmu agama itu sama sahaja susahnya, dan kedua-duanya mesti mempunyai guru.

    Akhir sekali, ketahuilah bahawa Islam itu bukan ilmu teori semata-mata. Ia juga praktikal dan memerlukan pengalaman. Seperti yang sudah diketahui ramai, Imam Shafi'i sering menziarahi makam Imam Abu Hanifah. Apabila di sana, beliau tidak melakukan doa qunut ketika solat Subuh demi menghormati Imam Abu Hanifah (Imam Abu Hanifah berijtihad bahawa tidak disunatkan membaca doa qunut ketika solat Subuh).

    Andainya Islam ini ilmu teori, sudah pasti Imam Shafi'i tetap membaca doa qunut ketika di sana.

    Wallahu'alaam.

    Bersambung dalam Episod 3
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Dakwah Si Protaz & Uspro 1

    02 Jun 2006 • 27 Komen

    Apa Itu Protaz dan Uspro?

    Protaz adalah satu istilah yang dipopularkan oleh Majalah-I. Protaz adalah gabungan perkataan profesional dan ustaz. Uspro pula adalah istilah yang dipopularkan oleh blog hembusan.blogspot.com - tapi masih tidak begitu popular. Uspro adalah gabungan kalimah ustaz dan profesional. Di antara Protaz yang terkenal di Malaysia adalah Hafiz Firdaus, Dr Danial Zainal Abidin, dan di kalangan wanita pula seperti Dr Harlina Haji Siraj.

    Jadi Apa Bezanya?

    Uspro dan Protaz adalah gabungan dua perkataan yang sama - iaitu ustaz dan profesional, jadi apa yang membuatkannya berbeza?

    Seseorang dikatakan Protaz apabila dia menjawat jawatan profesional terlebih dahulu, seperti doktor, jurutera, peguam, pilot, kemudian barulah dia menceburkan diri dalam bidang hal-ehwal agama Islam. Mereka juga boleh mendalami ilmu Islam dan profesional pada masa yang sama, tetapi keutamaan diberikan kepada bidang profesional. Dan mereka mesti terlibat dalam kedua-dua bidang itu pada masa yang sama.

    Uspro pula lebih kurang sama dengan Protaz dari segi penghuraiannya. Apa yang bezanya, Uspro mendalami ilmu agama terlebih dahulu, dan kemudian barulah masuk ke dalam wilayah profesional seperti doktor, pilot, dan sebagainya.

    Jadi Apa Masalah Protaz?

    Untuk memahami fitnah yang boleh dibawa oleh Protaz, saya akan menjelaskan melalui Uspro. Tetapi harus kita faham bahawa tak semua Protaz bisa mengundang fitnah. Fitnah hanya berlaku apabila seseorang Protaz itu mengganggu-gugat sistem yang sudah dipersetujui dan disepakati oleh ramai ulama.

    Katakan ada seorang Hamba Allah yang bernama Sulaiman. Sulaiman adalah seorang Ustaz yang mengajar di UIA. Bidang pengkhususan Sulaiman adalah Ilmu Hadith. Sebut sahaja apa-apa hadith, dalam sekelip mata Sulaiman dapat memberikan sumber dan taraf hadith tersebut. Sulaiman sebenarnya sudah sampai kepada tahap seorang Sheikh, tetapi beliau tidak suka orang memanggilnya Sheikh. Cukuplah gelaran Ustaz baginya. Guru-guru yang mengajar Sulaiman juga bukan calang-calang orangnya. Lebih 15 tahun beliau merantau di Mesir, Syria, Yaman, Mauritania, dan India bagi mencari khazanah ilmu Islam.

    Satu hari Sulaiman tiba-tiba berminat untuk mendalami bidang perubatan. Maka si Sulaiman pun pergi ke kedai buku untuk mencari buku-buku perubatan. Dia beli buku anatomy, physiology, biochemistry, pathology, microbiology, neuroscience, psychiatry, surgery, paediatric, obstetrics & gynaecology, rheumatology, orthopaedics, dan banyak lagi. Kini Sulaiman terpaksa membina sebuah perpustakaan mini di rumahnya bagi menempatkan segala kitab-kitab perubatan tersebut.

    Demi minatnya dalam bidang perubatan, Sulaiman sentiasa mempelajari, mentahkik, mentarjih, dan menghafaz kitab-kitab perubatan yang dibelinya itu siang dan malam. Namun demikian, disebabkan kesibukan sebagai seorang ustaz yang keluar berdakwah, Sulaiman tidak mampu untuk mempelajari ilmu perubatan dengan berpandukan guru - dengan kata lain, Sulaiman belajar sendiri melalui buku. Bagi Sulaiman, tidak ada salahnya belajar ilmu perubatan tanpa guru. Bagi dia, buku-buku itulah gurunya. Dan Sulaiman belajar dengan kaedah sedemikian buat beberapa tahun..

    Setelah beberapa lama, Sulaiman sudah yakin dengan ilmu perubatan yang dipelajarinya sendiri. Masyarakat juga telah mengkagumi beliau kerana ilmu Islam dan perubatan yang ada dalam dadanya. Sulaiman kini adalah seorang Uspro. Di samping menulis buku-buku agama, beliau kini sudah menulis buku-buku perubatan sebanyak 10 buah kesemuanya. Tindakan Sulaiman ini telah mengegarkan dunia perubatan Malaysia. Sulaiman kini dikritik oleh ramai doktor tanah air.

    Buku paling kontroversinya, iaitu Treat Your Depression, begitu banyak disanggah oleh para doktor tanah air. Di dalam buku tersebut, Sulaiman telah menulis bahawa seseorang yang mendapat depresi, haruslah diberikan ubat Tricyclic Antidepressent, tanpa memberitahu kelompok pesakit yang tidak boleh diberikan ubat tersebut. Malah Sulaiman juga pernah memberikan ubat tersebut kepada seorang pesakit jantung, padahal ubat itu tidak boleh diberi sama sekali kepada mereka.

    Doktor-doktor yang menyanggah Sulaiman berhujah bahawa ilmu Sulaiman dalam bidang perubatan begitu cetek, lebih-lebih lagi dalam bidang pharmacology (semak semula buku-buku yang dibelinya. Tiada buku pharmacology!). Tetapi seperti biasa, Sulaiman membidas kenyataan doktor-doktor tersebut bahawa mereka rasa tergugat apabila dia memasuki wilayah perubatan.

    Dan Sulaiman terus menulis buku-buku perubatan yang begitu banyak bercanggah dengan kaedah dan sistem klinikal yang telah disepakati oleh ramai doktor di seluruh dunia...

    Bersambung di Episod 2
    ¶ Teruskan membaca entri ini »