Back to home page

Bila Saddam Digantung Leher

20 November 2006 • 1 Komen Cetak Chenta!
Jika saya duduk di Iraq sekarang, saya lebih rela berada di bawah rejim zalim Ba'ath pimpinan Saddam Hussein. Duduk terconggok di bumi Iraq sambil dipermain-mainkan oleh kuasa paksi Amerika-Britain yang memperbonekakan Kerajaan Peralihan Iraq akan lebih menyakitkan hati saya. Namun sudah semestinya jika saya diberi pilihan, saya tidak mahu berada di bawah celahan punggung Amerika-Britain, mahu pun duduk selesa di bawah ketiak Saddam.

Iraq di bawah Saddam memang haru-biru lagi bercelaru. Saya cintakan Islam. Dan oleh itu saya mahu melihat seorang pemimpin beragama Islam seperti Saddam memandu Iraq dengan cara Islam. Tetapi Saddam bersifat terlalu nasionalis dan sangat sekular. Iraq menjadi satu-satunya negara di Teluk Parsi yang tidak mengamalkan undang-undang Islam. Bila Saddam berada pada kedudukan yang selesa, beliau tidak hirau tentang jatuh bangun Islam. Tetapi apabila tersepit, beliau mula memainkan sentimen Islam untuk membangkitkan semangat nasionalisme rakyatnya.

Bagi meraih sokongan umat Islam Iraq yang masih konservatif, beliau kemudiannya memperkenalkan semula beberapa enakmen Islam seperti yang berkaitan dengan isu rogol, liwat dan pelacuran. Beliau telah membentuk kerajaan Islam Iraq Hadhari. Ke 'hadhari' an Iraq berada pada limit yang sangat ekstrim. Di bawah Saddam, Islam digunakan sebagai kunci meraih sokongan dan memantapkan lagi kuasa beliau sebagai seorang diktator kuku besi.

Jika kita melihat bendera Iraq hari ini, terdapat kalimah 'Allahu Akbar' padanya [lihat]. Sebelum Perang Teluk 1990-1991, tiada kalimah 'Allahu Akbar' [lihat]. Kalimah tersebut ditambah pada babak-babak awal pembukaan tirai Perang Teluk. Ini sekadar untuk menyalakan api nasionalisme rakyat dengan menggunakan label Islam. Sekali lagi Islam dihadharikan di sana.

Begitu juga apabila beliau mahu mempengaruhi rakyat dan dunia Arab dalam usahanya menjadikan Iraq sebagai 'Mekah' dunia Arab. Sekali lagi sentimen Islam diperkudakan. Kehebatan bekas kerajaan Bani Abbasiyyah dari segi politik, ekonomi dan budaya, yang berpusat di Baghdad dijadikan umpan di dalam ucapannya. Sekali-sekala beliau menyebut-nyebut nama tokoh-tokoh agung Tamadun Mesopotamia (Mesopotamia adalah Iraq zaman silam) seperti Nebuchadnezzar II dan Hammurabi. Kesemua ini dilakukan bagi meraih sokongan nasionalisme penduduk tanah Arab dan rakyat Iraq secara khususnya.

Porak-Peranda di Iraq

Sebelum era Saddam, Iraq sudah pun menjadi sebuah negara kontroversi. Sunni berperang dengan Syiah. Arab menentang Kurdish, orang-orang nomad bresengketa dengan petani. Hari ini kontroversinya semakin bertambah. Iraq di bawah kekuasaan Saddam (1979-2003) sememangnya zalim. Tetapi Iraq di bawah Amerika adalah jauh lebih zalim - ibarat Playstation 1 dan Playstation 3. Sekurang-kurangnya sewaktu era Saddam, musuh utama rakyat Iraq cuma Saddam. Puak Kurdish, Syiah, dan pihak-pihak lain yang cuba menentang Saddam, telah dibalun dan dihentak dengan cara yang sangat brutal. Akibatnya, mereka perlu berfikir panjang untuk melakukan sebarang revolusi dan pemberontakkan baru terhadap Saddam.

Namun demikian, apabila Iraq berada di bawah paksi perikatan Amerika-Britain, jumlah dan jenis musuh bertambah mendadak. Rakyat Iraq sudah keliru yang mana musuh dan yang mana kawan. Di waktu Saddam memerintah, mereka tahu di mana letaknya 'periuk api'. Hari ini, 'periuk api' itu seperti berada di mana-mana. Umat Islam saling berbunuhan. Bom meletup di sana-sini. Kes penculikan meningkat. Puak Syiah hardcore semakin membiak subur. Kumpulan-kumpulan pengganas underground ala-ala Zarqawi juga semakin banyak yang sudah menetas. Fahaman ekstrim Taliban semakin mula dihayati di sana. Pembuat roti di kota Baghdad yang kebanyakkannya terdiri dari puak Syiah, telah menjadi sasaran puak pelampau Sunni. Mereka menyerang pembuat roti yang tidak bersalah ini hanya kerana mahu membalas dendam ke atas puak pelampau Syiah. Si penggunting rambut juga dibunuh dan diancam dengan menggunakan alasan agama. Mereka dituduh sebagai telah melanggar kod undang-undang Islam kerana mencukur janggut pelanggan, dan juga kerana memotong rambut mereka dengan fesyen dan gaya tertentu.

Islam ditafsirkan dengan cara yang makin jauh terpesong di bawah Presiden Kerajaan Peralihan Iraq, Jalal Talabani, yang menjadi patung boneka Bush dan konco-konconya. Di bawah Amerika, nyawa rakyat Iraq mendapat diskaun 100%. Tahun ini, statistik kematian akibat kacau-bilau di sana ialah 100 orang setiap hari - sebulan 3,000 nyawa.

Digantung Leher

Keputusan perbicaraan kes jenayah kemanusiaan ke atas Saddam sudah pun diputuskan pada 5 November 2006 - beliau akan mati di tali gantung. Para penganalisis politik dunia berpendapat bahawa tarikh 5 November itu sudah dirancang awal-awal lagi oleh pentadbiran Rumah Putih. Konon-kononnya, dengan menjatuhkan hukuman pada tarikh tersebut, iaitu dua hari sebelum pilihanraya pertengahan penggal Amerika, Bush menyangka Parti Republikan boleh meraih undi yang lebih besar dari rakyat Amerika. Tetapi Bush telah tersalah membuat pergerakan pada bidak-bidak catur syaitannya.

Dunia berbelah-bahagi terhadap keputusan mahkamah ke atas Saddam. Ada yang menyokong, dan ada yang menentang. Di Ireland, jurucakap kepada Kementerian Perhubungan Luar Negeri telah menegaskan bahawa Ireland dan Kesatuan Eropah (EU) sejak sekian lama lagi membantah sebarang hukuman bunuh ke atas Saddam.

Saya juga menentang hukuman mahkamah tersebut - tetapi bukan kerana saya menyokong Saddam. Puak Syiah, Kurdish dan warga Kuwait serta Iran mungkin ramai yang bergembira. Gembira mereka itu bersebab. Bagi saya Saddam Hussein itu tidak ada bezanya dengan Slobodan Milosevic yang telah mencetuskan peperangan etnik di Kosovo, Bosnia, Croatia dan Slovenia. Saddam juga mirip kepada Ariel Sharon yang cuba menghapuskan penduduk Palestin. Apa yang berbeza di sini adalah agama yang dianuti oleh ketiga-tiga pemerintah zalim ini, dan juga bagaimana Barat memandang konsep zalim secara umumnya. Ariel Sharon dipandang wira oleh Amerika kerana usaha beliau menghapuskan 'pengganas' Palestin. Slobodan Milosevic pula mati tanpa sempat dijatuhkan hukuman. Jika Barat memusuhi Milosevic kerana fahaman komunis yang dianutinya, tetapi Saddam dimusuhi bukan kerana Islamiknya beliau - ia lebih kepada faktor minyak yang sentiasa menjadi kayu ukur kestabilan politik dan ekonomi dunia moden.

Barat nampaknya tidak begitu takut dengan Islamnya orang-orang Arab. Orang-orang Arab tidak punya kejantanan dari aspek kesatuan. Barat hanya akan bergundah-gulana apabila gagal menguasai ladang ternakan minyak di negara-negara Arab. Hukuman mati ke atas Saddam pula adalah simbol kebobrokan sistem perundangan Amerika. Memang benar Saddam wajar dihukum dek kerana jenayah kemanusiaan beliau, tetapi siapa pula yang mahu menghukum rejim Zionis Israel? Dan siapa pula yang mahu menghukum Bush yang jauh lebih zalim jika Amerika dipandang sebagai 'Tuhan' yang menguatkuasakan undang-undang? Kemurkaan Amerika sudah menjadi taboo kepada dunia.

Saddam tidak dilayan dengan cara yang adil. Chandra Muzaffar juga berpendapat bahawa perbicaraan kes Saddam telah melanggar banyak norma-norma perundangan dan kehakiman antarabangsa. Jadi, di manakah tersoroknya konsep hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh Barat ini, secara khususnya Amerika? Golongan Islam Liberal yang sibuk mengagung-agungkan konsep hak asasi manusia terjemahan Barat patut melakukan muhasabah diri.

Apa yang pasti, kematian Saddam di tali gantung tidak akan dapat merungkai kekusutan dan ketegangan dunia hari ini walaupun seinci. Ia akan sekadar menambahkan lagi bara yang mengaktifkan rangkaian pengganas antarabangsa yang sewenang-wenangnya menggunakan label Islam sebagai kunci untuk menghalalkan cara.

Dan Pemenangnya..

Dalam kes ini, Saddam sudah kalah. Amerika memenanginya dengan cara kotor, cara lelaki pondan dan mak nyah. Kemenangan Amerika ini juga bermaksud kemenangan golongan Kafir Harbi ke atas kita selaku umat Islam. Jadi, mengapa kita mahu bersyukur dan bergembira apabila Saddam akan dijerut lehernya?

Secara zahir, Amerika menjadi johan permainan Command & Conquer di Iraq. Harus diingat bahawa tiada naib juara di sini - hanya ada satu pemenang sahaja. Tetapi sejarah akan sentiasa menjadi saksi dan bukti kedangkalan spesis Homo Sapiens yang memiliki 98% kesamaan DNA dengan chimpanzee ini. Allah telah pun memuliakan manusia dengan petunjuk Al-Quran dan Sunnah. Jika kehidupan manusia didirikan dengan panduan yang mulia itu, maka layaklah kita digelar manusia. Jika tidak, jangan kita menyalahkan monyet di hutan jika satu hari nanti bumi menjadi seperti mana yang berlaku dalam cerita sains fiksyen Planet of the Apes.

Tiada satu pun rejim zalim yang akan kekal selamanya. Rejim Serbia di bawah Milosevic juga sudah berkubur. Akibatnya Serbia menjadi sebuah negara pariah yang sedang mengalami kejatuhan ekonomi di tahap yang kritikal. Rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot di Vietnam juga sudah hanya tinggal kenangan. Rejim yang zalim akan sentiasa ditumbangkan - sama ada dengan cara yang adil atau dengan cara yang zalim juga. Jika caranya adil, maka ia satu rahmat dari Allah. Jika caranya zalim, maka sepak terajang dalam putaran jatuh-menjatuhkan itu akan berulang sekali lagi. Percayalah, rejim Bush dan rejim Zionis akan musnah juga satu hari nanti. Kita hanya perlu menunggu, berusaha dan berdoa, kerana masa akan menjadi pembolehubah kepada sunatullah alam ini.

Saddam akan menjadi lagenda dunia abad ini. Para penyokongnya akan menangis dengan pemergian beliau. Musuh-musuh beliau pula akan ketawa terbahak-bahak. Menangis atau ketawa, itu semua adalah simbolik dan refleksi kepada kejahilan manusia dalam memahami erti semangat kemanusiaan sejagat. Para pemimpin Islam sepatutnya belajar dari kejatuhan Saddam - jangan sekali-kali menggunakan Islam untuk kepentingan diri dan kerajaan. Rakyat pula jangan terlalu asyik mengatakan kerajaan zalim, kerajaan tidak Islamik, sehingga kita lupa untuk bermuhasabah diri. Kita bertempik "Kerajaan hampeh, Kerajaan Yahudi, Kerajaan tidak mengamalkan hukum-hakam Islam", tetapi dalam masa yang sama, kita sendiri lupa untuk mengaplikasikan Al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan seharian kita. Kita hanya membaca dan memahami Al-Quran untuk diaplikasikan kepada pihak lain. Adakah ini logik dan rasional?

Martin Luther King Jr, seorang aktivis kulit hitam yang terkenal mengatakan bahawa jika seseorang itu ingin menentang sebarang kezaliman, maka dia perlu melalui empat peringkat. Peringkat pertama, seseorang itu mestilah betul-betul pasti bahawa kezaliman telah pun berlaku. Dalam kes beliau, telah berlaku kezaliman terhadap warga kulit hitam di Amerika. Peringkat kedua pula adalah berunding, iaitu pergi berjumpa dengan si pembuat zalim tersebut, dan minta supaya keadilan ditegakkan. Jika rundingan itu tidak berhasil, maka barulah beralih ke peringkat yang ketiga.

Peringkat ketiga ini dinamakan muhasabah diri. Tanya pada diri sendiri: "Adakah aku sendiri melakukan kesalahan? Adakah aku sendiri melakukan kezaliman?" Peringkat keempat pula adalah bertindak menghapuskan kezaliman yang wujud, hanya setelah kita melakukan muhasabah diri yang benar-benar ikhlas dan jujur. Setelah membuang segala kezaliman yang ada pada diri kita, maka barulah kita menentang seseorang yang melakukan kezaliman.

Hayatilah firman Allah di dalam Surah al-An'aam, ayat 129, yang bermaksud: "Dan Kami letakkan sebahagian penzalim itu ke atas penzalim yang lain, kesan daripada apa yang dilakukan oleh tangan-tangan mereka sendiri". Menurut Fakhruddin al-Razi, iaitu seorang ulama Al-Quran abad ke-12, ayat ini bermaksud bahawa kezaliman yang wujud di atas muka bumi ini mungkin disebabkan kezaliman yang berlaku sebelumnya. Dengan kata lain, acapkali mangsa-mangsa kezaliman itu dahulunya juga sering melakukan kezaliman ke atas orang lain.

Namun demikian, bak kata Sheikh Hamza Yusuf, ada juga keadaan yang mana kezaliman yang wujud itu sebenarnya adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah ke atas para hamba-Nya. Jika mereka tabah dan sabar, maka Allah akan menganugerahkan nikmat dan kejayaan kepada mereka. Apa yang penting di sini, sebelum kita mengondem orang lain sebagai zalim, jangan pula kita lupa untuk menyemak diri sendiri.

Sebagai penutup, mari kita sama-sama berdoa semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Saddam, semoga beliau bertaubat nasuha, dan semoga tiada lagi Saddam Kedua, Ketiga, Keempat dan yang seterusnya, yang akan wujud dari kalangan orang-orang Islam. Selamat tinggal Saddam Hussein. Legasi tinggalanmu akan aku kenang untuk dijadikan iktibar kepada kehidupanku.

Sekian adanya.

Pautan Berkaitan

- Timeline: Iraq after Saddam
- The Stolen Dream of Iraqi Freedom
- Baghdad bakers and barbers at risk

---

Jalan-Jalan

1.Moez Masoud | Terima kasih kepada Ruqi untuk laman web ini.
2. Siri Kembara Sufi Sub Sahara oleh Kaki Bangku. Episod 1 | Episod 2
3. Matawang dinar Iraq semasa era pemerintahan Saddam dan selepas beliau dijatuhkan. Saya scan dari National Geographic, edisi bulan April 2006:



4. What do you think about this article?
While Malaysia fiddles, its opportunities are running dry

1 Komen Tambah Komen↴

aku suka kaedah menentang kezaliman yg ko pecahkan kepada empat tu.

1)kezaliman dipastikan berlaku.
2)berunding dgn pihak penzalim
3)muhasabah diri
4)bertindak menghapuskan kezaliman

semua langkah di atas adalah kaedah rasulullah dalam menyampaikan dakwah.amar makruf nahi mungkar.itulah dakwah!

sudut lari-lari:
-------mengenali AL RAZI-------
ALRAZI-RHAZES
Imam Fakhrul Razi

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.