Peraturan baru telah pun dibuat. Jadi, kalau ada blog yang kena delete dari MMB, blog anda mungkin telah melanggar beberapa peraturan ini:
1) Blog yang buat banyak sangat artikel copy-and-paste. Kita sebenarnya mahukan para penulis blog melahirkan sesuatu yang asli dan segar dari apa yang tersimpan dalam hati dan fikiran. Bukan copy-paste. Apa bezanya sebuah blog copy-paste yang dibina oleh seorang budak 10 tahun dan seorang pakcik 30 tahun? Nothing. Jadi, sila kekang nafsu anda dari buat banyak sangat copy-paste. Apa pun, saya masih tetap ada toleransi kepada entri copy-paste. Peraturan yang ini tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
80% artikel sendiri + 20% artikel copy-paste = nilai selamat dalam MMB.
2) Terlalu banyak sangat iklan dalam blog. Okay, iklan memberikan duit kepada pemilik blog. Ini satu bonus. Tapi jangan buat blog kerana duit, Adsense, affiliate, dan sebagainya.
Blog bersifat copy-paste + iklan berlambak-lambak = Splog (Spam blog)
Splog tidak dialu-alukan dalam MMB.
3) Menggunakan autohits. Setakat ini, masalah ini tidak pernah lagi ada dalam MMB. Autohits adalah satu program untuk meningkatkan jumlah hits dan sedikit sebanyak boleh meningkatkan Google PageRank. Saya pernah join autohits ini untuk melihat bagaimana ia berfungsi. Agak hebat juga. Hits harian blog ini bertambah sebanyak 200++.
Tapi untuk apa? Untuk apa blog anda dapat banyak hits jika yang datang itu sekadar berada di blog anda selama beberapa saat dan tak baca walau satu apa pun? Kalau mahu join autohits tidak mengapa, tetapi jangan join autohits dan MMB pada masa yang sama.
Autohits + MMB = Banned forever.
Peraturan ini dibuat bukanlah kerana Admin MMB seorang yang cerewet, tapi ini bagi memastikan MMB menghimpunkan blog-blog yang ada kualiti, yang boleh merangsang perbincangan sihat tentang apa jua topik.
---------
PERKARA LAIN
Bahagian ini tidak berkaitan dengan MMB. Ini cuma petua kalau mahu menulis blog-blog yang mempunyai isi kandungan yang agak ilmiah. Blog tentang hari ini aku makan apa, hari ini aku tidur pukul berapa, hari ini aku buang air besar berapa kali, mungkin tidak perlu membaca bahagian ini.
1) Kalau mahu tulis blog, apa kata buat perenggan. Artikel yang panjang berjela-jela, walaupun bagus, tetapi tiada/kurang perenggan, akan membuatkan orang menyampah mahu baca. Jangan buat mata pembaca anda berpinar-pinar.
2) Mulakan ayat dengan huruf BESAR, eja betul-betul, dan jaga tatabahasa.
Contoh yang betul:Jika blog anda tujuannya hanya untuk menyampaikan benda yang biasa-biasa, seperti mahu memberitahu dunia bahawa anda suka makan pisang, maka itu tidaklah mengapa. Tetapi saya kerap sungguh berjumpa dengan blog-blog yang mahu menyampaikan sesuatu yang intelektual dan ilmiah, tetapi malangnya tatabahasa yang digunakan lintang-pukang seperti contoh di atas.
Saya suka makan pisang. Hari-hari saya makan pisang. Awak suka makan pisang tak?
Dan bukan begini:
saya suke mkn pisang.hari2 sy mkn pisang.awk suke mkn pisang x????
Seilmiah mana pun tulisan anda, tetapi jika tatabahasa tidak dijaga, orang akan hilang keyakinan terhadap apa yang anda tulis itu. Percayalah.
3) Hanya kerana blog setting anda membolehkan anda menggunakan font yang berbeza-beza seperti Arial, Georgia, Verdana, dan dalam pelbagai format warna dan saiz, itu tidak bermakna anda perlu menggunakannya. Tetapkan pada satu jenis font, satu saiz font, dan satu warna sahaja bagi semua entri. Ini akan menjadikan orang lebih yakin dengan tulisan anda.
4) Memasuki dunia blog tidak bermaksud anda mesti menulis artikel. Tak semua orang mampu berbuat demikian. Jadi apa kata buat sesuatu yang unik seperti Brother Dhuat memilih audio blogging atau pun Ummah Films yang melakukan video blogging.
5) Cari niche blog. Apakah ini? Pernah ada seseorang yang bertanya mengapa saya tak menulis blog politik seperti Roslan SMS. Dan ada juga yang bertanya mengapa tiada isu Palestin dalam blog ini. Waduh waduh Pak! Saya hanya ada dua tangan dan satu otak. Kalau pun saya ada empat tangan dan dua otak, komputer saya ini tetap ada satu. Palestin, politik, dan sebagainya bukan niche blog ini. Tapi itu tidak bermakna saya tak peduli tentang isu tersebut.
Niche adalah sesuatu yang lebih kecil dan merupakan subset kepada kategori blog. Roslan SMS memilih politik Malaysia sebagai niche, Abu Muadz memilih niche berkaitan bisnes internet dari kacamata Islam, Xara memilih cartoon blogging yang dilukisnya sendiri sebagai niche. Blog yang memiliki niche akan mendapat ramai pelawat dan pembaca setia. Salah satu blog yang sering saya lawati ialah Google Operating System. Pemilik blog ini telah memilih kategori Dunia Komputer, tetapi niche ialah Google.
Saya harap anda faham apa itu niche.
6) Ini yang paling penting. Tentang identiti penulis blog, lebih-lebih lagi jika blog anda menyentuh sesuatu isu yang agak panas. Baru-baru ini, agak membara juga rangkaian dunia blog Islam di Malaysia apabila muncul satu blog yang mendakwa Pas itu Syiah.
Bagi saya, pemilik blog itu bebas meluahkan apa yang ada dalam fikirannya. Cuma satu sahaja masalahnya; membaling batu sembunyi tangan adalah perkara yang tidak baik. Fenomena ini semakin menjadi-jadi dengan wujudnya kemudahan internet. Sebenarnya mudah sahaja untuk mengesan setiap orang yang bertanggungjawab di sebalik setiap blog atau laman web. Tetapi agak leceh sahajalah kerana ia memerlukan bantuan polis dan pakar IT. Ini sepertimana dalam hal Kak Pah vs Siti Nurhaliza dalam kes e-mel fitnah ke atas Siti, dan juga dalam kes seorang guru yang ditangkap oleh polis setelah Linda Elite membuat laporan polis dengan mendakwa terdapat sebuah laman web lucah yang memfitnah dirinya, dengan memuatkan gambar-gambar 'panas' Linda dan Edry (katanya super-impose).
Apa pun, kalau rasa kita di pihak yang benar, mengapa mahu bersembunyi di sebalik topeng anonymous? Salah satu syarat utama untuk orang mempercayai segala dakwaan itu adalah dengan mengetahui siapakah si pendakwa itu. Kita berada di Malaysia. Tiada siapa mahu menangkap kamu jika suara yang kamu lontarkan itu tidak bercanggah dengan sistem demokrasi berparlimen dan tidak juga bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.
Oleh itu, jangan main sorok-sorok. Dalam sistem pengumpulan hadith, tiada satu pun hadith sahih, hasan, daif, dan sebagainya, yang tidak diketahui siapakah yang bertanggungjawab meriwayatkannya. Semuanya dikenali, malah hingga diketahui bagaimana peribadi perawi hadith itu secara umum, seperti adil, warak, boleh dipercayai, pelupa, penipu, kuat daya hafalan, dan sebagainya.
Tiada satu hadith pun yang memiliki sanad seperti:
Dari al-Bukhari --> Anonymous --> Yahya bin Said al-Ansari --> Anonymous --> Anonymous --> 'Alqamah bin Waqqas al-Laithi --> Anonymous --> Umar al-Khattab --> Rasulullah sallahu 'alayhi wassalam.
Hadith maudhuk (palsu) pun tidak ada konsep anonymous dalam sanadnya. Dan kamu mahu masyarakat mempercayai kamu yang bersifat anonymity? Maaf, saya tidak boleh mempercayainya. Malah komen-komen anonymous yang mahu cari geruh di blog hembusan ini juga saya tutup sebelah mata sahaja apabila baca.
Hai, panjang pula saya tulis. Apa pun selamat datang 12 Rabiul Awal!
Sekian dari Admin MMB.
14 Komen • Tambah Komen↴
Salam Akhina Admin yang menulis entri ini,
Ana ada satu Soalan.
Bolehkah kita nak iklankan MMB ni kat blog kita supaya ramai lagi yg boeh ambil manfaat di link-link tersebut tersebut tanpa kita mendaftarkan diri or jd ahlinya.
Shukran
Wa'alaikumussalam.
Boleh saja.. Gunakan banner ni
http://i5.tinypic.com/35j031f.gif
encik tawel.. eh admin MMB :) mana pergi cbox, line yg agak lembab mcm disini agak payah jika nak tulis di ruang komen,
aduh nampaknya saya perlu belajar menyusun bahasa penulisan saya dari admin MMB ni, masih banyak uslub yang lintang pukang.
Encik Ibnulfaridh, kalau line lembab, sila lap dengan tisu. Nanti kering la tu. Melawak aje :p. Mana pergi Cbox? Kena tanya Encik Tawel tu. Saya ni Admin MMB saja ;).
Admin, part no 1 tu...adakah kita menyalin penulisan dalam risalah2 dan pamplet2 malah buku2 (seperti dilakukan hizmetbooks) dan diletakkan di blog juga dianggap sebagai copy & paste?
Waduh2, payah betul la encik Admin nak buat keputusan. Nak kena buat definisi 'copy & paste' dulu ni. Hehe.. Takpe Sword, buat aje. Kalau copy paste jenis macam itu, agak bermanfaat juga sebab masih tiada lagi di internet.
Tapi ingat satu perkara sahajalah. Di Malaysia, kita masih agak kurang blog-blog Muslim yang kritis, tapi kalau blog-blog copy-paste yang kritis (dan kadang-kadang tak tau dari sumber mana copy-paste itu), sudah cukup banyak.
Do think, and do not copycat.
Syabas, dengan beberapa peraturan dan cadangan sebegini... blog-blog yg ada dalam MMB akan lebih bermutu!
Oh ya Tuan Tawel. Adakah MMB ni sama ngan Ukhwah daris egi isi blog-blognya?
Kalau sama ok.
Cuma dulu sedari awal anak sangka MMB lebih kepada blog2 keagamaan dna Ukhwah lebih terbuka (asal agama Islam boleh join walaupun blognya sarat hiburan semasa dan sesekali je dia letak entris berkaitan agama).
Dalam dunia blog yang macam-macam ada ni, MMB akan menerima semua jenis macam blog. Asalnya memang untuk list blog yang banyak membincangkan isu-isu Islam.
Tapi dengan beberapa perkembangan terkini, maka terpaksalah buat kategori. 4 kategori baru telah muncul:
1) Isu Islam: Untuk memperbincangkan isu-isu Islam. Mostly serious talk.
2) Personal: Bagi blog yang lebih banyak bercakap tentang isu-isu di sekeliling dia. Kadang-kadang serius, kadang-kadang light talks.
3) Komputer: Bagi blog yang memperbincangkan tentang dunia internet dan komputer.
4) Bisnes: BAgi blog yang memperbincangkan tentang panduan-panduan perniagaan yang berlandaskan hukum syariat Islam.
Kategori ni mungkin akan ditambah lagi pada masa akan datang.
Ranking sekarang terbahagi kepada 2 jenis:
1) Ranking keseluruhan. Hanya muncul di di main page MMB sahaja.
2) Ranking kategori: Muncul di bahagian paparan muka kategori MMB dan juga di blog yang menyertai MMB.
:)
Thank you for your concern.
Ah lupa pulak nak tambah tadi. MMB diseliakan oleh seorang yang berfikiran diktator. Jadi kalau diktator ni rasa blog yang join tu terlalu banyak sangat benda2 lagha, maka dengan tanpa belas kasihannya blog itu akan di delete :D.
Masyaallah... satu perubahan drastik dan bertenaga tahap maksima :-)
assalamualaikum wbt..
ana ni baru je nak bjinak-jinak mnulis blog. kalau ada salah silap tegur la. ana baru je daftar ke MMB atas nasihat rakan. Lagipun bagus kalau dapat kumpulkan ramai pakar-pakar menulis. Dapat juga mengeratkan ukhwah sesama penulis. Ana rasa kecil sangat diri ini kalau nak dibandingkan dgn akhi dan juga penulis yang lain.
assalamualaikum,
saya berminat dengan maklumat di blog saudara.Oleh itu,saya telah meletakkan pautan ke blog saudara di blog saya.Saya amat berterima kasih sekiranya saudara sudi meletakkan pautan ke blog saya di blog saudara.Dapat kita membina satu komuniti.
Blog saya di:
http://belajarfeqah.blogspot.com
saya sokong..hehehe :)
Ada komen atau soalan?
Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.