Bagi orang awam yang ingin mencari dan menentukan taraf sesuatu hadith, biasanya mereka akan meneliti sama ada hadith tersebut wujud dalam kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, atau pun kitab-kitab Sunan hadith yang lain seperti Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmidhi. Dengan kata lain, orang awam sekadar bertaqlid kepada hadith-hadith yang ada dalam kitab-kitab hadith tersebut. Atau pun juga, apabila ada ulama hadith yang mengatakan hadith sekian-sekian adalah sahih, maka orang awam juga akan mengatakan hadith itu sahih - ini juga taqlid.
Namun demikian, seorang imam mujtahid tidak melakukan perkara ini. Mereka tidak bertaqlid kepada mana-mana ulama hadith. Mereka menentukan sendiri (berijtihad) apakah taraf hadith yang digunakan untuk mengeluarkan hukum-hakam dalam Islam. Oleh itu, jika ada mana-mana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, atau Imam Muslim dan lain-lain periwayat hadith, yang kelihatan bertentangan dengan hadith-hadith yang digunakan oleh imam mujtahid mutlak (sebagai contoh Imam Abu Hanifah dan Imam Shafi'i), sebenarnya ia tidaklah boleh dijadikan hujah konkrit bagi menolak hadith yang digunakan oleh para imam mujtahid tersebut. Mengapa?
Seperti mana wujudnya khilaf dalam proses pengeluaran hukum fiqh, begitu jugalah yang berlaku dalam menentukan taraf sesuatu hadith. Walau bagaimanapun, kita mestilah sedar bahawa khilaf di antara mazhab secara perbandingannya adalah kecil - tetapi jangan lupa bahawa khilaf tersebut tetap wujud. Di kalangan para ulama hadith pula, kaedah yang digunakan bagi menentukan dan menilai isnad sesuatu hadith juga ada sedikit berbeza. Perbezaan yang sedikit inilah yang menjadi jawapan mengapa para ulama hadith membuat penilaian yang berbeza pada hadith yang sama.
Kepentingan Memahami Konsep Ini
Kita mestilah sedar bahawa seorang imam mujtahid tidak boleh bertaqlid kepada ijtihad ulama lain tentang taraf sesuatu hadith. Oleh itu, ijtihad ulama hadith hari ini - sebagai contoh mereka mengatakan ada hadith daif di dalam Sahih Bukhari, atau pun mereka memberikan taraf maudhuk kepada hadith hasan di dalam kitab Sunan al-Tirmidhi - sebenarnya ia tidaklah boleh dijadikan hujah bagi kita untuk menolak hadith-hadith tersebut. Ulama hadith yang terdahulu berijtihad mengikut kaedahnya yang tersendiri bagi menentukan taraf sesuatu hadith.Konsep ini perlulah difahami dengan sempurna bagi sesiapa yang ingin menjadi ulama hadith. Zaman kini, para ulama hadith adalah tidak setaraf dengan para ulama hadith zaman silam - sama ada dari segi penguasaan ilmu sains hadith atau pun tahap hafazan hadith. Oleh itu, pakar hadith zaman sekarang perlulah lebih berhati-hati dalam usaha menilai semula taraf sesuatu hadith.
Bab-bab yang berikutnya akan memberikan contoh-contoh khilaf yang wujud dalam proses menentukan kesahihan sesuatu hadith. Nantikan sambungannya. InsyaAllah. Sila juga baca bab-bab yang sebelumnya:
0 Komen • Tambah Komen↴
Ada komen atau soalan?
Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.