Dalam bab Kehandalan Para Imam Mujtahid, kita telah melihat salah satu contoh kaedah fiqh yang digunakan untuk memahami hadith-hadith sahih yang kelihatan saling bertentangan. Kali ini kita akan melihat dua lagi kaedah fiqh. Oleh itu, perhatikan satu lagi contoh hadith bertaraf hasan, diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi bahawa Rasulullah saw "mencela wanita-wanita yang melawat kubur".
Tetapi, para ulama mengatakan bahawa pengharaman wanita untuk melawat kubur telah pun dimansuhkan oleh satu hadith sahih riwayat Imam Muslim yang bermaksud: "Aku pernah mengharamkan kamu melawat kubur, tetapi sekarang pergilah lawat."
Bagi yang memiliki kitab Sahih Muslim versi Arab, sila rujuk Kitab #22, hadith #4866. Pada matan hadith tersebut perkataan fa zuruha (sekarang pergilah lawat) digunakan. Walau pun fa zuruha merujuk kepada lelaki, atau lebih tepat lagi kepada satu kumpulan yang sekurang-kurangnya terdiri dari seorang lelaki, tetapi satu lagi hadith sahih dari Imam Muslim jelas menunjukkan kebenaran melawat kubur, baik bagi lelaki atau perempuan.
Pada hadith tersebut, "Aisyah telah bertanya kepada Nabi Muhammad saw tentang apakah yang patut dibacanya jika dia pergi melawat kubur. Nabi Muhammad saw menjawab: "Baca: 'Kesejahteraan kepada orang-orang beriman dan umat Islam yang tinggal di sini. Semoga Allah memberikan rahmat kepada mereka yang telah pergi mendahului kami dan mereka yang sesudah kami. InsyaAllah, kami akan turut sama menyertai kamu semua kelak."
Hadith ini secara jelas memberikan kebenaran kepada Aisyah ra untuk melawat kubur demi untuk membaca doa yang Nabi ajarkan kepadanya itu. Kalaulah melawat kubur itu haram bagi wanita, maka mustahil bagi Nabi untuk mengajarkan doa tersebut kepada isterinya, iaitu Aisyah. [1]
Oleh itu, seseorang itu mestilah mengetahui kesemua hadith-hadith yang dipetik dalam bab ini, dan juga kaedah fiqh nasikh wa mansukh (hukum yang awal dimansuhkan oleh hukum yang terkemudian), apabila ingin mengeluarkan kesimpulan hukum fiqh pada hadith yang membuktikan bahawa Rasulullah saw mencela para wanita yang melawat kubur - yang mana hadith ini telah pun dimansuhkan oleh hadith yang kedua, dan kemudian disahkan pula oleh hadith yang ketiga. [2]
Makanan Golongan Ahli Kitab
Pertimbangkan ayat Al-Quran yang berikut:"Makanan untuk golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) adalah halal untukmu, dan makananmu adalah halal untuk mereka..."
(Al-Maidah, 5)
Sekilas pandang, ayat ini menyatakan bahawa kita boleh memakan apa sahaja yang dimakan oleh golongan Ahli Kitab. Sebenarnya, hukum yang umum ini tertakluk kepada takhsis, atau pun batasan, oleh satu lagi hukum yang lebih spesifik yang membuktikan bahawa sesetengah makanan Ahli Kitab, seperti babi, atau pun haiwan yang tidak disembelih mengikut kaedah Islam, adalah haram dimakan oleh umat Islam.
Kejahilan tentang kaedah takhsis ini begitu lazim dan mudah dijumpai di kalangan umat Islam yang terlalu mengidam untuk menjadi imam mujtahid [3]. Kita akan selalu mendengar mulut mereka mengeluarkan hukum-hukum yang umum dengan berkata, "Tapi Al-Quran kata begini", atau "Hadith ini mengatakan demikian", dengan tanpa memetik hukum yang lebih spesifik dari hadith-hadith dan ayat Al-Quran yang lain, yang membataskan sesuatu hukum yang umum seperti dalam ayat Al-Quran di atas.
Oleh itu, apabila anda berhadapan dengan golongan seperti ini, jawablah, "Betul wahai saudaraku. Al-Quran memang kata 'Makanan untuk Ahli Kitab adalah halal untuk kita'. Tapi apa lagi yang Al-Quran kata tentangnya?" Atau "Ya, hadith dari Sahih Bukhari memang menunjukkan Nabi pernah menayangkan pehanya di khalayak ketika pulang dari Khaibar. Tapi apa lagi hadith-hadith lain kata tentang aurat?"
Bersambung dalam "Jangan Pandai-Pandai Ijtihad".
Oleh kerana artikel ini bersiri, maka anda hanya berupaya memahami penulisan ini dengan membaca bab-bab sebelumnya mengikut turutan yang diberi:
- Mengapa Perlu Bermazhab?
- Memahami Al-Quran & Sunnah
- Kriminal Dalam Ijtihad
- Kriminal Dalam Ijtihad II
- Kehandalan Para Imam Mujtahid
Nota Kaki
[1] Para ulama sebulat suara mengatakan bahawa melawat kubur sunat hukumnya bagi lelaki. Bagi wanita pula, terdapat khilaf atau perselisihan tentangnya. Para ulama yang berpendapat bahawa wanita tidak boleh melawat kubur adalah berdasarkan pemahaman hadith yang terdapat dalam bab ini, iaitu hadith dari Sahih Muslim, Kitab #22, Hadith #4866. Fa zuruha tidak merujuk kepada jantina perempuan.Sheikh Nuh Ali Salman, iaitu Mufti di Jordanian Armed Forces, telah meletakkan komennya pada kitab Reliance of Traveller. Kata beliau, "Pendapat paling kukuh dalam mazhab Shafi'i ialah wanita boleh melawat kubur, selama mana ia tidak membawa kepada perkara-perkara bida'ah seperti menangis meronta-ronta, percampuran lelaki dan wanita, dan perkara-perkara yang sepertinya. Hadith-hadith yang melarang wanita dari menziarahi kubur telah diintepretasikan oleh para ulama dari mazhab Shafi'i. Mereka berpendapat, hadith tersebut hanya digunapakai pada masa sebelum berlakunya pemansuhan larangan tersebut seperti yang dijelaskan pada hadith di atas." Boleh juga rujuk Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi untuk mendapatkan penjelasan yang lebih dalam.
[2] Oleh itu, apabila kita membaca mana-mana hadith sahih/hasan, janganlah terus memahami hadith tersebut bulat-bulat tanpa mengetahui apakah syarah dan huraian hadith tersebut.
[3] Mungkin kerana inilah saya kerap berjumpa dengan orang-orang Arab yang tidak kisah makan di mana-mana restoran yang jelas lagi sahih menghidangkan daging dari haiwan yang tidak disembelih mengikut kaedah Islam (Saya berada di negara Barat sekarang).
3 Komen • Tambah Komen↴
Al an'aam: 18
"Makanlah kamu dari binatang yang disembelih dengan nama Allah jika kamu benar2 beriman dengan ayatNya"
Memang parah kalau orang yang tahu sikit rasa macam tahu semua dan degil tak nak dengar kata orang pulak tu.... den bila tak tahu dia anggapkan benda tu tak pernah ada...dan tak cuba nak cari kebenarannya
Terima kasih untuk ayat Al-Quran tu. Baru saya ingat nak cari, tapi dah ada orang tolong beri =)
http://ghuroba.blogsome.com/2007/07/16/kitab-ihya-ulumuddin/
Ada komen atau soalan?
Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.