Back to home page

Bigfoot, Taming Sari & MASTIKA

27 Disember 2005 • 6 Komen Cetak Chenta!
Pelik sungguh saya dengan akhbar Malaysia hari ini (atau sejak dulu memang begini?). Saya tidak begitu kisah jika akhbar-akhbar tabloid Malaysia menyiarkan cerita-cerita seram, tahyul, dan sebagainya. Tetapi jika akhbar-akhbar nasional kita (saya ulangi akhbar NASIONAL) menyiarkan berita-berita yang tidak relevan, saya rasa ia satu pembaziran media.

Hari ini saya membaca beberapa lagi kisah-kisah tidak relevan pada akhbar nasional kita - Utusan Malaysia. Apa relevannya menyiarkan berita tentang misteri bigfoot yang didakwa muncul di Malaysia atau pun kisah seorang ahli perniagaan yang mendakwa memiliki keris Taming Sari pada bahagian "Dalam Negeri"? Ini tidak relevan sama sekali!! Kisah-kisah begini patut dimuatkan dalam majalah MASTIKA sahaja!

Akhbar nasional adalah medium yang membentuk minda rakyat. Akhbar nasional Malaysia yang pertama, iaitu Utusan Melayu yang diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1938 di Kota Singa bertujuan untuk membangkitkan semangat perjuangan orang-orang Melayu. Hari ini akhbar yang sama sudah semakin lari dari tujuan asalnya.

Pernah saya membaca laporan-laporan akhbar ini pada bahagian "Dalam Negeri" tentang kisah Mawi jadi juara AF3, kisah Erra dan Yusry yang tidak tinggal serumah, kisah Inul buat goyang gerudi. Apakah akhbar Utusan ini sudah tidak boleh lagi memuatkan berita-berita trivia ini pada bahagian hiburan? Mengapa mesti memampatkannya pada kolum "Dalam Negeri"?

Satu lagi perkara pelik yang saya nampak pada akhbar-akhbar Melayu adalah apabila tibanya kisah-kisah kemalangan, mati lemas, dan sebagainya. Pasti laporan-laporan sedih ini ingin menunjukkan kes-kes kematian tersebut adalah agak aneh dan misteri. Tak percaya? Baiklah, lepas ini anda kaji sendiri. Perhatikan dalam laporan-laporan tersebut, pasti ada ayat-ayat seperti:
1 - Arwah tidak pula menunjukkan perangai yang pelik sebelum dia meninggal
2 - Patutlah anak saya tiba-tiba jadi manja semacam...rupanya dia dah nak pergi
3 - Arwah tiba-tiba jadi kuat makan sebelum kemalangan
4 - Patutlah anak saya itu beriya-iya sangat nak mandi sungai...selama ini dia tidak suka mandi sungai
5 - Arwah tunang SMS saya sehari dalam 2 kali, tapi akhir-akhir ni, makin kerap pula dia SMS saya.
Itu antara ayat-ayat lazim yang anda akan jumpa. Kadang-kadang, saya melihat wartawan-wartawan sendiri yang sibuk sangat nak cari 'hal-hal ganjil' sebelum si arwah mati. Jika tiada apa-apa 'hal-hal ganjil' untuk diceritakan, si wartawan berotak Mastika ini akan menulis, "Walau bagaimana pun arwah tidak menunjukkan perangai pelik sebelum meninggal dunia."

Apahal kita sibuk-sibuk sangat nak cari 'hal-hal pelik dan ganjil' bila berlaku sesuatu kematian? Tak kisah sama ada anda nak masukkan cerita tu dalam akhbar nasional atau MASTIKA, tapi tak perlu nak kaji dan tulis benda-benda seperti itu. Kawan-kawan saya pun banyak melakukan 'hal-hal pelik'. Ada kawan saya yang tiba-tiba suka makan ayam goreng, padahal selama ni tak minat. Ada kawan saya yang tiba-tiba jadi periang, padahal selama ni tak begitu periang. Ada kawan saya yang selama ini jarang tidur, tapi tiba-tiba jadi kuat tidur. Ada anak-anak buah saya yang agak 'sombong' dengan saya, tapi tiba-tiba jadi sangat manja dengan saya. Dan mereka yang tiba-tiba berkelakuan 'aneh' ini masih hidup sehingga sekarang. Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan usia mereka.

Kalaulah saya ini bukan rakyat Malaysia, tak akan saya buka laman-laman web akhbar-akhbar nasional Malaysia - walaupun saya ini fasih berbahasa Melayu. Saya tidak pernah jumpa lagi berita-berita kemalangan yang dimuatkan di BBC dan di CNN yang cuba mengaitkan dengan hal-hal aneh yang dilakukan oleh si mati sebelum dia menemui ajalnya. Tetapi hampir saban hari saya berjumpa dengan ulasan berita-berita sedemikian pada akhbar-akhbar kita.

Saya lemas dengan berita-berita seperti ini. Saya khuatir, mentaliti para wartawan berotak MASTIKA ini akan meresap pada hati rakyat Malaysia (atau dah pun meresap?). Saya kira ia dah pun meresap kerana acapkali juga saya berjumpa dengan orang-orang yang suka sangat mencari kelakuan ganjil si arwah sebelum meninggal. Saya juga khuatir dengan tulisan para wartawan yang tak habis-habis mempromosikan AF, Malaysian Idol dan entah apa lagi tu, lebih-lebih lagi dalam komuniti masyarakat Melayu yang terlalu haus dengan hiburan. Mentaliti ini tidak membawa kemajuan kepada kita.

PS: Oh ya, saya rasa Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar nasional lain patut mewujudkan Ruangan Paranormal.

6 Komen Tambah Komen↴

salam...

membicarakan hal majalah mastika... ana antara org yg mengikuti majalah t'sebut sejak beberapa tahun dulu...
dulu, mmg banyak mengetengahkan hal2 paranormal...skrang ada lagi, cuma telah bekurangan...

apa yg menarik ttg mastika sekarang... ia membongkar kes2 maksiat kalangan muda-mudi, homoseksual dan yg terbaru kegiatan black metal yg menghancurkan akidah agama Islam anak2 melayu yg jahil dan terpegaruh dgnnya...perkara2 yg x berani disiarkan secara jelas dan nyata oleh akhbar2 perdana malaysia..

perkara2 tersebut mencetuskan perasaan sedih dan marah yg bercampur baur... adakala mengalir air mata membaca ketandusan iman dan akhlaq generasi skrg dan akan dtg...bgmana nasib Islam di bumi yg didakwa negara Islam...?

di bawah pimpinan baru, mastika berusaha atas platform mereka sendiri utk menyelamatkan mereka yg terpesong dari jalan yg lurus...moga Allah menerima usaha mereka...

hmm...ana setuju ttg pendapat anta ttg berita arus perdana di malaysia ini...sungguh, Allah memberi kekuatan kpd anta utk melemparkan pdgn yg kritis utk renungan bersama...

syukran jazilan

Tanpa Nama

Terima kasih atas pandangan Baguslah kalau MASTIKA dah macam tu. Saya dah lama tak baca..hehe..

Mungkin minda masyarakat Melayu memang mnda tabloid/gossip agaknya?
Entahlah, saya pun dah lama tak membaca Mastika. Tapi kalau dulu, perkara maksiat/paranormal diberitakan dengan gaya penulisan penuh kontroversi dan sensasi. Amatjarang laporan diberi secara tepat dengan olahan secara ilmiah.

Tanpa Nama

salam...

Sememangnya inilah mentaliti org2 melayu yang lebih cenderung kepada cerita pelik cenggitu...salah satu sebab utama pelaris akhbar2..yang mungkin sememangnya ketandusan ruangan ilmiah atau info yg lebih munasabah..sy pun turut sama kecewa ngan berita cenggini..tapi inilah mentaliti rakyat malaysia..bukan sahaja melayu..malah yang lain juga begitu..cenderung kepada benda2 / cerita2 yang belum pasti kesahehan dan byk tahyulnya..dari yang patut diketahui...entah bila akan berakhir..sudah pasti kita perlu didik anak2 kita, didik dengan ilmu dan pengetahuan yang sebenar,satu masa nanti insyaAllah jika berpeluang dan ada kemahuan.
Apa2 pun sy bersyukur..ruangan ini menunjukkan bukan semua rakyat malaysia berpikiran dan berminat dengan cerita2 sebegini..ini lah generasi baru...dan perintis bagi permulaan..alhamdulillah..jika sudah ada satu suara yang berpendapat sama...bermakna tidak mustahil ada banyak lagi suara di belakang yang bersetuju..

Tanpa Nama

semakin hari semakin buduh..

Tanpa Nama

Klau sdr melihat paparan berita begitu hanya menjumudkan minda bangsa, sdr silap! masih ada manfaat membuat liputan berita spt bigfoot seumpamanya. Perkara ini ada bukti dan secara langsung dapat membuka mata dunia kepada negara kita. Sektor pelancungan boleh dibangunkan. Lihat http://malaysiabigfoot.blogspot.com

Tanpa Nama

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.