Back to home page

2 - Memahami Al-Quran & Sunnah

23 Disember 2005 • 4 Komen Cetak Chenta!
Dalam bab yang lepas, iaitu Mengapa Perlu Bermazhab, kita sudah memahami bahawa ilmu yang ketiga iaitu fiqh, tidak boleh ditafsirkan oleh orang biasa yang tidak punya ilmu lengkap tentangnya. Jika tidak, ia akan membawa kepada kemudaratan.

Sebagai analogi, kata kan anda selalu penat dan lemah badan, serta rasa tak bertenaga. Anda tidak boleh tanya kepada orang biasa yang tidak pernah belajar tentang ilmu perubatan. Jika tidak, jawapan yang aneh, pelik, serta tidak relevan akan diberikan. Contohnya seperti: Kena buatan orang, sebab kerja kuat sangat, tak minum Tongkat Ali, fikir banyak sangat masalah dunia dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu berjumpa doktor untuk mencari sebab yang pasti lagi sahih. Ini kerana wujud banyak faktor yang boleh membawa kepada lemah badan dan selalu rasa tidak bertenaga, seperti: Buah pinggang gagal berfungsi, kanser pada kelenjar thyroid, kurang garam dalam badan, pankreas yang menghasilkan insulin gagal berfungsi, dan lain-lain lagi.

Oleh itu, hanya doktor (dan bukan orang biasa) yang dapat mencari punca penyakit tersebut. Begitu juga dalam permasalahan agama. Hanya para ulama yang berpengetahuan tinggi (dan bukan orang biasa) mampu mengeluarkan ijtihad. Oleh itu adalah menjadi satu kesalahan apabila kita menyuruh orang awam melakukan ijtihad sendiri apabila mereka berjumpa dengan hadith-hadith sahih yang kelihatan bertentangan dengan mazhab mereka [1].

Pembahagian Tugas

Allah telah menjelaskan di dalam Al-Quran bahawa fiqh, iaitu pemahaman terhadap Al-Quran dan Sunnah, memerlukan satu komuniti khas untuk belajar dan kemudian mengajarkan kepada yang lain. Allah berfirman di dalam Surah At-Taubah, ayat 122 yang bermaksud:
"Tidak patut semua orang Beriman pergi berperang. Mengapa tidak sebahagian dari mereka mara (ke medan perang), supaya mereka yang tinggal dapat memahami agama, dan memberi amaran (mengajar) apabila (yang pergi berperang itu) pulang..."
Dalam ayat ini, frasa "Li yatafaqqahu fi deen" yang bermaksud "untuk memahami agama" digunakan [2]. Kalimah "Yatafaqqahu" datang dari perkataan 'fa-qof-ha', iaitu fiqh - yang bermaksud memahami. Oleh itu, berdasarkan ayat ini, ilmu ketiga yang dapat dicedok dari Al-Quran dan Sunnah, iaitu fiqh, memerlukan satu golongan atau komuniti yang layak dan terlatih. Dan ia mestilah dilakukan dengan berhati-hati.

Jadi, apabila kita berhadapan permasalahan dalam agama, kita wajib bertanya kepada mereka yang lebih tahu. Allah berfirman di dalam Surah Al-Nahl ayat 43 yang bermaksud:
"Tanya kepada mereka yang lebih tahu jika kamu tidak tahu."
Dalam ayat ini, frasa "mereka yang lebih tahu", iaitu "ahli zikir" [3], membawa maksud "mereka yang memiliki ilmu tentang Al-Quran dan Sunnah", yang mana para Imam Mujtahid mendapat tempat teratas dari kalangan mereka yang tahu dan faham tentang Al-Quran dan Sunnah.

Masalah Bahasa Arab

Oleh kerana Al-Quran dan Hadith adalah berbahasa Arab, maka ini akan menambahkan kesukaran lagi bagi seseorang yang 'ajam (iaitu tidak tahu berbahasa Arab) untuk memahami Al-Quran dan Sunnah. Kalau pun anda memang handal berbahasa Arab, belum pasti lagi ilmu bahasa Arab anda setanding dengan tahap linguistik penduduk Arab ketika zaman Rasulullah saw. Bahasa Arab waktu tersebut berada di puncak.

Seperti mana Bahasa Inggeris berada di zaman puncaknya ketika zaman William Shakespeare. Walaupun saya mampu memahami Bahasa Inggeris moden dengan mudah, tetapi apabila saya membaca karya-karya Shakespeare dan dari penulis yang sezaman dengan beliau, ia adalah satu kerja yang memayahkan! Berkali-kali saya merujuk kamus dan berkali-kali juga saya membaca ayat yang sama untuk memahami apa yang Shakespeare ingin sampaikan. Hal ini turut berlaku kepada mereka yang berlidah Inggeris dan ini adalah satu realiti - tiada siapa yang dapat menafikannya.

Oleh itu, untuk memahami Al-Quran dan Sunnah dengan jayanya, seseorang mujtahid itu mesti memiliki ilmu bahasa Arab yang sempurna - iaitu sama seperti yang digunakan oleh generasi Arab yang awal. Kelayakan ini, yang mana tidak dipunyai oleh semua orang yang hidup pada hari ini, termasuklah generasi Arab moden, bukanlah topik utama perbincangan ini. Tetapi, jika pun wujud umat Islam yang memiliki ilmu dan lenggok bahasa Arab yang asli, mampukah mereka untuk membuat deduksi dan kesimpulan daripada Al-Quran dan Sunnah, jika mereka tidak pernah mendapat latihan dan ilmu kepakaran dalam bidang ijtihad?

InsyaAllah akan bersambung dalam bab "Kriminal Dalam Ijtihad". Nantikan.

Nota Kaki

[1] InsyaAllah saya akan menulis tentang kehandalan ilmu para Imam Mujtahid dalam bab-bab yang akan datang. Jadi anda akan dapat melihat bagaimana hadith-hadith sahih yang sekali pandang nampak seperti bertentangan dengan apa yang terdapat dalam mazhab anda, sebenarnya ia tidak bertentangan sama sekali. Malah para Imam Mujtahid sebenarnya mengetahui hadith sahih tersebut.
[2] Sila rujuk Surah At-Taubah, 122 untuk melihat frasa asal dalam bahasa Arab.
[3] Sila rujuk ayat yang dimaksudkan di dalam Al-Quran.

4 Komen Tambah Komen↴

BismiLLAH

1) Apakah yang dimaksudkan dengan sunnah.. adakah ia terhad kepada sunnah nabi saja .. maksudnya adakah bila kita kata sunnah , ia adalah membawa erti sunnah RasuluLLAH semata2 ..
2) Apakah yang dimaksudkan dengan sunnah jibliyyah ?

-Maaf jika soalan ini seperti nya soalan budak sekolah rendah saja .

wALLAHua`lam

Tanpa Nama

Salam,Basmallah,
Sy tidak setuju dgn artikel bahawa masalah bahasa arab utk mndalami dn memahami Al-Quran. Allah berfirman :

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? Surah Al-Qamar Ayat 17 dan juga ayat ;


Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu (wahai orang yg mmbaca Al-Quran), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya). Surah Ad-Dukhan Ayat 58

Jadi Islam itu tidak pernah menyusahkan umatnya,melainkan umat itu sendiri menyusahkan diri sendri.Al-Quran itu dah di terjemah ke beribu bahasa di seluruh dunia.Sy juga salah seorang yg membaca Al-Quran dgn bacaan yg sebenar dan memahami.Usah sempitkan pemikiran...Wallahualam...

Tanpa Nama

Salam juga Mohd Haris. Al-Quran memang "diturunkan dalam bahasamu". Tapi ingat, ia diturunkan pada zaman bahasa Arab berada di puncaknya. Bahasa Arab yang digunakan oleh mereka pada zaman itu tak sama pada zaman kita.

Tanyalah pada diri kita sendiri. Berapa banyak di antara kita yang boleh memahami dengan baik, prosa-prosa berbahasa Melayu yang dihasilkan pada zaman puncak Bahasa Melayu pada beberapa ratus tahun yang lampau, seperti Misa Melayu dan Sultanus Salatin?

Semua orang boleh faham Al-Quran dan as-Sunnah. Namun seperti mana yang saya ulas dalam bahagian pertama (itu pun kalau saudara dah baca), kapasiti pemahaman setiap orang itu berbeza.

Salam,Basmallah,
Al-Quran diturunkan pada 1400 tahun yg dulu,Al-Quran itu adalah Universal dan boleh di pakai dan terpelihara sepanjang zaman hingga kiamat.Bermakna Al-Quran itu akan tetap boleh difahami hinggalah kiamat dan Allah pernah berfirman ;

Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai sesiapa yg membaca ayat ini) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran. Surah Al-Imran Ayat 7.

Sebahagian besarnya boleh difahami,dan Al-Quran itu adalah satu pelajaran bagi manusia,persoalannya adakah manusia mahu mengambil pelajaran? Allah berfirman ;

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? Surah Al-Qamar ayat 17,22,32,40.

Allah bertanya kepada sesiapa yg mmbaca Al-Quran itu(ahli kitab seperti pnggilan didlm Al-Quran)..Sy menerangkan mengikut fahaman Allah,dan bukan fahaman manusia.Kerana jika mengikut kebanyakan fahaman manusia,segala yg ada di dlm Al-Quran adalah susah utk di fahami..dan carilah guru untuk kita sama2 mendalami Al-Quran..jdkan Al-Quran imam kita dan pegangan kita..

Tugas saya menyampaikan ayat2Nya dgn jelas ;
"Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata." Surah Yasin Ayat 17.

Terdapat byk dalil2 yang menegaskan Al-quran itu bole difahami ke bahasamu(bahasa melayu dan lain2 bahasa)dan telah dipermudahkan.Sy menyeru dan berpesan kepada diri sy dan semua yg membaca,carilah guru utk sma2 memahami Al-Quran.maafkan sy,yang baik dtgnya dari Allah dan yg buruk itu dtgnya dari diri sy sndri..Wallahualam..Hamdalah..

Tanpa Nama

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.