Selepas wanita tadi, aku berjumpa seorang lelaki yang sedang berjalan dengan isterinya dan anaknya yang masih kecil. Aku yakin lelaki itu Muslim sebab isterinya berhijab. Aku kira lelaki itu berbangsa Pakistan.
Ramai orang komen dalam dalam entri yang lepas - Aku tak bagi salam dulu kat wanita tu. Hehe..memang pun. Sebab aku ragu-ragu. Takut kalau aku bagi salam, dia bukan Muslim. Manalah tahukan.
Sebab aku ada 2 pengalaman. Pertama, aku nampak sekumpulan wanita bertudung (dalam 3 orang) kira-kira 15 meter dari aku. Mereka tunggu bas masa tu. Aku yakin sungguh mereka Muslim. Bila mereka lalu, la...orang kuat gereja sebenarnya. Entah apa orang panggil. Paderi ke? Aku pun tak pasti. Rasanya nun. Cuma apa yang aku pasti, mereka tu beragama Kristian.
Kedua pula, apabila berjumpa makcik-makcik Irish tua yang memakai tutup kepala (seperti tudung) pada cuaca yang agak sejuk. Biasanya dari belakang memang nampak macam tudung. Aku kejar wanita di Barcelona tu dari belakang. Dan aku tanya dia, 'Excuse me, are you Muslim?', dari belakang. Dan aku tak nampak gadis itu dari bahagian depan.
Jadi atas sebab-musabab ini, aku pun tidaklah terus memberi salam kepada gadis itu. Tetapi kali ini berbeza. Aku bertentang arus dengan pasangan suami isteri itu. Jadi aku berilah salam kali ini.
Assalamualaikum. Kemudian, tanyalah apa-apa yang aku patut tanya - Rambla Rawa lah!
Masalah. Dia tidak boleh berbahasa Inggeris. Dia juga kelihatan takut-takut. Alahai, aku bukan nak rompak kau lah. Aku menambahkan pertanyaanku, 'Rambla Rawa...halal restaurant?'Aku yakin dia faham. Tapi dia jawab dalam bahasa Sepanyol. Aku satu apa tak faham, tapi sekadar angguk kepala untuk menyedapkan hatinya.
Dia menunjukkan arah Rambla Rawa. Macam jauh sahaja arahnya. Setelah selesai memberitahu arah, lelaki itu meninggalkan kami. Gracias untuk penerangan yang aku tidak faham tu.
Kami berbincang sebentar. Akhirnya, buat keputusan untuk makan di Pita Inn. Pita Inn pun tak jauh dari tempat kami berdiri. Nak cari Rambla Rawa macam jauh sahaja. Jadi, tetapkan matlamat - Pita Inn.
Dalam kedai itu ada 2 orang pekerja. Seorang berbangsa China dan seorang lagi Pakistan. Aku tanya lelaki Pakistan itu, 'Halal?'. Dia jawab tak halal. Alamak, bukan kedai Muslim ke ni? Habis tu yang ada bulan sabit kat kedai tu untuk apa? Cis!!!
Dia kata cuma ada satu menu halal - Falafel Vegetarian. Alahai. Mana kenyang makan benda tu. Aku nak sumber protein. Nampak gaya terpaksa cari Rambla Rawa juga. Aku tanya orang Pakistan itu di mana arah Rambla Rawa.
Kami meneruskan perjalanan mencari Rambla Rawa. Aku tidak ingat bagaimana aku berjumpa lorong tepat ke arah Rambla Rawa. Untuk memastikan kami tidak tersesat, kami bertanya orang lagi. Seperti biasa, orang Islam menjadi sasaran. Seperti tadi, seorang lelaki berbangsa Pakistan bersama isteri dan anaknya yang masih kecil.
Soalan yang sama diulang dan akibat yang serupa diterima. Dia jawab dalam bahasa Sepanyol juga. Dia juga kelihatan takut-takut pada mulanya seperti lelaki tadi. Apa yang penting, dari arah yang ditunjukkan dengan tangannya, aku yakin kami di arah yang betul.
Setelah lelaki itu pergi, ada seorang lelaki yang berdekatan menegur kami, 'Do you understand what he said?' Aku kira lelaki itu berbangsa Sepanyol dan boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Dia tahu kami tidak faham. Jadi dia menterjemahkan butir-butir percakapan lelaki Pakistan tadi. Ikut katanya secara ringkas, Rambla Rawa jauh di depan lagi...kira-kira 15 minit jalan kaki. Jauh tu. Beg masih tersadai di hostel. Lagi 2 jam lebih keretapi malam kami bertolak. Sempat ke ni?
Demi perut yang kosong, langkah dihayun tanpa sebarang longlai. Berjayakah Rambla Rawa ditemui? Aku menyerahkan segala-galanya pada takdir. Jika kebab Rambla Rawa adalah rezeki kami, maka biar ada 100 orang yang cuba menghalangnya, kebab itu akan berjaya juga bersemadi di dalam perut kami. Begitu jugalah sebaliknya.
Hehe..nantikan episod Rambla Rawa yang berikutnya. Insya-Allah yang terakhir tentang Rambla Rawa.
Sekumpulan Red Indians yang membuat persembahan di Catalunya.
0 Komen • Tambah Komen↴
Ada komen atau soalan?
Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.