Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label life. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label life. Papar semua catatan

    al-Fatrah

    17 Mac 2007 • 17 Komen
    Dalam hidup ini, pasti bermacam-macam perkara telah kita pelajari. Bermacam-macam buku sudah kita baca. Bermacam-macam ceramah sudah kita dengar. Ada sesetengahnya yang perlu kita ulangi mempelajarinya, membacanya dan mendengarnya semula.

    Artikel yang ditulis oleh seorang sahabat saya ini, adalah salah satu daripada apa yang perlu kita selalu baca dan hayati. Bagi sesiapa yang telah mengikuti jatuh bangun blog ini sejak sekian lama, pasti pernah membacanya.

    Walaupun sudah lama, tetapi isinya tetap masih saya ingat sampai sekarang. Semoga Allah membalas jasa kawan baik saya itu kerana menyebarkan sesuatu yang amat bermakna buat diri saya.

    Kali terakhir saya membaca dan menghayati tulisan ini adalah kira-kira setahun lebih yang lepas, iaitu bersamaan pada tarikh saya membuat entri berkenaan. Kali ini, buat sekian kalinya, al-Fatrah memasuki diri saya semula. Dan saya perlu melakukan sesuatu supaya al-Fatrah ini cepat pergi:
    al-Fatrah (feeling down) in our religion means different things. One is 'the period of intermission' experienced by the Prophet s.a.w. when the revelation of al-Qur'an was stopped for a while. It was distressing for him especially when the non-believers started making jokes about it. But he s.a.w. showed patient and Allah finally sent down surah ad-Dhuha to end the period, in which one of the verses calmed him down, by saying which means, 'Your Lord has not forsaken you, nor is He displeased with you,' and that caused great joy in the life of the Prophet s.a.w.

    The second meaning of al-Fatrah refers to the group of people (Ahl al-fatrah) who lived in between the time of revelations, and also to people to whom revelation has not reached them.

    Alhamdulillah, I have witnessed Sidi Abdul Aziz explained about the third meaning in at least two occasions. He said al-fatrah also denotes the interval between a strong state of iman and the weaker state of iman. And he said that student of knowledge will be acutely aware of its coming, and their hearts will feel the pain of not being able to do their maximum wird during it. He said also, a real student of knowledge will understand that a state of fatrah is natural for a human, and he will prepare for it by setting up his personal set of minimum wird, which he will persevere upon regardless of what, and maximum wird which he will strive upon once the state of fatrah passes away.

    Imam al-Haddad commented in his Risalah al-Muawanah, 'Beware of leaving a wird for fear of not being able to persevere in it, for this is foolishness'. You should not do, in each period of time, whatever happens to suit your energy and free time; on the contrary, you should have a minimum that you perform, which you can add to whenever you feel energetic, but never fall below when you feel lazy.'

    Among a quick cure for this state of fatrah is by staying near to a righteous man and love him as much as one can, because good company adds up to one's strength and encourages one to do more.

    Seeking and longing for the companionship with good people with the intention to rejuvenate one's desire and drive for worship is not wrong, in fact a worthy deed that must be sought after, and those who says otherwise is a fool. Reflect upon this hadith which means:

    Umar ibn al-Khattab related that the Messenger of Allah said: 'Among the servants of Allah are individuals who, though they are neither prophets nor martyrs, are envied by the prophets and martyrs for their rank with Allah on the Last Day.'

    A man asked 'Umar, 'Who are they and what are their deeds that we may love them?'

    He said, 'People who love each other by the ruh of Allah without being related by blood and without sharing wealth between them, by Allah, their faces have light, and they are on minbars of light without fear when others are afraid and without sadness when others are sad.'

    Then he read from the Qur'an: 'Surely for the Awliya of Allah there is no fear upon them nor are they sad.' Ya Salam!

    When feeling down (al-fatrah) , let's look at them, listen to the lovers and may the One loved by the lovers love us in return, and return us to our state of obedience, amin.

    Sebenarnya, keadaan al-Fatrah ini sudah mula memasuki diri saya sejak beberapa lama, berbulan-bulan. Tetapi saya kuatkan juga hati untuk menghadapinya. Maka, saya perlu berbuat sesuatu. Jika pada hari ini saya masih tidak lagi mempelajari cara terbaik untuk berhadapan dengan al-Fatrah, maka saya bimbang al-Fatrah di masa akan datang akan lebih menyulitkan hidup saya.

    Tidak berapa lama dahulu saya pernah cakap bahawa saya ingin mengundurkan diri dari dunia blog buat beberapa ketika. Waktu itu saya memang sudah pun berada dalam keadaan al-Fatrah. Tetapi saya rasa begitu sukar memandangkan saya suka menulis dan meluahkan pandangan. Akhirnya saya teruskan juga menulis dengan harapan al-Fatrah itu akan hilang perlahan-lahan jika saya menulis.

    Oleh itu, setelah saya sedar bahawa cara ini tidak berkesan, dan apa yang berlaku pada hari ini adalah buktinya, maka saya berbuat keputusan untuk menekan punat 'Pause' pada blog hembusan ini. Saya mesti mencari jalan keluar kepada al-Fatrah ini. Insya-Allah, satu hari nanti saya akan meneruskan semula blog ini, yang sudah pun berusia hampir 30 bulan.

    Hanya Allah yang tahu bilakah masanya untuk saya menyambung semula. Biarkan masa menjadi pembolehubah kepada ketetapan Allah itu. Menulis adalah hobi saya. Tetapi selagi al-Fatrah ini masih ada, saya rasa begitu sukar untuk menaip setiap kalimah-kalimah yang ingin saya luahkan.

    Mungkin ini kerana kalimah-kalimah itu keluar dari hati yang lemah, hati yang banyak dosa kepada-Nya. Percayalah, jika al-Fatrah ini sudah pergi, saya akan meneruskan kembali menulis di blog ini. Saya hanya mahu setiap apa yang saya taipkan datang dari hati yang tenang dan mengingati Allah. Saya berhenti seketika bagi memberikan laluan terhadap semua sudut dan aspek kehidupan saya, setelah lebih dua dekad bernafas di atas muka bumi milik Allah ini. Saya yakin Allah mahu saya belajar sesesuatu yang sangat berharga dengan meng'down'kan saya sampai begini sekali. Insya-Allah, akan saya cari apakah benda yang berharga itu.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Mutiara al-Hikam

    04 Mac 2007 • 10 Komen
    Saya sedang keluar masuk rumah; dalam proses menangkap gambar gerhana bulan penuh. Gerhana bulan yang berlaku sekarang ini menyebabkan saya berasa begitu excited, sampai nak makan malam pun tak lalu, walaupun di dapur itu ada nasi lemak yang sedap, yang sedia disantap pada bila-bila masa.

    Sekarang ini, bumi sedang menutup cahaya matahari dari sampai ke bulan, dan menjadikan bulan hilang cahayanya.

    Oleh itu, nak tangkap gambar pun dah susah sebab kamera yang saya gunakan bukanlah ultra-profesional, apatah lagi kamera ala-ala Hubble telescope. Jadi bila cahaya bulan dah berkurangan, maka gambar yang terhasil akan menjadi blur apabila ditangkap menggunakan kamera saya itu. Tapi kira bolehlah kalau nak tangkap.

    Oleh sebab penutupan total sedang berlaku, dan akan berterusan selama kira-kira 1 jam, dari pukul 2244 hingga 2358 GMT (waktu Malaysia 6.44 - 7.58 pagi) maka saya kenalah berehat sebentar. Dan saya menulis sebentar untuk berkongsi sedikit mutiara dari Imam Ibnu Ata’Allah al-Iskandari dari bukunya yang paling terkenal, iaitu Al-Hikam. Saya dapatnya dari Organ Rasmi American Muslim di Malaysia:

    If you want the door of hope opened
    For you, then consider what comes
    to you from your Lord, but if you want
    The door of sadness opened for you,
    Then consider what goes to Him
    from you.

    ||

    One of the signs of relying on one’s
    own deeds is the loss of hope
    when a downfall occurs.

    ||

    Sometimes He gives
    while depriving you, and sometimes
    He deprives you in giving.

    ||

    He who wishes that at a given moment
    There appear other than what God
    has manifested in it, has not left
    ignorance behind at all!

    Excerpted from the presentation by Sister Aisha Gray, Journey to Ihsan 2nd Internation Conference on Islamic Spirituality, Sept. 2, 2006.
    ---

    Alangkah berhikmahnya kata-kata puisi yang dikarang oleh beliau itu, andainya kita memahaminya. Walaupun Imam Ibnu Ata’Allah al-Iskandari lebih dikenali sebagai seorang ulama Sufi, tapi sebenarnya beliau juga seorang ulama yang hebat dalam hadith, Al-Quran, bahasa, syariah, akidah, dan juga fiqh. Anak murid beliau yang paling terkenal ialah Imam Taqiyuddin al-Subki. Menurut Imam Dhahabi pula, apabila beliau berucap di Masjid al-Azhar, beliau akan menggabungkan perkataan orang-orang Sufi dan hadith, kisah-kisah golongan Salaf, dan topik-topik lain yang bersifat akademik.

    Carilah hikmah dalam hidup ini. Hikmah hanya boleh dicari melalui jalan tasawwuf, dan fiqh pula bertujuan untuk memastikan hikmah yang dicari itu bukan suatu hikmah yang palsu dan menyesatkan. Lebihkanlah mencari hikam dari ahkam, kerana hidup ini akan menjadi lebih mudah jika kita menguasai hikam.

    Dari saya belajar dalam-dalam tentang bab seperti perbincangan inter-mazhab tentang doa qunut, lebih baik saya belajar kitab Al-Hikam ini. Begitulah adanya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Kisah Si Padang Jawa

    15 Februari 2007 • 69 Komen
    Saya berasal dari Padang Jawa. Padang Jawa ini adalah satu kariah yang pada dahulunya milik Majlis Perbandaran Klang, dan kemudian pada awal tahun 2000, jatuh bangun kampung saya ini sudah berada di bawah tampuk pengurusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Acapkali ada orang yang tersesat masuk ke dalam Padang Jawa, padahal mereka mahu pergi ke Kampung Jawa yang berdekatan KISAS.

    Walau pun Shah Alam sudah menjadi sebuah bandaraya pada detik 10 Oktober 2000, tetapi saya masih tertanya-tanya bilakah sebuah hospital kerajaan setaraf Putrajaya (atau pun sekurang-kurangnya setaraf Hospital Banting) akan muncul di bandar yang mempunyai populasi kira-kira 600,000 ribu orang yang bertebaran di 56 buah seksyen.

    Agaknya Datuk Bandar Shah Alam dan MB Selangor masih lagi ingin bergurau-senda dengan kita. Dan proses gurau-senda ini sudah pun berlaku selama 7 tahun. Shah Alam adalah ibu negeri Selangor dan Selangor pula merupakan negeri paling maju di Malaysia, tetapi tiada hospital kerajaan di dalamnya. Ini tidak kelakar. Tiada sesiapa mahu bergurau-senda dalam hal-hal seperti ini.

    Jika ini berlaku, maka akan senantiasa berputarlah plot dan tema drama realiti seorang makcik tua yang menangis bagai nak rak, apabila melihat bil hospital anaknya yang dimasukkan secara kecemasan akibat eksiden motorsikal, yang beribu-ribu RM jumlahnya. Padahal anaknya itu cuma patah kaki. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak ambulans ke Selangor Medical Center tiada siapa dapat menolongnya.

    Bagi sesiapa yang tidak tahu di mana Padang Jawa ini, maka cukuplah saya mengatakan bahawa mercu tanda utamanya ialah Puspakom. Puspakom ini terletak di bahagian barat rumah saya. 10 minit berbasikal ke arah timur dari rumah saya pula terdapat INTEC yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Pendidikan Persediaan (PPP UiTM) yang terletak di Seksyen 17. Bersebelahan Puspakom ini terdapat tapak tanah perkuburan Islam. Apabila berlaku kematian di kampung saya, biasanya jenazah akan dikebumikan di situ. Bersebelahan tapak perkuburan itu pula ialah Lebuhraya Persekutuan. Sewaktu tok imam membacakan talkin dan mendoakan kesejahteraan si arwah, bunyi-bunyi enjin motokar yang derumannya bersilih ganti seolah-olah turut mengaminkan apa-apa yang perlu diaminkan.

    Padang Jawa boleh diakses melalui perkhidmatan bas awam yang melakukan perjalanan pergi balik Klang-Shah Alam. Bayaran tambangnya adalah tetap; iaitu 80 sen. Beberapa tahun lampau, apabila tambangnya mahu dinaikkan dari 70 sen ke 80 sen, para pengusaha bas berhujah bahawa bas mereka memiliki air-cond. Bagi rakyat Malaysia yang hidup pada garisan Khatulistiwa, kemewahan air-cond adalah satu perkara yang asyik lagi nikmat. Maka, tiada begitu banyak rungutan yang diterima waktu itu. Malangnya, apabila harga minyak mentah dunia semakin meningkat tahun demi tahun, suhu dalaman bas itu juga nampaknya semakin meningkat. Hari ini, 90% bas-bas mini yang memasuki Padang Jawa sudah memiliki air-cond asli: angin. Maka sekarang ini, semakin keraplah saya melihat gadis-gadis tidak bertudung, yang asyik membetulkan rambutnya apabila desiran angin kuat mengibas-ngibas rambut mereka yang terburai.

    Oh ya, jika anda tidak bernasib baik, perjalanan (termasuk waktu tunggu bas datang) dari Klang-Padang Jawa atau Shah Alam-Padang Jawa mungkin mengambil masa kira-kira 1 jam. Bayangkan berapa lama pula kalau Klang-Shah Alam. Tapi apa mahu kisah. Pengangkutan awam Malaysia memang begitu, tidak efisien walau pun di dalam lingkaran sebuah bandaraya, dan ia kini sedang berada di ambang apokalips jika Menteri Pengangkutan tidak bertindak bijak. Maka janganlah hairan apabila negara kita mengalami kesesakan trafik yang maha dahsyat, dan janganlah juga naik ajaib apabila budak tingkatan 1 sudah tidak sabar-sabar mahu mengambil Lesen P.

    Seorang rakan saya di London (memang lahir dan membesar di London, berbangsa Pakistan) tergelak besar apabila dia ditanya adakah sudah mengambil lesen kereta. Waktu itu umurnya 21 tahun dan masih belajar. Hidup di tempat yang memiliki sistem pengangkutan awam yang efektif menyebabkan seseorang tidak perlu langsung memiliki kereta mahu pun motor, lagi-lagi jika orang bujang trang tang tang. Tetapi di negara kita, tabiat mengambil lesen kenderaan selepas SPM adalah budaya unik orang kita. Sama ada kita akan pandu kereta atau tidak, sama ada kita akan tunggang kapcai atau tidak, sama ada kita mahu jadi mat rempit atau tidak, itu belakang cerita. Yang penting, habis SPM pergi ambil lesen. Hakikatnya, ramai orang yang ada lesen tetapi lesennya itu hanya terselit kemas dalam dompetnya, tanpa pernah langsung diperiksa oleh JPJ. Ini selalunya berlaku kepada wanita.

    Padang Jawa juga boleh dilawati dengan menaiki tren komuter. Apabila anda mahu membeli tiket komuter, carilah butang yang bertanda Padang Jawa. Stesen Komuter itu terletak di belakang Sekolah Kebangsaan Padang Jawa (SKPJ), iaitu tempat saya menadah ilmu dari umur 7 hinggalah 12 tahun. Dan di sebelah sekolah ini pula terdapat bahagian bontot kilang CCM yang sangat besar. Kilang CCM ini adalah kilang yang menghasilan bahan-bahan kimia. Ketika saya masih kecil, selalu juga saya belajar di kelas sambil mengirup udara busuk dari kilang tersebut. Sekarang ini, nampaknya sudah tiada lagi bau busuk tersebut. Mungkin Jabatan Alam Sekitar, dengan bantuan Karam Singh Walia sudah pun melakukan tindakan tegas ke atas kilang tersebut (setelah beberapa tahun). Kini, murid-murid SKPJ boleh belajar dengan menghirup udara yang lebih bersih.

    sembelih lembu
    Seekor lembu untuk disembelih sempena satu majlis kenduri kahwin jiran. Gambar dari beranda rumahku.


    Dari mana asalnya nama Padang Jawa ini? Saya sendiri tidak tahu dari mana asalnya nama Padang Jawa ini. Ayah dan ibu saya adalah antara penghuni terawal Padang Jawa. Mereka sudah menetap di situ sejak awal 60-an lagi. Zaman itu Padang Jawa masih kaya dengan hutan rimba. Amat mudah untuk mendengar bunyi cengkerik menyanyi-nyanyi di waktu malam. Seksyen 17 waktu itu juga ditumbuhi dengan tanaman kelapa sawit. UiTM juga masih tidak wujud, apatah lagi Kompleks PKNS. Malah waktu itu, Padang Jawa merupakan kawasan yang masih 'keras'. Kira-kira 200 meter di belakang rumah saya ada satu pokok kundur besar yang dikatakan berpenunggu. Tetapi kini pokok kundur itu sudah tiada. Dan sewaktu kakak sulung saya masih kecil, dia dan beberapa orang lagi adik-beradik saya pernah melihat satu lembaga yang mempunyai rambut yang panjang mengerbang (iaitu hantu) sedang mengetuk lesung batu di bahagian dapur rumah. Dan lesung batu itu kini sudah pun berusia dalam 30 tahun, dan ia masih lagi digunakan oleh ibu saya untuk membuat sambal belacan dan lain-lain lagi.

    Pada masa itu jiran terdekat ayah dan ibu saya bernama Pakcik Suradi yang mana jarak rumahnya terletak kira-kira 500 meter. Pada hari ini, jiran terdekat keluarga saya hanya dipisahkan oleh jarak satu ludah. Pakcik Suradi ini masih hidup, cuma sekarang ini beliau selalunya akan solat dalam keadaan duduk. Jika hanya ada saya dan dia dalam surau, dia akan menyuruh saya menjadi imam. Saya selalunya menolak memandangkan dia lebih tua dan berilmu dari saya. Tetapi disebabkan keuzurannya, saya terpaksa menerimanya juga. Tongkat kayu pula adalah temannya ketika berjalan. Saya tabik spring kepadanya kerana beliau jarang sekali meninggalkan solat berjemaah di surau atau masjid, walaupun ketika saya masih kecil, saya selalu juga lari dan menyorokkan diri apabila ternampak batang hidung beliau.

    Ini kerana saya tidak tahu mahu beri alasan apa apabila saya diajak bersolat di surau yang letaknya kira-kira 4 minit berjalan kaki dari rumah. Namun demikian, ini tidaklah menghalang saya dan rakan sepermainan dari terus bermain bola sepak lima sebelah di halaman rumahnya yang sangat luas dan mempunyai rumput lembut ala-ala rumput oversea. Tapi syarat tetap ada. Kata beliau dengan tegas, "Kalau nak main bola kat depan rumah Wak Long ni, kena solat jemaah kat surau!" Di hadapan rumah Pakcik Suradi ini ada telefon awam yang sering digunakan untuk aktiviti gayut-menggayut. Saya tidak tahu betapa marahnya dalam hati Pakcik Suradi ini apabila beliau melihat ada makhluk yang bergayut di situ apabila azan sudah pun dilaungkan.

    Pakcik Suradi ini, atau lebih mesra dipanggil sebagai Wak Long adalah orang Jawa. Isterinya juga orang Jawa. Begitu juga dengan ibu saya. Tetapi ayah saya adalah Banjar. Dan ini seterusnya melayakkan saya dipanggil anak kacukan (Jawa + Banjar). Bagi kebanyakkan manusia, menjadi anak kacukan menyebabkan mereka bangga dan kembang hidung, lagi-lagi jika ada DNA mat saleh yang melekat di dalam tubuh, sehingga mereka lupa bahawa yang Allah pandang pada manusia hanyalah takwa, dan takwa itulah sebaik-baik bekal untuk kita bertemu Allah.

    Kadang-kadang, untuk menyenangkan hati beberapa orang kawan saya yang bukan anak kacukan, saya selalunya akan berkata kepada mereka, "Mak kau perempuan, ayah lelaki. Kacukan la tu." Dan acapkali, mereka berpuas hati dengan nasihat saya tersebut. Tapi dalam hati, mereka mungkin masih berharap jika 20 tahun lebih yang dahulu, ayahnya memilih untuk berkahwin dengan seorang gadis British berambut blonde dan bermata biru, dan bentuk badannya pula bak seorang supermodel yang dipilih menjadi duta produk Calvin Klein.

    Apabila saya melihat secara kasar penduduk asal Padang Jawa ini, saya mendapati kebanyakannya adalah orang-orang Jawa. Mungkin, disebabkan orang-orang Jawa menjadi majoriti, maka muncullah nama Padang Jawa itu. Cuma sekarang ini, apabila demografi Padang Jawa semakin berubah beransur-ansur menjadi seperti mana Kampung Baru, dek kerana diapit oleh Shah Alam dan Klang yang pesat membangun, maka ia telah menerima banyak kehadiran orang-orang dagang dari luar yang mahu mencari rezeki di kilang-kilang yang banyak terdapat di Seksyen 16.

    Akhirnya fenomena ini telah meningkatkan ekonomi penduduk Padang Jawa. Rumah-rumah kayu juga sudah banyak yang berubah menjadi rumah batu. Yang kaya pula sudah memasang pintu pagar besi saiz king-kong yang boleh menghalang pencuri dari memecahkannya (tetapi masih boleh dipanjat). Bagi si peminta derma pula, mereka akan berfikir banyak kali sebelum memberikan salam. Atau kadang-kala, mereka sudah tidak lagi perlu lagi memberikan salam kerana kemajuan teknologi hari ini. Sebuah punat kecil yang boleh mendendangkan bunyi ting-tong apabila dipicit, ada terletak di bersebelahan pagar besi yang beratnya berkali-ganda dari si tuan rumah itu sendiri. Setakat ini, masih tiada sebuah rumah di Padang Jawa yang memasang CCTV, dan ia mungkin akan ada satu ketika nanti.

    Padang Jawa di era pasca millenium adalah sebuah kampung moden yang didiami oleh masyarakat madani mini. Orang Melayu lebih kurang 95% dan India 5%. Bangsa Cina pula sangat kecil jumlahnya. Setakat yang saya tahu, ada 3 sahaja keluarga cina yang pernah tinggal di Padang Jawa. Yang pertama tinggal di atas kedai mamak (rumah kedai). Sewaktu kecil, ayah saya sering membawa saya ke kedai mamak ini untuk membelikan jajan Tora dan Ding-Dang yang amat popular satu ketika dahulu.

    Keluarga Cina yang kedua pula agak popular kerana mereka memiliki sebuah kedai membaiki basikal di samping kedai runcit harian. Ketua keluarganya bernama John dan sesiapa yang tidak tahu Kedai John, maka sahlah mereka adalah pendatang baru di Padang Jawa. John juga antara penghuni terlama Padang Jawa dan merupakan kenalan rapat keluarga saya. John dan isterinya suka mengusik ibu saya dengan memanggilnya 'Minah cantik'. Dahulu ketika ibu saya membela ayam kampung, maka sayalah yang selalu ditugaskan untuk membeli terigu (makanan ayam) di kedai John kerana harganya yang agak murah. Selalunya, isteri John akan mengakhiri transaksi dengan berkata, "Kirim salam sama Minah cantik." Pelanggan utama yang membeli ayam yang ibu saya bela pula adalah orang-orang Indon. Orang-orang Indon sebenarnya lebih sukakan ayam kampung berbanding ayam bandar yang sudah disuntik dengan hormon estrogen.

    Anak-anak John membesar di Padang Jawa. Cuma mereka disekolahkan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina). Namun demikian, 2 anaknya yang terakhir bersekolah di sekolah menengah yang sama dengan saya. Kedua-duanya merupakan kenalan merangkap junior saya, seorang lelaki dan seorang perempuan, dan salah seorangnya pernah menjadi anak murid saya dalam kelas tutorial kimia percuma yang saya adakan kira-kira 4 tahun lepas. Yang lagi seorang pula kini menjaga kedai jual telefon dan sim card secara part-time di Padang Jawa. Kedai telefon ini kalau tidak silap adalah milik abangnya. Kedai telefon itu terletak di Jalan Mat Raji, yang mana saya menganggap jalan ini sebagai Bukit Bintang versi Padang Jawa. Ini kerana kawasan ini begitu banyak kedai runcit, restoran, dan kiosk makanan yang beraneka ragam. Inilah kawasan yang paling terang di waktu malam di Padang Jawa.

    Keluarga cina ketiga yang saya tahu pula hanyalah seorang wanita yang tinggal bersendirian. Saya mengetahuinya dari ibu saya. Kira-kira setahun lebih yang lepas, wanita cina ini mula menghadirkan dirinya dalam kelas pengajian Ahad di Masjid as-Solihin yang sering dihadiri oleh ibu saya. Masjid ini merupakan satu-satunya masjid yang ada di Padang Jawa. Oleh kerana populasi penduduk Padang Jawa asyik meningkat, maka masjid ini sudah entah berapa kali diperbesarkan perimeternya. Usaha pembesaran Masjid as-Solihin ini begitu bermakna apabila tibanya hari Jumaat dan hari raya. Tetapi, pada waktu-waktu lain, usaha pembesaran itu nampaknya begitu membazir. Ini seperti mana yang berlaku pada masjid-masjid mahal lagi glemer di negara kita. Pengimarahan masjid gagal!

    Di Masjid as-Solihin inilah berlakunya bibit-bibit perkenalan di antara wanita cina itu dan ibu saya. Menurut riwayat ibu saya yang Insha-Allah hasan, dan disahihkan pula oleh saya, wanita cina itu dahulunya bukan Islam. Buddha barangkali. Beliau tiada suami. Tetapi tak pasti pula kalau kenapa dia tiada suami. Apa yang menyebabkan beliau memeluk Islam adalah kerana pengalamannya berkerja sebagai seorang nurse. Menjadi nurse membuatkan dia sering melihat babak-babak akhir kehidupan seorang manusia.

    Katanya, beliau melihat orang-orang Islam mati begitu senang. Kalau orang-orang kafir, begitu seksa untuk mati. Hal ini membuatkan beliau menjadi takut dan seterusnya berfikir panjang untuk mencari sebab hakiki kepada fenomena aneh dan misteri tersebut. Akhirnya pencarian itu membawa beliau kepada Islam. Alhamdulillah. Pengalaman beliau itu mirip kepada apa yang dialami oleh Dr Maurice Bucaille (pengarang buku The Bible, The Qur'an and Science) yang merupakan seorang doktor berbangsa Perancis. Dr Maurice tertarik untuk mendalami Islam setelah melihat bagaimana orang-orang Islam dari wilayah Afrika Utara (seperti Maghribi, Tunisia, Algeria) yang banyak terdapat di Perancis, menghembuskan nafas mereka yang terakhir. Sebagai seorang doktor, sudah pasti beliau melihat pelbagai jenis ragam dan karenah manusia dalam perkara-perkara yang melibatkan hidup dan mati ini.

    Beliau berasa kagum kepada si mati dan keluarga si mati. Baginya, orang-orang Islam nampak lebih matang dan bersedia untuk menghadapi satu taboo universal yang dinamakan kematian. Namun demikian, setakat yang saya tahu, tiada sumber sahih yang dapat membuktikan bahawa beliau adalah seorang Muslim, walaupun pada hakikatnya beliau banyak mengkaji tentang Al-Quran dan menyanggah Bible. Kita doakan sahaja beliau mati dalam Islam. Amin..

    Nampaknya saya sudah menulis dengan sangat panjang. Tetapi masih ada perkara lain yang belum disentuh. Tak mengapalah, di sini saya berhenti dahulu. Dan sebagai satu dedikasi kepada kampung tempat tumpah darahku, dan juga orang-orang Jawa di luar sana, maka saya putarkan lagu Tombo Ati oleh Opick. Selamat mendengar. Kalau tak faham, sila tanya rakan-rakan Jawa anda yang berdekatan.


    Tombo Ati iku limo perkorone
    Kaping pisan moco Qur'an lan maknane
    Kaping pindo sholat wengi lakonono
    Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
    Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
    Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe

    Salah sawijine sopo iso ngelakoni
    Mugi-mugi Gusti Allah nyembadani

    Obat Hati ada lima perkaranya
    Yang pertama baca Qur'an dan maknanya
    Yang kedua sholat malam dirikanlah
    Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
    Yang keempat perbanyaklah berpuasa
    Yang kelima dzikir malam perbanyaklah

    Salah satunya siapa bisa menjalani
    Moga-moga Gusti Allah mencukupi
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XIV - Penilik Nasib Yang Terlampau

    25 Mac 2005 • 6 Komen
    3 Minit Selepas Peristiwa Itu
    Dia membaca satu demi satu garis-garis yang ada di tangan aku. Agak teliti. Seketika kemudian, dia berkata sesuatu. Aku pun tak dapat tangkap semua apa yang dia cakap. Apa yang aku ingat cuma ini: "Strong heart.. brave.. lucky.. family guy.."

    Heh, semua cakap yang baik-baik sahaja. Aku sekadar senyum-senyum sahaja dan tersipu-sipu malu. Percaya tidak.

    Sesudah menafsir, dia tutup tangan aku. Aku mengenggam benda yang berwarna kehijauan yang diletakannya tadi. Kemudian dia seperti membuat satu permintaan kepada aku. Mula-mula aku tak faham sebab pelat bahasanya. Aku tanya lagi minta kepastian. Akhirnya aku faham. Dia minta 'itu'...

    5 Minit Selepas Peristiwa Itu...
    "I don't want this thing", nadaku agak keras dan memberikan semula benda yang berwarna hijau itu kepadanya. Mana aku boleh kasi benda tu. Dia enggan menerimanya. Sebaliknya mengulangi permintaannya.

    Aku nampak Raja sedang ditarik-tarik oleh makcik Spanish yang lain. Aku tahu situasi dia. Dia seperti aku. Aku risau pula kalau makcik Spanish yang sedang memeras dan memaksa aku ini melakukan sesuatu di luar dugaan.

    Selagi tidak dapat apa yang dia mahu, dia tidak akan bergerak. Dia nekad.

    Perisitwa Itu - Kami Didatangi oleh MEREKA
    Kami tiba-tiba dilambai oleh sekumpulan makcik-makcik Spanish. Kenapa ni? Di tangan mereka ada sesuatu yang berwarna kehijauan. Masa tu dah nak dekat Krismas sebenarnya. Jadi aku ingat mereka ni buat free service untuk beri benda berwarna kehijauan itu. Jadi aku pun berhentilah bila dipanggil.

    Dia datang dekat kepada aku. Tanpa pertanyaan dia pegang tangan aku dan mengangkatnya, lalu membuka tapak tangan aku. Dia letak sesuatu yang berwarna kehijauan itu di telapak tangan aku. Benda yang berwarna kehijauan itu rupanya sejenis tumbuhan. Mungkin dari jenis herba.

    Tanpa meminta kebenaran aku, dia membaca garis-garis di tapak tangan aku. Oh, dia ni penilik nasib rupanya. Aku biarkan dia baca sahaja. Bukan aku percaya pun benda-benda macam ni.

    4 Minit Selepas Peristiwa Itu
    Dia mengulangi permintannya.. "I want 20 euro", katanya lembut sambil matanya memandang mataku dengan tenang. Agak manja nada permintaannya.

    Aku terkesima...
    Aku terperangkap...
    Aku terkena...

    Apakah neraka di dunia ini kau minta aku duit untuk servis bodoh ni? (What the hell in this world you ask me money for that kind of stupid sevice?)

    Mintak sikit kira OK juga. Ini minta sampai 20 euro. Aku tak nak bagi. Tapi dia macam tak mahu berganjak. Alahai makcik. Bila kau nak berambus ni? Aku bagi dia 1 euro. Eh, dia nak lagi. Dia tak mahu. Dia tetap mahu 20 euro. Dia pandang-pandang dompet aku sambil menunjuk-nunjuk duit kertas yang ada di dalamnya. Dia nak lagi.

    Seminggu Selepas Peristiwa Itu...
    Beginilah lebih kurang isi kandungan yang aku baca dalam buku Tour Eroupe (Sudah diterjemahkan dan diedit mengikut selera aku)
    "Awas jika anda mahu melawat Masjid Cordoba. Anda mungkin didekati dengan sekumpulan makcik-makcik Spanish yang akan memanggil anda, sambil di tangannya memegang potongan-potongan kecil dari tumbuhan herba. Mereka ini kemudian akan meminta duit dari anda selepas tilikan tangan itu."

    Bukan aku sahaja terkena. Farid, Raja, dan ramai lagi pelancong-pelancong asing lain yang dikenakan oleh sekumpulan penilik nasib yang terlampau itu.

    Cis! Cis! dan Cis! lagi. Macam manalah boleh tertipu! Mereka lebih terlampau dari pramugara MAS yang terlampau itu!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Ku Ingin Pulang

    15 November 2004 • 3 Komen

    Di pagi raya 1 Syawal.


    1 Syawal sudah pun berlalu pergi. Kali kedua aku beraya di sini. Entah kenapa kali ini agak syahdu. Lagi-lagi bila dengar lagu raya. Hebat betul penangan lagu raya orang kita. Orang kita memang pandai dalam seni yang mendayu-dayu. Takbir raya orang kita dialunkan dalam nada yang sungguh melankolik. Kawan aku cerita, pernah ada orang Arab menangis bila dengan orang Melayu melaungkan takbir raya. Syahdu sungguh takbir raya orang kita. Orang Arab kalau baca takbir, biasa sahaja. Selalunya bunyinya agak 'keras'.

    Aku rasa, orang Arab yang diceritakan itu menangis bila dengar orang kita bertakbir sebab nada melankolik yang didengarinya itu membuatkannya semakin syahdu apabila memikirkan Ramadhan sudah berlalu. Orang kita juga boleh menangis bila dengar takbir raya. Namun, aku rasa tak ramai yang menangis sebab Ramadhan telah melabuhkan tirainya. Selalunya sebab tak dapat balik kampung!

    Apa pun, Syawal kali kedua di sini aku rasa bosan juga. Pagi aku bersolat Aidilfitri di Masjid Dublin. Kemudian dalam pukul 11 pagi, aku pergi ke Malaysia Hall. Ramai betul orang. Macam tahun lepas juga. Aku terperangkap di situ lebih 1 jam. Bermaaf-maafan. Ya ke bermaaf-maafan? Macam tak aje. Aku rasa, lebih banyak yang "berfoto-fotoan". Maksudnya minta maaf ala kadar, tapi tangkap gambar bagai nak rak. Maklumlah, nak tayang baju baru, fesyen baru, rambut baru, dan sebagainya. Hari Raya di sini bagai hari untuk menangkap gambar.

    Apa pun, selamat hari raya. Maaf Zahir Batin. Kalau ada yang terasa, minta maaf :)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »