Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label cordoba. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label cordoba. Papar semua catatan

    Sepanyol XIV - Penilik Nasib Yang Terlampau

    25 Mac 2005 • 6 Komen
    3 Minit Selepas Peristiwa Itu
    Dia membaca satu demi satu garis-garis yang ada di tangan aku. Agak teliti. Seketika kemudian, dia berkata sesuatu. Aku pun tak dapat tangkap semua apa yang dia cakap. Apa yang aku ingat cuma ini: "Strong heart.. brave.. lucky.. family guy.."

    Heh, semua cakap yang baik-baik sahaja. Aku sekadar senyum-senyum sahaja dan tersipu-sipu malu. Percaya tidak.

    Sesudah menafsir, dia tutup tangan aku. Aku mengenggam benda yang berwarna kehijauan yang diletakannya tadi. Kemudian dia seperti membuat satu permintaan kepada aku. Mula-mula aku tak faham sebab pelat bahasanya. Aku tanya lagi minta kepastian. Akhirnya aku faham. Dia minta 'itu'...

    5 Minit Selepas Peristiwa Itu...
    "I don't want this thing", nadaku agak keras dan memberikan semula benda yang berwarna hijau itu kepadanya. Mana aku boleh kasi benda tu. Dia enggan menerimanya. Sebaliknya mengulangi permintaannya.

    Aku nampak Raja sedang ditarik-tarik oleh makcik Spanish yang lain. Aku tahu situasi dia. Dia seperti aku. Aku risau pula kalau makcik Spanish yang sedang memeras dan memaksa aku ini melakukan sesuatu di luar dugaan.

    Selagi tidak dapat apa yang dia mahu, dia tidak akan bergerak. Dia nekad.

    Perisitwa Itu - Kami Didatangi oleh MEREKA
    Kami tiba-tiba dilambai oleh sekumpulan makcik-makcik Spanish. Kenapa ni? Di tangan mereka ada sesuatu yang berwarna kehijauan. Masa tu dah nak dekat Krismas sebenarnya. Jadi aku ingat mereka ni buat free service untuk beri benda berwarna kehijauan itu. Jadi aku pun berhentilah bila dipanggil.

    Dia datang dekat kepada aku. Tanpa pertanyaan dia pegang tangan aku dan mengangkatnya, lalu membuka tapak tangan aku. Dia letak sesuatu yang berwarna kehijauan itu di telapak tangan aku. Benda yang berwarna kehijauan itu rupanya sejenis tumbuhan. Mungkin dari jenis herba.

    Tanpa meminta kebenaran aku, dia membaca garis-garis di tapak tangan aku. Oh, dia ni penilik nasib rupanya. Aku biarkan dia baca sahaja. Bukan aku percaya pun benda-benda macam ni.

    4 Minit Selepas Peristiwa Itu
    Dia mengulangi permintannya.. "I want 20 euro", katanya lembut sambil matanya memandang mataku dengan tenang. Agak manja nada permintaannya.

    Aku terkesima...
    Aku terperangkap...
    Aku terkena...

    Apakah neraka di dunia ini kau minta aku duit untuk servis bodoh ni? (What the hell in this world you ask me money for that kind of stupid sevice?)

    Mintak sikit kira OK juga. Ini minta sampai 20 euro. Aku tak nak bagi. Tapi dia macam tak mahu berganjak. Alahai makcik. Bila kau nak berambus ni? Aku bagi dia 1 euro. Eh, dia nak lagi. Dia tak mahu. Dia tetap mahu 20 euro. Dia pandang-pandang dompet aku sambil menunjuk-nunjuk duit kertas yang ada di dalamnya. Dia nak lagi.

    Seminggu Selepas Peristiwa Itu...
    Beginilah lebih kurang isi kandungan yang aku baca dalam buku Tour Eroupe (Sudah diterjemahkan dan diedit mengikut selera aku)
    "Awas jika anda mahu melawat Masjid Cordoba. Anda mungkin didekati dengan sekumpulan makcik-makcik Spanish yang akan memanggil anda, sambil di tangannya memegang potongan-potongan kecil dari tumbuhan herba. Mereka ini kemudian akan meminta duit dari anda selepas tilikan tangan itu."

    Bukan aku sahaja terkena. Farid, Raja, dan ramai lagi pelancong-pelancong asing lain yang dikenakan oleh sekumpulan penilik nasib yang terlampau itu.

    Cis! Cis! dan Cis! lagi. Macam manalah boleh tertipu! Mereka lebih terlampau dari pramugara MAS yang terlampau itu!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XIII: Nak Beli Apa Ye?

    17 Mac 2005 • 0 Komen
    Di sekitar Masjid Cordoba, ada beberapa tempat lagi yang harus kita pergi. Tak jauh tempat tu, masih di dalam kawasan yang sama. Ada banyak juga kedai-kedai cenderahati. Apa nak beli ye? Ada orang pesan baju.

    Kebanyakkan kedai kelihatan sama dan serupa jika dilihat dari jenis barangan yang dijual. Dalam banyak-banyak kedai, ada satu kedai yang memang aku borong banyak barang.

    Penjual wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an itu boleh berbahasa Inggeris (walaupun bahasa Inggerisnya itu kedengaran pelik sedikit). Senang sikit kerja aku. Aku beli empat helai baju. Tiga untuk kawan aku, dan satu untuk aku, di samping cenderahati-cenderahati yang lain.

    Kesan pengaruh Islam masih kuat di Sepanyol. Bukan dari segi keimanan kepada Allah yang satu. Tapi dari segi kesenian Islam yang unggul. Banyak dijual pakaian-pakaian yang secara jelas mempamerkan corak kesenian Islam. Contohnya corak pada pakaian yang diadaptasi dari corak-corak yang ada di Masjid Cordoba.

    Sewaktu memilih baju, mata aku tertarik kepada baju-baju yang dihiasi dengan tulisan-tulisan dari kitab suci Al-Quran. Memang cantik corak dan rekabentuknya. Nasib baiklah baju, kalau tak dah lama aku beli. Orang Islam mana boleh pakai pakaian yang dihiasi dengan kalimah-kalimah Al-Quran. Haram hukumnya.

    Aku bertanya pada penjual wanita di kedai itu, "Do you know what does it mean?"

    "Yes" dia menjawab. "It's from Koran".

    Dia tahu itu kalimah Al-Quran. Tapi aku tahu dia tidak tahu bahawa memakai baju yang mempunyai kalimah Al-Quran adalah menghina ayat-ayat suci itu. Apa aku boleh buat. Sepanyol bukan negara Islam. Perekabentuk baju itu juga mungkin tidak tahu. Dia cuma tertarik pada struktur kalimah-kalimah Al-Quran. Nak salahkan siapa?

    Jika anda melawat Sepanyol, terutamanya di daerah Andalusia yang didalamnya terangkum bekas bandar-bandar utama Islam di Sepanyol seperti Cordoba, Granada, dan Seville (ataupun kawasan-kawasan lain yang pernah Islam bertapak di situ seperti di Toledo) pasti kita dapat melihat banyak barang-barang cenderahati yang memiliki unsur-unsur Islam, Yahudi dan Kristian yang diasimilasikan bersama-sama. Sewaktu di Toledo misalnya, ada dijual loket yang mempunyai tiga simbol agama utama dunia yang digabungkan menjadi satu ? bulan sabit, palang salib, dan bintang David.

    Semua kedai yang aku pergi lebih kurang sama. Cuma kedai itu sahaja yang sedikit meninggalkan kesan. Di kedai tu aku penat menjawab pertanyaan jurujual wanita itu.

    Dia bertanya, "This wang?" sambil menunjukkan baju yang dicadangkannya.
    Aku sekadar menjawab ringkas, "No".

    "This wang?", tanyanya lagi. "No", jawabku lagi.

    "This wang?", dia tanya lagi. "No. Let me find by myself", aku menjawab. Sedikit panjang kali ini, tapi tidak tegas.

    Penat....Komunikasi dua hala yang tidak ikhlas di pihak aku berlaku buat beberapa lama. Dia nak sebut 'this one' sebenarnya. Tapi sebab pelat Spanish tak dapat dibuang, maka bunyi 'one' jadi 'wang'. Dah tu dia tanya banyak kali pula sebab dia tak habis-habis mempromosikan kepada aku baju-baju yang patut dibeli. Sampai penat aku kata no.

    Selesailah membeli-belah di kedai itu dan beberapa kedai yang lain. Perut yang sudah menari-nari kemudiannya diisi dengan kebab yang dibeli di Rambla Rawa.

    Lepas makan, kami membuat cadangan untuk pusing-pusing bandar Cordoba jalan kaki. Semasa menuju ke pintu keluar, kami dilambai oleh sekumpulan wanita yang senyum-senyum kepada kami.

    Apa mereka nak?! Nak minta derma ke?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XII: Beberapa Perkara Lagi

    21 Februari 2005 • 0 Komen

    Pameran di Dalamnya

    Di dalam Masjid ini juga ada dipamerkan beberapa khazanah-khazanah tinggalan Islam dan juga Kristian (yang aku tak tahu apa-apa tentangnya sebab tak faham Spanish). Inilah antara bahan-bahan pameran tersebut.













    Batu bersurat agaknya

    Teknik Pencahayaan Dalaman

    Pencahayaan dalaman masjid yang dilihat hari ini adalah lebih malap jika dibandingkan dengan keadaan masjid sebelum ia ditawan Kristian. Masjid yang asal mempunyai bukaan pada gerbang-gerbangnya. Oleh itu, cahaya matahari dapat menembusi bahagian dalam Masjid Cordoba. Cuma bahagian pusat masjid ini yang tidak mendapat cahaya matahari.

    Namun bila Kristian datang, mereka telah menutup bukaan-bukaan tersebut. Tujuannya adalah sebagai backdrop untuk gereja-gereja kecil di dalam masjid ini. Gereja-gereja kecil itu diwujudkan sebagai satu dedikasi kepada 'wali-wali' Kristian yang mereka hormati.

    Perkarangan Luar

    Bercerita tentang bahagian luarnya, terdapat banyak pokok-pokok oren yang ditanam untuk membina satu lanskap yang menarik. Lanskap taman di hadapan pintu masuk Masjid Cordoba memiliki lantai yang disusun dari batu-batu kecil.


    Lantai yang dibina dari susunan rawak batu-batu kecil.



    Sebuah paip air yang tidak diketahui usianya.

    Tempat Lain

    Ada lagi beberapa kawasan-kawasan lain yang boleh dilawati di sekitar masjid tersebut. Tapi, kena bayar! Aku bernasib baik sebab sampai di Masjid Cordoba awal pagi (dalam pukul 8 pagi). Kalau lambat sikit, mesti kena bayar. Selamat...hehe.. (masuk masjid pun nak kena bayar ke?)

    Tempat-tempat lain tu sebenarnya macam muzium dan taman. Semua aku tak masuk. Ni semua gara-gara malas nak bayar. Tapi rasanya, masuk Masjid Cordoba sahaja pun dah cukup.

    Beberapa Gambar

    Beberapa gambar menjadi penutup entri kali ini.




    Bahagian siling



    Tulisan yang terdapat di pintu masuk masjid



    Antara pintu masuk Masjid Cordoba yang dikunci.



    Aku rasa itu pintu.



    Sebuah taman mini.



    Tujuan ia dibina tidak dapat difahami (masalah bahasa lagi). Cuma 2 ukiran tangan itu mewakili tangan lelaki dan perempuan.



    Binaan tu bukan masjid Cordoba. Aku pun tak pasti apa di dalamnya sebab tak masuk. Tapi rasanya ada taman.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XI: Di Dalam Masjid Itu

    13 Februari 2005 • 2 Komen
    Ada banyak kenderaan keluar masuk di sekitar perkarangan Masjid Cordoba. Kawasan perkarangan Masjid Cordoba sebenarnya adalah jaringan lorong-lorong kecil yang menjadi jalanraya (Nak kata jalanraya tak macam jalanraya. Nak kata lorong, lagi besar dari lorong). Apa pun, memang muatlah kalau lori bersaiz sederhana nak lalu. Lagipun lorong tu sehala.


    Salah satu hasil Kristianisasi di dalam Masjid Cordoba. Menara loceng. Masa aku sampai awal pagi di Masjid Cordoba ini, kedengaran loceng-loceng tersebut dibunyikan.


    Pelawat baru Masjid Cordoba mungkin boleh terkeliru. Dilihat dari luar, tempat ini tidak kelihatan seperti sebuah masjid. Aksesori-aksesori bangunan dan monumen tambahan yang dilakukan oleh orang-orang Krisitian adalah puncanya. Di pintu masuk ada beberapa binaan yang lebih mengingatkan pelawat kepada syiar agama Kristian. Sebabnya, masuk sahaja dah jumpa monumen patung-patung yang mempunyai lambang salib.

    Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, Masjid Cordoba adalah sebuah 'masjid' yang mengandungi gereja Kristian di dalamnya. Dan Masjid ini sudah tidak berfungsi lagi sebuah masjid. Tidak ada lagi umat Islam yang bersolat jemaah di dalam ini. Masjid ini sudah lesu.

    Cuma aku tak pasti kalau ada masa-masa tertentu yang umat Islam dibenarkan bersolat di dalamnya. Dari apa yang kawan aku pernah beritahu, pernah ada pelawat dihalau kerana melakukan solat sunat tahiyatul masjid.


    Pintu masuk ke dalam Masjid Cordoba. Aku rasa binaan di atas pintu masuk juga ditambah selepas Cordoba jatuh ke tangan Kristian.


    Mengikut apa yang aku baca, tapak asal Masjid Cordoba itu pada mulanya merupakan kuil milik orang-orang Roman. Apabila Empayar Rom jatuh, pemerintah ketika itu telah menggantikannya dengan sebuah gereja Kristian. Apabila orang-orang Arab berjaya menawan sebahagian besar Sepanyol pada awal kurun ke-8, mereka telah merobohkan gereja tersebut dan kemudiannya membina Masjid Cordoba.

    Selepas itu, kerajaan Islam Bani Umaiyyah di Sepanyol mulai lemah. Akhirnya Kristian berjaya menawan semula Cordoba pada tahun 1236. Mereka tidak membina gereja yang baru, sebaliknya sekadar menukarkan masjid yang sedia ada kepada geraja - iaitu dengan melakukan sedikit bid'ah ataupun inovasi kepada Masjid Cordoba. Begitulah juga modus operandi mereka kepada masjid-masjid yang ada di bandar-bandar di sekitar Andalusia.

    Berikut adalah beberapa pemandangan yang ada di dalam Masjid Cordoba. Aku sekadar mengambil gambar-gambar yang masih dapat memperlihatkan Masjid Cordoba ini sebagai sebuah masjid. Banyak kawasan yang aku abaikan sebab kawasan tu memang nampak gereja 100% - patung-patung Jesus, Mary dan apa-apa yang berkaitan Krisitan. Ketika aku melawat juga, ada mendengar seorang paderi yang sedang mendendangkan lagu keagamaan mereka.

    Lagu-lagu tersebut menjadi muzik kepada masjid ini yang dahulunya dikumandangkan azan di dalamnya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol X: Le Mezquita Cordoba

    08 Februari 2005 • 1 Komen
    Le Mezquita Cordoba bermaksud Masjid Cordoba. Walaupun ia adalah sebuah masjid, namun kebanyakkan papan-papan tanda yang menunjukkan arah tempat tersebut bertulis: 'Mezquita - Cathedral Cordoba'. Menunjukkan ada Cathedral di dalam Masjid Cordoba.

    Dengan kata lain, apa yang ada pada Masjid Cordoba pada hari ini tidak sama ketika ia masih dalam pegangan umat Islam. Apa yang berbezanya tu? InsyaAllah akan diberitahu pada pos yang berikutnya (atau mana-mana pos berkaitan Cordoba).


    Papan tanda yang terletak bersebelahan pintu masuk utama Masjid Cordoba. Kemungkinan besar menerangkan sejarah ringkas masjid tersebut. (Aku tak faham sebab dalam Spanish)


    Apabila kerajaan Bani Umaiyyah diambil alih oleh kerajaan Bani Abassiyah pada tahun 750, pusat pentadbiran Islam telah dipindahkan dari Damaskus, Syria ke Baghdad. Ini memaksa khalifah Bani Umaiyyah ketika itu, Abdul Rahman I (turut dikenali sebagai Abdul Rahman Al-Dakhil) berpindah ke Sepanyol yang mana ketika itu Islam sudah bertapak kukuh di sana. Beliau kemudian mengasaskan kerajaan Bani Umaiyyah yang kedua di Sepanyol dengan menjadikan Cordoba sebagai ibu kotanya.

    Kerajaan Bani Umaiyyah yang kedua ini menjadi sangat makmur dan telah bertahan selama hampir 800 tahun (756-1492). Pada tahun 929, sistem khalifah Bani Umaiyyah telah diwujudkan semula (iaitu apabila Sultan Abdul Rahman III mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol). Kerajaan Bani Umaiyyah yang kedua ini berjaya menjadi saingan sengit kepada kerajaan Bani Abassiyah yang berpusat di Baghdad ketika itu. Pada zaman kegemilangannya, Cordoba telah menjadi bandar terkaya dan paling kompleks di Eropah.

    Masjid Cordoba, yang merupakan salah satu daripada tinggalan binaan-binaan kesenian Islam telah dibina oleh Abdul Rahman I pada tahun 784. Masjid Cordoba dibina dengan menjadikan seni bina Arab sebagai rujukan utama.

    Masjid ini telah ditambahkan keluasannya selama 4 kali:
    • Pertama - oleh Abdul Rahman I
    • Kedua - oleh Abdul Rahman II
    • Ketiga - oleh Al Hakam II
    • Keempat - oleh Al Mansur (penambahan paling luas)
    Ini bermakna, keluasan asal Masjid Cordoba cuma kira-kira 20% daripada apa yang dilihat hari ini.

    Dinding kiblatnya dan menara yang terdapat di sini berusia sejak abad ke-10. Setiap anjungnya memiliki sehingga 18 atau 19 gerbang. Gabungan tiang-tiang Roman telah digunakan, namun disebabkan ketinggiannya tidak mencukupi, tiang tambahan yang berbentuk segiempat telah diletakkan di atas tiang-tiang Roman tersebut. Tiang tambahan inilah yang menyokong gerbang-gerbang unik yang ada di sini. Gerbang-gerbang itu pula menyokong bahagian siling masjid ini.

    Setiap gerbang yang ada di masjid ini adalah cantuman batu-bata merah dan batu putih. Gabungan unsur batu-batu tersebut berjaya mewujudkan konsep jaluran yang menakjubkan. Konsep jaluran merah-putih ini banyak mempengaruhi senibina bangunan di Sepanyol. Hiasan dinding pula mempunyai unsur flora di samping inskripsi dari Al-Quran dalam bentuk ukiran kapur, kaca, marmar dan mozek emas. Kalau tak dapat nak bayangkan, rujuk gambar terakhir untuk pos ini.

    Itulah serba-sedikit tentang sejarah Islam di Sepanyol dan Masjid Cordoba. Ketahuilah bahawa Masjid Cordoba menjadi lambang kemegahan Islam. Dan Masjid Cordoba ini juga telah menjadi lambang kejatuhan Islam.


    Masjid Cordoba dari arah depan. Aku tengah guna teropong sebenarnya (yang warna biru tu)


    Perhatikan:

    1- Tiang Roman: paling bawah sekali, bercantum dengan lantai.

    2- Tiang tambahan berbentuk segiempat: terletak di atas tiang Roman.

    3- Gerbang yang berjalur merah-putih: disokong oleh tiang tambahan berbentuk segiempat. Gerbang ini kemudiannya menyokong siling masjid ini.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol IX: Tiba di Cordoba

    07 Februari 2005 • 0 Komen
    Akhirnya ke Cordoba. Perjalanan 9 jam diisi sebaiknya dengan tidur. Sampai di stesen Keretapi Cordoba pukul 7 pagi. Hari masih gelap sebab masih lagi dalam musim sejuk.

    Sampai di Cordoba terus cari stesen bas sebab nak beli tiket bas ke Granada. Nasib baik tak jauh. Seberang jalan sahaja dari stesen keretapi Cordoba. Pukul 3.30 petang bas ke Granada bertolak. Ada dalam 7 jam sahaja untuk jalan-jalan sekitar Cordoba.


    Sampai di Cordoba. 0700 GMT+0100


    Stesen Keretapi Cordoba



    Basikal-basikal untuk disewa berdekatan stesen keretapi Cordoba.


    Nak ambil bas ke Masjid Cordoba pun tak susah. Depan mata aje. Tambang bas 90sen. Tambang tetap.

    Eh, ada Madinatul Al-Zahra di samping Masjid Cordoba. Alamak, tak tahu pun aku. Ni semua gara-gara tak studi dulu tentang Cordoba. Hmm nampaknya, terpaksalah korbankan Madinatul Al-Zahra. Mana sempat. Tapi sayanglah pula tak pergi.

    Dalam bas, melilau mata cari Masjid Cordoba. Mana ni? Kena tanya orang ni.

    Alamak, dah terlepas ke? Ikut gaya mamat tu dia tunjuk arah belakang. Tekan loceng. Mesti turun sekarang juga. Bila dah turun bas, bolehlah nampak Masjid Cordoba dari jauh. Ini bermakna memang dah jauh terlepas!


    Seorang pakcik sedang exercise pagi-pagi.


    Gunakan kaki untuk ke sana! Adalah dalam 15 minit jalan kaki baru sampai. Sampai juga aku ke sini akhirnya. Binaan yang aku dengari dan pelajari masa tingkatan 4 dulu kini ada di depan mata.


    Masjid Cordoba jauh di belakang.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »