Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Peluang Belajar Secara Percuma di Sekolah Tahfiz

    12 Julai 2011 • 14 Komen
    Tadi saya menerima panggilan telefon daripada Ustaz Fauzi, iaitu ustaz lama saya yang kini menjadi pensyarah di KUIS. Beliau baru sahaja membuka sekolah tahfiz di Kampung Baru dan Semenyih dan bertanyakan kalau ada sesiapa yang mahu belajar di situ.

    Oleh kerana saya pun buat masa ini tidak tahu sesiapa yang berminat, maka saya panjangkan pertanyaan beliau itu di sini:

    1. Untuk siapa?
    Kepada 4 golongan sahaja; iaitu anak yatim, faqir, miskin dan mua'alaf. Umur dari 10-14 tahun.

    2. Adakah sebarang bayaran yang perlu dibayar?
    Semuanya percuma. Malah jika pelajar tahfiz itu menunjukkan prestasi yang cemerlang, mereka akan berpeluang untuk dihantar belajar ke luar negara dan ditanggung percuma sepenuhnya.

    Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Ustaz Fauzi di nombor 019-6455765.

    Oh ya, dan ustaz ini juga kool serta mesra orang muda!

    Ustaz Fauzi yang sedang memandang ke arah mana entah itu di kala kami semua sibuk memandang kamera. Di Glasgow, 2005.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bersih KL 2011 vs Protes Pelajar UK 2010

    10 Julai 2011 • 8 Komen
    Protes Pelajar di UK, 2010

    Bersih 2.0 di Kuala Lumpur, 2011


    1. Tujuan demonstrasi
    Bersih: Menuntut sebuah pilihanraya yang adil
    Protes Pelajar: Menentang keputusan kerajaan untuk menaikkan yuran pengajian.


    2. Permit diperlukan?
    Bersih: Ya.
    Protes Pelajar: Tidak.


    3. Adakah kedua-duanya diadakan di sebuah negara demokrasi?
    Bersih: Ya.
    Protes Pelajar: Ya.


    4. Bilangan peserta
    Bersih: 20,000 orang.
    Protes Pelajar: 50,000 orang.


    5. Jumlah tangkapan:
    Bersih: 1,401 orang.
    Protes Pelajar: 153 orang.


    6. Jika saya adalah peserta demonstrasi tersebut, kebarangkalian untuk saya ditangkap adalah:
    Bersih: 0.07005
    Protes Pelajar: 0.00306


    7. Wujudkah elemen keganasan dalam demonstrasi tersebut?
    Bersih: Ya. Keganasan dimulakan oleh pihak berkuasa. Dan menurut apa yang dilaporkan setakat ini, lebih ramai peserta yang tercedera. Masih tidak lagi kedengaran mana-mana polis dan FRU yang masuk hospital.
    Protes Pelajar: Ya. Keganasan dimulakan oleh segilintir peserta yang bodoh. Polis dan peserta sama-sama cedera dan masuk hospital.


    8. Adakah dengan berlakunya demonstrasi tersebut, membuatkan para pelancong takut untuk masuk Malaysia?
    Bersih: Ya, jika menurut apa yang dilaporkan oleh RTM, TV3 dan Utusan.
    Protes Pelajar: Tidak. Malah kalau ditawarkan pakej jalan-jalan secara percuma kepada rakyat Malaysia yang anti-perhimpunan aman, pasti mereka mahu walaupun mereka diberitahu bahawa di London ini selalu sahaja berlaku perhimpunan "haram".


    9. Adakah media tak habis-habis melaporkan isu seperti jalan sesak, majlis perkahwinan terganggu, sampah bertebaran, kedai terpaksa ditutup, teksi tak boleh cari makan dan sebagainya?
    Bersih: Ya.
    Protes Pelajar: Tidak.


    10. Gambar-gambar berkaitan
    Bersih: In Pictures: Protests suppressed in Malaysia
    Protes Pelajar: London tuition fee protest
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Harga Besar dan Kecil

    05 Julai 2011 • 15 Komen
    Selalunya kalau makin besar saiz sesuatu barang yang dibeli, biasanya akan murah sedikit harganya. Di antara Milo seberat 500 gm dan 2 kg, selalunya 2 kg itulah yang lebih murah.

    Tapi saya sudah sekian lama perasan yang kekadang sifir beli barang seperti ini tidak semestinya betul. Contohnya baru-baru ini, saya membeli sabun basuh cap Bio Zip. Perhatikan harganya seperti yang tertera dalam gambar di bawah:



    Secara spontan selalunya kita akan bertanggapan Bio Zip 4 kg adalah lebih murah dari jenis 2.5 kg. Namun, mari kita bandingkan harganya per kilogram.
    Jika 4 kg = RM 15.49, maka 1 kg = 15.49/4 = RM 3.8725

    Jika 2.5kg = RM 8.49, maka 1 kg = RM8.49/2.5 = RM 3.3960

    Lalu ini bermaksud, Bio Zip 2.5 kg adalah lebih murah sebanyak RM 0.4765 per kilogram. Kalau 4 kg, anda sudah kerugian RM 1.906.

    Tapi masalahnya kalau saya belikan barang untuk orang, mesti mereka akan tanya, "Kenapa tak beli yang lagi besar? Kan lagi jimat?" Bila saya cakap yang kecil ini lagi jimat, mereka semacam tak percaya.

    Ah sudah. Saya nak selamatkan duit mereka, tapi saya pula terkena balik.
    ---

    Nota Kaki: Kadang-kadang juga, bila saya buat perbandingan harga, dan saya dapati saiz yang lebih besar cuma jimat dalam beberapa puluh sen sahaja, dan saiz yang kecil pula ada hadiah percuma, saya pilih yang kecil.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Berus Gigi Lapok

    24 Januari 2011 • 41 Komen
    Saya menulis tentang ini, bukan apa. Sekadar ingin menyelongkar sama ada berus gigi saya yang bermasalah, atau pun gigi saya sendiri yang ada masalah. Dengar cerita saya ini dahulu, dan kemudian tolong dedahkan jika berus gigi anda juga selalu meragam.

    Begini al-kisahnya..

    Saya tidak tahu apa penyakit setiap batang berus gigi yang saya beli sejak akhir-akhir ini. Colgate, Jordan, Pesona, Oral-B, dan entah bermacam jenama lagi; dari jenis Hard, Medium, Soft, Extra Soft: semuanya macam tidak semenggah kualitinya.

    Tidak sampai sebulan, susuk berusnya sudah terburai-burai. Padahal di setiap kotak berus gigi yang dibeli, saya digula-gulakan dengan mesej yang mendakwa bahawa "Pakar pergigian menyarankan agar berus gigi ditukar setiap 3 bulan sekali".


    Namun sila lihat gambar berus gigi Colgate Soft yang baru sahaja saya pakai buat kali pertama pada 9 hari lepas. Saya ulangi: 9 hari lepas.


    Fakta tentang berus gigi di atas:
    1. Digunakan 2 kali sehari sahaja: Pagi masa bangun dan malam sebelum tidur. Kalau 9 hari, bermaksud ada 18 kali berusan. Selalunya saya gosok gigi paling kurang 3 kali sehari. Namun untuk tujuan eksperimentasi dan entri ini, ia dihadkan kepada 2 kali sahaja.
    2. Ia digunakan untuk berus gigi sahaja. Lidah, gusi, lelangit dan anak tekak tidak termasuk.
    3. Purata masa menggosok adalah 2 minit dan tekanan pada berus gigi tidak melebihi daripada apa yang disarankan, iaitu sekitar sebiji oren seberat 150 gram.
    4. Saya tidak memakai braces.

    Namun lihat, tidak sempat mencapai usianya 3 bulan, nampaknya berus gigi ini sudah wajib diganti. Mujur saya tak beli, tapi diberi oleh doktor gigi ketika saya membuat pemeriksaan tempoh hari.

    Saya mendapati rata-rata berus gigi hari ini, sebenarnya sudah perlu diganti selepas sebulan. Kalau jenis Hard, mungkin tahan lama sedikit. Tapi kalau jenis Soft, selalunya tempoh hayat dalam 3 minggu sahaja. Kalau terus guna juga, nanti adalah tahi gigi yang terlekat di celah-celah gusi.

    Walaupun saya memahami bahawa semua produk zaman moden akan tertakluk kepada "Konsep keusangan" (Obsolescence) untuk memastikan ia boleh dihasilkan dalam skala besar-besaran (lalu membuatkan harganya murah), namun kalau tidak sampai 2 minggu berus gigi yang dibeli sudah jadi "usang", ini tidak boleh jadi.

    Maka saya ingin bertanya kalau-kalau ada yang tahu, berus gigi apa yang bagus di pasaran?
    ---


    P.S. Teringat perbualan tempoh hari dengan seorang rakan. Butirannya tentang sumber tenaga. Dia kata, satu hari nanti saintis akan mencipta sebiji bateri yang boleh bertahan sampai bila-bila. Saya jawab, "Sebenarnya kalau nak cipta tu, sekarang pun dah boleh. Tapi kalau kau adalah pengusaha kilang bateri, macam mana nak untung kalau orang beli bateri kau sekali sahaja, dan lepas tu tak beli-beli lagi? Maksudnya, teknologi bateri yang "lebih hijau" ini tidak akan dapat sambutan daripada industri itu sendiri."

    Dimakan mati emak, diluah mati ayah. Inilah hukum ekonomi yang memastikan produk zaman moden menjadi sesuatu yang mampu dimiliki oleh hampir kesemua manusia. Tapi dalam masa yang sama, jangan mimpilah juga kira-kira 80 tahun yang mendatang, akan terbit satu kisah tentang vacuum yang dibeli oleh Lebai Kassim di tahun 2010, masih gagah beroperasi serupa macam yang Pak Bill beli pada tahun 1929.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Jadi Isteri Menteri

    17 Januari 2011 • 13 Komen
    Isteri kepada Presiden Tunisia


    Kalau jadi menteri,
    jaga-jaga isteri.
    Kalau terjebak korupsi,
    jadi macam Tunisi.
    (dan Imelda Marcos jangan dilupai)


    Pemecah berita (yang dah sedikit basi)
    : Rakyat Tunisia bangkit menjatuhkan presidennya; gara-gara diri dan isteri boros mencuri rezeki rakyat.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Tragedi Kecewanya Pemungut Derma di Satu Maghrib yang Bergerimis

    14 Januari 2011 • 29 Komen
    Hari ini Maghrib di Shah Alam jatuh pada pukul 7:23 malam. Sesudah solat di surau, terus sahaja angkat punggung sebab gerimis di luar macam makin melebat. Saya sekadar merempit ke surau, jadi tak mahu terkandas dek hujan. Lagi-lagi, perut pun sedang berdondang minta diisi. Namun perlu singgah di stesen minyak terlebih dahulu kerana motor saya ini kelihatan lebih darurat laparnya.

    Selesai mengepam, saya didekati oleh seorang remaja perempuan berkurung merah gelap. Umurnya sekitar 14-15 tahun. Wajahnya kelihatan penat, berminyak-minyak seperti selepas berjalan di bawah terik tengahari yang tidak berawan.

    Katanya, "Abang, derma untuk pusat tahfiz bang?"

    Sebenarnya memang selalu sahaja ada orang yang meminta sedekah/derma di stesen minyak ini seputar Asar ke Maghrib. Saya menjawab, "Adik ni dah Maghrib ke belum?"

    "Sudah", jawabnya ringkas. Kemudian dia merayu lagi supaya ditunaikan hajatnya sambil tangannya menggerak-gerakkan sebuku resit derma. Ayat dan lenggok rayuannya ini tetap sama seperti tadi; seolah-olah di hadapan matanya ada skrip yang perlu dipatuhi.

    Naik pelik saya bila dia menjawab sudah selesai solat Mahgrib. Saya keluar surau (antara orang terawal) dalam jam 7:33 malam. Jarak dari surau tersebut dengan stesen minyak ini pun dalam 3 minit kalau merempit. Saya sampai-sampai, budak ini sudah terconggok di situ. Jadi di mana dia bersolat? Stesen minyak ini pun bukannya ada surau. Bahkan tidak logik muka seseorang itu nampak berminyak sesudah berwudhuk dan bersolat.

    Saya ini bukanlah jenis manusia yang mudah nak percaya dengan peminta derma/sedekah jalanan. Jadi bila ditambah dengan sikap mereka yang cuba bergebang dusta, lagi malaslah saya nak beri.

    Lalu saya tinggalkan sahaja budak perempuan ini tanpa memberi apa-apa. Dalam hati, tertanya-tanya siapalah yang mengerahkan tenaga budak bawah umur ini bagi mengutip derma untuk "Pusat Tahfiz" yang entah wujud, entah tidak itu.

    Bukankah selayaknya budak ini duduk di rumah membaca buku, atau sekurang-kurangnya bermain Facebook dalam bilik?
    ---

    P.S. Satu-satunya jenis peminta derma jalanan yang saya percaya adalah mereka yang tidak meminta duit, sebaliknya merayu kita agar melakukan derma secara Standing Instruction (SI). Konsep menderma seperti ini popular di negara-negara Barat. Tapi di negara kita masih susah nak diamalkan sebab nak buat benda ni pun, mula-mula sudah kena bayar stem duti RM10. Contoh dari Bank Islam:


    Kebaikan menderma secara SI adalah:
    1. Pemungut derma jalanan susah nak menipu sebab kalau pertubuhan itu tidak sah atau tidak wujud, maka mana mungkin SI dilakukan.
    2. Derma yang berterusan akan dapat disalurkan secara berkala seperti RM10/sebulan atau RM50/tahun.
    Tapi apapun, saya masih tak pernah lagi jumpa orang yang minta derma cara begini di Malaysia. Dahulu semasa di Ireland, sampai naik muak saya mengelaknya!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Maksud Negara Berpendapatan Tinggi?

    08 Januari 2011 • 16 Komen
    Dari Meja Twitter...

    Bila Kadar Nisab Semasa dah naik lebih 300% sejak 2001, ini tanda kos sara hidup di negara kita adalah sangat mendesak. http://goo.gl/VzrH8


    Kadar nisab tahunan bagi Selangor. Kadar ini berbeza mengikut negeri.


    paracletos7: "@tawel Adakah ia bermaksud nilai ringgit semakin susut?"


    tawel: "Tak semestinya bro. Kadar nisab semasa = Harga emas semasa 85 gm. Jadi katakan dalam kes zakat simpanan 2010 (Selangor), dalam setahun tu mesti ada baki terendah paling kurang RM9000, barulah kena zakat. Tapi bagi 2001, kena ada sekurang-kurangnya RM 2826.30, barulah kena zakat simpanan.

    Nilai duitnya berbeza, tapi nilai emasnya tetap sama (iaitu 85 gm). Harga emas turun dan naik dan benda ni bergantung kepada "supply & demand" di pasaran spekulatif.

    Tapi apapun, kalau ringgit menyusut, lagi banyaklah duit yang diperlukan untuk membeli per gram emas (padahal kenaikan GDP rakyat tak setara dengan kenaikan harga emas). Kekayaan dalam Islam diukur dengan emas, bukan dengan wang kertas. "Threshold" kekayaan ini akan berlegar pada angka 85 gram emas (bersamaan RM9000 pada 2010, dan mungkin bersamaan RM20000 pada 2020).

    Oleh yang demikian (pusing bab lain kejap), walaupun kerajaan Najib Razak menyasarkan Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, ini sebenarnya akan jadi tak relevan jika angka rakyatnya yang dapat menyimpan kekayaan sekurang-kurangnya 85 gram emas tidaklah seramai mana."
    ¶ Teruskan membaca entri ini »