Ini Halangan #3. Mulakan membaca dari Halangan #1. Halangan #3 ini disertakan dengan 10 nota kaki yang harus dibaca bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
Sambil menyelam minum air. Halangan #3 turut menghuraikan mengapa sistem pengangkutan awam di Malaysia sukar untuk diperkasakan.
Sambil menyelam minum air. Halangan #3 turut menghuraikan mengapa sistem pengangkutan awam di Malaysia sukar untuk diperkasakan.
Kalau segenap susuk tanah Malaysia ini kita boleh angkat dan kemudian diletak bersebelahan dengan negara Jepun, supaya iklim Malaysia dan Jepun adalah sama, maka untuk melihat kira-kira 15% rakyat kita sanggup berbasikal ke tempat kerja[1] sepertimana yang berlaku di negara matahari terbit, susahnya mungkin ibarat mahu memerhati bulan jatuh ke riba si pungguk yang sering merinduinya.
Contohnya sudah ada. Di mana? Di Amerika Syarikat sana; iaitu sebuah negara yang sejuk[2]. Statistik penggunaaan basikal berbanding alat-alat pengangkutan lain[3] di Amerika adalah amat rendah, iaitu cuma 1% sahaja, sedangkan di negara-negara Eropah lain yang sejuk seperti Belanda ialah 30%, Denmark 20%, Sweden 10%, Jerman 10%, Perancis 5% dan UK[4] 3%.
Bagaimana ini boleh berlaku?
(Individualisme vs Kolektivisme) & Konsumerisme: Huraian Ringkas
Tidak ramai yang sedar bahawa budaya enggan berbasikal ini sebenarnya disuapkan oleh Amerika[5] kepada kita dengan cara yang halus dan berseni. Ia merogol fikiran kita melalui idea individualisme dan konsumerisme yang sangat kuat bertapak di sana.Secara mudah[6], individualisme mengutamakan kepentingan individu berbanding masyarakat. Lawan individualisme ialah kolektivisme (collectivism). Kolektivisme menggalakkan manusia agar cenderung berfikir sebagai sebuah masyarakat dan bukannya sebagai individu. Kajian sebuah badan di UK menunjukkan individualisme dan konsumerisme adalah antara 10 social evils utama yang sedang merasuki masyarakat British moden.
Dalam kelompok masyarakat individualistik, amat mudah untuk kita melihat hubungan insani, hatta sesama keluarga yang sangat rompong. Contohnya jika anak tidak berjumpa dengan ibu bapa selama bertahun-tahun, ia bukanlah satu isu yang besar bagi mereka. Harus ditekankan bahawa jika seseorang itu cenderung ke arah individualisme, maka bukanlah bermaksud bahawa tiada langsung ciri-ciri kolektivisme dalam dirinya, dan begitu jugalah sebaliknya.
Individualisme dan kolektivisme adalah satu topik yang sangat kompleks; masing-masing ada pro dan kontra. Dalam konteks artikel ini, ia tidak seharusnya dilihat menerusi kanta ideologi politik (contoh: liberalisme vs sosialisme).
Konsumerisme pula mendidik kita supaya menjadi masyarakat yang ghairah berbelanja dan membazir. Pernah menyaksikan iklan dan jualan harga runtuh sempena Syawal yang diadakan pada bulan Syaaban, yang mana ia ditopengkan sebagai jualan sempena Ramadhan? Pernah melihat jualan diskaun sempena Hari Merdeka, Hari Valentine, Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Buruh dan sebagainya? Pernah mendengar kisah orang membeli barang itu dan ini kerana terpengaruh dengan iklan jualan murah, tetapi pada akhirnya barang yang dibeli itu hanya digunakan tidak lebih dari 3 kali? Pernah terfikir mengapa 1/3 daripada makanan yang dibeli oleh rakyat UK akhirnya akan singgah di tong sampah?
Inilah dia antara contoh-contoh manifestasi konsumerisme dalam bentuknya yang paling asas. Kita diajar supaya membeli barang dan memiliki harta kerana harganya yang murah; bukan kerana kita betul-betul memerlukannya.
Dengan harga jualan dalam lingkungan RM4,200 hingga RM 16,800, mungkinkah basikal Mercedes-Benz ini adalah penyelesaian kepada mereka yang teringin berbasikal tetapi dalam masa yang sama masih mahu menjaga status diri, di samping dapat memuaskan nafsu konsumerisme pembeli hari ini? Klik gambar untuk melihat rupa lengkapnya.
Konsumerisme jugalah dalangnya yang menyebabkan wujud rasa rendah diri apabila kita menggunakan sesuatu produk yang tidak dipakai oleh golongan kaya dan berpendapatan tinggi. Ia menanam dalam benak otak kita bahawa maruah dan harga diri harus datang daripada harta material yang kita miliki. Pada akhirnya semua fenomena-fenomena ini akan menjadi satu natijah yang boleh menerangkan kepada kita mengapa manusia selalu memandang ke atas dalam hal-hal keduniaan dan sebaliknya sering memandang orang yang lebih bawah dalam urusan ukhrawi.
Kalau anda ada kenalan dari Amerika dan Kanada, berbicaralah dengan mereka tentang bahana konsumerisme. Lalu kita akan mendapati secara umumnya rakyat Kanada tidaklah begitu obses dalam bab-bab produk berjenama seperti yang berlaku di negara jirannya, sehinggakan bangsa Amerika itu sering disindir oleh masyarakat dunia dengan ayat 'consumed by consumerism'.
Apabila Individualisme dan Konsumerisme Berkahwin
Konsumerisme akan jadi lebih subur jika ia bernafas dalam kelompok masyarakat yang bernadikan individualisme tegar seperti di Amerika. Malah sebenarnya, konsumerisme itu amat berkait-rapat dengan individualisme: Konsumerisme akan menghasilkan sebuah masyarakat yang materialistik; dan masyarakat materialistik hanya boleh hidup di hati mereka yang individualistik (dan bukannya di hati manusia kolektivistik).Dalam konteks tulisan ini, apabila idea-idea individualisme dan konsumerisme disandingkan di fikiran manusia, maka inilah yang menggalakkan seseorang itu agar mempunyai kereta, van, SUV dan sebagainya, seboleh dan secepat yang mungkin, walaupun pada hakikatnya mereka ini masih belum begitu memerlukannya lagi. Saya akan menghuraikan bagaimana proses ini boleh berlaku.
Apabila masyarakat bersikap individualistik, maka mereka tidak begitu suka berkongsi. Kenderaan awam seperti bas dan komuter menyebabkan mereka mesti berkongsi benda yang sama. Ini sudah tentu tidak serasi dengan citarasa mereka kerana berkongsi bermaksud mereka perlu banyak bertoleransi sewaktu perkongsian itu berlaku. Sifat toleransi pula sukar wujud di dalam hati seorang manusia individualistik.
Maka ketika berada di dalam kenderaan awam, si individualistik ini perlu bertoleransi dengan pelbagai ragam manusia yang ada di dalamnya; ada pemandu yang asyik-asyik memutarkan lagu dangdut, ada budak-budak sekolah yang membuat bising di bahagian belakang bas, ada si jakun yang bermain-main dengan nada dering telefon bimbitnya, ada kaki raba yang suka raba-raba, atau ada juga barangkali seorang makcik yang terlelap dengan kepalanya terlentok romantik di bahu anda (saya pernah mengalaminya!).
Si individualistik juga tidak akan gemar melakukan amalan berkongsi kenderaan dengan jiran yang merangkap rakan sekerjanya. Ini kerana di samping perlu berkongsi, mereka juga akan perlu patuh kepada pukul berapa jirannya itu mahu pergi dan pulang dari tempat kerja. Ini belum lagi masuk bab masanya yang mungkin dicuri kerana si jirannya ini perlu melencong beberapa kilometer untuk menghantar anaknya ke sekolah terlebih dahulu. Kepatuhan seperti ini sudah tentu berlawanan dengan dogma individualisme yang cintakan kebebasan dan bencikan kongkongan dalam setiap tindakan.
Maka di sinilah konsumerisme menyucuk jarumnya. Bank-bank semakin memudahkan orang untuk membuat pinjaman membeli kenderaan. Kadar bunga semakin direndahkan. Bandingkan juga zaman dahulu dan sekarang tentang betapa entengnya bank hendak meluluskan permohonan mendapatkan kad kredit.
Pembuat kereta pula semakin berlumba-lumba menghasilkan kereta yang lebih murah supaya ia mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah. Ini kerana hari demi hari, golongan yang berpendapatan rendah semakin diyakinkan oleh bahana konsumerisme bahawa dengan memiliki sebuah kereta murah second-hand (yang sebenarnya dibayar oleh bank terlebih dahulu pada harga mungkin dalam RM 15 000), maka taraf hidup mereka seolah-olah lebih bagus berbanding mereka yang masih menggunakan motor kapcai (padahal si pengguna kapcai ini ada RM 15 000 tunai di dalam bank). Lihatlah bagaimana konsumerisme memasang jerat psikologinya.
Ibu bapa yang berkemampuan pula dipengaruhi supaya membelikan kereta untuk anak kesayangannya yang padahal masih lagi berada di bangku universiti. Walaupun hanya sebuah Kancil terpakai, namun apabila pelajar ini sudah tamat universiti dan berkerja, sudah tentulah kereta berikut yang akan dibelinya adalah lebih berjenama daripada apa yang sedang dimilikinya itu. Malah jika semenjak di menara gading lagi sudah asyik berkereta ke sana-sini, maka adakah mereka ini akan sanggup memijak lantai bas, komuter dan LRT untuk berulang-alik ke tempat kerja pada suatu hari nanti?
Amerika dan Eropah: Dunia Mereka Berbeza
Individualisme dan konsumerisme akhirnya berjaya meyakinkan masyarakat bahawa gaya hidup zaman moden ini adalah wajib berkereta. Lalu di sesetengah negara membangun yang baru terkena percikan bahana ini, pemilikan kereta semakin dikaitkan dengan kemajuan sesebuah bangsa. Negara China yang terkenal sebagai sebuah masyarakat kolektivistik[7], kini semakin bergerak secara beransur-ansur menjadi bangsa individualistik seperti Amerika.Justeru itu janganlah hairan apabila status 'Negara Basikal' sudah tidak layak lagi digunakan untuk China. Shanghai, iaitu bandar termaju di sana, telah pun melakukan tindakan drastik dengan mengharamkan basikal daripada digunakan di atas jalan rayanya. Semakin China bergerak menjadi kuasa super ekonomi dunia, semakin ramai rakyatnya yang melupakan jasa basikal.
Kita juga nampaknya seperti sedang mengekori jejak China. Cuma bezanya, tamadun ekonomi kita tidak digerakkan oleh kuasa basikal pada peringkat awalnya. Kata-kata Nazri Aziz ketika memberikan komen tentang empat orang YB yang berbasikal ke Parlimen[8], tidak banyak larinya dengan cakap-cakap kebanyakan orang kita tentang penggunaan basikal:
Jadi yang naik-naik basikal ini ingat budak-budak punya kerja ya?
Formula mengaitkan kereta dengan kemajuan bangsa ini sebenarnya hanya berlaku di negara-negara yang kuat atau pro-individualisme. Ia tidak begitu jelas dizahirkan di kalangan negara yang masih kuat semangat kolektivistiknya. Kesatuan Eropah (EU) yang dikuasai oleh ahli-ahli politik kolektivistik, sejak dahulu lagi telah menyokong padu agar penggunaan basikal lebih diperkasakan di kalangan negara-negara ahlinya.
Malah EU turut membidas Ireland - yang bagi saya merupakan sebuah negara yang sekurang-kurangnya 100 kali lebih kuat budaya basikalnya berbanding Malaysia - sebagai antara negara Eropah yang mana rakyatnya tidak suka berbasikal. Roland Ries yang merupakan Datuk Bandar di Strasbourg, Perancis, sangat tegas pendiriannya bahawa kereta sudah tidak sepatutnya dibenarkan berada di bandar yang dijaganya itu. Malah 2/3 daripada pengguna jalan raya di Strasbourg juga mempunyai pendapat yang serupa. Renungilah cara masyarakat kolektivistik ini berfikir.
Lalu janganlah hairan apabila di kala China, Malaysia dan negara-negara lain yang kagum dengan individualisme acuan Amerika, semakin giat memenuhkan jalan-jalannya dengan kenderaan berhambakan petroleum, namun negara-negara di Eropah terus ligat memikirkan strategi mesra alam yang boleh memberikan manfaat lebih besar kepada masyarakatnya.
Maka sebab itu bandar-bandar utama di Eropah seperti Paris dan Barcelona ada menyediakan perkhidmatan basikal sewa pada harga yang murah. Bandar Copenhagen pula mempunyai bycyklen yang menyediakan basikal percuma: Sistemnya sama seperti troli yang kita gunakan di pasaraya - masukkan syiling dan guna; bila pulangkan basikal di stesennya boleh dapatkan syiling itu semula. Hal seperti ini mudah berlaku di Eropah kerana dasar politiknya itu sendiri adalah bersifat kolektivistik.
Apabila kerajaan melihat rakyatnya jenis yang suka berkereta, maka dasar dan polisi yang digubal sudah tentu dari awal-awal lagi tidak berpihak apatah lagi untuk menggalakkan penggunaan basikal. Berbaloikah membina lorong-lorong khas basikal (bike lanes) dalam kuantiti yang banyak, sedangkan tidak ramai rakyat yang mahu menggunakannya? Amerika itu sendiri ada banyak perkara yang mereka boleh belajar dari Eropah tentang lorong-lorong khas buat pengguna basikal [9].
Apabila rakyat juga lebih teruja untuk memiliki kenderaan sendiri pada seawal usia yang mungkin, maka kerajaan juga sudah tentulah tidak akan meletakkan sebarang keutamaan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Bagi kerajaan:
Jika lebar tapak tanganmu, mestikah nyiru aku tadahkan?
Jika kau tidak memaksa, maka aku pun tidak terpaksa!
Hal ini sedang terjadi di Amerika. Keghairahan memiliki kenderaan sendiri membuatkan kerajaannya menggunakan 80% daripada belanjawan pengangkutan untuk kegunaan yang melibatkan jalan raya. Hanya 20% sahaja yang digunakan untuk pengangkutan awam.
Walaupun 77% warga Amerika berpendapat ia satu pengagihan yang tidak bijak, namun secara rasionalnya kerajaan bertindak berdasarkan gelombang rakyat. Banyak dollar harus diagihkan untuk jalan raya kerana semakin banyak kenderaan yang muncul setiap hari. Maka jalan baru perlu dibina dan yang lama perlu diperbaiki atau diperbesarkan.
Di negara yang kira-kira 40 kali ganda lebih luas berbanding United Kingdom, hanya New York City sahajalah satu-satunya bandar besar yang dilengkapi dengan sistem pengangkutan awam yang agak sekufu dengan negara-negara maju yang lain. 1/3 daripada pengguna mass transit dan 2/3 daripada pengguna keretapi di Amerika tinggal di sekitar New York City. Statistik ini membawa maksud tersirat bahawa betapa tidak signifikannya sistem pengangkutan awam di majoriti kawasan di Amerika.
Hal ini terjadi kerana pembinaan bandar-bandar di sana dirancang dengan melihat kereta sebagai penghuni utama jalannya. Akibatnya sistem pengangkutan awam di sebuah negara kuasa dunia sehadhari Amerika adalah sangat primitif berbanding dengan apa yang terdapat di negara-negara maju lain di Eropah dan Asia. Sebab itu kata-kata orangnya sendiri, "In USA, you can go nowhere without a car".
Lebih kurang Malaysia sahaja bukan? Saya tinggal di bandar termaju (Shah Alam), yang berada di dalam daerah termaju (Petaling), yang letaknya di negeri termaju (Selangor). Tapi sayang seribu kali sayang; untuk bergerak di sekitar Shah Alam dengan menggunakan bas awam adalah satu kerja yang maha rumit. Pengurusan yang tidak sistematik kerana terlalu decentralised, liputan kawasan yang tidak komprehensif, masa menanti bas yang menjanggutkan si penunggunya, keadaan bas yang uzur, bas yang mempunyai rekod di Puspakom sebagai memiliki air-cond tapi masih juga berkiblatkan angin luar, dan usah ditanya sama ada perkhidmatan bas di sini mempunyai jadual atau pun tidak.
Itu semua adalah simptom-simptom lazim yang berlaku di dalam sebuah negara yang katanya akan maju dalam tempoh 12 tahun lagi. Simptom tidak lazimnya pula mungkin seperti kes pelajar sekolah di Sarawak yang masih tidak pernah melihat rupa bentuk bas.
Berbalik kepada situasi di Amerika, memang benar semenjak harga minyak dunia melambung, lebih ramai rakyat marhaen yang mahu berjimat dengan menaiki pengangkutan awam. Lalu kerajaan Amerika juga sedang berusaha secara beransur-ansur bagi memenuhi kehendak rakyatnya. Walaupun secara tersurat ia nampak proaktif, yang tersiratnya ialah Amerika hanya mengadah sesudah kepalanya dihantuk.
Bandingkan sikap Amerika dan Eropah dalam hal pengangkutan awam. Eropah sejak dahulu lagi berusaha meningkatkan pengangkutan awamnya, malah ia semakin diperbaiki dengan menjadikannya lebih hijau dan mesra alam. Sebaliknya Amerika sendiri ada satu sejarah hitam yang melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam negara - The Great American Streetcar Scandal.
The Great American Streetcar Scandal
Versi kontot skandal ini secara ringkasnya melibatkan General Motors (GM) yang telah melakukan konspirasi secara terancang dan berskala besar selama berdekad-dekad untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Amerika membeli kereta. Ini bermaksud, mereka mahu mengurangkan kebergantungan rakyat Amerika kepada perkhidmatan trem berkuasa elektrik yang sangat popular ketika itu.GM, bersama-sama dengan Firestone Tire, Standard Oil of California dan Phillips Petroleum, memulakan langkahnya dengan menaja National City Lines (NCL) yang merupakan syarikat penyelia operasi trem di bandar-bandar besar. Lama-kelamaan GM mempunyai pengaruh yang besar di dalam NCL. Ini bermakna konspirasi mereka untuk mencantas satu demi satu trem yang bergerak di atas bumi Amerika sudah menjadi semakin mudah. Pada masa yang sama, GM turut melancarkan satu lagi serangan dengan menyediakan bas-bas buatannya yang menjadi pesaing kepada trem elektrik.
Bila trem semakin berkurangan dan bilangan bas semakin bertambah, maka sudah tentulah landasan trem yang berada di jalan raya semakin tidak relevan. Akhirnya ia dibiarkan tersadai dan mereput. Presiden GM waktu itu pula berpendapat sifat bas yang terhenjut-henjut, akhirnya akan membuatkan pengguna berasa menyampah dan tidak selesa. Lalu sudah tentulah ini akan mempengaruhi mereka untuk membeli kereta sendiri. Apa lagi pilihan yang mereka ada sedangkan perkhidmatan trem sudah pun hampir meniti hari ajalnya.
Tidak cukup dengan itu, GM juga secara politik telah berjaya melobi kerajaan agar diperbanyakkan lagi jaringan jalan dan lebuh raya di Amerika. Semua keadaan-keadaan ini sudah tentunya menjadi faktor penarik ke arah pembudayaan kereta di sana. Saya sebutkan skandal[10] ini di sini kerana ia sebenarnya adalah antara cerminan individualisme dan konsumerisme di peringkat politik dan ekonomi negara.
Usah dihairankan dengan sikap Amerika yang individualistik dari ahli politik ke ahli ekonominya, sehinggalah ke peringkat rakyat di akar umbinya. Jangan lupa pada tahun 2001, Amerika telah bersikap sangat individualistik dengan menolak Protokol Kyoto yang bertujuan untuk menangani kesan pencemaran dan pemanasan global. Sehingga kini Amerika masih enggan bersetuju sepenuhnya, seolah-olah negara yang mempunyai sekadar 4.5% populasi dunia ini lupa bahawa kira-kira 1/3 daripada gas rumah hijau yang dibebaskan ke atmosfera adalah datang dari tempatnya.
Inilah dia sikap individualistik yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kesan yang diterima oleh orang lain. Bila sikap ini wujud di peringkat individu, mungkin tidak besar kesannya. Namun apabila ia dizahirkan di peringkat politik nasional dan global, maka satu dunia akan menanggungnya!
Penutup
Mahukah kita menjadi bangsa individualisme dan konsumerisme seperti Amerika?Jika ya, maka di samping memiliki bendera yang menyerupai Amerika, maka kita juga bakal menjadi antara the fattest nation on earth sepertinya juga. Istilah yang merupakan perlian kepada Amerika itu adalah suatu ekspresi kepada bangsa yang banyak makan tapi malas bergerak seperti ini:
Berdasarkan keterangan gambar di laman tersebut: Levester Johnson takes his dog, Armani, an Italian Cane Corso, out for a morning jog on Monday, March 26, 2007 in Akron, Ohio. "I was lazy this morning," said Johnson. "I'm on the way to the gym myself. I wanted to make sure [Armani] got in a workout before I left."
Dari arkib MSNBC bertarikh 22-29 Mac 2007.
Dari arkib MSNBC bertarikh 22-29 Mac 2007.
Di manakah pula ini?
Amerika menjadi satu bangsa yang gemuk kerana terlalu bergantung kepada kenderaan untuk bergerak ke sana-sini. Buktinya, warga New York City yang tinggal di kawasan yang mesra pejalan kaki memiliki berat badan yang lebih ideal berbanding penghuni lain di bandar yang sama. Sekali lagi, janganlah memberikan alasan cuaca Malaysia yang panas. Seperti yang saya ulas di nota kaki nombor [4], alasan ini adalah sangat dangkal, merepek lagi meraban.
Oleh itu apabila ada ruang dan kesempatan, gunakanlah basikal untuk bergerak. Kalau boleh berjalan, silakan. Ini akan menjimatkan minyak, mesra alam dan pada masa yang sama kita boleh bersenam. Lalu, apakah rasionalnya menggunakan motorsikal untuk pergi ke kedai runcit yang berada di kawasan perumahan kita?
Asyik melihat awan yang tinggi,
Duri di bawah tiada kau peduli,
Walau tamadun angkasa pertiwi,
Budaya basikal terus digali.
Duri di bawah tiada kau peduli,
Walau tamadun angkasa pertiwi,
Budaya basikal terus digali.
---
NOTA KAKI
^[1] Maksudnya dalam jarak yang rasional iaitu lingkungan jejari 0 hingga 5 km.
^[2] Hendak kata sejuk di semua tempat pun tidaklah begitu tepat kerana Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang sangat besar. Namun majoriti kawasannya adalah berhawa sejuk dan mempunyai 4 musim.
^[3] Sumber statistik:
- US, Belanda, Sweden, Denmark dan Perancis. Tarikh artikel mungkin sekitar 2005 (berdasarkan Copyright);
- Jerman dan UK. Tarikh artikel 21 Jun 2000. Dari artikel ini, statistik di UK adalah 2%;
- UK. Tarikh artikel 16 Jun 2007. Dari artikel ini, statistik di UK adalah 3%.
^[4] Dalam Halangan #2, saya membidas alasan cuaca panas yang diberikan oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Antara sebab mengapa statistik penggunaan basikal di UK agak rendah, iaitu 3%, jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Eropah adalah kerana mereka juga turut menggunakan alasan cuaca UK yang selalu hujan dan teramat sejuk. Padahal negara-negara jirannya juga lebih kurang sama sahaja iklimnya, malah ada yang jauh lebih sejuk dan sering hujan berbanding UK.
^[5] Saya ingatkan sekali lagi bahawa Amerika adalah dalang penyebaran kedua-dua idea ini, dan bukannya Barat secara umum. Ini bermakna pengaruh individualisme dan konsumerisme di Eropah tidaklah sekuat yang berlaku di Amerika, tapi bukanlah bermakna ia tidak berlaku di Eropah. Di kala Amerika begitu taksub dengan individualisme, namun Eropah tetap menjuarai kolektivisme. Contohnya, Kesatuan Eropah (EU) dikuasai oleh mereka yang mendukung kolektivisme.
^[6] Secara tidak mudah pula, artikel ini dan ini boleh membantu kita memahami dengan mendalam apa itu individualisme dan kolektivisme.
^[7] Ini sudah tentu sesuatu yang ironi kerana China adalah sebuah negara yang sangat sinonim dengan komunisme yang merupakan satu cabang fahaman yang tumbuh daripada sosialisme, dan tidak mungkin terjadinya sosialisme jika masyarakatnya tidak kolektivistik.
Namun harus saya tegaskan sekali lagi bahawa hanya semata-mata sesebuah negara itu mempunyai semangat kolektivistik yang kuat, ini tidak bermakna ia akan menjadi sebuah negara komunis. Bangsa Melayu juga kuat semangat kolektivistiknya, tetapi jauh panggang dari api untuk komunis membara di jiwa orang-orang Melayu.
Namun harus saya tegaskan sekali lagi bahawa hanya semata-mata sesebuah negara itu mempunyai semangat kolektivistik yang kuat, ini tidak bermakna ia akan menjadi sebuah negara komunis. Bangsa Melayu juga kuat semangat kolektivistiknya, tetapi jauh panggang dari api untuk komunis membara di jiwa orang-orang Melayu.
^[8] Melakukan gimik seperti ini memang nampak cool dan kelihatan mengambil berat tentang nasib rakyat. Tetapi lebih cool lagi kalau 4 orang YB ini turut memikirkan idea-idea yang boleh dibahaskan di Parlimen tentang bagaimana basikal boleh lebih dibudayakan di negara kita.
P.S. Kami sebagai rakyat tidak ada sebarang privillege untuk berbasikal sambil bersaing di tengah jalan dengan selamat seperti yang YB semua buat itu. Kalaulah tidak ada para jurugambar dan wartawan yang sibuk merakamkan aksi-aksi lagak ngeri YB itu, sahih YB semua sudah berada di alam arwah.
P.S. Kami sebagai rakyat tidak ada sebarang privillege untuk berbasikal sambil bersaing di tengah jalan dengan selamat seperti yang YB semua buat itu. Kalaulah tidak ada para jurugambar dan wartawan yang sibuk merakamkan aksi-aksi lagak ngeri YB itu, sahih YB semua sudah berada di alam arwah.
^[9] Saya akan menghuraikan lebih lanjut dalam Halangan #4.
^[10] Entah sampai bila perlu menunggu sehingga sistem pengangkutan awam kita, sekurang-kurangnya di Kuala Lumpur, akan menjadi komprehensif, tersusun dan semaju di Singapura. Padahal kita dan Singapura sama-sama bebas daripada cengkaman jajahan British pada masa yang sama.
Adakah antara sebab mengapa sistem pengangkutan awam di Malaysia ini tidak maju-maju sejak sekian lama adalah kerana wujudnya satu konspirasi, seperti The Great American Streetcar Scandal, yang bertujuan untuk melariskan jualan kereta nasional dan mengayakan para pengusaha lebuh raya? Ilusi atau konspirasi? Anda tentukan!
Adakah antara sebab mengapa sistem pengangkutan awam di Malaysia ini tidak maju-maju sejak sekian lama adalah kerana wujudnya satu konspirasi, seperti The Great American Streetcar Scandal, yang bertujuan untuk melariskan jualan kereta nasional dan mengayakan para pengusaha lebuh raya? Ilusi atau konspirasi? Anda tentukan!
¶ Teruskan membaca entri ini »