Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Top 20 'Nasyid' yang Bukan Nasyid

    25 Disember 2007 • 40 Komen
    Tulisan ini terdapat kesinambungan melalui artikel Menasyidkan Semula Nasyid
    -------

    Saya sepatutnya menjadi seorang peminat nasyid yang tegar. Menjadi sesuatu yang 'tegar' bermaksud biar apa pun yang terjadi, nasyid akan tetap di hati. Nasyid mendidik, memberi keinsafan, mengingatkan tentang kematian, dan menjadi motivasi kepada diri saya.

    Namun akhirnya, saya tidak berjaya menjadi seorang peminat nasyid yang tegar. Nasyid bagi saya sudah mati beberapa tahun yang lampau. Majoriti lagu-lagu nasyid pada hari ini cumalah lagu cinta yang 'diIslamkan'. Tolonglah.. jika saya ingin mendengar lagu cinta yang meleleh-leleh, maka saya akan mencari lagu yang didendangkan oleh Tomok New Boys, dan bukannya nasyid.

    Selagi industri nasyid tidak menuju ke Zaman Renaissance, maka selagi itulah saya akan seangkatan dengan seorang kawan saya yang mengatakan bahawa nasyid zaman sekarang = nak sh*t.


    ALTERNATIF KEPADA MUZIK NASYID
    Jika anda jenis yang tidak syadid pada jenis peralatan muzik yang digunakan dalam sesebuah lagu, maka percayalah bahawa lagu-lagu di bawah ini adalah lebih nasyid dari nasyid-nasyid kontemporari yang berlambak-lambak di pasaran pada hari ini. Mungkin rentak dan bunyinya tidaklah Islamik, tetapi liriknya adalah sangat baik dan mempunyai banyak nasihat. Sesuai untuk orang-orang yang berjiwa rockitis.

    Top 20 ini disusun mengikut tahap kesukaan saya kepada lagu-lagu tersebut. Lagu terdapat di bahagian akhir entri ini.

    20) Alam Barzakh - Wings



    Wings adalah kumpulan rock paling popular pada akhir dekad 80 dan awal 90-an. Lagu ini adalah tentang alam kematian dan kehidupan di alam barzakh. Jadi anda tidak menyangka bahawa rockers juga boleh ingat tentang kematian? Sesungguhnya kadang-kadang kita tidak boleh menduga seseorang dari gaya mereka berpakaian.
    Lirik Alam Barzakh
    Album: Teori Domino
    Tahun: 1990


    Yang ku rindukan
    Akhirnya berada di sini
    Yang ku tinggalkan
    Menangis di pintu kuburku

    Ku lihat mereka
    Berbisik sambil berdoa
    Aku di sini
    Sedang hanyut dalam cahaya

    Hilanglah semua
    Ketakutan dan kebimbangan
    Yang ada hanya
    Kemanisan sejahtera

    Tak perlu aku
    Bertanya lagi
    Siapakah diri ini
    Tak perlu aku
    Bertanya lagi
    Apakah nasibku nanti
    Di alam barzakh

    Aku berlindung dari api yang membakar
    Aku bergantung pada tali yang sejahtera
    Sejahtera..

    19) Maghrib - Bumiputra Rockers



    Apabila lima jejaka Melayu ingin menjadi rockers, maka terjadilah Bumiputra Rockers. Khabarnya lagu Maghrib ini adalah lagu yang popular pada tahun 60-an dan dinyanyikan oleh orang lain. Bumiputra Rockers kemudiannya menyanyikan semula lagu ini dalam album pertama mereka iaitu Selamat Pagi Malaysia.

    Lagu ini menegur manusia yang malas mahu menunaikan solat dan mengingatkan kita bahawa mati datang pada bila-bila masa. Jangan menangguhkan amal-amal soleh kerana esok mungkin kan mati. Oh ya, lagu ini sesuai ditujukan kepada kawan-kawan kita yang masih bermain bola sepak di padang apabila waktu Maghrib telah pun menjelma.
    Lirik Maghrib
    Album: Selamat Pagi Malaysia
    Tahun: 1987


    Kala mentari mula tenggelam
    Awan di langit mulai menguning
    Terdengar suara azan
    Memuja nama Tuhan
    Namun tiada kau endahkan
    Menyahut seruan Maghrib

    Suara Bilal menyebut nama Allah
    Pesuruh-Nya Muhammad Rasulullah
    Suasana sedu-sedan
    Menghening keadaan
    Namun tiada kau endahkan
    Menyahut seruan Maghrib

    Ku tahu di hatimu
    Mungkin berat nak kau tunaikan
    Ku tahu alasanmu
    Mungkinkah esok nanti
    Akan kau cuci dosa-dosamu

    Di bumi inilah kita tinggal
    Izin hidup hanya satu penggal
    Mungkin esok kan mati
    Dunia tiada lagi
    Barulah kau nak menyesal
    Banyak telah kau tinggal lagi

    18) Kau Satu-satu-Nya - Ukays



    Kumpulan Ukays yang diketuai oleh Amir (rujuk gambar) adalah sangat popular pada awal tahun 90-an. Majoriti lagu-lagu hits Ukays biasanya bersifat cinta sesama manusia yang akhirnya kecundang dengan kekecewaan. Tajuk asal lagu ini sebenarnya adalah Kau Satu-satunya dan bukan Kau Satu-satu-Nya. Tetapi saya masukkan juga dalam carta Top 20 ini kerana ketika saya kecil, saya pernah membaca temuramah dengan kumpulan Ukays yang mana mereka mengatakan bahawa sebenarnya lagu ini memang bersifat keTuhanan.

    Mungkin Kau Satu-satu-Nya adalah satu-satunya lagu Ukays yang membawa mood ceria dan mampu mengingatkan kita bahawa betapa perlunya kita ini kepada Allah. Lagu-lagu Ukays yang lain mungkin agak berbahaya bagi mereka yang baru frust menonggeng.
    Lirik Kau Satu-satu-Nya
    Album: Bisa Berbisa
    Tahun: 1994


    Oh siapalah diri ini
    Aku ini tanpa-Mu
    Duniaku pasti tak berseri
    Dan hidup tak menjadi

    Kau bagiku satu-satu-Nya
    Pada-Mulah ku meminta, ku bermanja
    Ku rindui, ku kasihi
    Di hatiku Kau abadi

    Dengan sinaran kasih-Mu
    Kian terancang hidupku
    Tiada lagi keraguan
    Kau bagiku kekuatan
    Mana jua ku berada
    Ditemani cahaya cinta

    Sejak diri-Mu ku dekati
    Diriku ini ku kenali
    Hanya Engkaulah sesungguhnya
    Tiada dua

    Di cermin kaca ku memandang
    Diriku serba kekurangan
    Namun bagi-Mu bukan itu jadi ukuran
    Melengkapi hidup kita
    Bukan harta, bukan nama, bukan rupa

    17) Hijau Bumi Tuhan - XPDC



    Dalam situasi gawat yang mana ketulan ais di Artik akan mencair sepenuhnya pada tahun 2013, maka manusia perlu diberitahu tentang betapa pentingnya menjaga alam ini. Hijau Bumi Tuhan telah memainkan peranannya. Tambahan pula pada hari ini, aktivis dan saintis dari negara mana yang lebih banyak memainkan peranan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar?

    Oh ya, lagu What A Wonderful World oleh Louis Armstrong pun bagus juga!
    Lirik Hijau Bumi Tuhan
    Album: Un'Metal
    Tahun: 2000


    Sekali ku memandang
    Kehijauan saujana mata
    Semusim yang benderang
    Hati riang nikmatnya Tuhan
    Kita belalah bersama-sama
    Kita jagalah harmoninya

    Semusim ia datang
    Keindahan ciptaan Tuhan
    Hijau yang terbentangan
    Makhluk Tuhan bermesra-mesra
    Kita belalah bersama-sama
    Kita jagalah harmoninya

    Damai terperi, kicau menyanyi
    Burung berkicauan riang terbang
    Ombak menghempas, pantai menanti
    Indah biru laut ini pasti

    Salam diberi insan di bumi
    Itu nikmat hari-hari ini
    Tegur dan sapa, senyum ketawa
    Itu tanda kita riang-riang
    Abadikan keindahan ini

    16) Kau Yang Satu - Ramli Sarip



    Semua orang kenal penyanyi kelahiran Singapura yang diberikan nama timangan Papa Rock ini. Pada asalnya Ramli Sarip mencipta nama dalam kumpulan Sweet Charity sebelum bergerak secara solo. Jika anda meminati lagu Jangan Tunggu Lama-lama, maka Sweet Charity bukan satu nama yang asing.

    Kau Yang Satu adalah lagu yang mengesakan Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, dan hanya kepada-Nya sahajalah tempat kita berharap.
    Lirik Kau Yang Satu
    Album: Perjalanan Hidup
    Tahun: 1987


    Kaulah Yang Maha Esa
    Kaulah Yang Maha Pengasih
    Kaulah Yang Maha Penyayang
    Tiada hidup tanpa-Mu

    Kaulah Yang Maha Agung
    Kaulah Yang Maha Mengetahui
    Tuhan dunia akhirat
    Tiada aku tanpa-Mu

    Bilaku rasa pilu
    Bilaku rasa resah
    Bilaku kekosongan
    Kau tempatku mengadu
    Oh Tuhan yang satu
    Engkau Tuhan yang satu

    Segala puji-pujian
    Ku tujukan pada-Mu.. pada-Mu
    Dan hidup dan matiku hanyalah
    Untuk-Mu.. untuk-Mu.. untuk-Mu

    15) Sufi - Damasutra



    Kumpulan ini mungkin tidak ramai yang mengenalinya pada hari ini. Ia berpecah selepas melahirkan sekadar 2 buah album sahaja (Album ke-3 cuma sekadar kompilasi yang menampilkan satu lagu baru iaitu Permata Yang Hilang). Pada hari ini, sekali-sekala anda akan melihat ketua kumpulan ini iaitu Bagio, berlakon dalam cerita-cerita Melayu.

    Jadi lagu ini tentang apa? Ia tentang kisah ahli sufi yang menyerahkan sepenuh cintanya kepada Allah. Biar derita hidup di dunia, tetapi kasih kepada Allah tidak akan berubah. Inilah jalan Sufi.
    Lirik Sufi
    Album: Kurnia
    Tahun: 1993


    Sufi selangkah tirai kasihmu ku buka
    Engkau serahkan cinta hingga dirimu tiada
    Kasih sufi kau rela pilih derita di dunia
    Biar rebah di hina kau tak berubah

    Kau menguasai selautan
    Yang tersembunyi di genggaman
    Nafi dan isbat kau sandingkan
    Sebagai tali pegangan

    Sufi kau hilang di pandangan
    Ada di dalam kenikmatan
    Engkau dan dia pasti tidak akan terpisah
    Andai tertutup tirai sufi
    Yang terang tidak nampak terang
    Inilah siksa menyakitkan sepanjang jalan

    Inginku tempuh titianmu
    Dari kekasih ke kekasih
    Pengabdianku bersamamu kasih
    Biar rebah dihina kau tak berubah

    14) Insan - Yantzen



    Lagu ini terdapat dalam album solo kedua Yantzen setelah beliau meninggalkan kumpulan Rusty Blade. Insan adalah lagu yang sangat popular dan pernah mendapat anugerah lagu yang paling lama bertahan dalam carta Top 20 Muzik-Muzik satu ketika dahulu (40 minggu lebih jika saya tidak silap). Lagu yang menyentuh tentang konsep keinsanan ini pernah dinyanyikan semula oleh kumpulan nasyid Rabbani.
    Lirik Insan
    Album: Impian '94
    Tahun: 1994


    Kita adalah insan
    Menumpang di atas dunia
    Aku dengan cara ku
    Yang sederhana

    Kita adalah hamba
    Berbakti pada Yang Esa
    Aku mencari sinar keredhaan-Nya

    Kita sama sahaja
    Bezanya cuma amalan kita
    Engkau dan juga aku
    Saling perlukan

    Oh cinta yang murni
    Sebagai ikatan
    Yang kukuh di hati
    Demi masa depan
    Jangan dihancurkan
    Hidup yang indah ini
    Akibatnya merana

    Jangan hancurkan
    Hidup yang indah
    Kita adalah hamba Yang Esa

    13) Haji - Sweet Charity



    Saya sudah beritahu tadi, dan saya beritahu sekali lagi: Jangan menduga orang dari cara mereka berpakaian. Siapa sangka kumpulan Sweet Charity ini pernah membawakan lagu yang sungguh syahdu sekali . Jika anda rindukan Baitullah, tetapi masih belum berkemampuan untuk pergi, maka dengarlah lagu ini. Oh ya, terdapat juga bunyi pukulan beduk di dalam lagu ini.

    Teka-teki: Cari Ramli Sarip dalam gambar ini.
    Lirik Haji
    Album: Penunggu
    Tahun: 1982


    Setelahku hadapkan
    Wajahku di rumah-Mu
    Barulahku sadari keagungan-Mu

    Laa Ilaahi ya Rabbi
    Ampunilah diriku
    Berikanlah bimbingan kedamaian

    Terasa hidup ini
    Tiada berarti
    Tanpa rahmat Ilahi
    Jiwaku sunyi
    Ku bermohon setulus hatiku
    Serahkan diriku ini
    Tuntunlah jalanku

    Setelahku hadapkan
    Wajahku di rumah-Mu
    Barulah ku sadari keagungan-Mu

    Tuhan ku datang pada-Mu
    Tuhan ku ketuk pintu-Mu
    Oh segala puji untuk Mu
    Tiada selain dari Mu

    12) Tetamu Senja - Kopratasa



    Kumpulan trio yang bernama Kopratasa ini sememangnya tidak asing lagi bagi peminat lagu-lagu puisi dan rakyat. Tetamu Senja asalnya adalah sebuah puisi yang ditulis oleh A. Samad Said bertajuk Kita Ini Tetamu Senja. Harus diingatkan bahawa lagu ini telah diubahsuai sedikit (dalam 1%) dari bait-bait puisinya yang asal.

    Cukup menyedihkan apabila puisi ini seperti direndah-rendahkan tarafnya oleh para peserta Akademi Fantasia yang tidak tahu menghayatinya.
    Lirik Tetamu Senja
    Album: Sesetia Malam
    Tahun: 1996


    Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
    Bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya
    Kita datang ini kosong tangan kosong dada
    Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

    Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
    Bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada insan
    Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang
    Usahlah derhaka pula pada Tuhan kepada insan

    Bila kita lihat manusia lupa tempat
    Atau segera sesat puja darjat puja pangkat
    Segera kita insaf kita ini punya kiblat
    Segera kita ingat kita ini punya tekad

    Bila kita lihat manusia terbiar larat
    Hingga mesti merempat ke laut biru ke kuning darat
    Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
    Harus kita tegas sembah seluruh rasa belas

    Kita datang ini satu roh satu jasad
    Bila pulang nanti bawalah bakti padat berkat

    11) Untuk Kita Renungkan - Ebeit G Ade



    Di tangga ke-11 adalah lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi yang berasal dari Tanah Seberang, Ebiet G. Ade.. Lagu-lagunya memang sangat puitis.
    Lirik Untuk Kita Renungkan
    Album: Tokoh-tokoh
    Tahun: 1982


    Kita mesti telanjang
    Dan benar-benar bersih
    Suci lahir dan di dalam batin
    Tengoklah ke dalam sebelum bicara
    Singkirkan debu yang masih melekat

    Anugerah dan bencana
    Adalah kehendak-Nya
    Kita mesti tabah menjalani
    Hanya cambuk kecil agar kita sadar
    Adalah Dia di atas segalanya

    Anak menjerit-jerit asap panas membakar
    Lahar dan badai menyapu bersih
    Ini bukan hukuman hanya satu isyarat
    Bahwa kita mesti banyak berbenah

    Memang bila kita kaji lebih jauh
    Dalam kekalutan
    Masih banyak tangan
    Yang tega berbuat nista

    Tuhan pasti telah memperhitungkan
    Amal dan dosa yang kita perbuat
    Ke manakah lagi kita kan sembunyi
    Hanya kepada-Nya kita kembali
    Tak ada yang bakal bisa menjawab
    Mari hanya runduk sujud pada-Nya.

    10) Permaidani - Aris Ariwatan



    Ini lagu bersifat keTuhanan yang sering dinyanyikan kembali oleh ramai penyanyi tanahair yang lain. Kumpulan nasyid remaja, Saujana, juga pernah menyanyikannya semula.

    Lagu yang sering juga menjadi lagu latar drama-drama Melayu ini, di samping banyak kali diputarkan di RTM ketika datangnya bulan Ramadhan, telah berjaya mendapat status evergreen, baik di kalangan peminat nasyid atau pun bukan.
    Lirik Permaidani
    Album: Balada Orang Berdosa
    Tahun: 1992


    Rimbun dan redup kasih-Mu
    Kau tempat ku berpayung
    Di manakah lagi dapat ku rebahkan
    Rasa gundah ini

    Nun Kau teguh di sana
    Pengasih dan penyayang
    Pun ku masih terleka
    Meneguk ihsan-Mu
    Walau ku sedari

    Oh nyamannya
    Bila diperlukan rindu-Mu
    Mengimbaulah sentosa

    Bentangkan ku permaidani
    Dari baldu berwarna putih
    Moga tak ku terasakan
    Cubaan yang ku galas ini
    Kepada-Mu titianku
    Hijrahkanlah diri ini

    9) Dari Tuhan - Wings



    Dari Tuhan adalah satu lagi lagu Wings yang bersifat keTuhanan. Pada hari ini, peminat nasyid tanah air hanya mengetahui kewujudan lagu ini setelah Raihan merakamkannya semula dalam album Allahu. Dalam rakaman semula ini, Awie yang merupakan bekas vokalis Wings, telah turut dijemput sama untuk menjayakannya. Rasanya, suara Awie dalam lagu asal adalah lebih mantap dan padu.
    Lirik Dari Tuhan
    Album: Belenggu Irama
    Tahun: 1987


    Tuhan
    Berombak lautan
    Tajam duri di hutan
    Begitu kuasa-Mu
    Kepada alam

    Insan
    Renangi lautan
    Tempuhi onak tajam
    Ada balasan
    Untukmu insan

    Bila mentari terpadam
    Kita akan dibangkitkan
    Menerima harapan
    Atau kepanasan

    Insan
    Berseri cahayamu
    Bersinarlah budimu
    Kerana ketakwaan
    Kepada Tuhan

    8) Silaturrahim - Bumiputra Rockers



    Anak-anak Bumiputera ini memang suka mengeratkan silaturrahim sesama manusia. Silaturrahim adalah lagu yang merupakan satu komentar sosial terhadap sikap penduduk bandar yang semakin individualistik.
    Lirik Silaturrahim
    Album: Era 90'an
    Tahun: 1991


    Aku sendirian di sini
    Terbujur berdiri
    Di tengah kota

    Ramai manusia di sisi
    Sombong dan tidak
    Bertegur sapa

    Bagaimana harus aku buktikan
    Silaturrahim suruhan Tuhan
    Sampai bila, sampai bila
    Begini..

    Jika kita hidup di perbatasan
    Peluru tidak kenal kasihan
    Sampai bila, sampai bila
    Begini..

    7) Perjalanan Hidup - Ramli Sarip



    Sekali lagi Ramli Sarip. Sekian adanya.
    Lirik Perjalanan Hidup
    Album: Perjalanan Hidup
    Tahun: 1987

    Aku yang masih di perjalanan hidup ini
    Begitu lama berlegar di persimpangan dunia
    Menempuh jarak dan titian, rimba dan lautan
    Mencari sesuatu yang abadi

    Aku yang masih di perhentian hidup ini
    Begitu jauh mengembara ke serata dunia
    Mengejar siang dan malam, surut dan pasang
    Mencari sesuatu kebebasan
    Mencari sesuatu kedamaian

    Dimana berakhirnya perjalananku ini
    Esok dan lusa bukan milikku, oh Tuhanku
    Lindungilah hamba mu yang hina ini
    Aku setia hanya padamu, oh Tuhanku

    6) Permata Untuk Isteri - Kopratasa



    Lagu yang sudah berusia lebih 10 tahun ini adalah antara lagu paling popular dari Kopratasa. Jika anda tanya saya apakah lagu cinta terbaik yang ada di dunia ini, maka saya jawab: Permata Untuk Isteri. Lagu ini jauh lebih bagus dan bermakna dari nasyid yang meleleh-leleh pada hari ini.

    Jika anda meminati lagu ini, maka mungkin anda akan meminati juga lagu Senandung Untuk Zubaidah dan Kekasih yang turut dinyanyikan oleh Kopratasa.
    Lirik Permata Untuk Isteri
    Album: Sesetia Malam
    Tahun: 1996


    Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
    Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri

    Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
    Untuk kau berilti dengan kelembutan
    Untuk kau hargai dengan kasih sayang

    Ku ingin kau jadi wanita mulia
    Yang tahu harga budi dan hati
    Seorang lelaki bernama suami

    Kerana engkau isteri
    Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
    Tak semudah yang kita janjikan
    Yang kita janjikan
    Kerana kau isteriku

    5) Berita Kepada Kawan - Ebiet G Ade dan M. Nasir



    Lagu ini pada asalnya dinyanyikan secara solo oleh Ebiet G. Ade. Namun, versi duet bersama M. Nasir dalam Konsert Akar adalah kedengaran lebih merdu, bertenaga dan harmoni. Setelah lebih 25 tahun dicipta, lagu ini menjadi popular kembali di Indonesia dan Malaysia selepas tragedi Tsunami yang melanda Acheh di akhir 2004.

    Lirik lagu ini ada sedikit kontroversi, iaitu pada ayat "Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita". Untuk lebih selamat, kita nyanyikan lagu ini sepertimana yang dilakukan oleh Ustaz Akhil Hayy. Beliau mengubah ayat itu menjadi "Itu tanda Tuhan murka melihat tingkah kita".
    Lirik Berita Kepada Kawan
    Album: Camelia II
    Tahun: 1979


    Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan
    Sayang engkau tak duduk di samping ku kawan
    Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
    Di tanah kering berbatuan

    Tubuhku tergoncang dihempas batu jalanan
    Hati tergetar menambah kering rerumputan
    Perjalanan ini seperti jadi saksi
    Gembala kecil menangis sedih

    Kawan coba dengar apa jawabnya
    Ketika ia ku tanya mengapa
    Bapak ibunya telah lama mati
    Ditelan bencana tanah ini

    Sesampainya di laut ku khabarkan semuanya
    Kepada karang kepada ombak kepada matahari
    Tetapi semua diam tetapi semua bisu
    Tinggal aku sendiri terpaku menatap langit

    Barangkali di sana jawabnya
    Mengapa di tanahku terjadi bencana
    Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
    Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa
    Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
    Coba kita bertanya pada rumpun yang bergoyang

    4) Senandung Hidup Berbudi - Ramli Sarip dan Jay Jay



    Jika anda meminati Lukisan Alam oleh Hijjaz, maka tambahkan lagu Senandung Hidup Berbudi ini dalam koleksi anda. Begitu jugalah sebaliknya. Sebagai nota tambahan, Jay Jay adalah bekas penyanyi kumpulan Carefree yang popular dengan lagu Belaian Jiwa dan Rindu Bayangan.
    Lirik Senandung Hidup Berbudi
    Album: Ziarah Seni
    Tahun: 1994


    Ombak lautan berombak
    Mengapa mengubah pasir di pantai
    Bayu bertiuplah bayu
    Mengapa menjadi ribut dan badai

    Begitu kita merancangkan
    Belum pasti hadirnya kebahagiaan
    Fahamlah apa itu takdir
    Akan berseri hidup yang ditadbir

    Hidup menggadai harta
    Agar diri berharga
    Janganlah kau salah mengerti
    Kelak kau menggadai diri

    Mencari penghormatan
    Janganlah sampai terkorban
    Yang mulia pasti kita hormatkan
    Yang rendah jangan dihinakan

    Tenang di air yang tenang
    Jangan di sangka boleh direnang
    Kail panjanglah sejengkal
    Janganlah lautan hendak diduga

    Itulah pesan orang lama
    Menjadi bekal pada yang berusaha
    Ingatlah pepatah ini
    Menjadi panduan hidup berbudi

    3) Lagu Untuk Seorang Ibu - Kembara



    Kumpulan Kembara terkenal dengan lagu-lagu rakyatnya yang bersifat komentar terhadap situasi sosial semasa. Dalam kumpulan inilah M. Nasir memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi. Lagu yang terdapat dalam album pertama mereka ini mampu membakar semangat anak-anak muda untuk berbakti kepada ibu bapa.
    Lirik Lagu Untuk Seorang Ibu
    Album: Kembara
    Tahun: 1981


    Ibuku mengapa engkau menangis
    Apakah yang kurang
    Walaupun ayah telah tiada
    Itu tak bermakna akhirnya hidup kita
    Ibuku tenangkanlah hatimu
    Kerna suria kan pasti menjelma

    Usia mudaku tak menghalang diriku
    Untuk membela dirimu

    Ayahku walaupun engkau gugur
    Kerna Pertiwi
    Namun jasamu ku kenang selalu
    Ku mahkotakan ke puncak cemara

    Nanti bila aku sudah dewasa
    Ingin ku menjadi pemimpin negara
    Akan ku bela nasib kita
    Itulah sumpah anakmu

    Dari itu hentikan tangisan
    Pandanglah masa depan
    Betapa ku cinta padamu
    Pelukanmu menguatkan semangatku
    Duhai ibuku dengarkanlah lagu
    Untukmu..

    2) Samarkand - Bloodshed



    Kumpulan ini jika dinilai berdasarkan namanya, seakan-akan sebuah kumpulan Black Metal. Tapi sebenarnya tidak. Lagu paling popular mereka, iaitu Srikandi Cintaku adalah lagu yang wajib diketahui oleh peminat rock kapak tanahair. Samarkand adalah lagu kedua paling popular mereka.

    Tidak semua orang tahu lagu Samarkand ini tentang apa. Samarkand adalah satu wilayah di Uzbekistan yang pada satu masa dahulu berada di bawah kongkongan Kesatuan Soviet (ketika lagu ini dihasilkan, USSR masih lagi belum roboh). Uzbekistan mempunyai dua buah bekas kota Islam yang sangat hebat, pertama Bukhara (di sinilah Imam Bukhari lahir), dan kedua Samarkand. Maka lagu Samarkand adalah tentang kebangkitan dan kebebasan kota Samarkand dari belenggu jajahan.

    Samarkand juga adalah bekas pusat pengajian Islam yang agung yang terletak di tengah-tengah Jalan Sutera. Di sinilah Imam Abu Mansur al-Maturidi lahir dan meninggal. Imam Bukhari pula meninggal dunia semasa dalam perjalanan menuju ke Samarkand dan kuburnya tidak jauh dari kota ini.

    Cuba dengar lagu ini, dan anda mungkin boleh merasakan satu semangat perjuangan meresap ke dalam diri.
    Lirik Samarkand
    Album: Samarkand
    Tahun: 1988


    Di antara debu angin bersama
    Pasir-pasir bertaburan di sana
    Bersemadi langkah perjuangan
    Bersaksikan kebenaran

    Samarkand kau tak terasing
    Tindasan berlalu jiwamu satria
    Walau getir ditempuh jua
    Di Laluan Sutera
    Mengalir ketenangan

    Titis darah mensuci kekufuran
    Mengerat rasa kasih pada-Nya

    Samarkand kaulah pentas perjuangan
    Indera alam tertumpu padamu
    Demikian kesetiaanmu
    Perjuangan murni
    Keagungan di jiwa
    Samarkand.. Samarkand..
    Samarkand sebahagian dari kebangkitan

    Samarkand engkau tak terasing
    Tindasan berlalu jiwamu satria
    Tak hiraukan kekejaman
    Semakin tertekan
    Iman makin terbukti
    Samarkand.. Samarkand..
    Samarkand sebahagian dari kebangkitan
    Samarkand sebahagian dari kebangkitan

    1) Bukan Kerana Nama - Ramli Sarip dan A. Romzi



    Okay, okay. Ini kali terakhir Ramli Sarip muncul kerana kita sudah pun di tangga yang pertama. Tentang A. Romzi, beliau merupakan bekas ahli kumpulan kugiran The Hooks. Kini dengar-dengarnya A. Romzi sudah beralih ke arah muzik dakwah, tetapi tidak dapat dipastikan cerita ini.

    Sebab saya meletakkan lagu ini di nombor satu? Baca liriknya dan dengar lagunya, maka anda akan tahu. Setelah lebih 20 tahun, Bukan Kerana Nama adalah lagenda muzik tanah air.
    Lirik Bukan Kerana Nama
    Album: Bukan Kerana Nama
    Tahun: 1986


    Jangan kau pandang bibir yang manis
    Kerana dia bisa menghancurkan
    Jangan kau pandang wajah yang indah
    Kerana dia bisa meracunmu

    Dengarlah hai teman
    Dengarkan bersama
    Aku menulis bukan kerna nama

    Kerna sifat kasih
    Pada sesama insan
    Dan menyatakan kasih sayangku
    Kita sama semuanya sama
    Apa yang ada hanyalah kehidupan

    Jangan kau dengar puisi dusta
    Kerna dia merosakkan jiwamu
    Dengarkanlah puisi di pusaka
    Yang telah turun temurun hari ini

    Jangan kau alas hatimu itu
    Dengan secebis warna kehitaman
    Dialah seperti anai-anai
    Lambat-laun hancurlah dirimu
    ---------------------
    Rumusan dan lagu Top 20 Nasyid yang Bukan Nasyid (disusun dari tangga-20 dan menaik):

    20) Alam Barzakh - Wings
    19) Maghrib - Bumiputra Rockers
    18) Kau Satu-satu-Nya - Ukays
    17) Hijau Bumi Tuhan - XPDC
    16) Kau Yang Satu - Ramli Sarip
    15) Sufi - Damasutra
    14) Insan - Yantzen
    13) Haji - Sweet Charity
    12) Tetamu Senja - Kopratasa
    11) Untuk Kita Renungkan - Ebiet G. Ade

    10) Permaidani - Aris Ariwatan
    09) Dari Tuhan - Wings
    08) Silaturrahim - Bumiputra Rockers
    07) Perjalanan Hidup - Ramli Sarip
    06) Permata Untuk Isteri - Kopratasa
    05) Berita Kepada Kawan - Ebiet G. Ade & M. Nasir
    04) Senandung Hidup Berbudi - Ramli Sarip & Jay Jay
    03) Lagu Untuk Seorang Ibu - Kembara
    02) Samarkand - Bloodshed
    01) Bukan Kerana Nama - Ramli Sarip & A. Romzi

    Kembali ke permulaan carta...

    Dan ini lagu-lagunya:





    Sebagai penutup, sentiasa ingat bahawa muzik adalah alat dan bukannya matlamat hidup di dunia ini. Jika anda kaki muzik sekali pun, akan sentiasa ada ruang untuk anda menjadikan dunia ini tempat yang lebih selesa, aman dan selamat untuk didiami. Rock rock juga, akhirat jangan lupa.

    Tiru Yusuf Islam, tiru Bono!

    ----------
    Kredit: Gambar dan kulit album artis diambil dari pelbagai sumber yang bertebaran di internet. Oleh kerana agak rumit untuk mencari dan memberikan kredit kepada kesemua tukang upload yang asal, maka saya tidak meletakkan sebarang kredit di sini. Sila hubungi saya jika anda rasa anda patut diberikan kredit. Terima kasih!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Hembusan Edisi Cetak

    21 Disember 2007 • 0 Komen
    Sekadar ingin memberitahu bahawa setiap artikel yang ada di blog ini telah dijadikan supaya lebih printer-friendly. Jadi kalau anda mahu mencetak artikel di sini, maka ia akan jadi lebih mudah dan tidak membazir dakwat.

    Jika mahu cetak dalam bentuk PDF, boleh guna doPDF. Jika rasa Adobe Reader agak berat bagi komputer anda, boleh gunakan Foxit Reader yang jauh lebih ringan. Kedua-duanya percuma.


    Menu yang muncul apabila 'Cetak Artikel Ini' diklik.


    Ini contoh artikel yang dicetak dalam bentuk PDF yang di ambil dari La Tahzan #2. Artikel yang dicetak dengan menggunakan printer adalah sama seperti dalam bentuk PDF. Buat masa ini, fungsi cetakan ini berfungi paling bagus jika anda menggunakan Firefox.

    Salam Aidiladha!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    KISS: Keep It Simple, Sweetheart

    20 Disember 2007 • 0 Komen
    KISS:
    • Keep it simple stupid
    • Keep it simple silly
    • Keep it simple sweetheart
    • Keep it simple and sweet
    Konsep KISS akan saya guna dan terangkan pada beberapa tulisan saya bila tiba masanya.

    ---
    PS: Entri ringkas ini sebenarnya ditulis pada 18 April 2008, dan dijadikan tarikhnya 19/12/07 atas beberapa sebab teknikal.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    La Tahzan #4 - Belajar 4 Rahsia Kanak-Kanak

    09 Disember 2007 • 5 Komen
    Remember that as a teenager you are
    at the last stage in your life when
    you will be happy to hear that
    the phone is for you.
    (Fran Lebowitz, Social Studies, 1981)


    Foto oleh Buntal Shoot


    Secara umumnya semakin kita dewasa, kita menjadi semakin serius. Serius kita bukan seperti seriusnya para ulama, yang mana serius mereka itu adalah disebabkan sifat warak yang ada pada mereka. Serius mereka kerana hati mereka diisi dengan zikrullah. Sebaliknya serius rata-rata orang awam seperti kita adalah disebabkan permasalahan hidup yang datang bersilih-ganti.

    Namun, kanak-kanak adalah satu golongan yang unik. Tidak pernah kita melihat kanak-kanak yang tidak boleh tidur malam kerana memikirkan masalah hutang dua ringgit kepada kawannya. Tidak pernah juga kita melihat kanak-kanak yang tidak lalu makan apabila surat cinta yang diletakkan di bawah meja budak perempuan kelas sebelah, tidak berbalas. Sekarang bandingkan bagaimana jika masalah-masalah seperti ini terjadi kepada golongan orang dewasa seperti kita.

    Kanak-kanak, lebih-lebih lagi dari kategori 7 tahun ke bawah adalah golongan yang paling tidak stress di atas muka bumi ini. Dunia mereka seakan-akan bebas dari sebarang masalah.

    Saya tidak ingat tarikh tepat bila saya pencen dari menjadi kanak-kanak sepenuh masa. Sedar-sedar saya sudah menjadi remaja, dan kini saya sudah dewasa. Sekarang saya rindukan zaman yang paling indah itu. Rasa-rasanya juga, zaman naik pelamin yang didakwa sangat seronok oleh rakan-rakan saya yang sudah berkahwin itu, tidak akan mampu untuk mengatasi zaman kanak-kanak yang penuh riang, gembira, tiada stress dan lagi nikmat itu!

    Maka disebabkan itu, kebanyakkan orang dewasa akan merindui zaman kanak-kanak mereka. Kalau boleh, saya sendiri mahu kembali ke umur saya 5 tahun, dan kemudiannya berharap agar masa menjadi pegun dan tidak akan bergerak selama-lamanya. Tetapi apakan daya, itu bukan sunnah kehidupan alam ini.

    Hai, cukup membazir apabila zaman yang paling bermakna itu hanya dimiliki oleh kanak-kanak. Oleh kerana saya tidak boleh kembali dan hidup di masa lampau, maka saya hanya mampu untuk berfikir seperti kanak-kanak. Saya rasa, ada sekurang-kurangnya 4 rahsia mengapa kanak-kanak kelihatan gembira. Rahsia-rahsia ini biasanya lebih jelas wujud di kalangan kanak-kanak yang berumur 7 tahun ke bawah. Amalkan 4 rahsia ini, insyaAllah keceriaan kita bertambah.

    Ini rahsia-rahsianya:


    1) Mudah terpesona dan berpuas hati dengan benda-benda kecil

    Dari semut di lantai, cicak di siling, sehinggalah kapal terbang di awanan. Mereka mudah terpesona dengan semua benda-benda yang dipandang remeh oleh orang dewasa.

    Mereka jarang cerewet dan jarang merungut dengan apa yang diberikan oleh ayah atau ibu mereka. Ketika saya mahu melangkah ke darjah 1, saya masih ingat waktu ayah saya membelikan saya kasut sekolah yang bagi saya sangat murah harganya. Ia bukan dari jenama Bata, Pallas Jazz, dan sebagainya. Jika hari ini, kasut itu mungkin dilabelkan dengan jenama Kasut Cap Ayam.

    Tetapi saya tidak kisah sama ada kasut itu berjenama atau tidak, asalkan kasut itu memiliki bahagian yang boleh memantulkan cahaya putih apabila ia disinari oleh cahaya kereta. (Nota tambahan: Ketika awal 90-an, kasut seperti ini amat popular. Di samping memiliki ciri keselamatan, kanak-kanak sekolah yang memakai kasut demikian akan dipandang cool oleh rakan sebaya).

    Malangnya apabila kita dewasa, kita susah berpuas hati dengan apa yang kita miliki. Agak susah untuk mencari anak-anak muda yang tidak tergila-gilakan kasut Nike atau Adidas. Saya bersyukur kerana saya jenis yang tidak terlalu memilih jenama dalam berpakaian.

    Contoh lain, mengapa perlu menukar telefon bimbit pada setiap tahun, padahal telefon yang sedia ada masih lagi elok? Mengapa perlu membeli pakaian baru setiap bulan padahal pakaian yang sedia ada masih lagi tidak rabak? Mengapa perlu sentiasa membeli buku-buku baru padahal buku-buku yang dibeli sebelum ini masih lagi tidak khatam dari kulit ke kulit? Mengapa kita selalu cerewet dengan makanan yang dihidangkan sedangkan kira-kira 30 orang kanak-kanak mati kebuluran setiap minit?

    Kanak-kanak mudah dipuaskan. Itu sebab mereka gembira. Orang dewasa pula susah berasa gembira kerana sentiasa ditipu oleh dunia fatamorgana ini. Elakkan mengejar kesempurnaan dalam hal-hal yang bersifat material ini kerana manusia tidak akan berasa puas selagi syukur tidak menjadi dinding di dalam hati.

    Kurangkan mengharap banyak benda dalam dunia ini. Harapan duniawi selalunya mengecewakan.


    2) Mudah melupakan dan memaafkan

    Ketika saya kecil, banyak kali juga saya bergaduh dengan rakan-rakan sebab tidak puas hati dengan mereka. Tetapi, biasanya pada hari yang sama (atau selewat-lewatnya seminggu), kami akan berbaik semula dan boleh bermain baling selipar, polis sentri dan sorok-sorok seperti biasa.

    Segala konflik yang berlaku sebelum itu seakan lesap macam asap, seolah-olah kami tidak pernah bergaduh langsung. Saya percaya anda juga pernah memiliki pengalaman ini.

    Selain itu saya juga suka membuli anak buah saya. Kadang-kadang ini menyebabkan mereka menangis dan tidak mahu berkawan dengan saya. Namun demikian oleh kerana kanak-kanak ini mudah berpuas hati dengan benda-benda kecil, saya selalunya akan memujuk mereka dengan membelikan jajan, mengajak mereka bermain game di komputer saya, atau pun membawa mereka jalan-jalan keliling kampung dengan menaiki motorsikal.

    Dengan 'rasuah' yang tidak seberapa itu, akhirnya mereka sudah tidak merajuk lagi dan melupakan segala yang telah berlaku. Kadang-kadang dengan hanya berkata kuci-kuci-kuci, pasti mereka akan membalasnya dengan satu kuntum senyuman yang mendamaikan. Alangkah mudahnya mereka 'dibeli'! Andainya orang dewasa juga begitu...

    Dua contoh yang saya bawakan itu menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak pandai menyimpan dendam. Mereka mudah melupakan dan memaafkan. Sekarang, adakah mudah untuk kita mencari orang dewasa yang tidak mudah menyimpan dendam? Bagi kanak-kanak, memaafkan bermaksud forgive and forget. Bagi orang dewasa pula, biasanya memaafkan bermaksud 'I can forgive but I can't forget!'

    Dalam hidup kita, pasti ada satu dua manusia yang buat kita rasa naik angin, terhina dan sebagainya. Mungkin dia tidak pernah pun datang meminta maaf kepada kita walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa itu memang salah dia. Saya pernah beberapa kali ada pengalaman ini. Konflik antara manusia akan sentiasa muncul, tetapi saya cukup tidak faham mengapa ada sesetengah orang yang mahu menyelesaikannya dengan cara menyimbah minyak ke dalam api.

    Saya mahu lebih belajar untuk memaafkan dan melupakan semua orang, tetapi bagaimana harus saya mulakan?

    Memaafkan, tetapi tidak melupakan adalah racun untuk hati. Maka, sebelum tidur mari kita maafkan sesiapa sahaja. Eh, anda tidak pernah ke dengar cerita seorang lelaki di zaman Nabi, yang masuk syurga hanya semata-mata dia memaafkan semua orang sebelum tidur?

    Ini kisahnya:
    Rasulullah sallahu alayhi wassalam pernah berkata kepada para sahabatnya, "Kamu mahu lihat seorang lelaki yang bakal menjadi ahli syurga?" Para sahabat tentulah mahu. Lalu ada seorang lelaki berjalan melepasi mereka. Rasulullah berkata, "Itulah lelaki bakal penghuni syurga".

    Salah seorang sahabat ingin mengetahui amalan apakah yang dibuat oleh lelaki tersebut sehingga melayakkannya untuk menjadi penghuni syurga. Lalu dia pun mengskodeng lelaki itu. Dilihatnya lelaki tersebut tidak melakukan Tahajjud ataupun apa-apa amalan yang luar biasa. Dia sekadar melakukan yang fardu sahaja. Dia hanyalah seorang lelaki biasa, seperti mana kebanyakkan lelaki-lelaki biasa yang ada di Madinah.

    Sahabat Rasulullah itu menjadi kebingungan, lalu akhirnya dia bertanya sendiri kepada lelaki tersebut tentang apakah amalan yang dilakukannya sehingga Rasulullah mengatakan bahawa dia adalah bakal ahli syurga.

    Lelaki itu menjawab, "Satu-satunya yang boleh aku fikir tentang amalan harianku, yang mana orang lain tidak melakukannya, ialah akan aku pastikan yang aku tidak tidur setiap malam dengan hatiku ada menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap orang lain." Itulah rahsia lelaki bakal penghuni syurga.

    Jadi jika anda jenis yang liat mahu buat Solat Tahajjud, tetapi teringin mahu masuk syurga, maka ambil iktibar dari kisah tersebut.


    3) Kanak-kanak mudah mempercayai orang lain

    Ada seorang penculik yang mahu mendapatkan duit dari satu keluarga yang sangat kaya. Keluarga itu ada 2 orang anak. Seorang berumur 6 tahun, manakala yang lagi satu berumur 15 tahun.

    Penculik itu akan menculik anak yang mana satu untuk menuntut wang tebusan dari keluarga tersebut?

    Kemungkinan sekali, penculik itu akan menculik anak yang berumur 6 tahun itu. Kanak-kanak di waktu umur ini adalah begitu naif sifatnya. Mereka mudah mempercayai orang lain; mereka tidak prejudis kepada sesiapa langsung, baik di kalangan keluarga sendiri atau pun orang luar.

    Sebab itu sewaktu kecil, ibu pasti akan melarang kita menerima pemberian gula-gula dari seseorang yang tidak dikenali, takut-takut orang itu adalah penculik.

    Sekarang bagaimana untuk kita menggunakan 'rahsia' kanak-kanak yang ini? Semestinya adalah dengan kita tidak terlalu bersangka-buruk, lagi-lagi terhadap saudara seIslam kita. Orang yang mudah bersangka-buruk ini biasanya juga tergolong dalam geng kaki umpat.

    Cuba lihat manusia yang suka mengumpat ini. Biasanya ramai orang benci pada mereka. Hati mereka juga tidak tenang kerana ia selalu diisi dengan kisah-kisah gosip dan spekulasi yang entah betul atau pun tidak.



    Mengumpat

    Apa yang ironinya, orang yang suka mengumpat juga tidak suka bila orang mengumpat tentang dirinya. Apakah rasa seronok di hati kita bila ada orang mengumpat tentang diri kita? Maka, jangan sesekali bersangka-buruk dan mengumpat orang lain kerana Allah itu Maha Adil.

    Sebelum itu, fahami apa maksud mengumpat. Mengumpat berlaku apabila kita menceritakan perihal seseorang yang menjadikan dia marah atau benci apabila dia mendengarnya sendiri. Jadi sekarang anda sedar bahawa betapa mudahnya untuk kita termasuk dalam arena sukan umpat-mengumpat ini.

    Namun demikian kita tidak boleh percaya 100% kepada semua orang. Maka sifat berhati-hati tetap perlu diamalkan. Tanamkan juga sifat ragu-ragu kepada sesetengah orang, lagi-lagi yang baru dikenali. Ragu tidak bermaksud prejudis. Ragu terjadi apabila kita masih tidak yakin dengan seseorang itu. Prejudis adalah melabelkan atau menghukum seseorang secara negatif tanpa bukti yang sahih dan kukuh.

    Kata Sidi Ahmad al-Zarruq:
    Jangan meletakkan kepercayaan kepada sesiapa dalam hal-hal yang melibatkan agama, keluargamu, atau hartamu, sehinggalah engkau telah mengujinya sekurang-kurangnya seribu kali.

    Dalam erti kata yang lain, kita harus menguji kejujuran dan ke'bolehpakai'an seseorang itu sebelum mahu mengamanahkan mereka dengan sesuatu yang berat.

    Di samping perlu bersangka-baik sesama manusia, kita juga perlu bersangka baik kepada Allah. Allah telah berfirman di dalam hadith Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, maksudnya: "Aku berada pada sangkaan hambaKu....".

    Jadi, jika kita rasa Allah sentiasa bersama kita selagi kita mengingatinya, baik di waktu susah atau senang, sedih atau gembira, maka itulah yang akan kita dapat. Kita bersangka-baik terhadap Allah, maka Allah akan bersangka baik-kepada kita. Jika kita fikir Allah tidak mampu membantu kita dalam menghadapi ranjau-ranjau kehidupan ini, maka percayalah, itu yang anda akan dapat.


    4) Kanak-kanak hidup dan berfikir untuk masa yang sedang mereka lalui

    Mereka tidak begitu risau tentang perkara yang lepas atau perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Dalam kes ini, saya tidak mencadangkan anda untuk tidak langsung memikirkan yang lepas dan yang akan datang.

    Kanak-kanak berperasaan riang sentiasa kerana mereka masih lagi tidak tahu apa 'perkara-perkara' yang sedang menanti mereka apabila mereka dewasa kelak. Bagi kita yang sudah dewasa ini, tidak perlu terlalu panik dengan ujian yang Allah beri. Setiap manusia, tidak kira agama dan bangsa, akan ada ujiannya yang tersendiri. Jika kita terlalu panik, maka kita akan lemas di lautan dunia.

    Maka rileks... Jika hidup tiada ujian, maka sila semak kawasan sekeliling anda. Mungkin anda tidak berada di Planet Bumi. Jika anda baru sahaja sedar yang anda sedang berada di Planet Bumi, maka saya ucapkan selamat datang ke planet ini. Ahlan wa sahlan! Ini planet yang penuh dengan ujian dan mehnah hidup.

    Perkara-perkara lepas, kita ambil iktibar darinya. Perkara akan datang, kita rancang sebaiknya. Tetapi semestinya ada had. Jika had ini dilanggar, maka itu akan membuatkan kita rasa sedih dan gelisah. Baca La Tahzan #3 - Anda Sedang Hamm atau Hazan?

    Just love each day.
    ---

    Akhir kata, apa kata kita hentikan seketika segala apa yang sedang kita lakukan, bagi membolehkan kita untuk merenung sejenak perjalanan kehidupan ini. Amati tingkah-laku kanak-kanak, dan belajar apa-apa yang patut dari mereka.

    Mungkin ada rahsia-rahsia lain yang boleh kita cungkil dari mereka.
    ---

    Tengok-Tengok



    Soal-jawab yang Kelakar


    ¶ Teruskan membaca entri ini »