Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Masa, Asid & Untuk Kita Renungkan

    28 November 2006 • 9 Komen

    Masa

    jam masa

    Sidi Ahmad al-Zarruq adalah seorang ulama sufi yang hidup di Morocco, dan meninggal dunia pada tahun 1492. Semoga Allah merahmati ruhnya.

    Asid

    Percayalah. Hidupmu akan jadi lebih bahagia jika anda melayari internet dengan menggunakan Firefox atau Opera atau Safari. Buang Internet Explorer (IE) jauh-jauh. Hanya gunakan IE untuk Windows Update sahaja. Sebabnya panjang, tapi sebab paling utama kenapa saya bawa isu ini adalah kerana IE tidak memaparkan layout blog ini (dan banyak lagi website lain) dengan sempurna. IE gagal segagal-gagalnya dalam Acid2. Itu belum lagi masuk bab security.

    Saya kira, apabila Microsoft melancarkan Internet Explorer 7 (IE7) yang menggantikan IE6, masalah ini akan selesai. Tetapi rupa-rupanya masalah itu masih tak diperbetulkan. Shame on you Micro$oft! Sebelum ada sesiapa yang pening, maka saya tunjukkan sahaja 3 snapshot yang saya ambil bagi blog ini:

    1 - Opera 9.02 (pass Acid2 - see result)


    2 - Firefox 2.0 (almost pass Acid2 - see result)


    3 - Internet Explorer 7 (completely fail Acid2 -see result)


    Cuba lihat bagi IE7. Layout blog ini jadi tak betul. Saya dapati, apa yang buat paparan blog ini jadi sedemikian adalah kerana entri Syukur & Mari Beli Buku. Tetapi bagi Opera dan Firefox, segalanya nampak OK. Dan ini menjadi sebab mengapa sesetengah paparan website jadi tunggang-langgang apabila dipaparkan oleh web browser yang anda gunakan.

    Kesimpulannya, gunakan Firefox atau Opera yang hampir menepati piawaian standard W3C. Kalau isi bagus, tetapi layout tunggang-langgang, tak guna juga. Dan sekali lagi saya katakan, hidupmu akan lebih bahagia jika tidak menggunakan IE, lebih-lebih lagi bagi pengguna dial-up.

    Bertukar kepada Firefox sekarang!

    Uji sama ada browser anda pass atau fail Acid2 di sini.

    Untuk Kita Renungkan

    oleh Ebiet G Ade

    Dedikasi buat semua makhluk manusia dan juga kepada mangsa tragedi tsunami Acheh (ada gambar mayat. Tak berani jangan tengok) yang sudah hampir 2 tahun berlalu. Semoga kita sedar hakikat hidup sebagai manusia yang sangat lemah ini.
    Kita mesti telanjang
    Dan benar-benar bersih
    Suci lahir dan di dalam batin
    Tengoklah ke dalam sebelum bicara
    Singkirkan debu yang masih melekat
    Singkirkan debu yang masih melekat

    Anugerah dan bencana
    Adalah kehendak-Nya
    Kita mesti tabah menjalani
    Hanya cambuk kecil agar kita sadar
    Adalah Dia di atas segalanya
    Adalah Dia di atas segalanya

    Anak menjerit-jerit asap panas membakar
    Lahar dan badai menyapu bersih
    Ini bukan hukuman hanya satu isyarat
    Bahwa kita mesti banyak berbenah

    Memang bila kita kaji lebih jauh
    Dalam kekalutan
    Masih banyak tangan
    Yang tega berbuat nista

    Tuhan pasti telah memperhitungkan
    Amal dan dosa yang kita perbuat
    Ke manakah lagi kita kan sembunyi
    Hanya kepada-Nya kita kembali
    Tak ada yang bakal bisa menjawab
    Mari hanya runduk sujud pada-Nya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Bila Saddam Digantung Leher

    20 November 2006 • 1 Komen
    Jika saya duduk di Iraq sekarang, saya lebih rela berada di bawah rejim zalim Ba'ath pimpinan Saddam Hussein. Duduk terconggok di bumi Iraq sambil dipermain-mainkan oleh kuasa paksi Amerika-Britain yang memperbonekakan Kerajaan Peralihan Iraq akan lebih menyakitkan hati saya. Namun sudah semestinya jika saya diberi pilihan, saya tidak mahu berada di bawah celahan punggung Amerika-Britain, mahu pun duduk selesa di bawah ketiak Saddam.

    Iraq di bawah Saddam memang haru-biru lagi bercelaru. Saya cintakan Islam. Dan oleh itu saya mahu melihat seorang pemimpin beragama Islam seperti Saddam memandu Iraq dengan cara Islam. Tetapi Saddam bersifat terlalu nasionalis dan sangat sekular. Iraq menjadi satu-satunya negara di Teluk Parsi yang tidak mengamalkan undang-undang Islam. Bila Saddam berada pada kedudukan yang selesa, beliau tidak hirau tentang jatuh bangun Islam. Tetapi apabila tersepit, beliau mula memainkan sentimen Islam untuk membangkitkan semangat nasionalisme rakyatnya.

    Bagi meraih sokongan umat Islam Iraq yang masih konservatif, beliau kemudiannya memperkenalkan semula beberapa enakmen Islam seperti yang berkaitan dengan isu rogol, liwat dan pelacuran. Beliau telah membentuk kerajaan Islam Iraq Hadhari. Ke 'hadhari' an Iraq berada pada limit yang sangat ekstrim. Di bawah Saddam, Islam digunakan sebagai kunci meraih sokongan dan memantapkan lagi kuasa beliau sebagai seorang diktator kuku besi.

    Jika kita melihat bendera Iraq hari ini, terdapat kalimah 'Allahu Akbar' padanya [lihat]. Sebelum Perang Teluk 1990-1991, tiada kalimah 'Allahu Akbar' [lihat]. Kalimah tersebut ditambah pada babak-babak awal pembukaan tirai Perang Teluk. Ini sekadar untuk menyalakan api nasionalisme rakyat dengan menggunakan label Islam. Sekali lagi Islam dihadharikan di sana.

    Begitu juga apabila beliau mahu mempengaruhi rakyat dan dunia Arab dalam usahanya menjadikan Iraq sebagai 'Mekah' dunia Arab. Sekali lagi sentimen Islam diperkudakan. Kehebatan bekas kerajaan Bani Abbasiyyah dari segi politik, ekonomi dan budaya, yang berpusat di Baghdad dijadikan umpan di dalam ucapannya. Sekali-sekala beliau menyebut-nyebut nama tokoh-tokoh agung Tamadun Mesopotamia (Mesopotamia adalah Iraq zaman silam) seperti Nebuchadnezzar II dan Hammurabi. Kesemua ini dilakukan bagi meraih sokongan nasionalisme penduduk tanah Arab dan rakyat Iraq secara khususnya.

    Porak-Peranda di Iraq

    Sebelum era Saddam, Iraq sudah pun menjadi sebuah negara kontroversi. Sunni berperang dengan Syiah. Arab menentang Kurdish, orang-orang nomad bresengketa dengan petani. Hari ini kontroversinya semakin bertambah. Iraq di bawah kekuasaan Saddam (1979-2003) sememangnya zalim. Tetapi Iraq di bawah Amerika adalah jauh lebih zalim - ibarat Playstation 1 dan Playstation 3. Sekurang-kurangnya sewaktu era Saddam, musuh utama rakyat Iraq cuma Saddam. Puak Kurdish, Syiah, dan pihak-pihak lain yang cuba menentang Saddam, telah dibalun dan dihentak dengan cara yang sangat brutal. Akibatnya, mereka perlu berfikir panjang untuk melakukan sebarang revolusi dan pemberontakkan baru terhadap Saddam.

    Namun demikian, apabila Iraq berada di bawah paksi perikatan Amerika-Britain, jumlah dan jenis musuh bertambah mendadak. Rakyat Iraq sudah keliru yang mana musuh dan yang mana kawan. Di waktu Saddam memerintah, mereka tahu di mana letaknya 'periuk api'. Hari ini, 'periuk api' itu seperti berada di mana-mana. Umat Islam saling berbunuhan. Bom meletup di sana-sini. Kes penculikan meningkat. Puak Syiah hardcore semakin membiak subur. Kumpulan-kumpulan pengganas underground ala-ala Zarqawi juga semakin banyak yang sudah menetas. Fahaman ekstrim Taliban semakin mula dihayati di sana. Pembuat roti di kota Baghdad yang kebanyakkannya terdiri dari puak Syiah, telah menjadi sasaran puak pelampau Sunni. Mereka menyerang pembuat roti yang tidak bersalah ini hanya kerana mahu membalas dendam ke atas puak pelampau Syiah. Si penggunting rambut juga dibunuh dan diancam dengan menggunakan alasan agama. Mereka dituduh sebagai telah melanggar kod undang-undang Islam kerana mencukur janggut pelanggan, dan juga kerana memotong rambut mereka dengan fesyen dan gaya tertentu.

    Islam ditafsirkan dengan cara yang makin jauh terpesong di bawah Presiden Kerajaan Peralihan Iraq, Jalal Talabani, yang menjadi patung boneka Bush dan konco-konconya. Di bawah Amerika, nyawa rakyat Iraq mendapat diskaun 100%. Tahun ini, statistik kematian akibat kacau-bilau di sana ialah 100 orang setiap hari - sebulan 3,000 nyawa.

    Digantung Leher

    Keputusan perbicaraan kes jenayah kemanusiaan ke atas Saddam sudah pun diputuskan pada 5 November 2006 - beliau akan mati di tali gantung. Para penganalisis politik dunia berpendapat bahawa tarikh 5 November itu sudah dirancang awal-awal lagi oleh pentadbiran Rumah Putih. Konon-kononnya, dengan menjatuhkan hukuman pada tarikh tersebut, iaitu dua hari sebelum pilihanraya pertengahan penggal Amerika, Bush menyangka Parti Republikan boleh meraih undi yang lebih besar dari rakyat Amerika. Tetapi Bush telah tersalah membuat pergerakan pada bidak-bidak catur syaitannya.

    Dunia berbelah-bahagi terhadap keputusan mahkamah ke atas Saddam. Ada yang menyokong, dan ada yang menentang. Di Ireland, jurucakap kepada Kementerian Perhubungan Luar Negeri telah menegaskan bahawa Ireland dan Kesatuan Eropah (EU) sejak sekian lama lagi membantah sebarang hukuman bunuh ke atas Saddam.

    Saya juga menentang hukuman mahkamah tersebut - tetapi bukan kerana saya menyokong Saddam. Puak Syiah, Kurdish dan warga Kuwait serta Iran mungkin ramai yang bergembira. Gembira mereka itu bersebab. Bagi saya Saddam Hussein itu tidak ada bezanya dengan Slobodan Milosevic yang telah mencetuskan peperangan etnik di Kosovo, Bosnia, Croatia dan Slovenia. Saddam juga mirip kepada Ariel Sharon yang cuba menghapuskan penduduk Palestin. Apa yang berbeza di sini adalah agama yang dianuti oleh ketiga-tiga pemerintah zalim ini, dan juga bagaimana Barat memandang konsep zalim secara umumnya. Ariel Sharon dipandang wira oleh Amerika kerana usaha beliau menghapuskan 'pengganas' Palestin. Slobodan Milosevic pula mati tanpa sempat dijatuhkan hukuman. Jika Barat memusuhi Milosevic kerana fahaman komunis yang dianutinya, tetapi Saddam dimusuhi bukan kerana Islamiknya beliau - ia lebih kepada faktor minyak yang sentiasa menjadi kayu ukur kestabilan politik dan ekonomi dunia moden.

    Barat nampaknya tidak begitu takut dengan Islamnya orang-orang Arab. Orang-orang Arab tidak punya kejantanan dari aspek kesatuan. Barat hanya akan bergundah-gulana apabila gagal menguasai ladang ternakan minyak di negara-negara Arab. Hukuman mati ke atas Saddam pula adalah simbol kebobrokan sistem perundangan Amerika. Memang benar Saddam wajar dihukum dek kerana jenayah kemanusiaan beliau, tetapi siapa pula yang mahu menghukum rejim Zionis Israel? Dan siapa pula yang mahu menghukum Bush yang jauh lebih zalim jika Amerika dipandang sebagai 'Tuhan' yang menguatkuasakan undang-undang? Kemurkaan Amerika sudah menjadi taboo kepada dunia.

    Saddam tidak dilayan dengan cara yang adil. Chandra Muzaffar juga berpendapat bahawa perbicaraan kes Saddam telah melanggar banyak norma-norma perundangan dan kehakiman antarabangsa. Jadi, di manakah tersoroknya konsep hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh Barat ini, secara khususnya Amerika? Golongan Islam Liberal yang sibuk mengagung-agungkan konsep hak asasi manusia terjemahan Barat patut melakukan muhasabah diri.

    Apa yang pasti, kematian Saddam di tali gantung tidak akan dapat merungkai kekusutan dan ketegangan dunia hari ini walaupun seinci. Ia akan sekadar menambahkan lagi bara yang mengaktifkan rangkaian pengganas antarabangsa yang sewenang-wenangnya menggunakan label Islam sebagai kunci untuk menghalalkan cara.

    Dan Pemenangnya..

    Dalam kes ini, Saddam sudah kalah. Amerika memenanginya dengan cara kotor, cara lelaki pondan dan mak nyah. Kemenangan Amerika ini juga bermaksud kemenangan golongan Kafir Harbi ke atas kita selaku umat Islam. Jadi, mengapa kita mahu bersyukur dan bergembira apabila Saddam akan dijerut lehernya?

    Secara zahir, Amerika menjadi johan permainan Command & Conquer di Iraq. Harus diingat bahawa tiada naib juara di sini - hanya ada satu pemenang sahaja. Tetapi sejarah akan sentiasa menjadi saksi dan bukti kedangkalan spesis Homo Sapiens yang memiliki 98% kesamaan DNA dengan chimpanzee ini. Allah telah pun memuliakan manusia dengan petunjuk Al-Quran dan Sunnah. Jika kehidupan manusia didirikan dengan panduan yang mulia itu, maka layaklah kita digelar manusia. Jika tidak, jangan kita menyalahkan monyet di hutan jika satu hari nanti bumi menjadi seperti mana yang berlaku dalam cerita sains fiksyen Planet of the Apes.

    Tiada satu pun rejim zalim yang akan kekal selamanya. Rejim Serbia di bawah Milosevic juga sudah berkubur. Akibatnya Serbia menjadi sebuah negara pariah yang sedang mengalami kejatuhan ekonomi di tahap yang kritikal. Rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot di Vietnam juga sudah hanya tinggal kenangan. Rejim yang zalim akan sentiasa ditumbangkan - sama ada dengan cara yang adil atau dengan cara yang zalim juga. Jika caranya adil, maka ia satu rahmat dari Allah. Jika caranya zalim, maka sepak terajang dalam putaran jatuh-menjatuhkan itu akan berulang sekali lagi. Percayalah, rejim Bush dan rejim Zionis akan musnah juga satu hari nanti. Kita hanya perlu menunggu, berusaha dan berdoa, kerana masa akan menjadi pembolehubah kepada sunatullah alam ini.

    Saddam akan menjadi lagenda dunia abad ini. Para penyokongnya akan menangis dengan pemergian beliau. Musuh-musuh beliau pula akan ketawa terbahak-bahak. Menangis atau ketawa, itu semua adalah simbolik dan refleksi kepada kejahilan manusia dalam memahami erti semangat kemanusiaan sejagat. Para pemimpin Islam sepatutnya belajar dari kejatuhan Saddam - jangan sekali-kali menggunakan Islam untuk kepentingan diri dan kerajaan. Rakyat pula jangan terlalu asyik mengatakan kerajaan zalim, kerajaan tidak Islamik, sehingga kita lupa untuk bermuhasabah diri. Kita bertempik "Kerajaan hampeh, Kerajaan Yahudi, Kerajaan tidak mengamalkan hukum-hakam Islam", tetapi dalam masa yang sama, kita sendiri lupa untuk mengaplikasikan Al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan seharian kita. Kita hanya membaca dan memahami Al-Quran untuk diaplikasikan kepada pihak lain. Adakah ini logik dan rasional?

    Martin Luther King Jr, seorang aktivis kulit hitam yang terkenal mengatakan bahawa jika seseorang itu ingin menentang sebarang kezaliman, maka dia perlu melalui empat peringkat. Peringkat pertama, seseorang itu mestilah betul-betul pasti bahawa kezaliman telah pun berlaku. Dalam kes beliau, telah berlaku kezaliman terhadap warga kulit hitam di Amerika. Peringkat kedua pula adalah berunding, iaitu pergi berjumpa dengan si pembuat zalim tersebut, dan minta supaya keadilan ditegakkan. Jika rundingan itu tidak berhasil, maka barulah beralih ke peringkat yang ketiga.

    Peringkat ketiga ini dinamakan muhasabah diri. Tanya pada diri sendiri: "Adakah aku sendiri melakukan kesalahan? Adakah aku sendiri melakukan kezaliman?" Peringkat keempat pula adalah bertindak menghapuskan kezaliman yang wujud, hanya setelah kita melakukan muhasabah diri yang benar-benar ikhlas dan jujur. Setelah membuang segala kezaliman yang ada pada diri kita, maka barulah kita menentang seseorang yang melakukan kezaliman.

    Hayatilah firman Allah di dalam Surah al-An'aam, ayat 129, yang bermaksud: "Dan Kami letakkan sebahagian penzalim itu ke atas penzalim yang lain, kesan daripada apa yang dilakukan oleh tangan-tangan mereka sendiri". Menurut Fakhruddin al-Razi, iaitu seorang ulama Al-Quran abad ke-12, ayat ini bermaksud bahawa kezaliman yang wujud di atas muka bumi ini mungkin disebabkan kezaliman yang berlaku sebelumnya. Dengan kata lain, acapkali mangsa-mangsa kezaliman itu dahulunya juga sering melakukan kezaliman ke atas orang lain.

    Namun demikian, bak kata Sheikh Hamza Yusuf, ada juga keadaan yang mana kezaliman yang wujud itu sebenarnya adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah ke atas para hamba-Nya. Jika mereka tabah dan sabar, maka Allah akan menganugerahkan nikmat dan kejayaan kepada mereka. Apa yang penting di sini, sebelum kita mengondem orang lain sebagai zalim, jangan pula kita lupa untuk menyemak diri sendiri.

    Sebagai penutup, mari kita sama-sama berdoa semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Saddam, semoga beliau bertaubat nasuha, dan semoga tiada lagi Saddam Kedua, Ketiga, Keempat dan yang seterusnya, yang akan wujud dari kalangan orang-orang Islam. Selamat tinggal Saddam Hussein. Legasi tinggalanmu akan aku kenang untuk dijadikan iktibar kepada kehidupanku.

    Sekian adanya.

    Pautan Berkaitan

    - Timeline: Iraq after Saddam
    - The Stolen Dream of Iraqi Freedom
    - Baghdad bakers and barbers at risk

    ---

    Jalan-Jalan

    1.Moez Masoud | Terima kasih kepada Ruqi untuk laman web ini.
    2. Siri Kembara Sufi Sub Sahara oleh Kaki Bangku. Episod 1 | Episod 2
    3. Matawang dinar Iraq semasa era pemerintahan Saddam dan selepas beliau dijatuhkan. Saya scan dari National Geographic, edisi bulan April 2006:



    4. What do you think about this article?
    While Malaysia fiddles, its opportunities are running dry
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Lawatan Sheikh Abdul Hakim Murad

    15 November 2006 • 22 Komen
    shaykh abdul hakim murad
    Gambar ihsan Guidance Media.


    Adalah sangat jarang apabila Ireland dikunjungi secara rasmi oleh para ulama tradisional dari UK. Buat julung-julung kalinya (setakat pengetahuan saya), Sheikh Abdul Hakim Murad akan melawat Dublin. Beliau akan menyampaikan ceramah di Trinity College Dublin. Tetapi tidaklah pula saya tahu apa tajuk dan isi ceramah yang bakal disampaikan oleh beliau yang merupakan seorang British convert ini. Saya pun sekadar diberitahu melalui SMS.

    Tetapi secara umumnya ceramah yang diberikan beliau amatlah membuka mata, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan muamalat antara dunia Barat dan Islam.

    Ini maklumat ringkas ceramah tersebut:
    Tarikh: Sabtu, 18 November 2005.
    Masa: 5.00 - 7.00 malam.
    Lokasi: Walton Theatre, Arts Building, Trinity College.

    Jadi sesiapa yang duduk di Dublin dan mempunyai kelapangan, bolehlah datang ceramah tersebut. Moga-moga bermanfaat untuk kita semua.

    Pautan berkaitan: Biodata Sheikh Abdul Hakim Murad dan koleksi tulisannya.

    Dan video di bawah ini pula terdapat temubual bersama beliau dalam dokumentari The Qasida Burda of Al-Busiri. Semoga Allah merahmati Sheikh Abdul Hakim Murad dan umat Islam yang berusaha mendapatkan redha dan takwa-Nya.

    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Allah Tidak Berada di Langit

    10 November 2006 • 24 Komen
    Jika tidak faham hujung pangkal topik yang saya tulis ini, saya nasihatkan agar tidak meneruskan pembacaan.

    "Di mana Allah berada?" Soalan ini cukup kontroversi dan ia menjadi antara titik perbezaan akidah ahlus sunnah wal jamaah dan Wahhabi. Kadang-kadang ada yang bertanya kepada saya soalan ini. Dan setiap kali itu juga saya enggan menjawab. Sebab pertama, soalan itu cukup kontroversi, dan yang kedua kerana ini melibatkan akidah - kalau silap jawab boleh kufur.

    Oleh itu, saya sekadar mahu memberitahu secara ringkas apa yang saya pernah belajar dan di samping menggunakan artikel sokongan oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller. Saya hanya mahu membawa sebuah hadith yang sering digunakan oleh mereka yang percaya bahawa Allah berada di langit secara literal. Dalam hadith tersebut diceritakan bahawa terdapat seorang budak perempuan yang merupakan hamba kepada Muawiya bin al-Hakam. Hamba perempuan ini akan dimerdekakan jika dia benar-benar sudah memeluk Islam. Dan dia dibawa berjumpa Rasullah sallahu alayhi wassalam.

    Rasullah bertanya kepadanya: "Di mana Allah?" dan budak perempuan itu menjawab "Di langit (fi al-sama')". Baginda bertanya lagi: "Siapa aku?" dan dia menjawab "Engkau adalah seorang Utusan Allah". Sejurus Baginda berkata lagi: "Merdekakan dia kerana sesungguhnya dia sudah beriman." Hadith ini sahih tarafnya dan ia terdapat di dalam Sahih Muslim, Muwatta Imam Malik dan juga beberapa kitab-kitab sunan hadith yang lain.

    Hadith ini sekilas pandang memang menunjukkan Allah itu berada di langit. Namun demikian, adalah haram untuk mempercayai sedemikian kerana Allah itu sifatnya tidak memenuhi tempat dan ruang. Jika Allah di langit, maka Allah sudah menempati ruang. Apabila kita berdoa sambil menadahkan tangan ke langit bukan bermaksud kerana Allah itu di langit, tetapi kerana langit itu adalah kiblat kepada doa, seperti mana Kaabah menjadi kiblat dalam solat.

    Merujuk kepada hadith di atas, kita tidak boleh sewenang-wenangnya meriwayatkan hadith tersebut tanpa memberitahu apakah syarah para ulama yang dipercayai kewibawannya. Saya menasihatkan agar kita semua lebih berhati-hati apabila membicarakan ilmu Islam, lebih-lebih lagi jika kita ini orang awam, dan subjek yang diperbincangkan itu pula sangat kontroversi. Jika tidak tahu lebih baik diam, kerana diam itu juga ilmu.

    Dalam hadith yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah, seperti mana hadith di atas, para ulama terbahagi kepada dua kedudukan. Pertama adalah dengan beriman kepada sifat Allah tersebut tanpa membincangkan apakah maksud sifat Allah itu, dan pada masa yang sama beriktikad bahawa tiada satu pun yang menyerupai Allah (rujuk Surah As-Shura, ayat 11).

    Kedua pula adalah dengan menghuraikannya secara metafora, dengan cara yang bertepatan dengan sifat-sifat Allah yang telah dipersetujui. Ulama yang mengambil pandangan kedua ini berhujah bahawa hadith itu adalah bertujuan untuk menguji keimanan budak perempuan tersebut: Adakah dia sudah benar-benar bukan lagi seorang Musyrikin, dan beriktikad bahawa yang Maha Pencipta, yang Maha Pemusnah, yang Maha Perancang, adalah Allah sahaja, dan Dia sahajalah yang dipanggil apabila seseorang itu berdoa menadah ke langit. ATAU adakah si budak perempuan ini masih lagi menjadi seorang penyembah berhala yang mana ia diletakkan di hadapannya apabila ia disembah? Jadi apabila budak perempuan ini menjawab fi al-sama', maka sudah jelaslah bahawa dia bukan lagi seorang penyembah berhala. (Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi. 18 jilid. Cairo 1349/1930. Cetakan semula (18 jilid dijadikan 9). Beirut: Dar al-Fikr, 1401/1981, 5.24).

    Cukuplah sekadar itu sahaja. Saya bukanlah autoriti untuk menerangkan perkara ini sebaik mungkin. Artikel oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller itu boleh dibaca di sini [baca]. Kalau tak larat nak baca artikel itu sampai habis, baca kesimpulan artikel itu juga sudah cukup untuk memberikan kita gambaran jelas dan ringkas tentang isu. Jika tidak berpuas hati dengan penghuraian serba tuntas saya ini, maka tolong jangan jidal dengan saya. Pergi jidal dengan Sheikh Nuh atau mana-mana Sheikh yang berkemampuan untuk menerangkannya.

    Hanya satu sahaja yang saya mahu ingatkan kepada kita semua. Jangan fikir apabila kita sudah selak Al-Quran hari-hari, faham pula maksudnya, dan sentiasa baca kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan sebagainya, maka kita sudah sampai tahap untuk membidas kesimpulan para ulama yang alim lagi warak. Pernah saya membaca tulisan seorang hamba Allah yang mempertikaikan mengapa perlu mengikut syarat-syarat ijtihad yang digariskan oleh para ulama, bukankah kita hanya perlu mengikut Al-Quran dan sunnah Rasullah sahaja.

    Angkuh sungguh beliau. Apakah dia tidak terfikir bahawa syarat-syarat ijtihad yang dikemukakan itu adalah kesimpulan daripada kefahaman para ulama terhadap Al-Quran dan sunnah? Semoga Allah memberikan petunjuk kepadanya, dan kepada kita semua. Amin.

    Dan saya tidak akan lagi buka topik "Di Manakah Allah" kerana subjek ini sudah pun para ulama kita bahaskan sampai lumat. Kes sudah settle, maka tidak perlu buat onar. Jika atap rumah tidak bocor, maka jangan mengada-ngada mahu tampal. Case closed!

    Allahumma solli 'ala Muhammad, wa 'ala aali Muhammad.

    Baca Juga

    1) Kesinambungan artikel ini oleh Faqirdehilir.
    2) Di Mana Allah oleh Abu Muhammad.
    3) Haul Imam al-Haddad oleh Abu Muhammad.
    4) Hadith Jariah - Imam Muslim oleh Abu Muhammad.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Syukur & Mari Beli Buku

    02 November 2006 • 15 Komen


    Kita susah atau senang, kita kaya atau miskin, kita comel atau hodoh, kita ada istana atau rumah setinggan, maka itu semua adalah ujian dari Allah dan ada hikmah di sebaliknya. Syukur itu wajib. Syukur itu segalanya!

    Membeli dan Membelah Buku

    Saya jenis manusia yang beli buku setahun sekali (tapi tak tentu juga). Sekarang sudah tiba masanya untuk saya membeli buku bagi tahun 2007. Kali ini saya memilih WAO Books [lawat]. Dan ini 6 buah buku yang sangat saya kepingin untuk miliki:


    1) The Lives of Man oleh Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad [lihat]

    Keterangan:
    Mengisahkan tentang lima fasa perjalanan hidup manusia dari alam roh, alam dunia, alam kubur, alam Kebangkitan, dan alam Akhirat (sama ada Syurga atau Neraka). Pembaca dapat mendalami perkara-perkara yang akan berlaku sesudah kita mati, siapakah Munkar dan Nakir, bagaimana rupa Syurga dan Neraka, dan pelbagai lagi.

    Harga: 4.95 Pound
    Amazon rating:
    based on 1 review. [read]




    2) Sufi Sage of Arabia oleh Mostafa al-Badawi [lihat]

    Keterangan:
    Antara biografi terbaik yang menceritakan kisah hidup Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad (wafat 1720). Beliau yang dilahirkan di Hadhramaut, iaitu sebuah kawasan di Yaman, adalah seorang ahlul bait Rasulullah sallahu alayhi wassalam. Beliau dikenali sebagai tokoh tajdid abad ke-12 Islam. Buku ini ditulis oleh Mostafa al-Badawi yang merupakan anak murid Habib Ahmad Mashur al-Haddad, yang datang dari darah-daging keturunan Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad sendiri.

    Harga: 12.99 Pound
    Amazon rating: unrated [read]




    3) Al-Ghazali's Path to Sufism oleh Imam al-Ghazali [lihat]

    Keterangan:
    Buku ini pula menceritakan perjalanan Imam al-Ghazali (1058-1111) dalam mencari hakikat 'ilmu ikhlas'. Isi buku ini sebenarnya dicedok dari terjemahan al-Munqidh min al-Dalal oleh Imam al-Ghazali. Di dalam kitab tersebut, Imam al-Ghazali bersyarah bagaimana beliau mengalami krisis spiritual sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai salah seorang guru terkemuka di Akademi Nizamiyyah, Baghdad.

    Harga: 9.99 Pound
    Amazon rating: unrated [read]




    4) Fiqh al-Imam oleh Abdur-rahman ibn Yusuf [lihat]

    Keterangan:
    Kitab ini menghuraikan dalil-dalil dalam mazhab Hanafi tentang sifat solat Nabi yang selalu dipersoalkan oleh sesetengah golongan (semestinya Wahhabi). Selain itu, ia turut mengupas isu taklid dalam mazhab. Beberapa dekad mutakhir ini, ada golongan (semestinya Wahhabi) yang menyerang konsep taklid. Ada yang hingga mensyirikkan mereka yang bermazhab. Buku ini dapat menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh golongan tersebut.

    Harga: 6.99 Pound
    Amazon rating: based on 1 review. [read]




    5) The Differences of the Imams oleh Muhammad Zakariyya Kandhlawi [lihat]

    Keterangan:
    Jika keempat-empat Imam dari 4 mazhab muktabar mengeluarkan hukum dari sumber yang sama, iaitu Al-Quran dan Sunnah, maka mengapa pula sesetengah hukum itu boleh berbeza? Bagaimana dua hadith sahih kelihatan saling bertentangan? Pada situasi bagaimanakah khilaf itu dibenarkan? Dan apa yang Rasullullah maksudkan dalam hadithnya "Perbezaan di antara umatku adalah satu rahmat?" Jika persoalan ini menghantui anda, maka kitab ini ubatnya.

    Harga: 3.75 Pound
    Amazon rating: based on 1 review. [read]



    6) Evolution Theory and Islam oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller [lihat]

    Keterangan:
    Buku setebal 14 halaman ini adalah jawapan kepada satu surat yang diutuskan oleh Suleman Ali, seorang ahli biologi Muslim yang bertanyakan hukum umat Islam yang mempercayai Teori Evolusi Darwin.

    Harga: 1.00 Pound
    Amazon rating: Unrated [read]






    Cuma satu sahaja masalah saya. Bila saya kira-kira semula, jumlah harga bagi 6 buah buku ini ialah 39.67 Pound atau dalam 60 euro. Ini tak termasuk harga shipping. Dan buku no 1, 3 dan 5 sold-out. Shipping cost bagi buku no 2, 4, dan 6 adalah dalam 6.46 Pound. Jadi shipping cost bagi semua buku saya anggarkan dalam 12 Pound.

    Oleh itu saya memohon jasa baik sesiapa yang tinggal di UK (sebab free shipping to UK only) yang akan datang ke Dublin dalam tahun 2006 atau awal tahun 2007, untuk meminjamkan alamat UK. Saya beli pakai kad kredit saya, tetapi shipping ke alamat UK. Bila mahu datang ke Dublin, bawa kesemua buku-buku itu. Kalau sudi membantu saya, silalah tinggalkan komen atau hubungi saya melalui e-mel. Harap-harap ada yang mahu menolong.

    PS: 12 pound boleh makan tiga kali kebab kat Kebabish tu..hehe.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »