Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label akidah. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label akidah. Papar semua catatan

    Allah Tidak Berada di Langit

    10 November 2006 • 24 Komen
    Jika tidak faham hujung pangkal topik yang saya tulis ini, saya nasihatkan agar tidak meneruskan pembacaan.

    "Di mana Allah berada?" Soalan ini cukup kontroversi dan ia menjadi antara titik perbezaan akidah ahlus sunnah wal jamaah dan Wahhabi. Kadang-kadang ada yang bertanya kepada saya soalan ini. Dan setiap kali itu juga saya enggan menjawab. Sebab pertama, soalan itu cukup kontroversi, dan yang kedua kerana ini melibatkan akidah - kalau silap jawab boleh kufur.

    Oleh itu, saya sekadar mahu memberitahu secara ringkas apa yang saya pernah belajar dan di samping menggunakan artikel sokongan oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller. Saya hanya mahu membawa sebuah hadith yang sering digunakan oleh mereka yang percaya bahawa Allah berada di langit secara literal. Dalam hadith tersebut diceritakan bahawa terdapat seorang budak perempuan yang merupakan hamba kepada Muawiya bin al-Hakam. Hamba perempuan ini akan dimerdekakan jika dia benar-benar sudah memeluk Islam. Dan dia dibawa berjumpa Rasullah sallahu alayhi wassalam.

    Rasullah bertanya kepadanya: "Di mana Allah?" dan budak perempuan itu menjawab "Di langit (fi al-sama')". Baginda bertanya lagi: "Siapa aku?" dan dia menjawab "Engkau adalah seorang Utusan Allah". Sejurus Baginda berkata lagi: "Merdekakan dia kerana sesungguhnya dia sudah beriman." Hadith ini sahih tarafnya dan ia terdapat di dalam Sahih Muslim, Muwatta Imam Malik dan juga beberapa kitab-kitab sunan hadith yang lain.

    Hadith ini sekilas pandang memang menunjukkan Allah itu berada di langit. Namun demikian, adalah haram untuk mempercayai sedemikian kerana Allah itu sifatnya tidak memenuhi tempat dan ruang. Jika Allah di langit, maka Allah sudah menempati ruang. Apabila kita berdoa sambil menadahkan tangan ke langit bukan bermaksud kerana Allah itu di langit, tetapi kerana langit itu adalah kiblat kepada doa, seperti mana Kaabah menjadi kiblat dalam solat.

    Merujuk kepada hadith di atas, kita tidak boleh sewenang-wenangnya meriwayatkan hadith tersebut tanpa memberitahu apakah syarah para ulama yang dipercayai kewibawannya. Saya menasihatkan agar kita semua lebih berhati-hati apabila membicarakan ilmu Islam, lebih-lebih lagi jika kita ini orang awam, dan subjek yang diperbincangkan itu pula sangat kontroversi. Jika tidak tahu lebih baik diam, kerana diam itu juga ilmu.

    Dalam hadith yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah, seperti mana hadith di atas, para ulama terbahagi kepada dua kedudukan. Pertama adalah dengan beriman kepada sifat Allah tersebut tanpa membincangkan apakah maksud sifat Allah itu, dan pada masa yang sama beriktikad bahawa tiada satu pun yang menyerupai Allah (rujuk Surah As-Shura, ayat 11).

    Kedua pula adalah dengan menghuraikannya secara metafora, dengan cara yang bertepatan dengan sifat-sifat Allah yang telah dipersetujui. Ulama yang mengambil pandangan kedua ini berhujah bahawa hadith itu adalah bertujuan untuk menguji keimanan budak perempuan tersebut: Adakah dia sudah benar-benar bukan lagi seorang Musyrikin, dan beriktikad bahawa yang Maha Pencipta, yang Maha Pemusnah, yang Maha Perancang, adalah Allah sahaja, dan Dia sahajalah yang dipanggil apabila seseorang itu berdoa menadah ke langit. ATAU adakah si budak perempuan ini masih lagi menjadi seorang penyembah berhala yang mana ia diletakkan di hadapannya apabila ia disembah? Jadi apabila budak perempuan ini menjawab fi al-sama', maka sudah jelaslah bahawa dia bukan lagi seorang penyembah berhala. (Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi. 18 jilid. Cairo 1349/1930. Cetakan semula (18 jilid dijadikan 9). Beirut: Dar al-Fikr, 1401/1981, 5.24).

    Cukuplah sekadar itu sahaja. Saya bukanlah autoriti untuk menerangkan perkara ini sebaik mungkin. Artikel oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller itu boleh dibaca di sini [baca]. Kalau tak larat nak baca artikel itu sampai habis, baca kesimpulan artikel itu juga sudah cukup untuk memberikan kita gambaran jelas dan ringkas tentang isu. Jika tidak berpuas hati dengan penghuraian serba tuntas saya ini, maka tolong jangan jidal dengan saya. Pergi jidal dengan Sheikh Nuh atau mana-mana Sheikh yang berkemampuan untuk menerangkannya.

    Hanya satu sahaja yang saya mahu ingatkan kepada kita semua. Jangan fikir apabila kita sudah selak Al-Quran hari-hari, faham pula maksudnya, dan sentiasa baca kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan sebagainya, maka kita sudah sampai tahap untuk membidas kesimpulan para ulama yang alim lagi warak. Pernah saya membaca tulisan seorang hamba Allah yang mempertikaikan mengapa perlu mengikut syarat-syarat ijtihad yang digariskan oleh para ulama, bukankah kita hanya perlu mengikut Al-Quran dan sunnah Rasullah sahaja.

    Angkuh sungguh beliau. Apakah dia tidak terfikir bahawa syarat-syarat ijtihad yang dikemukakan itu adalah kesimpulan daripada kefahaman para ulama terhadap Al-Quran dan sunnah? Semoga Allah memberikan petunjuk kepadanya, dan kepada kita semua. Amin.

    Dan saya tidak akan lagi buka topik "Di Manakah Allah" kerana subjek ini sudah pun para ulama kita bahaskan sampai lumat. Kes sudah settle, maka tidak perlu buat onar. Jika atap rumah tidak bocor, maka jangan mengada-ngada mahu tampal. Case closed!

    Allahumma solli 'ala Muhammad, wa 'ala aali Muhammad.

    Baca Juga

    1) Kesinambungan artikel ini oleh Faqirdehilir.
    2) Di Mana Allah oleh Abu Muhammad.
    3) Haul Imam al-Haddad oleh Abu Muhammad.
    4) Hadith Jariah - Imam Muslim oleh Abu Muhammad.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »