Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Portal Astora Jabat

    25 Mac 2006 • 37 Komen
    Sudah beberapa purnama saya tidak menjenguk Portal Astora Jabat. Tapi hari ini saya telah melawatnya. Bila dah lawat, terasa ingin berkongsi sesuatu pula - walaupun saya tidak berniat untuk update blog ini dalam masa terdekat.

    Saya petik beberapa komen dari ahli-ahli forum di sana:
    1- Saya tidak meyakini hadis tetapi saya tetap yakin Nabi Muhamad saw itu seorang rasul Allah. Saya sentiasa cuba memahami sunnah baginda saw dan saya tidak ada masalah menerimanya. Bagi saya hadis dan sunnah adalah dua perkara yang berbeza, walaupun ASWJ telah memudahkan kedua-dua menjadi satu.

    2-
    Hi poyang, quran terpelihara, hadis tidak. so jika anybody quote from quran, tentulah boleh dipercayai. kalau from hadis susahlah sebab yang mengumpulnya bukan maksum. if human is not perfect, tentu kesilapan boleh berlaku. yg pentingnya ialah ensure that hadis itu selari dgn quran, jangan menyeleweng dari the spirit of quran.

    3-
    sori bro neutral, saya bukan anti hadis. kalau saya anti hadis, Imam Bukhari pun anti hadis jugak lah. sebab dia pun banyak menapis hadis-hadis yang tak betul sebelum memuatkan dalam bukunya. Saya percaya Nabi Muhamad's role as an example. dan hadis yang sahih. tapi yang tak sahih tu banyak! jgn cepat melabelkan orang. hadis tentang melabelkan orang pun ada. tak baca?
    Saya ingin menulis panjang tentang hal ini. Malangnya masa tidak mengizinkan. Cukuplah buat masa ini bagi saya menyatakan bahawa golongan Islam Liberal (seperti Pakcik Astora Jabat) dan anti-hadith wajib kita tentang. Tolak apa-apa sahaja yang datang dari mereka. Tapi kalau apa yang mereka utarakan adalah sama seperti yang disepakati oleh para ulama ahlus sunnah wal-jamaah, maka kita harus terima. Kita mesti tolak yang batil dari mereka.

    Kita selaku ahlus sunnah wal jamaah wajib percaya pada Al-Quran dan hadith (bukan sekadar terima Al-Quran dan tolak hadith). Kita tidak memerlukan penilaian semula hadith, seperti mana yang dikokokkan oleh Kassim Ahmad, iaitu Bapa Anti-Hadith Malaya. Para ulama yang mengumpulkan hadith, dan kemudian membahagikan pula hadith-hadith tersebut kepada sahih, hasan, maudhuk, daif dan sebagainya, tidaklah melakukan satu kerja main-main. Mereka telah mencipta satu disiplin ilmu hadith yang sangat tinggi, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana bangsa pun sebelum itu.

    Sejak kurun ke-7 Islam lagi, para ulama ahlus sunnah wal jamaah telah bersepakat bahawa sesahih-sahih kitab selepas Al-Quran ialah kitab hadith sahih yang ditulis oleh Imam Bukhari dan Muslim. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnus Sholah dalam kitabnya Muqaddimah fi 'Ulumil Hadith. Ijmak ulama dalam hal ini juga tidak dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga. Tolonglah yakin dengan ijmak ulama. Siapalah kita ini kalau hendak dibandingkan dengan mereka yang sudah tentu lebih alim, warak, dan bertaqwa kepada Allah.

    Janganlah kita hendak menentang ijmak ulama dengan menyatakan: "Mereka juga manusia biasa. Boleh buat silap". Ya, mereka memang boleh buat silap. Tapi jangan lupa juga yang kita ini pun manusia yang boleh buat silap. Tapi ilmu kita tidak setinggi dan sehebat mereka. Dan ijmak itu pula dibuat melalui perbincangan dan muzakarah sesama mereka - ia bukan kesimpulan dari seorang ulama sahaja. Kita ini yang baca Al-Quran pun masih merangkak-rangkak, hadith pula sekadar baca versi terjemahan, kalau tahu bahasa Arab pula jenis Arab rojak dan bukan pula Arab fuhshah, maka janganlah nak jadi hero buat ijtihad untuk menentang pendapat majoriti. Jadi, janganlah kita menolak hadith. Hadith itu salah satu sumber perundangan Islam.

    Mengapa Ia Berlaku?


    Bagi saya, hal ini berlaku kerana semakin berleluasanya slogan yang menganjurkan umat Islam membuka semula pintu ijtihad. Mereka dakwa umat Islam makin jumud dan mundur kerana menutup pintu ijtihad.

    Inilah fitnah akhir zaman. Terlalu ramai sangat nak jadi imam mujtahid. Mujurlah tiada rancangan televisyen seperti Akademi Mujtahid atau pun Mujtahid Idol. Kalau tidak makin parah jadinya. Ketahuilah bahawa para ulama ahlus sunnah wal jamaah tidak pernah pun menutup pintu ijtihad. Pintu ijtihad dibuka setiap masa sehinggalah hari kiamat. Yang menjadi persoalan adalah siapa yang layak memasuki pintu tersebut. Bukan semua budak lepasan sekolah menengah boleh buat bidang perubatan. Hanya yang benar-benar layak sahaja boleh memasukinya. Kalau pun ada budak lepasan SPM yang buka klinik perubatan (iaitu menjadi doktor tidak bertauliah dan tanpa lesen), anda berani nak pergi jumpa dia?

    Begitu juga dengan ijtihad. Slogan yang menganjurkan keterbukaan ijtihad tidak boleh kita sebar-sebarkan kepada orang awam. Jadi saya minta tolong pada anda yang baca artikel ini supaya menerima pendapat ulama yang mewajibkan orang awam untuk bertaqlid. Jangan nak kata bertaqlid ini haram. Kita bertaqlid kepada mazhab maksudnya kita bertaqlid kepada ulama yang mahir dan berkebolehan untuk mengeluarkan fatwa.

    Kalau nak kata haram juga, maka anda janganlah marah pula kepada pakcik Astora Jabat kalau dia tak mahu bertaqlid kepada ijmak ulama yang mengatakan bahawa azab kubur itu wujud dan wajib diyakini oleh semua umat Islam. Dan janganlah pula nak melenting bila Astora Jabat berijtihad bahawa rambut wanita bukan aurat. Dan janganlah pula nak melatah bila Zainudin Idris menulis dalam majalah Al-Islam (iaitu majalah yang dikepalai oleh Astora Jabat), yang mana beliau berijtihad bahawa anggota yang wajib ditutup (aurat) hanyalah dua kemaluan sahaja (qubul dan dubur) sama ada lelaki atau perempuan.

    Jadi anda telah dapat lihat betapa bahayanya kalau kita menyeru orang awam dan juga orang yang cetek ilmu supaya tidak bertaqlid kepada mazhab, sebaliknya membuat ijtihad sendiri. Kesimpulan: Mari kita tentang fahaman Islam Liberal yang cuba diresapkan oleh Astora Jabat dan konco-konconya ke dalam masyarakat Malaysia khususnya.

    ---
    JALAN-JALAN:
    - Majalah Q-News. Laman web ini memang best sebab pelawat boleh baca back issue majalah Q-News (tapi tak semua ada). Majalah ini ada dijual di Malaysia. Tapi kena pandai-pandai cari. Saya pun tak pasti di mana ada jual. Ada sesiapa yang tahu?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Jantung Yang Suci

    21 Mac 2006 • 27 Komen
    Qalbu itu jantung atau hati? Dalam bahasa Inggeris, qalbu itu heart. Heart adalah organ badan yang mengepam darah ke seluruh badan. Dalam bahasa Malaysia dan Indonesia, qalbu diterjemahkan kepada hati (hepar). Hepar memainkan peranan penting dalam metabolisma karbohidrat, protein, dan lemak. Dalam bahasa Inggeris, hepar dipanggil liver (hepar juga adalah dari bahasa Inggeris). Dengan kata lain, heart tidak sama dengan liver (hepar). [1]

    Saya sudah lama menyedari tentang kekeliruan ini. Tapi tak begitu ambil pusing. Tapi setelah membaca buku Purification of the Heart oleh Sheikh Hamza Yusuf, saya rasa tertanya-tanya pula. Qalbu itu jantung atau hati? Buku Purification of the Heart merujuk qalbu sebagai jantung sama ada dari aspek anatomi mahu pun spritual. Sesiapa yang mahir bahasa Arab boleh berkongsi pandangan.

    Saya mengambil pandangan bahawa qalbu itu merujuk kepada organ jantung dari sudut anatomi dan spiritual. Apa pun sebagai untuk memudahkan, artikel saya akan tetap menggunakan perkataan hati. Pelik sangat pula rasa kalau nak bagi nasihat kepada orang dengan berkata seperti ini: Mat..kau jangan buat dosa selalu. Nanti jantung kau jadi kotor. Orang yang jantungnya kotor, doa susah nak makbul.

    Purification of the Heart [2]


    Buku ini adalah antara karya terlaris Sheikh Hamza Yusuf. Selalu out of stock. Saya beli buku ini secara online. Saya tidak pasti jika buku ini ada dijual di mana-mana kedai buku di Malaysia. Kalau ada sesiapa yang tahu, bolehlah berkongsi maklumat.

    Buku yang setebal 210 muka surat ini amat berbaloi untuk dibeli dan dibaca. Ia menyentuh segala penyakit-penyakit hati yang ada pada kita. Sebenarnya buku ini adalah berdasarkan siri-siri ceramah yang disampaikan sendiri oleh Sheikh Hamza Yusuf di California, yang kini ia telah pun dijadikan dalam bentuk audio CD.

    Buku ini merupakan terjemahan dan komentar beliau ke atas satu puisi terkenal bertajuk Matharat al-Qulub (secara literal bermaksud Penyucian Hati). Puisi ini ditulis oleh seorang ulama dan wali terbilang dari Mauritania yang bernama Imam Mawlud al-Ya'qoubi al-Musawi. Imam Mawlud bukanlah ulama sembarangan. Beliau menguasai semua ilmu-ilmu Islam, termasuklah ilmu tasawwuf yang menekankan penyucian hati.

    Sejarah

    Ada sejarah di sebalik peristiwa yang menyebabkan Imam Mawlud mengarang Matharat al-Qulub. Beliau menulis puisi tersebut kerana melihat banyak penyakit-penyakit hati yang wujud dalam masyarakat. Beliau melihat ramai orang yang belajar fiqh sehingga menjadi sangat mahir dan faqih. Tetapi pada masa yang sama, mereka ini lupa tentang keadaan hati sendiri. Mereka mengabaikan aspek spritual, lalu terbitlah penyakit-penyakit hati pada diri individu yang sangat mahir dalam agama (iaitu mahir dari sudut luaran semata-mata), tetapi mereka tidak menyedarinya. Mereka tidak sedar dalam hati mereka ada sifat ujub, tamak, riya', gila kuasa, panjang angan-angan dan sebagainya.

    Atas kesedaran itu, maka lahirlah puisi tersebut. Imam Mawlud menulis puisi tersebut dengan merujuk kepada kitab-kitab terdahulu, terutamanya kitab Ihya Ulumuddin oleh Imam al-Ghazali. Puisi tersebut bukan sekadar menyentuh penyakit-penyakit hati yang ada, malah turut memberikan simptom dan juga cara-cara untuk merawatnya.

    Acapkali Imam Mawlud memetik hadith Nabi Muhammad (sallahu 'alayhi wasalam): "Setiap amal adalah berdasarkan niat". Oleh itu setiap ibadah yang dilakukan akan dinilai oleh Allah berdasarkan niat di sebaliknya. Dan niat itu pula terbit dari hati. Maka hanya hati yang bersih dapat menghasilkan niat yang baik.

    Falsafah Imam Mawlud tentang hal ini mudah sahaja. Bagi beliau, penyucian hati adalah satu proses sepanjang hayat. Ilmu tasawwuf bukanlah satu ilmu yang hari ini kita belajar dan kita amalkan, kemudian dilupakan pula esok lusa. Ilmu tasawwuf adalah ilmu yang perlu dipelajari dan diamalkan selama mana nyawa dikandung badan. Oleh itu, buku Purification of the Heart adalah salah satu harta karun umat Islam zaman moden. Masalah yang berlaku pada zaman Imam Mawlud adalah masalah yang wujud pada setiap tempat dan masa.

    Maka, kesedaran umat Islam terhadap ilmu tasawwuf mesti dinyalakan - baik kepada seorang mufti atau orang awam, seorang ustaz atau pakcik jual roti canai. Lebih-lebih lagi pada zaman hari ini yang mana ada suara-suara sumbang yang menyatakan tasawwuf is something optional. You can choose not to learn it (Ilmu tasawwuf ini pilihan. Tak mahu belajar pun tak apa). Sesungguhnya itu adalah pendapat yang salah. Menurut Imam al-Ghazali, ilmu tasawwuf adalah fardu ain. Ilmu fardu ain wajib dipelajari oleh semua umat Islam.

    Mulakan langkah pertama anda hari ini dengan membaca buku yang agak ringan isi kandungannya ini. Kalau nak baca kitab Ihya Ulumuddin yang 40 jilid memang tak larat. Buku yang saya cadangkan ini memang bagus dan sangat sesuai dijadikan bahan bacaan masa lapang. Kalau nak rasa lebih berkesan, cari mana-mana sheikh atau guru yang mursyid. InsyaAllah kita sama-sama fikir dan risau tentang keadaan hati kita ini. Hanya hati yang bersih dan suci sahaja akan selamat pada Hari Kiamat. Semoga kita adalah sebahagian daripadanya. Amin.

    Nota Kaki

    [1] Sila tengok gambar jantung dan hati kalau nak lebih faham:
    - Jantung (heart), iaitu qalbu yang dirujuk dalam bahasa Inggeris
    - Hati (liver atau hepar), iaitu qalbu yang dirujuk dalam bahasa Malaysia. Organ A adalah hati.

    [2] Saya tidak mahir dan tiada pengalaman dalam membuat book review. Lagi pun masih tidak khatam lagi buku tersebut. Jadi, maafkan saya kalau ada kekurangan di sana-sini.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Language of Paradise

    16 Mac 2006 • 14 Komen
    Bahasa Arab dianggap bahasa yang tertua di dunia. Bahasa Arab diklasifikasikan sebagai bahasa 'Sematic' atau Sematic language kerana kata akar bahasa ini kebanyakannya terbina daripada 3 konsonan atau triliteral (3 huruf). Bahasa Sematic yang masih tinggal tidak banyak dan kebanyakannya tidak lagi dipertuturkan oleh mana-mana kaum di atas muka bumi ini. Yang masih wujud dan utuh mungkin bahasa moden Hebrew (itupun perkembangannya hanya selepas pembinaan negara haram Zionis), Amharic (yang merupakan dialek kaum-kaum peribumi di Ethiopia dan Iraq) serta bahasa Malta. Antara bahasa Sematic yang kaku perkembangannya termasuklah bahasa klasik Hebrew (Biblical Hebrew), Akkadian, Syriac dan bahasa asal Ethiopia.

    Sejak zaman Jahiliyyah lagi, bahasa Arab telah mencapai kelas tersendiri dan sangat dibanggakan oleh bangsa Arab. Individu yang paling fasih pertuturan dan bahasanya biasanya akan diangkat menjadi 'Sayyid' atau ketua kabilah. Golongan 'Syu'araa' atau penyair menempah kasta tersendiri dalam tangga sosial bangsa Arab. Bahkan syair-syair terbaik digantung di dinding Ka'abah sehingga terbitlah gelaran 'mu'allaqat' atau 'The Hanging Ode'. Antara yang menjuarai kesusasteraan Arab ketika itu termasuklah Zuhair, Labid, 'Antara dan Al-Harith.

    Baca seterusnya di blog Mugharrib...

    -------------------------
    SEGMEN PENDEK:
    Baru-baru ni saya demam agak teruk. Virus jenis baru menyerang agaknya. Budak rumah saya dah ramai yang kena. Jangkit-menjangkiti. Nak baik pula makan masa yang agak lama. Saya pun baru aje pulih. Sekarang ni badan masih rasa lemah. Bila demam ni, tiba-tiba dapat la ilham nak tulis artikel pendek tentang Selesema Burung. Sebelum saya stop, jom kita sama-sama mengenali satu lagi tokoh yang disegani dalam dunia Islam, iaitu Sheikh Muhammad Ya'qoubi.

    Secara ringkas, beliau ni masih hidup lagi. Berasal dari Syria. Keturunan Nabi dari sebelah Saidina Hasan. Keluarga beliau memang ramai yang jadi ulama terbilang. Umur baru 40 lebih. Muda lagi..tapi ilmu dan kewarakannya, Masya-Allah!! Saya harap dapat berjumpa dengan beliau satu hari nanti. Tapi malangnya, duduk di sini memang tidak begitu memungkinkan saya berjumpa beliau. Ada sesiapa yang pernah berjumpa beliau? Kalau yang pernah jumpa tu, mesti tahu betapa hebatnya beliau dari segi ilmu dan akhlak.

    Boleh baca profil beliau di sini. Atau pun mendengar ceramah dari beliau yang disampaikan bersama-sama Sheikh Hamza Yusuf - Advice To Seekers.
    "This is one of the miracles of my father that everyone can see. It was his du'ah for me, his blessing, and his company that opened the way for me to be where I am now." [Sheikh Muhammad Ya'qoubi]
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Lepak 1 - Boikot Produk Israel dan Amerika?

    07 Mac 2006 • 3 Komen
    Satu hari Abu dan Ali pergi Mid Valley. Tiba-tiba Abu haus nak minum. Maka dia pun beli lah air Coca-Cola. Bila Ali nampak kawan dia ni minum air Coca-Cola, maka terjadilah sedikit perbalahan:

    Ali: Eh, Abu. Kenapa kau minum air tu? Kau ni nak tolong Zionis kat Israel ke? Kau tau ke tak ijtihad Dr Yusuf Qardawi? Kan dia kata sedinar yang kita keluarkan untuk membeli barangan US dan Israel itu ibarat digunakan untuk membeli sebutir peluru bagi menembak saudara seIslam kita di Palestin?

    Abu yang jenis lurus bendul pun menjawab: Eh, tak haram ke kalau aku ikut fatwa dan ijtihad Dr Yusuf Qardawi?

    Ali dengan marah menjawab: Apasal haram pulak?? Kau ni dah kena sampuk jin Israel mana!? Dah pergi buang air Coca-Cola tu sekarang jugak!!

    Abu dengan kebingungan pula menjawab: Hari tu kau kata haram kalau taklid membabi buta pada ijtihad ulama. Haram kalau ikut aje pendapat seseorang ulama tu secara membuta-tuli. Kau kata masyarakat Islam hari ni dah makin jumud dan mundur sebab tau bertaqlid aje.

    Sekarang ni masalahnya aku setakat tau aje ijtihad Dr Yusuf Qardawi. Aku tak tahu apa-apa dalil dari Al-Quran dan Hadith yang digunakan. Aku tak tahu langsung bagaimana kesimpulan ijtihad beliau tu dilakukan. Maka kalau aku ikut pendapat kau tu, maknanya aku dah bertaqlid membabi buta.

    Ali yang kini dia pula kebingungan membalas: Err..

    ---

    Kalau tak faham sketsa ni, maka anda perlulah baca:
    - Taqlid Kepada Mazhab
    - Taqlid Kepada Mazhab II
    - Taqlid (blog Bahrus Shofa)
    - Taqlid - Pandangan Ulama I (blog Bahrus Shofa)
    - Taqlid - Pandangan Ulama II (blog Bahrus Shofa)

    - Imam Shah Waliullah on madhabs (SunniPath)
    - Shaykh Murabtal Haaj's Fatwa on Following One of the Four Accepted Madhhabs Translated by Hamza Yusuf Hanson (Mas'ud.co.uk)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Lepak - Mukadimah

    06 Mac 2006 • 37 Komen

    Menyingkap kebenaran Wahhabi.


    Blog ini jadi 'panas' apabila saya memutuskan untuk menulis artikel berkaitan Wahhabi. Pada bahagian Index: Wahabbi, saya membahagikan topik ini kepada 2 sahaja - tentang fitnah Wahhabi dan juga tentang kefahaman Islam Tradisional [1] yang kita warisi selama lebih 1000 tahun lamanya.

    Tetapi saya fikir 2 pembahagian itu tidak cukup untuk menyampaikan kepada orang ramai tentang aliran Wahhabi. Maka saya wujudkan satu lagi kolum yang dinamakan Lepak. Lepak akan memfokuskan kepada perbincangan Wahhabi dari aspek yang lebih santai dan lepak. Ini kerana saya tahu tidak semua pelawat blog ini mampu memahami penulisan saya jika ia ditulis dari sudut yang agak ilmiah. Lepak ingin membawa para pembaca berfikir sejenak tanpa menyakitkan kepala mahu pun otak.

    Menyentuh tentang dakwaan saya menyebarkan fitnah tentang Wahhabi, saya serahkan segalanya kepada Allah. Segala apa yang saya tulis tentang Wahhabi, tidak lain tidak bukan adalah dari kesimpulan dan kefahaman para ulama empat mazhab itu sendiri. Jika saya menyebarkan fitnah, maka tulisan para ulama itu juga adalah fitnah.

    Namun demikian, jangan kita lupa bahawa tulisan/kajian/risalah/kitab yang dihasilkan oleh para ulama agung lagi terbilang, baik dari Arab Saudi, Mesir, Syria, Yaman, Jordan, Morocco, India, Pakistan, Malaysia, Brunei, Indonesia, dan banyak lagi tempat, bagi membendung fahaman Wahhabi ini sudah ada begitu banyak. Hanya mereka yang ingin mencari kebenaran sahaja akan faham betapa teruknya fahaman Wahhabi ini - satu fahaman yang memecah-belah umat.

    Ingin saya tegaskan bahawa saya juga pernah terpengaruh dengan fahaman Wahhabi. Tetapi sekarang saya adalah Wahhabi yang insaf. Oleh itu, ada baiknya jika saya berkongsi kepada kawan-kawan, mahu pun pelawat yang datang ke blog saya ini, tentang fitnah Wahhabi yang harus kita bendung kalau mahu melihat umat ini lebih bersatu-padu.

    Oh ya, jika anda merupakan Wahhabi tegar, saya nasihatkan agar anda tidak mengunjungi lagi blog ini, takut-takut anda tersinggung. Blog ini hanya dikhususkan kepada mereka yang ingin mencari kebenaran, dan juga untuk mengelakkan dari lebih ramai orang terjebak dalam fahaman Wahhabi. Saya tidak ingin berdebat kerana para ulama sudah pun berdebat dan berbahas tentang isu ini selumat-lumatnya. Saya hanya ingin menyampaikan kesimpulan perdebatan tersebut.

    Kepada sahabat-sahabatku seperti Anak Alam, Al Joofree, Shafiq Ayman, Nailofar dan lain-lain, yang sentiasa memberikan pendapat yang bernas lagi bermanfaat tentang isu ini, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak. Mudah-mudahan blog ini akan dapat mempertemukan lebih ramai individu yang sentiasa mempertahankan warisan keilmuan kita yang berusia beratusan tahun.

    Jika anda bertanya kepada saya mengapa diwujudkan topik berkaitan Wahhabi dan tak ada topik lain kah untuk diperbincangkan, saya jawab: "Sebab saya tidak mahu umat Islam berpecah-belah."

    Nota Kaki

    [1] Ada orang kata zaman Nabi dulu mana ada istilah 'Islam Tradisional'. Ya memang betul tiada istilah tu. Istilah tersebut digunapakai oleh sesetengah ulama hari ini untuk membezakan Islam yang kita warisi selama beratus-ratus tahun, dengan fahaman Islam seperti Wahhabi dan La Mazhab.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Wahabbi 7 - Zaini Dahlan dan Bin Baz

    04 Mac 2006 • 34 Komen
    Ada orang kata: "Jangan kita nak pertikaikan keilmuan Sheikh Bin Baz. Kan dia tu bekas Mufti Besar Mekah. Takkan lah Mufti Besar Mekah jahil mana yang betul dan mana yang salah..mana yang hak dan mana yang batil."

    Siapakah Bin Baz ini? Seperti yang telah diceritakan sepintas lalu pada bab yang lepas, beliau adalah bekas Mufti Besar Mekah yang telah pun kembali ke rahmatullah pada tahun 1999. Nama penuhnya adalah Abdul Aziz bin Baz. Beliau adalah antara rujukan utama puak-puak Wahhabi. Dari segi kontemporari, beliau adalah rujukan nombor 2 selepas Sheikh Albani. Nama Bin Baz akan anda jumpai dengan mudah dalam hasil-hasil karya dan tulisan puak-puak Wahhabi. Begitu juga dengan nama Sheikh Albani. Jadi, kalau baca mana-mana tulisan yang ada memetik pandangan dan tulisan Sheikh Bin Baz, berhati-hatilah. Takut-takut termakan racun ideologi Wahhabi.

    Menyentuh tentang pertikaian pada perenggan pertama, ia sebenarnya adalah kata-kata hujah yang dangkal. Yang mempertikaikan keilmuan Bin Baz bukannya orang-orang awam, tetapi sudah ramai para ulama kontemporari yang mempertikaikannya. Jawatan Mufti Besar Mekah tidak memberikannya lesen untuk menjadikan padangannya betul dan sentiasa betul.

    Kalaulah jawatan itu yang dijadikan kayu ukur keilmuan, jadi mengapakah puak-puak Wahhabi ini tidak menerima, malah menolak kitab Fitnatul Wahhabiyyah yang dikarang oleh Sheikh Ahmad Bin Zaini Dahlan (biasa disebut sebagai Zaini Dahlan), yang juga merupakan bekas Mufti Besar Mekah? Sheikh Zaini Dahlan datang dari keturunan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani, maka beliau juga adalah dari susur-galur Rasulullah saw dari sebelah cucu Baginda, iaitu Saidina Hasan. Sheikh Zaini Dahlan menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1309 Hijrah.

    Sheikh Zaini Dahlan hidup pada zaman awal kebangkitan Wahhabi di Arab Saudi. Maka, dengan berbekalkan keilmuan yang dimiliki, beliau telah membongkarkan kejahatan dan fitnah Wahhabi. Tetapi puak Wahhabi kata beliau itu pembohong dan sengaja ingin memfitnah Muhammad Bin Abdul Wahab yang menjadi pengasas fahaman Wahhabi. Oleh sebab itulah, puak Wahhabi amat-amat memusuhi Sheikh Zaini Dahlan yang bermazhab Shafi'i. Ini kerana, kitab Fitnatul Wahhabiyyah telah menjadi senjata kuat yang menunjukkan betapa terpesong dan melampaunya fahaman Wahhabi itu.

    Kalau anda bertanya saya percaya yang mana, saya jawab, "Saya percaya kepada Sheikh Zaini Dahlan. Saya tak percaya Muhammad bin Abdul Wahab, mahu pun Bin Baz." Anda akan berjumpa hujah-hujah tipikal puak Wahhabi apabila anda memetik fakta-fakta dari kitab Fitnatul Wahhabiyyah. Hujah mereka: Sheikh Zaini Dahlan itu pembohong. Begitu juga dengan kitabnya.

    Janganlah kita terikut-ikut dengan fahaman Wahhabi yang memecah-belahkan umat ini dan tak habis-habis mengaku hanya mereka sahajalah yang betul. Puak Syiah juga menganggap diri mereka sahaja yang betul, manakala yang lain semuanya sesat. Kalau nak selamat, ikutlah apa yang telah kita praktik dan amalkan sejak lebih seribu tahun lamanya. Mari ikut pandangan dan iktikad majoriti. Katakan tidak pada Wahhabi, Syiah, La Madhab dan sebagainya. InsyaAllah akan bersambung lagi pada siri-siri lain bagi membongkarkan fitnah-fitnah Wahhabi.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Budaya Naik Minyak

    02 Mac 2006 • 19 Komen
    Sekarang ini ramai yang sedang naik minyak kerana harga minyak naik (dan akan naik lagi tahun ini?). Datuk Mohd Shafie Afdal yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna telah bersurah bahawa kerajaan tidak akan menaikkan lagi harga minyak sehingga akhir tahun ini. Alhamdulillah. Semoga kerajaan akan menunaikan janjinya.

    Walau apa pun alasan yang diberikan untuk mempertahankan kenaikan tersebut, tetapi saya tetap tak boleh menerima sama sekali alasan-alasan seperti: "Kalau dibandingkan harga minyak di UK, ia adalah RM 7 seliter".

    Lemah-gemalai mata ini apabila membaca alasan tersebut. Sekarang ini, harga runcit petrol di Malaysia adalah RM1.92 seliter. Di UK pula dalam lingkungan 1 Pound Sterling seliter (hampir RM 7). Memanglah kalau tukar kepada duit Malaysia, nampak sangatlah mahal harga minyak di UK. Seolah-olah kita akan tengok Tony Blair itu sedang memeras duit rakyat!

    Tapi, kita kena bandingkan purata gaji yang rakyat UK terima. Mereka terima gaji dalam pound sterling, bukan RM. Gaji purata rakyat Malaysia yang cukup-cukup makan mungkin dalam RM 1000. Gaji purata rakyat UK yang cukup-cukup makan pula mungkin dalam 1000 Pound Sterling. Nilai ini diletak berdasarkan pengalaman dan cerita-cerita kedai kopi dengan rakan-rakan saya - jadi ia tidak disandarkan kepada mana-mana statistik. Tapi begitulah angkanya lebih kurang.

    Bandingkan:
    Di UK, 1000 Pound boleh beli dalam 1000 liter minyak petrol.
    Di Malaysia RM 1000 hanya boleh beli dalam 500 liter minyak petrol.

    Dan saya juga hairan apakah Malaysia benar-benar menanggung kerugian dengan kesan kenaikan harga minyak dunia? Setahu saya, minyak Malaysia dieksport keluar. Jadi, negara kita juga akan dapat untung berlipat kali ganda. Negara kita negara penghasil!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »