Saya sudah lama menyedari tentang kekeliruan ini. Tapi tak begitu ambil pusing. Tapi setelah membaca buku Purification of the Heart oleh Sheikh Hamza Yusuf, saya rasa tertanya-tanya pula. Qalbu itu jantung atau hati? Buku Purification of the Heart merujuk qalbu sebagai jantung sama ada dari aspek anatomi mahu pun spritual. Sesiapa yang mahir bahasa Arab boleh berkongsi pandangan.
Saya mengambil pandangan bahawa qalbu itu merujuk kepada organ jantung dari sudut anatomi dan spiritual. Apa pun sebagai untuk memudahkan, artikel saya akan tetap menggunakan perkataan hati. Pelik sangat pula rasa kalau nak bagi nasihat kepada orang dengan berkata seperti ini: Mat..kau jangan buat dosa selalu. Nanti jantung kau jadi kotor. Orang yang jantungnya kotor, doa susah nak makbul.
Purification of the Heart [2]
Buku ini adalah antara karya terlaris Sheikh Hamza Yusuf. Selalu out of stock. Saya beli buku ini secara online. Saya tidak pasti jika buku ini ada dijual di mana-mana kedai buku di Malaysia. Kalau ada sesiapa yang tahu, bolehlah berkongsi maklumat.
Buku yang setebal 210 muka surat ini amat berbaloi untuk dibeli dan dibaca. Ia menyentuh segala penyakit-penyakit hati yang ada pada kita. Sebenarnya buku ini adalah berdasarkan siri-siri ceramah yang disampaikan sendiri oleh Sheikh Hamza Yusuf di California, yang kini ia telah pun dijadikan dalam bentuk audio CD.
Buku ini merupakan terjemahan dan komentar beliau ke atas satu puisi terkenal bertajuk Matharat al-Qulub (secara literal bermaksud Penyucian Hati). Puisi ini ditulis oleh seorang ulama dan wali terbilang dari Mauritania yang bernama Imam Mawlud al-Ya'qoubi al-Musawi. Imam Mawlud bukanlah ulama sembarangan. Beliau menguasai semua ilmu-ilmu Islam, termasuklah ilmu tasawwuf yang menekankan penyucian hati.
Sejarah
Ada sejarah di sebalik peristiwa yang menyebabkan Imam Mawlud mengarang Matharat al-Qulub. Beliau menulis puisi tersebut kerana melihat banyak penyakit-penyakit hati yang wujud dalam masyarakat. Beliau melihat ramai orang yang belajar fiqh sehingga menjadi sangat mahir dan faqih. Tetapi pada masa yang sama, mereka ini lupa tentang keadaan hati sendiri. Mereka mengabaikan aspek spritual, lalu terbitlah penyakit-penyakit hati pada diri individu yang sangat mahir dalam agama (iaitu mahir dari sudut luaran semata-mata), tetapi mereka tidak menyedarinya. Mereka tidak sedar dalam hati mereka ada sifat ujub, tamak, riya', gila kuasa, panjang angan-angan dan sebagainya.Atas kesedaran itu, maka lahirlah puisi tersebut. Imam Mawlud menulis puisi tersebut dengan merujuk kepada kitab-kitab terdahulu, terutamanya kitab Ihya Ulumuddin oleh Imam al-Ghazali. Puisi tersebut bukan sekadar menyentuh penyakit-penyakit hati yang ada, malah turut memberikan simptom dan juga cara-cara untuk merawatnya.
Acapkali Imam Mawlud memetik hadith Nabi Muhammad (sallahu 'alayhi wasalam): "Setiap amal adalah berdasarkan niat". Oleh itu setiap ibadah yang dilakukan akan dinilai oleh Allah berdasarkan niat di sebaliknya. Dan niat itu pula terbit dari hati. Maka hanya hati yang bersih dapat menghasilkan niat yang baik.
Falsafah Imam Mawlud tentang hal ini mudah sahaja. Bagi beliau, penyucian hati adalah satu proses sepanjang hayat. Ilmu tasawwuf bukanlah satu ilmu yang hari ini kita belajar dan kita amalkan, kemudian dilupakan pula esok lusa. Ilmu tasawwuf adalah ilmu yang perlu dipelajari dan diamalkan selama mana nyawa dikandung badan. Oleh itu, buku Purification of the Heart adalah salah satu harta karun umat Islam zaman moden. Masalah yang berlaku pada zaman Imam Mawlud adalah masalah yang wujud pada setiap tempat dan masa.
Maka, kesedaran umat Islam terhadap ilmu tasawwuf mesti dinyalakan - baik kepada seorang mufti atau orang awam, seorang ustaz atau pakcik jual roti canai. Lebih-lebih lagi pada zaman hari ini yang mana ada suara-suara sumbang yang menyatakan tasawwuf is something optional. You can choose not to learn it (Ilmu tasawwuf ini pilihan. Tak mahu belajar pun tak apa). Sesungguhnya itu adalah pendapat yang salah. Menurut Imam al-Ghazali, ilmu tasawwuf adalah fardu ain. Ilmu fardu ain wajib dipelajari oleh semua umat Islam.
Mulakan langkah pertama anda hari ini dengan membaca buku yang agak ringan isi kandungannya ini. Kalau nak baca kitab Ihya Ulumuddin yang 40 jilid memang tak larat. Buku yang saya cadangkan ini memang bagus dan sangat sesuai dijadikan bahan bacaan masa lapang. Kalau nak rasa lebih berkesan, cari mana-mana sheikh atau guru yang mursyid. InsyaAllah kita sama-sama fikir dan risau tentang keadaan hati kita ini. Hanya hati yang bersih dan suci sahaja akan selamat pada Hari Kiamat. Semoga kita adalah sebahagian daripadanya. Amin.
Nota Kaki
[1] Sila tengok gambar jantung dan hati kalau nak lebih faham:- Jantung (heart), iaitu qalbu yang dirujuk dalam bahasa Inggeris
- Hati (liver atau hepar), iaitu qalbu yang dirujuk dalam bahasa Malaysia. Organ A adalah hati.
[2] Saya tidak mahir dan tiada pengalaman dalam membuat book review. Lagi pun masih tidak khatam lagi buku tersebut. Jadi, maafkan saya kalau ada kekurangan di sana-sini. ¶ Teruskan membaca entri ini »