Untuk bercerita tentang sejarah sesebuah bandar bukanlah satu kerja yang mudah. Tetapi untuk memampatkan sejarah sesebuah bandar di dalam tulisan yang serba ringkas adalah satu kerja yang lebih memeritkan. Maka, saya saya rasa cukuplah kalau saya mempersembahkan sejarah Toledo dalam inti yang sangat mudah, ringkas dan senang difahami.
Toledo adalah sebuah bandar yang kaya dengan binaan bangunan-bangunan lama.
Toledo adalah sebuah bandar yang sangat tua. Ia sudah wujud sebelum zaman Roman lagi. Pada mulanya, ia diperintah oleh orang Barbarian sebelum ia diambil-alih pula orang-orang Visigoth
[1]. Maka ia telah menjadi satu bandar Visigothic yang utama.
Selepas satu peperangan yang bernama Perang Guadalete pada tahun 711, orang-orang Visigoth telah meninggalkan bandar Toledo, dan ini menjadikan Toledo di bawah tampuk pemerintahan Islam pada tahun 712 sehinggalah tahun 1085. Zaman pemerintahan ini menyaksikan kemakmuran bandar Toledo yang tidak pernah disaksikan sebelumnya.
Namun demikian, pada 25 May 1085, Alfonso VI dari Castille telah menawan bandar ini - dengan itu, berakhirlah dominasi Islam di bandar ini. Namun demikian, orang-orang Islam masih lagi dapat tinggal di bandar ini sehinggalah tahun 1492.
Bandar Toledo adalah bandar pertembungan di antara 3 agama yang memiliki kebudayaannya yang tersendiri. Islam, Kristian dan Yahudi dapat duduk sebumbung bersama-sama. Mereka hidup dalam aman-damai dan sama-sama menyumbang ke arah kekayaan dan kepelbagaian budaya di bandar ini. Kesannya masih lagi dapat dilihat pada hari ini - iaitu pada senibina bangunannya.
Malah, pernah sekali saya terjumpa satu loket unik yang dijual di kedai cenderamata. Pada loket itu terdapat ukiran bulan sabit, bintang David dan palang Kristian. Kata penjual di kedai itu, ia adalah simbolik kepada sejarah bandar ini.
Tengok gaya macam orang Red Indian.
Di sebuah kawasan tinggi.
Dikatakan juga bahawa Toledo adalah bandar Hebrew pertama di Sepanyol. Dianggarkan terdapat dalam 12,000 orang-orang Yahudi yang tinggal di Toledo pada waktu itu. Namun demikian, pada kurun ke-14 (tahun 1300-an), masalah mula timbul di antara orang-orang Yahudi dan Kristian. Akhirnya pada tahun 1492, Raja Katolik telah menyingkirkan orang-orang Yahudi dari Toledo. Tidak lama selepas itu, nasib yang sama turut menimpa orang-orang Islam.
Begitulah serba-ringkas tentang sejarah Toledo. Beberapa perkara lagi yang perlu diketahui tentang bandar ini ialah bandar ini terkenal dengan hasil buatan alatan dan senjata besinya, terutama sekali hasil buatan pedangnya yang bermutu tinggi. Dikatakan seni pembuatan pedang ini telah diperkenalkan oleh orang-orang Arab, dan seni itu terus berkembang sehinggalah ke hari ini.
Apa pun, kalau nak beli cenderahati, belilah di Toledo kerana ia jauh lebih murah dari di tempat-tempat lain di Sepanyol (Rasa menyesallah pula beli banyak cenderahati di tempat lain sebab di sini memang murah).
Dalam hidup kita, selalu ada persimpangan - yang baik dan yang buruk. Berhati-hatilah dalam membuat pilihan.
Nota Kaki
[1] Visigoth adalah ahli-ahli dari sayap barat kumpulan Goth yang telah meninggalkan Rome dan kemudian telah membentuk satu kerajaan di kawasan Sepanyol dan selatan Perancis. Goth yang dimaksudkan di sini ialah "orang-orang German yang telah menyerang Empayar Rome sewaktu zaman awal Era Kristian".
¶ Teruskan membaca entri ini »