Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label masjid. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label masjid. Papar semua catatan

    Sepanyol XXXXVI: Gambar Masjid Lama

    23 Ogos 2005 • 2 Komen
    Ada 2 masjid lama sahaja yang saya jumpa di Toledo. Pertama: Mezquita del Cristo de la Luz atau dalam bahasa Inggeris dipanggil Mosque of Christ of the Light. Kedua: Mezquita de las Cornerias.

    Mezquita del Cristo de la Luz


    Inilah dia masjidnya.



    Bentuk senibinanya pasti mengingatkan kita pada Masjid Cordoba. Boleh rujuk pos dulu-dulu tentang Cordoba.


    Entah kenapa ada perkataan "Christ" pula di situ apabila diterjemahkan. Saya pun bingung. Tapi apa yang penting ia bukan nama asal masjid tersebut. Ia mendapat nama apabila kuda yang ditunggang oleh Alfonso VI ketika Toledo tumbang pada tahun 1085, terjatuh berdekatan dengan masjid ini.

    Cuma apa yang pasti, pada asalnya ia adalah sebuah gereja Visigothic. Kemudian ia ditukar menjadi sebuah masjid apabila Islam datang. Dan apabila Toledo jatuh ke tangan Kristian, ia telah ditukar menjadi sebuah gereja. Sebenarnya tidak banyak sejarah yang diketahui tentang masjid ini. Jadi saya pun tidak dapat mengulas dengan lebih panjang. Tapi apa yang penting, masjid ini telah dibina dalam tahun 1,000.


    Sebatang palang Kristian di atas masjid ini. Perhatikan juga pada bahagian bawah gambar terdapat inskripsi tulisan Arab - barangkali ia adalah dari ayat-ayat suci Al-Quran.



    Pelik betul dengan gambar ni. Berkali-kali tangkap tapi tetap ada kesan gegar.


    Nak masuk ke dalam masjid ini kena bayar EUR 1.50. Tapi saya tak masuk sebab ia dah tutup - malam saya melawat Toledo adalah Christmas Eve. Jadi kebanyakkan kedai dan tempat melawat ditutup lebih awal dari biasa.


    Masuk kena bayar!

    Mezquita de las Tornerias

    Masjid yang ini pun tidak banyak sejarah yang diketahui. Saya pun tak dapat jumpa sejarahnya. Tetapi memang agak sukar untuk mencari masjid ini kerana senibinanya yang hampir sama dengan bangunan-bangunan lain. Kena perhatikan betul-betul baru dapat berjumpa.

    Masjid ini percuma sahaja untuk masuk. Tak perlu bayar. Tapi saya tak masuk juga sebab ia sudah ditutup lebih awal.


    Memang susah nak bezakan masjid ini dengan bangunan-bangunan lain.



    Masuk percuma sahaja!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXIV: Sebab Ia Dibina

    13 Jun 2005 • 0 Komen

    Meriam ini sudah pasti pernah digunakan untuk tujuan ketenteraan.

    Seperti yang saya jelaskan dalam pos Buka dan Tutup, Al-Hambra dibina pada zaman kemerosotan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Bandar-bandar lain di wilayah Andalusia seperti Cordoba, Seville dan Toledo telah pun jatuh ke tangan Kristian. Tinggal Granada sahaja yang belum lagi. Bandar Granada mesti mereka pertahankan. Jika bandar ini jatuh, maka tamatlah juga legasi Islam di situ!

    Sebenarnya, Al-Hambra ini adalah sebuah kubu yang dibina atas tujuan ketenteraan. Kubu itu pula bukanlah dibina oleh dinasti Nasrid, tetapi hanya dibaikpulih dari yang sudah sedia ada. Ia wujud sejak kurun ke-9 lagi. Lokasinya sangat strategik. Ia terletak di atas sebuah bukit yang berbatu dan berdekatan dengan tebing Sungai Darro. Al-Hambra juga dilindungi dengan gunung-ganang dan hutan. Al-Hambra kemudian dibaikpulih oleh kerajaan dinasti Nasrid.

    Pengasas dinasti Nasrid, Sultan Muhammad bin Yusuf bin Nasr (juga dikenali sebagai Sultan Muhammad Al-Ahmar) pula telah memulakan projek pembinaan bahagian istana (Palacio Nazaries). Sejak itu, ia telah menjadi kediaman rasmi diraja, iaitu pada pertengahan kurun ke-13.

    Sebelum ini juga, ada saya beritahu bahawa pernah ada masjid di dalam Al-Hambra ini. Saya sendiri tidak pasti sama ada masih wujud atau tidak masjid di dalamnya pada hari ini. Apa yang pasti, sebuah masjid diraja pernah berdiri di atas tanah Al-Hambra. Cuma hari ini, ia sudah lenyap dan digantikan dengan Gereja St Mary.

    Tanah yang pernah manusia sujud di atasnya kini menjadi tempat manusia menyekutukan Allah yang satu.


    Mungkinkah ini dia Gereja St. Mary?

    Madina dan Taman

    Ada sebuah taman di sini. Ia agak besar. Malangnya kami tidak sempat meninjau apa yang ada di situ. Seperti yang telah ditekankan sebelum ini, ini semua gara-gara kekangan masa.

    Mengikut kebiasaan, pelawat tidak menuju ke taman terlebih dahulu - mereka akan pergi ke bahagian Istana Nasrid, dan kemudian barulah pergi ke taman. Ini disebabkan peraturan yang termaktub di dalam tiket.

    Tentang bahagian madina (bandar kecil) pula, saya sendiri kurang pasti yang mana satu. Entah sempat kami melawat atau tidak. Tapi rasa-rasanya ada pergi. Mungkin sekadar melaluinya tanpa kami sedari. Entahlah..tapi yang penting, Madina juga merupakan bahagian penting di dalam Al-Hambra.
    ---

    P.S. Entah kenapa, kata ganti nama 'Aku' yang biasa aku gunakan tiba-tiba berubah menjadi 'Saya', tanpa saya sedari :)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XI: Di Dalam Masjid Itu

    13 Februari 2005 • 2 Komen
    Ada banyak kenderaan keluar masuk di sekitar perkarangan Masjid Cordoba. Kawasan perkarangan Masjid Cordoba sebenarnya adalah jaringan lorong-lorong kecil yang menjadi jalanraya (Nak kata jalanraya tak macam jalanraya. Nak kata lorong, lagi besar dari lorong). Apa pun, memang muatlah kalau lori bersaiz sederhana nak lalu. Lagipun lorong tu sehala.


    Salah satu hasil Kristianisasi di dalam Masjid Cordoba. Menara loceng. Masa aku sampai awal pagi di Masjid Cordoba ini, kedengaran loceng-loceng tersebut dibunyikan.


    Pelawat baru Masjid Cordoba mungkin boleh terkeliru. Dilihat dari luar, tempat ini tidak kelihatan seperti sebuah masjid. Aksesori-aksesori bangunan dan monumen tambahan yang dilakukan oleh orang-orang Krisitian adalah puncanya. Di pintu masuk ada beberapa binaan yang lebih mengingatkan pelawat kepada syiar agama Kristian. Sebabnya, masuk sahaja dah jumpa monumen patung-patung yang mempunyai lambang salib.

    Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, Masjid Cordoba adalah sebuah 'masjid' yang mengandungi gereja Kristian di dalamnya. Dan Masjid ini sudah tidak berfungsi lagi sebuah masjid. Tidak ada lagi umat Islam yang bersolat jemaah di dalam ini. Masjid ini sudah lesu.

    Cuma aku tak pasti kalau ada masa-masa tertentu yang umat Islam dibenarkan bersolat di dalamnya. Dari apa yang kawan aku pernah beritahu, pernah ada pelawat dihalau kerana melakukan solat sunat tahiyatul masjid.


    Pintu masuk ke dalam Masjid Cordoba. Aku rasa binaan di atas pintu masuk juga ditambah selepas Cordoba jatuh ke tangan Kristian.


    Mengikut apa yang aku baca, tapak asal Masjid Cordoba itu pada mulanya merupakan kuil milik orang-orang Roman. Apabila Empayar Rom jatuh, pemerintah ketika itu telah menggantikannya dengan sebuah gereja Kristian. Apabila orang-orang Arab berjaya menawan sebahagian besar Sepanyol pada awal kurun ke-8, mereka telah merobohkan gereja tersebut dan kemudiannya membina Masjid Cordoba.

    Selepas itu, kerajaan Islam Bani Umaiyyah di Sepanyol mulai lemah. Akhirnya Kristian berjaya menawan semula Cordoba pada tahun 1236. Mereka tidak membina gereja yang baru, sebaliknya sekadar menukarkan masjid yang sedia ada kepada geraja - iaitu dengan melakukan sedikit bid'ah ataupun inovasi kepada Masjid Cordoba. Begitulah juga modus operandi mereka kepada masjid-masjid yang ada di bandar-bandar di sekitar Andalusia.

    Berikut adalah beberapa pemandangan yang ada di dalam Masjid Cordoba. Aku sekadar mengambil gambar-gambar yang masih dapat memperlihatkan Masjid Cordoba ini sebagai sebuah masjid. Banyak kawasan yang aku abaikan sebab kawasan tu memang nampak gereja 100% - patung-patung Jesus, Mary dan apa-apa yang berkaitan Krisitan. Ketika aku melawat juga, ada mendengar seorang paderi yang sedang mendendangkan lagu keagamaan mereka.

    Lagu-lagu tersebut menjadi muzik kepada masjid ini yang dahulunya dikumandangkan azan di dalamnya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol X: Le Mezquita Cordoba

    08 Februari 2005 • 1 Komen
    Le Mezquita Cordoba bermaksud Masjid Cordoba. Walaupun ia adalah sebuah masjid, namun kebanyakkan papan-papan tanda yang menunjukkan arah tempat tersebut bertulis: 'Mezquita - Cathedral Cordoba'. Menunjukkan ada Cathedral di dalam Masjid Cordoba.

    Dengan kata lain, apa yang ada pada Masjid Cordoba pada hari ini tidak sama ketika ia masih dalam pegangan umat Islam. Apa yang berbezanya tu? InsyaAllah akan diberitahu pada pos yang berikutnya (atau mana-mana pos berkaitan Cordoba).


    Papan tanda yang terletak bersebelahan pintu masuk utama Masjid Cordoba. Kemungkinan besar menerangkan sejarah ringkas masjid tersebut. (Aku tak faham sebab dalam Spanish)


    Apabila kerajaan Bani Umaiyyah diambil alih oleh kerajaan Bani Abassiyah pada tahun 750, pusat pentadbiran Islam telah dipindahkan dari Damaskus, Syria ke Baghdad. Ini memaksa khalifah Bani Umaiyyah ketika itu, Abdul Rahman I (turut dikenali sebagai Abdul Rahman Al-Dakhil) berpindah ke Sepanyol yang mana ketika itu Islam sudah bertapak kukuh di sana. Beliau kemudian mengasaskan kerajaan Bani Umaiyyah yang kedua di Sepanyol dengan menjadikan Cordoba sebagai ibu kotanya.

    Kerajaan Bani Umaiyyah yang kedua ini menjadi sangat makmur dan telah bertahan selama hampir 800 tahun (756-1492). Pada tahun 929, sistem khalifah Bani Umaiyyah telah diwujudkan semula (iaitu apabila Sultan Abdul Rahman III mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol). Kerajaan Bani Umaiyyah yang kedua ini berjaya menjadi saingan sengit kepada kerajaan Bani Abassiyah yang berpusat di Baghdad ketika itu. Pada zaman kegemilangannya, Cordoba telah menjadi bandar terkaya dan paling kompleks di Eropah.

    Masjid Cordoba, yang merupakan salah satu daripada tinggalan binaan-binaan kesenian Islam telah dibina oleh Abdul Rahman I pada tahun 784. Masjid Cordoba dibina dengan menjadikan seni bina Arab sebagai rujukan utama.

    Masjid ini telah ditambahkan keluasannya selama 4 kali:
    • Pertama - oleh Abdul Rahman I
    • Kedua - oleh Abdul Rahman II
    • Ketiga - oleh Al Hakam II
    • Keempat - oleh Al Mansur (penambahan paling luas)
    Ini bermakna, keluasan asal Masjid Cordoba cuma kira-kira 20% daripada apa yang dilihat hari ini.

    Dinding kiblatnya dan menara yang terdapat di sini berusia sejak abad ke-10. Setiap anjungnya memiliki sehingga 18 atau 19 gerbang. Gabungan tiang-tiang Roman telah digunakan, namun disebabkan ketinggiannya tidak mencukupi, tiang tambahan yang berbentuk segiempat telah diletakkan di atas tiang-tiang Roman tersebut. Tiang tambahan inilah yang menyokong gerbang-gerbang unik yang ada di sini. Gerbang-gerbang itu pula menyokong bahagian siling masjid ini.

    Setiap gerbang yang ada di masjid ini adalah cantuman batu-bata merah dan batu putih. Gabungan unsur batu-batu tersebut berjaya mewujudkan konsep jaluran yang menakjubkan. Konsep jaluran merah-putih ini banyak mempengaruhi senibina bangunan di Sepanyol. Hiasan dinding pula mempunyai unsur flora di samping inskripsi dari Al-Quran dalam bentuk ukiran kapur, kaca, marmar dan mozek emas. Kalau tak dapat nak bayangkan, rujuk gambar terakhir untuk pos ini.

    Itulah serba-sedikit tentang sejarah Islam di Sepanyol dan Masjid Cordoba. Ketahuilah bahawa Masjid Cordoba menjadi lambang kemegahan Islam. Dan Masjid Cordoba ini juga telah menjadi lambang kejatuhan Islam.


    Masjid Cordoba dari arah depan. Aku tengah guna teropong sebenarnya (yang warna biru tu)


    Perhatikan:

    1- Tiang Roman: paling bawah sekali, bercantum dengan lantai.

    2- Tiang tambahan berbentuk segiempat: terletak di atas tiang Roman.

    3- Gerbang yang berjalur merah-putih: disokong oleh tiang tambahan berbentuk segiempat. Gerbang ini kemudiannya menyokong siling masjid ini.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Mosc Atha Cliath (Masjid Dublin)

    08 November 2004 • 6 Komen
    masjid islam dublinMosc Atha Cliath adalah sebutan Masjid Dublin di dalam bahasa Gaelic yang menjadi bahasa asli rakyat Irish. Namun bahasa Inggeris menjadi bahasa nadi rakyat di sini. Masjid Dublin terletak betul-betul di hadapan rumah aku. Kalau nak tahu, rumah aku di kawasan inilah.

    Masjid ini tidak berapa besar. Namun ia lebih besar dari sekangkang kera dan masih cukup luas bagi menampung kehadiran jemaah setiap hari. Cuma yang menjadi masalah besar adalah apabila tibanya Solat Jumaat, Solat Aidilfitri, dan Solat Aidiladha. Memang melimpah-ruah hingga hampir ke jalanraya.

    Masjid ini sedang dalam proses mengumpulkan dana bagi menampung kos pembesaran dan pengubahsuaian. Anggaran kos dalam 570,000 Euro (kira-kira RM 2.6 juta). Setakat ini, wang yang sudah terkumpul masih tidak melebihi 150,000 Euro. Bilalah agaknya nak capai sasaran. Silap-silap, aku dah habis belajar pun masih belum dapat lagi capai angka yang disasarkan.

    Ada 2 masjid utama di Dublin. Satu lagi terletak di Clonskeagh, Dublin. Kalau naik bas dari Dublin Mosque, mengambil masa kira-kira 40 minit. Tapi itu semua bergantung kepada trafik. Clonskeagh Mosque jauh lebih besar, lebih selesa dan lebih moden. Maklumlah, masjid baru.

    Namun, Dublin Mosque ada satu keistimewaan yang tidak dapat ditandingi oleh Clonskeagh Mosque. Apa lagi kalau bukan iftar percuma yang diberikan setiap kali datangnya bulan Ramadan. Di sini, setiap hari pada bulan Ramadan, menu Ayam Tandoori dan nasinya menjadi buah mulut budak-budak Dublin yang datang berbuka di sini setiap hari. Kenapa jadi buah mulut?

    Sebab kesedapannya yang tidak terkata! Susah nak cakap. Di Malaysia pun aku tak pernah makan sesedap itu, sampai ketagih aku dibuatnya. Resepinya memang asli. Rempah-ratusnya cukup. Memang sedap. Semua orang kata macam tu. Kawan aku sendiri pun pernah menulis di dalam ruangan blognya tentang kesedapan resepi Ayam Tandoori tersebut. Hmm..ada sesiapa yang meleleh air liur? Datanglah melawat Dublin. Boleh kita makan di situ. Tapi kalau bukan bulan Ramadan, kena bayar 6 Euro (RM 30) untuk sekali makan :)

    Lupa pula nak beritahu, masakan Ayam Tandoori itu dimasak oleh seorang pakcik Pakistan yang membuka restoran di sebelah Masjid Dublin ini. Setiap kali nak solat di masjid ini, pasti akan meleleh air liur sebab terpaksa menghidu bau Ayam Tandoori yang sedap (pintu masuk ke masjid terletak sebelah sahaja dengan restoran). Maklumlah, dapat bau sahaja. Nak makan selalu mana mampu. Bocor pula poket seluar nanti! Sebulan sekali pun dah kira OK.

    Apa pun, terima kasih banyak-banyak kepada Hamba Allah yang memberikan sponsor untuk iftar kami setiap hari. Moga Allah membalasnya dengan sebaik-baik balasan.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »