Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label toledo. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label toledo. Papar semua catatan

    Sepanyol XXXXVI: Gambar Masjid Lama

    23 Ogos 2005 • 2 Komen
    Ada 2 masjid lama sahaja yang saya jumpa di Toledo. Pertama: Mezquita del Cristo de la Luz atau dalam bahasa Inggeris dipanggil Mosque of Christ of the Light. Kedua: Mezquita de las Cornerias.

    Mezquita del Cristo de la Luz


    Inilah dia masjidnya.



    Bentuk senibinanya pasti mengingatkan kita pada Masjid Cordoba. Boleh rujuk pos dulu-dulu tentang Cordoba.


    Entah kenapa ada perkataan "Christ" pula di situ apabila diterjemahkan. Saya pun bingung. Tapi apa yang penting ia bukan nama asal masjid tersebut. Ia mendapat nama apabila kuda yang ditunggang oleh Alfonso VI ketika Toledo tumbang pada tahun 1085, terjatuh berdekatan dengan masjid ini.

    Cuma apa yang pasti, pada asalnya ia adalah sebuah gereja Visigothic. Kemudian ia ditukar menjadi sebuah masjid apabila Islam datang. Dan apabila Toledo jatuh ke tangan Kristian, ia telah ditukar menjadi sebuah gereja. Sebenarnya tidak banyak sejarah yang diketahui tentang masjid ini. Jadi saya pun tidak dapat mengulas dengan lebih panjang. Tapi apa yang penting, masjid ini telah dibina dalam tahun 1,000.


    Sebatang palang Kristian di atas masjid ini. Perhatikan juga pada bahagian bawah gambar terdapat inskripsi tulisan Arab - barangkali ia adalah dari ayat-ayat suci Al-Quran.



    Pelik betul dengan gambar ni. Berkali-kali tangkap tapi tetap ada kesan gegar.


    Nak masuk ke dalam masjid ini kena bayar EUR 1.50. Tapi saya tak masuk sebab ia dah tutup - malam saya melawat Toledo adalah Christmas Eve. Jadi kebanyakkan kedai dan tempat melawat ditutup lebih awal dari biasa.


    Masuk kena bayar!

    Mezquita de las Tornerias

    Masjid yang ini pun tidak banyak sejarah yang diketahui. Saya pun tak dapat jumpa sejarahnya. Tetapi memang agak sukar untuk mencari masjid ini kerana senibinanya yang hampir sama dengan bangunan-bangunan lain. Kena perhatikan betul-betul baru dapat berjumpa.

    Masjid ini percuma sahaja untuk masuk. Tak perlu bayar. Tapi saya tak masuk juga sebab ia sudah ditutup lebih awal.


    Memang susah nak bezakan masjid ini dengan bangunan-bangunan lain.



    Masuk percuma sahaja!
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXXV: Sejarah Bandar Toledo

    18 Ogos 2005 • 2 Komen
    Untuk bercerita tentang sejarah sesebuah bandar bukanlah satu kerja yang mudah. Tetapi untuk memampatkan sejarah sesebuah bandar di dalam tulisan yang serba ringkas adalah satu kerja yang lebih memeritkan. Maka, saya saya rasa cukuplah kalau saya mempersembahkan sejarah Toledo dalam inti yang sangat mudah, ringkas dan senang difahami.


    Toledo adalah sebuah bandar yang kaya dengan binaan bangunan-bangunan lama.


    Toledo adalah sebuah bandar yang sangat tua. Ia sudah wujud sebelum zaman Roman lagi. Pada mulanya, ia diperintah oleh orang Barbarian sebelum ia diambil-alih pula orang-orang Visigoth [1]. Maka ia telah menjadi satu bandar Visigothic yang utama.

    Selepas satu peperangan yang bernama Perang Guadalete pada tahun 711, orang-orang Visigoth telah meninggalkan bandar Toledo, dan ini menjadikan Toledo di bawah tampuk pemerintahan Islam pada tahun 712 sehinggalah tahun 1085. Zaman pemerintahan ini menyaksikan kemakmuran bandar Toledo yang tidak pernah disaksikan sebelumnya.

    Namun demikian, pada 25 May 1085, Alfonso VI dari Castille telah menawan bandar ini - dengan itu, berakhirlah dominasi Islam di bandar ini. Namun demikian, orang-orang Islam masih lagi dapat tinggal di bandar ini sehinggalah tahun 1492.

    Bandar Toledo adalah bandar pertembungan di antara 3 agama yang memiliki kebudayaannya yang tersendiri. Islam, Kristian dan Yahudi dapat duduk sebumbung bersama-sama. Mereka hidup dalam aman-damai dan sama-sama menyumbang ke arah kekayaan dan kepelbagaian budaya di bandar ini. Kesannya masih lagi dapat dilihat pada hari ini - iaitu pada senibina bangunannya.

    Malah, pernah sekali saya terjumpa satu loket unik yang dijual di kedai cenderamata. Pada loket itu terdapat ukiran bulan sabit, bintang David dan palang Kristian. Kata penjual di kedai itu, ia adalah simbolik kepada sejarah bandar ini.


    Tengok gaya macam orang Red Indian.



    Di sebuah kawasan tinggi.


    Dikatakan juga bahawa Toledo adalah bandar Hebrew pertama di Sepanyol. Dianggarkan terdapat dalam 12,000 orang-orang Yahudi yang tinggal di Toledo pada waktu itu. Namun demikian, pada kurun ke-14 (tahun 1300-an), masalah mula timbul di antara orang-orang Yahudi dan Kristian. Akhirnya pada tahun 1492, Raja Katolik telah menyingkirkan orang-orang Yahudi dari Toledo. Tidak lama selepas itu, nasib yang sama turut menimpa orang-orang Islam.

    Begitulah serba-ringkas tentang sejarah Toledo. Beberapa perkara lagi yang perlu diketahui tentang bandar ini ialah bandar ini terkenal dengan hasil buatan alatan dan senjata besinya, terutama sekali hasil buatan pedangnya yang bermutu tinggi. Dikatakan seni pembuatan pedang ini telah diperkenalkan oleh orang-orang Arab, dan seni itu terus berkembang sehinggalah ke hari ini.

    Apa pun, kalau nak beli cenderahati, belilah di Toledo kerana ia jauh lebih murah dari di tempat-tempat lain di Sepanyol (Rasa menyesallah pula beli banyak cenderahati di tempat lain sebab di sini memang murah).


    Dalam hidup kita, selalu ada persimpangan - yang baik dan yang buruk. Berhati-hatilah dalam membuat pilihan.

    Nota Kaki

    [1] Visigoth adalah ahli-ahli dari sayap barat kumpulan Goth yang telah meninggalkan Rome dan kemudian telah membentuk satu kerajaan di kawasan Sepanyol dan selatan Perancis. Goth yang dimaksudkan di sini ialah "orang-orang German yang telah menyerang Empayar Rome sewaktu zaman awal Era Kristian".
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Sepanyol XXXXIV: Stesen Keretapi Toledo

    15 Ogos 2005 • 0 Komen

    Stesen Keretapi Toledo.


    Stesen keretapi ini sangat klasik dan unik. Ia dikatakan menyerupai stesen-stesen keretapi di bandar-bandar kecil yang dibina di Amerika Syarikat sekitar abad ke-19. Stesen Keretapi Toledo ini telah dibina pada tahun 1920.

    Saya tiba di stesen keretapi ini pada satu pagi yang agak dingin. Suhu di sini pada waktu tersebut adalah sekitar 10 darjah celcius. Oleh kerana lokasi pekan Toledo yang berhampiran dengan Madrid, maka kami membuat keputusan untuk tolak hari sahaja. Malam ini kami akan pulang semula ke Madrid.

    Oleh kerana pada waktu kami pergi, stesen keretapi ini masih lagi dalam proses menaiktaraf, maka kami terpaksa turun di satu stesen sebelum stesen Toledo. Kemudian, ada bas yang akan membawa kami untuk meneruskan perjalanan ke Toledo. Dan kami diturunkan di hadapan stesen keretapi Toledo.

    Walaupun ia merupakan stesen keretapi utama pekan Toledo, namun udara persekitarannya amat tenang. Hanya ada 2 ubah kaunter sahaja yang dibuka. Ia mungkin disebabkan Toledo adalah sebuah bandar yang tidak terlalu sibuk, maka stesen ini turut terkena tempias ketenangan Toledo itu sendiri.

    Saya sukakan stesen ini. Ia dibina dengan tangan dan hati yang sukakan kepada keindahan sebuah senibina lama dan antik.


    Sebuah jam yang sudah tidak berfungsi lagi.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »