Back to home page

Sepanyol X: Le Mezquita Cordoba

08 Februari 2005 • 1 Komen Cetak Chenta!
Le Mezquita Cordoba bermaksud Masjid Cordoba. Walaupun ia adalah sebuah masjid, namun kebanyakkan papan-papan tanda yang menunjukkan arah tempat tersebut bertulis: 'Mezquita - Cathedral Cordoba'. Menunjukkan ada Cathedral di dalam Masjid Cordoba.

Dengan kata lain, apa yang ada pada Masjid Cordoba pada hari ini tidak sama ketika ia masih dalam pegangan umat Islam. Apa yang berbezanya tu? InsyaAllah akan diberitahu pada pos yang berikutnya (atau mana-mana pos berkaitan Cordoba).


Papan tanda yang terletak bersebelahan pintu masuk utama Masjid Cordoba. Kemungkinan besar menerangkan sejarah ringkas masjid tersebut. (Aku tak faham sebab dalam Spanish)


Apabila kerajaan Bani Umaiyyah diambil alih oleh kerajaan Bani Abassiyah pada tahun 750, pusat pentadbiran Islam telah dipindahkan dari Damaskus, Syria ke Baghdad. Ini memaksa khalifah Bani Umaiyyah ketika itu, Abdul Rahman I (turut dikenali sebagai Abdul Rahman Al-Dakhil) berpindah ke Sepanyol yang mana ketika itu Islam sudah bertapak kukuh di sana. Beliau kemudian mengasaskan kerajaan Bani Umaiyyah yang kedua di Sepanyol dengan menjadikan Cordoba sebagai ibu kotanya.

Kerajaan Bani Umaiyyah yang kedua ini menjadi sangat makmur dan telah bertahan selama hampir 800 tahun (756-1492). Pada tahun 929, sistem khalifah Bani Umaiyyah telah diwujudkan semula (iaitu apabila Sultan Abdul Rahman III mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah kerajaan Bani Umaiyyah di Sepanyol). Kerajaan Bani Umaiyyah yang kedua ini berjaya menjadi saingan sengit kepada kerajaan Bani Abassiyah yang berpusat di Baghdad ketika itu. Pada zaman kegemilangannya, Cordoba telah menjadi bandar terkaya dan paling kompleks di Eropah.

Masjid Cordoba, yang merupakan salah satu daripada tinggalan binaan-binaan kesenian Islam telah dibina oleh Abdul Rahman I pada tahun 784. Masjid Cordoba dibina dengan menjadikan seni bina Arab sebagai rujukan utama.

Masjid ini telah ditambahkan keluasannya selama 4 kali:
  • Pertama - oleh Abdul Rahman I
  • Kedua - oleh Abdul Rahman II
  • Ketiga - oleh Al Hakam II
  • Keempat - oleh Al Mansur (penambahan paling luas)
Ini bermakna, keluasan asal Masjid Cordoba cuma kira-kira 20% daripada apa yang dilihat hari ini.

Dinding kiblatnya dan menara yang terdapat di sini berusia sejak abad ke-10. Setiap anjungnya memiliki sehingga 18 atau 19 gerbang. Gabungan tiang-tiang Roman telah digunakan, namun disebabkan ketinggiannya tidak mencukupi, tiang tambahan yang berbentuk segiempat telah diletakkan di atas tiang-tiang Roman tersebut. Tiang tambahan inilah yang menyokong gerbang-gerbang unik yang ada di sini. Gerbang-gerbang itu pula menyokong bahagian siling masjid ini.

Setiap gerbang yang ada di masjid ini adalah cantuman batu-bata merah dan batu putih. Gabungan unsur batu-batu tersebut berjaya mewujudkan konsep jaluran yang menakjubkan. Konsep jaluran merah-putih ini banyak mempengaruhi senibina bangunan di Sepanyol. Hiasan dinding pula mempunyai unsur flora di samping inskripsi dari Al-Quran dalam bentuk ukiran kapur, kaca, marmar dan mozek emas. Kalau tak dapat nak bayangkan, rujuk gambar terakhir untuk pos ini.

Itulah serba-sedikit tentang sejarah Islam di Sepanyol dan Masjid Cordoba. Ketahuilah bahawa Masjid Cordoba menjadi lambang kemegahan Islam. Dan Masjid Cordoba ini juga telah menjadi lambang kejatuhan Islam.


Masjid Cordoba dari arah depan. Aku tengah guna teropong sebenarnya (yang warna biru tu)


Perhatikan:

1- Tiang Roman: paling bawah sekali, bercantum dengan lantai.

2- Tiang tambahan berbentuk segiempat: terletak di atas tiang Roman.

3- Gerbang yang berjalur merah-putih: disokong oleh tiang tambahan berbentuk segiempat. Gerbang ini kemudiannya menyokong siling masjid ini.

1 Komen Tambah Komen↴

salam saudara.. saya memohon izin untuk link kan entry masjid cordoba ini ke dalam blog saya.

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.