Back to home page

Bila Harga Minyak Naik, Maka Tahukah Engkau Tentang Perkara Ini?

01 September 2009 • 30 Komen Cetak Chenta!

1. Berapa harga minyak dunia pada masa ini?

"Penetapan RON95 pada RM1.80 dan RON97 pada RM2.05 adalah berikutan purata kos produk bagi petrol telah meningkat daripada US$40.75 (RM142.63) pada Disember 2008 kepada US$82.30 (RM288.05) pada Ogos 2009."

(Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna. Petrol RON95 kini RM1.80 seliter, Utusan Malaysia).
Fakta paling penting: Semenjak awal tahun 2009 ini, iaitu apabila ekonomi dunia semakin merudum, harga minyak dunia TIDAK PERNAH pun melepasi paras USD80 setong. Tertinggi yang pernah dicatatkan adalah pada 21 Ogos yang lalu, iaitu di paras USD75 setong.

Jadi dari mana datang nilai USD82.30 ini? Seseorang sila jelaskan kalau saya ada terlepas pandang apa-apa fakta.



2. Benarkah dakwaan kerajaan bahawa tiada perubahan harga petrol utama negara?

Benar. Harga memang tidak berubah, tetapi kualiti sudah tidak sama. Dahulu, petrol jenis RON97 yang selalu kita gunakan sebelum ini berharga RM 1.80 seliter. Kini, ia menjadi RM 2.05 seliter.

RON95 yang baru dilancarkan memang berharga RM1.80. Namun RON95 kurang bagus pada enjin. RON97 bagus pada enjin.

Contoh lain bagi mudah faham: Dulu kita beli filem DVD (RON97) pada harga RM 20. Kini harga DVD itu dah jadi RM 30. Kalau nak tonton juga filem tu pada harga RM 20, boleh dapatkan salinannya dalam bentuk VCD (RON 95) yang lebih rendah kualiti audio dan videonya.

Undian di The Star Online (tepat pada 1 September 2009) menunjukkan bahawa 52% responden berasa tidak selesa apabila beralih kepada RON95.



3. Maka, apa implikasi kenaikan harga minyak ini kali ini?

Kenaikan ini dilakukan pada waktu yang sangat tidak bijak. Ramadhan adalah bulan yang terkenal dengan "barang tak ada" dan "harga barang naik". Bila minyak naik masa bulan Ramadhan, makin lagi banyaklah barang yang akan naik harga.

Kenaikan harga minyak sehingga ke paras USD 75 setong baru-baru ini adalah dek kerana keyakinan bahawa ekonomi dunia semakin nampak macam mahu pulih, seperti di Jerman dan Perancis. Namun beberapa pakar ekonomi juga berpendapat bahawa trend tersebut mungkin bersifat fatamorgana:
We have seen this strength (in the oil price) which reflected renewed confidence in the economy. But in the last week or so people are starting to say that the stock market is overbought and the data is not that good.

(John Vautrain, penganalisis tenaga di Konsultan Purvin & Gertz, Singapura)
Jangkaan mereka lagi, harga minyak mungkin akan turun lagi (dan bukannya naik) dalam beberapa minggu yang mendatang.

Jika tekaan mereka benar, maka Malaysia akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih daripada kesemputan ekonomi. Ini kerana, apabila harga barang semakin mencanak, orang ramai akan lebih suka menyimpan berbanding berbelanja.

Sama ada dunia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, sosialis atau pun Islamis, apabila majoriti orang jadi takut hendak membeli dan lebih banyak menyimpan di dalam bank dan di bawah bantal, maka ekonomi akan mandul.

Ekonomi hanya akan jadi subur apabila orang yakin untuk berbelanja sakan, di samping mereka masih ada duit untuk disimpan, diderma dan dizakatkan. Justeru, kita fikirkan sama ada kenaikan harga minyak pada kali ini boleh memandulkan atau menyuburkan ekonomi Malaysia yang baru sahaja menyambut hari jadinya yang ke-52 ini.

30 Komen Tambah Komen↴

Pelik sungguh la hang noo Jeeb. Hang tak pa lah minyak keta hang masuk buku tiga lima. Konfem la hang kena balun dengan rakyat pasni.

*Maaf kerana menggunakan tajwid Bahasa Melayu utara.

Assalamu'alaikum En. Tawel,

Hm, ada banyak perkara perlu kita teliti sebenarnya kan. Satu perkara yang membawa kepada beberapa impak, dan bakal memberi kesan besar kepada suatu perkara yang besar.

SubhanALLAH walhamdulillah, tulisan kamu sentiasa menjentik minta untuk pantas berfikir tentang sebab dan implikasi kepada suatu perkara. Jazakallahu khir

p/s: Walau susur masa di blog saya saat ini (1:47) menyatakan hanya tinggal in 17 hari, 22 jam, 12 minit, namun harapnya tidak terlambat untuk mengucapkan; Ramadhan Kareem, selamat meranduk baki 2/3 bulan tarbiah jiwa istiqamah. Dan Salam merdeka dari belenggu fatamorgana. ALLAH yubarik fiek.

nahwanNur

salam Tawel Sensei,

Begitu rupanya. Justeru, nak tanya - RON95 kurang bagus pada enjin - boleh dijelaskan lagi tak. Maklumlah saya pakai kereta lama, dulu minyak merah, sekarang RON95 itulah, sebab kos

Sensei, jangan lama sangat
menghilang

Assalamu'alaikum tuan,

saya bersetuju dengan pendapat ini. Sebenarnya rakyat sudah tidak mudah lagi untuk di'gula-gulakan' dan dapat memikirkan mana yang lebih baik.

Isu yang lama tidak disentuh dan dipandang sepi kerajaan dari implikasi kenaikan minyak dahulu adalah kenaikan harga tambang bas. Semput sebenarnya poket ibu dan bapa termasuk yang berpendapatan rendah yang bergantung pada pengangkutan awam.

30% surcaj tuh bukan lama sangat akan dinaikkan lagi (kalau turun alhamduliLLah.. tapi nampak gayanya waLlahu a'lam). Pengusaha bas kata kos makin meningkat. Yang pakai kereta Ferrari ke sana sini tak pula bahagian yang berkenaan ni menjengilkan mata.

WaLlahua'lam

Salam Ramadhan Tawel,

Minyak (petrol) naik.... kos bawak minyak masak juga naik... lalu harga minyak masak pun naik. Penjual makanan pun naikkan harga sbb mereka pakai minyak masak... Pengguna dok sakit kepala pikir pasal minyak naik, rambut pun gugur. Kena beli pulak minyak rambut. Err... harga minyak rambut naik tak tawel?

Semua naik. Malah bila kak su pegi klinik gigi pun charge untuk cuci gigi dah naik. Tapi mereka tak pakai minyak pun utk cuci gigi. Bila harga semua barang naik je harganya, maka kenalah keje lebih masa sbb nak tampung semua kenaikan tu...

Ish... macam tak kena je. Sedarkah kita bahawa satu hari nanti kita akan turun... 7 kaki ke dalam tanah dan tak naik-naik lagi?

Selamat menggandakan amalan dibulan Ramadhan, dan selamat berjimat cermat mengurangkan belanja di bazaar Ramadhan. Ingat semua... kita kena jimat sbb minyak dah naik!

p/s : Err... Tawel, nasi kerabu santapan sahur di hari Rabu buatan sendiri ke atau bazaar Ramadhan punya? :D

Kerajaan UMNO/BN terpaksa naik harga kerana masa untuk menguasai Malaysia hampir luput. Dalam PRU13 akan datang mereka akan kalah kerajaan persekutuan = kalah control petronas = kalah control petronas = no $$$$

they have to EAT as MUCH as they can, NOW...

Tanpa Nama

Kerajaan Barang Naik skrg dah tak dapat di harapkan oleh rakyat. Mesti gulingkan BN pada GE13 akan dtg.

Tanpa Nama

KERAJAAN BARISAN TAK RASIONAL mane pie slogan RAKYAT DI UTAMAKAN????
ASYIK NAIK TURUN JARANG2 KLU HARGA BARANG LANGSUNG TAK TURUN''''''
YG TAK ADE KUALITI BAGI YG MISKIN, YG KUALITI BAGI YG KAYA RAYA.

Tanpa Nama

cuba tuan selidik dahulu erti dan perbezaan RON 95 dan 97. Enjin kancil takat hanya memerlukan RON92, kalau pakai RON 97 untuk enjin kancil takde beza kecuali lebih mahal saja.

Tapi kalau tuan penguna mercedes benz , mmg tuan kene pakai minyak RON 97.

tiada isu mengenai kualiti petrol , cuma isu kurang pengetahuan berkenaan jenis dan pengunaannya. RON 97 tidak bermakna ia lebih berkualiti berbanding RON 95, malah RON 95 lebih mudah terbakar berbanding RON 97. Enjin direka khas untuk menepati spesifikasi bahan api, dan kebanyakan kereta proton dan juga kereta Jepun disesuaikan untuk RON 95.

Perbandingan tuan mengenai kualiti minyak dengan DVD amat melucukan! Saya dulu mase sekolah rendah selalu juga tulis perbandingan macam tuh mase tulis karangan, tetapi selalu ditegur: Karangan terpesong!

ICE BOX

Assalamualaikum...

Nice entry... aku pun ada cerita pasal ni... tapi lebih kepada keluh kesah ku jak... hehe...

Ada member ku cakap ... kalau harga pasaran minyak dunia naik... patut negara kita pun dapat banyak untung bab kita negara pengeluar minyak katanya... hermm macam betul gak... apa pendapat tuan?

Terima kasih

Adry @ http://www.adrysabry.com

Salaam Ramadan Mubarak kepada semua.

Hamba hendak menegaskan di sini, bahawa apa jua kenaikan harga petrol adalah tidak munasabah memandangkan Malaysia adalah negara pengeluar minyak. Syarikat minyak tidak membayar sejumlah wang kepada bumi untuk mengeluarkan minyak dari perutnya, selain dari tenaga dan modal untuk mencari, menggali dan mengeluarkan minyak itu. Jadi apa jua kenaikan harga jualan minyak adalah sejenis penipuan, yang tidak lain untuk mengayakan "syarikat-syarikat" pengeluar, penggali dan penjual minyak itu (pergi jahanam dengan sistem kapitalis ini).

Dengan mukadimah itu, rasanya cukup untuk menyatakan pendirian hamba berkenaan isu ini.

Tetapi hamba mempertikaikan kenyataan berkaitan mutu minyak berdasarkan angka RON itu. Minyak yang dikeluarkan dari perut bumi Malaysia adalah antara yang terbaik mutunya kerana kandungan sulfurnya yang rendah, dan ini tiada kena mengena dengan angka RON. Kandungan sulfur yang tinggi akan merendahkan nilai tenaga dalam minyak kerana dalam pembakaran, sulfur menyerap tenaga dan terbebas sebagai sulfur dioksida, satu ajen pencemar udara.

Sebaliknya, RON adalah terma yang digunakan untuk menunjukkan komposisi bahan tambahan di dalam minyak petrol untuk mendapatkan ketahanan terhadap letupan dalam keadaan termampat tanpa cucuhan. Semakin tinggi angka RON, maka semakin tinggi tahap mampatan yang boleh diterimanya sebelum ia meletup dengan sendirinya. Pencucuhan pada mampatan yang lebih tinggi diperlukan untuk mendapatkan putaran enjin yang lebih laju dan berkuasa - yang membawa kaitan antara angka RON dan enjin. Setiap jenis enjin diciptakan untuk menggunakan spesifikasi minyak tertentu agar ia dapat beroperasi dengan optimum.

Mungkin mereka yang berkenaan telah membuat kajian bahawa sekarang ini telah ramai rakyat Malaysia menggunakan enjin kenderaan yang memerlukan minyak RON97 berbanding RON95...

inasni

Salam semua dan terima kasih kepada yang memberikan komen.

@abuyon dan ICEBOX, saya respon secara serentak la ya. RON yang lebih tinggi secara umumnya kita boleh kata ia lebih berkualiti. Sebelum kenaikan baru ni, kita hanya ada RON92 dan RON97.

Kancil, motor kapcai, dan kereta yang murah-murah sikit ni, memang boleh sahaja menggunakan RON92. Namun pasti ada sebab kan mengapa RON92 tak berapa laris di pasaran (sekadar 5% sahaja sehingga kerajaan telah memansuhkan penjualannya pada 1 September 2009)?

Dari segi usia kereta pula, kalau dah jenis agak lama, maka lebih baik teruskan penggunaan RON97, dan jangan bertukar kepada RON95. RON97 mungkin lebih bagus untuk elakkan 'knocking' pada enjin yang sudah agak berusia. Jadi rasanya soalan abuyon dan terjawab kan?

Jadi kesimpulannya, cubalah dahulu RON95. Kalau ok, teruskan. Kalau rasa semacam, kenalah guna RON97 yang sudah 25 sen lebih mahal berbanding dahulu itu!

Nak tengok jenis kereta dan RON yang bersesuaian, lawati Motor Trader.


@Noreena, hang jangan marah-marah noo bulan puasa ni. :D

@nahwanNur, oh sungguh geek anda ini kerana menghitung baki Ramadhan sehingga ke minitan terakhir. Salam Ramadhan juga :)

@IbnuNafis, oh tambang bas kalau difikirkan amat menyakitkan hati. Bila minyak naik, dia pun nak naik. Bila dah turun, tak juga turun-turun tambang bas ni.

@Suara, Salam Ramadhan juga. Hehe, apapun, mujurlah minyak telon dan minyak kapak tak naik harga. Kalau tak, susahlah. Hehe nasi kerabu beli di pasar je. Kak Suara tahu buat ke? Kalau tahu, hari Rabu depan saya serang rumah Kak Su!

@Tanpa Nama. ya aku faham perasaan mu. Setiap kali aku melihat semakin ramai orang kita yang menyelongkar buangan sampah di tempat aku tinggal, aku semakin faham perasaan mu itu yang dikongsi oleh jutaan warga yang lain.

@Adry, wa'alaikumussalam. Soalan tu Pak Anwar Ibrahim dah banyak kali jawab. Cuba cari di YouTube :)

@Insani, RON itu RON ini, akhirnya orang kampung pun pening. Lalu mereka redha dengan apa sahaja harga yang dihadiahkan kerajaan.

Salam saudara Tawel,

ada yang terkesan, ada yang tidak dengan kenaikan ini.
Ynag berduit, setuju naik atau tidak, mereka tetap tak kisah.
Yang tidak seberapa adanya, terima namun mudharat dalam jiwa.

wallahua'lam.

salam incek tawel.. lama tak menyinggah ke sini.. aik.. dah naik yer.. haritu baru aje akak saya mengajuk2 gaya pekerja asing pasal RON95.. sekarang ni dah jadi RON97 pula.. sekejap murah sekejap mahal.. sabar aje lah..

selamat menjalani ibadah puasa ye incek tawel.. (^__^)

ada 1 bahan yg dipanggil additive yg dicampurkan ke dlm RON95 tu, adakah menaikkan mutunya setanding dengan RON97. Adakah berbaloi kenaikan tu??

Naz

Salam.
Sekadar perkongsian maklumat.
Untuk pengetahuan semua, keuntungan yang dicatatkan PETRONAS skrg, 50% drpdnya dtg drpd luar negara (investment kt luar malaysia).
Kmudian, 90% keuntungan PETRONAS dpt kpd kerajaan Malaysia.
Malaysia tidak menggunakan minyak sendiri untuk penggunaan tenaga dlm pengangkutan disebabkn minyak kita berkualiti tggi.
Minyak kita dijual di pasaran secara bidaan jadi ianya mungkin mahal shingga $10 setong berbanding minyak biasa.
negara kita mggunakn petrol yg diimport dlm sektor pengangkutan krna kos utk proses & psarkn petrol trsebut jauh lebih rndah brbanding yg krjaan dpt drpd jualan minyak malaysia.
analoginya, kita menjual gula2 50sen sbiji & gula2 tu jd rebutan org. Kmudian kta dpt beli gula2 yg sma jnisnya tp dgn hrga 20sen nmun rsanya 'kurg' sdikit berbanding yg djual.

betulkn jika trdapat kesalahan fakta.. sekadar perkongsian

Tanpa Nama

ape nak buat: rakyat didahulukan: majoriti rakyat nak minyak naik nak wat macam ner.jadi ikutlah cakap rakyat...pru lepas majoriti rakayat sokong bn...jadi utamakan yang sokong ni dulu...

Tanpa Nama

Bab ini menarik ramai yang komen

Tanpa Nama

@Arnamee, bermadah petrol ke tu? :)

@Faarihin, eh macam mana gaya mengajuk tu? Saya pun baru saja beberapa hari lepas borak-borak dengan orang Bangladesh di Stesen Shell Jalan Kebun. Tapi borak tentang topik lain. Hehe selamat berpuasa juga!

@Naz, eh tak tahulah pula apa additive tu. Ada ke?

@Tanpa Nama, saya tak berapa arif tentang fakta tu. Jadi saya pun tak tahulah salah atau betul :)

Salam Incek Tawel..

Huhuhu.. nak tunjuk kat sini memang tak dan lah.. (^__^)..

p/s: saya lukis guna GIMP la incek tawel.. tak reti sangat nak guna MS Paint tu.. (^__^) senyuman ni semua orang leh guna.. hehehe..

setahu saya additive digandakan dlm minyak petrol skrg ni. yg saya difahamkan, ia berfungsi utk melancarkan pergerakn enjin dan buatkan penggunaan lebih jimat. pasal kenaikan petrol tu sy x pasti sama ada berbaloi atau tidak...

Naz

Aku copy apa yang kawan aku komen dari blog en, tawel:

purata kos produk bagi petrol telah meningkat daripada US$40.75 <-------- Petrol

The price of oil ended lower on Tuesday, falling back from an intra-day high of $75 a barrel - the highest so far this year - after profit taking.<--------- crude oil, minyak mentah

minyak mentah tak sama dengan petrol

petrol minyak dah proses

bermadah sikit;p

Salaam,

Adakah benar enjin kereta buatan Malaysia dicipta berdasarkan minyak RON97, sedangkan enjin kereta import diciptakan berdasarkan minyak RON92?

Jika fakta ini benar, maka sesungguhnya ini adalah penipuan peringkat tertinggi kerajaan terhadap rakyat Malaysia, kerana 'terpaksa' membazirkan wang untuk minyak yang mahal apabila membeli/menggunakan kereta buatan tempatan.

inasni

en tewel boleh ulas pasal rizab emas bank negara yang telah susut teruk....tak

Tanpa Nama

Salam..

tq atas info sdra tawel...
dua hari selepas kenaikan harga petrol..kereta gua kehabisan minyak..
apa yg memeranjatkan dua stesyen minyak telah kehabisan stok RON95..siap tampal notis lagi..jadi gua terpaksa beli RON97 jugak.

Raya ni cukup ke stok?

Selamat hari raya bro..

Tanpa Nama

salam sensei,

Mari, atas nama Tuhan yang agung
dan rahman, kita hulurkan dua tangan,
dan sejuta hati kita bersalaman dari
denyutnya yang paling
tenang dan dalam

Selamat Hari Raya — dari kami sekeluarga
Maaf zahir dan batin, nampak dan tak
nyata, dari hujung ke hujungnya

p/s: nak duit raya pakcik Wel ..
pinta anak-anakku ..hehe

salam.. selamat hari raya incek tawel.. (^__^)

ada kad raya untuk incek tawel.. jika sudi, sila-sila lah ambil.. (^__^)

Sekali imbas, memang nampaknya kurang sopan dipihak saya bila menuduh pengurusan ekonomi Dolah & Menantunya itu lintang pukang tanpa menyertakan bukti.
Sehubungan, saya tidak perlu bersumpah laknat atau sumpah berkanun kos RM4/= kerana antara buktinya ada terpampang di depan mata kepala pembaca. Contoh mudah ialah cara mengatasi inflasi.
Punca Inflasi
Perlu diingat bahawa punca inflasi mendadak yang berlaku kini adalah kesalahan Dolah & Menantunya bergegas menaikkan harga petrol pada kadar 42% tanpa fikir panjang.
Tiada gunanya mengambil jalan sukar dengan kos yang tinggi memberi rakyat pelepasan cukai itu dan ini, atau dicampak kepada rakyat subsidi itu dan ini, yang mana semuanya ini dipanggil “langkah meningkatkan kuasa beli rakyat” bila penyebab inflasi itu tidak dibasmi!
Segala langkah "meningkatkan kuasa beli rakyat" adalah merupakan tindakan off-tangent yang nampak seperti hendak menunjuk bijak. Clever by half.
Cantas dulu punca penyakit yang disering disebut menyebabkan inflasi. Kembalikan harga petrol ke paras asal RM1.92/liter. Tengok apa jadi, kemudian kalau langkah ini tidak boleh membendung inflasi, cubalah jalan lain.
Alasan menaikkan harga petrol kerana kononnya kerajaan tidak mampu berterusan membayar subsdi RM42 bilion setahun atau RM3.5 bilion sebulan adalah karut kerana dua sebab.
• Harga Jualan Minyak Mentah Malaysia Meragukan
Pertama, pengeluaran minyak mentah Malaysia ialah ditahap 20 juta tong sebulan. Jika minyak ini telah dijual pada harga semasa minyak mentah dunia, katakan, purata US$80/tong, ini bermakna Malaysia sudah dapat hasil jualan sebanyak US$1.6 bilion/bulan.

Jumlah ini pada kadar pertukaran US1 = RM3.5 bermakna Malaysia sudah dapat hasil RM5.67 bilion sebulan.
Itu perkiraaan untuk minyak mentah. Belum lagi diambil kira gas asli dan lain-lain produk petroleum.
Tetapi malang hasilnya tidak begitu. Hasil yang Malaysia perolehi dari jualan minyak mentah yang dikeluarkan hanyalah RM3.5 bilion/bulan.
Mengapa ini terjadi?
Bukti-bukti yang ada terpampang di depan mata menunjukan Malaysia telah menjual minyak mentah keluarannya pada harga purata US$52/tong. Maksudnya kita rugi US$28/tong atau US$567 juta sebulan yang bersamaan dengan RM1.92 bilion.

Mengapa jadi begitu? Adakah Malaysia terlalu banyak menjual melalui “kontrak hadapan”? Atau ada sesuatu yang “tidak kena” dengan pengurusan di Petronas?
Jika silapnya pada kontrak hadapan, sedar lah bahawa tiada kontrak di dunia ini yang tertulis atas batu. Kontrak boleh dikaji semula, dirunding semula dan macam-macam.
Lagikan ajal maut yang tertulis di Luh Mahfuz boleh “dirunding” lewat doa dan munajat – inikan pula kontrak yang manusia buat!
Dari hal mengurus, meletak harga jualan hasil sumber asli negara, bukti menunjukan masih wujud terlalu banyak ruang untuk penambahbaikkan. Mengapa tidak mula tunjuk bijak di sini?
Itu baru perkiraan untuk minyak mentah. Yang mana berpandukan maklumat awam (publicly available information) – tidak perlu korek apa-apa fail rahsia -- pun sudah cukup untuk rakyat mengumpul bukti menuduh Dolah & Menantu tidak cekap mengurus hasil nombor satu negara.
Berbalik kepada cerita subsidi minyak yang Khairy Menantu Dolah bisingkan berjumlah RM42 bilion setahun atau RM3.5 bilion sebulan. Maklumat awam menunjukan jumlah tersebut adalah lebih kecil berbanding hasil jualan (a) minyak mentah + (b) gas asli + (c) lain-lain produk petroleum yang berjumlah RM9 billion sebulan.

RM9 bilion tolak RM3.5 bilion masih ada lagi RM5.5 bilion.
Maka sampai saya kepada “soalan pandir” – apa yang memekak sangat seolah-olah wujud satu krisis, satu kegawatan kewangan yang maha dasyat, hinggakan tidak menyempat untuk naikkan harga petrol?

Tanpa Nama

Tak perlu lah nak memikirkan "kontrak hadapan" atau mencari sesuatu yang "tak kena" dengan pengurusan di Petronas. Menyedut minyak dengan "percuma" dari perut bumi tidak akan membawa kerugian sedikitpun melainkan minyak atau hasil dari minyak itu "dicuri" oleh pihak lain setelah disedut dari perut bumi milik rakyat Malaysia ini.

Laporan kewangan Petronas yang kabur menyembunyikan banyak perkara yang sepatutnya diketahui oleh rakyat Malaysia, pemilik sebenar kepada kekayaan buminya ini. Rakyat mahu tahu, ke mana hasil dari minyak itu dibelanjakan hingga ke sen terakhirnya - bukan hanya menyatakan perolehan dan keuntungannya sahaja.

Malangnya, laporan tersebut tidak akan diketahui umum selagi kerajaan yang ada sekarang tidak telus dalam menguruskan hasil dari kekayaan bumi Malaysia ini. Ketidak-telusan inilah yang membuahkan isu rasuah kronik sekarang dan kerana inilah juga rakyat Malaysia terpaksa "membayarnya" dengan kenaikan inflasi yang tinggi. Dengan memakai "hukum keabadian jisim/tenaga" kita seharusnya faham, jisim/tenaga tidak boleh dicipta atau dimusnahkan - ia hanya ditukarkan kepada bentuk yang lain; dan "kesusahan" yang kita hadapi sekarang ini adalah merupakan bentuk yang kita rasai dari "kecurian" hasil bumi kita.

Jadi janganlah lagi kita menganggap "ketidak-telusan" dan "rasuah" para pemimpin dan pegawai kerajaan itu tidak memberi kesan terhadap kehidupan kita... walaupun ia agak terlambat sekarang, itu kerana kita telah "memberi lampu hijau" kepada mereka ini untuk berbuat demikian selama lebih setengah abad lamanya. Ingatlah, kerana lamanya mereka berkuasa itulah yang menyebabkan mereka menganggap kuasa itu adalah milik mereka dan mereka bebas melakukan apa sahaja sekehendak mereka...

"Power corrupt and absolute power corrupt absolutely"

inasni

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.