Back to home page

Subuh (Gajah & Ikan Paus) - 2

11 Jun 2007 • 6 Komen Cetak Chenta!

Masjid Depan Rumah

masjid islam dublinMungkin motivasi untuk sanggup solat berjemaah di masjid hatta pada pukul 4 pagi (tapi kadang-kadang terlepas juga), adalah disebabkan dekatnya masjid tersebut dengan rumah saya.

Masjid Dublin letaknya betul-betul bertentangan dengan rumah saya. Jarak di antara pintu rumah saya dengan pintu masjid tersebut cumalah selama bacaan Surah ad-Dhuha.

Dengan itu, faktor jarak rumah-masjid ini sekurang-kurangnya berjaya menolak sindrom Subuh Gajah dan Subuh Ikan Paus.

Akan tetapi saya sering tertanya-tanya kepada diri saya:
Bolehkah aku selalu pergi ke masjid untuk solat berjemaah jika aku duduk jauh sedikit dari masjid ini?
Agak kerap juga saya melihat ada sebilangan jemaah yang sanggup datang ke masjid untuk solat berjemaah walaupun rumah mereka kira-kira 1 kilometer jauhnya dari masjid. Ada yang berjalan kaki, ada yang berbasikal dan ada yang berkereta. Bagi yang berbasikal dan menggunakan dua kaki kurniaan Allah, mereka sanggup datang dari jauh sama ada pada musim sejuk atau musim panas, atau pada hari hujan atau pun hari cerah.

Musim sejuk lebih mencabar kerana pada musim ini, boleh dikatakan 20 hari daripada 30 hari dalam sebulan, pasti akan ada hujan yang jatuh dari langit. Itu belum lagi masuk bab tiupan angin yang agak kencang pada musim sejuk yang bertiup dari arah Kutub Utara. Pernah beberapa kali kayuhan basikal saya dihentikan oleh tiupan angin kuat yang datang dari arah yang berlawanan.

Ada Dua Faktor

Faktor jarak rumah-masjid boleh menjadi faktor penolak atau faktor penarik umat Islam untuk datang ke masjid. Ada banyak lagi faktor sebenarnya, tetapi untuk entri kali ini, cukuplah faktor jarak rumah-masjid sahaja yang diperbincangkan di samping satu lagi faktor; iaitu faktor taqwa.

Faktor taqwa kepada Allah adalah faktor mutlak kepada semua faktor-faktor yang ada. Dengan adanya faktor ini, tidak kira sama ada rumah kita 10 meter, 1 kilometer, atau 10 kilometer jauhnya dari masjid, ia akan tetap menjadi motivasi untuk seseorang itu solat berjemaah di masjid. Faktor ini adalah jawapan kepada persoalan tentang mengapa ada juga umat Islam yang enggan atau pun berat hati untuk solat berjemaah di rumah Allah walaupun jarak di antara rumahnya dan masjid cumalah sekontot sekangkang kera.

Oleh yang demikian, soalan saya tadi, "Bolehkah aku selalu pergi ke masjid untuk solat berjemaah jika aku duduk jauh sedikit dari masjid ini?", adalah terletak pada taqwa saya kepada Allah. Ini kemudiannya membawa saya untuk melakukan sedikit muhasabah diri. Walaupun rumah saya ini di depan masjid, tetapi ada juga masa yang saya tidak dapat melakukan solat jemaah di masjid. Kadang-kadang atas sebab yang tidak dapat dielakkan dan sekali-sekala atas sebab-sebab yang boleh dielakkan. Apa yang saya pasti, saya perlu melakukan perubahan pada diri saya.

Perubahan

Kadang-kala saya agak segan untuk bercakap berapi-api tentang perjuangan Islam apabila saya masih lagi gagal untuk menyempurnakan rukun kedua Islam dengan sempurna. Akan tetapi saya menjadi lebih tidak faham apabila ada seorang ustazah bertaraf selebriti yang meremeh-remehkan kepentingan solat dalam Islam. Apakah solat itu satu perkara yang lekeh dalam agama kita?

Kita tidak perlu belajar dalam-dalam tentang mengapa patut kita solat. Tetapi cukuplah dengan kita mengetahui bahawa solat adalah perkara pertama yang Allah tanya terlebih dahulu di Akhirat nanti. Jika solat beres, yang lain juga InsyaAllah beres dengan mudah. [1]

Apapun, yang saya pasti, saya mahu ubah sedikit diri ini supaya lebih rajin dan lebih ada motivasi untuk pergi solat berjemaah di masjid atau sekurang-kurangnya di rumah, pada masa sibuk atau pun lapang. Dalam hidup ini kita mahu mengubah banyak benda dan perkara. Kadang-kala kita mahukan perubahan pada sifat, habit dan tingkahlaku kita. Tetapi dalam kebanyakkan kes, kita mahu mengubah dunia ini supaya menjadi satu tempat yang lebih baik untuk didiami.

Tetapi percayalah, jika dalam fikiran kita ada idea-idea bernas untuk mengubah 100 perkara di dalam dunia ini, dan mengubah 1 perkara yang melibatkan diri kita, maka mengubah 1 perkara berkaitan diri kita adalah lebih mudah untuk dilaksanakan. Kita boleh berusaha untuk mengubah bermacam-macam benda, tetapi perkara yang paling senang untuk diubah adalah diri kita sendiri. Cuma ramai manusia yang terlepas pandang.

Dan ini menerangkan mengapa wujud sebilangan makhluk yang berapi-api mengembangkan idea pembinaan negara Islam dan kepada pengembalian semula sistem khilafah Islam yang tumbang kira-kira 80 tahun dahulu, tetapi masih lagi kantoi untuk melakukan solat Subuh dan solat-solat fardu yang lain secara berjemaah di masjid.

Mari kita kembali kepada pengukuhan perkara-perkara yang asas dalam Islam sebelum kita mahu sembang idea-idea yang berat. Bagi yang lelaki, adalah lebih baik bersolat di masjid secara berjemaah. Orang-orang munafik di zaman Nabi juga pergi solat berjemaah di masjid kecuali pada waktu Isyak dan Subuh kerana merasakan mereka tidak akan dapat dilihat pada dua waktu yang suasana agak gelap itu.

Mari lihat sekeliling kita. Orang munafik zaman Nabi atau zaman hari ini yang lebih teruk?

Oh ya, jika mahu cari tempat tinggal, kalau boleh carilah yang dekat atau yang tidak jauh sangat dari masjid. Ke arah Subuh yang bebas dari Gajah dan Ikan Paus. InsyaAllah.

Nota Kaki

[1] Rasulullah bersabda: Allah berfirman, "Aku telah memfardukan ke atas umatmu solat lima waktu. Aku sungguh-sungguh telah berjanji dengan diri-Ku bahawa sesiapa yang menjaga solat tepat pada waktu maka Aku bertanggungjawab untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya bagi sesiapa yang tidak menjaga solat, Aku langsung tidak bertanggungjawab ke atasnya." (Hadith Qudsi; Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
---

Fakta Sampingan

Sedikit petikan dari artikel yang dimuatkan di laman web rasmi Jabatan Mufti Perak yang bertajuk Kewajipan Solat 5 Waktu:

Satu kaji selidik yang menyeluruh yang melibatkan 16,616 murid daripada 42 buah sekolah rendah telah dibuat oleh Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah Manjung pada bulan Februari 2004 lalu ke atas murid-murid tahap satu dan tahap dua sekolah rendah. Kaji selidik ini bertujuan untuk mengetahui sejauh mana murid-murid ini mempraktikkan solat 5 waktu seperti yang mereka telah pelajari di sekolah.

Dapatan daripada kaji selidik tersebut adalah seperti berikut :
  • Murid tahap satu ( 7 tahun hingga 9 tahun ) yang menunaikan solat 5 waktu ialah : 9.3 % atau 785 orang murid daripada jumlah 8,419 orang murid.
  • Murid tahap dua ( 10 tahun hingga 12 tahun ) yang menunaikan solat 5 waktu ialah : 19.8 % atau 1,619 orang murid daripada jumlah 8,197 orang murid.
  • Peratus murid tahap satu dan tahap dua yang menunaikan solat 5 waktu ialah : 14.5 %. atau 2,404 orang murid daripada jumlah 16,616 orang murid.
  • Sebanyak 77.2 % atau 12,827 orang murid tidak melakukan solat yang sempurna.
  • Terdapat juga 8.3 % atau 1,385 murid langsung tidak menunaikan solat walaupun satu waktu.

6 Komen Tambah Komen↴

Kalau bab solat di masjid ni, aku memang senang sangat nak pi kalau duk kampus tapi kalau duk rumah, masjid 5 langkah di depan pun berat rasa nak pi.

Entah kena penyakit apa pun tak tau. futur? Atau rumah aku banyak benda lagha kott.. hehe. Kat kampus tv haram jadah aku nak tengok tapi balik cuti kat rumah, 24 jam dengan tv. hehe.

Wah, lama tak comment kat blog hang ni. lama noo menghilang.

assalamualaikum. mmg betul jarak memainkan peranan, tetapi jika iman tak kuat, rumah sebelah masjid pun belum tentu pergi... faktor luaran pun memainkan peranan. kdg2 pasukan bola favourite tgh lawan kat tv, kita lebih aulakan yg tu.... ntahla....

cuba buat kajian pelajar IPT plak, berapa kerat yang solat cukup 5 waktu. Yang budak2 tu mmg belum baligh lagi, yang dah layak kawen ni pon belum tentu cukup solatnya.

terima kasih atas reminder. rumah aku yang jauhnya satu Surah al-A'la dengan basikal pun susah... ishh ishh

salam ya saudara tawel,

satu entry yang kali ni saya rasa amat telus, semoga kita semua di beri hidayah untuk terus menghidupkan sunnah...

semoga Allah memberkati saudara.

Tanpa Nama

Tawel sensei. Inilah hal yang merisaukan kita semua apabila fiqah solat dipandang entengx2. Ini baru isu perbezaan kalo waktu Solat Isyak dan Subuh adalah sangat dekat. Belum lagi isu kalau terpaksa duduk kat kutub tagha dan selatan di mana 6 bulan siang atau 6 bulan malam. Pasti timbul kekliuruan. :))

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.