Back to home page

Dakyah Bahasa yang Saya Anuti

12 November 2008 • 36 Komen Cetak Chenta!
Rukun dalam sebuah dakyah bahasa yang saya cipta dan anuti ada 2 perkara:

1) Eja setiap perkataan dengan betul walau serojak mana pun ia

Gambar tulisan pelbagai bahasaSejak mula menulis blog, saya berusaha memastikan setiap perkataan dieja dengan betul. Malah saya turut membuat entri khas bertajuk Skemakan Tajwid Bahasa Malaysia Anda bagi menyebarkan dakyah yang saya anuti itu.

Pernah sekali tulisan saya bertiangkan bahasa rojak dalam entri Bila Bahasa Kahwin Campur. Walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris telah berkhalwat di dalam karya eksperimentasi tersebut, namun saya tetap mengeja sekalian perkataannya dengan betul dan sahih.

Di internet khususnya, antara sebab utama mengapa kita wajib mengeja dengan betul adalah kerana ia memudahkan proses penyampaian dan pemindahan ilmu di kalangan para penutur bahasa yang berbeza.

Jika dibandingkan dengan Babel Fish, saya mendapati Google Translate adalah bidaah terbaik dan terpenting dalam aspek bahasa di era internet ini. Google Translate telah memudahkan proses pemahaman saya terhadap beberapa teks berbahasa Arab, Perancis dan Jepun yang pernah saya selisihi.

Semestinya, terjemahan komputer tidaklah setepat mana. Namun dengan berbekalkan sejemput common sense, educated guess dan logik, kita hampir sahaja boleh memahami keseluruhan isi kandungannya. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pertukaran bahasa penting dunia; misalnya daripada Spanish kepada English. Sepanjang pemerhatian saya pula, proses terjemahan itu semakin mantap dari masa ke semasa.

Pada waktu ini, fungsi terjemahan melibatkan Bahasa Malaysia masih belum ada di Google Translate. Bahasa Indonesia baru-baru ini sudah ada. Namun saya mendapati fungsi terjemahan Bahasa Indonesia juga sudah boleh dikira bagus. Contohnya lihat blog Hembusan ini apabila ia diterjemahkan daripada Bahasa Indonesia kepada Inggeris.

Di samping itu, Google Translate turut memiliki fungsi untuk mencadangkan terjemahan yang lebih baik (perhatikan Suggest a better translation):

Terjemahan kepada artikel Mengapa Dewan Rakyat Unik?


Maka sebagai persediaan, saya menyeru anda agar mengeja setiap perkataan dengan betul. Demi proses penyebaran maklumat dan ilmu merentasi bahasa, bermulalah dari sekarang.

Sila eja tiada, bukan xde. Sila eja saya, bukan sy atau sayer. Sila eja makan, bukan mkn. Makan apabila diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris akan menjadi eat; tetapi kalau mkn, mahu diterjemahkan sebagai apa?

Selain ejaan, tanda baca juga harus digunakan dengan betul. Contohnya ayat seperti:
nama saya tawel... saya suka makan karipap.sedap tau! Awak suka tak???
wajib ditulis seperti ini:
Nama saya Tawel. Saya suka makan karipap. Sedap tau! Awak suka tak?
Sepanjang saya berblog, seingat saya sudah ada 2 orang penutur bukan Bahasa Malaysia yang cuba mencerna (iaitu: bukan sekadar melihat) isi kandungan blog ini. Pertama oleh Lost Fish:
... Back to point. I think I've finally found a blog worth reading that I'm really interested in following, and even more surprised (at myself) that it's in Malay! Apparently my grasp of Malay isn't that terrible. I could not only see the quality of writing and the command of the language (in the written form in the least) in your posts but I could understand what was written and I would like to believe that I could follow some of the train of thought or at least grasp some of what was trying to be communicated. And without much difficulty! ...
What language is this, I am trying to translate.

Pengajarannya, setiap tulisan yang kita hasilkan berkemungkinan besar boleh diambil manfaatnya oleh orang yang tidak sebahasa dengan kita. Justeru, bantu mereka dengan mengeja setiap kalimah dengan betul.

Khalas!

2) Gunakan istilah-istilah baru bersifat organik di dalam penulisan tidak formal

Menulis blog telah memberikan saya ruang untuk melakukan eksperimentasi bahasa. Ruang ini tidak mungkin saya gapai jika saya menulis di akhbar atau majalah yang sudah tentu terikat dengan gaya penulisan formal.

Seraya itu tiadalah saya malu tersipu-sipu untuk mengembleng istilah-istilah baru dan popular seperti poyo, skodeng, masyuk, cikai, kantoi, usha dan sebagainya di blog ini. Istilah sengal yang lazimnya dikaitkan dengan masalah otot pula, baru-baru ini saya gunakannya sebagai satu kata sifat [1]. Tujuan saya menggunakan istilah-istilah tersebut adalah kerana sifat kelahirannya yang organik.

Untuk memahami apakah erti 'organik' ini, lebih mudah untuk kita melihat maksud 'makanan organik'. Makanan organik adalah makanan yang dihasilkan secara fitrah; ia tidak memerlukan agen luaran yang tidak asli. Maka 'ayam organik' bermaksud ayam yang dibesarkan tanpa pengaruh hormon tambahan. 'Sayuran organik' pula tumbuh tanpa perlu diberi baja sintetik dan disembur dengan pestisid.

Dalam konteks 'istilah organik', maksudnya ia hadir dalam kelompok masyarakat, tanpa perlu untuk kita meminjam istilah-istilah asing. Acapkali kita sendiri pun tidak pasti dari mana ia datang, bagaimana ia wujud dan mengapa semakin ramai orang memilih untuk menggunakannya.

Apa yang sedang saya utarakan ini sebenarnya adalah berkaitan dengan etimologi. Tanpa perlu untuk kita memahami panjang lebar apakah itu etimologi, maka cukuplah dengan saya mendefinisikannya sebagai satu cabang ilmu tentang asal-usul perkataan dalam sesebuah bahasa.

Dengan memahami etimologi, kita akan lebih menghargai kewujudan istilah-istilah baru dalam bahasa kita; sama ada ia bersifat organik atau pun dipinjam daripada bahasa lain. Para mujahid dan mujahidah bahasa yang sinikal terhadap penggunaan istilah poyo, skodeng, masyuk, cikai, kantoi, usha dan sebagainya dalam pertuturan seharian, sebenarnya telah bersifat sangat tidak realistik. Hujah tipikal mereka: Istilah-istilah tersebut tiada dalam Kamus Dewan.

Benar ia tiada di dalam Kamus Dewan. Namun sejak bila pula kamus menentukan istilah apa yang hendak manusia gunakan di dalam bahasa sesebuah bangsa? Kamus itu sifatnya sekadar untuk mengumpulkan istilah-istilah yang bergentayangan di dalam masyarakat. Maksudnya, mesti ada istilah dahulu sebelum terbitnya kamus:
"Kita kena faham bahawa kamus adalah merakam semua istilah yang terapung atau berada dalam masyarakat. Tetapi DBP menasihatkan istilah mana yang sesuai dalam suasana rasmi dan mana yang tidak sesuai." - Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah, DBP dan Kemandulan Minda.
Selain itu, kamus turut berperanan untuk menyelaraskan ejaan piawai bagi sesebuah istilah [2]. Contohnya jika 'skodeng' akan dimuatkan ke dalam Kamus Dewan edisi berikutnya, maka bagaimana mahu mengejanya? Skodeng, sekodeng atau skoding?

Kamus wujud apabila sistem tulisan wujud. Sistem tulisan pula adalah antara ciri sebuah masyarakat bertamadun. Oleh sebab itu kesemua tamadun-tamadun awal dunia mempunyai sistem tulisannya yang tersendiri: Tamadun Mesir dengan sistem tulisan heiroglif, Tamadun Lembah Indus dengan skrip Indus dan Tamadun Sumeria dengan cuneiform.

Dengan kata lain, sebelum manusia membentuk tamadun, mereka tiada sistem tulisan, tiada kamus dan tiada badan-badan bahasa untuk memantau istilah yang digunakan oleh masyarakat. Lalu sebelum terbentuknya itu semua, siapakah yang menentukan hidup mati sekalian perbendaharaan kata di dalam bahasa tersebut?

Jawapannya tidak lain tidak bukan; iaitu masyarakat itu sendiri. Mereka lah yang menentukan istilah-istilah yang sifatnya datang dan pergi itu. Proses primitif ini masih berlaku pada dunia moden hari ini dan akan terus berlaku sehinggalah ke hari kiamat.


Mengapa sesebuah istilah bertahan dan pupus?

Sesebuah istilah bertahan apabila masyarakat tetap menggunakannya. Istilah 'syurga' dan 'neraka' yang masing-masing berasal daripada 'swarga' dan 'naraka' di dalam Sanskrit, adalah antara yang masih kekal kita gunakan. Istilah tersebut mula wujud semenjak fasa Bahasa Melayu Kuno yang berlaku ketika Alam Melayu masih lagi di bawah pengaruh Hindu.

Apabila bahasa kita memasuki fasa Bahasa Melayu Klasik yang berlaku setelah Islam menebarkan sayapnya di Nusantara, istilah 'jannah' dan 'jahanam' mula dipopularkan. Namun sehingga sekarang apabila kita berbicara tentang konsep kehidupan sesudah mati, istilah 'neraka' dan 'syurga' yang jauh lebih berusia itu adalah yang paling relevan di hati penutur Bahasa Malaysia.

Jika Bahasa Inggeris mengalami zaman puncaknya ketika era Shakespeare, maka bahasa kita pula meniti zaman emasnya ketika fasa Bahasa Melayu Klasik. Di era inilah munculnya karya-karya sastera Melayu terbaik seperti Sejarah Melayu, Bustanus Salatin dan Hikayat Amir Hamzah. Untuk memahami seni karya tersebut dalam acuannya yang asli adalah agak merumitkan. Ia memiliki struktur ayat yang janggal kepada penutur moden dan dihiasi pula dengan banyak istilah yang sudah tidak kita gunakan lagi.

Apa yang cuba saya sampaikan ialah bahasa sentiasa berevolusi. Lenggok bahasa yang digunakan pada hari ini akan jauh berbeza daripada apa yang bakal digunakan oleh manusia pada tahun 2500. Sebahagian istilahnya pula akan pupus pada tahun tersebut apabila masyarakat beransur-ansur tidak menggunakannya lagi.

Katakanlah istilah 'skodeng' dan 'poyo' pertama kali digunakan ketika fasa Bahasa Melayu Kuno; lalu ditakdirkan bangsa kita memilih untuk terus menuturkannya. Tentu tidak rasional apabila manusia yang hidup beratus-ratus tahun selepas itu untuk mempersoalkan penggunannya.

Maka begitu jugalah dalam konteks kita pada hari ini. Apabila penutur Bahasa Malaysia semakin mempopularkan istilah 'skodeng' dan 'poyo', maka lama-kelamaan istilah itu sendiri akan jadi serasi dengan kita. Bila sudah serasi ia akan dimasukkan ke dalam kamus untuk diberikan definisi yang tepat dan ejaan yang piawai.

Pada 500 tahun yang akan datang, penutur Bahasa Malaysia di waktu itu akan menganggap 'skodeng' dan 'poyo' adalah antara khazanah istilah di dalam bahasa yang mereka tuturkan itu. Silap-silap haribulan pada tahun tersebut, ia juga akan dilabelkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sesuai digunakan untuk urusan formal.

Di samping itu, mereka juga akan terlepas pandang kepada suatu hakikat bahawa semasa sekalian istilah itu mula terapung di dalam masyarakat, mereka yang menuturkannya telah sewenang-wenangnya dilabel sebagai pelacur bahasa. Para penuduh ini sebenarnya adalah pejuang bahasa yang sangat tidak realistik kerana mereka lupa bahawa segala istilah wujud melalui 2 cara.

Pertama: Melalui peminjaman daripada bahasa asing. Ketahuilah bahawa masa yang berlalu akan menyebabkan sekalian istilah-istilah baru yang dipinjam itu akan menjadi serasi dan diterima. Jika tidak serasi, masyarakat sendiri akan menolaknya.

Hari ini kita gusar tentang penjajahan Bahasa Inggeris di dalam bahasa kita. Konon-kononnya imperialisme bentuk baru. Namun dalam masa yang sama kita masih selamba badak menggunakan istilah-istilah seperti almari, limau, garpu dan jendela yang terang-terang berasal daripada Bahasa Portugis. Eh mat, kenapa engkau masih menggunakan istilah-istilah tersebut? Bukankah ia sebuah syiar imperialisme Bahasa Portugis kepada bahasa kita yang berlaku sepanjang mereka terconggok di Melaka beratus tahun nan lampau?

Apabila Islam datang ke Tanah Melayu, bukankah para pedagang dan pendakwah berbangsa Arab juga telah melakukan imperialisme ke atas bahasa kita? Bukan sikit-sikit penjajahan yang dilakukan oleh Bahasa Arab ini. Pada hari ini, jarang orang mengkritik seorang ustaz yang menggunakan 'ana' dan 'anta' di dalam ceramahnya. Sebaliknya seorang guru Bahasa Inggeris yang sesekali tersasul dengan 'I' dan 'You' bila bercakap, sering dilihat sebagai orang Melayu yang mahu jadi mat saleh.

Sebagai nota tambahan, ana, anta, You dan I ada terdapat di dalam Kamus Dewan. Begitulah adanya.

Kedua pula adalah secara organik: Sepertimana yang dihuraikan sejak awal tadi, ia langsung tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur bahasa asing. Bahasa kita perlu lebih diperkayakan lagi dengan istilah-istilah organik.

Penutup

Untuk sesebuah bahasa itu terus berkembang, tidak pupus dan terus dituturkan, maka kita wajib bersifat liberal. Jangan takut untuk bereksperimentasi dengan istilah-istilah organik dan pinjaman. Jika kita terlalu keras dalam proses kemasukan istilah baru, maka silap haribulan bahasa kita akan senasib seperti Latin yang sudah pupus itu. Bahasa yang sudah pupus tidak menerima kemasukan kosa kata yang baru.

Salah satu kekuatan Bahasa Inggeris adalah dari sudut etimologinya. Ia membuat pinjaman bahasa-bahasa asing dengan begitu meluas sekali; termasuklah dari Bahasa Malaysia. Bahkan bila difikirkan, kadang-kala cara bahasa tersebut memperkayakan dirinya adalah agak aneh dan melucukan.

Ungkapan D'oh yang sering dijerit oleh Homer dalam siri kartun The Simpson telah dimasukkan ke dalam Oxford English Dictionary.

Google pula sekarang bukan sekadar satu jenama, ia adalah kata kerja!

Istilah w00t yang popular di kalangan geek, di samping sinonim dengan permainan komputer Counter-Strike, telah memenangi Merriam-Webster's Word of the Year 2007 dan telah pun dimasukkan ke bahagian Open Dictionary-nya. W00t juga berkemungkinan besar akan dimasukkan ke kamus edisi cetaknya.

Khalas!


Nota Kaki

^ [1] Ia merujuk kepada entri Harian Metro yang Sengal dan Setiap Negara Ada Akhbar Sengal yang Tersendiri.

^[2] Antara ejaan yang dianggap piawai oleh kita:
  • Celupar; padahal celopar;
  • War-war atau pun uar-uar; padahal wara-wara. (Wara-wara berasal dari perkataan Jawa)

36 Komen Tambah Komen↴

Istilah subversif yang saya guna:-

blogawan
cecikut (cookies)
ulangmuat (reload)
ulanghidup (restart)
ulangbut (reboot)

Salam alayk.

Saya kagum Sensei yang berada di luar negara bangga menulis blog dengan bahasa Melayu. Bukan hendak melambung tinggi-tinggi, cuma berharap ada lebih ramai yang seperti Sensei. Saya gerun melihat bahasa Melayu yang kian terpinggir oleh bahasa Inggeris dan bahasa SMS.

Saya tidak anti bahasa Inggeris. Terkeluar tajuk sedikit - saya hendak merujuk isu Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris. Mungkin saya kurang ajar, tetapi kadangkala saya rasa orang yang beriya-iya hendakkan subjek itu diajar kembali dalam bahasa Melayu adalah semata-mata kerana dirinya tidak reti berbahasa Inggeris. Mereka menggunakan identiti kononnya memperjuangkan bahasa Melayu tetapi kalau benar mereka cintakan bahasa Melayu, mengapa hampir setiap perkataan hendak diringkasakan menjadi bahasa SMS? Perkataan 'kita' yang hanya empat huruf pun hendak dipendekkan menjadi 'kte' (entah dari mana datangnya huruf 'e' tu, saya tak tahu). Pernyataan ini hanya merujuk kepada sebahagian orang sahaja ya. Yang benar-benar cintakan bahasa Melayu, janganlah marah... (Kalau Sensei ada masa jenguk http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=91&thread_id=6513&rowstart=20 sebagai bukti saya tidak menipu).

Berbalik kepada persoalan asal, ada benarnya apa yang Sensei katakan tentang penggunaan istilah itu. Tetapi bagi perkataan yang dipinjam dari bahasa lain, saya rasa kadang-kadang ada penulis yang terlebih guna perkataan sebegitu dalam penulisan mereka. Contohnya appreciate menjadi apresiasi, manifestation menjadi manifestasi dan macam-macam lagi (yang dipinjam dari bahasa Inggeris terutamanya). Kononnya hendak jadi bombastik (satu lagi yang dipinjam), tetapi maknanya tidak sampai kepada pembaca. Mak cik-mak cik di kampung tu, manalah ada masa nak buka kamus setiap kali terjumpa perkataan 'hebat' macam tu. Pernah saya ditanya "Polemik tu apa?" oleh ibu saudara saya. "Debat," kata saya. "Alah... Buat apalah dia susah-susah nak eja polemik tu semua. Tulis je la debat, kan senang?"

Saya juga cuba memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam menulis blog. Tetapi, untuk menulis dialog seharian, saya guna juga bahasa rojak untuk rasa lebih dekat dengan kehidupan. Saya bukan pejuang bahasa yang seteguh Sensei (-.-)

Salam.
Hai!
Pernah baca buku ni?

Isu yang sama. Tentang bahasa.
Pemikiran yang (lebih kurang) sama.
Cuma awak tulis. Dia conteng.
Awak geeky tambah sengal.
Dia dua kali sengal.

Apakah perbezaan kedua-dua insan ini?
Buktikan.

Jadi...

geeky + sengal = 2sengal
geeky = 2sengal - sengal
geeky = sengal

Oo.
Patutlah. Tak ada beza.
Geek itu sengal.
Ok...ok...saya dah mula merepek.

Dalam satu kacang cengkerang,
Ini antara tulisan-tulisan yang saya sangat suka baca.
Sekarang ni ramai kata mereka pejuang bahasa tapi rasanya mereka yang terlupa (ataupun tak tahu) asal usul Bahasa Melayu (ke Kebangsaan?) yang sebenarnya.

p.s: Pergh...terasa sedikit skima dengan komen kali ini. Mungkin sebab kena jaga ejaan pun ada kot? Haha!

:|

Saya tidak pasti sudah berapa jenak saya tersangkut pada tajuk kedua tentang istilah-istilah baru bersifat organik di atas. Saya kira mungkin hampir 5 minit saya jadi orang 'blur' depan komputer semata-mata nak fikir contoh-contoh istilah organik selain daripada contoh di atas, dan 4.5 minit daripada penyangkutan saya itu hanya untuk satu istilah organik yang bukan lagi baru; 'spender' atau kita panggil 'seluar dalam', yang mana Shin Chan pula memanggilnya 'seluar gajah'.

Saya tidak pasti adakah perkataan ini asalnya tulen daripada bahasa Melayu ataupun daripada bahasa asing, kerana istilah ini juga digunakan oleh orang Inggeris, si penjajah. Namun mengikut Kamus Dwibahasa Oxford Fajar Edisi Ke-3, 'spender' bermaksud 'orang yang membelanjakan wang', so it has nothing to do with 'seluar dalam'.

Saya rasa sangat teruja ingin tahu, macam mana istilah ini boleh timbul. Pelik betul!

(Panjang dan agak off-topic. Maaf.)

Tanpa Nama

Salam Tawel
Kak su terfikir jugak...
Adakah bila menggunakan singkatan tulisan, ia menunjukkan kemalasan si penulis? Malas nak menaip panjang-panjang.

Atau menulis begitu sebenarnya mampu menjimatkan masa dan ruangan di blog? Berapa banyak masa boleh dijimatkan dgn menaip xde untuk tiada? (tidak mengambil kira bila menaip sms).
Yang menariknya, DBP ada mengeluarkan satu panduan singkatan bahasa utk SMS tapi penggunaan singkatan oleh masyarakat kita terutama golongan remaja jauh berbeza dari apa yg digariskan oleh DBP!

Bagaimana kalau kebiasaan penggunaan singkatan yg salah di kalangan masyarakat kita menimbulkan kekeliruan buat anak-anak kecil yg baru belajar membaca. Silap haribulan, karangan bahasa Malaysia dlm exam UPSR, penuh dengan bahasa sms. Tak ke haru tu...

Dulu kak su tak faham bahasa sms ni. Pening nak faham. Tapi sebab kak su berjiwa muda (perasan atau perasaan? Errr.... kenyataan? Kekeke), maka tak menjadi masalah utk mengikuti arus 'pemodenan (atau kehancuran?) bahasa.

Perkataan yg baru seperti poyo, kantoi, skodeng dan lain-lain perkataan yg sedaerah dgnnya, dikatakan memberikan tanggapan cool pada penggunanya. Santai dan mesra (ye ke?). Entahlah... Tanggapan manusia berbeza, kan?

p/s : kak su pun ada post n3 yg guna bhs sms. malas nak taip balik... so terus hidang kopi dan pasta je lah... huhu

Tanpa Nama

@Qudwatun Hassanah, orang kampung di negara orang putih pun tak faham sangat apa itu polemic. Yang ni bukan masalah BM vs BI, tapi Bahasa Akademik vs Bahasa Orang Awam. Istilah polemik seharusnya digunakan dalam konteks perbincangan ilmiah tentang politik, falsafah dan agama sahaja.

Tentang bahagian komen yang ini: "Tetapi bagi perkataan yang dipinjam dari bahasa lain, saya rasa kadang-kadang ada penulis yang terlebih guna perkataan sebegitu dalam penulisan mereka".

Kalau kita fikir balik, zaman transisi fasa Bahasa Melayu Kuno kepada Bahasa Melayu Klasik, para penulis di zaman itu pun telah terlebih guna perkataan Arab dalam penulisan mereka. Sampai hati mereka melupakan jasa-jasa Sanskrit. Isk, isk, isk.


@Susu dan Biskut, dalam satu kacang cengkerang juga, awak pun memang sengal :| Buku tu saya baru pertama kali tahu (eh awak ada ke?). Tapi terkejut juga bila idea dari otak si Saharil tu sekufu dengan saya! Tapi ada satu yang saya sangat tak setuju; iaitu bila dia kata: "Apa salahnya bahasa SMS? Semuanya mengkayakan bahasa. Tidak kisahlah jikalau bahasa SMS itu tidak formal".

Rasanya dia tak dapat lihat perbezaan jelas di antara konsep "bahasa + ada sistem tulisan" dan "bahasa + tiada sistem tulisan".

"Bahasa + tiada sistem tulisan" sudah wujud sebelum manusia mencipta tamadun. Pada waktu itu konsep bahasa hanya berkaitan dengan penzahiran istilah melalui lisan sahaja.

Tetapi "bahasa + ada sistem tulisan" wajib ada bila bangsa sudah bertamadun. Bila ada sistem tulisan, maka akan ada sebuah badan untuk menyelaraskannya. Kalau tak ada badan ni, nanti boleh timbul banyak kekeliruan pada apa yang dibaca. Sebab apa?

Sebab sistem tulisan adalah satu-satunya cara bagaimana bahasa yang selama ini hanya mampu dizahirkan secara lisan, kini boleh di-encode-kan ke dalam bentuk tanpa bunyi, iaitu teks (ingat bahawa bahasa itu sebenarnya bunyi). Bila manusia membaca tulisan tersebut, mereka akan cuba decode bunyi yang sudah di-encode-kan kepada teks itu.

Proses encode-decode wajib mempunyai satu piawai khas bagi mengelakkan kecelaruan pada apa yang ingin disampaikan.

Sistem tulisan Bahasa SMS meranapkan piawai tersebut. Ia menyebabkan satu bunyi boleh di-encode-kan ke dalam lebih dari satu bentuk teks, contohnya 'tak apa' boleh menjadi 'xpe', 'xper' dan 'takper'. Benda ni akan mengelirukan, terutamanya dalam jangkamasa panjang.

Dan satu lagi Saharil terlepas pandang bahawa proses penciptaan tulisan Jawi yang dilakukan dengan 'mencampurkan aksara dan mencipta ejaan', sepertimana yang dikatakannya itu, adalah dibuat oleh mereka yang ada autoriti dalam bidang linguistik. Lalu inilah sebabnya Jawi boleh menggantikan sistem tulisan yang sebelum ini dipengaruhi oleh aksara Pallava dari India. Sebelum Islam datang, batu-batu bersurat di rantau Melayu ditulis dalam aksara Pallava.

Kemudian, bila penciptaannya dilakukan dalam ruang lingkup ilmiah, maka para penulis dan cedekiawan pun akan terdorong untuk menggunakannya. Lalu di era Bahasa Melayu Klasik, semakin berbondong-bondonglah kemunculan karya yang ditulis di dalam Jawi.

Ini berbeza dengan sistem tulisan Bahasa SMS. Ia dicipta kerana orang malas nak taip dan mahu jimat duit! Apabila ia juga tidak dicipta dan tidak diperhalusi dengan kaedah ilmiah, maka ia tak akan mendapat momentum sepertimana yang pernah dinikmati oleh tulisan Jawi.

Sebelum komen saya ni jadi esei, saya berhentilah di sini sahaja dulu untuk memakan biskut. :D


@Mr Big Spender, hehe saya pun sebenarnya lama juga jadi orang 'blur' semasa menyelak Kamus Dwibahasa Oxford Fajar untuk mencari istilah dalam bahasa kita yang betul-betul organik.


@Kak Suara, saya tak rasa kool bila menggunakan istilah seperti poyo dan kantoi. Cuma saya rasa dapat lebih melakukan ekspresi diri. Contohnya, cuba beritahu saya apakah dia satu perkataan lain yang lebih tepat dari kantoi, untuk memberikan maksud ringkas kepada pepatah 'Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga"? ;)

salam
akhirnya ada juga yang membincangkan tentang masalah penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat kita pada zaman teknologi dan inovasi ini. Memanglah ada yang membincangkan atau mendiskusi tajuk ini, tetapi ini kali pertama saya membaca artikel yang berkaitan dalam sebuah blog (yalah,, orang baru la katakan).

Masalah untuk memartabatkan Bahasa Melayu ini sebenarnya sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat kita. Cuma ia menjadi popular apabila isu Sains dan Matematik bermula (memang saya belajar science and math in english pon). Sebagaimana yang berlaku semasa saya PMR tahun lepas, ramai pelajar tidak dapat skor dengan baik dalam 2 matapelajaran penting ini. Bukankah sudah menjadi satu penayaan kepada para pelajar?

Seperti Jepun, biarpun mereka menggunakan bahasa Nihon-jin mereka itu, mereka tetap dapat menguasai kemajuan teknologi yang amat hebat.(blank)

alamak! hilang idea.
maaf sedikit terkeluar daripada tajuk
terasa lain kerana menaip dalam bahasa baku...

belum habis baca lagi pasal lambat nak pergi sekolah
tapi translation blog ni dari bahasa indonesia tu memang tak boleh bla
buat sakit perut je gelak

nama saya tawel... tawel my name ... saya suka makan karipap.sedap tau! I love to eat karipap.sedap you! Awak suka tak??? The crew do not like?

wajib ditulis seperti ini: mandatory written like this:

Nama saya Tawel. My name Tawel. Saya suka makan karipap. I love to eat karipap. Sedap tau! GARY you! Awak suka tak? The crew do not like?

hahaha ape nih?? xD

Encik Tawel :)

Amat menarik 'kajian' anda!

Terima kasih!

Saya telah terjemahkan lirik saya ke bahasa Inggeris.

p/s:Lepas ni nak terjemah lirik 'Karya Tuhan' ke bahasa Urdu.


Mumbling:

Aku tak punya senjata
seperti duta Amerika,
juga tak pernah ku bangga
budaya pop antarabangsa....

Kau dengan caramu,
aku dengan caraku.
Kita GEGAR GELOMBANG DUNIA
kembalikan ISLAM yang satu...

Jangan asyik mengaduh,
jangan pula asyik mencemuh,
kita paut bahu bersama,
muliakan yang paling UTAMA!

chorus:
(suara ramai-ramai)
REVOLUSI
Sang pejuang sejati
kami rela mati
untuk sampai syahid tertinggi


Mumbling:

I have no weapons
such as United States ambassador,
I also have my pride
international pop culture ....

Walking way,
I'm with the finds.
We concussion WAVES WORLD
Saints return of one ...

Do not preoccupied lament,
Also not included passionate,
our relation with the shoulder,
muliakan the most HOME!

Chorus:
(voice rout)
REVOLUSI
The true warrior
we willingly die
for the martyrs to the highest

Tanpa Nama

Salam,
Tulisan Tuan Tawel ini memang bagus. Kebetulan ketika ini saya sedang mengusahakan sebuah blog untuk mengimbangi dakyah rakansiswa.com (saya menulis komen di sini menggunakan akaun blog tersebut), jadi hal yang diperkatakan oleh Tawel itu memang kenalah dengan masanya. Hal ini kerana rakansiswa ini sebenarnya ‘benda besar’ di bawah nama College Crusade yang jaringannya melebar hampir ke seluruh dunia. Untuk jangkamasa panjang, ejaan yang betul di blog itu memang mesti diambil kira. Terima kasih atas artikel yang baik ini.

Para pendokong dakwah Pro-Tajdid (Tajdid Segar) kena ambil berat hal ejaan ni, barulah betul ‘pandang global’. : )

Sebenarnya saya ni jenis yang menulis cepat dan selalunya ada saja idea untuk menulis. Jadi masa untuk menyemak tulisan memang kurang betul, setakat sekali lalu. Nampaknya untuk blog baru itu saya kena semak dua kali lalu selepas ini. : )

Tulisan Tawel kali ini juga mengandungi beberapa ayat yang menarik, antaranya:

“Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris telah berkhalwat di dalam karya eksperimentasi tersebut” : )

“saya mendapati Google Translate adalah bidaah terbaik dan terpenting dalam aspek bahasa di era internet ini.” : )

-Alexanderwathern

(Sebenarnya dah tulis komen tadi, tapi terpadam pulak. Ni karang lain ni),

Wah! Nyaris komen balasan awak jadi "entri dalam entri". Fuh...

Erk? Tapi kenapa saya kena sengal balik?
Tak apa. Saya ada yoko-yoko. Awak ada ke?(Muahaha!)

Oh buku tu? New Malaysian Essay 1. Saya ada! (Nak pinjam?)
Buku tu tentang: (saya yakin awak dah Google pun)

New Malaysian Essays 1 is the first of a planned annual series concentrating on local non-fiction writing. From polemic to ode to memoir, this series invites Malaysian readers - and writers - to notice, analyse and interpret the living, throbbing, squelching vitality around them. Multi-disciplinary, multi-tasking and best appreciated on multi-vitamins, this first collection takes us from Brian Yap's election-era critique to Amir Muhammad's alternative lexicon by way of Burhan Baki's elegant deconstructions, Aminuddin Mahmud's seminar on branding and Saharil Hasnin Sanin's knockabout ruminations on language [in Malay] before rounding off with Sonia Randhawa's stirring call for national (and therefore personal) self-realization.

Betul apa awak yang katakan tu.
Konsep "bahasa + ada sistem tulisan" dan "bahasa + tiada sistem tulisan".
Cuma mungkin Saharil lebih terbuka dalam mengembangkan bahasa?

Masing-masing ada pendapat mereka sendiri.
Tapi yang penting, kamu berdua serius mengembangkan bahasa.
Dan itu satu usaha yang sangat mulia.

As for me,
It is always nice to hear other people's ideas.
Inspiring. Giving us hope that one day, these beautiful ideas will come true. It will.

p.s:
Saya suka makan.
Dan rojak adalah salah satu makanan kegemaran saya.
Hehe...

Bukan tak ada perkataan sesuai untuk menggantikan 'kantoi'. Cuma keindahan dan kehalusannya lebih terasa bila menggunakan ayat 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga'

Tak boleh ke guna perkataan 'terperangkap' atau 'terbongkar'? Tak sesuai ke? Atau terlalu formal? Kak su tak rasa begitu.

Tanpa Nama

@Suara, 'keindahan dan kehalusan' istilah adalah sesuatu bersifat relatif. Katakanlah 'terperangkap' atau 'terbongkar' adalah lebih sesuai berbanding 'kantoi'. Jadi ketika kedua-dua istilah ini mula terapung, adakah pada saat itu juga penuturnya mengatakan istilah ini lebih indah, halus dan tepat secara linguistik?

Maka sekiranya masyarakat akan terus memilih untuk menggunakan 'kantoi', apa kata kita biarkan masyarakat sekurang-kurangnya pada 100 tahun yang akan datang untuk menilai keindahan dan kehalusan istilah 'kantoi' ini?

Pendita Za'aba pernah menulis bahawa sebelum Perang Dunia Ke-2, istilah 'tetuang udara' digunakan untuk memanggil objek yang dipanggil oleh mat saleh sebagai 'radio'.

Nah sekarang, mengapa kita lebih selesa menggunakan istilah 'radio', dan bukannya 'tetuang udara'? Bukankah 'tetuang udara' itu lebih indah dan halus? ;)

Oh ya di samping itu juga, 'kantoi' memiliki kekuatan yang lebih berbanding 'terbongkar' dan 'terperangkap. Pertama, 'kantoi' adalah sebuah kata dasar. 'Terbongkar' dan 'terperangkap' adalah kata terbitan.

Kedua, 'kantoi' lebih ringan pada lidah kerana hanya ada dua suku kata, kan-toi. Ter-bong-kar ada 3, manakala ter-pe-rang-kap ada empat. Antara ciri-ciri bahasa yang ringan pada lidah ialah ia mempunyai suku kata yang pendek.

Salam

Saya mohon mahu di"link" kan blog saudara ke blog saya, boleh kah?
Cool writing. Well done.

Nur

Orang Indonesia menggunakan istilah "ketahuan" untuk menggambarkan apa yang orang kita sekarang sebut sebagai "kantoi". Ala... macam lagu "Wo owh kamu ketahuan pacaran lagi dengan dirinya teman baikku wo owh" tuu!

Aku tak ingat sama ada aku sendiri yang mengalaminya atau aku dengar dari adik aku (adoi, memoriku bercampur aduk!), tapi seorang guru Bahasa (guru aku ATAU guru adik aku) "marah" bebudak guna istilah "kantoi". Sepatutnya gunalah istilah "ketahuan", kata guru tersebut.

Walau bagaimanapun, untuk di sebelah sini (Utara), "TAK KETAHUAN" itu membawa maksud "TAK SIUMAN" (GILA), hehehe...

Adakalanya, kami sebut "TAK KETAHUAN PALA EKOQ" yang maksudnya lebih kurang, menggambarkan seseorang yang "tak tahu hujung pangkal" mengenai sesuatu perkara, juga membawa maksud yang hampir sama dengan perkataan "blur".

Aduhai... lama sgt tu nak tunggu 'kantoi' diistilahkan sebagai satu ungkapan berseni. Tak sempat rasanya....

Saladin...
Lama hilang...?
'Ketahuan' tu bahasa Indonesia. Tajwid bahasa Indonesia lain sikit dgn bahasa Malaysia. Lagipun macam tawel bagitahu, bahasa yang baik ialah bahasa yg ringan pada lidah. Dan 'ketahuan' ada 4 suku kata. Ke-ta-hu-an. Tak seringkas kantoi.

Errkkk... guna balik point Tawel utk jawab komen Saladin. Sorry... :D

Terima kasih kerana membakar semangat saya untuk menggunakan tajwid Bahasa Melayu yang betul. Hm.. betul atau benar?

@Kak Suara, Saladin tu pergi bertapa. Tu yang lama hilang. Hehe.

@Nooreena, betul atau benar? Maka mana-mana pun yang dipilih, akan tepatlah ia! :D

Salam Tawel…
Aduh ! terpukul jugak saya rasakan dengan tulisan anda. Asalnya saya adalah pengamal Bahasa Malaysia yang baik….tapi internet telah merosakkan amalan saya selama ini. Dalam kembara saya ke blog-blog terutama blog orang muda …saya jumpa bahasa yg luar biasa telah digunakan dan gaya penulisan yang tidak pernah saya belajar selama saya di alam pendidikan….lalu saya katakan pada diriku ini…wahai diri, kamu sudah jauh ketinggalan….ayuh! ini pembaharuan yang harus diikuti…..maka saya banyak belajar bahasa ‘sempoi’yang agak popular digunakan sekarang….saya beruntung, anak-anak murid sedia membantu jika ketemu istilah-istilah yang saya tak fahami…

Jesteru itu waktu mulanya sampai ke blog anda ini dulu, sangka saya anda seorang yang sudah berusia, berkeluarga dan mungkin anaknya lima….masakan tidak, gaya bahasa dan cara penulisan anda tidak menggambarkan dirimu órang muda’….sebab kamu juga kelihatan ketinggalan seperti saya…ngeiiihh..ngeh..ngeh

Betul la Tawel….teruknya bahasa melayu yang diperkosa oleh bangsa sendiri…hampeh !
Saya gagal menyamar ‘muda’di sebuah laman forum gara-gara gaya bahasa dan penulisan saya yang dikatakan nampak skema abis ...biaq pi la kantoi pun kerana itu bukan penting sangat bagi saya. Apa yang lebih utama ialah mesej dari tulisan saya difahami dengan jelas.

Cuma bagi generasi muda yang semakin ghairah merojakkan bahasa sendiri samada dengan mencipta pelbagai istilah baru atau cara menulis yang terlampau ringkas itu, saya rasa mereka ini memang perlu disedarkan tentang kesalahan besar yang sedang mereka lakukan. Kita kembali kepada pepatah lama yang sangat besar maknanya, iaitu bahasa jiwa bangsa….bahasa melambangkan budaya. Semakin banyak kita merojakkan bahasa kita semakin bangsa kita kehilangan ‘jiwa’mereka, bahkan budaya kita juga turut tercemar dengan amalan bahasa yang caca merba.

Tanpa Nama

Assalamu'alaikum,

Satu lagi entri yang mengajak kita membetulkan [memperbetulkan] bahasa penulisan dalam blog.

Ada beberapa perkataan yang membuatkan saya tersenyum sendirian bila membaca entri dan komen kali ini. Salah satunya ialah istilah sengal.

Ini kerana sengal juga boleh disalahtafsirkan sebagai sengau.

Alkisahnya begini,
Saya sedang bercerita tentang orang yang sengal kepada si A. Tiba-tiba si B yang berada di sebelah menyampuk "kawan saya dulu ada lubang dalam mulut dia, lepas bedah dia masih *sengal* lagi" kata si B. Saya pandang si A dan si A pandang saya. Kami gelak. Saya kata, "memang sengal!"
Si B ingat kami sedang cerita pasal sengau. (p/s: si B adalah orang pantai timur)

Tentang kantoi, untuk digantikan dengan ketahuan dalam Bahasa Melayu Malaysia agak janggal. Kita dengar pun boleh agak yang ianya bahasa Indonesia. Ditambah dengan bilangan suku katanya yang lebih panjang, dan ia juga adalah kata terbitan.

Saya juga amat anti dengan bahasa sms yang ikut sedap hati si penulis je nak singkat ikut mana dia nak (ikut mana dan kata orang perak). Sebagai contoh, "sok nk g pg2", mengalahkan davinci code la pulak.

Apatah lagi jika kita mendapat sms "Dr Rusnah bt apa?" pada waktu yang telah melepasi 11 malam. Maka dengan selamber saya menjawab "saya tak tahulah Dr Rusnah tengah buat apa malam-malam macam ni. Takkan saya nak mengintai kot!"

Kesimpulannya, saya tidak menolak penggunaan istilah baharu dalam penulisan Bahasa Melayu Malaysia, cumanya jangan melampau. Jika khalayak ramai masih selesa dan lebih selesa menggunakan istilah yang telah sedia ada, mengapa harus kita meminjam istilah dari luar. Jika menolakpun, jangan terlampau sehinggakan kita menolak istilah yang tumbuh secara alami. [Penggunaan istilah organik menyebabkan orang kimia macam saya ni faham lain. :p]

@Ummuhannah, aduh! Berusia, berkeluarga dan beranak lima? Haha :D


@Aiyrie, salam juga. Hehe lama tidak nampak! Heh, jangan tersalah faham pula istilah organik tu. :p

Tapi bila saya fikir kejap, ada juga beberapa istilah organik yang dah sekian lama popular seperti kelentong dan spender (rujuk komen Big Spender). Ada lagi beberapa istilah organik yang saya teringat masa saya mandi pagi tadi. Tapi dah terlupa pula. Adeh!

salam, abang tawel
tumpang menyibuk.saya nak kongsi beberapa perkataan organik selain spender dan poyo.
-rempit
-loko(di johor selalu dengar atau perkataan ini dikategorikan sebagai dialek?)
-menganjing(maknanya mengajuk,selalu juga dengar di kalangan pemuda johor)
-pondan ,bapok dan mak nyah
-selenga atau selenger(tak pasti ejaannya)
-yang lain-lain,pembaca boleh tambah di ruangan komen

p/s kawan saya cakap muka abang tawel skema(adakah skema juga termasuk perkataan organik atau berasal dari perkataan Inggeris,scheme)

Tanpa Nama

@Tanpa Nama di atas, adeh skema ke? Hehe. Skema dalam konteks ni rasanya tak berkaitan sangat dengan scheme.

Saya berpendapat istilah organik tak boleh disamakan dengan dialek. Loko dan menganjing tu rasanya tak diketahui oleh orang di Kelantan. Tapi kalau rempit dan bapok mungkin diketahui ramai. Eh tapi pondan ada dalam kamus tau.

Selenga/selenger tu, agak baru jugalah saya tahu ni.

Kadang-kadang,disebabkan negara kita bermasyarakat majmuk,susah juga untuk membezakan sesuatu istilah itu memang organik atau datang dari bahasa lain.Saya beri contoh,bohsia dan bohjan.Perkataan tersebut berasal dari bahasa Cina.Hampir-hampir saya sangkakan kedua-dua perkataan tersebut memang istilah organik.Antara istilah organik yang baru saya fikirkan:
-awek,pakwe,makwe,pakwe(ada kawan saya cakap makwe bermaksud mak nombor dua)
-tapau
-jakun,sakai,batak(sama kes dengan spender)
-glokal(hehehe)
dan ada beberapa kata majmuk yang baru muncul abad 21 ini seperti
-terkejut beruk
-selamba badak
-gila babi

Tanpa Nama

Salam,Abang Tawel.Saya sudah menggunakan perisian Google Translator tersebut.Apa yang saya dapati jika pengguna menggunakan tatabahasa yang salah seperti penggunaan huruf besar dan huruf kecil,makna yang keluar akan berbeza.Jadi kita haruslah menggunakan tatabahasa yang betul supaya peralihan bahasa dan ilmu menjadi lebih tepat.

Tanpa Nama

@Tanpa Nama, terima kasih! Awek, pakwe, makwe dan tapau adalah apa yang saya teringat masa mandi tu! Hehe.

Tapi bagi jakun, sakai dan batak, saya akan lebih berhati-hati nak guna. Maklumlah, nama bangsa/suku.


@Otai, satu lagi yang penting adalah tanda baca. Contohnya, jangan terus sambung perkataan sejurus selepas noktah.

BETUL: Hari ini hari Isnin. Esok Selasa.
SALAH: Hari ini hari Isnin.Esok Selasa.

Tengok macam mana kedua-dua ayat di atas diterjemahkan di Google Translate.

Assalamu'alaikum,

Encik Tawel, bagailah Encik Tawel pernah nampak saya. Heheh! [Adakah heheh juga boleh dianggap sebagai satu istilah organik?]

Salah satu cara penghasilah istilah organik ialah dengan proses gabung dan buang. Contohnya istilah lampi yang terhasil dari gabungan kata-kata "lambat pick up". Bahkan terdapat juga istilah yang terhasil dari proses ini yang telah diterima pakai dalam kamus, contohnya berdikari yang terhasil dari gabungan kata-kata "berdiri di atas kaki sendiri".

Satu lagi istilah organik yang terhasil dari proses ini ialah mencapap @ mencapub [mencari publisiti].

Nampaknya, saya telah berjaya menggunakan perkataan organik dalam ertikata yang berbeza dari tafsiran budak kimia. Heheh!

Assalamu'alaikum,

Google translator telah mengalihbahasakan "saladin convoy" sebagai "one saladin".

Agak lemah lutut juga dibuatnya bila membaca blog sendiri yang telah dialihbahasakan dengan google translator tersebut.

@Aiyrie, Wa'alaikumussalam.

Rasanya hehe tak boleh dibuat istilah sebab ada orang gelak hehe, hehehe, huhu, hoho dan lain-lain lagi. Pening kamus nanti! :D

Eh betul ke berdikari tu datang dari "berdiri atas kaki sendiri"? Tapi apa pun, patik akan sokong kalau mencapub dimasukkan ke dalam kamus. Hehe..

Saya juga sedang sedaya upaya menulis dengan tatabahasa yang baik. Cuma sesekali bila dilanda angin yang tidak betul; seperti baru dipanggil menghadap bos, tulisan terus bercampur adur. Heheheh.

+ Saya cuba menggunakan Google Translate...
Apa ke halnya nama 'Suri' di terjemah menjadi 'Paragon'? huhu

Salam.

Fakta tentang pinjam-meminjam kalimah dari bahasa lain itu memang Abqori akui ianya tidak tersangkal lagi. Cuma Abqori agak kurang setuju jika kaedah itu terus digunapakai. Dengan Bahasa Melayu yang telah berabad lama dan boleh dikatakan telah mencapai tempoh matang, Abqori rasa perangai meminjam kalimah bahasa lain itu patut dibuang. Ini kerana perbendaharaan kata Bahasa Melayu kita amat kaya. Jika ada istilah bahasa asing yang digunapakai dalam bahasa kita, dan istilah itu belum punya terjemahan yang sama di dalam Bahasa Melayu, seeloknya mereka yang bertanggungjawab, bermesyuarat untuk mencari istilah untuknya. Bukan dengan terus memasukkan kalimah itu ke dalam bahasa. Ingat lagi bagaimana boleh terciptanya perkataan pangsapuri selepas terbinanya bangunan-bangunan berbentuk kubus di Pekeliling?

Kita banyak meminjam daripada Bahasa Inggeris kerana salah orang kita juga. Rujuk Hujah ini.

Organik? Hmm.. memang kalimah skodeng, poyo, sengal itu organik. Tapi Abqori tetap rasa itu bahasa pasar. Cuma ianya digunakan oleh orang bandar. Memanglah Kamus Dewan patut merakamkannya. Tapi dengan suatu label, iaitu bahasa pasar orang bandar atau Kuala Lumpur. Ia jadi terkenal kerana, sebagaimana yang Abqori katakan tadi, digunakan oleh orang bandar. Cuba lihat kalimah bahasa pasar organik yang digunakan oleh orang kampung, contohnya gegek. Ada saja dalam Kamus Dewan, padahal bahasa pasar versi Kelantan dan yang paling penting tak terkenal langsung. Biasalah! Orang bandar kan sering mendominasi. Kalau nak diukur dari sudut keorganikan, lebih baik kita gunakan kalimah organik orang kampung, sebab ia lebih dan lebih dan lebih organik dari kalimah organik orang bandar. Ini kerana bahasa orang bandar banyak dipengaruhi bahasa lain kerana percampuran budaya dan masyarakat yang berbeza-beza dalam sesebuah bandar.

Ulama-ulama Arab terdahulu (terutama ulama-ulama sebelum tahun 250 Hijrah) untuk memahirkan lughah, mereka akan pergi berdiam bersama orang-orang Badawi (orang kampung bagi istilah kita) semata-mata untuk mendapat bahasa. Mereka lari dari kesibukan bahasa orang hadhari (orang bandar dalam istilah kita, dan istilah ini tiada kaitan dengan mana-mana kerajaan). Contohnya seperti Imam ……………. (tak berani nak tulis, takut-takut terfitnah mereka rahimahumullah. Nanti Abqori check balik). Bahkan syair-syair orang bandar sehingga tahun 150 Hijrah sahaja yang dianggap suci fusha dan boleh dijadikan rujukan untuk mencari maksud mana-mana kalimah-kalimah Al-Quran. Tetapi, lain pula dengan syair-syair orang Badawi, ianya boleh digunakan untuk tujuan demikian selagi syair-syair itu masih dilantunkan sebelum 250 Hijrah. 100 tahun subsidi untuk mereka ditambah. Kenapa? Kerana keterlebihorganikannya. Suci dari pengaruh luar. Jangan lupa, organik juga membawa maksud tidak terkesan dengan pengaruh luar.

Jadi jika Abqori mahu gunakan kalimah organik dalam tulisan Abqori, adalah lebih baik Abqori gunakan yang berasal dari kampung Abqori. Contohnya seperti selenge yang bermaksud poyo, dodol yang bermaksud hek eleh, cebe yang bermaksud malu tebal muka. Tapi kerana ianya tidak digunakan secara meluas (walaupun organik), tak pasal-pasal ianya dicop sebagai bahasa pasar. Oleh itu, Abqori perlu menimbang terlebih dahulu jika mahu menggunakan kalimah organik orang bandar dalam tulisan Abqori, kerana kalimah organik kampung Abqori jauh lebih precious (kalimah ini juga salah satu kalimah organik orang kampung Abqori. Hehe) daripada kalimah yang bandar mari.

Kantoi! Itu bahasa lama itu. Abqori ada buktinya. Hahaha! Jangan cari dalam Kamus Dewan. Memang tak ada. Tapi cari dalam novel Manikam Kalbu tulisan Faisal Tehrani (@tawel & susu dan biskut : Abqori ada novel ni, awak berdua nak pinjam ke?). Halaman 104, perkataan kelima dari baris lima. Apa yang anda jumpa? Cuma ejaannya sedikit berbeda. Tetapi maksudnya tetap sama. Takkanlah Faisal Tehrani suka-suki saja memasukkan kalimah yang tiada dalam bahasa ke dalam novelnya. Tambahan lagi, novel ini mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Sayembara Mengarang Sempena Perayaan JUBLI EMAS DBP. Nak tahu beliau dapat dari mana, kenalah tanya pada manira atau kucing Abqori (siapa yang tak faham ayat ni sila baca novel berkenaan dan blog saya, wawawa).

Konklusinya, ini maklumbalas Abqori pada dakyah Tawel :
1) Abqori setuju sangat. Abqori pun masih belajar mengeja.
2) Laka dakyahka wa li dakyahhi. Tapi kadang-kadang bila datang waktu sengal Abqori, sesuai juga Abqori menganutnya.

p/s: Abqori dah muncul semula. Kalian tak nak peluk ucap selamat dulu ke? Alamak, jadi esei la pulak. Rugi tak telan biskut dulu tadi. Crunch! ;p

@Abqori, *peluk dan barkaaat salamat* :D

Okay lurus kepada beberapa poin (straight to the several points):

Kita banyak meminjam daripada Bahasa Inggeris kerana salah orang kita juga.

Fenomena ini bukan hanya berlaku dalam masyarakat kita sahaja. Ia bersifat global. Rujuk fenomena Denglisch, Franglais. Bahasa Itali pun terkena juga! Bukankah ia antara bahasa utama dunia? Kalau gajah pun terkena palitnya, apa pula yang keji dan pelik bila ia berlaku pada sang pelanduk?

Kita telah paranoid pada suatu sunnah bahasa yang dah berlaku sejak manusia mula bercakap.


Organik? Hmm.. memang kalimah skodeng, poyo, sengal itu organik. Tapi Abqori tetap rasa itu bahasa pasar.

Macam mana kita nak definisikan bahasa pasar sebenarnya? Kalau segala istilah-istilah baru yang digunakan adalah 'bahasa pasar', maka sejak Zaman Paleolitik lagi kita telah pun menggunakan 'bahasa pasar' kerana istilah-istilah baru akan muncul dari masa ke semasa.

Adakah juga kalau kita menggunakan istilah-istilah lapuk yang popular di era Bahasa Melayu Klasik seperti kerama, biaperi, remak, memalis dan sebagainya, maka kita telah pun menggunakan bahasa yang tidak pasar? Tapi fahamkah orang kepada kita pada akhirnya? Apa tujuan bahasa sebenarnya? Untuk mengekalkan keaslian linguistik, atau pun untuk memudahkan pemahaman dalam komunikasi?

Kalau keaslian bahasa 100% yang ditekankan, bahasa mana di dunia ni yang benar-benar asli? Latin dan Sanskrit mungkin contoh terbaiknya. Err, tapi ia sudah pun lama pupus.

Ah sebelum menjadi esei juga komen saya ini, maka secara ringkasnya saya menegaskan bahawa dakyah bahasa yang saya anuti melihat bahasa pasar sebagai bahasa yang mempunyai struktur ayat yang tunggang-langgang.

Hanya semata-mata kita menggunakan istilah yang formal dan terdapat di dalam kamus, ini tidak bermakna kita boleh menyusunnya dalam laras bahasa yang betul dan boleh difahami orang.

Evolusi bahasa ke arah kesopanan bahasa :)

Jamban > tandas > bilik air

Babi > khinzir

dan macam-macam lagi...

Assalamualaikum

Huruf 'B' untuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Jepun atau apa-apa bahasa pun silalah guna huruf kecil untuk mematuhi tatabahasa yang betul. Kalau orang lain mungkin saya buat tak tahu tapi kerana Encik Tawel telah menulis berbakul-bakul artikel yang menunjukkan cinta kepada bahasa kebangsaan, maka sengajalah saya mahu menguji kecintaan itu. Sila jangan marah saya ya?

Komen saya ini tak perlulah diluluskan. Buat malu yang menulis sahaja. Permintaan sekali lagi; harap jangan marah. Hanya memberitahu.

@Qudwatun Hassanah, salam juga. Hehe, tiada apa-apa masalah untuk teguran. Cuma saya rasa, yang benarnya memang 'B' adalah dalam huruf besar. Contoh Bahasa Malaysia.

Betol juga. Baik selepas ini blog saya dieja dengan betul!

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.