Back to home page

Halangan #1: Kenderaan Melambangkan Status

14 Jun 2008 • 18 Komen Cetak Chenta!
Tulisan ini mempunyai 2 bahagian. Baca bahagian pertama. Ini bahagian kedua. Bahagian kedua mempunyai 5 pecahan. Halangan-halangan ini tidak disusun berdasarkan sebarang keutamaan.


Angan-anganku di suatu masa
Basikal kan ku tukar kereta

Tapi kekasihku tidak setuju

Mungkinkah dia rasa cemburu

[Sudirman - Hidup Sederhana (Basikal Tua)]



Saya tidak pernah sekali pun curang kepada basikal sepanjang berada di kota Dublin kerana di sini status seseorang itu tidak terlalu dinilai pada jenis kenderaan yang sering digunakannya. Di sini, tiada siapa yang akan memandang jelek sekiranya basikal menjadi alat pengangkutan utama kita. Malah tiada siapa juga yang akan melemparkan pandangan menghina sekiranya kita tidak memiliki sebuah kereta sehingga ke akhir hayat.

Paradigma yang positif ini mewujudkan suatu masyarakat yang tiada perasaan rendah diri sekiranya mereka memilih untuk berbasikal. Oleh sebab itu ada juga para profesor di sini yang dengan gembiranya berbasikal ke universiti walaupun sebenarnya mereka ini memiliki kereta.

Kenderaan sememangnya melambangkan darjat dan status seseorang itu, namun cara ia dimanifestasikan di Malaysia adalah agak negatif. Kita terlalu memandang rendah kepada orang dewasa yang mengayuh basikal. Mereka ini dianggap sebagai orang miskin dan gagal dalam hidup. Halangan ini hanya boleh dirobohkan sekiranya kita memekakkan telinga kepada apa yang orang mahu kata. Oleh kerana halangan ini bersifat psikologi yang berkaitan dengan ego manusia, maka saya tertanya-tanya adakah mentaliti kenderaan melambangkan status ini akan lenyap sekiranya sistem pengangkutan awam kita menjadi efisien seperti di negara-negara maju, yang mana rakyatnya hampir boleh ke mana sahaja dengan menaiki kenderaan awam?

Mentaliti yang negatif ini sebenarnya mula terbentuk semenjak di zaman sekolah lagi. Apabila berada di tingkatan 4, ramai pelajar sekolah yang mula curang kepada basikal kerana mereka sudah terlalu teringin untuk menunggang motosikal. Kata sebilangan mereka, bermotosikal ke sekolah dapat meningkatkan karisma diri dan lebih mudah mendapat awek. Sesudah tamat SPM pula, ramai ibu bapa yang mahu anaknya mengambil lesen kereta. Apabila anaknya ini berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading, ibu bapa yang agak berkemampuan pula, tidak keberatan untuk membelikan kereta untuk memudahkan anaknya bergerak ke sana-sini.

Hal ini membentuk suatu budaya yang tidak sihat: Kita diajar supaya memiliki motosikal dan kereta secepat yang mungkin kerana inilah cara bagaimana untuk seseorang itu menzahirkan kejayaan dalam hidupnya. Mereka yang masih lagi menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan komuter untuk ke tempat kerja, apatah lagi berbasikal, dihukum sebagai kabilah yang masih tidak pandai memburu duit untuk membeli kenderaan sendiri.

Lalu terjadilah peer pressure yang mempengaruhi kita untuk turut memiliki kenderaan sendiri memandangkan rakan di tempat kerja yang lain sudah semakin ramai yang berkereta, walaupun pada hakikatnya ramai juga di antara mereka ini masih belum pun beranak-pinak. Akibatnya masyarakat kita jarang melihat pengangkutan awam itu sebagai satu kemudahan yang perlu digunakan sekerap yang boleh. Sebaliknya kita melihat ia sebagai halangan yang perlu dibuang jauh-jauh apabila kita sudah mampu membeli kereta. Saya sering mendengar alasan "Dah tak pandai naik bas" yang dilontarkan oleh orang-orang yang sudah biasa berkereta ke tempat kerja.

Hal ini menyebabkan gerakan bagi menuntut supaya kerajaan memperkasakan sistem pengangkutan awam di Malaysia sukar untuk membuahkan hasil. Kita hanya agresif membangkitkan soal keberkesanan pengangkutan awam hanya apabila timbul isu kenaikan harga minyak. Kalau rakyat sendiri tidak komited untuk menggunakan pengangkutan awam, maka apa yang boleh diharapkan dari kerajaan?

Sebab itu apabila harga minyak di Malaysia naik sebanyak 30 sen pada tahun 2006 dan penjimatan subsidi sebanyak RM 4.4 bilion itu dikatakan mahu digunakan untuk menaiktaraf dan memperbaiki sistem pengangkutan awam negara, apa sebenarnya yang telah kerajaan lakukan dalam masa dua tahun ini? Rakyat kurang memberikan tekanan kepada kerajaan dalam hal ini.

Saya pernah diketawakan oleh seorang rakan berwarganegara British apabila saya bertanya kepadanya bila dia akan mengambil lesen memandu. Waktu itu dia berusia 21 tahun dan masih lagi merupakan seorang pelajar. Kejadian saya diketawakan itu berlaku di hadapan rumahnya yang berada di East London. Rupa-rupanya remaja di UK tidaklah begitu ghairah untuk mengambil lesen kereta dan motosikal setelah mereka tamat sekolah menengah. Keberkesanan sistem pengangkutan awam di United Kingdom sebenarnya tidak memerlukan rakan saya ini untuk menjalin sebarang hubungan cinta dengan kereta. Malah apabila rakan saya ini berkahwin nanti dan belum lagi beranak-pinak, adalah tersangat logik baginya untuk masih tidak memiliki kereta.

Situasi yang kontras berlaku di Malaysia. Menziarahi rumah keluarga kekasih buat kali pertama dengan menaiki kapcai mungkin satu tindakan yang tersangat tidak bijak, lebih-lebih lagi jika keluarga itu agak berada. Jika Kancil yang dibawa oleh lelaki berkenaan, mungkin tiada apa-apa halangan. Jika Mercedes yang dipandunya, maka kita selaku jirannya harus mempersiapkan telinga untuk mendengar bagaimana ibu perempuan ini akan bersyarah tentang jejaka yang menziarahi rumahnya semalam.

Kita harus mengubah mentaliti ini sekarang. Kenderaan seharusnya dilihat sebagai alat untuk memudahkan kita bergerak dan bukannya sebagai neraca untuk menimbang status seseorang itu. Orang yang sering berbasikal dan menggunakan perkhidmatan awam bukan semuanya loser. Entah-entah mereka ini lebih banyak duitnya memandangkan mereka tidak perlu membayar ansuran bulanan kereta dan membeli minyak. Mana tahu juga duit yang dijimatkan ini mereka gunakan untuk melabur dalam mana-mana saham yang halal? Golongan yang suka melabur ini memahami bahawa aset seperti kereta memiliki nilai yang semakin meyusut dari tahun ke tahun.

Sesungguhnya basikal tidak pernah menilai darjat seseorang yang ingin hadir dalam hidupnya. Maka basikal wajib dilihat sebagai sebuah alat pengangkutan yang harus digunakan oleh mereka yang berpendapatan rendah atau pun besar. Sebab itulah basikal tetap menjadi pujaan hati di kebanyakan negara-negara kaya yang terdapat di Eropah, mahu pun di negara yang miskin seperti Cuba. Bagaimana rakyat Cuba boleh tiba-tiba jatuh cinta kepada basikal?

Apabila Kesatuan Soviet roboh pada tahun 1991, Cuba sebagai sebuah negara berfahaman sosialis, juga merupakan sebuah negara tropika yang suhu kepanasannya lebih kurang Malaysia ini, telah terjejas teruk ekonominya. Aktiviti import dan eksportnya berkurangan sehingga 80 peratus; KDNK-nya merudum. Ramai rakyatnya jatuh miskin secara tiba-tiba.

Krisis ekonomi yang melanda ini juga menyebabkan Cuba semakin sukar untuk mengimport minyak mentah dan senario ini tentunya sungguh mengerikan kerana pergantungannya yang agak tinggi kepada teknologi yang berasaskan tenaga minyak. Krisis ekonomi ini kemudian membawa kepada krisis makanan yang akhirnya menyebabkan setiap rakyat Cuba secara purata kehilangan berat badan sebanyak 13 kilogram.

Kekurangan minyak telah memandulkan banyak kenderaan-kenderaan berenjin di Cuba. Bas-basnya pula sudah tidak boleh lagi gah menderum di jalanan. Sistem pengangkutan awamnya lumpuh dan ini membuatkan rakyat sukar bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan Cuba telah mengagihkan berjuta-juta basikal buatan China kepada rakyatnya. Di sinilah bermulanya bibit-bibit cinta rakyat Cuba kepada basikal. Akhirnya, aktiviti berbasikal telah sebati dalam diri masyarakat Cuba dan sekarang ini jumlah basikal telah pun mengatasi jumlah kenderaan bermotor.

Cuba beransur-ansur bangkit dari mimpi ngerinya. Malaysia boleh belajar banyak perkara daripada pengalaman Cuba menangani krisis ekonomi, tenaga dan makanannya. Andainya dikau mengerti wahai kita semua (dan pak menteri sekalian).

18 Komen Tambah Komen↴

"Kekurangan minyak telah memandulkan banyak kenderaan-kenderaan berenjin di Cuba" --> pernyataan ini sungguh lawak :D

Mungkin kita boleh memohon supaya pak menteri dan wakil rakyat memulakan kempen berbasikal kot.

Kenderaan melambangkan status kerana harga kereta di Malaysia adalah lebih mahal daripada negara sekeliling :). Bila lah agaknya harga kereta di Malaysia akan turun...

En Tawel, terima kasih kerana membuat artikel yang relevan dan kena pada masanya. Izinkan saya memberi sedikit komen.

1) Kadang-kadang, kita diberi pilihan untuk berkenderaan. Namun begitu, ada syarikat yang tidak membenarkan staf pangkat tertentu ke atas menaiki motosikal. Hendaklah berkereta. Dan kereta ini mestilah mempunyai ciri-ciri keselamatan tertentu (airbag etc) dan selalunya kereta ini bukanlah kereta yang murah. Hujah yang diberi: Keselamatan. Mungkin hanya selepas sistem untuk penunggang basikal diperbaiki, barulah keselamatan penunggang lebih terjamin, dan barulah mungkin syarikat2 ini membenarkan staf mereka berbasikal.

2) Saya berbasikal untuk ke kerja setiap hari. Berdasarkan pemerhatian saya, keselamatan adalah satu aspek yang tidak terjamin. Jumlah lori dan cara memandu lori di malaysia sangatlah tidak bertimbang rasa. Untuk memastikan sistem yang lebih selamat, kita boleh membuat trek basikal, atau mengurangkan jumlah lori di jalan raya.

Untuk mengurangkan jumlah lori di malaysia, kita perlukan sistem keretapi landasan berkembar. Sistem ini juga boleh memudahkan penunggang basikal ke tempat yang lebih jauh (train boleh bawa basikal, bas susah). Ia akan sangat-sangat membantuk 'connectivity' penunggang basikal.

-sekian setakat ini-

@Hafiz238, buat masa sekarang ni tak bijak rasanya kalau pak menteri dan wakil rakyat nak mulakan kempen berbasikal. Boleh kena booo. Hehe ;)

Dan tak galakkan juga mana-mana orang politik untuk bagi cadangan macam tu selagi ada 2 halangan yang masih tak boleh dirobohkan. 2 halangan ni akan disambung nanti.

@Zacharias, haha sesungguhnya daku berbangga sebagai juniormu. Tak pernah tahu lagi hatta mana-mana member sendiri yang berbasikal ke tempat kerja. Terima kasih atas fakta nombor 1 tu. Tak pernah tahu pun sebelum ni.

Tentang fakta nombor 2, iaitu faktor keselamatan, memang antara halangan yang saya pun nampak sama. Halangan ni lah yang paling buat saya teragak-agak untuk berbasikal di Malaysia. Nanti-nanti insyaAllah saya sambung pasal benda ni.

en.Tawel,
nilai kereta semakin lama memang semakin menyusut. setelah habis bayar malah jatuh nilainya. itulah kenapa saya terpikir untuk jual kereta yang saya bayar ansur dengan kereta buruk tapi beli cash.

ah memang sepatutnya jangan peduli pandangan orang.

salam tawel

kini ku mengerti erti kecuranganmu...ianya wajar...bahkan basikal tuamu seharusnya tidak cemburu....kerana kesetiaan bukanlah selamanya jawapan pada sebuah kasih sayang...jesteru kecurangan itu kadang2 terjemahan kepada sebuah kerinduan..cheeeewah...klasik punya jiwang2..

akak teringin le naik beskal pi keja...tapi camna yek...ada tak basikal yang boleh angkut anak2 akak ni...beg2 skolah...bakul susu...buku-buku,handbag, payung...kekadang kena bawak bakul yg penuh berisi bekalan makanan...hmmm..banyak benda sampingan yang perlu dibawa ke tempat kerja weh...beskal boleh bawak ke ??hmmm...lagi satu....pelana dia kecik dik....tak berdaya menampung kaum wanita yang banyak mengalami perubahan fizikal...mau lenguh pinggang eden nak sampai kat tempat kerja...kesiannn...naik keta gak best...walaupun harga minyak buek akak senak perut...akak sabau...

Tanpa Nama

Alahai, sedih pula bila baca kisah En Tawel diketawakan oleh warga British tu..sy yang telah menganggur lebih 6 bulan ni tapi tetap belum ambil lesen kereta atau motorsikal..dan sy 'diketawakan' pula oleh warga Malaysia..isk3~

Tanpa Nama

Assalamu'alaikum...

Saya kurang setuju jika dikatakan menunggang basikal ke tempat kerja kelihatan jelek atau berstatus rendah. Ini kerana saya tidak melihat begitu, bahkan saya pernah amat menghormati cikgu saya yang ke sekolah dengan berbasikal. Adakah saya pelik berbanding rakyat Malaysia yang lain?

Tetapi, memang pelik jika di Malaysia kelihatan seseorang menunggang basikal dengan berkemeja dan bertali leher, apatah lagi siap berkot sekali.

Saya amat bersetuju, kita di Malaysia seperti menggalakkan mempunyai lesen kenderaan pada usia yang muda. Bahkan di tempat saya bekerja (Lab. Officer), di sebuah IPTS di pekan kecil yang bernama Kampar, kelihatan deretan kereta yang perbagai jenama dari Kancil sampailah kepada WV yang bukannya dipandu oleh pensyarah melainkan pelajarlah adanya.

Mereka belum mempunyai kerjaya, tapi telah disogokkan dengan kereta mewah. Apakah yang akan terjadi setelah mereka berkerjaya? Takkan mereka nak downgrade kenderaan mereka. Mesti mereka nak cari yang lebih mewah.

Sebenarnya pada waktu menulis komen ini, saya terperangkap di Pudu Raya. Menunggu bas. Sampai pudu pukul 3, tapi bas terawal ke Kampar yang ada ialah pada pukul 7. Semasa saya belajar di Shah Alam dahulu, perkara ini hanya berlaku pada musim perayaan. Pada hari-hari biasa, hampir sejam sekali ada bas ke Kampar. Inikah peningkatan mutu pengangkutan awam yang dilakukan oleh PL?

Alangkah baiknya jika Tun Mahathir menyiapkan dulu projek landasan berkembar KL-IPOH sebelum melepaskan jawatannya. Sudah 4 tahun saya disusahkan oleh PL yang telah *menangguhkan (baca: batal)projek tesebut yang sepattnya siap pada 2004.

Minyak semain naik, tapi pengangkutan awam semakin teruk. Saya hampir naik minyak.

*merujuk kata-kata beliau tentang IFC/IRC.

@Ummuhanah, bukan saya suruh semua orang pergi kerja naik basikal. Pada mukadimah artikel sebelumnya pun saya cakap:

Saya percaya sekiranya saya dapat merobohkan sekurang-kurangnya satu halangan, maka saya akan lebih bersemangat untuk pergi ke pasar, kedai, masjid, rumah jiran dan menghantar anak penguin saya ke tadika dengan menggunakan basikal. Jika kelima-lima halangan ini berjaya dirobohkan, maka tidak mustahil saya akan berbasikal untuk ke tempat kerja (dengan syarat jaraknya tidak melebihi 5 km).

@Neni, nilai basikal pun memang akan makin menyusut. ;)

@Aiyrie, saya pun tak melihat begitu, tapi inilah realitinya. Tapi saya tak pelik kalau ada rakyat Malaysia yang berbasikal dengan berkemeja dan bertali leher.

Yang paling saya pelik, apa pasal kita kena bertali leher di Malaysia? Budaya Barat yang kita import membabi-buta ini amat pelik. Orang-orang di negara yang sejuk ni pun akan cuba untuk tak bertali leher apabila suasananya panas, contohnya masa musim panas sekarang ni.

Dan kalau musim sejuk pun, ramai pensyarah-pensyarah yang mengajar di universiti di sini, yang tak memakai tali leher. Maksudnya, tali leher bukan salah-satu dari kod pakaian mereka. Tapi kenapa kita di Malaysia ni, yang berhawa panas, diwajibkan pula memakai tali leher, lebih-lebih lagi pekerja kolar putih? Dan kalau tak silap, para pelajar di UiTM diwajibkan memakai tali leher pada hari Isnin?

tapi tawel, aku tak setuju la ko salahkan mak ayah suruh anak ambil lesen kereta awal. Contohnya, dalam kes aku, parents aku selalu juga outstation. Pernah sekali tu, bapak aku diserang sakit (buah pinggang kot) dan aku tengok je, tak berdaya membantu, sebab takde lesen kereta nak bawa ke klinik. Tapi aku bawa juga. Nak tunggu ambulans, lagi la sangap, entah bila akan sampai.

Jangan terlalu negatif. Action dan reaction. Mungkin sesetengah orang berbangga, dan ada pilihan. Tapi ada yang tiada pilihan, yang MESTI ambil lesen untuk urusan keluarga dan sebagainya

Memang patut pun kalau tak setuju wahai Zacharias! Perbincangan tentang antropologi budaya tak seharusnya dilihat secara binari; iaitu 0 atau 1, true atau false, all-or-nothing. Maksudnya tak semua macam tu, dan dalam hal ni saya mengambil apa yang lebih dominan.

Kalau ada 10,000 anak jati Belanda yang menyampah naik basikal di sana, ini tak semestinya akan merombak persepsi masyarakat dunia yang melihat rakyat Belanda suka berbasikal ke mana sahaja.

Kalau ada 100,000 rakyat Amerika yang tidak terpengaruh dengan idea individualisme, ini tak bermakna Bush, Al-Gore, Obama atau McCain boleh menggunakan hujah ini untuk menipu penduduk dunia bahawa indiviualisme bukan budaya Amerika.

Kesimpulannya, budaya tetap dinilai pada aspek yang lebih dominan, tanpa menafikan kewujudan aspeknya yang pasif dalam jalur spektrum sesuatu budaya tersebut.

Assalamu'alaikum...

Ya Encik Tawel, maksud saya sama seperti Encik Tawel. Pelik kerana mesti memakai tali leher di kawasan beriklim yang panas dan lembab sepanjang tahun ini. Apatah lagi kalau bertali leher sambil berbasikal delam cuaca yang panas, mestilah lagi pelik.

Dan memang anda tak silap, Masa saya belajar di UiTM dulu, begitulah hukumnya pada setiap hari Isnin. Pernah kawan saya yang menunggang motosikal di saman kerana tidak mengenakan tali leher semasa menunggang motosikal. Gilo apo! Takkanlah nak biarkan tali leher melayang-layang dan kekadang menutup mata kesan halaju motosikal yang sedang bergerak?

Tawel said: Tak panas ke bawa basikal kat Mesir tu?

Abqori say: Sebenarnya selepas sampai ke Mesir, Abqori jadi fobia dengan segala benda yang menyejukkan. Percaya atau tidak, di musim panas ini kadang-kadang Abqori masih lagi mandi dengan air yang dipanaskan (guna mesin yang dipanggil sakhonah). Jadinya di Mesir, kalau ada orang give up guna basikal, itu bukan kerana kepanasan, tapi sebab sudah banyak kali kebekuan bila terpaksa berlawan dengan angin. Lagipun dari atas rumah Abqori, straight boleh nampak laut Mediterranean. Mahu lebih faham, rujuk perenggan pertama dan kedua di entri ini.

Tawel said: Menziarahi rumah keluarga kekasih buat kali pertama dengan menaiki kapcai mungkin satu tindakan yang tersangat tidak bijak.

Abqori say: Sangat setuju, sebab perkara ini pernah terjadi pada seseorang yang ended up jadi lelaki bertuah sebab kahwin dengan kakak Abqori. Tapi dia bukan bawa motor kapcai, tapi motor sport yang sebenarnya Abqori amat teruja walau hanya dibenarkan menyentuhnya, itu belum dibenarkan membawanya lagi.

Di Cuba, basikal diberi secara percuma? Di kampung Abqori masa PU yang dulu-dulu, yang ke12 kot, berbundle-bundle kanak-kanak yang dapat basikal percuma. Tapi sekarang, ketika minyak naik, tak tahu pula kalau-kalau masih ada pemberian yang dihulurkan. Serasanya inilah masa yang paling sesuai.

Konklusinya, Abqori setuju dengan statement Tawel, KENDERAAN MELAMBANGKAN STATUS.

Oh, menarik.

Alqasam juga berbasikal untuk pergi kerja sekali sekala. Cuma berbasikal hingga ke stesen bas mampunya. Kerana jalan ke tempat kerja tidak memungkinkan untuk menaiki basikal sebaliknya perlu menaiki bas, lrt dan bas ceritanya.

Berbasikal merupakan
" One of pleasure in life ".

Alqasam juga ada teman maya yang sama misi dan visinya dalam hidup iaitu " I don't walk, I don't run, I bike ".

Literally atau tidak.

Tanpa Nama

Membaca komen Encik Zacharias, saya teringat saranan saya kepada para teman serumah. Sebaik sahaja saya bertanya, "Kenapa tidak naik basikal sahaja?" dan mereka semua menjerit. "Merbahaya! Sangat merbahaya! Kami takut berselisihan dengan lori, bas dan sebagainya!"

Manaiki basikal dan tidak dipandang rendah?
1- Basikal mesti setaraf basikal lumba yang mahal harganya
2- Penunggang memakai lengkap pakaian dan gajet keselamatan seperti pelumba
3- Lebih baik jika ada polis trafik mengiringi :D

"...para pelajar di UiTM diwajibkan memakai tali leher pada hari Isnin?"

Dan pelajar lelaki UUM wajib berpakaian kemas (kemeja + tali leher) setiap hari!

...

Saya nak kongsi pengalaman "malu" saya. Waktu zaman sekolah menengah, tatkala teman sebaya saya naik motosikal ke sekolah, saya masih dihantar oleh ibu saya, kakaka! Lepas tu kalau ke tuisyen, waktu tingkatan lima, boleh dikatakan dalam rakan² saya ni, saya seorang saja yang naik basikal, sedangkan rakan sekelas saya yang perempuan pun dah ada lesen motosikal!

Dan sekarang, Alhamdulillah, saya dah ada dua² lesen motosikal dan kereta. Tapi saya cuma cekap bawa motosikal saja, kereta masih takut² nak dibawa sendirian, heh!

...

Cakap pasal bawa kereta ini, saya teringat rancangan FENOMENA SENI. Waktu itu, tetamunya ialah, saya lupa dia ni Dr atau Prof. apa nama dia, muda lagi orangnya, dan trademark dia ialah CERMIN MATANYA YANG BESAR (ala Tun Abdul Razak punya cermin mata). Dalam iklan TV untuk program FENOMENA SENI tu pun selalu naik muka dia (cakap pasal "kenapa kita pakai sari" ka apa ntah). Siapa² yang kenal dan tahu nama dia, tolong bagitau ya? Saya tak boleh ingat lak!

Anyway, dalam program itu, isu "HERO MELAYU", dia bagi analogi mengenai kalau dia buat filem yang memaparkan sejarah hidup Rosyam Nor (yang juga selaku hos program tu), dia hanya akan paparkan kehebatan Rosyam Nor, dan mungkin tak akan menyatakan bahawa Rosyam Nor TAK RETI BAWA KERETA! Dan kenyataan itu tidak disokong mahupun dinafikan oleh Rosyam Nor!

Maaflah kalau saya sorang saja baru tau, tapi ini membuktikan bahawa ada/wujud di kalangan orang kita, yang hebat, di kalangan orang lelaki, yang TAK RETI PANDU KERETA. Ada lagi saya dengar, seorang ahli politik (kawasan saya), lelaki yang juga tak memandu kereta.

Agak², orang sebegini apakah akan dicemuh oleh masyarakat lantaran hakikat bahawa mereka tak memandu kereta? Hmm... mungkin tidak kot, sebab mereka ada kereta dan boleh upah orang jadi pemandu, hoho...

...

Kita ni dari segi dasar, "minat" sangat dengan Barat, sehinggakan yang Barat tak buat pun kita wajibkan (contoh: tali leher)... ini betul² BID`AH ni!

Namun, saya lihat orang muda kita sekarang ni minat sangat dengan everything Japan. Minat anime toksah cerita la. Minat robot Gundam. Minat cakap Jepun. Minat lelaki Jepun (yang nampak effeminate). Minat tukar nama sendiri bagi bunyi kejepunan (eh, jangan terasa pulak, saya tak kata kat Sensei pun la, heh!).

Maka apakah salahnya kita ikut cara sorang lelaki Jepun ni. Nama dia Shigeru Miyamoto. Dia telah menewaskan Anwar Ibrahim dalam senarai 100 Majalah Time tu (meninggalkan 83 anak tangga kot lebih kurang, hah!). Menurut sumber yang tiada citation (En.Wikipedia, dari mana lagi kan?), beliau BERBASIKAL ke tempat kerjanya.

Haha, sanggupkah Anwar Ibrahim berbasikal? Hmm... mungkin tak perlu sebab dia janji nak menurunkan harga minyak! :P

Ahem, berbalik kepada persoalan tadi, orang hebat di Jepun pun berbasikal, maka kenapa kita pandang lekeh pada basikal?

Masa untuk berubah. Mari kita semua mengimarahkan semula basikal kita!

...

Sekian, karangan ringkas saya.

P/S: Alahai, basikalku dah berhabuk, dah TUJUH TAHUN tak digunakan! =))

@Convoy, ku sambut seruanmu untuk mengimarahkan semula basikal! Jepun tak pandang lekeh pada basikal sebab dengan jasa basikal lah mereka dapat menjelajah satu Malaya dengan pantas. Hoho.

Tentang Shigeru Miyamoto, kalau dia cipta WiiBicycle, syok gak tu. Boleh lumba basikal dalam Nintendo Wii dengan mengayuh WiiBicycle.

@Xara, saya ada idea untuk menjadikan jalan raya kita lebih selamat untuk pengguna basikal. Tunggulah saya terangkan dalam Halangan #X. ;)

@Abqori, eh macam mana boleh ada fobia kepada benda-benda sejuk pula tu? Pelik ambo..

Dan terima kasih kepada para pengomen yang lain, yang saya tak balas secara langsung.

Salam.

"Saya pernah diketawakan oleh seorang rakan berwarganegara British apabila saya bertanya kepadanya bila dia akan mengambil lesen memandu. Waktu itu dia berusia 21 tahun dan masih lagi merupakan seorang pelajar."

Saya pernah mengusik suami sambil tergelak-gelak (jahatkan saya ni?) kerana dia tidak tahu memandu, apatah lagi memiliki lesen. Waktu itu dia telahpun berusia 24 tahun dan hampir tamat belajar.

Paksaan saya untuk dia belajar memandu akhirnya telah membuatkan dia bersyukur apabila... "Kalau sayang tak suruh abg ambik lesen, mesti abg tak dapat keje ni sbb mrk hanya ambik org yg ada lesen je."

Dan saya jawab, "Kalau su tak paksa abg ambik lesen, mesti sampai ke tua su terpaksa menjadi pemandu abang..." kekeke...

Salam.

Kisah Seorang Guru dan Basikalnya yang Terlampau.

Semasa sekolah rendah, saya terpaksa berjalan hampir 4km utk ke sekolah setiap hari.Saya terpaksa meredah sawah padi yang lecah becah serta terpaksa buat aksi ala-ala komando gitu apabila berdepan dgn angsa2 nakal depan rumah Tok Som (bukan nama sebenar) yang sangat suka mengambil kesempatan mengejar dan menyudu saya yang comel ni setiap kali lalu di depan rumah beliau.

Bila dah pandai sikit naik basikal, saya memohon izin ayah menggunakan basikal tuanya (yang bertayar besar dan warna hitam tuh!) utk ke sekolah. Saya tidak rela 'dicabul'oleh angsa-angsa nakal tu.

Sekolah saya betul2 tengah bandar. jadi satu pemandangan luar biasa apabila saya; seorang budak perempuan yang masih kecil dan berpakaian sekolah, meredah jalan raya dengan basikal tua ayah saya yang besar itu, lalu bersaing dengan rakan-rakan yang rata-ratanya mempunyai basikal muda yang tentunya lebih canggih daripada basikal tua ayah saya. Setakat kena ketawa dan kena kutuk tu biasala masa tu.

Semasa menjalani praktikal tahun lepas di sebuah sekolah convent yang berprestij di P.Pinang, saya juga berbasikal ke sekolah kerana saya tiada motor mahupun kereta termasuk lesenya sekali.Pun saya diketawakan oleh pelajar-pelajar saya yang rata-ratanya bermotosikal ke sekolah atau dihantar oleh driver kereta ke sekolah dengan keta beso. Hati sedikit terguris tapi...alah bukannya saya mengajar awak guna basikal saya pun!

Apabila saya sudah mula bekerja, teman-teman yang dipostingkan sekali bersama saya sudah pun membeli kereta kini.Saya pula hanya menaiki motor cabuk atau bernasib baik dapat menumpang mana-mana guru yang berhati mulia untuk menumpangkan saya ke sekolah. Coverage pengangkutan awam tak meliputi kawasan rumah saya.Apakan daya...

Dan saya semakin terguris dan rasa luar biasa apabila saya dipandang rendah kerana menjadi satu2nya guru yang tidak mempunyai kereta di sekolah ini.

" Awak ni bila pulak nak beli kereta? Duit banyak2 buat apa simpan?Janganla kedekut sangat... belila kereta, bukannya awak tak mampu!"

" Puan, andai duit untuk membeli kereta tersebut dapat saya gunakan untuk menyekolahkan adik-adik saya, maka saya rela tak beli walaupun terpaksa merangkak untuk datang ke sekolah....tapi kalau Puan nak bagi kereta dekat saya pun ok gak!hehe," Jawab saya dengan sesopan mungkin kepada bos saya tu. Isk...isk.Teruk sangat ke kalau saya tak ada kereta?

Aduhai, janganla mandulkan fikiran anda. Tak hina seorang manusia berkasih dengan basikal. Tak jatuh darjat seorang guru yang berbasikal ke sekolah. Tak lumpuh pun ekonomi negara kalau saya tak beli kereta.

Sekian adanya.

-Tamat-

P/S : Sori ye Encik Tawel andai karangan ini lari dari tema artikel.

Tanpa Nama

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.