Back to home page

Bercinta Dengan Basikal

08 Jun 2008 • 24 Komen Cetak Chenta!
Tulisan ini mempunyai 2 bahagian. Ini bahagian pertama. Baca bahagian kedua.



Di kala harga minyak dunia yang semakin mengerikan, idea berbasikal adalah sesuatu yang genius. Kalaulah cadangan ini pertama kali dipopularkan di Malaysia oleh para pencinta alam (ehem, seperti saya) dan bukannya oleh Shahidan Kassim[citation needed], maka idea tersebut pasti tidak akan mendapat persepsi yang buruk, dan lebih malang lagi ia telah dijadikan bahan lawak oleh manusia yang naik minyak setiap kali harga minyak naik di Malaysia.

Ketika di zaman sekolah dahulu, saya mempunyai sebuah basikal untuk saya bergerak ke sana-sini. Saya sayang basikal saya dan basikal itulah kekasih saya. Malangnya apabila saya mula mengenali kapcai bernama Honda 70cc sewaktu berada di tingkatan 2, saya semakin curang kepada kekasih saya. Lama-kelamaan, hubungan kami yang erat itu terputus. Beberapa tahun berlalu, saya betul-betul tidak menyangka jodoh saya bersama basikal masih panjang. Kami sekali lagi dipertemukan di kota Dublin. Rupa-rupanya basikal tidak pernah pun menyimpan dendam terhadap saya. Maka sepanjang tinggal di sini, basikal dengan gembiranya telah menumpahkan khidmat dan baktinya kepada saya. Saya menangis terharu.

Sedihnya apabila saya sesekali pulang bercuti ke Malaysia, tabiat buruk saya yang suka bermain kayu tiga itu berulang kembali. Sepanjang bercuti, tidak pernah sekali pun kaki ini mengayuh pedal basikal. Untuk bergerak ke sana-sini, saya lebih suka meminjam motor kapcai Yamaha milik abang saya. Saya cuba menyimpan rahsia ini serapi yang mungkin kerana jika basikal yang berada di Dublin itu tahu tentang skandal ini, pasti gugur hatinya.

Namun bak kata orang tua-tua, "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga." Rahsia yang terbongkar ini menyebabkan basikal betul-betul merajuk dengan saya. Basikal tetap enggan memberikan kemaafan walaupun saya membawanya bersiar-siar di tepi terusan yang berdekatan dengan rumah saya. Buat pengetahuan, terusan ini adalah tempat yang paling digemarinya di kota Dublin ini. Kata basikal, suasana di terusan ini romantik dan boleh menenangkan hati yang resah.

Akhirnya, saya tiada pilihan lain kecuali menjualnya kepada kawan saya pada harga 55 Euro berserta kuncinya sekali. Kini segala pengalaman pahit manis saya bersama basikal hanya tinggal satu kenangan. Sehingga kini, hidup saya masih bersendirian tanpa kehadiran sebuah basikal. Namun, saya tetap keliru siapakah yang patut dipersalahkan dalam tragedi ini. Jika di sini, sayalah sebenarnya yang terhegeh-hegeh memujuk basikal supaya menjadi kekasih saya. Namun di Malaysia, basikal saya tolak jauh-jauh pula.

Setelah melakukan muhasabah diri, akhirnya saya diberikan petunjuk oleh Allah. Sebenarnya apabila berada di Malaysia, ada 5 halangan yang menyebabkan cinta saya kepada basikal beralih arah dengan begitu mudah. Saya akan menceritakan apakah halangan-halangan ini kepada sesiapa yang masih sudi membaca luahan hati yang tidak seberapa ini.

Saya percaya sekiranya saya dapat merobohkan sekurang-kurangnya satu halangan, maka saya akan lebih bersemangat untuk pergi ke pasar, kedai, masjid, rumah jiran dan menghantar anak penguin saya ke tadika dengan menggunakan basikal. Jika kelima-lima halangan ini berjaya dirobohkan, maka tidak mustahil saya akan berbasikal untuk ke tempat kerja (dengan syarat jaraknya tidak melebihi 5 km).

Saya cenderung untuk berbasikal bukan semata-mata kerana mahu menjimatkan petrol, tetapi lebih kepada untuk mengurangkan pencemaran dan kepanasan dunia yang semakin membimbangkan ini. Malah, saya juga mahu mengelakkan badan saya yang tidak berapa sasa ini daripada diselaputi oleh lemak-lemak yang tidak diundang. Saya tidak mahu gemuk, kerana menurut satu kajian yang sedikit kontroversi, mereka yang gemuk atau pun obese ini, pernah dijadikan sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya Kesan Rumah Hijau!

Insya-Allah bersambung di bahagian ke-2.

24 Komen Tambah Komen↴

Seperti biasa, artikel yang menarik. Tak sabar aku nak tahu sebab-sebab kecurangan dirimu.. ahaha! Walaupun jika berubah konteks cerita, akan aku katakan semua itu alasanmu orang lelaki.. ahaha!

Seperti ada input yang mahu aku kongsi, hasil 'pendudukan' aku di bumi kanggaru ini. Nanti la.. setelah muncul entri sambungan, aku sambung komen ini.

Salam...
Tiba-tiba teringat karya zaman kecik-kecik dulu... "Aku sepasang kasut". Kisah hayat sepasang kasut yang dilahirkan dikilang kasut dan berakhir di tong sampah. Hehe....

salam en. Tawel..

haha..tak sangka en.Tawel pandai bermain kayu tiga. betul ke en.Tawel menangis terharu kerana basikal masih setia menumpahkan khidmat dan baktinya kepada en.Tawel? tak dapat nak bayang ;P

menurut hemat saya, salah satu penyebab kenapa rakyat malaysia ataupun negara tropika yang lain tak suka berbasikal adalah kerana cuaca yang panas.

lainlah kalau kat Dublin ke, jepun ke, UK ke. sejuk...memang best kalau naik basikal.pemandangan pun indah2 belaka.

tapi saya tetap setuju dengan budaya berbasikal ni.

uNs.Azhar

@Intan Saleh, anggaplah ini sebagai satu 'template' surat yang boleh digunakan oleh mana-mana lelaki untuk menghuraikan kecurangannya. ;) Ok nanti kongsilah input tu.

@Suara, karya Aku Sepasang Kasut, Aku Sebatang Pen dan sebagainya, sebenarnya jauh lebih tragis dari Bercinta dengan Basikal.

@uNs Azhar, tentang cuaca panas tu, no comment dari saya buat masa ni. Tunggu sambungannya..hehe. Tapi betul, I menangis terharu ketika menghulurkan 150 Euro kepada tokei kedai tu sebelum basikal dapat menumpahkan khidmatnya sekali lagi pada I. Habis duit I..isk, isk.

tulisan yang sungguh menarik. Rasanya kau akan bermain kayu empat jika sudah mempunyai kereta :)

Salam saudara tomel. Tidak sabar rasanya untuk menunggu sambungan. Namun saya pasti sabar menunggu. Cuma tertarik dengan cara saudara Tawel buat link di "anak penguin saya" kaedah apa kah yang saudara Tawel guna. Boleh tunjuk ajar?

Tanpa Nama

Saya tertarik dengan claim En. Tawel yang mengatakan

" Orang gemuk atau pun obese salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya Kesan Rumah Hijau"

Kalau ini benar kita juga boleh menerima kenyataan berikut

"Air Sirap merupakan salah satu faktor pemanasan global... kerana air sirap yang diminum oleh mereka yang bekerja di kilang2x, dan peneroka hutan mengurangkan kehausan dan memberi tenaga kepada mereka ini. Tanpa air sirap mereka akan keletihan dan tidak dapat bekerja dengan baik"

~~ ;)

Engineer NASA

Saya tak berdaya nak beicinta dengan basikal kat malaysia ni. Sebabnya, Pak Mat aHari sentiasa menjegilkan matanya. Berpeluh-peluh saya bila Pak Mat aHari menjegilkan matanya itu.

Kurang sabar rasanya ingin membaca gosip cinta Encik Tawel. Rasa macam cerita korea pula.

harap berkaitan lagi..ni saya jumpa link yang boleh..kalau tak banyak pun, dapat menjimatkan sedikit penggunaan petrol anda setiap hari

#pada ladies, jangan lupa baca manual kereta.. :) dari pembacaan saya, info tentang penjagaan kereta yang ada dalam manual banyak sama dengan info yang ada dalam link tu.. kenapa saya tekankan pada 'kaum Hawa'?sebab suka sangat brek emergency dan suka bawa laju2...melalui pemerhatian saya sepanjang 9 tahun lalu kat Fedral Highway..hehe,termasuk tuan punya badan..(dah insaf dah ni!)

Cheers!

Salam En . Tawel.

Percayalah bahawasanya Abqori tak putus-putus tergelak ketika membaca entri ini. Tak sangka basikal rupa-rupanya adalah kekasih utama bagi majoriti mereka yang belajar di luar negara. Di Mesir ini pun sama saja. Pelajar-pelajar baru tahun satu ketika mula-mula sampai, pasti akan merengek-rengek meminta-minta agar senior-senior menemani mereka membeli basikal.

Tak sabar nak tunggu sambungannya. Pasal terusan itu, cuba En. Tawel passkan pada Abqori basikal itu dan biarkan Abqori bawa dia berjalan-jalan di Terusan Suez. Mungkin dia akan merasakan suasana yang lebih romantik.

Ooo… En. Tawel pernah pulang ke Malaysia. Hari itu cakap masa ‘Ombak Jahat’ sudah empat tahun tak makan ketupat.

Alamak, Abqori baru bercadang nak tulis entri yang menggunakan uslub entri ini. Nampaknya, sekali lagi Abqori akan dituduh kedomaman entri En. Tawel lah.

@Hafiz238, janganlah doakan macam tu. Kesian basikal :)

@Anonymous, hantar saya emel kalau nak saya ajar.

@Engineer NASA, haha lawak juga tu. Tapi kita kena minum air untuk hidup sebab benda ni fitrah manusia. Tapi menjadi obese bukan fitrah manusia ;)

@Aiyrie, ye sabar-sabar. Nanti kita cerita pasal penangan Pak Mat aHari dalam sambungan yang berikutnya.

@Srie, alang-alang dah iklan cara-cara nak jimat gas, saya pun tumpang iklan juga ;)

@Abqori, wa'alaikumussalam. Tak panas ke bawa basikal kat Mesir tu? Eh tak boleh main pass. Nanti bila Abqori dah bawa dia jalan-jalan di Terusan Suez, nanti dia minta supaya terus dikayuh di sepanjang pantai Lautan Mediterranean pula. Ada berani ke?

Salam saudara Towel terima kasih jika ingin berkongsi dan beri tunjuk ajar pada saya yang ingin belajar elemen-elemen menarik dalam penulisan.. Blog saudara Tawel memang lain dari yang lain dan banyak manfaatnya kepada orang baru seperti saya. Ini alamat saya
: jamalchiros@yahoo.com

Tanpa Nama

Ramai memberi alasan, cuaca yang panas menyebabkan berbasikal di malaysia tidak sesuai. Sebenarnya, itu bukan isu, memandangkan kita keluar bekerja seawal jam 7 pagi (matahari belum tegak), dan pulang paling awal 5 petang (matahari dah tak begitu terik). Selalunya saya pulang selepas solat maghrib berjemaah di masjid di luar pagar tempat kerja.

Bagi saya, jika anda ingin berbasikal secara 'regular', faktor keselamatan yang paling perlu diberi perhatian, terutama sikap pemandu di tempat anda. Saya berbasikal ke tempat kerja (di Malaysia), dan alhamdulillah semua nya masih selamat sekarang ini. Walaupun jalan yang saya lalu setiap hari banyak lori, tapi kebanyakan lori tersebut adalah milik shell atau esso, jadi pemandu nya agak berdisiplin.

salam tawel..awak memang la...awak memang la...kalau buat lawak...boleh tertunggeng orang yang membacanya..

mmm..pandai bercinta jugak rupanya, dan curang serta bermain kayu tiga jugak dalam masa yang sama...saya suka watak lelaki yang tak setia dan kurang sabar dalam mempertahankan cintanya....dia akan cenderung hidup bersendirian dan membujang untuk satu tempoh yang lama...ehem

apa-apa pun, saya tunggu kesudahan cerita cinta ala-ala bollywood tawel sensei dengan basikalnya...cepat sikit ya

ummuhanah

Salam, Sensei...what can i say about you sensei.. hehe.. memang x dinafikan tergelak sorg2 kat sini.. anyway.. that's the medicine utk orang yang sakit macam saya.. wah.. rasa lega selega2nya bila kita bercita dengan mahkluk Allah apatah lagi jika kita sandarkan cinta kita pada yag Hakiki.. hehe.. cerita ni sangatlah comel bak kata kakak saya.. happy2 selalu ye sensei.. moga coretan sensei dapat mengungkap seribu pemahaman pada pembaca..:)

OrchiD

Encik Tawel tak mahu gemuk, kalau dapat bini gemuk mcmana?wahaha.

Tanpa Nama

Salam. Saya orang baru di sini. ;) Blog yang menarik dengan artikel-artikel santai. Teruskan usaha.
Tentang basikal, saya juga mempunyai sejarah tersendiri tentangnya. Akhiran yang menyedihkan kerana ia dicuri di waktu kami tengah angau sesama kami. :P Disebabkan tidak mahu mengenang-ngenangkan basikal tu, saya berpindah sekolah. Tidak sanggup lagi menapak di tempat yang mengundang kenangan. Dari peristiwa itu juga saya menjumpai kekasih baru bernama motosikal. Hehe. Dan sekarang, saya sudah boleh melupakan kenangan lama. Cheers. ;) Salam Perjuangan.

Tanpa Nama

"Cikgu, bila nak sambung cerita?"

@Noreena, sabar ye nak. Memberikan alasan-alasan kecurangan ni bukan senang rupanya.

@Anonymous, salam juga. Dahsyat juga tu. Hilang basikal terus pindah sekolah. Sentimental betul.. ;)

Dan yang lain-lain, TQ atas komen yang diberikan!

Teringat aih zaman budak-budak dulu. Saya antara orang yang lambat tahu naik basikal, sudah darjah 5 baru pandai.

Zaman remaja pula, kenderaan utama basikal 'racing', ibarat isteri setia ke mana jua.

Di Malaysia ni sistem perhubungan awam belum semaju Eropah. Mungkin sebab itulah kecenderungan kita kepada kenderaan bermotor sendiri kuat. Kalau tak ada motor kereta sendiri, selalu sangat menyusahkan orang jika ada keperluan berpergian. Itu yang leceh tu.

Siapa nak kurangkan boroi ataupun melambatkan boroi, naik basikal memang salah satu usahanya. : )

-Alex

aku msih ingat dulu.naik basikal adalah kegemaran dan menjadi kewajipan untuk kesekolah.sampai tingkatan 6 aku naik basikal.walaupun kene ejek sbb yang lain dah naik motor.aku ingat aku ada member selalu naik basikal same2 gi sekolah dari sek ren smpai menengah.kdg jln kaki same2.sentiasa gembira tanpa pikirkan hal minyak

Tanpa Nama

Terima kasih kerana dalam coretan saudara mengandungi ungkapan "Basikal" walaupun saya tidak pasti basika yang bagaimana dimaksudkan, tetapi isunya kasih saya saudara terhadap kekasih tetap sebati. Begitu juga kasih sayang kami terhadap khazanah malaya yang begitu tinggi nilainya tetap utuh. Jumpa kami di http://kstjb.blogspot.com

salam here,baca kesah ni buat saya senyum sendiri...
saya pun selalu curi2 naik basikal cargo atuk bila sesekali balik kg,pusing2 kg,hirup udara segar...setakat ni x la main kayu 3 lagi...hehehe
best baca setiap n3 disini...

@Nadiah, Basikal Cargo tu macam mana? Basikal tua ke? Haha. Kampung di mana tu?

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.