1) Penyanyi nasyid lebih holier dari penyanyi bukan nasyid?
Menentukan siapa lebih holier (mulia) di sisi Allah bukan kerja kita. Seperti yang saya sudah tulis dahulu, ketika Saidina Umar al-Khattab masih lagi menyembah berhala, Allah sudah pun sayang kepadanya. Jadi, hidup sebagai manusia ini jangan sekali-kali fikir yang kita ini lebih bagus, lebih kurang dosa, lebih banyak buat pahala, dan sebagainya.Oleh itu tidak timbul isu sama ada mereka (sama ada penyanyi nasyid atau bukan nasyid) mengerjakan atau tidak apa yang mereka perkatakan dalam nyanyian itu. Mempersoalkan ini bermakna kita sudah bersangka buruk kepada orang lain. Jika mahu mempersoalkan juga, maka saya juga boleh bertanya, "Penyanyi nasyid zaman sekarang ini, ada ke mengamalkan sepenuhnya apa yang mereka katakan itu?"
Apa yang lebih penting, adakah kita ini juga sudah mengamalkan segala apa yang kita sudah tahu dan yang kita perkatakan kepada orang lain? Penyanyi juga adalah sasaran dakwah kita. Maka jangan lebarkan jurang dakwah ini dengan mempersoalkan mereka ini mulia atau tidak, mengamalkan apa yang mereka perkatakan itu atau tidak.
Memurnikan industri hiburan agar menjadi lebih Islamik bukan bermaksud dengan cara menghapuskan jenis-jenis muzik yang lain dan hanya mengizinkan nasyid sahaja untuk terus hidup subur. Kita tidak akan berjaya sampai bila-bila untuk menghapuskan jenis-jenis hiburan yang ada melainkan kita 'melenyapkan' bersama manusia yang meminatinya. Apa yang harus kita fikir, "Bagaimana untuk kita menjadikan muzik sekian-sekian agar lebih Islamik?"
2) Objektif munsyid lebih mulia. Sahih!
Satu perkara yang pasti, objektif zahir (ZAHIR sahaja, BATIN tidak termasuk) munsyid adalah lebih mulia dari yang bukan munsyid; iaitu membawa mesej Islam, keinsafan, kesedaran, dan motivasi kepada manusia.Oleh itu bawalah mesej Islam itu dengan baik dan betul. Jangan asyik-asyik lagu nasyid cintan-cintun sahaja yang menjadi lagu hits. Saya tekankan frasa "menjadi lagu hits".
Mengapa kumpulan Kopratasa tidak dikenali sebagai kumpulan nasyid padahal mereka menyanyikan juga lagu-lagu bersifat nasyid seperti Dabus Rohani, Tetamu Senja dan Keteguhan Para Syuhada? Ini kerana lagu-lagu bersifat nasyid ini telah ditenggelamkan oleh lagu-lagu puisi bersifat cinta dan komentar sosial yang menjadi lagu hits mereka.
Wings tetap diingati dengan lagu-lagu popular mereka seperti Sejati dan Taman Rashidah Utama. Mereka tidak diingati dengan Lipas Kudung, Kau Bukan Brader dan sebagainya. Wings juga tidak dikenali sebagai kumpulan yang mengingatkan kita tentang kematian hanya semata-mata mereka membawakan lagu Dari Tuhan dan Alam Barzakh. Ini kerana lagu-lagu rock cintan lebih mendominasi kumpulan ini.
Satu-satunya golongan yang boleh mengetahui kesemua lagu-lagu mereka adalah terdiri dari peminat setia kumpulan tersebut sahaja. Perkara yang sama juga terjadi dalam industri nasyid. Satu-satunya golongan yang boleh mengetahui lagu-lagu nasyid tidak meleleh (dalam masa yang sama tidak popular) secara spontan adalah dari kalangan peminat nasyid tegar itu sendiri.
Oleh yang demikian, majoriti masyarakat melihat nasyid di zaman 2000-an ini dipenuhi dengan lagu-lagu nasyid yang meleleh sahaja kerana lagu seperti itu yang popular di corong-corong radio. Jangan salahkan masyarakat apabila munsyid hari ini dihukum sedemikian rupa. Kalau dalam sebuah album nasyid ada 10 buah lagu, 3 darinya adalah lagu top bersifat jiwang karat, 7 pula lagu tidak meleleh tetapi tidak popular, maka secara fitrahnya masyarakat akan menilai dan menghukum mereka melalui 3 lagu itu sahaja. Ini fitrah industri muzik.
Jika disebut In-Team kepada kakak saya yang minat biasa-biasa sahaja kepada nasyid, kakak saya hanya akan boleh menyebut lagu-lagu jiwang kumpulan ini sahaja kerana itu yang popular. Jangan harap kakak saya akan tahu lagu Sollaalaikallah dan Qudwah Hasanah.
Jika tidak mahu dilabel sebagai munsyid jiwang, maka sila pastikan 3 lagu top dari sesebuah album itu adalah lagu yang tidak jiwang dan bersifat universal. Jangan mengelat dengan mengatakan, "Kami ada juga membawa lagu-lagu yang menekankan konsep berusaha, motivasi, menaikkan semangat jihad, bla bla bla..."
Ada lagu-lagu sedemikian, tetapi tidak popular, mahu buat apa? Sama ada rock, dangdut, irama Malaysia, pop, - radio dan televisyen di mana-mana negara hanya menayangkan lagu-lagu yang popular sahaja. Dengan memahami bagaimana industri hiburan berfungsi, maka kita akan mengerti mengapa pentingnya bagi munsyid untuk melahirkan nasyid yang universal dan berkualiti.
Saya ulang sekali lagi: Jangan mengelat.
3) Jadikan nasyid itu lebih sawarjagat (universal).
Di sini saya akan menerangkan mengapa munsyid hari ini harus menjadikan lagu-lagu top mereka adalah lagu yang bersifat universal, dan bukannya lagu-lagu nasyid yang mana sasaran khususnya adalah "remaja yang putus cinta dan kemudian barulah mahu ingat Allah".Sebelum saya meneruskan lagi, saya ingin memetik sedikit tulisan dari blog Al-Bakistani:
Aku bertanyakan kepadanya tentang punca atau asbab hidayah yang menyebabkan dia boleh memeluk agama Allah yang maha indah ini. Dia mengambil walkman di dalam begnya dan memasang sebuah lagu dan menyuruh aku mendengarnya. Fahamlah aku bahawa, punca atau asbab hidayah Musa kepada Islam adalah disebabkan dia telah mendengar dan menghayati kandungan nasyid yang dialunkan oleh kumpulan Raihan semasa kumpulan nasyid Islam Malaysia itu mengadakan show di Kanada suatu ketika dulu.
Yang lebih memelikkan ku, nasyid yang menjadikan Musa tertarik hati dengan Islam adalah nasyid yang dialunkan di dalam bahasa Melayu yang lebih kurang bunyinya adalah seperti berikut:
"Di mulakan dengan Bismilllah, disudahi dengan Alhamdulillah, begitulah sehari dalam hidup kita, mudah-mudahan dirahmati Allah".
Mendengar nasyid Raihan itu, hatiku menyebut, “Subhanallah” betapa hebatnya kuasa Allah dapat memberi hidayah kepada hamba pilihan-Nya semata-mata dengan mendengar nasyid yang diri hamba-Nya itu sendiri tidak memahaminya.
Sejak dahulu sampai sekarang, peratusan peminat nasyid masih kecil. Terima kasih kepada kemunculan Raihan pada tahun 1996, ramai orang semakin mula mengenali nasyid. Raihan menyebabkan minat saya kepada nasyid bertambah. Malah saya tetap meminati kumpulan nasyid ini sampai sekarang walaupun ramai anggota asalnya yang sudah tiada.
Raihan berjaya kerana nasyidnya bersifat universal dan sasaran pendengarnya adalah terdiri dari bukan Islam dan Islam, dari yang muda sehingga yang tua, dari yang kaya kepada yang miskin, dari bangsa di Barat hingga bangsa di Timur. Tetapi nasyid hari ini sasaran utamanya terdiri dari anak-anak remaja Islam dalam lingkungan 15 - 25 tahun. Di sinilah munsyid silap.
Mari kita merenung sebentar pada realiti. Jangan fikir semua orang minat lagu nasyid. Jangan fikir semua orang dengar Radio IKIM, yang mana ia satu-satunya agen di negara kita yang memutarkan lagu nasyid yang popular dan tidak popular. Mereka yang tidak dengar nasyid dan tidak dengar IKIM ini saya berani katakan bahawa mereka adalah kelompok majoriti di negara kita.
Saya ada ramai kawan yang jenis kaki clubbing dan kaki gigs. Mereka adalah jenis manusia yang memang tidak pandang langsung nasyid. Cukup menghairankan apabila mereka tahu siapa Raihan, siapa Rabbani dan siapa Hijjaz, tetapi mereka tidak tahu langsung siapa In-Team, siapa UNIC, siapa Mestica, siapa Devotees dan sebagainya. Di mana silapnya?
Pendengar setia Radio Era berkemungkinan besar tidak meminati nasyid dan tidak pula mendengar Radio IKIM. Walaupun stesen radio paling popular di Malaysia ini tidak mengkhususkan dalam hiburan nasyid, tetapi sekali-sekala ia akan tetap memutarkan juga lagu-lagu nasyid. Perkara yang sama juga berlaku kepada stesen-stesen radio tempatan yang lain.
Maka, satu-satunya cara untuk mereka yang tidak meminati nasyid untuk mengetahui trend nasyid terkini adalah melalui Radio Era (juga stesen tv dan radio lain) itu sahaja. Seperti yang saya jelaskan dalam Nombor 2 tadi, stesen radio dan tv akan menyiarkan lagu-lagu yang popular sahaja. Alangkah sayangnya apabila para pendengar stesen-stesen radio berkenaan hanya diperdengarkan lagu-lagu nasyid yang meleleh sahaja!
Katakan pula saya mahu mendekatkan kawan-kawan saya itu kepada muzik yang lebih baik dan bermanfaat. Bolehkah anda bayangkan apa akan mereka fikir apabila saya menghadiahkan mereka sebuah CD artis nasyid pada hari ini, yang mana lagu-lagunya yang sedap didengar adalah jenis tangkap leleh? Saya lebih rela menghadiahkan kaset nyanyian M. Daud Kilau!
Cuba kita fikir sejenak mengapa agaknya Raihan begitu popular di dalam dan luar negara? Adakah disebabkan kekacakan munsyidnya atau disebabkan tema dan lagu nasyidnya yang bersifat sawarjagat?
Peminat nasyid hari ini kadang-kadang ada yang lebih meminati munsyid dari nasyid itu sendiri. Kalau si munsyid ini menyanyikan lagu Air Pasang Dalam dan Lompat Si Katak Lompat di dalam albumnya sekali pun, mungkin si peminat ini akan membelinya juga.
Nasyid semakin hilang arah.
4) Jangan syadidkan alternatif yang ada
Ini ada kaitan dengan Nombor 1. Memang benar lagu-lagu yang saya senaraikan dalam Top 20 itu tidak dinyanyikan oleh mereka yang berkopiah, tetapi adakah salah untuk kita mengambil apa-apa yang baik dari mereka?Justeru, adakah perlu bagi kita untuk menilai personaliti penyanyi tidak berkopiah itu terlebih dahulu sebelum kita mendengar lagu-lagu mereka yang sarat dengan mesej keTuhanan dan nasihat itu? Dan adakah tidak perlu untuk kita mempersoalkan personaliti para munsyid hari ini hanya semata-mata mereka membawa hiburan Islam? Mengapa wujud kasta?
Kalau anda berfikir begini, maka silakan. Teruskan dengan syadid anda. Namun jangan jadi munafik dan hipokrit jika anda masih menonton filem dan televisyen. Trend drama Melayu di Cerekarama TV3 sekarang ini dengar-dengarnya juga sudah banyak membawa mesej-mesej yang baik. Tetapi adakah perlu bagi saya untuk mempersoalkan secara terperinci tentang personaliti setiap pelakonnya sebelum saya boleh mengambil pengajaran daripadanya?
Oleh itu, jangan syadidkan alternatif yang ada. Alternatif yang kelihatan kekurangan elemen-elemen hiburan Islami ini boleh dijadikan jambatan sebelum seseorang itu benar-benar beralih kepada hiburan yang benar-benar Islami, yang benar-benar halal.
Jika tiada kumpulan nasyid seperti Raihan, mungkin sampai sekarang saya tidak akan meminati nasyid, apatah lagi untuk mengetahui dan mengenali para munsyid dari luar negara seperti Dawud Wharnsby Ali, Zain Bikha, Shaam dan Yusuf Islam (Saya ada seorang kawan yang langsung tidak kenal Yusuf Islam).
Jangan anggap kawan-kawan saya yang kaki clubbing dan gigs itu akan terus berubah meminati nasyid dengan menyodokkan mereka dengan mp3 lagu-lagu nasyid. Manusia secara fitrahnya sukar berubah, lebih-lebih lagi jika cerun perubahan itu sangat curam.
5) Nasyid juga boleh melalaikan
Lagu nasyid juga boleh membawa kepada kelalaian dan lagha. Kamu dengar lagu Rabbani, Raihan, Hijjaz, In-Team, UNIC, Mestica, dan lain-lain sampai melewatkan solat, sampai lupa membaca Al-Quran, maka apakah itu bukan lalai?Jangan fikir dengan mendengar nasyid kita sudah boleh menjadi lebih baik dari semalam. Perubahan memerlukan usaha dan tindakan. Pengajaran dan semangat "Cinta-kepada-Allah-adalah-cinta-yang-patut-dicari" yang diperah dari nasyid-nasyid hari ini akhirnya menyebabkan kita semakin tenggelam dalam alunannya. Sahabatku, cinta Ilahi bukan lakaran puisi.
Jika trend nasyid di kala ini masih berterusan, mungkin 5 tahun lagi saya akan menulis pula Nasyid Sudah Mati. Jangan biar industri nasyid kontemporari kita dikuburkan dengan talqin yang tidak sepatutnya.
Al-Faatihah.
10 Komen • Tambah Komen↴
Nasyid yang sudah hilang sengatnya. Teringat seketika dahulu, ketika mula mendengar nasyid dari kumpulan-kumpulan lama seperti raihan dan sebagainya, hati terasa terpanggil untuk menyemak kembali amal dan ibadat. Lagu-lagu seperti 'Sesungguhnya', 'peristiwa subuh' (yang ni memang buat saya sendiri malu sebab dulu asyik bangun lewat solat subuh) dan 'Iman Mutiara' cukup memberi kesan kepada diri dan kawan-kawan saya juga yang kebanyakan sebelum itu bukanlah daripada golongan 'peminat nasyid'.
Namun, kalau kita tengok antara lagu 'hits-meleleh' nasyid dengan lagu-lagu 'nasyid sebenar' (nasyid yang layak dikatakan nasyid), terdapat satu perbezaan yang cukup ketara: lagu-lagu 'hits' tersebut memang 'hits'. tetapi yang akan diingati tetap adalah lagu-lagu nasyid sebenar. Cuba kita tengok, ramai yang lebih ingat lirik-lirik lagu iman mutiara berbanding kasih-kekasih. Subhanallah, sesungguhnya Allah tetap akan memelihara mereka yang mengingatinya.
Dan jika kita lihat kumpulan-kumpulan nasyid dari luar negara, malah mereka yang sebelum ini bukan beragama Islam, lagu-lagu yang dibawakan amat mendamaikan dari segi katanya dan liriknya; sedangkan lagu-lagu 'hits-meleleh' mula diselubungi bunyi-bunyian yang terlalu kompleks sehinggakan orang tak dengar lagi apa kata-kata liriknya, cuma menumpu pada muziknya.
Mengenai imej munsyid pula, saya cuma nak katakan bukan semua munsyid malaysia mempunyai imej munsyid yang sebenar.
Lagu-lagu meleleh mengenai cintan-cintun-islamik; bagi saya, hanyalah satu 'alasan' yang diciptakan untuk membolehkan 'orang-orang islamik' bercinta dan bercintun. Cinta Islamik? Cukupkah dengan hanya menggunakan ayat-ayat seperti "mencapai cintamu melalui cinta tuhan" dan sebagainya?
Allahu'alam, setakat ni saja dulu. nanti komen lagi :)
salam.. 60% isi kandungan dan poin-poin penting dalam artikel ni aku setuju.
aku memetik satu petikan tawel:
"Memurnikan industri hiburan agar menjadi lebih Islamik bukan bermaksud dengan cara menghapuskan jenis-jenis muzik yang lain dan hanya mengizinkan nasyid sahaja untuk terus hidup subur. Kita tidak akan berjaya sampai bila-bila untuk menghapuskan jenis-jenis hiburan yang ada melainkan kita 'melenyapkan' bersama manusia yang meminatinya. Apa yang harus kita fikir, "Bagaimana untuk kita menjadikan muzik sekian-sekian agar lebih Islamik?"
aku teringat salah satu kata-kata karkun tabligh pada aku. lebih kurang berbunyi:
"bila kau cuba mengubah-ubah irama nasyid dari setahun ke setahun, dengan harapan peminat-peminat irama yang moden mula menjengah nasyid, konon-konon dapatlah tarik orang berfikir pasal agama, maka kau silap. jika kau harap orang yang mencari irama untuk kenal mesej, kau hanya dapat tabligh (dakwah) suku sahaja. tapi jika kau beri mesej tanpa kira irama pada orang-orang yang mencari mesej, maka kau dapat tabligh sepenuhnya. sebab itu sampaikanlah mesej lebih banyak dari irama"
aku setuju dengan kata-kata karkun tu. aku ambik contoh diri aku sendiri. aku selalu cari lagu kerana nak tahu mesej, dan aku hanya terpikat pada lagu yang banyak utama mesej dari irama. contoh macam lagu "1 2 3 4" aris ariwatan. lagunya buat aku terpikat sebab mesejnya jelas, mudah, sampai dan faham. begitu juga kebanyakan lagu raihan, seperti lagu tawakkal yang aku suka.
apa ciri lagu yang banyak utamakan irama dari mesej?
1- bila kita dengar tanpa baca lirik kita tak perasan mesejnya.
2- bila muziknya lebih banyak dari liriknya.
3- bila liriknya banyak ayat yang tak ada makna seperti "ohhhhh" "uuuuuu" "lalalalala" "tarakucha" dan lain-lain.
dan akhirnya benarlah perlu banyak kita melagukan zikir dan ayat quran jika kita mahu nasyid.azan contoh terbaik nasyid yang terbaik setiap kali sebelum solat jemaah dimulakan.
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakannya daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu bagai binatang, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”(al a'raf ayat 179)
betullah kata ustaz aku, jangan kamu pening kepala kenapa manusia lalai tak mahu dengar ayat Allah walaupun kamu dah buat macam-macam benda untuk menarik mereka. kerana manusia lalai itu sudah jadi ibarat binatang ternak.
wallahua'lam.
sahabat
1) Teringat ketika rosyam nor ada cakap "ingat pelakon ni suka-suka ke pegang tangan, kita melakonkan babak kasih sayang, kena la nampak macam ada kasih sayang". Matlamat, nak sampaikan mesej kasih sayang suami isteri, tak menghalalkan cara.
Tapi, saya tetap juga tonton, sebab pengajaran yang bagus, terutama hari sabtu malam ahad (cerekarama). Ayah saya yang cukup anti drama melayu, hanya tonton slot cerekarama sahaja.
2) Biarlah munsyid atau siapa pun, yang menyanyi tetap menyanyi. Ada masa, lepas berdendang lagu rock, penyanyi tersebut insaf, dan sekarang 'leads a noble life'. Ada juga munsyid yang tenggelam dengan dunia glamour, dan sekarang jadi rockstar (faizal tahir? ).
Siapalah kita nak tahu penghujung hayat manusia, mahupun diri kita sendiri. Yang penting, buang yang keruh, ambil yang jernih, dan terus harapkan rahmat Allah.
Mercy's like the it's falling down
Salam.
Saudara tawel, maaf, mohon izinnya..
mungkin off-topic sedikit.
Bagaimana pendapat saudara tentang nasyid dari jiran tetangga, sahabat kita, Indonesia?
Saudara ada perhatikan tak?
Apa yang dapat saya lihat, pengaruh positif nasyid dari Malaysia seperti Raihan, Nadamurni, dll..
mendapat sambutan baik dari mereka di sana. (..suatu ketika dahulu. Sekarang saya tak tahu.)
Banyak juga lagu Raihan disadur semula dalam bahasa Indonesia dan dinyanyikan semula munsyid di sana.
Lihat saja; lagu-lagu seperti
Demi Masa, Mengemis Kasih, Damba Cinta-Mu, dll..
Sudah di'Indonesia'kan..
Alhamdulillah, bukankah baik begitu.
Mungkin jika kelapangan, boleh saudara ulaskan kemudian. Atau sesiapa sahaja boleh berkongsi pendapatnya.
Sekadar pertanyaan yang berlegar sebentar di kepala, ingin dikongsi bersama.
Terima kasih.
Wassalam.
p.s- setuju!..
Cinta Ilahi bukan sekadar lakaran puisi, ia harus dirasai.
Bukan sekadar permainan kata-kata, melainkan rasanya hadir di kedalaman jiwa. Berjuang meraihnya, tak semudah menyusun kalimah indah memukau mata.
Cinta adalah rahsia-Nya. Yang tersembunyi, dan pencari-Nya tak mudah mendakwa-dakwa sudah memiliki.
ketika saya di sek menengah dulu,setiap hujung minggu radio skola akan memutarkan lagu2 nasyid..dan saya ada seorg kwn non-muslim yang amat meminati lagu2 raihan..hinggakan sifat 20 Allah juga dihafalnya..hinggalah satu hari, lagu kasih kekasih dimainkan..dan dia bertanya kepada saya..lagu nasyid pun ade camni ke??..huhu..jelas sekali kwn saya yg non-muslim itu pun sgt peka dengan lirik2 lagu yg didengarnya..
dan saya sendiri seorg yang sgt memilih bila mendengar lagu..setiap bait lirik saya akan cuba memahaminya..dan bila wujudnya banyak nasyid2 yang bagi saya maksud setiap liriknya amat susah untuk difahami..akhirnya saya tinggalkan nasyid2 melayu dan beralih kepada nasyid2 luar negara..spt. zain bhika,yusuf islam ,iman band dan lain2..
indonesian band pun banyak buat lagu ala-ala nasyid.kadang-kadang lagi best dari nasyid.
macam lagu ungu, andai ku tahu tu.
Kepada Tetamu yang bertanya, saya tak tahu sangat tentang perkembangan nasyid Indonesia. Yang paling saya tahu pun Opick dan DEBU. Lain saya tak berapa arif.
Tapi kalau menurut Tetamu kata tu, yang mana lagu-lagu nasyid Malaysia dinyanyikan semula secara saduran di Tanah Sebarang, sebenarnya saya rasa lebih elok kalau mana-mana penyanyi nasyid (tidak kira dari Malaysia atau mana-mana sahaja) untuk menghasilkan lagu yang asli, dan bukan saduran.
Saduran membunuh kreativiti. Sadurlah sehebat mana pun, manusia akan tetap meminati yang asli.
Terima kasih kepada yang lain-lain untuk komen yang diberikan.
mfrstudio! Alhamdulillah, anda masih hidup! Teringin pula nak tahu apa kebenda yang 40 peratus lagi yang anda tak setuju tu?
.
.
.
.
.
Nawa, anda betul, band Indonesia pun banyak yang nyanyi lagu "nasyid", seperti anda kata tu, Ungu. Dan satu lagi lagu "nasyid" mereka yang selalu diputarkan oleh Langkawi FM setiap pagi (lebih kurang jam 6.30 pagi selepas Kuliah Subuh kot), seiring dengan lagu nasyid yang lain, ialah lagu bertajuk "SurgaMu".
Oh ya, jangan lupa, Dewa 19... "Laskar Cinta" dan "Satu" antara lagu mereka. Rabbani pun pernah berduet dengan mereka secara live untuk lagu "Laskar Cinta" ni, dan merupakan lagu kegemaran Ustaz Asri (Rabbani).
Satu lagi, kumpulan Sakha... ini hamba tak pasti layak atau tidak digelar kumpulan nasyid, sebab ahlinya yang perempuan tu tak bertudung, hohoho. Tapi album mereka hanyalah mengandungi lagu yang berunsur Islamik (diterbitkan oleh aktres Indonesia iaitu INNEKE KOESHERAWATI). Kumpulan ni terkenal di sini dengan lagu "Ingatlah Allah" dan "Mutiara Hati". Nah tengok video "Mutiara Hati"
.
.
.
.
.
tetamu, haha, di Indonesia pun agak meriah kumpulan nasyid. Tapi selain daripada El Voice, Debu, Opick, Ustaz Jefri Al Buchori, Snada, Haddad Alwi dan Sulis, serta kumpulan-kumpulan atau penyanyi bukan nasyid yang menyanyikan lagu berunsur "nasyid" (whatever that means, LOL!), hamba pun tak kenal yang lainnya dari sana. Cuba dengar Radio Tarbiyah Jepang, ha, di situ berpeluanglah dengar lagu-lagu nasyid Indonesia. Kalau ada rezeki, boleh berkenalan dengan penyanyi-penyanyi baru, haha!
Oh ya, lagu "Demi Masa" tu, selain daripada dinyanyikan semula oleh kumpulan El Voice (jadi lagu tema sinetron DEMI MASA kat RTM1 Ramadhan lalu kan?), ianya juga dinyanyikan semula oleh seseorang bernama Wafiq Azizah. Nindia video Wafiq Azizah tu. Siapa dia ni? Wallahu a`lam. Tapi lagi versi dia ni bunyi ala dangdut sikit, sedap jugak.
Oh ya lagi, tak begitu menghairankan lagu Raihan banyak dinyanyikan semula oleh penasyid di sana. Lagu "Ya Rasulallah" pun dinyanyikan semula oleh Ustaz Jefri Al Buchori (bukan nak "membelot", tapi hamba rasa versi dia lagi best ketimbang versi Raihan, huhuhu). Kenapa tak hairan? Sebab kalau ditanya kepada mana² orang Indonesia secara rawak mengenai artis Malaysia yang mereka kenal, Top 3 yang akan mereka jawab ialah: Siti Nurhaliza, Amy Search, dan RAIHAN.
Oh ya lagi sekali, fasal "sadur-sadur" lagu ni, ini merupakan amalan biasa penyanyi nasyid sejak zaman berzaman. Pernah dengar lagu "Seroja"? Ha, kita orang Malaysia sudah mempelopori "jurus teknik penyaduran" ini dulu. Lepas dinyanyikan semula oleh kumpulan Al Jawaher, Jamal Abdillah (dan tak lupa juga... MAWI!), maka kita beruntung kerana Ustaz Akhil Hayy muncul dengan sesuatu yang asli, iaitu... menyanyikan semula lagu SEROJA... sekali lagi!! Bahkan kalau kita lihat dua album terkini beliau, kita akan dapati semuanya merupakan lagu "saduran" (kalau gelaran itu yang kita nak bagi) yang berselindung di sebalik tajuk "Nasyid Legenda".
Jadi, rasanya apalah salahnya kalau mereka pun nyanyi semula lagu Raihan, dan juga lagu "Janji Manismu" dalam versi mereka... oops, maaf, lagu Aishah tu bukan nasyid, hoho...
Lagu² Raihan, Rabbani, Hijjaz, malah InTeam, yang tertentulah, ada yang merupakan dendangan semula lagu daripada penyanyi lain (yang kebetulan ada ketikanya penyanyi "lain" itu adalah MEREKA SENDIRI tapi sebelum menubuhkan kumpulan nasyid yang kita kenal sekarang ni, hahah! Contoh lagu dari Nadamurni, The Zikr, dll...). Dan ada pula lagu dari kumpulan nasyid dolu² yang dinyanyikan semula oleh penyanyi lain, dan mungkin untuk menghormati penyanyi asal, maka dijemputnya penyanyi asal berkenaan dan berduet dengannya/mereka (klu: HAJI, HIJJAZ)
.
.
.
.
.
P/S: Kalau nak dikira "saduran" maka apakah lirik atau qasidah atau selawat atau potongan ayat atau doa tertentu, yang dah kita dengar secara berzaman, dan dinyanyikan semula oleh penyanyi tak kira nasyid atau bukan, maka itu pun boleh dianggap sebagai "saduran"?
Apahal pun ini membuktikan bahawa aqal manusia terbatas, hatta melalui "kreativiti" pun. Sejauh mana kita boleh membuat sesuatu yang "asli"? Pengulangan idea pasti akan berlaku, baik kita mahu/suka ataupun tidak.
Pengulangan ritma: Major chords
Pengulangan bait-bait:
suka dan duka,
korbankan jiwa dan raga,
malam berganti siang,
dan banyak lagi pengulangan yang dilakukan di dalam lirik.
Permintaan khas untuk bro tawel. Kalau bolehlah tolong buatkan lirik 'HOLLIER THAN THOU' lirik inggeris. Ianya sebuah lagu Pop Rock atau mungkin folk.
Teringin benar hendak menyanyikan lirik dari bro tawel, sungguh.
ahh, racun kapitalisme merosakkan kualiti muzik! kini semuanya bersifat hiburan segera, rentak populis dan wacana dangkal!
kalaulah aku hidup zaman2 70an, 80an...
Ada komen atau soalan?
Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.