Itu antara ayat-ayat yang pernah tertanam dalam kepala saya dan pernah juga sekali-sekala lidah ini menghamburkannya satu ketika dahulu. Namun manusia semakin dewasa. Sekarang saya akan lebih berhati-hati, malah tidak akan lagi berhujah menggunakan ayat-ayat sedemikian.
Dalam tulisan ini saya akan menjelaskan mengapa kata-kata seperti itu tidak berapa tepat. Jangan ulangi kesilapan seperti yang pernah saya lakukan itu kerana anda akan kelihatan tidak matang dalam berhujah. Itu persepsi saya.
Sebenarnya saya mahu menulis tentang perkara ini sudah agak lama, tetapi terbantut. Hari ini saya membaca wawancara TIME bersama Stephen King. Lalu tercetuslah idea untuk menulisnya kembali.
Wawancara TIME dan Stephen King
Walaupun wawancara itu sebenarnya lebih bertujuan untuk bertanyakan tentang projek terbaru Stephen King, tetapi ada beberapa bahagian di dalam wawancara tersebut yang merupakan satu komentar sosial beliau terhadap budaya semasa Amerika yang sekarang ini berita-berita yang disiarkan telah ditepukan dengan kisah artis dan hiburan, 24/7!Membaca mukadimah temubual itu akan membuatkan kita tertanya-tanya mengapa Stephen King mencadangkan Britney Spears dan Lindsay Lohan sebagai TIME Person of the Year. Jika membaca sedikit jauh, maka sebenarnya itu cumalah satu sindiran pedas terhadap TIME dan media massa di Amerika.
Ini antara 2 perenggan temuabual tersebut yang penuh dengan unsur-unsur sarkastik:
I think there ought to be some serious discussion by smart people, really smart people, about whether or not proliferation of things like The Smoking Gun and TMZ and YouTube and the whole celebrity culture is healthy. We’ve switched from a culture that was interested in manufacturing, economics, politics – trying to play a serious part in the world – to a culture that’s really entertainment-based. I mean, I know people who can tell you who won the last four seasons on American Idol and they don’t know who their f------ Representatives are.
The difference is that Britney is now famous for being famous. Her sales have gone down with almost every album, bigger and bigger jumps, so that nobody really cares about her music anymore. They care about the tabloid headlines and whether or not she's wearing panties. I mean, is this an issue that the American public needs to turn its brainpower on? Britney Spears' lingerie, or lack thereof?Saya rasa, seperti muaknya orang-orang kita membaca kisah perkahwinan Siti dan Datuk K satu ketika dahulu, mungkin begitu jugalah muaknya Stephen King membaca kisah Britney Spears memakai panties atau tidak, yang hangat disensasikan di Amerika (malah di UK).
Tetapi ada satu perkara yang common di antara media kita dan media mat saleh; kedua-duanya semakin jahil akan prioriti berita yang patut diketengahkan.
Melayu Memang Macam Tu?
Akademi Fantasia pernah hangat satu ketika dahulu. Maka terjadilah Kesan Bandwagon dalam industri hiburan Malaysia. Akademi Fantasia dikuti oleh Malaysian Idol, Audition, Who Will Win, Protege dan sebagainya.Oleh kerana secara jumhur kelihatan hanya wajah-wajah Melayu sahaja yang mendominasi rancangan-rancangan yang diklasifikasikan oleh mata saya sebagai 'rancangan-hiburan-yang-melahirkan-mee-segera-gedik', maka masyarakat Melayu yang prihatin kepada nasib bangsa dan agamanya mula memberikan pandangan, nasihat dan komentar ke atas apa yang sedang berlaku dewasa ini.
Walaupun ia sesuatu yang baik, tetapi majoriti tidak melihatnya dari sudut yang lebih luas dan holistik. Mereka hanya menyalahkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang sukakan hiburan, bangsa yang suka menjadi anak wayang dan malas pula belajar, bangsa yang suka membazir duit dengan menghantar undi SMS, malah hingga dijatuhkan hukum bahawa Melayu adalah antara bangsa paling layu di dunia ini, hanya semata-mata trend di Malaysia kebelakangan ini menunjukkan lebih ramai bangsa Melayu yang meminati rancangan melahirkan mee-segera-gedik itu.
Pendek kata, segala yang buruk-buruk dituding ke atas pundak orang Melayu. Kalau Hang Tuah tahu kamu buat lagu tu, mahu ditikamnya kamu dengan keris saktinya itu!
Melihat Ke Luar
Kenapa kita tidak melihat seketika ke luar. Adakah hanya bangsa Melayu sahaja yang meminati rancangan-rancangan hiburan tersebut? Adakah hanya akhbar-akhbar nasional berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian sahaja yang kadang-kala menyiarkan gosip menggelegak artis tip top tanahair di muka depannya?Jika Berita Harian pernah memuatkan berita Mawi putus tunang dengan Ina di bahagian muka hadapan (dan bahagian atas pula), maka apakah British Broadcasting (BBC) tidak pernah memaparkan gosip panas artis di muka hadapannya? Berita tentang Paris Hilton masuk penjara pernah menjadi berita panas yang paling banyak dibaca di BBC News.
Jika RTM pernah sanggup menemubual Nik Aziz [1], semata-mata untuk meminta pandangannya tentang kes Mawi dan Ina putus tunang, maka adakah berita panas dan sensasi artis Barat tidak pernah mendominasi Fox News dan MSNBC?
Lihat dua video di bawah ini. Kadang-kala, saya berharap agar ada pengacara rancangan di Malaysia seberani pengacara MSNBC yang bernama Mika Brzezinski itu!
INA - MAWI @ RTM
Mika Brzezinski on Paris Hilton @ MSNBC
Di negara kita, ada 3 jenis golongan.
- Golongan yang betul-betul minat AF dan sewaktu dengannya, sampai sanggup bergolok-gadai untuk top-up kredit.
- Golongan yang tak faham tentang kenapa ada orang yang minat pada rancangan tersebut.
- Golongan yang sangat anti kepada peminat rancangan-rancangan gedik tersebut.
Bagi saya, semua bangsa, malah majoriti manusia suka membaca berita-berita yang bersifat gosip dan hiburan. Tetapi berapa banyak dos hiburan yang kita sumbat dalam otak, maka itu yang membezakan di antara jumlah pil tidur yang diambil oleh seseorang yang mahu bunuh diri dan seseorang yang mengambilnya kerana susah mahu tidur malam. Apapun, sila jangan tipu saya dengan menafikan anda tidak tahu Ina Naim sudah berkahwin dengan siapa sekarang. Tipu dosa, masuk neraka!
Pengaruh Hantu dan Tahyul Dalam Masyarakat Melayu
Tadi saya sudah menjelaskan mengapa agak kurang bijak untuk membuat suatu kesimpulan umum untuk menuduh Melayu begini dan begitu dari aspek hiburan. Sekarang mari kita lihatnya dari sudut hantu dan tahyul.Hantu, tahyul, bomoh, dan sebagainya adalah salah satu lagi perkara yang sering kita kaitkan dengan orang Melayu. Seolah-olah hanya Melayu sahaja yang suka percaya benda-benda sedemikian. Seolah-olah juga kepercayaan kepada benda-benda ini menyebabkan orang Melayu susah hendak maju.
Sekali lagi, kita perlu memandang ke luar, untuk menjenguk ribuan bangsa-bangsa lain yang ada di dunia ini. Kita lihat sahaja bangsa British, satu bangsa yang paling maju di dunia pada saat ini. Beberapa dekad lalu, empayar yang dibina oleh bangsa British pernah mendominasi kira-kira 1/4 dari populasi dunia. Ini bangsa yang pernah melahirkan Isaac Newton dan berdozen-dozen rakyatnya pernah menerima anugerah Nobel. Jadi anda fikir bangsa ini tidak seperti bangsa Melayu kita yang meminati perkara-perkara berkaitan hantu dah tahyul?
Biar saya beritahu bahawa pada sambutan Halloween bulan lepas, begitu banyak rancangan televisyen di UK yang menyiarkan cerita, filem dan dokumentari berkaitan hantu dan tahyul. Malah rancangan selama 1 jam, yang bertujuan untuk menyeru hantu di rumah-rumah kosong melalui permainan Papan Ouija turut ditayangkan di beberapa buah rangkaian secara live selama beberapa malam. Hatta walaupun bukan di musim Halloween, akan sentiasa sahaja ada rancangan mencari hantu yang disiarkan pada setiap malam.
Ketika saya pergi ke UK, pernah sekali saya mengikuti rombongan mencari hantu. Rombongan berharga 5 pound ini (jika tidak silap), yang diadakan pada waktu malam, telah membawa saya ke tempat-tempat yang didakwa sebagai keras di sekitar bandar Edinburgh. Kemuncak rombongan itu adalah memasuki satu penjara yang didakwa dihuni oleh poltergeist. Katanya, kita mungkin akan dicakar oleh poltergeist itu. Mujur saya tidak kena cakar. Kalau tidak, boleh saya jadikan perenggan ini supaya menjadi lebih seram. Apapun, itu kisah tahyul bangsa UK. Klik sini untuk meninjau lagi ketahyulan bangsa yang gah ini.
Kalau kita beralih pula ke Ireland, di sini ada Ghost Bus Tour. Ingin saya tekankan bahawa Ghost Bus Tour ini bukanlah dijalankan oleh organisasi tok-tok bomoh yang ada di Ireland ini. Sebaliknya ia adalah idea Dublin Bus yang merupakan syarikat korporat profesional yang menjadi nadi penggerak utama perkhidmatan bas awam di Dublin ini. Nampaknya, syarikat juga sudah berfikiran tahyul!
Eh, tunggu dulu! Bram Stoker, iaitu pengarang novel Drakula yang suka menghisap darah anak dara sunti itu juga adalah orang Dublin.
Sekarang jelas bahawa apabila datang bab hantu dan tahyul ini, semua bangsa pasti akan ada kisahnya yang tersendiri. Sila jangan sentiasa menyalahkan Melayu, seakan-akan menampakkan bangsa kita terlalu lekeh sebab sangat suka mengambil tahu hal tepi kain hantu pocong, langsuir, pontianak dan hantu susu. Hanya semata-mata saya membaca MASTIKA, itu tidak bermakna saya kolot.
Setiap Bangsa Itu Unik
Sekarang ini, apabila ada kawan-kawan saya yang mengatakan 'Melayu begitu dan begini', kadang-kala saya akan berkata kepadanya bahawa lihat dulu sama ada 'penyakit' yang ada pada bangsa kita itu khas dan unik pada orang Melayu sahaja atau ia adalah sesuatu yang bersifat global.Adakah betul orang Melayu itu memang kaki dengki? Tidak betul. Sifat dengki adalah sifat mazmumah yang ada pada semua manusia. Kamu fikir sifat dengki ini tidak ada pada bangsa Arab, Amerika dan Masai? Jika hanya Melayu sahaja yang ada sifat dengki ini, maka mengapa terdapat dengki dalam 7 Deadly Sins? Bangsa apa yang banyak menganut Kristian? Maka hentikan dakwaan bahawa memang sifat orang Melayu suka dengki antara satu sama lain. Dengki bukan sifat orang Melayu, tetapi sifat orang yang hatinya kotor dengan bintik-bintik hitam!
Dahulu saya pernah fikir bahawa Melayu ini bangsa yang tidak menepati masa. Kalau janji sentiasa lambat, sehingga timbul istilah Janji Melayu. Saya fikir itu penyakit orang-orang Melayu. Rupa-rupanya orang Irish juga ada penyakit ini, sehingga budak-budak Melayu di sini membuat pula isitilah Janji Irish sebagai parodi kepada Janji Melayu. Tetapi saya fikir sikap tidak menepati masa ini mungkin tidak begitu global. Masyarakat Jepun dikenali dengan sikap mereka yang sangat menepati masa itu. Sehingga rancangan televisyen mereka ada yang diset pada waktu seperti 7.27 malam (dan bukan 7.30 malam). Apabila tepat detik 7.27 malam itu, pasti muncul rancangan yang dijanjikan itu.
Jadi anda lihat dan kaji sendiri. Setiap bangsa ada kelemahan dan kelebihan masing-masing. Kadang-kala kelemahan itu bersifat unik pada bangsa itu sahaja, dan kadang-kadang juga ia terdapat pada bangsa-bangsa yang lain. Malah ada di kalangan sesuatu bangsa juga mungkin terdapat perbezaan kualiti yang tersendiri; bangsa A yang tinggal di X, berbeza sifatnya dengan bangsa A yang tinggal di Y.
Kita ambil contoh. Lihat negara Iraq. Bangsa Arab yang tinggal di Fallujah adalah sedikit berbeza dengan bangsa Arab yang tinggal di kawasan lain dalam Iraq. Bangsa Arab Fallujah dikatakan bangsa yang paling tegas, garang dan cergas. Mereka tidak suka dikongkong dan berada di bawah penjajahan. Sebab itu, bandar Fallujah ini adalah bandar yang paling membuatkan askar-askar British sakit kepala untuk menawannya kerana tentangan yang sangat kuat oleh penduduk di situ. Hatta ketika Saddam Hussain masih berkuasa, beliau sebenarnya tidak dapat memegang kuasa di situ secara total. Jadi, jika anda ada kawan Arab dari Fallujah, jangan cuba-cuba cari pasal dengan mereka!
Lihat pula bangsa Jawa. Ibu saya orang Jawa. Ketika saya kecil, saya agak malu untuk mengangkat tangan jika ada cikgu bertanya, "Siapa orang Jawa di sini?". Saya sendiri juga tidak tahu mengapa rakan-rakan saya sewaktu kecil seakan mengejek anak-anak Jawa. Nakal sungguh mereka waktu itu!
Hari ini, saya agak gembira kerana ibu saya berbangsa Jawa. Setelah saya besar, baru saya tahu bahawa Jawa adalah satu bangsa yang penuh dengan lemah-lembut dan sopan-santun. Malah, sangat menghormati tetamu. Jika anda pergi menziarahi mana-mana rumah rakan berbangsa Jawa, dan keluarga itu pula masih lagi kuat mengamalkan budaya orang-orang Jawa, yang kebiasaannya banyak terdapat di Banting dan Batu Pahat, maka pasti anda akan terkejut dengan layanan mereka.
Kalau boleh, apa sahaja makanan yang ada di dapur itu hendak mereka keluarkan untuk beri anda makan. Malah, kalau anda membawa anak bersama, dan anak anda itu pula tiba-tiba sangat suka bermain dengan permainan yang ada di rumah yang anda ziarahi itu, silap-silap haribulan tuan rumah akan suruh anda ambil terus permainan itu.
Sebab itulah, dari sembang-sembang bersama Pakcik Abu Muhammad, ada dia memberitahu saya bahawa Sheikh Muhammad Alawi al-Maliki paling suka pergi ke Tanah Jawa kerana layanan orang-orang Jawa yang sangat baik dan penuh adab.
Ini kelebihan orang-orang Jawa. Malangnya generasi Jawa hari ini (termasuk saya) semakin melupakan adat Jawa yang penuh dengan kesantunan itu. Itu belum lagi masuk bab boleh bertutur dalam Jawa atau tidak!
Penutup
Jika anda boleh faham ini semua ini, maka InsyaAllah kita akan lebih menghargai kepelbagaian bangsa yang ada, lalu akan muncul sifat saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.Oleh yang demikian, lain kali jika kita mahu mengkritik sesuatu tentang Melayu, maka sila fikir dahulu sama ada kelemahan itu unik kepada bangsa Melayu sahaja atau pun ia dikongsi sama dengan bangsa-bangsa yang lain.
Sekali-sekala belajar juga tentang bangsa lain. Selama ini anda mungkin memiliki impresi bahawa bangsa Arab adalah kasar dan kurang adab. Barangkali dengan anda mendalami kelemahan dan kekurangan bangsa Arab dari pakcik berasal dari Yaman, yang duduk selang beberapa buah rumah, mungkin silap-silap haribulan pakcik itu berkenan dengan anda lalu menikahkan anda dengan anak daranya yang cantik jelita itu. Siapa tahu!
Sewaktu mengakhiri artikel yang agak panjang lebar ini, saya tersenyum mengenangkan beberapa orang kawan-kawan saya yang berbangsa Arab dan Pakistan, yang sekali-sekala akan meminta saya memperkenalkan beberapa orang gadis Melayu kepadanya. Mereka mahu kahwin gadis Melayu. Katanya, gadis Melayu, terutama yang bertudung, is gentle and cute!
Maka anak dara di luar sana, tutuplah auratmu selalu jika mahu nampak gentle and cute.
Wallahu 'alam.
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali."
(Surah al-Hujurat. Ayat 13)
Nota Kaki
[1] RTM pun sudi juga untuk meminta pandangan dan nasihat Nik Aziz. Jadi jangan tuduh bukan-bukan pada mereka, lagi-lagi sudah nak dekat pilihanraya ini. /* sarcasm inside. */¶ Teruskan membaca entri ini »