Back to home page

Skemakan Tajwid Bahasa Malaysia Anda

05 September 2007 • 28 Komen Cetak Chenta!
Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa


Baru-baru ini saya meletakkan ini di blog saya:



Selepas itu, ada pembaca baru blog ini membuat komen:



Lalu saya tersenyum sendirian bila memikirkan entah berapa kali orang kata saya skema disebabkan gaya tulisan saya yang tidak selari dengan arus tulisan bahasa SMS.

Saya tidak tahu siapa yang patut dipersalahkan dalam hal ini. Semenjak saya berkecimpung dalam dunia internet pada lewat tahun 1998 sehinggalah sekarang, gaya tulisan kebanyakkan orang-orang kita di internet masih lagi tidak berubah. Hancur dan cacamarba! Tajwid, nahu dan susunan bahasa kita yang molek hilang entah ke mana.

Yang menghancurkannya adalah orang-orang Melayu sendiri yang mana Bahasa Melayu Bahasa Malaysia adalah bahasa ibunda yang keluar dari lidah mereka semenjak kecil lagi. Namun apabila saya membaca tulisan dan artikel berbahasa Malaysia yang dihasilkan oleh orang-orang Cina dan India, saya tertanya-tanya satu soalan: "Bangsa mana yang lebih banyak makan sambal belacan sebenarnya?"

Saya tidak merujuk kepada gaya penulisan blog anak-anak muda, remaja-remaji Melayu kebosanan yang menulis di blog MySpace atau Friendster. Saya juga tidak merujuk tentang tulisan seseorang yang menceritakan tentang hari ini dia makan apa, tentang berapa banyak balak hot yang telah mereka dating dan juga bukan blog peribadi yang menceritakan pengalamannya menonton kartun Naruto bersama rakan sebilik.

Tetapi saya merujuk kepada web/blog berbahasa Malaysia yang memiliki nilai-nilai ilmiah, tidak kira dari apa topik sekalipun; politik, agama, sosial, komputer dan sebagainya. Saya melihat mereka mempunyai isi yang baik untuk disampaikan, namun apabila melihat tatabahasa dan ejaan yang lintang-pukang, jangan harap saya mahu percaya apa yang ditulis. Tulisan yang baik, jika tidak dipersembahkan dengan cara yang betul, ia akan hilang kredibilitinya. Kita tidak membeli buku, kitab dan majalah yang cacat ejaan dan bahasanya.

Perhatikan gaya tulisan para pengunjung di SunniForum. SunniForum didominasi oleh mereka yang kebanyakkannya berbangsa Pakistan dan India. Kemudian bandingkan dengan forum-forum Islam berbahasa Malaysia yang semakin membiak seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Saya bawakan isu ini kerana sudah sekian lama saya agak malas untuk membaca blog dan forum yang mana orang-orang Melayu mendominasi di situ. Ini bukan masalah jati diri sebagai orang Melayu, tetapi cuma mata saya rasa tercemar bila melihat betapa jauhnya kita dari zaman Tun Sri Lanang dan Raja Ali Haji, yang mana ia merupakan zaman gemilang dan kemuncaknya bahasa kita.

Okay, saya tidak menyeru anda supaya menulis dengan menggunakan lenggok bahasa prosa klasik yang sudah pupus itu. Cuma mahu anda tahu, mereka menulis dengan ejaan dan tatabahasa yang betul dan piawai pada zaman mereka.

Saya selalu mengunjungi Digg, 9Rules, Reddit dan Slashdot. Ini semua laman web yang berbahasa Inggeris. Saya menjadi pelik di waktu zaman awal-awal saya melangkah kaki di situ. Seolah-olah saya berada di sebuah planet lain. Majoriti komen-komen pengunjung di situ begitu cantik susunan ayat dan ejaan perkataannya. Digg sebagai contoh, turut mempunyai spell checker bagi memastikan ejaan yang tepat. Pengguna di situ pula selalunya akan rasa annoying apabila melihat ada manusia durjana yang melakukan penderaan ke atas bahasa Inggeris.

Fungsi semakan ejaan yang terdapat dalam laman Digg.


Saya cuma berteori bahawa mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, begitu sangat menekankan aspek ejaan dan tatabahasa dalam setiap artikel, blog, dan komentar yang mereka hasilkan. Saya banyak menghantar e-mel di dalam bahasa Inggeris. Majoriti mereka yang saya e-mel akan membalasnya tanpa ada sebarang kecacatan dan pencemaran pada bahasa Inggeris yang mereka gunakan. Ini mungkin disebabkan memang sikap mereka sendiri yang tidak suka melihat bahasa ibunda mereka dipersembahkan dengan cara yang begitu lekeh dan haprak.

Teknologi internet juga semakin banyak membantu pada hari ini. Kini sebelum saya menghantar apa juga e-mel dalam bahasa Inggeris, saya pasti akan menyemak ejaan saya secara automatik menggunakan spell checker yang terdapat di dalam Firefox yang boleh dimuat turun secara percuma.

Tugas Dewan Bahasa dan Pustaka

Ok Dewan Bahasa dan Pustaka. Jika anda membaca entri ini, maka timbang-timbangkan untuk mengupah beberapa orang programmer tempatan untuk membuat satu perisian web percuma yang boleh menyemak ejaan dalam Bahasa Malaysia. Jadi apabila saya menulis artikel, saya boleh menggunakan perisian web itu untuk mencari ejaan yang tidak betul di sana-sini. Ini akan menjimatkan banyak masa saya kerana tidak perlu bagi saya untuk membaca sebanyak dua kali artikel yang saya siapkan itu.

Apa yang lebih penting, perisian ini di samping mampu menyemak ejaan, ia juga mesti boleh menukarkan secara automatik beberapa perkataan seperti, sy menjadi saya, xde menjadi tidak ada, xleh menjadi tidak boleh, dan sebagainya. Kalau tidak, jangan salahkan saya jika generasi 10-20 tahun akan datang, mengeja organisasi bahasa terpenting di Malaysia sebagai dewn bahse n pustake di dalam karangan SPM mereka. (Nota kepada bakal programmer yang *mungkin* bakal diupah oleh DBP: Jangan lupa buat juga public API. Ini penting supaya mana-mana laman web boleh mengakses database ejaan Bahasa Melayu tersebut).

Oh ya sebelum itu, mengapa kamus online rasmi DBP (dan juga laman web rasminya sekali) sangat tidak mesra pengguna? Saya memerlukan masa selama 2 minit untuk betul-betul faham bahawa laman ini yang saya cari di internet adalah kamus online rasmi DBP. Dan mengapa juga browser window saya ini sentiasa resizing setiap kali saya tekan butang 'cari' dan ketika membuat pilihan pada radio button itu?

Malah mengapa juga url laman itu begitu susah hendak ingat? Saya dan ramai pengguna lain tidak memiliki otak dan memori bionik.

Apa kata tukar url yang kompleks ini:
http://202.184.84.13/kamus/perkamusan/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx

supaya menjadi sesuatu yang lebih mudah diingati seperti:
http://kamus.dbp.gov.my

Hai..kasihan bahasaku. Ia sedang tenat, tetapi masih lagi bernyawa.


Penutup


Tatabahasa tulisan yang sangat rancu, disumbat pula dengan kopi dan pasta yang keterlaluan, dan dihiasi dengan fenomena echo chamber, adalah kombo 3-dalam-1 yang sangat berbahaya kepada institusi bahasa tempatan, bahkan kepada daya intelek orang-orang Islam dan Melayu itu sendiri. Kombo pembunuh inilah menyebabkan saya semakin menjauhi laman-laman web berbahasa Melayu.

Maafkan saya Laksamana Hang Tuah! Jangan tikam saya dengan Taming Sari andai dirimu menyangka diri ini sudah belot dan telah menjadi tali barut kepada orang-orang Putih. Saya masih sayang bangsa saya. Saya yakin tak akan Melayu hilang di dunia.

Cuma bahasanya sahaja yang mungkin hilang. Jadi, sila tikam dan cucuk mereka yang tidak reti dan tidak betah menggunakan bahasa Malaysia yang betul pada tempatnya. Andainya dikau mengerti..


JALAN-JALAN
1 - Bahasa Intan Bahasa Kaca oleh Ustaz Hasrizal
2 - Bahasa Esemes oleh Kak Nisah Haron

28 Komen Tambah Komen↴

Bandingkan dengan Cambridge Dictionary:
dictionary.cambridge.org

No bells, no whistles..just dictionary.

Saudara tawel,

Saya pernah terbaca yang sebenarnya
Yang kurik itu 'kundi' dan bukan 'kendi'. Saya pun kurang arif.Hanya terbaca di :
http://almuhaddith.blogspot.com/2006/05/yang-kurik-itu.html

Saya rasa apa yang penulis blog itu tulis memang betul.

Tanpa Nama

Akhirnya ku tahu. Ok, terima kasih betulkan ;). Tengok ni juga:

Kurik Kundi Merah Saga

Haha, saya bila menaip dalam ruang siber seperti ini, saya tak pakai bahasa SMS, tapi saya juga tak pakai tajwid BM yang sebenar, sebaliknya lebih cenderung menggunakan loghat utara saya, apakah saya ini bersalah?

Tapi saya setuju, ada orang yang menulis blog (secara TAK PROFESIONAL) di Friendster sebagai contohnya menulis sebegini:

"Hr nie sya rs x hepi, siyes...".

Saya pun tertanya HAPA KEBENDANYA (oops, saya tulis HAPA, takpa kot?) yang dia cakap nih? Kenapakah bahasa SMS merajai remaja kita?

Dan ada benarnya, berbanding laman forum di Malaysia (yang pakai bahasa MELAYU), forum berbahasa Inggeris rata²nya yang saya masuk, mementingkan penggunaan ejaan yang betul. Jika seseorang itu tak ikut, apa saja yang ditulisnya tak akan diambil serius, malah siap diperli, dimalukan dan sebagainya.

Apahal pun, saya sebetulnya tak begitu yakin dengan peranan DBP. Sudahlah asyik² menukar perkataan² dalam BM, contohnya akhir² ini kita kena pakai perkataan "BAHARU" dan bukan lagi "BARU", contohnya "Selamat menyambut Tahun BAHARU". Apakah maksud perkataan "BARU" dan "BAHARU" sudah dikalih? Bolehkah saya abaikan saja dan tetap menggunakan "Tahun BARU"?

P/S: Mujur OPTIMUS PRIME dan geng² AUTOBOTS tak turun ke Malaysia. Kalau tidak, bayangkan bagaimana mereka nak bertutur dalam bahasa kita kalau mereka cuba belajar mengenai bahasa kita menerusi World Wide Web dan mendapati majoritinya menggunakan bahasa SMS? ;P

(Lari topik seketika)

Saudari Mimi, laman blog yang anda tunjukkan linknya tu, itu bukankah laman blog milik salah seorang anggota kumpulan FAR EAST?

Encik Convoy si Transformer Geek, tak tahu pula BARU sudah ditukar menjadi BAHARU. Rasanya BARU lebih serasi dengan jiwa masyarakat masa kini. BAHARU macam membawa kita kembali ke zaman P Ramlee daa..

DBP sepatutnya kena menambahkan lagi perbendaharaan kata yang terdapat dalam Kamus Dewan dengan menganalisis perkataan-perkataan semasa. Perkataan yang saya nak DBP timbang-timbangkan untuk dimasukkan:

1) Poyo
2) Sangap
3) Glokal
4) Dan banyak lagi...

Ini kerana perkataan itu sudah menjadi trend semasa, seperti mana D'oh diterima masuk dalam Oxford English Dictionary. Setiap perkataan baru yang dicipta kalau boleh jangan cepat dikaitkan dengan isu politik (seperti 'glokal' yang pertama kali digunapakai oleh Najib Tun Razak) dan jangan juga dituduh cepat-cepat sebagai agen perosak bahasa kebangsaan.

Perkataan baru sentiasa dicipta dari semasa ke semasa. Dan perkataan yang sedang kita gunakan sekarang mungkin banyak yang akan dipandang pelik oleh generasi 100 tahun akan datang.

Zaman Islam berkembang pesat di Tanah Melayu, bahasa kita diperkayakan dengan istilah-istilah Arab. Zaman Portugis menjajah kita, glosari bahasa kita diadaptasi dari bangsa Portugis. Dan begitulah seterusnya...

Sekarang bahasa Malaysia kita, malah bahasa-bahasa lain di seluruh dunia sedang dipengaruhi oleh bahasa Inggeris melalui kesan globalisasi. Maka DBP kena juga buat tindakan cepat bagi mengurangkan kekeliruan yang mungkin timbul bila bahasa Inggeris menular dengan begitu cepat.

Contoh, masa mula-mula Malaysia mendapat penangan internet di akhir tahun 90-an, laman-laman web berbahasa Malaysia akan menggunakan istilah hiperrangkai yang diterjemah bulat-bulat dari hyperlink.

Sekarang orang tak guna lagi istilah janggal tu. Istilah pautan adalah lebih mesra bahasa Malaysia. ;)

Jalan-jalan:
List of Words first used by Shakespeare.

Assalamualaikum...

Sebelum apa-apa, saya nak ucapkan selamat menyambut Ramadhan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

"Sy stj dgn artkl ni". Eh, tersalah taip pula. Apabila sudah terbiasa mengeja penuh semua perkataan, saya rasa sedikit sukar untuk menaip ayat tersebut. Kena fikir huruf vokal mana yang boleh dibuang.

Sebelum ni, saya pun selalu juga guna bahasa SMS. Terutama dalam SMS dan perbualan di YM atau MSN. Tetapi beberapa bulan yang lepas, saya mengalami perubahan dalam diri, saya tidak lagi menggunakan bahasa SMS tersebut, sehinggakan apabila menghantar SMS pun, saya lebih cenderung untuk mengeja penuh semua perkataan. Saya rasa ini adalah satu perubahan yang bagus untuk diri saya.

Sebenarnya apabila kita sudah terbiasa menggunakan Bahasa Malaysia yang betul, (sekurang-kurangnya dengan mengelakkan penggunaan bahasa SMS, walaupun tatabahasa mungkin ada sedikit kesalahan), kita akan rasa lebih 'selesa'. Dan kita tidak perlu risau samada akan ada orang yang tak dapat memahami apa yang kita cuba tulis. Cuba bayangkan, kalau saudara Tawel menulis satu artikel 500 patah perkataan untuk dimasukkan di dalam blognya, dan kesemua 500 patah perkataan tu menggunakan bahasa SMS. Pastinya amat sukar untuk kita baca artikel tersebut, dan saya rasa kita akan memerlukan lebih masa untuk menghabiskan artikel tersebut berbanding kalau ia ditulis dengan Bahasa Malaysia yang betul.

P/S: Tawel, maaf komen saya yang tidak membina. ^_^

PiE

Oh! sudah tukar ka?Baru ke baharu.Emm, betul kata tawel, macam balik ke zaman P.Ramlee la pula. :)

Sekarang saya terbayang mereka yang sekolah di pedalaman yang terpaksa guna bahasa Inggeris untuk pelajaran Sains dan Matematik. Kasihan! sedangkan bahasa Melayu..eh Bahasa Malaysia pun mereka tak kuasai, inikan pula nak guna bahasa asing. Saya pernah tengok kertas jawapan penulisan (emak saya pemeriksa kertas jawapan) dari calon yang menduduki PMR di sebuah kawasan di Terengganu. MasyaAllah, hampir separuh dari calonnya menulis lintang pukang guna bahasa dialek tempat mereka. Nak tergelak pun ada, kasihan pun ada. ermm.. macam-macam!

Saudara Convoy, memang itu blog ustaz nabil penyanyi kumpulan Far East.

Tanpa Nama

Pie, apa pula tak membina :).

Cik Mimi, macam mana boleh campur antara bahasa Inggeris dan dialek Terengganu tu? Cuba bagi contoh sikit. Macam ni ke:
I love to makang ikang.

;)

Ehehehhe...

Saya maksudkan kertas penulisan Bahasa Melayu. :) Memang ada yang menambah 'g' di hujung beberapa perkatan yang tak sepatutnya.Ada sesetengah tu langsung tak dapat faham apa yang ditulis.

Saya setuju dengan PIE. Hati lebih tertarik membaca penulisan yang menggunakan bahasa yang betul.Walaupun kadang-kadang diri tersasar jugak menulis perkataan singkat di blog sendiri.Dah terbiasa.Emm..kebiasaan yang perlu di ubah!

Tanpa Nama

Saya seorang yang sangat sensitif perihal bahasa Melayu yang betul (saya masih menggunakan 'Bahasa Melayu kerana kurang bersetuju dengan penukaran 'Bahasa Malaysia". Maaf.)

Saya akan cuba seboleh mungkin, memastikan bahasa yang saya guna, ejaan yang saya pakai ketika menggunakan bahasa Melayu adalah betul (cuma ilmu tatabahasa masih lemah walaupun telah lulus subjek Bahasa Melayu di UIAM ini). Saya selalu menegur sabahat-sabahat saya bila ejaan 'di' mereka salah (contohnya: 'disana' yang sepatutnya ditulis 'di sana'.
'Di' dirapatkan bilamana bersambung dengan perbuatan. Sebagai contoh, 'dilihat, ditenung, diamati'.)

Tanda noktah dan koma juga saya titik beratkan. Kata gandaan juga tidak terlepas daripada mata saya.

Sikap saya ni kadang-kadang membuatkan ada kawan-kawan yang tidak selesa dan rasa bosan bila baca 'posting' saya di blog dan yahoogroup.

Hehe... kalau nak saya guna gaya penulisan seperti mereka, saya rasa seperti menghina bahasa saya sendiri. Tapi boleh saja kalau nak guna. Tapi saya tak nak. Saya lebih selesa begini.

nota tambahan: Saya suka dengar cikgu-cikgu BM di UIAM bertutur, bahasa baku yang sangat tinggi. Seronoknya belajar BM di UIAM. Sokong tindakan UIAM mewajibkan BM diambil oleh semua mahasiswanya.

Kalau dengar ceramah Prof Sidek Baba, lagi seronok, penuh kebakuan.

Pencinta Bahasa Melayu (tapi tidak bermakna saya tidak boleh berbahasa Inggeris. hehe)

Maaf atas kelemahan. Wassalam

Syauqah-el-wardah, terima kasih kerana mengomen.

Mereka yang merosakkan Bahasa Malaysia dalam tulisan, selalunya juga merosakkan ejaan Bahasa Inggeris. With jadi wif, serious jadi seyes, happy jadi hepi dan sebagainya. Orang putih pun tak eja macam tu!

Akhirnya, rata-rata orang Melayu langsung tidak hebat dalam apa-apa bahasa, termasuklah bahasa ibunda sendiri.

P.S. Tiba-tiba terasa nak tahu macam mana gaya Prof Sidek Baba berucap dalam ceramah. Cari dalam YouTube, tak ada pula.

Ya Saudari Mimi, menurut yang saya dok tengok kat RTM1 dan TV3 ketika masuknya Tahun BAHARU 2007 dan Tahun BAHARU Cina yang lalu, memang depa semua sebut "BAHARU". Err.. hangpa semua ni tak tengok TV ka? Haha, apahal pun, kena tunggu kalender Tahun BAHARU yang akan datang untuk memastikan apakah istilah BAHARU ni masih dipakai (ish, sebut BAHARU banyak kali, silap² boleh tersasul jadi BAHALUL, haha!).

Hmm... pasal isu ajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ni, saya jadi hairan kenapa pejuang² dari bangsa Cina, malah termasuklah pemimpin² kerajaan dari parti MCA sendiri, dok masih perjuangkan penggunaan bahasa Mandarin dalam subjek berkenaan, sedangkan pemimpin Melayu parti pemerintah kita sendiri masih lagi dengan penggunaan bahasa Inggeris? Hairan... hairan...

P/S: Pernah dengar ceramah Prof. Sidek Baba, memang benar, penuh dengan kebakuan. Tapi khabarnya "bahasa baku" ni asal dari Indonesia, betul ka? Dan ada satu komentar yang saya baca dari satu laman web yang sangat menentang penggunaan bahasa baku yang dikatanya "pengaruh Indon", heheh...

Assalamu'alaikum..
Di sini, saya nak ambil kesempatan mengutarakan pendapat saya yang telah lama saya pendamkan. Tetapi, harus diingat, ini hanyalah pendapat saya. Belum lagi di gali secara ilmiah dari Kutub Khanah Malayu.

Yang pertama, tentang Bahasa Melayu "vs" Bahasa Malaysia. Ada bezanya antara Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia. Bahasa Melayu itu luas. Bahkan pernah menjadi bahasa pengantar di Nusantara. Kita di Malaysia tidak boleh mendabik dada mengatakan kita menggunakan Bahasa Melayu yang betul. Bahasa Indonesia juga sebahagian dari Bahasa Melayu. Amat malang, setelah Bahasa Baku dimansuhkan, satu organisasi Bahasa Melayu yg diwakili oleh setiap negara yang menggunakan Bahasa Melayu (Malaysia, Indinesia, Brunei dll.) juga hilang tanpa khabar berita. Jadi, secara peribadi. Saya lebih suka membahasakan bahasa yg digunapaki di Malaysia adalah Bahasa Malaysia, kerana ia hanya sebahagian dari Bahasa Melayu atau pun, masih boleh dikatakan sebagai Bahasa Melayu, tetapi versi Malaysia seperti Bahasa Inggeris ada versi UK dan US. Daripada kita membahasakan Bahasa Melayu Versi Malaysia, adalah lebih mudah untuk kita membahasakannya sebagai Bahasa Malaysia, dan sepatutnya, gabungan Ahli Bahasa Melayu dari pelbagai negara itu diwujudkan semula.

Yang kedua, tentang Bahasa Baku..
teramatlah cetek pemikiran yang menyamakan Bahasa Baku dengan bahasa yang beku. Sedari kecil lagi saya telah disogokkan dengan berita dari TV3, dan pada masa itu, ulasan berita TV3 menggunakan Bahasa Baku. Amat indah.... bahkan, jika kita dengar lagu nyanyian Datuk Siti mahupun Datuk Syarifah Aini, kedua-duanya menggunakan lenggok bahasa baku...
contohnya pada lirik diari hatiku...
"kekasih, tulis nama ku" di lagukan mengikut tulisannya.. bukan "kekasih, tulis "name" ku.. jika menggunakan hukum bahasa "standard". Ini membuktikan, Bahasa baku itu tidaklah beku. Yang penting, kita tahu untuk melagukan sebutan tersebut... Wallahua'lam.



p/s: blog saya pun masih terpengaruh dengan tulisan sms, maklumlah.. darah muda...

Tawel Sensei,

Nak dengar Prof Sidek Baba berbicara? Nanti datanglah ke UIAM ^_^

Teringat bila seorang Pensyarah saya bertanya kepada rakan sekelas saya yang berasal dari Iraq (telah 3 tahun berada di Malaysia).

Pensyarah: Do you know what is 'raye'?
Iraqi: 'Raye'? What is 'raye'?
Pensyarah: (Mengeja) r-a-y-a. Raye
Iraqi: Oh. r-a-y-a 'Raya'. Yes, i know 'raya'.

Seluruh kelas ketawa, tapi saya sedikit senyum sambil memujuk hati, "Sabarlah, wani. Memanglah begini jadinya bila kita tidak seperti Indonesia, menyebut perkataan dengan ejaan dan bunyi yang betul. Orang luar susah nak faham."

Saya hanya datangkan contoh, tidak berniat mengutuk guru saya dan rakan-rakan sekelas saya.

Kepada semua, kalau nak cakap bahasa Melayu dengan warga asing, lebih baik kita guna bahasa baku di UIAM ni sebab mereka belajar bahasa Melayu baku, bukan bahasa Melayu 'standard' yang 'lebih diiktiraf' sekarang.

waLlahu a'lam

Salam kunjung,

Lama tidak menjengah ke mari, tak sangka p/s yang saya tulis sebulan dulu menjadi pembuka bicara entry kali ini. =)

Jujurnya, saya lemas membaca entry yang ayatnya terencat dan ejaannya shortcut.

Hatta kalau berYM, pun saya rimas dengan mereka yang mengambil mudah dengan ejaan.

Dan sangat sukar mencari blog yang bicaranya skema dan menarik.

SaifulIslam antara penulisan yang sangat teliti, walau bicaranya santai. Dan Us HAJ juga hingga sanggup membetulkan ejaan pada komen-komen yang diterima dengan ejaan shortcut kerana sakit mata melihatnya.

Komen saya, memang tidak ramai yang betul-betul hargai bahasa, so for you, and some of us here to be one of them, saya kira itu sudah satu pencapaian yang cukup baik.

Teruskan menulis encik Tawel, anda ni pasti ramai penyokong kiri kanan.

Ha, saya memang antara yang suka kalau sebutan baku digunakan dalam urusan rasmi (atau resmi??), ataupun dalam lagu, ataupun dalam pementasan drama. Tapi kalau nak digunakan secara meluas (seperti dalam perbualan seharian), rasanya agak janggal bunyinya, tapi kalau digunakan di antara orang berlainan loghat daerah, atau di antara orang Malaysia dengan orang luar negara (seperti kes pensyarah dengan pelajar Iraq tu!), maka wajarlah digunakan sebutan yang "baku" bunyinya.

Tentang bahasa MELAYU vs. bahasa MALAYSIA, haha, anda telah memberi contoh yang nampaknya macam "bercanggahan" dengan pendapat anda itu, wahai aiyrie, iaitu mengenai bahasa Inggeris versi UK dan versi US. Seperti yang diketahui, versi UK atau US, ianya masih tetap dikenali di seluruh dunia sebagai BAHASA INGGERIS. Jadi rasanya tak salah kalau kita kekal mengatakan bahawa kita menggunakan BAHASA MELAYU, bahasa yang sama digunakan di Malaysia, Brunei dan Singapura (saya dengar "bahasa BAKU" bagi ketiga² negara ini sama kedengarannya). Indonesia itu bahasanya agak aneh struktur dan perkataannya, banyak berbeza daripada kita, jadi wajar juga kalau ianya dikenali dengan namanya sendiri (bahasa Indonesia). Itu cuma pendapat saya saja. Kenalan saya dari Indonesia berkata bahawa Bahasa Indonesia adalah gabungan bahasa² suku² kaum yang ada di situ seperti Jawa, Minang, dan lain² (entahlah, mungkin juga saya salah faham maksud sebenarnya sebab dia berbicara dengan saya dalam bahasa Indonesia!). Sementara ada pula seorang lagi kenalan saya (yang tidak bersetuju penggunaan istilah bahasa MALAYSIA) mengatakan kita sebetulnya masih menganggap bahasa Indonesia itu sebagai "Bahasa Melayu Indonesia" (apa maksudnya kenalan saya ni, saya pun tak tahu...). Paling utama pula, dalam perlembagaan, tercatat bahawa bahasa rasmi negara kita ialah BAHASA MELAYU. Jadi apa yang kerajaan kita sudah buat sekarang (iaitu menukar istilah kepada BAHASA MALAYSIA) secara tidak langsung sudah melanggar perlembagaan negara kita sendiri...

Syauqah-el-wardah, insyaAllah saya singgah di UIA bila saya balik Malaysia nanti untuk melihat dengan mata sendiri :).

Tapi, kalau baku sangat bahasa tu, tak terasa macam cakap dengan orang Indonesia ke? Apa pun, gunakan bahasa baku hanya pada tempatnya sahaja. Kalau tak, nanti tak sampai pula mesej..hehe.

Tapi ada juga sesetengah perkataan yang lebih sesuai kalau dibakukan. Contoh: MerdekA, bukan MerdekE.

Azila: Sebenarnya dah lama nak tulis tentang ni. Komen Azila tu sebagai pencetus semangat saja. InsyaAllah saya akan terus menulis. Cuma buat masa sekarang, blog ini mungkin kejap on kejap off, bergantung kepada pelbagai faktor yang sedia ada dan yang mendatang di kemudian hari ;)

Kepada Convoy pula, ehem!! Satu lagi 'dosa' dalam penulisan ialah menulis panjang-panjang tanpa ada perenggan, lebih-lebih lagi jika menulis di internet.

Mereka yang membaca di internet selalunya tidak membaca perkataan demi perkataan. Sebaliknya dalam kebanyakkan kes, mereka akan scan perenggan, dan jika ada idea menarik, baru mereka akan baca betul-betul perenggan itu. Jadi, lebih molek jika dibuat: Satu idea, satu perenggan.

Terima kasih untuk komen-komen yang diberikan!

Salam Tawel,
Dalam beberapa blog berbahasa Inggeris yang saya lawati, penulis2nya dipuji2 didalam komen2 (pakai "2" boleh ke :-) ) yang ditinggalkan kerana mutu bahasa Inggeris yang digunakan oleh penulis2 blog tersebut, sayangnya lain pula halnya di sini.

Saya tertarik dan setuju dengan beberapa "point" dalam komen2 di atas:

1) "Mereka yang merosakkan Bahasa Malaysia dalam tulisan, selalunya juga merosakkan ejaan Bahasa Inggeris. With jadi wif, serious jadi seyes, happy jadi hepi dan sebagainya. Orang putih pun tak eja macam tu!" - terror jadi terer? makna pun diubah, anak2 yang baru belajar pun "confused", anak saya bila dia sebut "hebat", orang ketawakan, kena guna perkataan "terer", baru betul, tapi saya pun kadang2 terguna jugak, dah sebati dalam bahasa kita, kan?

2) "Tentang bahasa MELAYU vs. bahasa MALAYSIA, haha, anda telah memberi contoh yang nampaknya macam "bercanggahan" dengan pendapat anda itu, wahai aiyrie, iaitu mengenai bahasa Inggeris versi UK dan versi US. Seperti yang diketahui, versi UK atau US, ianya masih tetap dikenali di seluruh dunia sebagai BAHASA INGGERIS. Jadi rasanya tak salah kalau kita kekal mengatakan bahawa kita menggunakan BAHASA MELAYU, bahasa yang sama digunakan di Malaysia, Brunei dan Singapura." - diharap Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa bangsa Melayu, janganlah kerana ada kepentingan lain, semuanya nak digadaikan.

"Apa pun, gunakan bahasa baku hanya pada tempatnya sahaja. Kalau tak, nanti tak sampai pula mesej."

Maaf Tawel kalau bahasa Melayu saya tak berapa baik dalam komen2 saya, saya selalu beri 5% fleksibiliti untuk memudahkan orang membaca, mamahami dan tak bosan.

I guess you're doing the same thing as well, don't you?
And you made all of them use the very best of their Malay language while commenting in this post! :-)
This is a great post!

Tanpa Nama

haha..
terima kasih kepada zunnur dan convoy kerana menyedarkan saya tentang kesalahan contoh yang saya beri. ha'ah, memang betulpun kedua-duan versi tetap dipanggil bahasa inggeris (baru perasan kesalahan diri) dan memang dalam perlembagaanpun menggunakan istilah bahasa Melayu. hehe... dengan yang demikian saya tarik balik lah komen dan hujah saya tentang bahasa Melayu vs bahasa Malaysia tu.. tapi, kalau ada yang menggunakan istilah bahasa Malaysia, kita tak perlulah marah (sound direct) kat dia.. kecik hati dia nanti... maka, eloklah kita serahkan pada yang bertanggungjawab untuk membincangkan permasalahan ini.

berkenaan dengan bahasa baku, memanglah tidak perlu sampai ketahap bersembang dikedai kopipun guna bahasa baku. tapi, dalam urusan rasmi. yang saya tidak sedap hati tu, bahasa baku dibunuh terus. itu yang salahnya.

dalam percakapan harian, tak kisahlah nak guna bahasa "standard"kah, guna loghat kelantankah, perakkah, lantak "deme"lah..


tentang BAHARU yang convoy katakan tu, memang betul. saya ada baca iklan Mc'D kalau tak salah kat Metro....
macam balik ke zaman P Ramli pulak..

Terima kasih atas komen-komen yang diberikan :). Yang ini, sekadar nak berkongsi sahaja: Chinglish.

Salam Ramadhan ya sensei!
Kullu 'aam wa enta bikhayr

'Chinglish'? Pertama kali dengar perkataan itu.

Tiba2 teringat, ada satu laman web yang mengumpulkan gambar2 penyalahgunaan Bahasa Inggeris yang rata2nya wujud di China & Korea. Rasa kasihan pun ada, nak terketawa pun ada!

http://www.engrish.com

Tanpa Nama

Wah, satu tulisan segar.

Terkena juga kepada diri sendiri walau sangat cintakan sastera dan bahasa Melayu. Namun dalam penulisan dunia siber dan juga ruang komen ana kadang-kadang memilih menggunkan bahasa mudah dan pendek sesuai dengan keadaan dan masa yang ada.

Namun, demi kerana tulisan ini akan cuba membaikinya.

Oh ya En.Tawel, macam mana kita ingin menggunkan 'spell checker' di firefox? Terima kasih.

Tanpa Nama

Alqasam, tengok sini. By default sepatutnya Firefox akan semak ejaan (dalam English secara automatik).

Tapi saya disable function tu. Pergi:

Menu > Tools > Option > Advanced > General tab.

Pilih Browsing dan unchecked Check my spelling as I type.

Pabila hamba terbaca entri tuan hamba..Hamba sungguh terasa..
huhu~..Mungkin lebih baik hamba menggunakan 'Melayu lama' sahaja..Biar orang katakan hamba ini 'skema' as long as I can leave well..haha~

Jangan malu menggunakannya walaupun dituduh skema!

Ada komen atau soalan?

Setiap komen insya-Allah dibaca kesemuanya. Dibalas jika perlu. Dibuang jika tak berkaitan. Sekian adanya.