Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    La Tahzan #3 - Anda Sedang Hamm atau Hazan?

    25 September 2007 • 22 Komen
    Sama ada anda sedang hamm atau pun hazan, kedua-dua situasi ini akan menjadikan hati manusia tidak tenang. Dengan memahami apa itu hamm dan apa itu hazan, maka sekurang-kurangnya kita dapat mencari jalan dan penyelesaian terbaik untuk mewujudkan ketenangan di dalam hati.

    Ehem..tapi sebelum itu, apa itu hamm dan apa itu hazan? Jawapannya ada di dalam doa [1] yang berikut:
    Gambar doa la tahzan dari al-MathuratSnapshot dari al-Mathurat.
    Sedikit ralat pada terjemahan: "..dari rasa gelisah dan sedih", dan bukan sebaliknya.


    Maka, hamm bermaksud gelisah manakala hazan bermaksud sedih. Dengan kata lain, doa yang Nabi ajar itu bukan semata-mata untuk mengelakkan rasa sedih, tetapi juga untuk membuang rasa gelisah di dalam hati. Apa beza di antara rasa gelisah dan sedih?

    Sheikh Hamza Yusuf ada mensyarahkan doa ini di dalam buku The Purification of the Heart. Katanya, hamm adalah kebimbangan atau kegelisahan manusia tentang perkara-perkara yang akan berlaku di masa hadapan, sementara hazan adalah kesedihan tentang perkara-perkara yang sudah pun berlaku di masa terdahulu. Maka doa ini sebenarnya mengajak kita supaya memohon perlindungan dari Allah dalam perkara-perkara yang terdahulu dan yang akan datang. Ini kerana sifat Allah itu adalah sama sahaja tidak kira masa memandangkan Dia tidak dibatasi dengan konsep masa yang dilalui oleh manusia.

    Jadi sekarang anda sedang hamm atau sedang hazan? Ini contoh-contoh hamm dan hazan:

    Hamm:
    • Risau tak cukup duit untuk tanggung anak bini makan;
    • Gelisah sebab ah long dah mula main kasar bila kutip hutang dari kita;
    • Gelisah sebab ayah masih tak pulang-pulang, padahal katanya hanya keluar membeli ikan di pasar sahaja;
    • Risau tak kahwin-kahwin lagi, padahal umur semakin meningkat.
    • Risau keputusan SPM tak boleh dapat 40 A1.

    Hazan:
    • Sedih mengenangkan ayah dan ibu yang telah pergi menghadap Ilahi tanpa sempat kita betul-betul membalas segala jasa-jasa mereka;
    • Sedih sebab tak belajar betul-betul masa SPM. Kalau belajar sungguh-sungguh, mesti ada peluang dapat 40 A1 dan sekaligus dapat menjadi Pelajar Terbaik SPM Tahun 20xx.
    • Sedih bila bini curang dan lari ikut lelaki lain yang ada kereta mewah 5-6 buah . Kita pula, motor kapcai sahajalah harta paling mahal yang ada;

    Jadi anda boleh dapat gambaran yang jelas apa itu hamm dan apa itu hazan. Semestinya, menyelesaikan setiap masalah yang menyebabkan hati kita berasa hamm atau hazan, akan memerlukan pendekatan yang berbeza.

    Hazan

    Dalam kes hazan, apa yang kita boleh buat apabila tiba-tiba berasa sedih, sebagai contoh kerana mensia-siakan bulan Ramadhan pada tahun-tahun yang sebelumnya? Kita tidak boleh buat apa-apa untuk membetulkan segala kesilapan dan peristiwa yang telah pun berlalu. Kita tidak punya mesin masa untuk kembali ke zaman silam.

    Maka, salah satu cara bagi menyelesaikan kecelaruan hati disebabkan rasa hazan, adalah dengan mengakui kesalahan, kesilapan, atau mungkin juga dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Jika perlu meminta maaf kepada seseorang, maka pergilah. Jika taubat kepada Allah adalah jalan yang terbaik, maka pintu rahmat-Nya sentiasa terbuka luas selagi Kiamat belum tiba. Tidak guna sentiasa bersedih di atas apa yang telah berlaku. Bak petikan satu lirik lagu P. Ramlee yang popular:
    Barang yang lepas jangan dikenang,
    Kalau dikenang tentu menangis,

    Barang yang lepas jangan dikenang,
    Kalau dikenang meracunlah diri.

    Jangan racuni hati anda. Keep moving forward.

    Hamm

    Hamm menjadikan seseorang itu gelisah tentang perkara-perkara yang masih belum berlaku lagi di masa hadapan. Jadi, apa yang anda boleh buat? Seperti mana juga dalam kes hazan, kita tidak punya mesin masa untuk pergi meninjau ke masa hadapan bagi melihat apakah terjadi atau pun tidak segala kerisauan-kerisauan kita itu.

    Satu-satunya cara yang anda boleh buat adalah dengan berdoa kepada Allah, di samping berusaha untuk mengelakkan sebarang kemungkinan buruk yang mungkin (diulangi MUNGKIN) terjadi. Doa yang terdapat di bahagian awal artikel ini adalah salah satu doa yang baik untuk diamalkan.

    Saya juga pernah mendengar ceramah Dr Fadzilah Kamsah yang mana beliau mengatakan bahawa:
    90% dari kerisauan manusia tidak pernah berlaku.

    Saya tidak tahu bagaimana angka statistik itu terhasil, dan sedikit sebanyak saya berasa skeptikal pada nilai tersebut. Apapun, kita abaikan sahaja kesahihan nilai tersebut dan saya sebenarnya yakin bahawa kebanyakkan kerisauan-kerisauan manusia selalunya jarang-jarang berlaku.

    Manusia risau pada hal-hal yang bersifat relatif seperti soal rezeki dan jodoh. Tetapi jarang-jarang risau yang kita mungkin mati esok hari. Semua manusia dijamin mati. Maka risaulah banyak-banyak tentang kematian. Soal rezeki pula, kadang-kadang dengan berusaha sikit, Allah bagi banyak. Kadang-kadang usaha banyak, makin banyak pula hutang di keliling pinggang. Jodoh pula, kadang-kadang sudah kahwin pun boleh berlaku masalah hingga bercerai-berai. Maka ini semua perkara-perkara yang tidak tentu lagi hala tujunya. Kurangkan kerisauan anda dalam perkara-perkara seperti ini.

    Setiap Orang Ada Cara Tersendiri

    Oleh yang demikian, analisa hati anda. Ketahui anda sedang hamm atau hazan, maka ini akan lebih memudahkan proses bagi mendatangkan semula ketenangan di dalam hati. Harus diingat bahawa kaedah-kaedah menangani hamm dan hazan yang saya tuliskan ini adalah bersifat umum, dan ia tidak terhad kepada yang itu sahaja.

    Ada banyak lagi cara lain yang boleh kita pilih. Masing-masing pasti punya cara unik yang tersendiri. Namun, jangan pilih cara yang haram dan syubhat untuk mencari ketenangan hati, seperti meminum arak ataupun menghisap rokok hingga 40 batang sehari.

    Apa pun, jangan sekali-kali menafikan rasa hamm dan hazan yang datang di dalam hati. Anda tidak boleh tipu rasa tersebut dengan menyibukkan diri dengan kerja-kerja lain, balik rumah selalu untuk berjumpa ibu-bapa dan keluarga, pergi bandar untuk gelak-gelak, minum-minum, makan-makan dan main bowling dengan member, dan sebagainya.

    Rasa hamm dan hazan ini akan sentiasa datang dalam hati anda selagi ia tidak diubati. Maka sebaik-baik ubat adalah dengan kembali kepada Allah kerana Dialah yang menciptakan hati kita ini [2].

    Sekian adanya. Senyum sokmo.

    Nota Kaki

    [1] Fadhilat bagi doa ini adalah seperti berikut:
    Dari Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah masuk ke dalam masjid dan mendapati ada seorang Ansar bernama Abu Umamah. Maka Rasulullah bertanya, "Wahai Abu Umamah, kenapa engkau berada di dalam masjid di luar waktu solat?"

    Beliau menjawab, "Kerisauan dan hutang, ya Rasulullah."

    Baginda bersabda, "Mahu aku ajarkan engkau satu doa, jika engkau membacanya akan hilang risaumu dan tertunai hutangmu?"

    Jawabnya, "Tentu sekali."

    Sabda Baginda, "Bacalah 'Allahumma innii a'udzubika...sehingga tamat."

    Kata Abu Umamah, "Aku pun membaca doa itu dan hilang kerisauanku dan tertunai hutangku."

    (Hadith riwayat Abu Daud)

    [2] Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah manusia, jika ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah ia adalah hati. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
    ---

    KERJA SEKOLAH
    Bagi mereka yang mahir Arab, jika jangan bersedih = La Tahzan. Maka kalau jangan gelisah = La ____ ?


    SIRI LA TAHZAN SEBELUM INI:
    #1 - Hidup Ibarat Mencabut Gigi
    #2 - Jangan Cemburu dan 8 Petua Mengatasinya
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Skemakan Tajwid Bahasa Malaysia Anda

    05 September 2007 • 28 Komen
    Yang kurik itu kundi
    Yang merah itu saga
    Yang cantik itu budi
    Yang indah itu bahasa


    Baru-baru ini saya meletakkan ini di blog saya:



    Selepas itu, ada pembaca baru blog ini membuat komen:



    Lalu saya tersenyum sendirian bila memikirkan entah berapa kali orang kata saya skema disebabkan gaya tulisan saya yang tidak selari dengan arus tulisan bahasa SMS.

    Saya tidak tahu siapa yang patut dipersalahkan dalam hal ini. Semenjak saya berkecimpung dalam dunia internet pada lewat tahun 1998 sehinggalah sekarang, gaya tulisan kebanyakkan orang-orang kita di internet masih lagi tidak berubah. Hancur dan cacamarba! Tajwid, nahu dan susunan bahasa kita yang molek hilang entah ke mana.

    Yang menghancurkannya adalah orang-orang Melayu sendiri yang mana Bahasa Melayu Bahasa Malaysia adalah bahasa ibunda yang keluar dari lidah mereka semenjak kecil lagi. Namun apabila saya membaca tulisan dan artikel berbahasa Malaysia yang dihasilkan oleh orang-orang Cina dan India, saya tertanya-tanya satu soalan: "Bangsa mana yang lebih banyak makan sambal belacan sebenarnya?"

    Saya tidak merujuk kepada gaya penulisan blog anak-anak muda, remaja-remaji Melayu kebosanan yang menulis di blog MySpace atau Friendster. Saya juga tidak merujuk tentang tulisan seseorang yang menceritakan tentang hari ini dia makan apa, tentang berapa banyak balak hot yang telah mereka dating dan juga bukan blog peribadi yang menceritakan pengalamannya menonton kartun Naruto bersama rakan sebilik.

    Tetapi saya merujuk kepada web/blog berbahasa Malaysia yang memiliki nilai-nilai ilmiah, tidak kira dari apa topik sekalipun; politik, agama, sosial, komputer dan sebagainya. Saya melihat mereka mempunyai isi yang baik untuk disampaikan, namun apabila melihat tatabahasa dan ejaan yang lintang-pukang, jangan harap saya mahu percaya apa yang ditulis. Tulisan yang baik, jika tidak dipersembahkan dengan cara yang betul, ia akan hilang kredibilitinya. Kita tidak membeli buku, kitab dan majalah yang cacat ejaan dan bahasanya.

    Perhatikan gaya tulisan para pengunjung di SunniForum. SunniForum didominasi oleh mereka yang kebanyakkannya berbangsa Pakistan dan India. Kemudian bandingkan dengan forum-forum Islam berbahasa Malaysia yang semakin membiak seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

    Saya bawakan isu ini kerana sudah sekian lama saya agak malas untuk membaca blog dan forum yang mana orang-orang Melayu mendominasi di situ. Ini bukan masalah jati diri sebagai orang Melayu, tetapi cuma mata saya rasa tercemar bila melihat betapa jauhnya kita dari zaman Tun Sri Lanang dan Raja Ali Haji, yang mana ia merupakan zaman gemilang dan kemuncaknya bahasa kita.

    Okay, saya tidak menyeru anda supaya menulis dengan menggunakan lenggok bahasa prosa klasik yang sudah pupus itu. Cuma mahu anda tahu, mereka menulis dengan ejaan dan tatabahasa yang betul dan piawai pada zaman mereka.

    Saya selalu mengunjungi Digg, 9Rules, Reddit dan Slashdot. Ini semua laman web yang berbahasa Inggeris. Saya menjadi pelik di waktu zaman awal-awal saya melangkah kaki di situ. Seolah-olah saya berada di sebuah planet lain. Majoriti komen-komen pengunjung di situ begitu cantik susunan ayat dan ejaan perkataannya. Digg sebagai contoh, turut mempunyai spell checker bagi memastikan ejaan yang tepat. Pengguna di situ pula selalunya akan rasa annoying apabila melihat ada manusia durjana yang melakukan penderaan ke atas bahasa Inggeris.

    Fungsi semakan ejaan yang terdapat dalam laman Digg.


    Saya cuma berteori bahawa mereka yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, begitu sangat menekankan aspek ejaan dan tatabahasa dalam setiap artikel, blog, dan komentar yang mereka hasilkan. Saya banyak menghantar e-mel di dalam bahasa Inggeris. Majoriti mereka yang saya e-mel akan membalasnya tanpa ada sebarang kecacatan dan pencemaran pada bahasa Inggeris yang mereka gunakan. Ini mungkin disebabkan memang sikap mereka sendiri yang tidak suka melihat bahasa ibunda mereka dipersembahkan dengan cara yang begitu lekeh dan haprak.

    Teknologi internet juga semakin banyak membantu pada hari ini. Kini sebelum saya menghantar apa juga e-mel dalam bahasa Inggeris, saya pasti akan menyemak ejaan saya secara automatik menggunakan spell checker yang terdapat di dalam Firefox yang boleh dimuat turun secara percuma.

    Tugas Dewan Bahasa dan Pustaka

    Ok Dewan Bahasa dan Pustaka. Jika anda membaca entri ini, maka timbang-timbangkan untuk mengupah beberapa orang programmer tempatan untuk membuat satu perisian web percuma yang boleh menyemak ejaan dalam Bahasa Malaysia. Jadi apabila saya menulis artikel, saya boleh menggunakan perisian web itu untuk mencari ejaan yang tidak betul di sana-sini. Ini akan menjimatkan banyak masa saya kerana tidak perlu bagi saya untuk membaca sebanyak dua kali artikel yang saya siapkan itu.

    Apa yang lebih penting, perisian ini di samping mampu menyemak ejaan, ia juga mesti boleh menukarkan secara automatik beberapa perkataan seperti, sy menjadi saya, xde menjadi tidak ada, xleh menjadi tidak boleh, dan sebagainya. Kalau tidak, jangan salahkan saya jika generasi 10-20 tahun akan datang, mengeja organisasi bahasa terpenting di Malaysia sebagai dewn bahse n pustake di dalam karangan SPM mereka. (Nota kepada bakal programmer yang *mungkin* bakal diupah oleh DBP: Jangan lupa buat juga public API. Ini penting supaya mana-mana laman web boleh mengakses database ejaan Bahasa Melayu tersebut).

    Oh ya sebelum itu, mengapa kamus online rasmi DBP (dan juga laman web rasminya sekali) sangat tidak mesra pengguna? Saya memerlukan masa selama 2 minit untuk betul-betul faham bahawa laman ini yang saya cari di internet adalah kamus online rasmi DBP. Dan mengapa juga browser window saya ini sentiasa resizing setiap kali saya tekan butang 'cari' dan ketika membuat pilihan pada radio button itu?

    Malah mengapa juga url laman itu begitu susah hendak ingat? Saya dan ramai pengguna lain tidak memiliki otak dan memori bionik.

    Apa kata tukar url yang kompleks ini:
    http://202.184.84.13/kamus/perkamusan/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx

    supaya menjadi sesuatu yang lebih mudah diingati seperti:
    http://kamus.dbp.gov.my

    Hai..kasihan bahasaku. Ia sedang tenat, tetapi masih lagi bernyawa.


    Penutup


    Tatabahasa tulisan yang sangat rancu, disumbat pula dengan kopi dan pasta yang keterlaluan, dan dihiasi dengan fenomena echo chamber, adalah kombo 3-dalam-1 yang sangat berbahaya kepada institusi bahasa tempatan, bahkan kepada daya intelek orang-orang Islam dan Melayu itu sendiri. Kombo pembunuh inilah menyebabkan saya semakin menjauhi laman-laman web berbahasa Melayu.

    Maafkan saya Laksamana Hang Tuah! Jangan tikam saya dengan Taming Sari andai dirimu menyangka diri ini sudah belot dan telah menjadi tali barut kepada orang-orang Putih. Saya masih sayang bangsa saya. Saya yakin tak akan Melayu hilang di dunia.

    Cuma bahasanya sahaja yang mungkin hilang. Jadi, sila tikam dan cucuk mereka yang tidak reti dan tidak betah menggunakan bahasa Malaysia yang betul pada tempatnya. Andainya dikau mengerti..


    JALAN-JALAN
    1 - Bahasa Intan Bahasa Kaca oleh Ustaz Hasrizal
    2 - Bahasa Esemes oleh Kak Nisah Haron
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Last Caturday!

    03 September 2007 • 6 Komen
    lolcat caturdayAhhhh... Kood not wait 4 da next two Caturdays. Itz a fazting time...


    This Caturday, we will still breathe in the good air of Syaaban. That is the last Caturday before we enter the blessing month of Ramadhan 1428H, the most awaited month in the calendar of Islam.

    The Caturday after that last Caturday would probably fall on the 3rd of Ramadhan. So I would like to wish to all my respected readers a Happy Ramadhan. May this Ramadhan improves our iman and taqwa towards Allah.

    This is the best month of purification and forgiveness. Don't waste it. The only enemy we will have is just within ourself; it is our own nafs. Do not worry about Satan. He will surely be locked tight in the pit of Hell in the next two Caturdays.

    ramadhan is coming
    Anyway, a Ramadhan section at Zaytuna Institute may help and guide us. All the best in this coming Ramadhan. May Allah increase our knowledge and station. Amin.


    NB: Caturday is the recent internet lolcat meme. This term was first popularized by some folks at ICanHasCheezeBurger.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »